TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS SUMBANGAN KASIH MADANI PARLIMEN TAMBUN SEMPENA TAHUN BARU CINA DAN SAMBUTAN RAMADAN

14 Februari 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI  

SEMPENA 

MAJLIS SUMBANGAN KASIH MADANI PARLIMEN TAMBUN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA DAN SAMBUTAN RAMADAN 

14 FEBRUARI 2026 (SABTU) | 12.00 TENGAHARI

SJKC YUK CHOI

IPOH, PERAK

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ge Wei Lai Bin. Da Jia Hao.

 

Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

Yang membantu menyelaraskan program hari ini,

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Tan Sri Vincent Tan, dan semua yang hadir;

 

Yang Berhormat Sandra Ng Sai Ching,

Wakil Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak; dan

Rakan-rakan yang dimuliakan.

 

  1. Anak-anak yang dikasihi sekalian, Terima kasih. Kita nak sambut Ramadan dalam beberapa hari lagi, kemudian Hari Raya Cina. Jadi saya nak sebut sedikit, mula dengan Ramadan. Ramadan ini kita wajib puasa. Dalam al-Quran, itu anjuran itu jelas, bahawa bulan Ramadan kita diminta berpuasa. Tetapi ini kena dengar baik-baik, Islam ini mesejnya itu menyeluruh, universal. Al-Quran menyebut puasa itu wajib, puasa wajib, mesti puasa: Kutiba ‘alaikumus siyam, ya, puasa.

 

  1. Tetapi ditekankan juga amalan puasa ini wajib dan pernah diamalkan oleh umat terdahulu. Kutiba ‘alalladhina min qablikum. Maknanya bukan suatu perkara yang aneh. Semua orang mempunyai kepercayaan agama diperintah yang terdahulu sebelum Islam, diperintah untuk mengamalkan puasa, walaupun kadang-kadang cara lain-lain. Saya faham dalam agama-agama lain pun ada, walaupun kaedah dia, cara dia berbeza. Tetapi amalan, disiplin, tahan makan, minum itu ajar disiplin. Untuk apa? Kalau dalam Islam, la‘allakum tattaqun, supaya kita tingkatkan diri dan menjadi lebih baik.

 

  1. Dalam negara MADANI, dalam sistem pendidikan kita, kita sebut prinsip yang sama. Mengapa datang ke sekolah? Mengapa ada sistem pendidikan? Untuk menimba ilmu. Menimba ilmu supaya menjadi pandai dan baik dan pintar. Supaya ada disiplin. Supaya baik nilainya dan ini juga diterapkan di sekolah-sekolah.

 

  1. Kita ada sekolah. Kita ada pelajar-pelajar Melayu, Cina, India, Sikh. Semua ada di sini. Ingat, kita satu negara. Pelbagai warna kulit, pelbagai kaum, pelbagai agama. Bukan untuk bermusuh, untuk lita’aarafu – kenal dan hormat antara satu sama lain.

 

  1. Jadi mudah-mudahan puasa Ramadan ini kita jadikan amalan yang baik, disiplin. Kalau ada kes-kes buli, lapor. Kalau kes pelajar malas, baiki dan lapor. Ini barulah kita beri makna pendidikan. Kemudian, itu dari segi Ramadan. Tetapi kita juga rakyat Malaysia. Kita tahu rakan-rakan kita, jiran kita, sahabat kita sambut Hari Raya Cina. Jadi kita ucapkan di mana-mana tentang Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le, Xin Nian Hao, Nian Nian Hao.

 

  1. Ini yang kita ajar dan didik, maknanya kita ucapkan kepada rakan-rakan kita supaya tahun ini baik, makmur, dan tahun-tahun berikutnya pun baik, ini semangat.

 

  1. Jadi saya mahu kalau di kalangan kalau anak Cina yang bukan Islam jumpa orang Melayu beragama Islam kata selamat puasa, you hormat dia kan?. Orang Islam jumpa kawan-kawan dia Cina, Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai. Barulah ada semangat kita dalam satu negara. Boleh?

 

  1. Ini saya pesan kepada anak-anak kerana ini pendidikan, pendidikan ini dalam negara MADANI ini untuk jadi baik, untuk hormat satu sama lain. Jangan jadikan kita itu warna kulit berbeda, kaum berbeda, siapa dia jadikan? Itu Allah jadikan. Mengapa kita nak hina orang? Mengapa kita nak musuh dengan orang? Jadi kita bawa budaya ini. Ini yang saya ingat penting dalam dunia pendidikan.

 

  1. Kemudian hari ini pula, kita tengok tadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Ngar Kor Ming bagi gambaran tentang kejayaan negara kita. Ini bukan mudah kerana pegawai-pegawai buat kerja, pimpinan negara buat kerja, syarikat swasta buat kerja, pekerja-pekerja, ibu bapa kita bagi sumbangan, bukan semua yang pangkat besar. Kalau tak ada orang yang cuci tandas sekolah, tandas kotor. Jadi kita belajar hormat dan muliakan orang yang kerjanya tukang cuci tandas, boleh?

 

  1. Yes. Ini baru jadi manusia baik. Ini mentang-mentang kita agak jadi pelajar yang berada, datang dengan kereta, orang yang cuci tandas kita pandang rendah. Ini poor education. Ini bukan pendidikan yang baik. Ini tak ada nilai. Ini latih pelajar jadi sombong, latih pelajar hina orang. Ini pendidikan begini gagal.

 

  1. Jadi belajar, saya tengok tadi saya lalu tengok bila ada jaga dan sebagainya, ada yang lalu laju saja. Saya mahu anak-anak hormat. “Selamat pagi Encik”, apa? Sebab dia miskin, uniform dia buruk, kita tak boleh hormat? Hormat ini prinsip dalam MADANI. Hormat ini bukan sahaja orang kaya, tapi juga orang miskin. Hormat ini manusia semuanya, orang kaya ke orang miskin ke kita hormat dia, boleh? Saya nak karang bila keluar dewan tengok hormat semua. Kadang-kadang saya lihat di hotel, orang besar-besar lalu nak pergi ke tandas dia tengok orang miskin yang kerja cuci tandas itu macam sampah. Ini tak ada pendidikan. Tak ada nilai.

 

  1. Sebab itu dalam pendidikan, Menteri dia ada di sini, kita tekankan soal supaya jadi baik. Belajar dengan rajin. Excel in your studies. Ya, cemerlang dalam pendidikan, tetapi jadi manusia yang baik. Sebab itu bila saya dengar ada kes buli, apa masalah kita? Oleh kerana kamu besar sikit, kamu kuat sikit, kamu kena tendang orang? Kamu ini bukan ada pendidikan. Kamu ini pengecut. Kalau betul kamu berani, ambil orang yang lebih besar dan kamu lawan.

 

  1. Jadi kalau anak-anak tengok mana-mana budak-budak yang suka buli, cadang kepada dia, oh kamu kuat kamu hebat nanti panggil seorang wrestler, kamu lawan dia. Ini cara kita didik, sebab itu saya sangat tidak suka bila saya dengar sekolah kita bina begini cantik, makmal ada kampus-kampus cantik, belanja tinggi tahun ini, nak tambah guru kerana sekolah mula umur 6 tahun darjah 1 dah mula, prasekolah umur 5 tahun, darjah 1 umur 6 tahun. Belanja ini ratusan juta ringgit nak kena tambah, tapi kalau kita hasilkan manusia yang sombong yang tidak ada akhlak, tidak ada nilai dia tidak akan ada faedah.

 

  1. Sebab itu hormat antara satu sama lain, hormat walaupun beza warna kulit, hormat walaupun beza darjat kaya miskin, hormat walaupun beza budaya atau kaum. Ingat, ini prinsip dalam pendidikan. Baik jadi situ yang saya nak pegang bagi nasihat belajar rajin-rajin.

 

  1. Sambut puasa ikut tradisi Islam, sambut Hari Raya Cina, cuma hari raya pertama je hari lain boleh sambut tapi malam. Ada kawan-kawan Cina nak ajak makan, suruh dia tukar time malam sikit. Jadi kita boleh muliakan mereka dan mereka muliakan kita.

 

  1. Hari ini saya terima kasih juga kepada Tan Sri Vincent Tan kerana yayasan dia berjaya setuju bagi bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah. Ingat, di daerah lain tak ada yang macam ini, mungkin dapat RM50, mungkin RM100. Ini anak-anak Tambun dapat begitu banyak, patut terima kasih. Mesti belajar lebih rajin. Balik cium tangan ibu bapa. Balik dah dapat RM150 balik hari ini cium tangan ibu bapa dan jangan lupa syukur kepada Allah SWT dan ibu bapa, dan tekad jadi lebih baik, manusia lebih baik. Ini dengan satu permulaan yang baik kalau kita buat.

 

  1. Saya juga faham baru-baru ini saya umumkan peruntukan bagi sekolah menengah, kebangsaan, sekolah kerajaan, untuk semua kemudahan tambahan dan termasuk baru-baru ini RM800 juta tambahan, kebanyakannya untuk sekolah kebangsaan, tapi pada hari ini kerana hampir Raya Cina, saya juga nak ambil kesempatan untuk umumkan semua sekolah-sekolah Cina SMJKC untuk dapat sedikit lagi tambahan bila ada keperluan. Sama ada kemudahan asas dan sebagainya, kita berikan tambahan selain daripada RM80 juta yang telah diluluskan, sempena menghormati rakan-rakan dan sahabat handai kita masyarakat Cina, saya tambah RM20 juta lagi.

 

  1. Jadi itu saja yang saya nak sebut. Jangan lupa, belajar rajin-rajin yang itu pertama. Perangai mesti baik balik rumah, cium tangan ibu bapa, tunjuk kasih sayang kepada mereka dan doa sentiasa untuk jadi manusia yang baik.

Terima kasih. Wassalammualaikum.

 

 

 

Share: