TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN DASAR INDUSTRI PERTAHANAN NEGARA (DIPN)
TEKS VERBATIM UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN DASAR INDUSTRI PERTAHANAN NEGARA (DIPN)
21 JANUARI 2026 (RABU) | 10.00 PAGI
GRAND BALLROOM, ARAS 3, MITEC
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem.
Yang Berhormat Saudara Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin,
Menteri Pertahanan;
Rakan-rakan Menteri;
Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan;
Pemangku Panglima Angkatan Tentera (PAT),
Yang menjalankan tugas;
Panglima Tentera Darat sekarang;
Tuan Yang Terutama Duta-Duta Besar serta Pesuruhjaya Tinggi di Malaysia; dan
Rakyat-rakyat yang saya muliakan.
- Hari ini, seperti mana yang disinggung oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled, merupakan suatu langkah baharu meluncurkan Dasar Industri Pertahanan. Dasar Industri Pertahanan ini memang lama tertangguh, dan saya kira sesuai dengan tuntutan masa dan menenggelami harapnya kemelut yang membadai Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini.
- Tetapi wajar saya mulakan dengan menyinggung sedikit tentang kemelut yang berlalu. Kerana ini suatu perkembangan yang mengejutkan bukan sahaja negara, tetapi dunia. Kita baru lagi agak reda bicara soal skandal kewangan, dan sekarang masih bergelut dengan isu rasuah dan penyelewengan dana. Tentunya seperti mana yang juga disentuh sebelum ini oleh Menteri Pertahanan, dia tidak harus mewakili seluruh anggota, sama ada di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, dan agensi penguatkuasaannya.
- Jadi saya ingin menjelaskan bahawa integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas, kerana majoriti besar tahu tanggungjawab mereka, tahu amanah yang digalas oleh mereka, dan tahu bahawa negara bergantung kepada khidmat dan kesiapsiagaan mereka.
- Saya tidak mahu segelintir isu yang menyelebungi segelintir orang itu, walaupun masih dalam siasatan dan keputusan mahkamah nanti, tetapi tidak harus menyebabkan tercoreng muka dan gambaran serta status bagi pegawai tentera di semua peringkat yang berkhidmat dengan baik. Saya mengharapkan mereka tetap dengan pendirian mereka, tegas berkhidmat, kerana negara ini mencapai prestasi yang baik dalam bidang ekonomi lantaran keamanan yang kita nikmati.
- Semalam kita umumkan lagi umpamanya, perdagangan Malaysia mencatat satu lagi rekod, RM3 trilion ringgit untuk 2025. Unjuran kita, pertumbuhan maksimum 4.8, kita sekali lagi pecah rekod itu, dan semua angka-angka itu menakjubkan.
- Tentu peranan ini peranan semua, Jemaah Menterinya, Ketua Setiausaha, pegawai-pegawai, sektor swasta, tetapi disebalik itu semua adalah angkatan bersenjata; angkatan tentera, polis, agensi sempadan dan semua yang bekerja bertungkus lumus yang menyebabkan rakyat dan negara-negara luar termasuk pelabur yakin untuk datang ke Malaysia berlabur dan berdagang.
- Sebab itu kita beri perhatian, dan saudara Dato’ Seri Mohamed Khaled tentu maklum bahawa dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi, Jemaah Menteri dan saya sendiri tidak pernah meringankan atau meremehkan peranan rakan-rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain kerana ini tonggak.
- Negara bila aman, orang agak senang dan selesa. Mereka andaikan bahawa ini sesuatu yang biasa dan mesti terjadi. Bacalah sejarah, tidak ada negara yang pernah selamat tanpa kesiapsiagaan. Termasuk angkatan bersenjatanya, sama ada negara itu aman, jiran kita Alhamdulillah, di ASEAN sangat baik, tetapi tidak mungkin kita ketepikan apa yang berlaku tanpa diduga atau dijangka.
- Lautan China Selatan, Lautan India, Selat Melaka, itu menjadi tumpuan dunia. Keadaan aman kerana kita cuba ketengahkan satu dasar yang berbaik, kekal dengan sahabat-sahabat lama, Amerika Syarikat, Eropah. Berbaik dengan negara China dan rantau ini, dan punyai hubungan istimewa di ASEAN, tetapi itu hanya ikhtiar kita semasa.
- Sebab itu, saya nak tegaskan rakan-rakan di agensi penguatkuasaan, sektor pertahanan negara, termasuk atau utamanya angkatan bersenjata dan angkatan tentera harus sentiasa ingat tentang strategi menjamin keamanan negara dengan kesiapsiagaan.
- Sebab itu, tidak boleh lagi kita teruskan dengan amalan bobrok yang merosakkan, bukan sahaja kita sebagai negara, tetapi industri itu sendiri. Bayangkan harapan seluruh negara kepada satu angkatan untuk menjaga keselamatan kita, anak-anak kita, masa depan kita, itu diringankan dengan kepentingan-kepentingan peribadi.
- Mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertahanan, perolehan persenjataan terbaik, kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan-kekayaan. Dulu kita kaitkan dengan pimpinan politik, dan rakan-rakan saya Jemaah Menteri tahu amaran keras tanpa kecuali. Ada rekod selamat kamu. Sekarang menjalar kepada penjawat awam, angkatan bersenjata, badan-badan penguatkuasaan, kastam, imigresen.
- Jadi sebab itu, percayalah sampai seperti mana juga saudara terlatih dalam peperangan. Ini perang kita sekarang. Kalau tidak mampu kita bersihkan, tidak mungkin kita angkat, termasuk apa yang diluncurkan oleh Menteri, yang disebut oleh Menteri dan kita luncurkan pada pagi ini.
- Saya sebut ini kerana saya menaruh keyakinan dan saya ucap terima kasih khusus kepada Dato’ Seri Khaled, yang mengemudi kepentingan pertahanan dengan penuh rasa tanggungjawab, tidak apologetik atau bersikap bermaaf atau pun defensive. Mahu membersihkan, tetapi meletakkan harapan yang tinggi dan mengemudi kementerian ini supaya terangkat sebagai sebuah kementerian dan angkatan yang cukup wibawa dan berintegriti. Saya ucap terima kasih dan saya harap Dato’ Seri Khaled terus dengan peranan ini.
- Minggu lalu saya umumkan pembekuan semua perolehan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Dan saya beritahu Dato’ Seri Khaled, semua yang telah diluluskan, dan belum dimuktamadkan, akan diteliti semula. Saya minta beliau sendiri pantau dan bawa kepada Kementerian Kewangan dari sudut keupayaan kewangan kita.
- Saya tegaskan pembekuan semua perolehan. Tidak harus sesiapa pun ganggu gugat. Ia mesti lalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawab kepada menteri bersama KSU-nya, barulah diangkat. Kita ada Dasar Industri Pertahanan, tapi saya rasa terangkum di situ satu agensi atau pusat yang memutuskan secara yang lebih telus, dan berwibawa.
- Kemahiran dan kepakaran itu ada pada saudara-saudari, bukan pada saya. Nak tentukan jenis senjata, kelengkapan yang diperlukan, mengikut urutan dengan keterbatasan kita. Saudara tentukan, dan kita lakukan mengikut proses yang telus, yang munasabah, dan saya percaya ini dapat dilakukan sebaik diputuskan pimpinan angkatan bersenjata yang baru bersama menteri dan saya akan berikan seluruh dukungan dan sokongan termasuk apa yang dilakar dalam Dasar Industri Pertahanan Negara hari ini.
- Itu jaminan saya. Seluruh Jemaah Menteri adalah bersama untuk perbaiki dan angkat semula peranan keupayaan dan juga melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara. Itu jaminan saya.
- Saudara Khaled menyinggung tentang rangka kerja strategik untuk memperkukuh ekosistem pertahanan. Kerana ekosistem itu menuntut kita bukan sahaja membeli, tetapi juga menyediakan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rangkaian atau yang dikatakan supply chain bekalan tempatan, dan pengkomersialan R&D.
- Tumpuan kita termasuk atau bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan institusi, yang selalu saya tekankan bermula dengan tatakelola yang baik. Dan kita tahu perolehan ini bukan perkara yang khusus di Malaysia ini, saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan sakau ini paling ganas. Jadi sebab itu, dengan jaminan Menteri tadi, kita bermula dengan tadbir urus dan tatakelola yang sangat baik.
- Yang kedua, yang terkait dengan Dasar Industri ini, pembangunan keupayaan teknologi termasuk melalui Industrial Collaboration Program.
- Ketiga, pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan. Seperti yang ditunjuk, dipaparkan sebentar tadi, kita ada keupayaan, puluh bilion ringgit dibelanjakan. Tetapi, kalau kita asyik gila dengan komisen dan dengan kepentingan-kepentingan kekayaan peribadi, mana kita nak fikirkan kepentingan industri tempatan? Bila kita lihat umpamanya, keupayaan Malaysia ketimbang banyak negara-negara berkembang yang lain, itu di antara yang paling lemah sebelum ini dari sudut membina kekuatan teknologi dan industri tempatan.
- Sebab itu Dasar Industri Pertahanan Negara ini yang memberi penekanan dalam bidang ini harus didukung sepenuhnya, sama ada oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan dan tentunya kita harus beri ruang kepada mana-mana syarikat tempatan lainnya yang menunjukkan keupayaan yang harus diberikan sokongan sebaik mungkin.
- Keempat, peningkatan — tentunya peningkatan kalau ada keupayaan dalaman yang cekap dan baik kita harus bergerak supaya meningkatkan daya saing global dan mula mengeksport hasil kita.
- Jadi, DIPN yang kita luncurkan pada pagi ini bagi saya itu perkembangan yang sangat mendesak. Sebab itu, saya tegaskan semula berdasarkan tonggak yang saya umumkan dan juga yang dicerakin berikutnya oleh Menteri, Dato’ Seri Khaled. Pembekuan ini diteruskan di Kementerian Pertahanan dan saya nak selaraskan juga di Kementerian Dalam Negeri, kerana beberapa persamaan ataupun agensi-agensi lain yang terlibat, dan harus melalui, sebelum apa-apa perubahan dibuat, MK II (Menteri Kewangan II) pun ada, itu melalui DIPN.
- Semua perolehan sekarang mesti dilihat dalam konteks strategi DIPN, diputuskan cara telus dan mengelak daripada apa juga kemungkinan kecurangan berlaku.
- Akhirul kalam, saya ingin beri jaminan sekali lagi, seperti mana yang ditekankan oleh Menteri, Timbalan Menteri, kita berikan apa sahaja yang mungkin untuk kebajikan anggota tentera: perumahan mereka, sekolah-sekolah di kem, elaun mereka, dan bulan ini peningkatan gaji mereka, Bantuan Persekolahan Awal anak-anak mereka, STR dan SARA untuk mereka.
- Dan tumpuan khas tentang kedudukan, kemudahan, prasarana di kem-kem tentera. Saya sendiri sempat melawat beberapa, kenal pasti dan cuba baiki segera. Menteri hampir berulang kali kepada saya dan juga dalam syor Jemaah Menteri, memberikan perhatian dan mohon supaya Kerajaan termasuk Kementerian Kewangan memberi tumpuan tentang kebajikan anggota tentera, kerana mereka diberikan tugas yang kadang-kadang jauh lebih berat daripada penjawat awam biasa. Berkorban meninggalkan keluarga mingguan dan bulanan.
- Sebab itu, Kerajaan berikrar untuk memastikan keutamaan dan kebajikan mereka itu tidak diabaikan. Kita dah bermula dan hebatnya di Tentera ini kerana dia ada Kor Kejuruteraan. Jadi Kor Kejuruteraan itu telah dapat menyiapkan dan membaiki rumah dan sekolah jauh lebih cepat dan belanjanya cepat habis. Dengan cekap dan baik.
- Maknanya ada keupayaan. Siapa kata semuanya berita buruk? Ada kekuatan, dari itulah kita bina kekuatan. Dan kalau saya ditanya umpamanya mahu perkuatkan Kor Kejuruteraan, saya senang sebab saya lihat prestasi mereka, perumahan-perumahan anggota tentera dengan langkah yang diambil oleh Kor Kejuruteraan sangat membanggakan.
- Jadi, sekali lagi lah saya salute dan terima kasih dan menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua yang berkhidmat dengan baik dan cemerlang. Mudah-mudahan episod gelap dan muram, seperti apa yang diungkapkan sebagai “puting beliung”. Jarang berlaku puting beliung di Malaysia ini, tetapi dua tiga tahun sekali dia mari melanggar.
- Mudah-mudahan dia tidak memberikan gambaran yang negatif dan dengan dasar ini dan berakhirnya pembekuan untuk dibawa melalui jentera dan konsep dasar baharu ini kita berikan satu harapan baru bagi Malaysia.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
