TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PM : SESI YAB PM BERSAMA WARGA FELDA DAN DISUSULI MESYUARAT BERHUBUNG STATUS PELAKSANAAN PELAN STRATEGIK HALATUJU FELDA 2026 – 2030

5 Mac 2026

VERBATIM TEKS

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

SESI YAB PM BERSAMA WARGA FELDA DAN DISUSULI MESYUARAT BERHUBUNG STATUS PELAKSANAAN PELAN STRATEGIK HALATUJU FELDA 2026 – 2030

5 MAC 2026 (KHAMIS) | 9.30 PAGI

MENARA FELDA, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Saudara Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek,

Pengerusi FELDA; dan

Seluruh keluarga FELDA, FGV dan semua yang terlibat dalam mengangkat martabat FELDA ini.

 

Saudara KSN,

Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama sekali lagi. Setahun berlalu, dan tahun ini saya datang dengan perasaan yang lebih lega dan positif kerana pengarahan yang kita lakukan tahun lalu untuk mencari hala tuju baharu, mengangkat kedudukan, memperbaiki prestasi dan menoleh ke depan meninggalkan legasi yang kadang-kadang merumitkan, itu dari angka-angka yang kita perolehi, bukan sahaja dari pengurusan – Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati, tetapi juga dari pasukan khas yang saya bentuk untuk membantu saya juga untuk melihat keseluruhannya; Datuk Fuad, Wahid, Nungsari dan beberapa lain termasuk wakil-wakil dari Kementerian, saya telah melihat itu semua, saya lihat luar biasa tekad, kesungguhan, semangat golongan profesional dan pekerja, keluarga FELDA untuk mahu mengangkat martabat dan menjamin kejayaan.

 

  1. Sepertimana saya bisikkan kepada saudara Ahmad Shabery Cheek sebentar tadi, kalau kita ambil dan punyai iltizam, fokus, kita boleh lakar sejarah baru. Kita tidak mahu lagi FELDA menoleh ke belakang, walaupun ini satu legasi yang tidak dapat kita padam, tetapi melihat kepada angka-angka terkini, prestasi, pengeluaran hasil, kebijakan dalam memastikan pelaksanaan program yang berteraskan kepada tatakelola yang lebih baik, ternyata tenaga, kepimpinan, pengurusan dan pekerjanya menunjukkan keupayaan dan kebolehan yang amat membanggakan dan saya bagi pihak Kerajaan dan Malaysia keseluruhannya ingin memulakan dan menyatakan Alhamdulillah, jazzakumullah khairan, terima kasih dan menghargai sumbangan saudara-saudara.

 

  1. Kebetulan ini sempena Ramadan, saya bacakan ayat al-quran yang terkait dengan penurunan wahyu Al-Quran sebagai pedoman kita, bulan unzila feehil Qur’aanu – turunnya Al-quran, untuk apa? hudal linnaasi – petunjuk kepada manusia, membaca, menghadam, memperolehi pengajaran daripadanya. Kalau tidak dia tidak akan menjadi petunjuk.

 

  1. Bagi Malaysia yang mempunyai kedudukan yang jauh lebih baik dari semasa ke semasa, dan relatif sangat aman Alhamdulillah, ketimbang perkembangan-perkembangan yang kita lihat di rantau, umpamanya sekarang di Teluk Arab dengan Iran dan dengan derita, sengsara umat Islam Gaza, kita lihat ada keadaan yang unik, yang tersendiri, maka manfaatkanlah kekuatan ini.

 

  1. Saya kata petunjuk bagi manusia ini bagi yang beriman, bagi yang berilmu, bagi yang menetapkan nilai yang baik, bagi yang mempelajari dan menelaah sebaik mungkin. Ini yang dikatakan hudal linnaasi. Petunjuk bagi manusia, dia bukan petunjuk sekadar mengangkat kedudukan kita dari segi teknologi baru. Itu satu kewajaran dari segi transformasi digital yang menjadi satu penekanan dari segi dasar, yang meletakkan kita dan memberi keupayaan untuk mengalih dari segi yang kita sebut transisi tenaga. Ini semua kemestian dan keperluan. Tapi bezanya kita sebagai manusia yang dikaitkan dengan hudal linnaasi, ia adalah kerana iman kita, kerana nilai kita, kerana keupayaan kita menentukan berdasarkan prinsip moral yang kukuh. Kita tahu apa itu kebenaran, apa itu keadilan, apa itu hak, apa itu batil, apa hujah berdasarkan nilai dan akhlak dan membezakan di antara fitnah dan maki hamun dan cacian. Ini kekuatan yang harus kita bina apa lagi tatkala di bulan sekolah atau Madrasah Tarbiyah Ramadan.

 

  1. Hudal linnaasi dan ayat ini sebenarnya menyambung setelah hudal linnaasi – petunjuk kepada manusia, wa bayyinaatim minal hudaa wal furqaan, diperkukuh dengan menyatakan bahawa sebenarnya turunnya Al-Quran itu untuk petunjuk kepada manusia mengupayakan kita untuk memberikan satu pertimbangan nilai di antara yang baik dan yang buruk, yang hak dan yang batil, yang benar dan yang palsu. Sebab itu disebut berdasarkan yang kita lihat ini, wa bayyinaatim minal hudaa, petunjuk dan menilai wal-furqān. Demikian tazkirah pada pagi ini, sekadar mengingatkan kita bersama bahawa madrasah Ramadan ini bukan sekadar ritual, kita masalah umat Islam ini di mana-mana. Ramai yang puasa ada juga yang tidak puasa, tapi ramai yang puasa. Kalau Umrah penuh, tetapi ujian itu adalah pada amalnya. Yâ ayyuhalladzîna âmanustajîbû lillâhi wa lir-rasûli idzâ da‘âkum limâ yuḫyîkum (Al-Anfal:ayat 23), ujian itu menyeru semua seru. Semua seru ke arah kebaikan. Bila saya ambil alih dan fikir soal tatakelola, semua bicara soal anti-rasuah, tapi bila lihat-lihat fail banyak yang terpalit kecil dan besar. Dan bukan itu sahaja, yang toleranyang boleh menerima ini sebagai satu budaya. Sebab itu dalam Al-Quran seruan asas ini menyeru istajîbû lillâhi wa lir-rasûli. Tapi bagaimana test nya? idzâ da‘âkum dengan menyampaikan limâ yuḫyîkum – dan menghayatinya. Ujiannya itu dalam penghayatan.

 

  1. Orang yang beri amanah sebagai Menteri, sebagai Pengurus, sebagai peneroka, sebagai ibu dan bapa, itu masing-masing amanah, ujiannya itu pada penghayatannya bukan pada pengucapannya. Semoga peringatan ini di bulan Ramadan dijadikan kesempatan apalagi Nuzul Quran. Nuzul Quran itu terkait langsung dengan ayat Al-Quran yang dibacakan tadi, turunnya Al-Quran.

 

  1. Jadi saudara-saudara, kita beralih kepada soal FELDA. Dan sekali lagi, saya tadi mulakan dengan cerita yang agak membanggakan, kadang-kadang kita lihat yang menyusutkan, dan media, liputan seluruhnya lebih senang dengan cerita-cerita sensasi. Pada hari ini saya ingin mengajak mereka sama-sama mencatat cerita dan kisah dan penceritaan yang membanggakan. Di antara institusi dan agensi ulung yang pernah diasaskan oleh Almarhum Tun Abdul Razak, ada masa pasang dan surut, surutnya itu surut melelahkan, tetapi Alhamdulillah kalau mahu lihat keupayaan generasi baru termasuk anak-anak muda dan pengurusan membuktikan bahawa ada upaya dan bukti bahawa boleh diangkat semula prestasi, lihat Felda hari ini.

 

  1. Angka-angka detail-nya boleh diterbitkan kemudian, tetapi tentu saya akui dia bermula dengan kesediaan semua pihak. Mula saya datang, saya cadangkan pasukan khas di luar, tapi ambil orang-orang yang punyai pengalaman, punyai kepintaran untuk bantu, dan saya tidak lihat apa umpamanya rasa keresahan ataupun sikap agak tegang di dalam pengurusan. Ia diterima dengan baik. Betul Suzana, ya? Terima baik, dengar, ubah suai dan bila saya dapat lihat laporannya, saya lihat kerjasama yang sangat baik. Kerana bila ada kesediaan untuk bekerja sebagai satu pasukan, kita dapat saksikan prestasi yang jauh lebih baik.

 

  1. Dan ini termasuklah satu hal yang dulu, yang akibat legasi, kita kena nyah senarai FGV. Tapi keputusan yang saya sebut tadi melelahkan kerana dia akibat daripada permasalahan besar. Tetapi keputusan itu kini dijadikan sesuatu yang membina. Penyahsenaraian itu sekarang ini menjadi pemacu utama untuk mengangkat kedudukan FELDA, Alhamdulillah.

 

  1. Ini kalau pernah ada teori political economics ni, Wahid mungkin tak setuju dengan saya, ini contoh. Yang menyebut tentang Joseph Schumpeter. Dia bicara tentang sejarah pasang surut perkembangan ekonomi makro. Ada ketikanya naik, ada ketikanya turun. Tapi bila turun merosot, apa yang harus dia lakukan? Dia gunakan ungkapan a gale of creative destruction. Eh bagaimana? Creative destruction itu ada pola juxtaposition atau pertembungan, pembenturan, dua konsep. Satu runtuh – Satu kreatif. Dia diungkapkan di situ maknanya dalam keadaan runtuh itu, dengan kecekalan kita, kepintaran kita, memanfaatkan kebijaksanaan, keupayaan kita untuk mengangkat, jadi kreatif. Runtuh itu boleh membinasakan. Runtuh itu boleh mengajar kita.

 

  1. Pertama, jangan ulang sebab musabab yang mengakibatkan keruntuhan itu. Kerakusan, tamak haloba, tatakelola yang bobrok, itu yang menyebabkan destruction. Kreatif untuk mencari jalan, apalagi kita sebagai orang Islam, tatakelola yang baik, amanah, berprinsip, rajin dan juga yang utama ialah pertanggungjawaban, atau Kullukum ra’in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi.

 

  1. Jadi, dia kata, gale of creative destruction. Bila ada masalah keruntuhan, dia bicara soal ekonomi pada ketika itu 30-an, 40-an. Kemudian, bila ada destruction, kemusnahan, kerosakan, tapi memanfaatkan dengan creative destruction. Bila dia destroy, tak upaya, kita kata tidak. Tak boleh, jangan kata nak tulis sejarah tak, tak, tak betul. Tak pernah rosak? ada rosak, tapi rosak yang terus membinasakan, atau gunakan, mempelajari, perbaiki dan jadi dengan kreativiti kita mengangkat semula. Saya lihat kalau contoh yang baik tentang creative destruction ini, kita belajar daripada FELDA.

 

  1. Kemudian keistimewaan tadi dibicarakan tentang prestasi, produktiviti. Ada Ahli Lembaga mengatakan tengok produktiviti kita sudah terangkat. Baik, saya jawab, ya tak sebaiknya kita mesti naik semaksimum mungkin. Tetapi keistimewaan yang ada pada FELDA, tidak ada pada syarikat-syarikat swasta yang lain ialah soal koperasinya Pak Long, ya?, kebajikan penerokanya, kemudahan asasnya, masalah sosialnya. Ada dibicarakan dalam syarikat-syarikat lain, tetapi tidak seberat di FELDA. Ini bukan sahaja syarikat, ini economic exercise, tetapi ia juga social enterprise. Dan bila sosial itu, dia menyeluruh, pendidikannya dan sebagainya.

 

  1. Sejak saya ambil alih, saya beritahu saudara Shabery, FELDA ambil sikap terbuka, ini selain isu-isu yang melibatkan soal pembangunan keseluruhannya. Maka, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya mengarahkan semua Jabatan dan Kementerian, ada projek, ada paa-apa ikhtiar baru, jangan tinggalkan FELDA sebagai sebuah kawasan yang terasing. Yang dulu begitu. Maknanya FELDA ada upaya, katanya bangunkan sendiri. Jadi dia terkepung dalam satu pulau asing dia, Pulau Bilut dan sebagainya. Tetapi, saya kata tidak boleh begitu. Setiap kemudahan Kerajaan, dari sudut kemudahan pendidikannya, sosialnya, semuanya, jangan tinggalkan. Jadikan kawasan FELDA itu sebahagian dari projek pembinaan dan pembangunan negara kita. Dan itulah sebabnya mengapa curahan dari segi kemudahan asas itu dalam satu tahun, ratusan juta ringgit turun ke kawasan FELDA.

 

  1. Dan ini menjadi dasar yang kita tekankan dan saya minta rakan-rakan pengurusan dan FELDA, lembaga dan sebagainya beri pandangan apa lagi yang harus kita usahakan. Malah, tadi dalam perjumpaan itu saya sebut tentang program Sambutan Aidilfitri, saya kata akan anjurkan di kawasan FELDA di Pengerang. Dan untuk Hari FELDA saya minta pengurusan fikirkan, boleh tak kali ini kita buat sambutan 70 tahun ini, tidak di dewan, tidak di kota, tapi kita sambut dengan semangat besar-besaran di kawasan FELDA sendiri.

 

  1. Serah kepada kebijaksanaan saudara-saudara untuk melibatkan, nampaknya tak tahulah dia homestay ke, buat pondok ke, takde cukup hotel di situ, itu masalah saudara fikirkan. Saya yang tahu, saya pergi rasmi lepas tu tengok-tengok sikit kemudian balik.Jadi Koperasi, KPF, KGFB, FELCORP, semua ini harus dilibatkan secara langsung dalam acara sambutan ini dan saya akan juga cuba ajak pimpinan negara sebanyak mungkin dalam satu hari itu, ada acara-acara mereka supaya mereka juga terlibat di kawasan dan program berikutnya.

 

  1. Dan tentunya sebagai satu agensi dan kini menjadi satu corporate entity yang punyai asas masyarakatnya, keutamaannya juga ialah menjamin supaya pendapatan itu lumayan dan kewangan itu stabil. Ini saya nampak maju ke arah itu, dan saya harus ucap terima kasih bukan sahaja kepada pengurusan utama, pengurus dan pekerja di semua peringkat dan peneroka juga, tetapi juga rakan-rakan yang membantu memberikan idea. Dan ini disebut dalam Pelan Fajar Baru yang juga mengambil kira merasionalisasi aset dan kos FELDA.

 

  1. Kemudian dalam program-program saya lihat umpamanya, apa yang kita bicarakan sebagai agenda nasional, transformasi digital. Itu dalam operasi FELDA itu dimasukkan sebagai satu agenda yang penting. Transformasi digital, operasi FELDA. Jadi saya ucap sekali lagi tahniah. You are fast, you are smart, yang boleh melakukan. Dan ini tentunya melalui inovasi rantaian nilai, soal kemampanan dan kreativiti yang terus dilakukan. Tetapi ingat, mendasari ini semua, bukan sahaja berdasarkan pengalaman FELDA tapi pengalaman negara kita dan negara-negara berkembang yang lain. Jangan tinggalkan asas tatakelola ini.

 

  1. Saya pernah sebut berulang kali, yang hilang, yang bocor ini bukan RM10 bilion, bukan RM20 bilion. Kalau ambil tahun-tahun berikut itu puluhan bilion ringgit. Memang saya menerima cemuhan ramai yang tidak senang. Dia kata mual dengan isu tatakelola dan rasuah. Saya nak bagi contoh, di Parlimen minggu lalu saya tegaskan sekali lagi. Dengan kecekapan dan kecekalan PDRM, AMLA, SPRM, LHDN, Bank Negara, kerja sebagai satu pasukan, dalam setahun setengah, dua tahun, berapa yang kita boleh rampas dan selamatkan? RM15.5 bilion. Saya pun hairan, dia tak jadi satu hal yang menarik minat orang kita. RM15.5 bilion itu boleh bangunkan, boleh selamatkan permasalahan FELDA sepenuhnya. Sekolah dalam seluruh negara kita, hospital. Tetapi itulah.

 

  1. Ini bukan teori. Ini dah kita rampas, kita dah ambil. Dalam tangan Perbendaharaan, RM15.5 bilion, cash and assets. Dari mana wang itu? Dari penyamun dan penyangak dan perasuah. Mudah? tidak mudah. Bukan sahaja Perdana Menterinya, Menterinya dan agensi-agensi, dia kecam, lumat oleh orang politik, oleh civil society dan oleh badan-badan international, termasuk media internasional. Dulu masa kita tak lakukan apa-apa, kita dipuji. Sekarang bila kita ambil dan ambil tindakan, semua tak kena.

 

  1. Saudara, di Dewan Felda ini saya nak beritahu, apapun ujian, kita doakan kehadrat Allah SWT, di bulan Ramadan Mubarak, Kullu ‘am wa antum bikhair. Ucap kepada semua, insya-Allah kita akan tegas dan pastikan dengan kuasa yang ada kita selamatkan dan perbaiki tatakelola negara kita dan selamatkan negara kita dari penjangak itu.

 

  1. Ini bukan theoretical prescription. Ini bukan andaian dan igauan. Ini kenyataan dan penghargaan kepada badan penguatkuasa yang dalam satu setengah tahun telah kumpul RM15.5 bilion. Cuba saudara renungkan. Ini bukan a small feat. Maknanya selama ini ke mana wang itu? Dan mengapa sistem kita ini mengizinkan? Dan sekarang ini yang jadi target pelaksanaannya, mengapa sistem itu mengizinkan?

 

  1. Kita bicara semua isu skandal-skandal kewangan dulu, BMF dulu ke 1MDB, dan sekarang kita dah lihat kepincangan ini, kerana kita bicara soal Islam, soal akhlak dan soal nilai, tapi kita tidak menghayatinya dan tidak ada kesedaran yang meluas. Walaupun ditingkatkan dalam prinsip, termasuk turunnya Al-Quran itu untuk memberi kesedaran, pencerahan kepada kita. hudal linnaasi belum terangkul.

 

  1. Mudah-mudahan kita manfaatkan sisa Ramadan ini untuk menambahkan amal kita dan berdoa kehadrat Allah SWT. Mudah-mudahan kita dapat diberikan hidayah untuk menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat, negara kita tercinta dan umat Islam dan kemanusiaan keseluruhannya.

 

  1. Ada isu-isu yang khusus yang dilakukan termasuk sepertimana yang dilaporkan tadi: isu legasi tanah, modal insan. Dan saya menaruh keyakinan kepada pengerusi dan rakan-rakan untuk cuba perbaiki dan selesaikan. Dan dengan FGV, rangkul kekuatan bersama untuk membantu memberikan satu imej dan menjamin prestasi baru yang lebih baik.

 

  1. Saudara-saudari dalam satu minggu ini, kita, dunia dikejutkan dengan serangan Zionist Israel dan Amerika Syarikat ke atas negara Islam Iran. Tentunya mengusarkan kita dan menunjukkan kelemahan yang ketara dunia Islam ini, untuk menyuarakan pandangan pun tak ada upaya. Bukan untuk lawan, untuk suarakan boleh dikira dengan jari. Untuk ucap takziah kepada Imam Ali Khamenei yang terkorban, beliau dan sebahagian anggota keluarganya, ini dibom oleh Israel. Boleh kira. Hari-hari kita lihat, saksikan pembantaian yang dimulakan oleh Israel dan Amerika. Tidak ada upaya. Dan lebih menyedihkan ialah kerana kita agak lupa tentang derita rakan-rakan kita di Gaza dan Palestin.

 

  1. Tidak ada negara di dunia yang menghadapi kekejaman, pemerkosaan, perampasan tanah, pembunuhan anak-anak, bayi, pemusnahan hospital, sekolah hari-hari selama 70 tahun. Tidak ada yang hadapi itu, dan kita tidak ada upaya.

 

  1. Sebab itu saudara-saudara, renunglah sebentar di bulan Ramadan Kareem, tentang nasib umat dan mengapa kita harus kukuhkan perpaduan. Kita ada keupayaan, bersihkanlah diri kita dan negara kita dari gejala yang boleh memusnahkan kita. Ada keupayaannya. Kita masih ada keupayaan. Jaga FELDA, kita jaga hospital, kita jaga sekolah, kita jaga jalan kita. Kita masih ada keupayaan dan tidak ada orang datang memusnahkan tiap hari seperti yang berlaku di negara sana. Gunakanlah keadaan itu sebaik mungkin.

 

  1. Itu sahaja yang saya nak gesa. Pesan dari hati ke hati. Ini bukan soal singgungan, soal-soal lain. Saya hanya dari perasaan yang terpancar, tercerna dari hati sanubari, dari dhamir bahawa kita patut manfaatkan keamanan kita, keupayaan kita, lakukan sebaik mungkin untuk menjamin masa depan kita yang lebih baik.

 

  1. Mudah-mudahan Allah memelihara kita, memelihara keluarga FELDA dan memelihara Malaysia tercinta daripada apa-apa malapetaka dan bencana, dan mengangkat maratabat kita sebagai insan fi ahsani taqwim.

 

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

 

Share: