TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HIMPUNAN “GEMA PENDEKAR MADANI ZON UTARA 2026”

24 Januari 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI  

SEMPENA 

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HIMPUNAN “GEMA PENDEKAR MADANI” ZON UTARA 2026 

24 JANUARI 2026 (SABTU) | 8.30 MALAM

THE ARENA OF SPORTS, SUNGAI PETANI,

KEDAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,

Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Rakan-rakan Menteri;

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari,

Menteri Belia dan Sukan;

Yang saya muliakan guru agung silat negara, ayahanda kepada anak-anak, guru kepada kita semua;

Yang Mulia Dato’ Dr. Raja Abdul Majid bin Raja Mat Isa,

Bagi sambutan hebat kepada beliau.

  1. Saya nak mulakan dalam kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan khusus, kepada Dato’ Dr. Cikgu Abdul Majid, bukan sahaja mewarisi, tetapi pengasas. Orang yang berkecimpung dalam dunia silat dan perjuangan Melayu, tatkala mula dinobatkan oleh Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpin sehinggalah kini beliau merupakan sahabat kepada saya dalam semua keadaan. Beliau tidak hormati sahabat kerana kedudukan dan pangkat, tetapi kerana dasar perjuangan. Untuk itu kita sanjung rakan kita, cikgu Abdul Majid.
  1. Malangnya beliau tidak ada kesempatan untuk menyampaikan susur galur sejarah perjuangan sebelum kemerdekaan, sesudah kemerdekaan, tetapi saya percaya anak-anak beliau akan dapat mengumpulkan sedutan-sedutan kisah perjuangan dan sejarah silat.

Rakan-rakan dan anak-anak dikasih sekalian,

  1. Kita perkenalkan Pendekar MADANI ini kerana kita mahu mertabatkan dan perkasa silat di negara kita. Kita mahu setiap sekolah, setiap kampung, setiap desa, setiap pinggir kota, ada kumpulan silat supaya membakar semula semangat dan daya juang orang-orang Melayu di negara kita.
  2. Sebab itu peringkat permulaan, saya ucap terima kasih kepada saudara Kamil Mumin dan Dr. Taufiq Johari kerana membantu menyelaraskan dengan rakan-rakan guru-guru silat yang handal di pentas in.i Saya ucap terima kasih kepada mereka. Tahun lalu, saya telah memberi pengakuan di Pulau Pinang dalam perhimpunan ramai menyatakan kita gempur dengan semangat Pendekar MADANI, kita adakan di setiap zon pada peringkat mulanya, dan saya ucap terima kasih kerana kita mula di zon utara dengan Sungai Petani sebagai pengkalannya.
  1. Apa istimewanya dengan silat ini? Istimewanya, kerana ia satu warisan sejarah, hebat, handal, perjuangan bangsa kita dalam keadaan belum ada apa-apa senjata melawan penjajah Belanda, Portugis, Inggeris. Kekuatan kita ialah kekuatan semangat roh perjuangan Islam, semangat membebaskan negara kita, dan semangat itu diserahkan kepada pendekar dan laksamana orang Melayu dengan kekuatan dan seni silat mempertahankan diri, dan merupakan benteng kepada negara kita.
  1. Saya lihat semangat itu dari sudut ini, sebab itu bagi saya yang kenal Samsunputra, anak kepada guru kita, dan tentunya lebih lagi kepada Dato’ Dr. Guru Cikgu Abdul Majid, saya lihat ada hubungan dia dengan dasar perjuangan kita dalam negara MADANI ini. Jaga disiplin, jaga akhlak, bertaut kepada keyakinan akidah Islam, perkukuh silaturrahim di kalangan kita, perkuatkan semangat dan roh perjuangan, dalam masa yang sama, hormat, terima kenyataan negara yang berbagai kaum dan agama.
  1. Tidak bermaksud memusuhi, tapi memperkuatkan diri dan jati diri. Itu bezanya. Ada orang salah anggap. Tetapi saya nak tekankan di sini, puluh tahun saya kenal, dalam masa suka duka, susah senang, pasang surut, ini yang saya faham dari semangat pendekar dan silat yang dipelopori kita.
  1. Jadi anak-anak, ingat apa yang diajar dalam silat ini? Ilmu, mulanya akidah, keimanan. Kekuataan kita itu kekuatan apa? Kekuatan Ibadur Rahman – hamba Tuhan. Kekuatan yang berasaskan keyakinan kita. Tetapi mesti terpancar, lahir dari akhlak yang baik. Bukan angkuh, bukan sombong. Bukan dengan ada sedikit latihan, menunjukkan keangkuhan kita. Tidak. Lagi pintar, lagi besar pendekarnya, lagi hebat latihannya, lagi gagah perkasa dirinya, lagi hormat memuliakan orang lain, lagi rendah diri, lagi tawaduk. Ini yang kita latih. Kerana apa? Kerana akhlak.
  1. Akhlak yang membentuk diri kita dan peribadi kita. Tetapi dalam silat ini juga kita latih kena ada ilmu. Bukannya ilmu pertahankan diri, tapi ilmu. Sebab itu anak-anak yang di sekolah mesti belajar. Orang yang Pendekar MADANI mesti juga pintar di sekolah, berilmu dan tunjuk keputusan yang cemerlang.
  1. Mudah-mudahan, anak-anak faham. Dunia berubah. Mesti ada kekuatan ilmu. Mesti ada kefahaman tentang teknologi. Mesti tahu semua itu yang baru. Tetapi, apa bedanya? Kita berakar kepada bumi kita. Kita tidak hilang budaya Melayu kita. Kita tidak lupa jati diri dan sejarah bangsa kita. Kita tidak pernah padam sejarah, liku-liku perjuangan bapak-bapak pejuang negara sehingga mencapai kemerdekaan dan berjaya sampai sekarang.
  1. Jadi, itu yang saya harap agar diteruskan, selain daripada kejuaraan Piala Pendekar, Himpunan Gema Pendekar MADANI, itu kita teruskan. Dan saya harap guru-guru kita di sini akan terus memastikan gerakan ini menjadi gerakan negara yang hebat. Dulu pernah masa Cikgu Dato’ Dr. Abdul Majid. Masih sihat, dikembangkan. Saya mahu ini dipulihkan oleh anak-anak beliau dan rakan-rakan supaya negara ini yang sekarang catat pembangunan dengan data center dan artificial intelligence – AI, dengan digital, dengan teknologi baharu, dengan industri, tetapi tidak pernah lupa akar budaya kita, Melayu dengan silat perkasa mereka, ini amanah.
  1. Jadi, sekali lagi saya nak katakan penghargaan kepada semua yang menjayakan majlis ini. Bagi pihak Kerajaan MADANI, yang saya juga menerima amanahnya akan menyatakan ya, kita akan terus bekerja memastikan negara ini Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia. Tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi. Orang-orang Melayu tidak hilang jati diri, nak angkat martabat, harakat, darajat bangsa dengan menimba yang baru, ilmu yang baru tetapi masih berakar kepada sejarah bangsa termasuk seni silat yang anak-anak harus perkasakan.
  1. Oleh itu, jayakan Pendekar! Pendekar! Pendekar!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: