TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN NOVEMBER BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 2026 (NBKK2026)
TEKS VERBATIM UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN NOVEMBER BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 2026 (NBKK2026)
7 NOVEMBER 2026 | SABTU | 3.30 PETANG
SELANGOR INTERNATIONAL TRADE CENTRE (SITC)
SHAH ALAM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Alhamdulillahirabbil’alamin. Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem, Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Berhormat Dato’ Sri Hajjah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat;
Yang Berhormat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat;
EXCO Kerajaan Negeri;
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat;
Sahabat lama YBhg. Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara;
Rakan-rakan yang saya muliakan.
Alhamdulillah, kita dapat jayakan sekali lagi Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan dan selain dari menyatakan syukur kepada Allah SWT dan taniah atas kejayaan kementerian ini sehingga mendapat peruntukan tambahan kerana kegiatan-kegiatan lebih menyeluruh. Jadi saya mestilah mula menyatakan penghargaan saya kepada Menteri Nancy Shukri, yang telah menjalankan tugas yang membanggakan.
Saya sebut ini kerana dalam sidang Jemaah Menteri mingguan, kemudian kita dengar rencana dasar keluarga, kemudian permasalahan anak-anak, kemudian kebajikan wanita, muncul lagi masalah-masalah penderaan kanak-kanak atau buli. Semua yang melibatkan keluarga dan disitu peranan Kementerian dan ya kerana Kementerian Pembangunan Wanita ini termasuk keluarga dan masyarakat. Jadi hampir setiap tajuk yang kita bincangkan, masalah anak di sekolah, masalah ibu sakit di hospital, masalah penderaan, masalah sakit mental semua itu melibatkan Kementerian dan sebab itu dalam rangka belanjawan umpamanya, saya arahkan pegawai-pegawai perbendaharaan itu juga mendengar, meneliti isu-isu yang dibangkitkan, sebab itu seperti mana yang disebut oleh Menteri tadi tatkala merangka dan mengumumkan, kita ambil hal-hal yang mungkin dianggap remeh dan enteng dari segi kerangka ekonomi besar, pelaburan puluh-puluh bilion ataupun baru ini Google masuk USD15 billion tetapi satu hal yang tak boleh kita tinggalkan atau ketepikan, bahawa semua ini tidak bermakna sekiranya keluarga itu tidak ada dimartabatkan dan pembangunan keluarga itu bagi pahaman kami dan juga dalam negara MADANI itu dianggap sangat merupakan paksi, asasi dalam pembangunan masyarakat. Sebab itu kita nak ambil kesempatan ini menyeru bapa, ibu dan keluarga keseluruhannya menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Kadang-kadang kita lepaskan ini semua kepada masyarakat. YB Nancy Syukri dalam mesyuarat Jemaah Menteri selalu sebut kadang-kadang ibu bapa bila serah ke sekolah, dia serah semua ke sekolah, kemudian guru-guru kalau bawa pulang ke rumah, bila pulang ke rumah itu bukan lagi permasalahan dia. Jadi ada kebenarannya tetapi dalam membangunkan keluarga, mendidik anak-anak, itu harus dipantau.
Sebab itu baru-baru ini, atas cadangan Kementerian, bila kita bicara soal sakit mental di kalangan anak-anak itu Kementerian Wanita meminta supaya laporan-laporan dari Kementerian Kesihatan dan sebagainya itu di share maklumatnya di kalangan semua jabatan dan kementerian.
Mengapa saya tekankan perkara ini? Kerana Kementerian ini punyai kedudukan yang agak istimewa. Dalam kementerian, kita tidak bicarakan tentang peluang pekerjaan atau pelaburan yang tinggi ataupun teknologi maklumat atau AI dan digitalization. Semua itu penting tetapi yang kita tekankan ialah pembangunan insan. Pembangunan manusiawi, bagaimana bentuk masyarakat masa akan datang itu dibentuk oleh keluarga. Sebab itu kita rasa terkesan sekali bila kita dengar sampai anak-anak dibiarkan begitu rupa, sama ada belajar atau tidak, terdidik segi akhlak atau tidak.
Apa yang nak bangga sangat dengan pembangunan negara ini dan pencapaian dengan mercu tanda dan bangunan pencakar langit kalau manusia di dalamnya itu tidak dididik sebagai manusia yang beradab dan berakhlak? Sebab itu dalam dasar kita, belanjawan, kita sebut menggapai di langit, mengakar di bumi. Maknanya untuk maju, anak-anak kita mesti dilatih supaya lebih pintar. Lebih pintar bererti menguasai teknologi baru. AI, digital, quantum computing. Itu tajuk-tajuk yang kita tak pernah dengar sebelumnya tetapi mesti dikuasai, kemudian, negara pun harus maju, di pacu dengan pelbagai hub baru.
Dua hari yang lalu, kita di Pelabuhan Klang. Logistics Hub yang paling canggih. Sebelum itu, saya sebut tadi Google, dengan segala kemudahan dan kelengkapan dia, dengan pelaburan RM61 bilion. Ini untuk menggapai di langit. Supaya anak-anak kita dilatih tetapi jangan lupa, dalam perdidikan dan pembangunan, kita sebut menggapai di langit, mengakar di bumi. Mengakar di bumi kerana kita manusia. Manusia itu fi ahsani taqwim. Dijadikan dalam bentuk yang seindah kejadian. Itu karamah insaniah diangkat martabat dan darjatnya tetapi dengan apa? Dengan iman. Dengan akhlak. Dengan sahsiah atau keperbadian yang baik. Itu yang disebut mengakar di bumi.
Bahasanya, adabnya, sopan santunnya, itu dididikkan asasnya di rumah. Zaman dulu, sekurang-kurangnya masa dimula-mula dengan penulisan. Munsyi Abdullah, seorang pengembara, juga penulis dan penterjemah kepada Stamford Raffles. Masa itu menjelajah ke Melaka. Dan di Melaka, Stamford Raffles tanya kepada seorang guru. Nama guru itu Lebai Abdul Razak dan, penterjemahnya itu Munsyi Abdullah, seorang pengarang dan Sasterawan Negara.
Jadi, Stamford Raffles tanya kepada Lebai Abdul Razak, “Apa yang kamu ajar anak-anak Melayu sejak peringkat kecil ini?” Lebai Abdul Razak jawab, diterjemah oleh Munsyi Abdullah. “Tentulah Quran, kenal Tuhan, punya adab dan akhlak yang baik, menguasai bahasa.” Tengok, daripada awal tak terlepas kita daripada pendidikan manusia seutuhnya. Sebab itu, selalu kita gesa dan saya ucap terima kasih kepada Kementerian ini, menekankan hal yang sedemikian, yang ditegaskan dalam Dasar Pendidikan kita. Adabani Rabbi fa’ahsana ta’dibi. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Maknanya pendidikan itu apa? Itu mendidik adab.
Dan kita dalam negara ini kadang-kadang hilang adab. Baca media sosial, hilang adabnya. Pergaulan, hilang adabnya. Politik, hilang adabnya. Perbincangan biasa, hilang adabnya. Padahal asas pendidikan itu adalah akhlak. Asas pembinaan keluarga sebelum bentuk masyarakat mula dari keluarga itu adalah isu adab dan akhlak. Budaya Melayu itu sendiri budaya yang terkenal sebagai budaya yang berakhlak dan beradab. Dan budaya dan tamadun manusia itu diukur dari hal yang sedemikian.
Sebab itu saya dukung semangat dan nilai kasih sayang, akhlak, sihat dan selamat, ilmu dan harmoni. Itu di rangkul cukup baik dah luar biasa ini. Kasih, kasih itu diolah, bukan main pandai orang Kementerian ni. Nanti saya pinjamlah untuk bagi pandangan yang elok. Kerana kalau baca, tengok, manusia ini hidupnya apa? Bagaimana nak didik anak-anak tak ada kasih sayang? Saya bukan nak katakan semua. Kan tiap hari Jumaat, saya pergi sebelum Solat Jumaat, saya ke warung dulu dan gerai. Tiap Jumaat selama sudah 4 tahun. Saya tak pergi ke hotel-hotel lima bintang, pergi ke gerai yang dekat-dekat dengan masjid. Jumpa, tanya perniagaan mereka, kehidupan mereka dan harga barang. Jadi kita dengar sendiri.
Baik. Lepas itu ke masjid. Dia ke masjid selalunya, oleh kerana saya suka layan cucu-cucu ni jadi, dia selalu dikerumun. Kadang tak ada peluang bapak dia nak bercakap kerana anak-anak, cucu-cucu ni ambil alih semua. Baru-baru ini di masjid, di mana ada jadi seorang abang tu dia kata kepada saya, “Tak apalah jauh jalan Dato’ Seri, ini tak boleh cucu ramai sangat sini, penuh”. Tapi tak apa kerana saya layan, saya senang dengan mereka. Tapi tiap kali saya jumpa, saya tanya, “Sekolah mana?” Baik. “Di sekolah ada tandas rosak ke tidak? Kotor ke tidak?” Dia selalu cakap, dia selalu dengan anak-anak ni yang sekolah rendah atau menengah, dia cerita jujur. Dia tak ada berlapik-berlapik. Dia okeylah, okey. Apa maknanya? Ada rosak, rosak berapa? Ada dua rosak, satu pintu tak ada. Jadi saya dengar itu dan masa itu Menteri direct mesti pantau. Jadi kena susuli.
Nanti esok saya nak buat Kementerian Digital pula. Selain daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jadi ini feedback yang baik. Kemudian saya tanya, “Ada guru bagi kerja di rumah, homework?” Ada. “Ada buat?” Kadang buat, kadang tak ada buat. Tengok jawabnya. “Ada ibu tanya tentang kerja rumah?” Ada yang jawab? Tak ada. Ada yang jawab, ada. “Ada ibu tanya, sudah solat ke belum?” Kemudian saya tanya, “Balik rumah malam-malam jam berapa?” Ada seorang tu dia kata, “Tengoklah.” Maknanya apa? Ikut-ikut. Jadi kalau balik lambat pukul 9, 10 malam, ada ibu bapa tanya? Ada yang kata tidak.
Jadi saya dengar ini, saya runsing. Kerana seperti mana yang disebut oleh Menteri tadi, kita bangunkan ini, kita bangunkan manusia. Jadi inilah kena collective effort of the entire community. Ini mesti melibatkan kesedaran kita. Tak ada shortcut, tak ada jalan pendek untuk capai kejayaan pendidikan atau kehidupan.
Jadi sebab itu asas didikan sangat penting. Saya mohon maaf kerana di banyak tempat saya sentiasa tegaskan ini. Tajuk ini bagi saya sangat penting. Dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini, dan saya selalu tegaskan kepada YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, jangan pandang ringan. Kerana ini nak selamatkan negara. Ini bermula di sini, bagaimana kita bentuk keluarga.
Dan ada bagi pandangan yang positif, tapi ada yang tidak. Jadi bila saya dengar, bagaimana ni anak ni nak selamat? Dia balik 9, 10 malam, tak ada yang tanya. Dia buat kerja rumah, tak ada yang tanya. Bukan semua. Mungkin jumlah kecil, tapi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk bantu mengingatkan dan menginsafkan. Itu yang pertama yang nak tekankan.
Yang kedua, bagi pihak kerajaan khususnya kementerian, itu dalam input kepada saya untuk belanjawan umpamanya, dari semua. Dari lahir, ibu lahir. Kemudian masalah bersalin. Saya dok fikir kata Nancy, cuti bersalin dah panjang, nak tambah pasal lagi. Jadi, hal itu pun diberi penekanan.
Kemudian, soal rawatan. Kemudian soal yang OKU. Soal kebajikan. Kita betul, kita bagi STR, SARA, berapa jumlahnya satu tahun? RM16 bilion. Tetapi, ada hal-hal yang khusus. Kalau anak kita itu mengalami kecederaan atau OKU, dia belanjanya tentunya tambah lebih daripada belanja biasa.
Jadi saya ucap terima kasih kerana rakan-rakan dari kementerian, khususnya Menteri, sangat prihatin. Selalu ganggu saya. Leter dengan saya tak larat nak dengar. Tetapi ini yang baik kerana kalau kita tak sampaikan, tentunya keutamaan Kementerian Kewangan itu ada ribu perkara. Takkan nak terfikir soal makcik di mana akan sakit. Tetapi inilah peranan kementerian dan saya hargai kerana ia menginsafkan dan mengingatkan bahawa untuk melakar dasar-dasar pembangunan dan untuk menjamin satu dasar yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat terbanyak, setiap perkara, sekecil mana pun.
Sekarang umpamanya, ibu-ibu dah ramai jadi penjawat awam. Di penjawat awam sendiri pun, tak ada kelengkapan yang cukup. Kalau nak serah kepada penjaga, itu kadang-kadang kos tinggi, RM300-400. Boleh tak di setiap pejabat kerajaan umpamanya, kita ada ruang, dan kalaupun bayar, bayar dengan harga yang sangat kecil ketimbang kena buat di luar.
Kemudian, ada lagi cadangan untuk kategori baru ni, yang penjaga ni. “Caregiver”. Oh, dia bising betul pasal caregiver ni. Kita kata apa benda caregiver ni. Sebab itu saya kata, bila kita dengar every single item is important. Kerana caregiver ni satu kegiatan yang sudah merebak dan meluas dan sangat diperlukan oleh masyarakat. Maka kita harus beri kerjasama untuk formalizenya, bantu supaya manfaatnya langsung kepada masyarakat. Jadi ini yang kita lakukan.
Setelah dengar keluhan gesaan Menteri, saya terus bincang dengan KSN, KPPA dan menyatakan, takkan tak boleh kita tambah keperluan di setiap pejabat. Saya masih ingat tahun 90-an masa saya di Kementerian Kewangan, kita adakan. Tetapi ternyata tidak cukup. Jadi, kita berikan keutamaan itu.
Kemudian disebut pula lagi tentang anak-anak yang memerlukan bantuan tambahan yang OKU, kos rawatan terlalu tinggi. Jadi, sekolah autisme ditambah.
Semua ini saudara-saudara, setelah kita dengar pandangan daripada kementerian, lembaga. Jadi sebab itu saya ambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan saya dan kefahaman saya bahawa membangunkan negara ini sebenarnya membangunkan manusia. Membangun manusia ini pangkalnya adalah keluarga. Jadi mudah-mudahan timbul lagi kesedaran lebih meluas. Pelbagai acara, anugerah diperkenalkan untuk memberikan kesedaran dan ruang. Dan saya ucap terima kasih.
Cuma saya dengar ada pertandingan karaoke. Itu saya tak mampu sebab saya tahu Rohani dan Nancy memang top bidang itu. Jadi, mula-mula saya nak masuk daftar nama saya, saya memang kalah. Jadi saya berundurlah, biar diorang saja. Saya pernah dengar. Standard terlalu tinggi. Saya lagu lain tak tahu, saya tahu lagu Azizah saja (nada berseloroh).
Jadi sekali lagi saya nak ucap terima kasih dan menyatakan penghargaan. Betul, saya pergi ke banyak kementerian, semua penting tetapi Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini bagi kita itu sangat penting kerana kita selalu boleh ke sini seperti mana saya sebut Hari Wanita atau Hari Ibu, kita ingat mak kita. Ya, isteri itu tentulah kita ingat. Tak sebut memang teruk pula kita, kita ingat keluarga. Jadi sangat menyentuh perasaan.
Jadi, mudah-mudahan lebih ramai keluarga kita yang lebih terdedah dengan maklumat ini membentuk masyarakat yang lebih baik. Saya benar-benar, walaupun seribu satu perkara lain yang kita terpaksa tekankan, percayalah hidup ini lebih bererti kalau kita mula dengan membina keluarga yang bahagia.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
