TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN BAHARU HOSPITAL SEBERANG JAYA, PULAU PINANG
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN BAHARU
HOSPITAL SEBERANG JAYA, PULAU PINANG
24 JANUARI 2026 (SABTU) | 9.00 PAGI
HOSPITAL SEBERANG JAYA,
PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad,
Menteri Kesihatan;
Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;
Timbalan – Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang,
Saudara Lim Guan Eng dan kawan-kawan semua.
- Terima kasih kerana sama-sama menjayakan Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Seberang Jaya. Tentunya bagi saya agak sedikit nostalgik kerana pertamanya kita bawa hospital ke sini dalam konsep kluster pada tahun 90-an dan kemudian masa itu saya undang sahabat saya, sahabat lama saya Tun Mahathir untuk merasmikan. Dan setelah 30 tahun saya kembali untuk merasmikan blok baharu yang walaupun namanya blok baharu kalau saudara lihat, ini sebenarnya satu hospital tambahan di Seberang Jaya ini terima kasih.
- Dan lama kita tunggu ada masalah dan kerenah pembangunannya jadi, Alhamdulillah setakat ini kepada JKR, kontraktor dan semua pihak, Pengarah Hospital, Pengarah Negeri dan semua yang bertanggungjawab mempercepatkan proses dan memungkinkan terlaksananya bukan sahaja harapan kita di sini tapi harapan rakyat yang memerlukan penjagaan rawatan yang lebih baik, berkesan dan segera.
- Saya tentunya lebih terharu kerana Dr. Dzul mengumumkan tentang pembesaran Hospital Sungai Bakap bukan sebab saya lahir di situ tapi memang dalam rancangan. Kemudian Hospital Bukit Mertajam kerana saya besar di situ dan Hospital Seberang Jaya kena saya jaga di sini dulu.
- Jadi, dan konsep Kementerian Kesihatan, terima kasih Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah juga kerana mengemukakan suatu konsep yang lebih baharu tentang menjaga, tidak sahaja berpusat kepada hospital-hospital besar tetapi juga pada klinik-klinik. Daripada klinik, sehinggalah Klinik Desa kerana itu lebih dekat dengan rakyat dan memungkinkan suatu rawatan segera.
- Ada beberapa hal yang saya ingin singgung di sini kerana seminggu dua yang lalu kita luncurkan dua dasar yang sangat menyentuh rakyat keseluruhannya. Pertama, dasar pendidikan negara. Ini melibatkan keluarga kita, anak-anak kita dan kita tekankan keperluan untuk melihat kepada mutu pendidikan, masa depan negara. Jangan diheret tentang bincang soal-soal yang memecahbelahkan kita. Tidak habis-habis soal kaum, soal bahasa. Dia penting tetapi kena selesaikan segera dan tumpu masalah negara kita, masa depan anak-anak kita, mutu pendidikan mereka.
- Hampir seluruh negara di dunia, di ASEAN, hampir semua negara-negara di ASEAN umpamanya memulakan pengajian sekolah berumur 6 tahun. Tetapi bila kita cuba lakukan, pelbagai reaksi, anak dia tak boleh lagi masih menyusu, anak siapa menyusu berumur 6 tahun saya tidak tahu. Kemudian, jadi oleh itu, prasekolah diawalkan. Sebab itu, Kementerian Pendidikan menyegerakan kemudahan supaya prasekolah turun 5 tahun dan sekolah Darjah 1, 6 tahun.
- Tetapi katalah ada ibu bapa yang tidak berapa selera dengan cadangan itu dan rasa anak tidak sesuai. Sebab itu kita tidak wajibkan dulu. Kalau tanya saya, sepatutnya kita wajibkan. Sebab apa kita kata boleh sedia? Kerana setahun sebelum itu kita sediakan prasekolah percuma di sekolah-sekolah. Jadi kalau anak-anak di sini yang belum masuk prasekolah umur 5 tahun boleh daftar segera jadi supaya tahun depan umur 6 tahun boleh masuk.
- Kemudian, soal penilaian, kenapa harus kita tunggu Darjah 6? Oh kerana dulu kita biasa tetapi sepatutnya kita menilai awal. Darjah 4 kita nilai, dia boleh baca, dia boleh menulis, dia boleh mengira yang basic. Dia boleh berbahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau pergi sekolah yang lain, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab, ikut aliran. Tetapi yang perlu kita lakukan yang saya tegaskan, perlu Darjah 4 supaya penilaian itu awal dan boleh diperbaiki 2 tahun sebelum dia masuk Tingkatan 1.
- Jadi, saya harap kita terima baik kerana yang ditekankan itu ialah mutu pendidikan. Kalau tidak, kita tidak habis-habis. Sebab itu saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri. Selesaikanlah. Termasuk soal aliran. Aliran bahasa ni kadang-kadang kita sebahagian ini masyarakat Melayu ke Cina, India ataupun Dayak ke Kadazan, dia fikir dari segi kaum dia. Sebenarnya masalah bahasa, bukan masalah UEC sahaja. Maksudnya Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Arab, Sekolah Antarabangsa. Jadi, kalau kita nak selesaikan, janganlah kita tumpu salah antarabangsa, salah UEC, salah Sekolah Arab. Tidak. Kita selesaikan bersama.
- Kalau nak belajar aliran Bahasa Arab atau aliran Agama rakyat, boleh. Syarat? Mesti kuasai Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia. Sekolah Antarabangsa, anak-anak kita termasuk di Pulau Pinang, ramai anak-anak atau rakyat Malaysia yang mula meminta anak-anak ataupun memberikan ruang kepada anak-anak belajar di Sekolah Antarabangsa. Kita izinkan tetapi syaratnya menguasai bahasa dan sejarah, sama UEC. Kalau kita berikan ruang itu dan dia terima syarat itu, kita kena bagi lah ruang dia boleh naik ke kolej dan ke universiti.
- Jadi kalau pelajar itu Sekolah Agama Rakyat, dia ambil sampai Tingkatan 5, SPM Bahasa dan Sejarah atau UEC Bahasa dan Sejarah ataupun Sekolah Antarabangsa. Maka, kita kena bagi ruang dalam bidang-bidang tertentu untuk dia ke pengajian tinggi iaitu ke universiti. Itu yang kita putuskan tetapi bagi saya, Dasar Pendidikan utamanya adalah mutu pendidikan. Dunia berubah menuntut perubahan dan perubahan itu dalam bidang yang baharu termasuk digital, AI, kita tidak boleh ketinggalan.
- Dalam masa yang sama, kita nak anak kita jadi manusia. Jadi, pendidikan itu mesti ke arah mengangkat martabat insan. Karamah Insaniah atau dimensi manusiawi, nilai penting. Ini dah belajar tinggi sampai umpamanya PhD tapi faham perkauman sangat buruk. Belajar dalam bidang perubatan ke kejuruteraan. Tetapi pelajaran itu tidak mengajar dia jadi manusia, hormat antara kaum, hormat perbedaan budaya, hormat kerencaman hidup dalam Malaysia ini. Macam yang hadir. Bagaimana saya boleh diterima sebagai Perdana Menteri kalau saya tidak hormat masing-masing. Dan bezanya itu ada yang Melayu, ada Cina, ada India. Jadi, ini juga harus diasuh dalam sistem pendidikan kita selain daripada teknologi baharu.
- Yang kedua, yang kita luncurkan ialah Dasar Industri Pertahanan Negara bersama YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin dan pimpinan Angkatan Tentera. Ini juga kita nak jelaskan kerana saya tidak mahu satu dua kes tertentu itu mewakili seluruh angkatan bersenjata. Negara ini aman, negara ini dapat catat kejayaan ekonomi yang sangat membanggakan Alhamdulillah. Prestasi ringgit terus menguat, prestasi terbaik di Asia. Pelaburan tertinggi dalam sejarah, perdagangan sekarang mencecah 3 trilion ringgit. Ini semua berkat negara ini aman, Negara ini aman kerana pengorbanan rakan-rakan kita polis, tentera di perbatasan, di lautan berbulan-bulan berkorban meninggalkan keluarga untuk pertahankan negara.
- Jadi kita harus ingat, jangan saya ingat, walaupun fokus kita dalam satu dua kes tapi jangan lupa pengorbanan ratusan ribu anggota pasukan pertahanan dan polis di sempadan, dan di lautan, dan di darat, dan di hutan untuk menjaga keamanan ini. Jadi ini saya ingat harus lebih peka lebih berhati-hati dalam berikan pandangan kerana satu dua nila setitik tidak harus merosakkan susu sebelanga. Jadi saya harap kita tetap pertahankan integriti kewibawaan pasukan keselamatan kita yang menyebabkan kita boleh mampu mengangkat martabat ekonomi negara kita.
- Apa kaitan ekonomi negara itu dengan Kementerian Kesihatan sekarang? Dasar industri itu menyatakan bahawa sistem perolehan harus diperbaiki. Datuk Dzul sebut, takkanlah hampir 70 tahun baru kita fikir ubat generik ini. Berapa puluh bilion yang hilang. Beli ubat terbaik dari Amerika, harga seratus ringgit, sebiji umpamanya. Yang boleh kita beli, mungkin sepuluh ringgit, dari ubat generik dari negara lain. Baik Brazil, atau India, atau Turkiye, atau China, asalkan dia memenuhi keperluan.
- Dia tidak perlu tunggu bertahun-tahun siasat. Sebab itu, kita dapat selamatkan hampir satu bilion ringgit hanya kerana berubah memilih ubat yang menjamin keselamatan, kesihatan, tetapi tidak terikat dengan mentaliti lapuk untuk rasa kagum dengan ubat dari Eropah atau Amerika yang terlalu mahal. Ini yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan saya anggap dapat diteruskan.
- Kalau kita belajar dari dasar industri pertahanan bila kita buat perolehan beli tank atau drone, kalau pun tidak ada upaya dalam negara, mesti syaratkan latih anak-anak, beri ruang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk memulakan industri. Begitu juga ubat. Kita bawa, beli generik. Janganlah bergantung kepada kartel. Di pertahanan ada kartel, di kesihatan ada kartel, di JKR ada kartel. Jadi, akhirnya kita ini hidup ditekan oleh kelompok kartel dengan harga yang melambung tinggi.
- Saya suka isu-isu besar didedahkan kepada rakyat sebab saudara tahu betapa sukar kita betulkan perkara ini. Kartel, saya bagi contoh dulu — ayam pun kartel. Setiap tahun, Guan Eng tahu, daripada dulu bayar tak kurang RM1 bilion, RM1.2 bilion ringgit untuk jaga harga ayam supaya rakyat tidak terbeban. Berapa kita bayar? 1.2 bilion ringgit. Tiga tahun dulu kita fikir bagaimana nak baiki, panggil syarikat-syarikat dan katakan ini mesti dihentikan.
- Kalau betul harga itu mahal, kita faham, tetapi kadang-kadang kita semua anggap biasa yang peruntukkan kepentingan kewangan melalui kepentingan pertanian, RM1.2 bilion, untuk jaga harga ayam. Dan jadi akhirnya kita tekan dan sekarang kita hapuskan kartel ini, dalam erti kata syarikat jual dengan harga yang munasabah. 1.2 bilion ringgit diselamatkan, tidak bayar lagi pengapungan ini.
- Saudara, ini maknanya boleh, dengan syarat politik itu stabil, sistem politik negara itu kuat. Jadi, kita berani ambil beberapa tindakan walaupun tidak disenangi oleh satu dua pihak, tetapi selamatkan, bayangkan, selamatkan RM1.2 bilion. Begitu juga saya katakan tadi macam ubat, selamatkan sekarang ini 900 juta ringgit.
- Dzul tahu, Suriani tahu. Saya memang tidak pernah puas hati. Saya kata, “mana boleh asal beli dapat ubat ini mahal. Ada generiknya, harga lebih murah. Kenapa tidak bagi?” Dia kata, dekat PM, dia bagi harga mahal lah. Saya bagi tahu, saya kata “PM pun patut guna ubat generik” (nada berseloroh).
- Jadi, ini apa kaitan dengan Hospital Seberang Jaya? Selagi kita terikat dengan sistem lama dan kartel, kita tidak mampu nak tambah RM10, RM20 juta, RM100 juta. Tidak mampu. Sebab itu rombakan ini harus menyeluruh. Saya beritahu Dato’ Seri Khaled, Menteri Pertahanan, dasar industri pertahanan itu patut menjadi contoh kemudian kita edarkan semua Kementerian, semua Jabatan. Fikir bagaimana boleh jimatkan supaya dana itu boleh pulangkan kepada rakyat.
- Kita jimatkan harga telur pun macam itu juga. Jimat RM1 bilion. Harga ayam jimat RM1.2 bilion. Subsidi elektrik kita dapat sekarang RM4.6 bilion. Subsidi RON95 kita juga jimatkan dalam beberapa bulan yang lalu, akhir tahun RM800 juta, begitulah, saya tidak berapa ingat angka yang pasti. Dan penyeludupan masih berlaku. Saudara-saudari kena percaya, negara ini bila aman, Alhamdulillah, politiknya stabil, Alhamdulillah, kita gunakan untuk melakar dasar yang jelas dan bertindak dengan tegas dan berani untuk menjaga negara ini dan membela nasib rakyat.
- Saudara bayangkan, tidak ada cukai baharu bagi rakyat. Betul ada pelbagai peniaga, ada SST yang kita juga kaji supaya mengurangkan tekanan. Tidak ada cukai pendapatan tambahan. Tetapi bagaimana kita boleh tambah gaji pekerja? Dah dapat 2-3 hari sudah kan? Dr tak angguk, tak dapat kot? Berapa tambahan? 18 bilion ringgit tambahan gaji, polis, tentera, kerani. Yang lagi rendah, lagi naik tinggi. Yang atas sekali, naik tujuh peratus. Itu kita punya pembahagian. Secara purata lima belas peratus. 12 tahun, ini kenaikan tertinggi dalam sejarah kita. Berapa tambahan? 18 bilion ringgit.
- Tunai Rahmah, SARA berapa? 15 bilion ringgit. Bayangkan, ini tambahan 18 bilion naik gaji, 15 bilion Tunai Rahmah dan SARA. Itu kan cukai tidak tambah. Dari mana? Dari penyasaran subsidi. Dari mana lagi? Dari menghentikan kartel, penyeludupan, rasuah, rompakan yang berlaku terangan ataupun melalui penyeludupan ini, yang menyebabkan kita boleh belanja lebih daripada 30 hingga 40 bilion ringgit melalui program sama ada gaji dan juga dari sudut kemudahan kepada rakyat tambahan.
- Apakah kita selesaikan semua masalah? Tidak. Kita masih hadapi isu kos sara hidup. Kita tambah Jualan Rahmah, kita tambah SARA, tetapi masih belum selesai seluruhnya. Walaupun ketimbang negara-negara lain, harga barang kita masih rendah dan terkawal. Tetapi ini urusan dan kerja semua rakan-rakan. Chow Kon Yeow di Pulau Pinang dan seluruh Kementerian untuk mencari jalan memberi manfaat kepada rakyat semuanya.
- Menteri kepada Kementerian Kesihatan, saya ucap terima kasih kerana langkah-langkah yang kita ambil dari segi skop hospital, pembinaan hospital, dari sudut pembelian ubatan yang generik, itu sudah mula dilakukan. Kita lihat umpamanya: saya bagi contoh selalu, hospital kerajaan harganya itu jauh lebih tinggi daripada hospital swasta pembinaan. Alasannya, ada kemudahan-kemudahan yang tidak disediakan di hospital swasta. Bilik mayat, tidak ada. Kemudian, itu benar. Tetapi, kadang-kadang syarat-syarat kita tu syarat-syarat lama, zaman-zaman Inggeris. Ruangnya sekian panjang.
- Maknanya kalau boleh kita jimatkan, lebih cermat, kita boleh tambah dana lebihan itu bukan untuk kita ambil, untuk kita bina hospital di daerah yang lain. Kita baiki kemudahan hospital, kita tambah klinik-klinik termasuk klinik desa. Sebab itu saya dah minta supaya Kementerian Kesihatan, Datuk Azman pun ada di KKR, jangan bagilah skop susah-susah sangat. Tak payahlah. Cukup 40, 50 tahun kita bina hospital baharu. Janganlah buat satu konkrit macam dengan kawasan yang luas, koridor yang besar, semua itu tambah kos dan kita nak pastikan lebih efisien.
- Dan kemudian, kalau tata kelolanya baik, ini kontraktor-kontraktor mesti diputus secara yang sangat telus. Jangan pakai pilih ikut komisen. Rekod dia tidak baik, batal. Dan kalau kita mula pentadbiran cara yang sedemikian, mutu kesihatan kita itu dan kemudahan kesihatan akan tambah baik.
- Macam Hospital Seberang Jaya. Bila saya datang, of course saya datang bertahun, sebelum itu lagi. Sebelum jadi PM pun saya datang. Sebelum jadi PM pun banyak kali. Dr. Dzul kata hanya 2024, tidak betul. Saya datang banyak kali, cuma tidak masuk dalam senarai. Dan saya tidak puas hati, takkanlah nak buat bangunan begini sampai sepuluh tahun. Tidak ada munasabahnya.
- Sebab itu kita mesti belajar dari pengalaman ini. Belajar daripada prestasi kontraktor. Belajar dari tahap kelulusan kita. Di tiap jabatan. Nak tunggu hal yang boleh lulus dalam masa sebulan, kena tunggu lapan bulan. Saya sebab itu ucap tahniah kerana dari segi kadar kecekapan, Pulau Pinang itu menjadi contoh yang baik untuk meluluskan dengan segera. Ini nak buat hospital satu negeri, saya tidak sebut negeri, enam bulan belum dapat. Saya nak bantu bangunkan kawasan-kawasan gerai untuk projek baharu di satu negeri, lapan bulan belum selesai masalah pengambilan tanah.
- Ini masalah yang tidak hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran. Kemudian nak ambil fail, dia ada bayar harga fail. Nak per cepatkan fail, ini masih berlaku di beberapa peringkat di bawah. Saya harap hal ini diambil perhatian di Kementerian Kesihatan supaya kita dapat perbaiki.
- Begitu juga sikap. Saya tahu hari ini sini ni jururawat, doktor semua baik, senyum belaka. Senyum kat saya lah. Saya nak suruh senyum kat pesakit. Dan setakat ini, saya banyak kali pergi balik di Seberang Jaya, Permatang Pauh ini, saya dengar layanan dan umumnya pesakit-pesakit itu sangat bangga dengan prestasi dan khidmat di Hospital Seberang Jaya. Terima kasih, teruslah jaga.
- Saya tahu kerenah pesakit pun kadang-kadang keterlaluan. Kadang-kadang lebih kaya, lebih besar, lebih buruk pe’el dia. Kalau doktor suruh discharge pun dia marah. Apa hak doktor nak discharge dia? Dia sakit lagi, dia duduk lagi. Dia lebih pandai daripada doktor pakar. Kalau ada pesakit begitu, saya nak nasihat doktor, discharge dia lagi cepat. Biar dia balik, isteri dia jaga di rumah.
- Akhirnya saya nak sebut tentang keadaan di Malaysia ini. Kadang-kadang kita bukan dapat rawatan, kita cari penyakit. Gula berlebihan. Penggunaan gula di Malaysia ini di antara yang tertinggi di Asia. Ini apa ni? Kita tahu bawa penyakit. Bagi minum sikit sajalah. Tetapi maknanya tidak sampai pada rakyat. Jadi, saya ingat kalau di hospital, semua hospital, pastikan minuman dia itu minima gula. Itu mula. Itu arahan. Suriani ya, Suriani pun kuat gula (nada berseloroh).
- Sebab itu saya kata gula, manis. Sebab itu dulu lagu Melayu bagus. Dia kata “manis, manis, manis. Manisnya apa? Gula manislah lagi. Manis, manis, manis. Bukannya gula, sayang. Manislah lagi senyum mu puan.” Jadi kita kempen kurangkan gula ini dengan nyanyi lagu ini. Tapi puan tu puan isteri je, jangan puan lain (nada berseloroh). Itu satu. Kementerian Kesihatan dah mula, tetapi tidak begitu berkesan. Kerana mana mungkin Malaysia kita belanja puluh bilion untuk perubatan, kemudian rakyat cari penyakit.
- Dia kata “No sugar baru 6.8, still okay. High-ish, high-ish but still okay. Jadi sampai 8, 8 pun still okay. WHO said probably 9, you know.” Saya ada kawan-kawan yang cakap macam tu. “Still okay. Macam mana you punya blood sugar count? 6.8, still okay lah, you know. Not yet” Padahal 6.8, can you reduce to 6? 6, can you reduce to 5.5? Itu baru dia jadi manusia itu dinamik. Saya tengok Guan Eng tidak makan gula dah. Itu lain, pasal dia dah mula ada penyakit. Gurau, gurau.
- Jadi saudara-saudara, itu satu. Dan kedua nya obesiti. Maknanya, makan berlebihan. ‘Sihat’ berlebihan ni apa dia? Cari penyakit. Termasuk Setiausaha Politik saya (nada berseloroh). Jadi, saya harap saudara-saudara ambil perhatian lah ya. Kena kempen. Saya nak poster-poster di hospital-hospital kita ini terangkan. Di hospital, kuih yang ada gula lebih, dilarang. Semua jamuan kerajaan, itu kalau di Jabatan Perdana Menteri, kita dah kurang. Kita dah bagi arahan, tidak boleh.
- Walaupun Salahuddin dia ambil gula lebih (nada berseloroh). Tetapi umumnya kita tidak bagi. Arahan, KSN tolong ya, termasuk KSN. Mesti ada arahan Jabatan, Kerajaan. Kalau tidak, kita kempen bagaimana pun. Ini tentera, polis sekali minta ya. Boleh kuih. Saya pun suka. Kalau balik, Permatang Pauh ni kuih tepung talam, tepung bungkus. Semua tu gula. Tetapi kurangkan gula.
- Kerana saya sebut sekali. Kau tak salah saya. Kita number two in Asia. Diabetic, number one or number two. Ini maknanya dia reflect Kementerian Kesihatan lah. Obesity number one. Maknanya Menteri Kesihatan belum berjaya penuhlah.
- Jadi satu gula, satu obesiti, maknanya berlebihan makan. Jadi, saya harap hospital, klinik ada poster besar – Dilarang Penggunaan Gula Berlebihan. Dan semua khidmat, dan jamuan, dan makan di hospital mesti relatif sedikit tawar. Baru ada kesan. Kalau tidak, kita kempen bagaimana pun tidak jalan. Orang biasa dengan budaya, termasuk budaya buruk. Budaya buruk ini termasuklah bila ada penyakit, cari penyakit. Bila tak ada penyakit, cari penyakit. Itu budaya buruk.
- Jadi saya harap kempen Kementerian Kesihatan sempena pelancaran blok bangunan baharu Hospital Seberang Jaya ini, dua perkara sahaja. Makan jangan berlebihan, kerana obesiti itu jadi masalah. Tidak ada Ketua Menteri pun saya dah minta supaya jogging bersama saya. Kemudian keduanya soal gula. Saya harap dengan semangat itu barulah kita bangunkan wellness yang disebut itu dan melibatkan seluruh masyarakat.
Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
