TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA SEKOLAH AGAMA RAKYAT KAFA SAIDATINA AISYAH, BENTONG
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA SEKOLAH AGAMA RAKYAT KAFA SAIDATINA AISYAH, BENTONG
22 JANUARI 2026 (KHAMIS) | 2.00 PETANG
DEWAN PERKARANGAN KAFA SAIDATINA AISYAH,
TAMAN HARMONI, BENTONG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara saya, Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,
Menteri Besar Pahang;
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir,
Menteri Ekonomi;
Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Speaker dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Setiausaha Kerajaan Negeri (SS);
Pegawai Daerah, pengasas, guru-guru dan cucu-cucu yang tercinta.
- Alhamdulillah, Atok dapat bersama meraikan Pusat Pengajaran Al-Quran, Saidatina Aisyah. Ini kita tahu usaha dan inisiatif ABIM, seperti mana juga banyak usaha-usaha lain; oleh masjid, oleh jawatankuasa, tetapi ia memenuhi juga keperluan pendidikan asas kita. Sebab yang kita nak latihkan itu manusia dengan rohnya yang baik. Sebab itu, yang dilatih itu, asas bagi bangkitnya anak-anak muda yang diungkapkan dalam Al-Quran, ‘innahum fityatun āmanụ birabbihim wa zidnāhum hudā’. Apa sambungannya? ‘Wa rabatna ala qulubihim. Idh Qamu Faqalu Rabbuna Rabbu As-Samawati Wa Al-`Arđ’, sehingga akhir ayat.
- Yang dijanjikan dalam Al-Quran itu, yang disebut dalam Al-Quran, orang yang dapat pertahankan dari serangan itu, kerana terpahat keimanan mereka, dan kerana iman mereka ditambah hidayah. Ini kita kena yakin begitu. Maknanya iman itu permulaan dan dilengkapkan dengan nilai, dengan ilmu, dengan roh perjuangan. Sebab itu di ayat berikut itu memperkukuh. Kerana apa? Orang-orang, anak-anak muda ini ada iman, dia tambah hidayahnya. Kerana ‘warabatna’, terpahat dalam hati sanubari mereka itu keyakinan, ‘ala qulubihim’ – hati sanubari dan kalbu mereka. Keyakinan bahawa yang besar itu ‘Rabbuna’ – Tuhan kami, ‘Rabbu As-Samawati Wa Al-`Arđ’ – Tuhan yang menjadikan langit dan bumi.
- Dan sebab itu, dalam KAFA ini kita dukung, kerana dia bagi asas yang kukuh. Manusia ini terasnya, keyakinan. Keyakinan itu aqidah. Dari keyakinan itu untuk membentuk akhlak dan nilai. Dan itu yang boleh jadi kekuatan, disiplinnya, kerajinannya, meneroka ilmu barunya dan perjuangannya untuk menegakkan makruf dan menolak kemungkaran, kerana terpahat keyakinan.
- Bagi saya tentunya saja guru-guru, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah ini lebih arif dalam bidang ini untuk mengupas, tapi semangat ini yang menjadi natijah dalam negara MADANI. Negara MADANI itu tidak mahu ketinggalan, mesti ada apa yang kita sebut ‘menggapai di langit’, teknologi baru, AI, digital, mesti. Tetapi apa bedanya dengan dasar-dasar pembangunan yang lain? Ia ‘mengakar ke bumi’. Bagaimana ‘mengakar ke bumi’? kerana kita letakkan prinsip nilai, prinsip ihsan, prinsip rahmah, yang bukan pada teori dan falsafah manusia, yang berteraskan keyakinan, keimanan dan nilai keislaman. Itu pandangan kami yang melakar konsep MADANI. Tapi ada orang tak setuju, dia lakar sendiri, itu soal lain lah. Tapi lakar kita ini, kalau tanya saya.
- Sebab itu dalam pendidikan mesti ada nilai. Dalam rangka ekonomi dan Rancangan Malaysia, ini Menteri Ekonomi dia ada nilai, tapi nilai saja tak cukup, dia jadi orang baik, ya, tapi dia tak tahu teknologi. Dia tak boleh hasilkan jurutera, saintis, pakar IT, dan AI, maka negara tak maju. Jadi, terasnya adalah keyakinan, keimanan.
- Itu sebabnya mengapa saya hadir walaupun singkat ke Sekolah Agama Rakyat ini dan Pusat Pengajian Al-Quran, dan saya tentunya terharu kerana saudara-saudara yang mengasaskan, begitu juga teman-teman lama, tekadnya dan menghasilkan sebuah program Pendidikan, yang semasa saya dalam Presiden ABIM tak sempat buat. Sebab masa itu kita asyik bertempur sahaja dan Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dia sokong dari belakang, masa itu dia tak mengaku, sekarang dia baru mengaku.
- Jadi, itu sahaja saya lengkapkan jazakumullahu khairan kathiran, kerana ini satu perkara yang baik. Kita dalam masa muda-muda kita tahu, betul penguasaan politik itu penting, penguasaan ekonomi penting, teknologi itu penting, tapi dari mana kita mula? ini kawan-kawan dalam ABIM ingat dulu kalau kita bicara tentang perbahasan Syed Muhammad Ghazali dengan Khalid Muhammad Khalid, ‘Min huna nabda’ – from where do we begin? dari mana kita nak mula ni? Ekonomi? Politik? Perjuangan? apa-apa dia? nak ikut barat, nak ikut timur, nak ikut apa? dari mana kita nak mula? jadi dia terjemahkan buku dia itu, from where do we begin? Dari mana nak dimulakan? Ini kita bincang nak bangunkan negara Malaysia dari mana nak mula? Jawapan Syed Muhammad Ghazali, “jangan keliru, jangan serabut pemikirannya”, mulanya Syed Muhammad Ghazali kata, ‘Min Huna Na’lam’ – kita mula dengan ilmu, diterjemahkan our beginning in wisdom. Kerana ilmu dalam Islam itu adalah hikmah.
- Dan bila Saidina Ali bin Abi Talib r.a. ditanya tentang keghairahan, dia kata, love for scholarship. Bukan scholarship biasiswa, scholarship ilmu, scholarly pursuit. Itu Saidina Ali kata, Lazzatul Ma’rifah. Daripada perkataan ‘arif’ – ilmu dengan hikmah dan kebijaksanaan.
- Asal bagi keyakinan kita Quran, jadi Quran itu sumber ilmu, sumber hikmah, sumber kekuatan kehidupan. Demikian tazkirah petang ini.
- Tadi disebut memang perutukan kita tambah, bukan kecil. Masa saya ambil alih, peruntukkan itu RM1.2 bilion. Sekarang, dengan ekonomi sekarang yang rancak dan berkembang, dengan perencanaan kita, kita tambah RM2.6 bilion lagi. Ini termasuk sekolah-sekolah agama rakyat yang daif, kita tambah RM200 juta dan kita akan teliti melalui Pegawai Daerah dan ICU, tengok apa yang diperlukan termasuk pengajian ini, tapi untuk permulaan, dah datang, kata kawan saya, dia kata takkanlah pulak datang tangan kosong, dulu datang sebagai Presiden ABIM tak apalah, tapi sekarang datang sebagai Perdana Menteri, jadi okeylah, kita bagi RM100,000.00 untuk persiapan ini semua.
- Jadi, terima kasih sekali lagi kepada anak-anak. Salam kepada ibu bapa, dengar nasihat ibu bapa. Dengar, dengar. Hari-hari, cium tangan ibu bapa itu je. Bila datang mengaji, balik rumah tak ubah kembali, tak boleh. Dengar nasihat mereka, rajin baca hafalan, dengar nasihat ustaz ustazah, mudah-mudahan masa depan kita lebih bahagia dan berjaya.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
