TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA MASYARAKAT TIONGHUA

22 Januari 2026

 

 

 

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA MASYARAKAT TIONGHUA

 

 

22 JANUARI 2026 (KHAMIS) | 11.40 PAGI

DEWAN UTAMA, SJKC PERTING

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Saudara saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,

Menteri Besar Pahang;

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

Speaker;

 

Menteri-menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua setiausaha Negara;

 

Ketua Polis Negara;

 

YB Puan Young Syefura binti Othman,

Ahli Parlimen Bentong;

 

Ahli-ahli Dewan Undangan Kerajaan Negeri;

 

Guru Besar;

Pengerusi Lembaga; dan

 

Anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

Ge wei lai bin, Dajia hao.

 

  1. Saya ucap terima kasih, kerana sambutan oleh anak-anak sekolah, Guru Besar SJKC Perting ini, dan saya harap Guru Besar, anak-anak ikuti rancangan kita untuk 10 tahun akan datang.

 

  1. Malaysia ini sudah menjadi negara yang sudah matang. Tumpuan kita meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita. Saya tetapkan dalam negara ini penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Kita juga tekankan keperluan untuk kita saing di negara, di persada dunia, penguasaan Bahasa Inggeris dengan baik. Tapi sistem negara kita membolehkan anak-anak di SJKC, SJKT untuk menguasai Bahasa Cina, Bahasa Tamil yang baik. Malah, dengan syarat semua menguasai Bahasa Melayu bagai bahasa rasmi negara.

 

  1. Kita sudah pastikan, tetapkan supaya Kementerian Pendidikan juga menyediakan guru-guru Bahasa Cina secukupnya, bukan sahaja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tapi juga sekolah kebangsaan, sekiranya ada anak-anak yang mahu belajar Bahasa Cina atau Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

 

  1. Ini kita mahu ke depan, sebab kita tak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan soal bahasa. Padahal SJKC Perting kalau saya tanya, apa keutamaan kita? Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan mutu pendidikan anak kita, sebab anak-anak lulusan Perting Bentong ini juga dapat naik kedudukan mereka. Bersaing bukannya dalam negara, di rantau ASEAN dan di dunia. Jadi ini cita-cita kita.

 

  1. Jadi bahasanya, sains dan matematiknya, AI-nya harus dikuasai sejak di bangku sekolah rendah lagi. Jadi itulah yang kita nak tekankan. Saya harap semua rakyat, dari semua kaum, lihat rancangan ini dari sudut mengangkat mutu pendidikan negara.

 

  1. Ada perbedaan-perbedaan kecil, kita boleh bincang. Tapi jangan hilang fokus kita. Fokus kita, kalau mahu negara Malaysia maju, kalau mahu anak-anak kita maju, baiki sekolah. Latih guru-guru. Beri kemudahan, kuasai bahasa, kuasai digital dan AI, kuasai matematik, sains dan teknologi. Ini akan menentukan masa depan anak-anak kita.

 

  1. Bila saya sebut anak-anak kita, anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban, anak Kadazan, itu anak-anak kita. Ini sikap baru, yang baru kita hidupkan di kalangan rakyat Malaysia. Kalau ini yang jadi fokus kita, tidak lari daripada prinsip Perlembagaan, tidak lari daripada jati diri negara Malaysia, kita ada masa depan yang lebih baik.

 

  1. SJKC Perting ini telah memohon daripada Kerajaan supaya dapat diperbaiki. Saya tengok sekolah ni baik dah, dewan pun cantik. Mana Guru Besar? Guru Besar mana? Haa okay. Mari Guru Besar, tidak mengapa, come, come. Saya nak buat pengumuman penting dan saya nak Guru Besar ada. Kita mahu Guru Besar, guru-guru itu latih anak-anak kita, anak-anak Malaysia yang boleh jamin masa depan lebih baik. Mesti rajin belajar, mesti cukup disiplin, mesti tunjuk kasih sayang sebagai rakyat Malaysia, sesama kita.

 

  1. Kerajaan dan saya bertanggungjawab untuk bantu sedaya upaya. Ada permohonan dari sekolah, dari Pengerusi Lembaga Sekolah. Pengerusi Lembaga Sekolah ada? Mana Pengerusi Lembaga Sekolah? Encik Lee, naik, naik, naik. Rara (YB Young Syefura), Rara sekali. PPD mana? PPD?. Tetapi kalau semua naik, Menteri Besar kena naik sebelah saya. Menteri Besar belah kanan.

 

  1. Kerana saya nak buat pengumuman. Sekejap nanti saya jumpa anak-anak sekolah tahfiz, sekolah agama. Kemudian ada peruntukan untuk sekolah Tamil. Tentunya kita beri perhatian utama Sekolah Kebangsaan, tapi ini anak-anak kita. Saya mahu rakyat Malaysia ini pandang ke depan sebagai rakyat Malaysia. Dan kalau ada masalah kita bincang, kalau boleh selesai, kita selesaikan.

 

  1. Jadi sebab itu pada hari ini saya ingin umumkan untuk SJKC Perting ini. Kita minta sekarang, cikgu prasekolah tahun depan bilik darjah kena cukup. Tahun depan, anak-anak umur lima tahun masuk prasekolah, enam tahun darjah satu. Kalau yang ibu bapa kata tidak sedia tidak apa, kita tidak wajibkan. Jadi, sekolah mesti ada kemudahan tambahan. Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan setelah runding dengan Menteri Besar, setuju meluluskan RM13.5 juta untuk sekolah Dan supaya kerja-kerja boleh dijalankan segera, kita luluskan RM300,000 sekarang supaya dapat jalan segera projek in.

 

  1. Ini di bawah DRP 1, RMK 13 2026 – projek sudah lulus, kerja awal boleh jalan sekarang, supaya tidak menimbulkan masalah bagi masa depan pelajar-pelajar.

 

  1. Jadi saya ucap sekali lagi terima kasih kepada Menteri Besar, Ahli Parlimen dan juga Pengerusi Lembaga, Guru Besar dan harap sekolah SJKC Perting ini menjadi salah satu sekolah baik, contoh bagi rakyat Bentong seluruhnya.

 

  1. Saya ucap terima kasih dan terima kasih atas layanan yang baik tadi, kepada Pengerusi dan juga Guru Besar. Dan kepada ibu bapa semua, bagilah sokongan supaya kita boleh tingkat lagi usaha kita, jaga sekolah kita, jaga negeri kita, jaga negara Malaysia tercinta.

 

Xiè xie ge wei. Terima Kasih.

 

 

Share: