TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN GALERI ARKEOLOGI GUAR KEPAH

24 Januari 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN GALERI ARKEOLOGI GUAR KEPAH

 

 

 

24 JANUARI 2026 (SABTU) | 4.10 PETANG

GUAR KEPAH, PULAU PINANG

 

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Al-hamdu lillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir,

Menteri Ekonomi;

 

YB Dato’ Sri Tiong King Sing,

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;

 

YAB Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri;

 

Keluarga NCER, NCIA;

 

SS dan semua yang hadir;

 

Tuan Yang Terutama Jacques Werner,

Duta Besar Belanda ke Malaysia yang bersama kita pada petang ini;

 

Termasuk juga anak-anak dari universiti dan sekolah. Terima kasih.

 

  1. Kita terdedah dengan suatu perkara, iaitu projek yang agak asing, dalam keadaan negara memacu pertumbuhan ekonomi, bicara soal nilai, kita terjebak dengan suatu penemuan yang menakjubkan. Dan kalau kita tangani ini dengan bijak, ia akan menjadi satu tarikan baru dari sudut kajian arkeologi, dari sudut sejarah, dari sudut juga tentunya pelancongan. Dan saya percaya dengan kehadiran rakan-rakan, ia membuktikan bahawa projek seperti ini harus diselaraskan oleh banyak jabatan dan kementerian.

 

  1. Jadi saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri, Chow Kwon Yew yang juga punyai visi dan wawasan membantu menyelenggara dan membantu supaya diselaraskan dengan berkesan. Sering di Pulau Pinang ini saya ungkap pandangan Mark Twain, bila dia sebut kota baru, tatkala itu pertama kali dia melawat Washington DC, bangunan gagah perkasa, tetapi dari segi sejarah dan budayanya itu gersang. Dia sebut ‘modern, impressive buildings, but culturally barren’. Gersang budaya ni maknanya, satu perkembangan kota atau negara yang tidak berikan perhatian sama sekali dalam soal pembangunan manusia, pembangunan insan, sejarahnya, dan seni budayanya.

 

  1. Oleh sebab itu, bagi kita di Malaysia, bukan sahaja dari pandangan Mark Twain, tapi memang jati diri kita. Dari sejarah dan budaya kita, kita anggap ini sesuatu yang penting. Jadi, Gua Kepah ini di Kepala Batas, sekarang menjadi tarikan, harus dikaji. Dan kajian ini, walaupun istilahnya arkeologi, tetapi sebenarnya kita tahu baik arkeologi ataupun ilmu baharu yang disebut teknologi baharu, ataupun new technology, itu sebenarnya mengelirukan kerana tidak ada ilmu yang tumpu hanya dalam satu bidang, atau pengkhususan.

 

 

  1. Dan ini bukan idea baru, saya mesti ingat salah seorang pemikir Sepanyol yang terkenal, José Ortega Y Gasset, yang saya pernah ungkapkan dahulu. Dia kata ada bahaya kalau kita lihat. Kalau nak jayakan projek ini, dia tidak boleh specialize dalam satu disiplin. Kalau nak jadi satu negara yang maju dan bertamadun, kerana tamadun itu kulli dia menyeluruh dalam pelbagai disiplin. Jadi kata José Ortega Y Gasset, kalau kita minat dalam satu bidang sekarang. Katalah orang bicara soal sains sahaja, matematik sahaja, arkeologi sahaja, itu kata dia ‘barbarism of specialization’. Maknanya satu yang tidak bertamadun dan tidak berbudaya. Jadi, ‘barbarism’ dalam erti kata tahap ilmu yang sangat terbatas, kerana dia hanya menjurus kepada satu disiplin.

 

  1. Ini ada kaitan dengan Gua Kepah, walaupun kita sebut di sini arkeologi, tetapi saya nak ingatkan dia mesti diselaraskan sejarahnya, sainsnya dan pusat pelancongannya, serta perdagangannya. Sebab tu Reezal Merican ada di sini, kerana peranan ini untuk bagaimana kita memanfaatkan untuk mencungkil bakat, memanfaatkan dari rantau kawasan ini yang agak mengembangkan suatu kawasan atau bandar berlegar di sekeliling projek Guar Kepah ini supaya dapat dibangunkan semasa.

 

  1. Saya usulkan supaya dengan kerjasama kerajaan negeri melihat keupayaan untuk memperluaskan sedikit kawasan. Umpamanya, kita ada ECRL. Menembus beberapa kawasan, bukit bukau, gunung-ganang pergi ke beberapa kota, Bentong di Pahang dan Terengganu, Kelantan sehingga kita panjangkan ke Rantau Panjang. Tetapi kalau hanya pengangkutan moden, tetapi tidak memberi manfaat dari segi usaha industri, perdagangan, pusat bandar, peniaga dari segi pelaburan asing atau domestik, dan peniaga-peniaga kecil dan usahawan tempatan dia akan tentunya merugikan.

 

  1. Projek arkeologi di Guar Kepah ini harus juga jadi galeri tentunya, kerana galeri arkeologi ini dia maknanya markasnya itu galeri, tetapi harus dikembangkan. Bagaimana kita boleh gerakkannya sebagai pusat ilmu supaya orang melihat arkeologi ini apa erti arkeologi? Apa relevan arkeologi menggali khazanah bangsa.

 

  1. Nanti ada kontroversi, orang kata apa faedah gali hal-hal yang lampau? Ini maknanya zaman jahiliah, kata mereka. Dan perdebatan ini juga berlaku di Mesir. Bila pemerintah pada ketika itu mahu gali piramid, Ramesh, Firaun, dia kata, “Apa kerja kita? Sudah kita kenal ada akidah, kita kenal tauhid, kemudian kita gali yang lama.” Gali itu mengkaji. Itu warisan sejarah yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya. Ada kekuatannya, ada budayanya. Bukan akidahnya. Jadi, itu suatu hal yang perlu. Mudah-mudahan galeri ini jadi galeri yang boleh mendidik, galeri tentang sejarah, tentang kepelbagaian. MADANI itu sebenarnya bagi sayalah, dia merangkum aspek itu.

 

  1. Dan kemudian selaraskan pelancongan, kerana Datuk Seri Tiong dia banyak tertumpu ke satu dua kawasan. Jadi kena tertumpu sikit ke Kepala Batas. Tiong, boleh? Bukan Sarawak sahaja Tiong. Dan kemudian tentunya bila ada, dia kena ada tarikan. Bagaimana kita nak perkenalkan seni dan budaya, Pulau Pinang dan kawasan utara, jadi kawasan mesti diadakan kegiatan yang boleh menarik minat pelancong dalam dan luar negara. Jadi bagaimana kita boleh tarik, ada tarikan kepada anak-anak muda dari segi pembelajaran, dari segi pendedahan dan pencerahan kepada ilmu, sejarah, arkeologi, seni dan budaya.

 

 

  1. Tetapi yang juga saya tekankan, kerana fundamental nya dalam membangkitkan kesedaran negara adalah ekonomi kita. Boleh bicara hal ini, kembangkan semua ini kerana kita fokus pertamanya sudah negara ini aman, politiknya stabil, dasarnya itu harus jelas. Dan fokus kita itu tumpuan utama adalah pertumbuhan ekonomi, yang memerlukan pelaburan dalam negeri, yang dikatakan domestic investments, dan juga luar negara.

 

  1. Dan Alhamdulillah, pelaburan kita tertinggi dalam sejarah. Perdagangan kita sudah mencecah RM3 trilion. Ringgit kita, Alhamdulillah, prestasi terbaik di Asia, dan hal ini terus mengukuh. Ini bukan soal Menteri-Menteri sahaja, atau Kerajaan sahaja. Ini maknanya ada semangat penglibatan semua penjawat awam, sektor swasta, golongan pekerja, anak-anak muda yang menyebabkan negara ini kekal aman dan menumpukan perhatian untuk mengangkat martabat ekonomi kita.

 

  1. Dan mengangkat martabat ekonomi itu untuk apa? Untuk dua, tiga pemimpin mengaut kekayaan? Untuk hanya menunjukkan, mempamer gedung-gedung raksasa? Atau memberi tumpuan menjamin kebajikan rakyat.
  2. Sebab itu saya kata syukur Alhamdulillah, kerana bila ekonomi kita kukuh, penyasaran subsidi beri pulangan tambahan dana. Penyasaran subsidi itu memberi pulangan lebih RM15 bilion tambahan kepada negara. Kemudian menyekat penyeludupan, menyekat amalan sakau, menyekat rasuah.

 

  1. Belum menghapuskan semua, baru bermula, berapa kita boleh jimatkan dalam dua tahun? RM15 bilion lagi. Jadi katalah kita ada RM30 bilion tambahan tanpa cukai baru, untuk apa? Penjawat awam yang tidak dapat semakan gaji 12 tahun kita beri. Berapa tambahan tahun ini? RM18 bilion. Kemudian, kita apa lagi? STR, SARA, pelajar anak-anak sekolah daripada darjah 1 sampai tingkatan 6, RM150. Biaya buku tahun 2024 untuk semua pelajar 2025, semua guru semua ini kerana kita dapat hasil. Hasil itu dipulangkan kepada rakyat, ini yang kita lakukan.

 

  1. Maknanya, yang kita perolehi RM30 bilion itu bukan untuk disakau oleh mana-mana pemimpin, bukan untuk memperkayakan mereka bukan untuk naik gaji mereka sebab itu saya beritahu menteri-menteri masih hadapi potongan gaji 20%. Untuk beri contoh bahawa tidak semua orang yang harus mengejar jawatan untuk memperkaya diri dan keluarga cari ikhtiar, cuba tangani masalah kemiskinan tegar.

 

  1. Saya dengar di sini ada orang kata, seorang tak ada beras. Mana Reezal, ada orang kata, di kampung mana seorang tak ada beras. Apa masalah dia? Kita bagi SARA belilah beras kalau tak dak, dah ada elaun bayarlah sikit, apa masalah dia takkan nak kena beritahu Perdana Menteri. Di kampung saya di tepi belah Guar Kepah ni ada seorang itu, dia tak dak beras. Hang belilah dulu kalau kot RM40 ribu, betullah minta bantuan tapi setakat RM20 takkan tak boleh bagi. Berjuang apa? Haa, tu Ustaz tu, jadi kena, jangan kita salah guna kebebasan dan kuasa kita.

 

  1. Ini, saya sebut perkara ini Tiong ada, Akmal ada, dalam Jemaah Menteri dan Tan Sri Shamsul Azri ada, dan kita cuba lakukan sedaya upaya kita, perbaiki. Kita tidak kata sempurna, tetapi kita cuba selesaikan masalah kita. Sebab itu, kita lihat kita dah jadi tarikan, Alhamdulillah, orang dunia yang iktiraf kerana dia tengok seriousness

 

 

  1. Bayangkan mana negara yang boleh bantu rakyat miskin seperti mana yang dilakukan oleh kita. Target, hapuskan, noktahkan kemiskinan tegar. Minggu lalu kita cerakin berapa lagi tinggal? Yang diserah oleh ICU dan kita rasa mampu, tetapi kita tidak katakan kita boleh selesaikan semua. Tapi kita lakukan sedaya upaya kita, itu yang disebut, In uridu illal-islaha mastata’tu, itu doa Nabi Allah Syuib A.S dalam kerangka perubahan, yang kita kata reformasi, iaitu sedaya upaya kita bawa perubahan ke arah kebaikan, dan projek program begini adalah pemangkin, fokus. Tadi ada program kita rasmi masjid, home centre, lamasjidun ussisa ‘alat taqwaa ada sebagai pusat gerakan.

 

  1. Kemudian kita tengok Majlis Perbandaran Seberang Perai, tahniah sekali lagi kepada SS. Mana SS? dan Majlis Perbandaran. Kerana cuba lihat dasar kita yang besar, transformasi digital, kemudian kalau tak diterjemah di peringkat bawah, tak ada makna.

 

  1. Jadi dicuba jadi smart city, tidak full-fledged smart city, but a beginning. Satu permulaan untuk melangkah ke arah bandar pintar. Tapi rakyat harus disedarkan. Minggu lalu kita luncurkan Rancangan Pendidikan Negara. Saya lihat umpamanya, kebanyakan negara di dunia mula darjah 1 umur 6 tahun. Bila kita buat sini, wah riuh rendah, ada orang parti dia kata, tak sedia. Rakyat 6 tahun itu belum bersedia dia patut belajar Al-Quran dulu dan sebagainya. Saya perasan ini, orang itu juga sebut orang belum bawah 18-16 tahun dah boleh kahwin kalau boleh kahwin umur 15, masuk sekolah umur 6 tahun okey lah. Itu pandangan dia saya tidak setuju, tapi saya nak beritahu mengapa kita bawa perubahan ini.

 

  1. Baik, kita mula tahun depan, tahun ini, kalau anak kita umur 5 tahun hantar dia cepat prasekolah siap untuk 1 tahun. Dan anak kita ini selalunya lebih pintar dari kita jangan kita bawa pemikiran lapuk, kita ingat kita lebih pandai daripada anak-anak kita. Sekarang mungkin tapi beri dia peluang dan pendedahan, saya yakin dia akan lebih pintar. Dan kalau ada niat kita yang baik, sama ada kamu pemimpin, ketua menteri atau KSN, sentiasa ada harapan ataupun cita-cita untuk menentukan anak-anak kita harus diberi pendedahan dan segala yang mampu supaya lebih pintar dan lebih baik daripada kita kalau begitu cita-cita kita, insya-Allah kita boleh angkat martabat negara Malaysia ini sebagai negara yang hebat.
  2. Ini semua yang dilakukan dilihat cara negatif. Mutu pendidikan yang penting, sebab itu orang tanya pasal bahasa, jangan pertikai bahasa Melayu. Tapi kalau kita katakan, Sekolah Cina, UEC itu harus ambil berat dalam Bahasa Melayu, dalam sejarah Malaysia, saya nak tanya Maahad Tahfiz bagaimana? Sekolah Antarabangsa bagaimana? Ramai anak-anak elit di bandar, di Pulau Pinang, hantar anak-anak dia ke Sekolah Antarabangsa, tidak ada Bahasa Melayu atau tidak bahasa lebih kurang saja atau pun tidak ada sejarah.

 

  1. Jadi, bagi kita secara telus, sama ada kamu itu di Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz atau di Sekolah Antarabangsa, atau di Sekolah Aliran UEC, semuanya tanpa kecuali kekal di Malaysia mesti kuasai Bahasa Melayu dengan baik dan sejarah Malaysia.

 

  1. Kalau tidak Perlembagaan kita tidak tahu. Jadi dengan harapan kita faham dan hormat antara satu sama lain. Ini mudah-mudahan saudara-saudara ambil cara positif. Ini 2026, tidak boleh kita duk bergaduh soal tahun 1950-an, 60-an dulu dah. Siapa nak belajar bahasa, belajarlah. Siapa nak maju, bidang dia maju, asalkan kita terima dan secara bersungguh-sungguh menjadikan Bahasa Melayu itu bahasa pengantar, bahasa yang dikuasai oleh semua. Kemudian yang lain jalankan, jangan halang bagi laluan. Malah Sekolah-sekolah Agama Rakyat ini pun, saya dah minta ikut kurikulam dia boleh pilih manhaj tarbiyah masing-masing. Tetapi, mesti belajar bahasa Melayu dan sejarah Malaysia dan kita bantu.

 

  1. Kemudian kalau kita juga tekankan untuk nak maju, mesti ikut teknologi baharu. Mesti dia ambil peluang dan kesempatan menerima pendedahan baru dalam AI, dalam transformasi digital, barulah anak-anak yang dekat setengah juta di Sekolah Agama dan Rakyat dan Maahad Tahfiz juga akan dapat manfaat daripada perubahan ini.

 

  1. Saya kaitkan perkara ini kerana saya mahu supaya galeri arkeologi ini menjadi pusat perkembangan, pusat pembinaan masyarakat, pusat MADANI pembangunan kita. Kalau almarhum Tun Abdullah Badawi, dia sebut Hadhari. Hadhari tidak lari jauh sangat, sebab Hadhari maknanya yang terkait dengan pembangunan agama itu sendiri, membawa kepada soal tamadun, kerana Hadhari ini yang pernah diungkapkan oleh Sarjana Abdul Rahman Ibn Khaldun, Umran Badawi kepada Umran Hadhari. Hadhari maknanya membawa perubahan, pembangunan berdasarkan ilmu, berdasarkan esprit-de-corp, perpaduan dan berdasarkan pengurusan pemerintahan yang baik.

 

  1. Ya mudah-mudahan Galeri Arkekologi Guar Kepah ini orang sini tidak kata Guar, dia kata Guaq ,sama lah, baku dia jadi Guar Kepah iaitu menjadi pusat. Dan saya percaya Menteri Ekonomi boleh lihat, kalau dalam rangka ini kita selaraskan dengan semua jabatan termasuk MITI dan MATRADE untuk berikan manfaat keseluruhannya, dengan kerjasama Duta Belanda yang berikan dukungan, kita boleh jadikan ini sebagai suatu markas untuk mengembangkan apa yang saya maksudkan dalam konteks MADANI secara meluas.

 

  1. Let me also thank Excellency Ambassador, for all the support rendered. It’s timely that we have our own gallery, showcase our own contribution and our history, and it will require a lot of research, a lot of support, new methods and technology both in archeology and AI, available to present to this area in particular, these dimention culturally vibrant centre based on this Gallery Guar Kepah. So may I, on behalf of the Government, express my profound gratitude and my appreciation to you and through your Prime Minister and your government.

 

  1. Jadi terima kasih, wassalamualaikum warahmatullahi. wabarakatuh.

 

 

Share: