TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS ANUGERAH TANGAN EMAS PERDANA MENTERI (MATEPM) 2026
5 November 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH TANGAN EMAS PERDANA MENTERI (MATEPM) 2026
5 NOVEMBER 2026 | KHAMIS | 3.00 PETANG
DEWAN AGUNG TUANKU CANSELOR,
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
Nahmadulu
Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi,
Menteri Kerja Raya;
Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan,
Menteri Sumber Manusia;
Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri;
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mewakili Kerajaan Negeri;
Rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah, pada hari ini kita telah dapat menyempurnakan acara yang tentunya ada kaitan dengan usaha negara keseluruhannya meningkatkan mutu kemahiran dalam bidang teknologi baharu dan industri, dan inilah sebabnya di antara lain kita teruskan dengan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan saya ucap terima kasih khususnya kepada Naib Canselor dan seluruh tenaga, kepada anak-anak di Universiti Teknikal Melaka (UTEM) kerana berikan kerjasama sepenuhnya menjayakan usaha ini, terima kasih.
- Dan kepada rakan-rakan dari tenaga KESUMA dan KKR, saya ucapkan tahniah kerana dapat melaksanakan program keseluruhannya. Program yang kita adakan ini, selari dengan bukan sahaja Dasar TVET Negara, lebih daripada itu, iaitu Pelan Perindustrian Negara, kemudian Kerangka Digital Negara. Kerana ini generasi baru yang bentuk, kaedah, metodologi dan pedagogi latihan itu agak berbeda daripada sistem pendidikan yang lazim dan biasa yang kita lalui. Sebab itu, saya nak beri penekanan di sini, bahawa sementara banyak institusi-institusi yang kita wujudkan tetapi ada juga kelainan dan keperluan untuk kita berikan tumpuan dalam bidang teknikal, dalam bidang vokasional, dalam bidang apa yang kita gabungkan sebagai STEM dan juga dalam bidang kemahiran, kepakaran baru.
- Ini dalam bidang pendidikan, malah dalam falsafah belanjawan ini pun kita kata apa? Kita popularkan moto “menggapai di langit dan mengakar di bumi”. Apa maksud “menggapai di langit” ini, anak-anak? Teknologi baharu, digital transformation, quantum computing, artificial intelligence. Itu seolah-olah meneroka di alam dan disiplin baru, ini disebut seolah-olah “menggapai di langit”, hal yang tidak terjangka dan tak tercapai dahulunya, jadi kita “menggapai di langit”.
- Tetapi jangan lupa, ini gedung ilmu. Pensyarah-pensyarah, pendidik, sebelumnya ibu bapa dan juga anak-anak itu dalam kerangka dan sistem pendidikan yang mahu dan berhasrat untuk membentuk manusia. Dan bila kita kata nak membentuk manusia dalam gendung ilmu ini, sementara kita “menggapai di langit” jangan kita terlupa untuk “mengakar di bumi”. Kita ini, ada manusia yang beragama, manusia yang mempunyai nilai, manusia yang mengerti kemanusian, manusia yang dilatih daripada kecil apa erti hak, apa yang batil, apa yang benar, apa yang palsu, apa yang makruf, apa yang mungkar.
- Oleh itu, soal “mengakar di bumi” ini ertinya bahasa, budaya, sastera dan kemanusiaan. Jadi jangan kita dalam keghairahan “menggapai di langit”, ketinggalan untuk “mengakar di bumi”. Atau pun terlalu asyik dengan permasalahan di bumi, terlupa bahawa untuk mengangkat martabat dan harkat manusia dan negara kita, kita mesti berusaha untuk meneroka, menerobos, disiplin alam pemikiran dan teknologi baharu.
- Bagaimana nak gabungkan? Haa itu kerja pensyarah-pensyarah bantu untuk cerakin dengan anak-anak supaya menghadam. Sebab kalau ditanya, kita ada Worlds Skill Competition tentunya salah satu ukurannya itu, kemahiran, kepakaran, keterampilan dalam bidang yang mesti kita kuasai. Dan kita lihat umpamanya, pencapaian dari pelbagai negara dan kecanggihan dan teknologi yang terangkat di Shanghai, China umpamanya. Jadi, ada bidang yang harus kita terus terokai, ada bidang yang harus kita pelajari dan asalkan jangan lupa akar, budaya, agama dan akhlak kita.
- Mengapa saya tekankan perkara ini? Kerana ada dua (2) cabaran. Pertama, cabaran disiplin ilmu. Bagaimana kita harus sentiasa membuka ruang. Jangan hanya berpuas hati. Ada kekuatan kita. Kadang-kadang menteri-menteri, Perdana Menteri, dia menceritakan kejayaan, ya betul, ada. Tetapi ada juga beberapa kelompongan, kelemahan yang harus kita perbaiki dan perbaiki segera.
- Saya beri contoh, ini, Menteri KPT pun ada, Sumber Manusia pun ada, Pendidikan pun ada, Alex pun ada dari KKR, kita berjaya lahirkan. Dan kalau tanya pelabur-pelabur mereka bangga dengan tahap pencapaian disiplin dan ilmu anak-anak kita, tapi bila diteliti lagi dari pelabur-pelabur besar, saya bagi contoh, yang betul-betul gergasi, pelaburannya itu puluh bilion ringgit, Infineon di Kedah, Nvidia di Johor, Google, Microsoft semua di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Itu kalau tanya, umumnya mengatakan anak-anak kita cukup disiplin, kerjanya rajin, ada kelayakan tetapi harus diberi tambahan bidang pengkhususan, disiplin tertentu. Ini yang mesti disahut secara segera oleh pimpinan universiti, maktab dan kolej supaya anak-anak kita bukan sahaja cukup terlatih, tetapi memenuhi keperluan.
- Mengapa saya sebut begitu? Bila saya jumpa pimpinan Infineon, dia memerlukan segera 3000 jurutera ataupun separa, bukan semestinya jurutera, anak-anak yang dilatih dalam bidang kejuruteraan dan disiplin, tetapi punyai kemahiran tambahan dari beberapa disiplin baru dan artificial intelligence. Dia nak perlu berapa? Di Kedah sahaja, 3000.
- Semalam kita dapat berita baik, Google dari Amerika Syarikat, melalui pimpinannya Ruth Porat yang datang, mengumumkan, bukan saya umumkan, dia umumkan keputusan mereka setelah menilai kemungkinan pelaburan di beberapa negara termasuk beberapa negara ASEAN, mereka telah muktamadkan bahawa Google akan melabur RM61 bilion di Malaysia. Saya duduk, ambil kesempatan berbincang dengan Ruth Porat. Saya juga guna teks WhatsApp dari semasa ke semasa dengan dia, minta dia terus terang bicara dengan saya. Jangan ikut protokol. Bagi tahu betul-betul apa kekuatan, apa kelemahan. Kekuatannya, dia kata dia pilih Malaysia kerana negara ini politiknya stabil. Tak kucar kacir. Adalah sikit-sikit rungutan, itu biasalah pilihan raya di Melaka, ngok ngek ngok ngek, itu biasa, bukan masalah, betul Zambry ya.
- Kemudian, tapi dia kata stabil, tidak ada rusuhan, tidak ada Kerajaan bertukar ganti seperti dahulu empat (4) tahun, tiga-empat Perdana Menteri. Keyakinan tentu, orang tunggu, tunggu-tunggu, orang tunggu masa. Kalau pimpinan bertukar dan dasar bertukar. Bila politik itu stabil, kemudian dasar dia, apa yang dikatakan, clarity in policies, economic policies yang jelas orang tahu, kalau dia nak labur dalam bidang AI, dia tahu ini dasar kita, Industrial Master Plan ini dasar kita.
- Dan terima kasih kerana pelaksanaan KSU di Kementerian dan Ketua Pengarah dan Setiausaha Kerajaan Negeri di negeri, itu laksanakan dengan tekun, ada program laksanakan, jangan lengahkan. Ini yang menyebabkan orang yakin sehingga saya katakan Google RM61 bilion untuk Malaysia, ini satu hadiah besar bagi negara kita. Tapi bila saya tanya Ruth Parot, apa yang dia perlukan? Dia kata, “yes, yes., again, I’m very proud of the workforce, very well disciplined, very hardworking, qualified.” Is that all? “No.” What else? “Well, they need further upskilling. They need further training to ensure that the level of specialization and expertise be further enhanced.”
- Walaupun dii Amerika dia tak kata “enhanced”, dia kata “enhanced” (slang Amerika). Be further enhanced (slang Amerika). Tapi apa maksud dia? Maksud dia baik. Training di universiti membanggakan dan ada kesediaan tenaga pengajar, pensyarah, profesor yang cepat mengambil langkah ubah suai. Tetapi masih ada ruang yang banyak yang harus diperbaiki. Bayangkan, saya ingat dia umumkan beberapa puluh ribu tenaga kerja baru yang dia perlukan di Google sahaja. Ini akan membantu kita. Bagaimana lagi cara Kerajaan saya nak tolong anak-anak dapat kerja? Itu kena tarik pelaburan. Kalau pelaburan tak datang, setakat kita, tak mampu kita cari kerja untuk puluh-puluh ribu orang. Jadi, alhamdulillah.
- Pagi tadi, di Klang, di Pelabuhan Klang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, saya rasmikan Syarikat Daiso, syarikat Jepun, dengan logistik hub terbesar di negara kita, dan kedua terbesar ketimbang negara Jepun. Pelaburannya RM1.5 bilion, tetapi ini menjadi hub di pelabuhan yang terbesar dengan kapasiti untuk eksport yang begitu tinggi melonjak dua kali ganda daripada keseluruhan kekuatan yang ada di Pelabuhan Klang. Jadi menunjukkan keyakinan pelaburan itu ada, cabaran kepada kita ada, kerana dia boleh bawa juga teknologi tercanggih, dia proses turn around itu dengan kepantasan yang luar biasa.
- Mengapa saya cuba lontarkan maklumat ini kepada anak-anak? Itu menunjukkan bahawa keperluan anak-anak baik di UTEM ini, dan juga anak-anak dalam bidang yang sama di institut pengajian yang lain, itu peluangnya ada. Tidak cukup dengan bentuk latihan sekarang, tetapi mesti ada kesungguhan, disiplin dan kecintaan kepada ilmu ini. Jadi saya harap dengan majlis seperti ini, Anugerah Tangan Emas, saya tak tahu siapa yang bagi nama Tangan Emas Perdana Menteri ini. Saya tangan saya tangan kampung. Nama kampung saya pula bukan kampung macam Melaka ini, bukit pun tidak, kampung saya nama Cherok Tok Kun, macam mana pula tangan emas, tangan perak pun tak boleh.
- Tapi yang saya, tentulah kita hargai, terima kasih, kerana yang nak menjayakan suatu program itu tentunya ramai. Bukan sahaja kementeriannya, negerinya, universitinya, tetapi anak-anaknya dan seluruh tenaga yang menjayakan. Sebab itu, bila saya kata “mengakar ke bumi” ini saya memang passionate sikit cerita ini. Kadang-kadang kita lupa, tanya anak-anak, asal daripada Ulu Melaka, kampung pedalaman, tapi kadang-kadang bila dia naik kedudukan dia, dia lupa akar dan cara dia bertindak, bekerja sebagai pegawai, peniaga atau orang politik, itu sudah hilang pedoman dan akhlaknya. Ada peluang, dia lupa. Pada hal ini akar ke bumi. Di mana akhlak dia? Di mana disiplin dan prinsip hidup dia? Di mana nilai, makruf dan keagamaan dia? Mana kemanusiaannya? Dilatih, belajar di institut daripada darjah 1 sampai ke universiti, 11, 12, 13 tahun. Tetapi nilai kemanusiaan tidak ada. Hina orang. Tengok orang dan nilai dari segi darjat. Yang miskin. Nilai hina orang kerana agama yang berbeda. Kaum yang berbeda. Jadi, pendidikan apa yang kita asah dan asuh itu?.
- Dah dengar, tak boleh elak. Kalau kita tidak mengelak daripada fahaman ini, maka sistem pendidikan kita itu tidak berjaya. Sistem pendidikan itu, sekali lagi saya tekankan, seperti mana yang menjadi motor dalam pendidikan kita, “Addabani Rabbi Fa Ahsana Ta’dibi.” Kerana dalam pendidikan hadis Nabi Muhammad SAW, tidak boleh terlepas daripada membentuk adab. Sebab itu, Menteri Pendidikan dia runsing, saya tak boleh terima. Di sekolah, di universiti, yang kuat sikit, daripada kecil belajar terajang orang. Yang kaya sikit, hina orang. Ini, unsur-unsur buli ini daripada awal. Sebab itu, kita tak boleh tolak-ansur. Sebab sistem pendidikan itu membentuk adab dan akhlak.
- Kita nak ajar anak-anak jadi pintar ini. Teknokrat, specialization dalam bidang yang berbagai, tetapi ini bukan saja yang ditekankan dalam Islam, selalu saya popularkan pemikir Sepanyol, Ortega y Gasset dalam “La rebelión de las masas” buku Sepanyol, “The Revolt of the Masses” tahun 1930-an, 40-an dia dah sebut dah. Jangan pengkhususan kepandaian, kepintaran, specialization menjadi jurutera terkemuka, teknokrat terkemuka dapat hadiah-hadiah ini, tetapi, hilang nilai keinsanan kemanusiaan kita. Tidak ada terkesan langsung. Dengar ada orang yang tersiksa, tertekan, dan orang yang menghina satu sama lain, itu dia tidak memberi kesan. Jadi perdidikan itu tidak menyentuh hati sanubari atau mengetuk dhamir, pintu hati dia. Ini cabaran yang besar. Saya tidak jemu ulang hal ini walaupun ya, kita bicara hal ini. Bidang teknikal, teknologi, TVET, kerana kita sebenarnya masih mendidik manusia. Kemanusiaan inilah yang menetapkan kita berbeda dengan lain.
- Saya kebetulan ikuti perkembangan terkini di Amerika. Salah seorang yang menang, seorang Muslim yang menang di Michigan itu, dia menggunakan kenyataan gesaan daripada Saidina Ali bin Abi Talib R.A yang pernah saya popularkan. Itu kalau kita ini betul-betul hadam jadi seorang Muslim yang baik, bila ditanya hubungan kita sesama Islam, apa dia? Itu dia sebut tetapi dalam bahasa Inggeris, tapi dalam teks asalnya yang lebih kurang, hubungan sesama manusia, di kalangan pelajar-pelajar ini ada, ya majoriti Melayu, tapi ada Cina, ada India, ada Muslim, ada Kristian. Dan kalau ada yang dari Sabah, Sarawak tentunya Iban, Kadazan, Dayak macam-macam. Sebab itu jawapan Saidina Ali ini sangat penting, kerana Saidina Ali itu dianggap seorang ilmuwan yang cemerlang, selain daripada akhlak dan hikmah dia.
- Bila ditanya Saidina Ali, apa beza dia antara Muslim dengan bukan Islam, tentunya beza kan, dari segi akidah ada beza. Jadi Saidina Ali jawab tepat, di antara Islam dengan bukan Islam itu, “Akhukum fiddin” saudara kamu seagama satu akidah Di antara Kristian dengan Kristian, dia ada satu keyakinan, satu kepercayaan. Okey, kita terima. Ini antara Muslim, “Akhu fiddin”. Jadi, soalan yang kedua, kita di Malaysia ini kan, ada kaum-kaum lain. Bagaimana hubungan Muslim dengan bukan Islam? Jawapan Saidina Ali, dia guna istilah “Akhukum”, saudara kamu. Ingat? Yang pertama, saudara kamu sesama agama. Yang kedua, saudara kamu “Akhukum fil insaniah”, saudara kamu sesama manusia. You tengok kategori kita kerana ini terikat dengan ayat Al-Quran yang mengangkat darjat kemanusiaan yang disebut karamah insaniah.
- Cuba kalian fikirkan kalau kita semua ini orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan fikir ada kepercayaan agama masing-masing okey, tetapi kita ini saudara semanusia, bukankah aman negeri ini? Jadi di kalangan anak-anak itu mesti dilatih begitu, jangan dirasuk pula lagi. Belajar sampai pengajian tinggi, jadi jawatan-jawatan tinggi, pengarah, professor, tapi pemikirannya itu, pemikiran yang sangat jumud dan kolot dan tidak manusiawi. Sebab itu, saya tekankan di sini, “mengapai di langit, mengakar di bumi”, supaya kita dapat mendidik manusia.
- Tentunya dalam acara hari ini, kita tekankan lebih dalam bidang kemahiran dan kepakaran. Kerana tanpa teknologi, tanpa kepakaran teknikal, Malaysia tidak dapat terangkat sebagai negara maju. Jadi saya harap kita jangan lupa bidang ini. Dan bidang-bidangnya terlalu banyak, terlalu baru. Tadi dengan Anthony Loke saya bicara tentang Logistics Hub. Rupanya ada beberapa bidang dalam Logistics Hub itu yang baru. Jadi saya katakan tolong catat, beritahu mana-mana universiti supaya terus adakan latihan, supaya kita boleh memenuhi keperluan industri tersebut. Tapi dari segi asas tidak lari, “mengakar ke bumi” jangan lari.
- Kemudian Google semalam, semasa meluncurkannya di Universiti Malaya, Ruth Porat dari Google International menyebut tentang bidang kemahiran, quantum computing, AI dan dia rasa perlu, dan saya terbuka minta dia beritahu apa jurusan bidang kemahiran yang boleh dia bincang dengan profesor-profesor di Universiti Malaya dan Universiti lain supaya dapat disesuaikan. Kalau dia perlukan 10 ribu orang dalam bidang itu, universiti mesti cuba segera sesuaikan dengan keperluan mereka.
- Jadi, rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian, sekali lagi lah saya nak ucapkan, setinggi-tinggi penghargaan. Ini anak-anak ini harapan kita. Harapan negara kita. Saya ini, mewakili satu generasi yang lalui liku-liku yang berbeza. Tetapi, dengan rakan-rakan saya, apa yang kita harapkan? Kami punyai cita-cita. Cita-citanya besar iaitu agar negara ini diwarisi oleh anak-anak yang punyai keterampilan. Anak-anak yang boleh mendapat kadar upah yang jauh lebih baik. Anak-anak yang dapat terdedah dengan teknologi yang paling canggih dan mengangkat Malaysia sebagai satu contoh negara yang maju dan termaju di rantau ini.
- Dan ini harapan saya kepada rakan-rakan universiti ini dan juga anak-anak, terutama yang berjaya dan yang terus berusaha meningkatkan keupayaan mereka. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya rasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri.
