TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PM : MAJLIS PERASMIAN SKIM USAHAWAN BANGKIT NEGERI KEDAH

25 September 2026

 TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO SERI DIRAJA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN SKIM USAHAWAN BANGKIT

NEGERI KEDAH

 25 SEPTEMBER 2026 | JUMAAT | 6.00 PETANG |

DEWAN KOMPLEKS PERSEKUTUAN MUADZAM SHAH

PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PESEKUTUAN, ALOR SETAR, KEDAH

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahirabbil’alamin,

nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim,

wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saya minta maaf pertamanya terlambat sedikit, sebab lepas selesai jenazah, saya dengan keluarga sekejap. Jadi, minta maaf kerana terlambat sedikit.

 

Jadi saya ucap terima kasihlah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, yang memberikan kerjasama penuh dalam semua acara-acara.

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU);

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zepri bin Saad,

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU);

 

Yang Berbahagia Dato’ Romli bin Ishak, Penaung PPPKM; Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kedah;

Sahabat saya yang banyak membantu menyelaraskan program ini.

  1. Ya, saya tidak mahu cakap panjang sangat, hanya sebut macam ini. Kita dalam Kerajaan MADANI, kita ikhtiar sungguh-sungguh. Itu peringkat antarabangsa, peringkat negeri atau negara. Pertumbuhan ekonomi, bila dengan negara lain banyak menghadapi masalah, kita masih bertahan. Baik.

 

  1. Saya… malam semalam sampai daripada Negara China. Berunding dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, sebab kita nak kerjasama ditingkatkan. Pelaburan utama negara kita ini, dari Amerika Syarikat. Sebab itu, dalam kita tegas bantah Israel, bantah kerjasama Amerika dan Israel dalam menyerang Iran, hubungan dagang dan pelaburan, kita teruskan juga. Sebab kalau… melainkan dengan Israel, Israel tak boleh langsung. Tapi sebab dengan Amerika, Kulim Hi-Tech itu, syarikat Amerika besar. Baik.

 

  1. Tapi negara China penting, sebab dia berkembang sekarang. Negara China sekarang bukan seperti negara China 50 tahun dulu, gagal. Teknologi dia, AI dia, saya tengok pagi semalam dan juga kelmarin dulu, itu luar biasa. Dan dia bukan soal, orang baca tekno tekno, tak. Saya tengok satu syarikat baru dia, dia mula boleh ubati orang yang buta. Kalau dia buta dalam 5 tahun itu, nampak kejayaan banyak. Dia dah buat kajian atau buat perubatan bagi 5000 orang. Kalau lahir buta, itu dia kata mengambil masa kerana dia ada dua kali pembedahan, dari luar, dalam. Itu satu penemuan yang baru.

 

  1. Ini bukan… betul IT, betul AI, tetapi bagi saya, saya terus fikir macam mana nak fikir orang Kodiang ke, orang Kudung ke, yang buta, kalaulah dapat yang ini bawa tak apalah, aku ikhtiarlah, bayar lebih sikit pun tak apa, sekurang-kurangnya ada harapan dia. Itu yang saya fikir. Jadi jangan duk fikir kita pergi berjalan saja itu. Tak.

 

  1. Saya terus, saya bagitahu kat Perdana Menteri Li Qiang, dia kata baru 5,000 dalam masa 6 bulan, atau setahun, dia boleh jangka sampai 50,000 orang. Saya kata boleh tak dalam 50,000, kalau bagi 50 dulu peluang di Malaysia pun tak apa. Kita nak minta awal pun tak boleh, sebab dia nak selesaikan negara dia dulu. Dia kata okey. Dia kata, Anwar, tulis kat dia, dia bagi. Insya-Allah.

 

  1. Ini saya sebut perkara ini, kadang-kadang orang duk kata PM ini dia sebut pertumbuhan. Betul pertumbuhan. Perdagangan, AI, apa kaitan dengan orang kita ini? You Teknologi paling canggih di dunia, beri peluang orang yang buta celik. Bila saya tengok, saya terus ingat macam manalah kalau tak boleh ribu-ribu orang yang buta, kurang-kurangnya start dengan 50 pun. Jadi, saya minta. Itu dia. Jadi, hal-hal lain pun begitu juga. Ya.

 

  1. Apa lagi yang saya bincang? Dia syarikat China masuk nak meniaga tak ada masalah. Tapi kadang-kadang, dia masuk habis tempat orang peniaga-peniaga kecil ini. Jadi, yang marah, yang bantah ini bukan sahaja syarikat-syarikat Melayu yang kecil. Syarikat-syarikat Cina, Cina tempatan yang kecil-kecil pun dah mula menyuarakan bantahan kerana melalui platform-platform ini, dia order barang daripada kita, kemudian, dia jual daripada negara Cina dengan harga yang murah, jadi mati syarikat-syarikat ini. Takkanlah dekat tukang rambut, restoran, kopi, semua orang nak itu bagi syarikat asing.

 

  1. Walaupun saya bawa pelaburan asing, tapi saya tak mahu ganggu peniaga-peniaga kecil. Itulah sebabnya mengapa saya beritahu kepada Perdana Menteri. Saya kata, boleh tak kita bagi kerjasama? Kurangkan sikit. Yang syarikat besar tak apalah. Kita tak tahu, nak bedah mata, saya kata tadi yang menggunakan AI ini, teknologi baru bagi orang celik, tak apa, saya setuju, tak apa. Kita belanja sikit pun tak apa. Kita labur sikit pun tak apa. Tetapi, untuk kedai kopi, kedai rambut, saya tak mahulah orang asing. Kita boleh buat sendiri kita. Bagi galakan. Baik.

 

 

  1. Balik kepada usaha kita, Skim Usahawan Bangkit. Pasal apa? Apa kaitan dia? Dia macam itu. Ada tadi, orang tukang gunting. Saya tadi cucu saudara gunting rambut. Saya kata rosak rambut aku…(nada seloroh). Dia kata, Tok, dia kata, “saya boleh gunting”. Saya kata, tak apa lah, saya pun tengah, dah lepas jenazah, tak apalah hang gunting la sat. Lepas tu, saya suruh dia stop lah, takut rosak, dah lah rambut tak banyak. Baik.

 

  1. Tapi yang saya nak beritahu sini apa dia? Ini benda-benda kecil. Kalau pelaburan besar, tak ada masalah. Kita ada AI kita, dah mula meningkat. Komputer, semikonduktor. Romli tahu, dia pun jaga Cyberjaya, besaq, dia jaga situ, pelaburan besar-besar. SS lagi tahu tentang Kedah, pelaburan besar, terutama sekitar Kulim Hi-Tech. Perlu? perlu. Tak ada yang itu negeri kita jadi malap.

 

  1. Tetapi bagi yang peniaga-peniaga kecil di kampung apa dia? Dia tengok je, tengok. Perdana Menteri mai rasmi yang tu, satgi mai kilang tu, buka. Yang aku dapat apa? Betul, anak-anak kita akan dapat pekerjaan. Bila ada hasil, sekolah kita lebih baik. Hospital kita lebih baik, betul. Tetapi bagi peniaga kecil, inilah ikhtiar ini, saya ucap terima kasih, syukur Alhamdulillah, kerana Skim Usahawan Bangkit ini, perdekatan, bukan takda dulu kita buat.

 

  1. Saya ingat masa dulu pun. Masa kita bagi kambing, bagi lembu. SS masa tu muda lagi. Saya masa itu Timbalan Perdana Menteri (TPM), Menteri Kewangan, ada banjir besar di Kedah. Masa tu, Tan Sri Osman Aroff jadi Menteri Besar. Kemudian dia tulis surat kepada saya, dia kata habis kambing, ayam habis, hilang, hanyut. Jadi dia minta situ masa itu berapalah, ikut RM4, RM5, RM6 juta, ganti balik. Saya bagi masa tu, pasal masa tu jenuh juga duit kita, saya bagi 2 kali ganda. Sebab, bagilah nak meniaga. Kalau dia hanyut 15 ekor ayam, kita ganti 30 ekor ayam. Jadi dia boleh hidup balik. Ssebab bila dia rugi itu, kita kira ayam, tak kira sangkar, tak kira makanan yang hilang. Jadi kita ganti 2 kali ganda.

 

  1. Jadi, ini bagi pengajaran kepada saya. Yang penting tu orang-orang bawah ni. Sebab itu, bila Skim Usahawan Bangkit ini, dia kerja macam tu. Mana kita nak tahu, takkan saya nak tahu dia ni buat kuih, dia nak alat dia macam mana? Alat dia bukan kata nak puluh-puluh ribu, nak RM1000, RM600, tetapi kena bagi kat dia langsung. Tak payah agensi-agensi, jabatan-jabatan banyak-banyak sangat, tak payah.

 

 

 

  1. Jadi saya minta umpamanya, dan sini baiknya, Alhamdulillah, di peringkat ICU dan SS bagi kerjasama, itu sahaja yang kita hendak. Tak ada maksud lain bagaimana nak cari jalan dengan bantuan kecil tetapi sampai langsung, sampai langsung ke tangan. Kalau saya ada masa, saya nak pergi hantar sendiri kalau boleh. Apa dia? Mesin jahit, peti ais. Kalau tidak, nak simpan barang tak boleh lama.

 

  1. Hal-hal tu, bagi Usahawan Bangkit ini penting. Saya tengok ada senarai berpuluh-puluh barang. Kadang, saya tak tahu, takkan nak minta Pengarah ICU, dia tak tahu. Dia turun, dia dengar sendiri. “Aku ni, dah buat kuih dah 10 tahun tetapi pendapatan takat tu je sebab, alat aku ni boleh masak takat ni sahaja.” Jadi, kita beli. Kemudian, kita tengok dua bulan lagi berapa pendapatan, naik pendapatan dia, alhamdulillah. Itu sahaja dalam Skim Usahawan Bangkit ni, tidak ada rancangan besar-besar. Dia bukan bilion-bilion ringgit, projek-projek, dia bukan projek ratus-ratus juta.

 

  1. Saya dok tengok masa di beberapa tempat kita buat, Bukit Gantang lah, Permatang Pauh baru ini, sebulan dua bulan yang lalu, saya tengok, ada orang tu dapat RM800 ringgit je modal yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan lah, Kerajaan MADANI ni, dan dia seronok tak habis-habis.

 

  1. Orang kecil ni dia tak macam setengah orang besar. Kadang-kadang Tan Sri, Datuk-datuk ni bagi ratus juta pun dia tak reti terima kasih. Tapi orang kampung kecil ni, oh hat jumpa saya, dia datang Permatang Pauh baru-baru ini, nangis-nangis. “Allah, terima kasih lah saya dapat ni, reban ayam saya dah jadi besar.” Saya ingat berapa dapat tu? Dapat RM2,500, tetapi dia punya syukur alhamdulillah, dan terima kasih tu bagus. Bukanlah saya tak nak minta terima kasih, tapi saya tengok orang kecil ni dia kenang jasa, hargai kadang-kadang lebih daripada orang besar dan saya, saya pun rasa, saya pun terkesan dan rasa seronok. Bila begitu, bila dalam sebulan sudah.

 

  1. Jadi bila minggu sudah, yang abang saya masa itu kurang sihat, jadi Wan Azizah kata, saya ada program masa itu pergi India ke mana ke, Azizah kata tak apa dia turun, kebetulan pergi jumpa di Cherok To’kun, ziarah abang saya. Kemudian dia pergi tengok dua tiga rumah orang yang meniaga kecil-kecil ni. Ada alat buat kuih, peti sejuk, kemudian jahit macam-macam lah. Jadi, dan orang hargai dan kita kata, buatlah kerja, dapat rezeki yang halal, pendapatan lebih baik. Sebab pendapatan sekarang ni, walaupun kita kata ekonomi ni baik, orang bawah ni kadang-kadang dia tak meningkat pendapatan dia. Harga barang ni dalam dunia mesti dia naik sikit-sikit. Takda di dunia yang harga turun.

 

  1. Saya pun pening, bulan Oktober ini dah Belanjawan Negara dah, cakaplah berbilion-bilion, orang kata yalah bilion-bilion, tapi harga barang tak boleh bagi turun ke? Jadi kalau kita tak boleh bagi turun banyak, kalau pendapatan dia naik, tak apa. Harga barang naik sikit. Nak naik macam mana, ini perang yang Presiden Trump tak habis-habis lagi serang Iran ni. Harga barang naik.

 

  1. Harga minyak, tahun sudah bila saya buat Belanjawan, harga minyak naik USD70 satu tong, ini minggu ini dah USD107, USD110 satu tong, kita kira ikut USD70. Mai Belanjawan dah sekian banyak. Kita ambil RON95, yang dorang dok marah Anwar kata, “Hari ini ambil alih, minyak turun!”, yang dok peleceh. Ni minyak Malaysia ni paling rendah di dunia. RON95 ini paling rendah di dunia, nak turun banyak mana lagi. RM1.99 tu bukan mudah.

 

  1. Tahu berapa bantuan Kerajaan? Tiap tahun subsidi ini, subsidi ini macam kita bagi subsidilah, beli, bagi, bagi ini, berapa? RM40 bilion lebih. RM40 ribu juta ringgit satu tahun kerana nak bayar minyak RON95 dan diesel. Jadi, bukan mudah kerana, kita buat kira USD70, sekarang ini sampai USD105, USD110, ada satu masa beberapa minggu yang lalu USD112 satu tong.

 

  1. Jadi, yang boleh kita buat insya-Allah kita buat. Tapi kita tahu ada kekangan. Barang yang kita keluarkan boleh kita kawal, tapi barang  yang diimport macam bawang. Bawang kita boleh tanam. Tapi bawang ini banyak kita import dari India. Bawang putih, bawang merah, maka harga bawang naik. Tok Mat Sabu pulun dok tanam bawang, tapi tak cukup juga keperluan kita. Kita bukan sahaja makan bawang, membawang, semua bawang itu ada.

 

  1. Jadi saya nak sampaikan di sini, apa dia maksud saya dalam Usahawan Bangkit ini, saya sangat-sangat terharu. Bila ICU buat, dan Dato’ Romli ambil ikhtiar, kumpul, terang. Ini yang kita nak buat. Kalau tidak kalau nak bercakap nak lawanlah, perjuanganlah, Melayulah, Islamlah, macam-macam yang kita dengar ni. Akhirnya, guna kuasa, pertama jangan curi duit rakyat. Itu bagi saya, hangpa marahlah banyak manapun saya tak kisah.

 

  1. Saya pegang amanah ini, saya nak katakana, tanggungjawab saya, tak mahu dengarlah kes Tabung Haji tu cerita dulu. FELDA lah, MARA lah, macam-macam dok ada ni. 1MDB lah, itu semua sudahlah sudah. Takkanlah tak ada orang Melayu yang mampu tadbir negara kita dengan baik.

 

  1. Kerjasamalah dengan Cina, India, bukan masalah. Kerjasama dengan baik, kemudian berhenti daripada kerja sakau ini. Kalau kita buat kerja betul, kita boleh bagi pulangan kepada rakyat dengan baik. Jadi bagi saya, kalau kita boleh bersihkan, kemudian kita ambil ikhtiar bantu. Bantu dari segi besar satu dunia iktiraf, walaupun kita ada kadang-kadang orang maki hamun dibawah, itu soal lain. Satu dunia iktiraf.

 

  1. Di China ni saya pi juga sebab apa? Ada dua persidangan selang sehari yang besar, satu Pertandingan Kemahiran Dunia, World Skills Competition di Shanghai. Esoknya itu, World Digital Conference, Persidangan Digital Dunia. Dua-dua itu dirasmikan Perdana Menteri dia kerana Presiden Xi Jinping pergi ke Amerika Serikat. Dan kerana kejayaan kita, Malaysia untuk Persidangan World Skills Conference, Persidangan Kemahiran Dunia, Perdana Menteri dia minta saya, dua orang kami sahaja memberikan ucaptama  bagi persidangan  antarabangsa yang dihadiri 100 negara lebih.

 

  1. Itu satu, esoknya di Hangzhou, Hangzhou ni dalam sejam dengan keretapi laju. Saya naik keretapi, saya tak mahu naik kereta, naik kapal terbang selalul dah. Kalau naik kereta 4 jam setengah, naik keretapi, keretapi laju, nak test tengok dan di situ, Persidangan Digital Dunia dan ucaptama ini kami berdua juga. Kemudian ini minta juga wakil daripada beberapa negara lain, tetapi ucaptama itu sudah. Dia iktiraf. Saya bukan perasan. Oh, sebab Anwar…dak. Sebab Malaysia, sebab rakyat Malaysia, kejayaan kita, ekonomi kita, keamanan kita, kerjasama kita, itu yang menyebabkan dunia iktiraf Malaysia ini.

 

  1. Tapi saya juga insaf, satu dunia iktiraf pun tapi kita jual kuih, dok meniaga ada 10 tahun, pendapatan macam tu juga, tak cukuplah. Sebab itu, saya bagi tahu Sollehuddin, kerja dengan ICU, ini apa, Romli minta SS tolong selaraskan, cari jalan bagaimana lagi nak bantu. Jadi yang mana ada di sini, ini contoh yang baik. Amalkan dan ambil tindakan.

 

  1. Tolong sampai salam kepada kawan-kawan di kampung-kampung bagi tahu, kalau sungguh-sungguh nak meniaga, ada cara bagi rekomen, haa saya bagi satu ini, tak sebut tadi Romli,  satu lagi tanggungjawab, berniaga okey dah mula berjalan, kita pantau baik.  Bagi peluang. Tiap kampung, bagi cadangan, ada tak kawan lain yang saudara rasa, atau kakak atau adik rasa patut patut diberi bantuan atau patut diberikan peluang. Nanti ICU dan Romli tentukan cara mana dia boleh buat, rekomen. Saya lebih suka lagu tuh.

 

 

  1. Bagi, katalah saudara yang tukang gunting tadi ini, siapa tukang gunting tadi? Yang tadi? Yang tadi, mana? Ada? Yang tukang gunting tengok dalam video tadi? Mana? Umpamanya dia gunting baik. Janganlah pergi tukang gunting sebelah rumah dia. Katalah dekat satu kampung lain, kawan dia, dia tengok kawan itu baik, amanah, sungguh-sungguh, rekomen, bagi rekomen, dan kita cuba batu dia tambahan. Sebab dalam Belanjawan kita bulan depan ni, 9 Oktober Insya-Allah saya nak tambah peruntukan untuk ni, usahawan-usahawan kecil macam ni.

 

  1. Walaupun Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri sebut tadi pasal soal cukai di Langkawi, tak apa, soal itu pun kita fikir jugalah. Pasal Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah memang pesan dia nak angkat balik kegiatan di Langkawi, kita setuju, itu saya timbang. Tapi itu pun penting.

 

  1. Tapi yang ini pun saya nak sebut, Belanjawan kita juga akan tumpu juga bab ini. Kita buat, tetapi dia tak bagi gesaan, desakan bagi hebat itu kerana ramai orang. Ramai. Yang dok gerai ini banyak. Berapa banyak restoran dan hotel, berapa banyak gerai-gerai ini? Gerai ini puluh ribu, orang kerja ini ada ratus ribu seluruh Malaysia ini.

 

  1. Jadi, kalau kita bagi bantuan, dan bantuan dia kecil. Saudara bayangkan ya, saya memang terkesan betul, saya terharulah, kalau yang jumpa saya dengan betul-betul dengan perasaannya, tak salah saya RM1,800.00. Tapi dia rasa syukurnya. “Allah, saya ini PMX, tak boleh lupalah, saya habaq kat Tok Wan saya, saya habaq kat anak kawan saya”. Tapi saya kata, tak apalah habaq, yang penting dia sungguh-sungguh kerja ni.

 

  1. Jadi ini yang saya nak sampaikan, yang lain tu dah Romli bercakap panjang tadi, mereka dah fahamkan, cerita macam-macam teori dok ada. Jadi Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah. Kita buat banyak, tapi dari peringkat negeri, ini yang pertama kan? Peringkat negeri ini kita kumpul. Jadi tahniah, Kedah ini nombor satu.

 

  1. Skim Usahawan Bangkit peringkat negeri yang kita selaraskan dengan baik. Mudah-mudahan kejayaan ini jadi contoh, bila saya ke negeri-negeri lain, saya kata tengok contoh usahawan kecil dari negeri Kedah ini. Dan kita tengok kejayaannya. Dan nanti Romli, senaraikan semua bidang-bidang yang dibuat ini, 30-40 bidang apa yang mereka buat ini. Dan bila dia berjaya, kita cerita kepada orang lain supaya kita boleh kembangkan.

 

  1. Ada isu-isu lain yang kita bangkitkan soal macam penggunaan digital, Pusat NADI yang itu kita akan teruskan juga kerana ada beberapa teknologi baru yang kita harus kuasai terutama di kalangan anak muda.

 

  1. Sekali lagilah saya ingin ucap terima kasih dan minta maaf, hari ini saya tak datang cara teratur sangat dan datang lambat kerana, fahamlah kan, abang kandung yang rapat dengan saya itu meninggal dunia, dan saya hadir juga, ini baru simpan. Simpan tadi lepas Jumaat, tapi hadir juga kerana apa? Kerana saya penuhi tanggungjawab ini dan saya tahu Usahawan Bangkit Negeri Kedah ini penting maka saya sampai juga.

 

  1. Jadi, Bismillahirrahmanirrahim, saya rasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah Darul Aman.

 

Wassalamualaiku Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: