TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PM : MAJLIS PERASMIAN SKIM USAHAWAN BANGKIT NEGERI KELANTAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SKIM USAHAWAN BANGKIT NEGERI KELANTAN
31 OKTOBER 2026 | SABTU | 5.00 PETANG
PERKARANGAN AEON MALL,
LEMBAH SIREH, KOTA BHARU, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi
Wa kafa billahi syahida
Wa nusalli ‘ala Rasulihil Karim
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud,
Menteri Besar Kelantan;
Yang Berhormat Mulia Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Bin Tengku Feissal,
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan;
Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Sahibus Samahah Mufti;
Yang Berbahagia Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri; dan
Rakan-rakan.
- Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana pada petang ini bersama-sama dalam upacara yang ringkas untuk merasmikan dan menjayakan program yang sedia dijalankan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan.
- Saya ucap terima kasih atas kesediaan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar untuk beri kerjasama kerana hubungan ini harus kita teruskan, kerana yang penting dalam konteks ini adalah bagaimana kita angkat keupayaan penjaja dan peniaga kecil, terutama Melayu di negeri-negeri.
- Negara kita catat pertumbuhan yang alhamdulillah sangat membanggakan, tetapi angka pertumbuhan yang baik, pelaburan yang sangat tinggi, pertumbuhan 6% itu sukar dicapai oleh kebanyakan negara, dan begitu juga pelaburan yang tinggi. Dan sekarang ada teknologi baharu sepertimana yang kita sedia maklum, artificial intelligence, digital, kuantum dan pelbagai.
- Betul, kita baca dan ini perlu sepertimana kita sebut kepada anak-anak di sekolah, kalau kita tidak kuasai ilmu baharu, teknologi baharu kita akan ketinggalan. Dalam persaingan negara-negara maju, kita akan ketinggalan, tercorot di belakang. Sebab itu, kita bawa teknologi baharu termasuk permulaan sehingga ke peringkat rendah pelajar, AI atau artificial intelligence. Tetapi, sebagaimana juga dasar dalam pendidikan kita, kita tidak boleh terlepas daripada jati diri kita, sebab itu, moto pendidikan dan pembangunan negara dan belanjawan kita sebut “Menggapai di langit, mengakar di bumi”.
- Apa maksud “Menggapai di langit”? Kerana kita cari teknologi dan ilmu baharu yang tidak terjangkau oleh ibu bapa kita dahulu. Tapi, kalau kita lambat, lembap, kita akan ketinggalan. Kita akan jadi negara yang mundur seperti banyak negara-negara Muslim yang lain, maka kita harus kejar. Sebab itu, anak-anak mahasiswa ada di sini umpamanya, ada juga disiplin dan mata pelajaran baharu, dan merentas semua itu, AI itu akan diwajibkan. Kalau dulu komputer sekarang AI.
- Tetapi apa kelainannya di Malaysia ini? Kelainannya ialah kita ini bangsa dan umat yang ada dasar hidup dia. Dan sebab itu, sementera kita “Menggapai di langit” kita harus “Mengakar di bumi”. “Menggapai di langit”, teknologi, pelaburan baharu. “Mengakar di bumi”, kita ini Melayu, budaya Melayu, akidah Islam, akhlak dan nilai, kerana ini membedakan kita di antara manusia dan haiwan.
- Sebab itu dalam bidang pendidikan, moto kita adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, “Addabani rabbi fa’ahsani ta’dibi”. Itu kalau anak-anak sekolah sekarang hafal, sebab yang dipupuk itu adalah nilai, adab dan akhlak. Jadi, kalau ada umpamanya kita mengejar kemajuan dan pelajaran, buli dan mendera kawan-kawan masih berlaku, itu maknanya pendidikan yang tidak menekankan akhlak dan adab. Dia nak jadi pintar, tetapi perangai macam haiwan. Menghina orang, memperbodohkan orang, menghina satu sama lain, menjadikan teman-temannya itu sebagai perkakas untuk dipermainkan.
- Sebab itu, Kementerian Pendidikan di arah untuk keras dan tegas. Guru dan pendidik di sini haruslah bantu, jaga anak-anak kita, kerana yang kita didik itu bukan sahaja ilmu, jangan pintar, pandai menguasai ilmu, pandai accounting, lagi pandai lagi kuat menipu. Kalau kita lihat umpamanya skandal-skandal besar yang kita hadapi dalam negara kita, dari 1MDB, kepada Tabung Haji, kepada FELDA, dan itu semua bukan dilakukan oleh orang yang tidak ada pendidikan. Orang berilmu, orang yang pintar, tetapi orang yang rendah akal budi dan nilai mereka.
- Bukan setakat itu, dipertahankan lagi. Sudahlah rugi berbilion, tipu sana-sini, gondol kekayaan untuk dua tiga kerat orang, kemudian himpun di sana-sini pertahankan pula lagi kebejatan dan kerosakan yang telah dilakukan. Sebab itu saudara-saudara, anak-anak kita mesti kita selamatkan, didik dengan baik.
- Semalam selesai solat Jumaat, saya jumpa tentu anak-anak sekolah, anak-anak kecil, dan itu menyentuh perasaan dan hati nurani saya, kerana anak-anak ini tidak bersalah. Tetapi kenapa pendidikan mereka menjadi penagih dadah, lupa menekankan soal solat, nilai dan akhlak tidak dijaga, di mana salahnya? Sistem pendidikan kalau pendidikan Islam banding dengan zaman saya di sekolah dengan sekarang jauh berbeda. Sekolah-sekolah menengah agama, sekolah agama, golongan tahfiz, golongan huffaz semua bertambah, tetapi permasalahan rendah akal budi dan akhlak dan moral itu masih menjadi masalah.
- Bukan sahaja di negeri-negeri, semua negeri termasuk Kelantan. Masalah dadah, masalah jenayah, masalah mencuri, merompak, sebab itu ini tanggungjawab kita. Nak selamatkan negeri dan negara kita, mesti asah dari awal pendidikan Islam dengan nilai dan akhlaknya. Dan ini yang kita tekankan. Kalau tidak, sekarang ini umpamanya ada dibicarakan perkara baru, penyakit mental kanak-kanak. Ada kes bunuh, ada kes dera, ada kes buli, ada kes terjun anak-anak. Dan bila dikaji, ada juga kes yang melibatkan kes mental.
- Padahal kita orang Islam ini, kalau masjid itu jadi pengkalan, “Lamasjidun ussisa ‘alattakwa”, mana mungkin masyarakat Islam itu tersasar. Jadi sebab itu, kita harus lihat semula tanggungjawab Kerajaan, tanggungjawab kementerian, tanggungjawab kerajaaan negeri, tanggungjawab jabatan, tanggungjawab ibu bapa.
- Dan inilah, saya kebetulan… minta maaf, ini saya tahu, Sollehuddin kata ini usahawan kecil, tapi saya oleh kerana semalam lepas jumpa anak-anak dan ibu bapa di masjid, di Bandar Tun Razak, saya sangat-sangat terkesan dan terganggu sikit, sebab saya kata bagaimana boleh kita biarkan kelunturan, padahal kita tahu kekuatan Islam, kita tahu harga diri dan bagaimana Islam itu menekankan soal pendidikan, akhlak, nilai dan moral. Mudah-mudahan majlis-majlis seperti ini, ramai ibu bapa yang hadir dan anak-anak muda, saya minta supaya diberi penekanan ini.
- Negara ini mesti maju. Negeri ini, negara ini mesti menguasai teknologi baharu, teknologi maklumat dan artificial intelligence. Tapi negara ini mesti berakar kepada tradisi, budaya yang berteraskan kepada iman dan akhlak dan sahsiah kita. Dan ini cabaran yang mesti disambut oleh semua ibu bapa. Saya tanya anak-anak semalam di Bandar Tun Razak, anak-anak Melayu di masjid. Berapa orang yang ibu bapanya tanya sama ada siap kerja rumah atau tidak? Ada yang buat, ada yang…,tetapi ramai yang tidak. Berapa orang yang balik rumah sebelum Maghrib.
- Ini tanggungjawab kita. Tidak munasabah, kita ibu bapa tak peduli anak umur 10 tahun balik pukul 8 malam atau 10 malam, ulang kaji atau tidak? Jadi sebab itu, saya minta maaf Ustaz Nasarudin, kuliah lain pula ini. Tapi ini kena disentuh, ini terlepas soal-soal politik, pergaduhan parti, tak ada. Ini masalah umat kita. Bagaimana boleh kita angkat kesedaran? Nak semangat, ramai betul semangat. Yang kuliah dengan ceramah banyak dah. Tetapi memupuk kesedaran supaya tiap keluarga menjalankan tanggungjawab.
- Bayangkan kalau 90% daripada keluarga kita jalankan tanggungjawab sebagai ibu, tanggungjawab sebagai bapa sebagai keluarga, setengah masalah kita selesai. Yang lain tentunya, saya bukan nak kata lepas tanggungjawab saya dalam Kerajaan, saya insya-Allah akan lakukan sebaik mungkin, tetapi saya sekali lagi mohon maaf kerana hal ini saya tekankan.
- Kadang-kadang kita sampai kita cakap pasal pembangunan, usahawan kecil, betul. Tetapi pengkalan, pangkalnya itu kepada iman dan akhlak kita. Akhlak kita ini, akhlak dalam keluarga dan rumah tangga. Bagaimana giat dan tekun sang guru di sekolah atau ustaz, latih di sekolah, tapi kalau asas di rumah itu tidak terkawal, masih merupakan satu cabaran.
- Jadi saya mohonlah pengertian supaya kita bawa perubahan. Saya insya-Allah tiap hari, hari ini di Kelantan, esok di Selangor, saya tak akan jemu untuk tekankan perkara ini, iaitu menyeru ibu bapa kita supaya selamatkan anak-anak kita, bangsa kita, baru boleh kita selamatkan negara kita. Dan selamat itu, kaedah Islam sangat asas, tekan. Cukup. Bukan perkara baru. Perkara baru itu AI. Tapi perkara yang asas itu ialah pengajaran al-Quran, solat mereka, adab dan akhlak mereka.
- Ada saya tanya anak-anak, ini di Bandar Tun Razak semalam. Pernah cium tangan ibu bapa atau peluk ibu bapa? Ada kata, ya masa raya. Sebab ada duit raya. Kalau tak cium tangan, tak dapat duit raya. Jadi, itu betul kelemahan anak-anak, tapi juga ibu bapa. Jadi, saya kata boleh tak janji kepada atuk, balik ni, cium tangan ibu bapa. Esok boleh jumpa guru dan ustaz, tunjuk hormat kepada mereka dan sayang kepada mereka. Dan jumpa kawan-kawan, sampaikan salam dan tunjuk hormat dan kasih sayang kepada kawan-kawan. Sama ada yang Muslim atau yang bukan Islam. Kawan-kawan, kita anggap sebagai kawan-kawan. Boleh tak? Anak-anak, anak-anak tu baik. Kita suruh janji, janji. Janji, insya-Allah. Balik rumah, cium tangan ibu, bapa. Janji. Jadi, anak-anak itu bukanlah anak-anak sudah rosak, belum. Tapi kita, bila kita cuai, kita mengizinkan kerosakan itu.
- Jadi balik kepada pasar, perniagaan dan usahawan, yang jadi mauduk kita hari ini. Saya ucap tahniahlah, kerana program ini banyak menekankan kelompok yang paling rendah, yang kita sebut B40. Sebab kalau tengok belanjawan untuk usahawan-usahawan besar dah jalan. Pelaburan besar terkawal, dan baru-baru ini pula untuk gaji penjawat awam kita naikkan, kemudian gaji minima pun kita naikkan, tapi kalau tanya pengusaha-pengusaha besar semua tak sempat, tak sedia, jadi terpaksa kita wajibkan.
- Dan contohnya pada Kerajaan, sebab itu Kerajaan yang mula naikkan gaji minima 15% tahun ini, walaupun kos dia kepada Kerajaan itu untuk tahun 2026 itu RM18 bilion. Kos untuk SARA, STR, Tunai Rahmah itu mencecah tahun ini RM16 bilion, tapi negara kita tidak terbeban.
- Saya selalu beritahu, ini dulu masa saya di luar, masa zaman ABIM lagi Kamarudin, saya kata, tak ada negara dan Kerajaan di dunia yang jadi miskin kerana tolong orang miskin. Oh, sebab apa Kerajaan ini bankrupt sebab dia tolong orang miskin? Saya belum pernah dengar dalam sejarah. Sejarah Islam, sejarah Arab, sejarah Cina, sejarah India sejarah…, belum ada negara itu jadi miskin kerana raja ataupun penguasa tolong orang miskin. Tak ada. Tapi negara jadi rosak, musnah, itu sebab salah laku pimpinannya, tatakelola-nya, nafsu serakah yang menggondol kekayaan yang bukan hak mereka. Ini dikupas dengan begitu baik oleh Abdul Rahman Ibn Khaldun dalam Muqadimah.
- Negara boleh dipacu dengan begitu baik, tetapi bila ada sifat tamak haloba, rasuah yang menular, keangkuhan, perkayakan kelompok-kelompok dan kerabat mereka, negara akan jatuh jadi miskin. Bukan sebab tolong orang miskin. Sebab itu, kita tekankan hal ini walaupun ada orang yang kurang sukalah, tapi tak ada pilihan nak selamatkan umat, nak selamatkan negara. Betul daripada keluarga, tetapi dengan pentadbiran dan pengelolaan sistem itu dengan baik.
- Sebab itu, saya pesan kepada pegawai-pegawai kerajaan, jabatan, ini amalan lama yang tidak bijak dan merugikan, mesti dihentikan. Tetapi bila pegawai-pegawai dan pejabat awam umpamanya menjalankan tugas dengan baik, kita haruslah sambut dan berikan penghargaan. Umpamanya di Kelantan ini sahaja, saya ucap terima kasih, katanya permohonan untuk projek Sejati MADANI Usahawan B40 ini mencecah 4,000. Jadi yang setakat yang telah diluluskan sudah 446 orang.
- Jadi saya percaya kita akan terus tingkatkan jumlahnya kerana majoriti, ini memang program khas bagi orang Melayu, tapi majoriti ya itu wanita. Ini Kelantan memang luar biasa lah kalau wanita dalam perniagaan itu sampai jadi contoh dalam kajian-kajian, kaji masyarakat di dunia ini, kalau pasar-pasar tentang peranan dan kegigihan wanita.
- Sebab itu, saya beritahu ICU untuk di Kelantan ini program-program bantuan kita biar kita beri tumpuan yang lebih kepada wanita. Pertama, dia kerja tekun di pasar-pasar dan keduanya, pengalaman kita dalam Amanah Ikhtiar, wanita ni kalau dia pinjam dalam Amanah Ikhtiar hampir 99% bayar, orang lelaki ini kurang sikit lah. Saya tak tahu. Padahal keluarga sama, belajar Islam daripada satu ustaz, duduk satu masjid, tapi yang bayar hutang oleh lelaki lambat sikit kurang sikit prestasi dia. Jadi sebab itu, untuk program usahawan-usahawan kecil ini ada baiknya kalau kita juga beri tumpuan supaya wanita tidak ketinggalan.
- Untuk tahun 2027, geran ini kita sudah tambah sehingga RM200 juta, kerana saya lihat umpamanya, walaupun peruntukan itu kecil, tapi manfaat itu langsung sampai. Kalau saudara lihat umpamanya daripada paparan tadi, kadang-kadang belanjanya RM5,000, RM3,000 ada yang RM1,800, tapi dia boleh beri pulangan yang baik. Saya lihat di beberapa tempat, dia buat perniagaan. Tapi yang dia perlukan hanya peti ais yang kecil yang murah yang boleh selamatkan barang-barang dia, itu akan menambah pulangan dia ribuan ringgit satu bulan.
- Jadi hal-hal yang sedemikian kita pantau dan kita bantu sebaik mungkin. Jadi saudara saudari yang dihormati, saya hadir walaupun ada acara lain malam ini, untuk menyatakan bahawa untuk semua negeri, termasuk Kelantan. Terima kasih untuk Menteri Besar, kita bantu sedaya upaya kita. Dan saya ucap terima kasih kerana kerjasama dengan Dato’ Menteri Besar dan kerajaan negeri sangat baik. Kalau masalah, kita bincang dengan baik.
- Sebab itu, beberapa projek ada orang kata saya bagi keistimewaan, saya tak bagi keistimewaan, saya bagi apa yang saya fikir yang munasabah dan adil. Umpamanya kalau tebatan banjir, belanjanya berbilion-bilion, itu kerana kos tebatan banjir itu tinggi. Dan saya beritahu kepada Menteri Besar tadi, di antara punca tebatan banjir itu termasuk hakisan dan pelebaran dan pedalaman sungai. Itu, alhamdulillah kita lakukan. Tetapi melibatkan juga muara Sungai Golok dan saya dua kali dah berunding dengan kerajaan Thailand termasuk Perdana Menteri baru untuk menyatakan bahawa kita harus segerakan kerana tindakan segera itu akan mengurangkan kesan banjir di selatan Thailand dan juga di Kelantan.
- Sebab itu, hubungan kita dengan negara-negara ini harus baik. Bukan sahaja untuk jaga hubungan persekutuan dengan negeri, tapi hubungan dengan negara-negara jiran, kerana beberapa masalah itu boleh kita selesaikan dengan baik. Kita juga beri perhatian sekarang tentang beberapa perkembangan di Selatan Thailand. Walaupun ini urusan negara Thailand, tetapi pendirian kita ialah meningkatkan hubungan kerjasama di antara kita dengan harapan ada perdamaian yang akan membantu pembangunan negeri selatan Thailand dan juga negeri-negeri di utara semenanjung.
- Dan saya harap dalam masa sebulan ini kita dapat muktamadkan soal pelebaran sungai, sepertimana jambatan Rantau Panjang ke mana hari tu? Golok Rantau Panjang, jambatan itu. Dan ini hanya boleh berlaku pertamanya dengan kerjasama yang rapat di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, terima kasih dan kita gunakan juga kesempatan itu untuk membangunkan kawasan sekitar jambatan Rantau Panjang.
- Dan sekali lagi terima kasih kepada SUK, kerana menyegerakan pengambilan tanah dan sebagainya supaya dapat kita bangunkan projek itu dengan harapan ada wajah baru di Rantau Panjang dan kemajuannya. Tapi yang saya rasa yang mendesak ialah soal muara Sungai Golok kerana itu menjadi di antara punca banjir di selatan. Jadi saya harap dalam tempoh sebulan ini, saya akan runding semula, memuktamadkan, sudah ada kemajuan di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand.
- Jadi sekali lagi, ICU dan SUK, Menteri Besar dan rakan-rakan, terima kasih terutama yang hadir, yang ramai-ramai termasuk anak-anak muda, ibu bapa, terima kasih banyak atas kesudian. Dan kita doa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita ini mendapat keberkatan dari Allah SWT dan kita dalam mengejar pembangunan usaha, jangan lupa mengakar di bumi dan jangan lupa tanggungjawab kita masing-masing di rumah tangga kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
