TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN MASJID JAMEK KUBANG ULU
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
MASJID JAMEK KUBANG ULU
24 JANUARI 2026 (SABTU) | 1:00 TENGAHARI
MASJID KUBANG ULU,
SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, thumma alhamdulillah,
Wa mā tawfīqī wa tusamiī ill billāh. ‘Alaihi tawakkaltu wa ilaihi unīb
Alhamdulillahil Qā’il Innamā ya‘muru masājidallāhi man āmana billāhi wal-yaumil ākhir, wa aqāmas ṣalāta wa ātaz zakāta, wa lam yakhsha illallāh, fa ‘asā ulā’ika an yakūnū minal muhtadīn
Rasūlullāh, wa ‘alā Sayyidinā Muḥammadin wa ‘alā ālihi wa aṣḥābihi ajma‘īn.
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,
Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang;
Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Halid bin Haji Othman,
Pengerusi Kariah Masjid Jamek Kubang Ulu; dan
Tetamu-tetamu yang saya muliakan.
- Alhamdulillah dapat bersama-sama menyempurnakan perasmian masjid yang kita asaskan di Kubang Ulu yang dipohon oleh kariah dan siap dengan megah dan bergaya dan seperti mana yang kita ucapkan dalam pengantarnya ayat Al-Quran tadi tentulah tanggungjawab kita itu mengimarahkan-nya.
- Itu tugas yang kedua membangunkan mengimarahkan untuk man āmana billāhi wal-yaumil ākhir dan aqāmas ṣalāta wa ātaz zakāta. Mudah-mudahan Jawatankuasa Masjid meneruskan kerja mereka supaya dapat tingkatkan peranan masjid itu sebagai pusat penyatuan umat, pencerahan pemikiran, kekuatan akidah, membaiki akhlak, membentuk generasi yang ada asas akidah dan akhlaknya. Dan ini juga dalam prinsip pendidikan negara kita.
- Minggu lalu saya luncurkan Rancangan Pendidikan Negara untuk angkat martabat rakyat supaya mutu pendidikan kita di tingkat. Kalau kita nak maju kita kena gapai yang di langit saya sebut. Teknologi baharu, ilmu baharu, digital, AI tetapi bezanya kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, sementara kita gapai di langit, kita mengakar ke bumi, mengakar ke bumilah itu menanam yang kata ithbat kan Allah, yang meng ithbat-kan supaya kekuatan aqidah dan akhlak dan nilai kita. Dan ini dalam pendidikan tidak lagi.
- Saudara-saudara di sini biasa, semasa saya Menteri Pendidikan dulu di mana-mana kampung, termasuk di Kubang Ulu ini bila saya sampai saya sebutkan prinsip dan falsafah pendidikan kita tak boleh lari. Kejar ilmu, kuasai semua bidang Sains teknologi, gapai di langit, tetapi akarnya di bumi.
- Ini selari dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW, addabanī rabbī fa aḥsana ta’dībī. Maknanya kita mohon pada Allah SWT timba ilmu tapi untuk memperkasa adab. Adab itu terpancar dari keyakinan, dari iman, dari akhlak, dari sahsiah dan daripada situ baru ada adab, adab peribadi, adab bergaul, adab dalam masyarakat. Dan adab itulah kemudian mengangkat menjadi peradaban. Tepat Bahasa Melayu yang akarnya Bahasa Arab kerana daripada adab, dia boleh jadi peradaban. Maknanya, angkat nak jadi peradaban baharu, negara maju, rakyat pintar, itu peradaban, tapi asas dia itu nilai.
- Maka masjid, mesti selari dengan falsafah pendidikan kita. Ada orang menganggap bahawa pendidikan ini berbeza, kerana kita ada sekolah agama, Maahad Tahfiz jadi sekolah ni berlain. Saya tidak setuju. Ada pengkhususan sebab itu oleh kerana Tok-tok guru pun ada di pondok-pondok, saya tegaskan dulu sejak 2003, Halid ingat, ada keputusan kerajaan pada ketika itu batalkan semua peruntukan bagi kerajaan bagi Sekolah-sekolah Agama Rakyat. Jadi ingat, batal keputusan penguasa pada masa itu. Tetapi saya tukar.
- Bila jadi Perdana Menteri saya takkan, Menteri betullah Tambun tapi takkan saya nak lupa Permatang Pauh. Saya tak lupa. Ini asas saya. Tempat jatuh pun dikenang ini tempat bermain masa itu, kenal dunia politik dan perjuangan. Ini banyak di sini. Jadi, pada masa itu kita tekankan pentingnya prinsip yang saya sebut tadi
- Jadi, bila jadi Perdana Menteri, di antara perkara pertama yang saya lakukan, 22 November 2022 jadi Perdana Menteri, pada 23 November 2022 terus saya luluskan kembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Dan itu pun saya rasa tak cukup. Kita tambah peruntukan bagi kegiatan Islam, termasuk melalui JAKIM, 2.6 bilion ringgit, tinggi.
- Kemudian tahun ini saya jumpa tok-tok guru, melawat beberapa pondok, termasuk di Kelantan. Saya lihat daif. Jadi kata tidak boleh macam ini, anak-anak kita. Empat ratus ribu lebih pelajar maahad tahfiz, sekolah agama. Jadi oleh itu kita putuskan tambah baik.
- Jadi di sini saya nak umumkan juga, kita telah menyediakan peruntukan pada tahun lalu 150 juta ringgit, tahun ini 200 juta ringgit untuk memperbaiki kelengkapan di sekolah-sekolah agama, sekolah pondok dan maahad tahfiz di negara kita, termasuk di Pulau Pinang.
- Memang kita dah kenal pasti sebelas projek di Pulau Pinang. Tengok, kendalikan sebahagian pondok-pondok ada di sini, sekolah-sekolah agama. Dan kalau perlu, tentulah Majlis Agama Negeri, YB. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid akan bersama memantau, dan Datuk Seri Sollehuddin Alyubi daripada ICU, Jabatan Perdana Menteri. Kita juga akan tambah jika perlu.
- Apa yang saya nak tekankan? Betul, ada orang kata kita campur. Tidak Betul. Saya nak jelaskan di sini. Sebab kadang-kadang kita dengar ceramah-ceramah ini. Kalau dia cakap betul, tidak apa. Dia kritik, tidak apa. Dia bagi cadangan pun tak apa. Tapi kalau dia bagi pandangan yang terus melanggar hukum kebenaran dan keadilan, saya kena jawab. Umpamanya, ada orang kata Anwar ini jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia cukai orang miskin dan orang kaya tidak payah cukai. Itu sama ada jahil betul-betul tentang ekonomi, saya tidak tahu apa tujuan mereka bicara begitu.
- Elektrik naik 85 peratus, tak bayar, tak naik. Naik bagi orang kaya. RON 95, orang rakyat Malaysia turun RM1.99. Orang asing naik sebab dia tak bayar cukai, dia bukan rakyat kita. Naik pun RM2.60, itu lebih rendah daripada Thailand, daripada Singapura, daripada Indonesia, daripada Filipina.
- Jadi janganlah, tidak setuju tidak apalah. Nak lawan, tunggu pilihan raya lah. Tetapi janganlah atas nama agama guna fitnah begini. Saya tidak setuju. Baik, macam sekolah pondok. Saya kata, saya minta maaf, Sahibus Samahah Mufti ada ini. Macam sekolah pondok, apa yang nak ajar di sekolah pondok, saya tidak mahu campur. Tok guru lebih tahu daripada saya. Bukan bidang saya.
- Oh, nak baca karya-karya Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, Kimya as-Saadah, Ihya Ulumuddin, bacalah. Oh, nak baca Munyatul Musalli, Syeikh Daud Abdullah Fathani, Tafaddal, saya pun gagah baca juga. Tetapi saya nak beritahu, selain daripada itu, kena tambah.
- Maka saya wajibkan, kalau nak naik lagi, macam maahad tahfiz, dan sekolah agama rakyat, maka kita wajibkan dia belajar Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia. Apa bezanya? Apa dia Bahasa Melayu? Supaya bahasa kita dapat kita perkasakan sebagai bahasa ilmu yang dikuasai dengan teratur, dengan baik. Apakah tidak kurang belajar bahasa Arab? Tidak. Jadi kita tambah.
- Mengapa Sejarah Malaysia? Sebab dia tahu Perlembagaan kita. Sebab dia tahu di Malaysia ini ada rakyat walaupun dia duduk di kampung Melayu, sekolah Melayu, sekolah Arab. Tapi Malaysia ini dalam Perlembagaan ada jaminan tertentu. Bapa-bapa, ibu kita dah janji Islam agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
- Jadi, ini kita nak beritahu. Ini sejarah. Jangan pertikai. Kamu Melayu, kamu Cina, kamu apa parti pun, jangan pertikai perjanjian ini. Tetapi kita juga jamin, rakyat Malaysia yang bayar cukai itu, dia ada hak. Tidak ada dalam Islam nak suruh musuh orang kerana warna kulit dia, kerana kepercayaan dia.
- Dalam Munyat al-Musalli, Syeikh Abdullah Daud al-Fatani, , saya masih ingat Syeikh Abdullah Daud al-Fatani boleh kupas. Masa dalam penjara baca itu banyak Halid. Sebab apa? Tidak ada kerja lain. Jadi, buatlah sembahyang tu, sembahyang sunat sebanyak mungkin.
- Tapi dalam Tatmin al-Fa’idah, dalam bab akhir, saya pun hairan. 400, 500 tahun dulu, seorang ulama besar Kepulauan Melayu, Syeikh Abdullah Daud al-Fatani boleh tulis bab akhir. Ini bab solat. Segala bab solat sunat ni dalam tu. Kemudian bab akhir Tatmin al-Fa’idah. Maknanya bab yang berfaedah yang akhir. Itu bab keadilan. Dan dia cerita tentang dari sejarah Yunani, masa Khalifah Umar al-Khattab, Umar Abdul Aziz. Apa ayat-ayat terkait dengan keadilan. Hadis begini, keadilan.
- Eh, jadi saya baca. Saya kata, eh macam mana Syeikh ni. Dia tulis di Fathani, dia besar di Mekah, di Madinah, di dunia Arab, tapi amat ambil berat sangat soal bukan Islam. Pasal apa? Sebab dia nak tunjuk kalau jadi Islam itu, dia adil kepada orang Islam dan bukan Islam, baru jadi contoh. Ummatan wasata li takunu syuhada ‘ala an-nas wa yakuna ar-rasul ‘alaykum shahida. Boleh Mufti ya? Saya mengaji sekolah orang putih, baca ni boleh ya?
- Jadi umat yang seimbang, yang di jadi contoh, kerana adilnya. Jadi Islam kita martabatkan. Berapa kita lulus untuk Islam? RM2.6 bilion. Berapa untuk sekolah-sekolah kebangsaan? Itu saya tengok RM2.6 bilion. Kemudian, saya pergi sekolah Cina, pergi Jit Sin, bagi RM1 juta. “oh, riuh rendah, tengok Anwar dia dah hilang dah kemelayuan dan keislamannya, dia bagi kat sekolah Cina.” Ini dia masalah kita.
- Jadi saya nak jelaskan di sini, ya memang kita bagi ke sekolah-sekolah Cina, sekolah Tamil. Saya luluskan RM50 juta untuk sekolah Cina, RM50 juta sekolah Tamil. Nak tambah lagi RM4 – 5 juta pun saya boleh bagi. Untuk Islam berapa? 2700 juta. Sudahlah. Nak buat politik picisan macam ni, apa nak jadi negara kita? Bila bayar cukai, kita bagi balik sikit, yang banyak kita ambil. Itu sebenarnya.
- Sebab kalau tengok, saya tahu dia Menteri Kewangan, saya tahu berapa cukai kita kutip daripada rakyat. Sebab itu saya nak jelaskan tentang martabat. Memartabatkan sekolah-sekolah pondok, sekolah agama, insya-Allah saya bantu.
- Tetapi saya nak cadangkan serius, ulama-ulama tolong bagi kerjasama. Pendidikan, manhaj tarbiyah yang ditetapkan, tafaddal, saya tidak sanggup campur. Apa ni kitab mana, kurikulum mana, manhaj tarbiyah mana, jalan. Tetapi, saya cadang bahasa dan sejarah. Saya cadang AI, teknologi. Sebab apa? Kalau kita tak kuasai AI, orang yang sekular, tidak faham agama dan nilai, dia akan kuasai. Kita kena tahu. Dia macam komputer. Ada berita baik, ada berita buruk. Macam buku. Ada buku cerita lucah, ada buku cerita ilmu. Takkan kita nak haramkan buku yang baik sebab ada buku lucah. Kita haram buku yang lucah.
- Tetapi kalau kita tak kuasai, kita tak menulis, orang nak baca apa? Sama lah macam AI. Sebab itu saya ingat kita dah ada rencana. Saya bincang dengan Dr. Zulkifli, Fadhlina dan Dr. Zambry, bagaimana kita dapat rancang supaya kita angkat martabat. Sebab apa? Saya di Bentong cakap dengan sekolah-sekolah agama baru-baru ini saya kata pondok ni dalam sejarah itu luar biasa sejarah dia, kita panggil pondok Arab panggil zawiyah Indonesia kita pesantren.
- Di kala penjajah Inggeris datang 1874, sebelum itu 1511 di Melaka, apa yang mereka lakukan? Dia kuasai semua! Habis ikut sistem dia. Dia jajah negara ini politiknya, ekonominya, pendidikannya, sekolahnya semua ikut dia latih manusia, dia tengok Inggeris. Bahasa Inggeris terbaik orang Inggeris terbaik, warna kulit orang Inggeris terbaik. budaya Inggeris terbaik, teknologi tidak ada pada orang Islam. Ilmu tidak ada pada orang Islam itu dilatih kita begitu. Maknanya, apa yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali al-isti‘mār al-rūḥī wa al-fikrī jajah pemikiran dan jiwa kita. Itu yang berlaku.
- Baik apa yang jadi pada sejarah? Siapa yang jadi benteng pertahanan umat? Siapa yang jadi kubu pertahanan mental rakyat? Pondok, sekolah agama rakyat mereka yang pertahan akidah dan akhlak jaga taksub dengan barat ada sejarah, kekuatan, kehebatan mereka sekarang, saya nak perkasakan pondok-pondok ini juga seperti sekolah-sekolah kita menjadi benteng tetapi benteng itu tidak sama kita tidak ikut barat, sistem pendidikan kita sebahagiannya, tetapi nilai, akhlak, Islam kita martabatkan.
- Sebab itu kita kena persiapkan rakyat termasuk di sekolah-sekolah agama ini dengan teknologi baru selain daripada asas. Saya harap mungkin saya dah ada beberapa perjumpaan dengan Tok Guru Pondok dari Kelantan, Kedah, Selangor semua saya percaya boleh kita lakukan juga di kalangan guru-guru yang lain, untuk mereka faham.
- Kalau saya tak mahu anggap kata ini, dia kempen di bawah Anwar nak kuasai pondok Anwar hendak campur sukatan. Saya tidak campur saya ini minta tambah dan minta mufti, Sahibus Samahah Mufti bagi pandangan bagaimana kita boleh tambah tanpa menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat. Jadi, itu semangat kita.
- Yang lain tu oi Halid hang baru siap masjid, janganlah minta banyak-banyak. Yang mana sikit-sikit tu kata bilik jenazah, boleh lah. Yang lain tu kuis-kuis lah. Sebab saya pergi mana? Saya pergi Bentong, pergi kampung-kampung kemudian pergi Perak. Jadi semua ada keperluan saya tengok apa yang ikut aulawiyat dia, fiqh pun begitu juga. Fiqh aulawiyat kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi kita tengok keutamaan dia yang mana yang perlu kita bagi. Yang perlu bagi saya masjid, kerana masjid itu patut kita dirikan ustizalat taqwa itu dia jadi keutamaan dia.
- Jadi, sekali lagi terima kasih Halid nah. Saya, dia lama ni dia dulu masa saya Ketua Bahagian jadi dia Ketua Cawangan. Terima kasih banyak saya melawak orang kata ini saya politik lah. tidak,tidak. Saya nak sebut sahabat-sahabat lama ni bila kita tengok ni kita pun tersentuh juga lah sikit.
- Saya terima kasih banyak kepada masyarakat minta maaf kalau kadang-kadang bagi pandangan dan anak-anak muda patut ada jawatankuasa khas di bawah jawatankuasa masjid ada jawatankuasa khas anak-anak muda, Cherok Tokkun pun buat macam itu bagi ruang pada dia nak buat kelas dia khas dia nak buat kegiatan dia khas asalkan ikut peraturan kita jalankan, baru jadi masjid ini betul-betul di imarahkan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .
