TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PM : MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA BADAN BERUNIFORM

7 Mac 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA BADAN BERUNIFORM

 

 

7 MAC 2026 (SABTU) | 6.30 PETANG

DEWAN SERBAGUNA KEM BATILON 2, PGA

KULIM, KEDAH

 

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah, 

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah, 

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb. 

Alhamdu lillāhil qā’il,

Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān, 

Hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān, 

Wa usolli wassalim ala rasulihil kareem

Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.

Saudara saya YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor,

Menteri Besar Kedah;

Saudara saya YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari,

Menteri Belia dan Sukan;

KSN, SUK, Ketua Polis Negara serta tetamu-teamu yang saya muliakan termasuk Tok-Tok Guru dari pondok sekitar Kedah, rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada petang ini, terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia dan tentunya PGA di sini yang menganjurkan majlis dan memberi kesempatan saya bersama. Tentunya kita bermula kerana ini dah masuk pertengahan Ramadan, Kullu ‘am wa antum bi-khair, dan tentu kita gunakan sepertimana saya bacakan ayat Al-Quran tadi tentang memanfaatkan sisa Ramadan ini dengan amal, ibadah dan menghayati Al-Quran.
  1. Dan sepertimana yang disebut, petunjuk Hudal lin-nāsi ataupun unzila fīhil-qur`ān – turunnya Quran itu untuk menyampaikan hak kebenaran, jadi ada tanggungjawab dan tugas yang besar di samping kita menyempurnakan tugas-tugas biasa kita. Dan Ramadan di Malaysia ini Alhamdulillah lah kita cuba sambut selain daripada isu-isu ibadah dan ritual di masjid dan sebagainya, tapi dengan meningkatkan kegiatan kebajikan kepada rakyat, dan terutama menginsafi kita di rantau yang aman dan memungkinkan kita memperoleh manfaat sebaik mungkin.
  1. Tetapi janganlah kita lupa saudara marah kita di Gaza yang terus dibedil oleh rejim zionis Israel dengan kejamnya, dan mutakhir ini pula negara Islam Iran diserang oleh Israel dengan dukungan Amerika Syarikat. Ini kisah derita bagi umat apatah lagi bila negeri-negeri Teluk tidak ada kesepakatan untuk bersama tatkala diserang oleh musuh. Sebab itu yang disebut oleh Saudara Saifuddin Nasution, walaupun kita negara kecil, tetapi Alhamdulillah kena hubungan baik mereka hubungi. Sebelumnya tentu Presiden Prabowo Subianto Indonesia, kemudian saya bincang panjang dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan diikuti oleh Qatar, Bahrain dan Emirates, UAE semalam.
  1. Selepas bincang tu semua, mereka semua sebut tentang Iran dan isu-isu yang harus diketengahkan, saya terus diberi notis dalam masa singkat sekali dapat menghubungi Menteri Luar Iran kerana Presiden Iran setelah berlakunya serangan pembedilan yang mengakibatkan syahid Imam Hussein Al-Khamenei maka dia dikawal sangat rapi. Dia beri hanya pesanan dan dalam hubungan telefon itu, saya tentunya menyampaikan pandangan kita pertama, Malaysia ini walaupun sukar kita menyatakan dengan tegas dukungan kita kepada Iran dan bantah keras serangan Israel dan Amerika Syarikat dan melahirkan takziah atas syahidnya pemimpin utama Iran, keluarga, pemimpin-, pemimpin-pemimpin termasuk tentera dan rakyat termasuk 150 anak-anak kecil yang dibedil.
  1. Tapi saya juga sampaikan bahawa harus jadi cari jalan penyelesaian, bukan dengan Israel dengan Amerika, tapi dengan negara Islam, sementara saya tidak mampu membantah bila ada serangan terhadap Markas tentera Amerika di negara itu. Tetapi terpaksalah kita menyuarakan pandangan kerunsingan kita kerana pembedilan itu juga mengakibatkan serangan pada masyarakat awam dan itu saya minta supaya dileraikan.
  1. Dan saya hormat pandangan Iran, kerana Iran dia mengambil serius dan tentunya ramai, Recep Tayyip Erdoğan beritahu dia juga telah sampaikan Amir Qatar juga sampaikan, jadi pagi tadi saya lihat ada respons dari Presiden Iran memohon maaf atas ketelanjuran menyebabkan kerosakan kawasan-kawasan Islam dan memberi jaminan mereka tidak akan menjadikan kawasan di rantau Islam itu sebagai tempat ataupun tumpuan untuk mereka menyerang. Jadi ada sikit perubahan.
  1. Saya sampaikan ini kerana kita dari Malaysia ini tak boleh elak, bukan kita nak tunjuk hebat kita, atau pandai-pandai kita, tapi tidak boleh elak. Kita ini sebahagian daripada umat dan kita ini tegak diri dan termasuk dalam amalan Ramadan Kareem untuk apa? Untuk mantapkan peribadi, keimanan dan akhlak dan roh perjuangan Bagaimana kita boleh katakan kita hidup selesa dengan roh dan semangat ini kalau kita tak mampu menyuarakan pandangan tentang kezaliman yang menimpa umat di tempat yang lain. Itu satu bab yang kita juga renungkan ini bersama dengan rakan-rakan saya, KSP pun ada di sini ialah kesan dan bala ekonomi yang akan menimpa dunia termasuk Malaysia.
  1. Pengeluaran gas Qatar itu nombor 2 di dunia dan sekarang terhenti 200 kapal dan tankers, oil tankers, minyak dan gas dan juga pengangkutan barang-barang kejuruteraan. 200 masih terhalang di Selat Hormuz. Ada pengangkutan alternatif yang dibawa itu jalan jauh sepertimana penerbangan kalau pulang dari Saudi dia tidak boleh direct dia ke Turkiye, patah balik ke negara China, turun baru ke Semenanjung Tanah Melayu. Kos itu bertambah berganda-ganda. Harga minyak melambung naik $93 sekarang, saya telah beri jaminan akan sedaya upaya menahan dan dikenaikan minyak RON95. Saya bincang semalam dengan PETRONAS, dengan Tan Sri Mohd Hassan Marican, juga, mereka berpendapat mungkin kita dapat bertahan satu setengah hingga dua bulan. Lepas itu kita kena teliti kalau keadaan lebih rumit sepertimana yang ada sekarang. Kita doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita dapat mengelak dari, elak daripada kerosakan dan malapetaka ekonomi yang bakal menimpa.
  1. Saya sebut perkara ini kerana saya tidak mahu rakyat itu rasa mudah, enteng. Kita sekarang senang, makan banyak. Tapi ingatlah, lebih baik kita berhemah sekarang. Berjimat sekarang. Menyimpan sekarang. Supaya jangan kita terjebak bila keadaan sukar. Saya tentunya tidak mahu, apalagi dalam kedudukan saya, saya tidak mahu umpamanya tak semena-mena harga melambung, harga barang dan sebagainya. Tapi saya nak beritahu, kita boleh kawal sedaya upaya ekonomi negara kita, tapi sukar kita kawal perkembangan geopolitik dan juga perkembangan ekonomi dunia.
  1. Itu sekadar kerana tentulah rakan-rakan di PDRM dan PGA harus tahu kerana saudara di lapangan, di barisan depan, sebab itu saya sering mengingatkan, kadang-kadang anak-anak muda lupa, harus diperingatkan negara ini aman, dia tidak automatik kerana kesiapsiagaan termasuk barisan pertahanan kita, PDRM kita, tentera kita yang diperbatasan dengan pengorbanan mereka, dengan kesusahan mereka. Jadi sentiasa harus kita beri peringatan Jadi itu yang pertama.
  1. Jadi kata saudara Saifuddin dan kalau begitu yang dia minta takkan tidak boleh bagi. Dia tahu mukadimah dia memang. Sebab itu dia minta sangat saya hadir, dia nawaitu dia itu untuk peruntukkan, tapi peruntukkan itu bukan untuk dia, peruntukkan untuk rakyat, jadi kita terima baiklah.
  1. Jadi, tapi sebelum itu AKPS, PGA dan semua rangkaian dalam PDRM ini telah lakukan sebaiknya dan Ketua Polis Negara tahu saya dalam mesyuarat-mesyuarat itu saya agak tegas dalam beberapa perkara ini. Kita tak boleh lagi dah, Malaysia ini tak boleh kita anggap macam negeri yang lembab dan banyak ketirisan boleh pakai pakat-pakat sogok-sogok wang jahannamkan negara, tidak boleh lagi dah. Saya tahu ramai yang tidak senang kenyataan, tapi percayalah rakan-rakan ada, Menteri Dalam Negeri ada, Dato’ Seri Sanusi ada, saya nak beritahu saya tidak tolak ansur buat begitu dalam setiap mesyuarat tidak boleh ini tidak boleh menghalang teguran dan kritikan.
  1. Tetapi tugas kita mesti bersihkan. Sebab itu saudara tengok hasil, hasil meningkat dengan begitu cepat. Bayangkan ke mana jumlah yang kita kutip tahun 2023, 2024, sebahagian 2025, RM15.5 billion ringgit ke mana? Sebelum ini tak dikutip, ke mana wang itu? Kalau kita boleh kutip RM15 bilion ringgit dalam tempoh 2 tahun, ke mana wang itu kita tak kutip sebelumnya. Ini soal yang mesti kita jawab dan kalau kita tidak mahu ulang kesilapan dulu mesti kita terus tegas mengambil tindakan.
  1. Saya katakan tidak popular sebab orang-orang yang terkesan bukan orang kecil, ramai yang punyai dana yang besar yang boleh mempengaruhi media antarabangsa, boleh pengaruhi sosial media, boleh pengaruhi orang-orang politik dalam pelbagai parti, saya bukan maksudkan pembangkang, semua. Kerana dana yang besar itu mempengaruhi dan ini kita saksikan sekarang.
  1. Sebab itu saya ingatkan saudara saudari berwaspada, jangan kita terjebak dan menjadi perkakas, kerana bagaimanapun kita berbeza pendapat negara ini negara kita, dan mesti kita selamatkan daripada pengaruh dan muslihat dan konspirasi asing.
  1. Jadi atas menghargai rakan-rakan, dia minta tadi, saya pergi mana, saya beritahu Sanusi, saya pergi mana pun nak turun satu majlis, bila dia kata terima kasih Dato’ Seri datang, tak minta duit, tapi saya belum berjaya lagi. Tapi saya terima, kerana kalau diperlukan. Tadi saya sebelum masuk tadi saya pergi jumpa, tanya rakan-rakan anggota di luar. Saya tanya macam mana keadaan, memang kata air pakai catuan. Ini 2026, orang ini berhempas pulas di lapangan, dia balik, dia fikir catuan air. Jadi oleh itu untuk RM10 juta, kita luluskan segera.
  1. Kemudian masa ini juga dia kata ni apa talian apa, wiring dia, saya tengok ini wiring okey je, wiring tang mana yang rosak, masjid pun cerah elok. Dia plan, sesetengah tempat saya pergi dia tahu saya nak sampai, dia rosakkan wiring dulu, itu baru meyakinkan. Yang ini nampak semua terang elok, tapi takpalah dia berapa? RM8 juta? Jadi yang itu kita dulu, yang lain tangguh dulu ya. Jadi RM10 juta air, RM8 juta wiring (18 Juta). tengok ini special case di sini kerana saya datang, kata air takdak. Tapi saya tak mahu cakap banyak. Saya kata masa saya di Sungai Buloh dulu banyak air kecatuan juga. Jadi saya ada pengalaman catuan air ini. Jadi ini anak-anak tanya pasal apa Dato’ Seri di Sungai Buloh ha panjang lah cerita, baik.
  1. Yang keduanya, kita undang pada malam ini wakil-wakil dari Pondok dan Tahfiz kerana bila saya jumpa guru-guru sekolah pondok diselaraskan masa itu oleh Menteri Besar Kelantan, saya lihat setengah-setengah pondok itu teruk betul, daif betul dan kita tahu sejak 2003 pada masa itu, Kerajaan pada masa itu, Perdana Menteri pada masa itu dia hentikan semua bantuan sekolah pondok 2023 saya kembalikan dana itu, tapi tentu tidak cukup.
  1. Saya tengok keadaan tu daif betul sekolah pondok. Jadi, melalui KPM ICU, kita teliti semua pondok-pondok ini dan kita dah luluskan lalui JAKIM sejak tahun lalu sekitar RM200 juta keseluruhannya, tetapi kita tambah untuk khusus bagi pelaksanaan prasarana pondok dan tahfiz. Jadi kita kena, tapi saya bagi syarat, tidak susah. Apa dia nak ajar soal apa dia panggil manhaj tarbiyah dia, ta’lim dia, tafadhal, kita tidak ganggu. Hendak ajar kitab daripada Munyatul Musolli, Kimiya-u sa’adah, Ihya’ Ulumuddin, teks-teks itu terus, saya tidak ganggu, saya tidak ada kemahiran, kepakaran bidang itu.
  1. Tetapi saya minta tambah subjek, kerana kita wajibkan semua sekolah, sekolah termasuk sekolah Cina, sekolah antarabangsa Bahasa Melayu, sejarah itu satu. Keduanya saya kata, kita akan sediakan kemudahan, jadi kita guna MDEC untuk perkenalkan IT – Computer Digital di sekolah pondok. Bila saya bincang, Alhamdulillah guru-guru Sekolah Pondok terima baik sekali dan kita dah mula untuk beberapa Sekolah Pondok sebagai test case untuk nak perkenalkan modul yang boleh diterima oleh sekolah 9Jadi untuk Negeri Kedah, kita kenal pasti untuk seluruh Negeri Kedah peruntukkan segera ada 15 projek-projek kecil ini, untuk Sekolah Pondok perbaiki dan saya luluskan ada wakil-wakil pun ada di sini, RM2.69 juta untuk baiki sekolah-sekolah.
  1. Jadi semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita, kita ada tazkirah lagi, jadi saya ucap sekali lagi terima kasih dan doa supaya negeri ini selamat. Betul saya dalam beberapa hari ini memang terkesan dan runsing betul tentang ancaman keselamatan negara kita dan juga kesan daripada ancaman kesan kegawatan ekonomi. Kalau belum reda perang di negara Teluk, khususnya serangan Israel dan Amerika ke atas Iran.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Share: