TEKS VERBATIM RAKAMAN PROGRAM DIALOG NEGARA BERSAMA YAB PERDANA MENTERI TERBITAN RTM
TEKS VERBATIM RAKAMAN
PROGRAM DIALOG NEGARA
BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
TERBITAN RTM
24 NOVEMBER 2026 | SELASA | 8.30 MALAM
——————————————————————————————–
MODERATOR:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Saudara, setiap pentadbiran pasti mempunyai gagasan dan setiap gagasan pasti akan teruji dengan realiti. Meladani empat tahun Malaysia MADANI, menyaksikan perubahan, reformasi dan pentadbiran strategik.
Kendati pun begitu, dalam kita menelusuri naratif pembangunan, pasti akan terbit persoalan berkenaan perubahan dan berani untuk berubah.
Inilah episod pertama Dialog Negara. Saya Ismail Adnan dan ayuh hadirin sekalian kita alu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Dato’ Seri.
Apa khabar? Alhamdulillah.
Terima kasih, Dato’ Seri, memenuhi jemputan kami untuk Dialog Negara episod yang pertama dan selamat kembali pulang ke tanah air, hasil daripada Sidang Kemuncak APEC 2026. Insya-Allah, Dato’ Seri, sepanjang kita meneladani perbincangan kita dalam Dialog Negara, diskusi awam bersama dengan pandangan-pandangan dan juga perspektif daripada pelbagai industri.
Hadirin sekalian, ayuh sama-sama kita perkenalkan siapakah yang akan turut serta bersama dengan kita, ahli-ahli dan juga rakan-rakan industri dalam Dialog Negara di Sebalik Keputusan, kita saksikan.
Hadirin sekalian, ayuh kita berikan tepukan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Anwar bin Ibrahim.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, ramai peminat Dato’ Seri di belakang sana. Kita dengarkan sekali lagi sorakan daripada golongan mahasiswa dan juga sorakan daripada golongan yang sudah lama meninggalkan alam mahasiswa, silakan.
Nampak pemberatnya di belakang sana, Dato’ Seri.
Dato’ Seri, itulah dia rakan-rakan panel industri akan bersama dengan kita malam ini. Tapi sebelum kita bersama dengan rakan-rakan panel, saya terbitkan satu soalan untuk kita memulakan dialog negara pada malam ini.
2026, 5.5% kadar KDNK negara yang dicapai disebalik dengan CPI atau Indeks Persepsi Rasuah yang meningkat dua mata dan juga disebalik dengan nilai pelaburan hasil lawatan Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri 2023 sehingga 2024 yang menghasilkan RM431 bilion terkait juga dengan pelaburan sembilan bulan tahun 2026, sehingga lebih RM350 bilion. Soalnya, berbaki satu bulan, empat hari menghabiskan 2026, apakah mungkin ada keputusan major yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri?
YAB PERDANA MENTERI:
Itu dari segi strateginya tak boleh diumumkan sekarang, tetapi saya percaya kita akan gunakan kebijaksanaan melakar suatu dasar yang terus meringankan beban rakyat dan sementara kita memacu pertumbuhan yang segar, yang boleh menjamin keutuhan, kelangsungan, kemajuan ekonomi negara.
MODERATOR:
Jadi mungkin 2027 kita bakal menyaksikan lonjakan dari segala sektor ekonomi, baik terkait dengan rakyat, Dato’ Seri?
YAB PERDANA MENTERI:
Tentunya fokus kita mesti menjamin satu pertumbuhan ekonomi yang mampan, kerana kalau ekonomi kukuh, pengagihannya lebih terjamin. Jadi bagi saya fokus itu. Walaupun ketidaktentuan geopolitik itu mengugat sedikit sebanyak kelangsungan dan perjalanan ekonomi kita. Tapi saya lihat angka-angka mutakhir, kita dapat pertahankan lonjakan yang ada, walaupun mungkin tidak sehebat yang kita jangkakan.
MODERATOR:
Hasil daripada Sidang Kemuncak APEC 2026, ada banyak persoalan yang terbit, mungkin perbahasan dalam kalangan akar umbi. Terkait dengan perbahasan, sama ada menjaga imej negara, ruang diplomasi di peringkat antarabangsa dibandingkan dengan rintihan, rayuan dan juga pandangan rakyat di akar umbi, mana Dato’ Seri dahulukan?
YAB PERDANA MENTERI:
Dia ikut keadaan, bila kita di APEC, tentunya kita dahulukan hubungan diplomasi international. Kerana di APEC itu kita terpaksa tangani permasalahan serantau, bagaimana mereka boleh lebih yakin dengan keupayaan keutuhan negara. Di samping itu, dapat menjalin hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, kerana Amerika Syarikat itu rakan dagang dan pelabur terbesar dalam negara kita.
Kemudian negara China yang menjadi gergasi ekonomi baru, yang harus kita jamin hubungan yang baik dan juga Rusia yang dahulunya tidak disenangi oleh setengah pihak, tapi Malaysia mengambil dan memilih satu keadaan di mana kita memanfaatkan hubungan ini untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.
Baik. Balik ke sini, tentunya kita terpaksa melihat kepada permasalahan domestik. Walaupun semua angka ini menakjubkan, tapi rakyat kita ini juga tertekan dengan beberapa permasalahan. Kos sara hidup, kadang-kadang ekonomi melonjak, tetapi tidak diagihkan kepada golongan pekerja. Hal-hal ini kita harus tangani.
Kemudian masalah petani nelayan yang mengharapkan suatu harga yang lebih tinggi, tetapi akan memberi kesan kepada kos sara hidup. Walaupun secara nisbinya keadaannya jauh lebih baik ketimbang dengan negara-negara jiran, tetapi harapan rakyat itu dia tidak lihat perbandingan. Dia lihat hidup dia. Sebab itu saya menekankan kepada sahabat saya dalam Jemaah Menteri, jangan hanya terpukau dengan angka. Lihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh rakyat secara langsung dan insya-Allah kita akan cuba lakukan sebaik mungkin.
MODERATOR:
Dato’ Seri, tiga soalan itu mungkin sebagai pemanas badan untuk kita menghangatkan suasana diskusi dan juga forum pada malam ini.
YAB PERDANA MENTERI:
Memang dah hangat daripada mula.
MODERATOR:
Kita mulakan, Dato’ Seri. Saya nak menjemput seorang rakan dari industri dan juga pejuang komuniti hartanah, kerana kita juga nak membawa persoalan berkenaan tentang hartanah perumahan yang mungkin dibangkitkan oleh rakyat. Hanya orang kata, mampu lihat sahaja tetapi mampu milik itu seolah-olah mustahil. Jadi mungkin persoalan ini akan diajukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ahyat Ishak yang juga merupakan pengasas komuniti pejuang hartanah bersama dengan kita. Silakan, Dato’.
PANEL 1: YBHG. DATO’ AHYAT ISHAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya Ahyat Ishak, pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, membawa suara rakyat, isu-isu hartanah yang rakyat bimbangkan, antaranya rumah yang semakin di luar jangkauan, industri hartanah yang terus membina rumah yang rakyat tidak mampu, lambakan rumah yang terus meningkat.
Tetapi hari ini saya nak bertanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tentang satu isu yang juga rakyat tengah bimbangkan iaitu Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, rakyat memang tahu kita perlukan undang-undang ini, kerana ada kawasan yang perlu dibangunkan semula, ada bangunan kediaman yang mungkin sudah usang, sudah lama tidak boleh menampung lagi keperluan masyarakat di situ dan ada juga bangunan yang dianggap sudah merbahaya.
Namun, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apa yang kita lihat, penduduk-penduduk asal, mereka bimbang. Mereka akan kehilangan rumah, kehilangan komuniti yang mereka kenal sejak begitu lama, ada yang bergenerasi lamanya. Mereka bimbang tidak lagi mampu untuk kekal tinggal di kawasan asal dan ada juga rakyat yang menganggap undang-undang ini akan memberikan kuasa yang berlebihan kepada pihak-pihak tertentu. Ada juga yang memandang undang-undang ini akan memberikan kuasa dan memihak kepada pihak pemaju yang mahu mengejar keuntungan dan tidak peduli kepada rakyat.
Jadi soalan saya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apakah perlindungan yang Kerajaan boleh jamin kepada masyarakat, terutamanya kepada penduduk asal? Sebagai contoh, hak mereka untuk mendapatkan penempatan sementara yang bersesuaian, dan akhirnya penduduk asal dapat kekal tinggal di kawasan asal mereka dan tidak terbeban dengan kos kediaman yang begitu tinggi nanti setelah pembangunan bandar itu sudah selesai.
MODERATOR:
Terima kasih Yang Berbahagia Dato’. Silakan Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Soalan ini macam soalan dari Parlimen, panjang. Jadi kena teliti, renung betul-betul nak tangkap permasalahan.
Baik. Dia, apa prinsip dia? Soal undang-undang, satu perkara yang kita akan singgung. Tetapi, jaminan rumah yang selesa bagi rakyat. Itu dasar kita dan kita telah lakukan kalau ketimbang tahun-tahun sebelumnya, ini paling banyak sekarang. Beberapa tanah, kawasan-kawasan baru yang kita bangunkan yang saya sebut Rumah MADANI baik di Kuala Lumpur dan kota-kota besar, itu sedang selenggarakan dalam saya ingat bulan Disember, Januari saya akan luncurkan beberapa projek perumahan yang mengambil masa tentunya 2-3 tahun, tapi sekarang sudah hampir siap dan telah dapat dimulakan.
Baik, soalnya undang-undang ini kita harus teliti apa keperluannya, kerana beberapa kawasan di Kuala Lumpur itu kawasan yang sangat daif dan untuk meroboh dan membangunkan semula, itu hampir sukar kerana memerlukan persetujuan tiap penghuni dan mereka tentu ada keengganan, kebimbangan. Saya setuju kita harus santuni mereka. Cuma apakah perlu ada undang-undang untuk kawal? Jawabnya perlu. Yang dibangkit oleh saudara adalah apa jaminan penduduk asal? Itu harus kita jamin. Saya setuju.
Yang kedua, apakah hidup dan perumahan itu lebih selesa dari dulu? Itu juga syarat yang kita jamin. Yang ketiga, apakah mereka ada hak bersuara, sekurang-kurangnya majoriti? Kalau nak katakan 100% bersetuju, itu tak jalan lah rumah itu tapi kalau kita tetapkan 70%, 80%, tetapi dengan memberi jaminan kepada yang tidak bersetuju tapi masih beri hak kepada mereka. Itu yang kita putuskan.
Tetapi dia jadi kontroversi, terutama dari segi kaum, bukan dari segi perumahan. Ini mungkin satu strategi satu kaum nak kuasai kawasan perumahan. Saya fikir tidak berlaku. Ini dalam Kerajaan MADANI paling tegas kita pertahankan, termasuk hak Bumiputera. Kali pertama dalam sejarah sejak merdeka tahun 1957, tanah di Kuala Lumpur disahkan sebagai tanah rizab Melayu, 50 ekar permulaannya. Ini belum pernah berlaku.
Jadi soal kita nak tolak ansur dengan tuntutan gerombolan pemodal, tak betul. Jadi saya setuju yang perlu adalah langkah menyantuni, menerangkan dan kemudian membangun mengikut peringkat keupayaan kita. Tetapi kalau tanya saya, saya tidak sanggup melihat perumahan yang begitu daif di tengah kota.
Jadi harus lakukan sesuatu dan keperluan undang-undang dengan jaminan, yang itu saya setuju. Jaminan yang jelas pertahankan hak golongan asal. Itu insya-Allah kita lakukan dan saya tidak akan tolak ansur soal itu.
MODERATOR:
Dato’ Seri, undang-undang pasti tersedia dan dikuatkuasakan. Cuma soalnya pihak yang melaksanakan kepada undang-undang dan penguatkuasan itu, apa jaminan untuk ianya akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin?
YAB PERDANA MENTERI:
Pelaksanaan itu oleh bukan sahaja kementerian, tapi syarat-syarat bandaraya umpamanya itu, kita tetapkan. Sebelum kita memeterai perjanjian, kita pastikan syarat-syarat ini dipenuhi di kota, kerana pemaju ini pun banyak yang lakukan kerosakan. Janji perumahan tak siap, ini yang orang mulai curiga. Jadi sebab itu, bila dibangkitkan oleh penghuni, saya faham kerana pengalaman dia, dia tandatangani 8 tahun rumah tak siap, dan tidak ada tindakan tegas terhadap mereka. Jadi, pendekatan dari pihak jabatan dan Kerajaan juga harus tegas. Bukan saja terhadap penghuni, tapi terhadap pemaju. Jadi sekarang difikirkan seolah-olah kepada pemaju dan pemodal itu kita lebih bertolak-ansur. Ini tidak, sistem sekarang tidak.
MODERATOR:
Jadi tiada tolak ansur dari ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan.
Dato’ Seri, saya juga nak kaitkan dengan satu soalan yang juga terkait dengan kecerdasan buatan, setelah kita mengetahui baru-baru ini dengan serangan siber yang berlaku di peringkat global dan juga di peringkat tempatan. Kita akan bersama dengan saudara Jason Wee yang juga merupakan pengasas Architects of Diversity, terkait soalannya berkenaan kecerdasan buatan. Silakan, Jason.
SOALAN JASON WEE:
Selamat petang, nama saya Jason Wee, saya pengasas untuk NGO Architects Diversity di mana kita usahakan isu-isu tentang kaum, agama, anak muda dan juga demokrasi. Tapi sekian lama kami juga memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan, AI termasuk risikonya terhadap masyarakat dan juga demokrasi. Tapi juga untuk sepertimana anak muda yang lain rasa mungkin sedikit risau, namun kita akui bahawa ada banyak faedah yang mungkin akan datang ke Malaysia.
Dato’ Seri, kita semua tahu bahawa Malaysia sedang membina kedudukan kita sebagai perantara AI untuk dunia. Kita sediakan tanah, kita sediakan tenaga elektrik, air dan juga pusat data. Namun cip, model dan juga hak intelek dimiliki oleh syarikat-syarikat berasaskan di Barat dan juga di China. Persoalan saya Dato’ Seri, katakanlah Malaysia betul-betul dapat mengukuhkan kedudukan kita sebagai lapisan perantara AI. Bagaimana fikiran Kerajaan untuk memastikan kekayaan yang diperolehi oleh era AI ini dikongsi bersama semua rakyat Malaysia dan bukan hanya ditumpu di luar negara ataupun dalam kalangan beberapa sahaja di Malaysia.
Contohnya di Amerika Syarikat, Senator Bernie Sanders telah pun mencadangkan satu RUU untuk menubuhkan satu dana di mana yang dia memegang saham syarikat AI yang terbesar dan akan membayar dividen kepada setiap rakyat Amerika. Kita sudah tahu di sini kita ada subsidi yang mungkin sedikit berjangka pendek. Namun, apakah lagi yang boleh kita buat dan juga bayangkan untuk masa depan. Adakah dia melalui dana kekayaan negara AI? Adakah dia syarat pemindahan nilai kepada syarikat tempatan? Apakah cara kita untuk memastikan kekayaan pada era yang akan datang tidak hanya tertumpu kepada segelintir kita sahaja. Terima kasih.
MODERATOR:
Terima kasih Tuan Jason.
YAB PERDANA MENTERI:
Jason mampu menjawab lebih baik daripada saya. Ini suatu hal yang kita patut renung. Setiap teknologi baru sejak revolusi industri, sampai sekarang, itu menyebabkan sedikit ketegangan sosial. Dan AI kerana ia berlaku dalam apa yang disebut post-normal times, kejutannya itu lebih mencabar. Kita harus terima ini. Maknanya, soal memacu, mendukung keperluan AI, satu kemestian. Ini yang saya sebut, “menggapai di langit.” Tetapi etika, keadilan sosial harus dijadikan suatu tonggak dalam perbincangan kita, “mengakar di bumi.”
Tentunya kita belum pastikan langkah-langkah diambil dari sudut AI, kerana ini dari segi sistem kita keseluruhannya. Nak naik gaji daripada RM1200, RM1500, RM1700, RM2000, setengah mati bantahannya. Saya kadang-kadang menyanggah pandangan beberapa pemodal, untungnya RM800 juta setahun, RM1 bilion setahun. Nak naik gaji pekerja itu berhempas pulas kita.
Tapi Alhamdulillah, kita ada ketegasan dan naik. Bagi GLICS umpamanya naik RM3400 minimum. Ini maknanya Kerajaan memberikan contoh. Gaji pekerja pejabat awam kita naikkan. Walaupun dia tentunya membebankan dari segi kewangan negara, tetapi ini keadilan bagi pekerja. Hidup dengan kos yang meningkat. Baik, kalau begitu AI isu dia kemudahan. Jadi, dalam umpama yang terakhir dengan Google, USD15 bilion dolar Amerika masuk. Apa syarat kita? Yang belum kita lakukan. Dia belanja RM600 juta siapkan bekalan air di Negeri Sembilan. Dia pastikan latihan seribu anak-anak kita bukan sekadar pengenalan dan pencerahan tentang AI, tetapi penguasaan yang lebih tinggi kerjasama dengan Universiti Malaya umpamanya. Itu hal-hal yang kita letakkan syarat sebelum mereka masuk.
Kalau syaratnya terlalu banyak dan membebankan mungkin dia tak datang, tetapi saya setuju Jason ya, bahawa kita harus tegas menunjukkan ini kesediaan kita mengundang pelabur, tetapi jangan menyebabkan kesenjangan itu terus membengkak dan melebar. Ini problem kita, bukan sahaja soal AI. Seluruh pertumbuhan ekonomi negara dalam sistem tanpa campur tangan dan asakan daripada pimpinan politik negara, dia akan menyebabkan kesenjangan.
Sebut AI, ia menyebabkan gross inequality. Jadi, kita harus membendung hal ini. Yang Sanders punya pandangan itu tentu satu pandangan, tapi dalam jawatankuasa kita termasuk dalam Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, itu diminta kaji betul-betul apa yang langkah-langkah kita boleh ambil.
Jadi dari segi prinsip, saya setuju malah tidak tunggu tentang undang-undang, tapi kita boleh menekan. Contohnya, bila kita letakkan syarat gaji minima, tentunya syarat ini harus dipatuhi oleh MNC’s, walaupun pada peringkat awal mereka bantah sebab dia kata dia datang ke Malaysia kerana upah yang rendah. Saya kata tak, itu mungkin 30 tahun dulu. Sekarang dia mesti terima kenyataan bahawa taraf hidup rakyat telah meningkat.
MODERATOR:
Dato’ Seri, apa Dato’ Seri bersetuju ledakan AI mencabar peluang pekerjaan tempatan?
YAB PERDANA MENTERI:
Semua teknologi baru itu mencabar. Jadi kita kena terima kenyataan itu. Cuma human ingenuity, kebijaksanaan, kepintaran manusia itu harus faham dan dapat menjangka permasalahan yang berbangkit dan cuba cari penyelesaian. Itu keupayaan manusia kerana kalau kita takut dengan teknologi ini, maka dia akan menyebabkan kita tertinggal, mundur. Tetapi mengambil teknologi baru sebagai kejutan dalam post-normal-time ini juga mengundang beberapa masalah termasuk masalah kewangan.
Tetapi ada pengarahan baru yang belum terfikir oleh kita sebelumnya. Sekarang ada dan pandangan pemerintah itu bukan sahaja dari segi jabatan kerajaan tetapi sektor swasta untuk juga diberi dukungan yang boleh mengarah kepada peluang-peluang pekerjaan baru.
MODERATOR:
Dato’ Seri, kita akan beralih ke segmentasi soalan berikutnya. Tapi sambil-sambil itu, saya mempersilakan dan menjemput Dato’ Seri menikmati air mineral semula jadi daripada pergunungan tempatan, Dato’ Seri. Sambil-sambil itu, kita jemput Dr. Madiha Fuad untuk bertanyakan dan mengajukan soalan kepada YAB Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Gunung mana ni?
MODERATOR:
Lokasi di Semenanjung yang tidak diberitahu dalam sesi inilah. Silakan Dr. Madiha.
SOALAN DR MADIHA:
Assalamualaikum Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri. Salam Malaysia MADANI. Saya Dr. Madiha, pengasas aplikasi kesihatan mental dan soalan saya lebih menjurus dalam bidang yang saya ceburi iaitu kesihatan mental. Topik yang agak sensitif tetapi sangat penting.
Dato’ Seri, sejak kebelakangan ini masyarakat semakin bimbang dengan pelbagai kejadian yang melibatkan pelajar sekolah dan kita baru sahaja lihat kejadian yang sangat sedih minggu lepas dan kebanyakannya ialah kes-kes tekanan emosi, keganasan, mungkin kes yang loneliness dan masalah kesihatan mental di kalangan remaja. Dan melalui aplikasi kesihatan mental kami, kami lihat ramai anak-anak muda yang meluahkan perasaan yang mereka sangat tertekan sehingga mereka takut untuk nak pergi ke sekolah. Ada juga yang memilih untuk memendam perasaan sampai mereka takut untuk luahkan perasaan, untuk cari pertolongan dan sebenarnya the case ialah mereka takut untuk meluahkan kepada seseorang.
Jadi pada pandangan Dato’ Seri, mungkin ini adalah sebuah masyarakat, mungkin silap kita sebagai sebuah masyarakat di mana kita perlu fokus lebih kepada kesihatan mental dan tidak fokus kepada kesihatan….
MODERATOR:
Mental secara menyeluruh.
YAB PERDANA MENTERI:
Fizikal, kedua-duanya lah.
SOALAN DR MADIHA:
Dan secara fizikal di mana sebaliknya kalau kita lihat kebanyakan isu dia ialah kesihatan mental. Jadi pada pandangan Dato’ Seri, apakah isu dia sebenarnya? Adakah kita terlalu fokus kepada kecemalangan akademik dan kita jauhkan daripada fokus dengan emosi kesejahteraan mereka dan itu.
MODERATOR:
Okey, terima kasih Dr. Madiha. Dato’ Seri, mendengarkan suara beliau tenang saja dengar Dato’ Seri ya. Sesuailah beliau sebagai aktivis advokasi kesihatan mental, Dato’ Seri. Jadi, mungkin terus saja menjawab persoalan Dr. Mahdiya, Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Yang ini memang mengguris perasaan kita, betul. Saban minggu, Fadhlina, Menteri Pendidikan, saya minta update supaya Jemaah Menteri seluruhnya dengar case by case, dan kita lihat rupanya, bukan keseluruhan kajiannya, dia berpunca dari keluarga. Betul masalah sekolah pun ada, masalah buli di sekolah pun ada, tapi saya lihat kebanyakannya itu berpunca dari keluarga.
Ada umpamanya, baru ini anak hampir di Putrajaya, terkejut. Dari tingkat dua, tiga sekolah sebab dia tak tahan kerana tekanan keluarga, suruh belajar, tak ada bercakap lain. Kemudian banyak kes-kes begitu. Saya tak mahu sebut ini masalah sekolah, masalah ibu bapa, tapi boleh tak kita menganjurkan, selain daripada kesedaran tentang masalah kesihatan mental ini satu masalah besar yang mesti kita tangani untuk menyelamatkan. Mungkin 10 orang daripada sekolah 1,000 orang. Tapi 10 itu nasib yang akan terkorban kalau tidak kita tangani dengan baik. Penganiayaan itu kadang-kadang boleh dielakkan. Buli, penderaan di sekolah itu patut ada ketegasan yang keras.
Terakhir, di Kolej Melayu, sekolah saya, yang tak boleh saya bayangkan, dengan cara dengan disiplin, dengan esprit de corps yang ada di sekolah, boleh berlaku. Jadi, kita harus terima ini sebagai satu masalah yang dikesan baru, puncanya, kalau kita kata di rumah, tapi yang ini di sekolah, di asrama. Jadi kalau kita cari penyelesaiannya, yang saya dengar cadangan dari Kementerian Pendidikan, Kesihatan dan Badan-Badan NGO, maknanya mesti timbul kesedaran yang lebih meluas.
Rumah bagi saya penting, sebab itu kita dalam Islam, dalam hadis, Baiti Jannati, rumah itu syurgaku. Jadi, kena ada alasan bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga itu. Sibuk bagaimanapun, tak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang.
Saya jumpa anak-anak sebelum solat Jumaat, saya tanya, balik peluk tak bapa atau ibu? Ada yang kata tak pernah. Ada yang katakan dia balik tak pernah jumpa, esok pergi sekolah. Jadi ada masalah juga dalam keluarga. Guru pun begitu. Setengah sekolah ada masalah. Dia tidak mahu menjadikan ini isu. Nak jaga imej sekolah itu. Jadi, ada permasalahan sekolah, ada ibu bapa, ada kesedaran masyarakat. Ada seorang itu, kenapa dia nak pergi give up hidup ini? Kerana dia lihat Korea punya tragedi ini. Itu pun boleh pengaruh. Jadi, bagaimana dia boleh benarkan tengok episod Korea ini sampai hari-hari? Sedih. Saya pun pernah tengok sekali. Saya pun sedih. Tapi kalau tengok hari-hari yang jadi mental pula nanti.
MODERATOR:
Ya silakan Dr. Madihah.
SOALAN DR MADIHAH:
Tapi haruskah kita include pembelajaran kesehatan mental ini dalam sekolah?
YAB PERDANA MENTERI:
Ya, dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan sekarang. Sekurang-kurangnya dalam salah satu subjek itu dimasukkan. Jangan cara terang-terang sangat. Anak-anak tak suka. Kena cara pengolahan yang melalui pengajaran, patutnya dari segi agama dan moral itu patut paling penting. Tapi sebab itu dalam kurikulum Islam ini pun patut diberi kesan. Semua anak-anak sekarang belajar Islam. Semua berjamaah. Tapi penghayatannya itu tidak. Jadi saya setuju. Tidak semestinya dalam kurikulum untuk setiap mata pelajaran, tetapi cara penyampaian yang mesti memasukkan soal itu. Kalau tak kita kata, “mengakar di bumi” tak jadi sebenarnya.
SOALAN DR MADIHA:
Dan mungkin soalan terakhir saya, adakah kita patut mengembangkan kaunselor-kaunselor di sekolah sebab apabila diberi peluang untuk kongsikan masalah, mereka akan mengambil peluang itu. Tetapi sebab beban kaunselor tidak dapat tampung aduan-aduan daripada pelajar sekolah ini, that’s where we see all these different mental health cases, sampailah tahun lepas.
YAB PERDANA MENTERI:
Guru itu sebenarnya kalau ikut hadis, Mualliman, dia patutnya mengajar dan dia kaunseling. Jadi kalau kata semua sekolah nak ambil kaunseling, betul ini teori lah, tapi dia nanti berbilion ringgit juga. Kalau perlu, terpaksa kita terpaksa, tapi mengambil masa.
Tapi buat sementara ini, harus dimunculkan kesedaran. Penyelesaian kita ini very compartmentalized. Apa tak boleh kita timbulkan kesedaran di dalam masyarakat. Ibu bapa ada tanggungjawab dia. Guru ada tanggungjawab. Jalankan tanggungjawab dengan baik. Ini kalau kita pikul amanah ini, jalan dengan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebahagiannya dapat ditangani. Sebahagian yang memang keadaan yang lebih parah, itu mungkin boleh ditangani oleh kaunselor yang terlatih.
MODERATOR:
Terima kasih Dato’ Seri, terima kasih Dr. Madiha untuk jawapan tersebut. Headline malam ini, Dato’ Seri Anwar peminat K-drama, Mungkin akan keluar.
YAB PERDANA MENTERI:
Baru satu episod aku tengok.
MODERATOR:
Habiskan Dato Seri, 30 minit pun boleh insya-Allah. Dato’ Seri, kita beralih daripada isu kesihatan mental kepada kesihatan fizikal secara menyeluruh. kita bersama dengan Dr. Malar Santhi yang juga merupakan seorang pempengaruh dan juga pegawai perubatan. Silakan Dr.
SOALAN DR MALAR SANTHI:
Selamat sejahtera YAB Perdana Menteri. Saya Dr. Malar Santhi Santherasegapan. Seorang doktor perubatan swasta tapi hari ini saya membawa isu kesihatan awam. Saya membawa suara pihak berkepentingan dalam isu kesihatan pengguna rakyat dan juga pekerja dalam sektor kesihatan awam.
Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri kerana baru-baru ini dalam Belanjawan 2027, YAB dah umumkan yang penamatan sistem kontrak, pengambilan doktor kontrak akan ditamatkan bermula Januari 2027. kami semua sangat gembira, terima kasih kepada YAB.
Setelah satu dekad, setelah sepuluh tahun walaupun tidak dimulakan oleh pentadbiran Dato’ Seri tetapi kerajaan MADANI jugalah yang menamatkan sistem ini, thank you so much dan ia diumumkan akan ditamatkan sejak 1 Januari 2027. Walaupun pengumuman itu telah dibuat, cabaran di lapangan masih sama. Doktor kontrak masih dalam keresahan. Mereka diberikan posting yang mereka tidak mampu untuk penuhi. Sama ada dari segi lokasi ataupun kewangan untuk mereka relocate ataupun dari segi komitmen. Yang mana mereka diberikan take it or leave it offer. Sama ada ambil ataupun tidak. Yang mana kita tahu mereka generasi yang berbeza. Jadi mereka leave it. Mereka letak jawatan. Maka kita ada kekurangan houseman, kekurangan medical officer. Malah kekurangan pakar yang dalam perjawatan tetap. Tetapi kita masih dengar isu doktor pakar juga letak jawatan daripada sektor kesihatan awam.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita doktor pakar bedah jantung. Yang letak jawatan di Pantai Timur. Jadi, persoalan saya kepada YAB Dato’ Seri, membawa suara rakyat Malaysia yang mana sektor kesihatan lebih kritikal. Rakyat Malaysia 50% dewasa dalam golongan overweight ataupun obesity. Malaysia juara dalam kencing manis di Southeast Asia. Itu je lah yang kita boleh juara for now. Maka kepentingan, keperluan sektor kesihatan awam meningkat tetapi tenaga kerja berkurang.
Soalan saya adalah, apakah reformasi kesihatan yang Dato’ Seri nak bawakan dalam legasi pemerintahan Dato’ Seri untuk mengubah apa yang sedang berlaku sekarang. Mengubah cabaran di sektor kesihatan awam supaya kualiti kesihatan rakyat Malaysia dan petugas kesihatan dan kebajikan mereka lebih terjaga, dan kita menjadi negara yang lebih sihat. Apa reformasi yang Dato’ Seri nak berikan kepada kami? Reformasi kesihatan yang saya minta.
MODERATOR:
Terima kasih Dr. Malar Santhi untuk soalan itu. Dato’ Seri, di sebaliknya itu beliau berpesan jaga makan. Jangan ke arah obesiti.
YAB PERDANA MENTERI:
Ya. Saya pun kurang gula. Baik. Dari segi Belanjawan MADANI, yang pertama, peruntukkan pendidikan. Yang kedua, kesihatan. Ini luar biasa. Cuma bandingkan dengan belanjawan-belanjawan negara lain, tak begitu. Jadi, peruntukan itu besar sekali. Bila kita ambil keputusan untuk menamatkan sistem kontrak ini, dia juga mencecah ratusan juta ringgit. Tapi saya fikir untuk berlaku adil, terpaksalah kita cari dana untuk menampung. Tapi ada juga masalah-masalah, penempatan umpamanya. Tapi kalau penempatan ini, di mana boleh kita ubah sesuai, kita sesuaikanlah. Tetapi bagaimana, kalau kita fikir pilihan, siapa yang nak pergi jadi doktor di Kapit, di Gua Musang, di Ulu Kelantan. Jadi, Gua Musang itu Ulu Kelantanlah. Cherok Tok Kun. Jadi, kita kena juga sedarkan masyarakat. Ada masa. Guru-guru, umpamanya ya. Kalau kita kata, oh tak boleh. Kita guru, dia layak. Dia kena bagilah ruang bagi keselesaan dia. Jadi, siapa nak pergi masa itu Sabah ke Sarawak, atau di Ulu Pahang? Jadi, sebab itu sementara saya faham keperluan kita ubah suai sebagai dengan doktor umpamanya berhenti. Begitu juga jurutera. Begitu juga guru.
Guru! Guru ini ada konotasi. Faham kan? Jadi sebab itu, saya fikir dia kedua-duanya. Yang patut kita ubah suai, kita ubah suai. Dan saya setuju, kesihatan awam, diberi perhatian. Obesiti sebenarnya, dia juga masalah kefahaman masyarakat dan juga budaya. Saya umpamanya di Jabatan Perdana Menteri, saya tak bagi minuman bergula. Pergi kedai lah kalau nak minum. Tetapi, ada negeri umpamanya consumption gula terlalu tinggi. Jadi ubahlah sikit budaya tu. Jadi tanggungjawab kita kalau ada kesedaran. Kita mengundang masalah besok beban. Ibu bapa kita terkorban kerana kecuaian kita. Nak kata tak ada pendidikan, ada. Tapi nak ubah sedikit sesuai, supaya dapat memberikan jaminan kesihatan, tidak. Exercise hampir tidak ada. Saya umpamanya, bila tiap kali jumpa doktor yang baik dengan saya, kata tak ada masa, dia kata, okey, beli weight. Jadi saya pergi ke pejabat, pakai itu. Dah orang kata, ini apa ni? Perdana Menteri buang tabiat ni. Saya pakai weight di sini, di sini. Jadi, kerana itu.
Maknanya, tak ada alasan untuk orang tu kata sibuk, tidak boleh melakukan exercise. Jadi, yang tu saya setuju sepenuhnya. Dia peruntukan Kerajaan betul, pengagihan yang betul, hentikan ini kerja kontrak-kontrak tipu ni. Istilah sakau orang tak suka. Memang betullah tu. Apa lagi? Ya. Sebab kalau kontrak ni harga je 200 juta. Pakat-pakat-pakat, kadang tak mahu kontrak. Pakai negotiated tender. Ini berpuluh bilion kita hilang dulu. Fikir di Malaysia ni, 1MDB, Felda, Tabung Haji. Hanya orang muda lah patut suara kan? Boleh? (Boleh!)
Jadi, ini bila kita selamatkan ke mana? Wang itu pulangkan balik. Orang tanya bagaimana? Ada seorang pengkritik sosial yang tak senang saya, tak apalah. Tapi dia kata, bukan apa. Cukai tak naik. Tapi belanja untuk rakyat lebih. Mana wangnya? Hutang dari mana lagi? Dia tak tahu bahawa kita selamatkan puluh bilion ringgit. Kerana tatakelola yang lebih tetap. Tiap tender, tidak ada negociated tender. Tak ada runding-runding. Sapu dua, tiga, juta bawah karpet. Dia mesti tender. Ini, dari wang ini pulang kepada rakyat. Berapa banyak? STR SARA RM16 bilion. Berapa banyak kenaikan upah gaji pejabat awam? RM18 bilion. Ini dari mana? Dari keupayaan kita tegas dan keras mengawal dana Kerajaan.
Dan ini juga mengundang permusuhan. Orang yang biasa dengan kerja sapu komisen ini, dia tidak senang. Beli senjata. Saya bercakap dengan pimpinan tentera. Kamu tentukan pesawat mana nak beli, tank mana nak beli. Dan saya akan pastikan saya runding dengan Kerajaan. Jadi G to G. Jadi ini boleh mengurangkan kos daripada diambil oleh agen-agen ini. Untuk apa? Supaya dana itu boleh balik untuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
MODERATOR:
Dato’ Seri, ada yang mencadangkan supaya untuk menampung kos perubatan, yuran bagi mereka yang datang ke kaunter RM5. Dicadangkan mungkin dinaikkan kepada RM10, menampung kos kesihatan yang ditampung oleh Kerajaan. Jadi, apa respond Dato’ Seri bila ada cadangan tersebut diutarakan?
YAB PERDANA MENTERI:
Naik boleh, tapi kalau orang itu miskin betul, dia kena bayar juga. Saya tak setuju. Ini yang perdebatan dengan masalah GST, SST pun begitu juga. Saya tak boleh terima dari falsafah ekonomi saya, yang saya faham untuk memperkenalkan prakarsa ekonomi yang menambah bebanan kepada rakyat. Walaupun RM5 apa asal yang ditambah, RM10 apa basisnya. Kalau orang itu mampu, okey saya setuju. Orang swasta umpamanya, ataupun pegawai yang pendapatannya tinggi, dia duduk di hospital Kerajaan, first class, bayar lebih. Itu mungkin. Tetapi untuk membebankan saya, susahlah. Terutama kerana upah itu tidak naik setimpal dengan pertumbuhan ekonomi. Dan dengan kos, walaupun inflasi kita memang rendah. Tapi ya lah, rakyat sebahagiannya mengeluh itu saya tahu, saya faham.
Tapi saya dengan pimpinan ASEAN, semua tanya saya. Saya pergi ke APEC, semua tanya macam mana boleh pertahankan harga minyak begini? Berapa subsidi? RM40 Bilion. Dia kata, What? 40 bilion? Ya. Dia dari mana? Saya kata dari savings kita. Kerana saya tak hutang baru, tak ada. Hutang negara masih tinggi, melambung. Tetapi hutang baru berkurangan. Jadi orang dok guna jumlah hutang kerana bayaran faedah itu tinggi. Tapi yang bangkit, isu pokok. Apakah patut kita naikkan cukai ataupun bayaran? Bagi rakyat biasa, saya tidak bersedia lakukan.
MODERATOR:
Terima kasih Dato’ Seri untuk keputusan tegas yang dibawa dalam pimpinan diteraju oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Dato’ Seri, sambil-sambil kita basahkan tekak, saya mempersilakan Dato’ Seri dengan air mineral jenama buatan tempatan ini. Kita nak berjeda seketika dan kita akan kembali nanti dalam Dialog Negara Di Sebalik Keputusan.
-Break-
MODERATOR:
Saudara dan hadirin kita bertemu dalam Dialog Negara di Sebalik Keputusan bersama dengan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
YAB Dato’ Seri, kita teruskan perbincangan dan juga diskusi awam kita ini. Kita nak jemput Saudara Adam Shamil yang juga merupakan seorang pencipta kandungan digital, pempengaruh dan juga popular di media massa dan juga di media-media digital. Silakan Saudara Adam.
SOALAN SAUDARA ADAM SHAMIL:
Selamat sejahtera dan salam Malaysia MADANI. Saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Nama saya Adam Shamil. Saya berasal daripada negeri Sabah dan saya merupakan pengasas kepada jenama Chunk & Dunk yang merupakan pencuci mulut. Kini kita berada di 12 cawangan di seluruh Malaysia dan 2 di negara Filipina. Tetapi walaubagaimanapun, saya janji tidak akan menyumbang kepada kadar obesiti dan juga kencing manis di dalam negara kita, Doktor Malar.
Baiklah Dato’ Seri, perkembangan ekonomi digital pada hari ini telah mengubah cara rakyat Malaysia membeli belah dan juga menjalankan perniagaan melalui pelbagai platform e-dagang antarabangsa seperti Pinduodu ataupun Temu. Telah membuatkan rakyat Malaysia dapat membeli barang pada harga yang jauh lebih murah. Malah pada hari ini ada harga ataupun ada barangan yang boleh kita beli jauh lebih murah berbanding dengan produk barangan tempatan.
Jadi manakala ini memangnya memberikan satu kesan ataupun menguntungkan rakyat Malaysia. Tetapi sebaliknya kepada usahawan-usahawan muda, peniaga-peniaga kecil dan juga pengeluar tempatan, ini akan memberikan mereka satu kesukaran untuk berdaya saing disebabkan oleh kos harga, kos pengeluaran dan juga pemasaran.
Jadi, soalan saya kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah, sekiranya perkara ini berterusan, adakah negara kita akan dikenali sebagai semua negara di mana rakyatnya akan lebih dikenali sebagai mereka yang suka memakai produk-produk tempatan daripada luar dan sementara kita lihat, jenama tempatan kita sukar untuk berkembang dan apakah yang boleh kita lakukan sebenarnya Dato’ Seri untuk memastikan bahawa persaingan kita dapat memastikan persaingan semakin seimbang agar usahawan di Malaysia tidak akhirnya menjadi penonton kepada pasaran dalam negara. Terima kasih and I hope you’re able to try Chunk & Dunk. Terima kasih.
MODERATOR:
Tak payah one day lah! Esok kita pergi kepada Chunk N Dunk!
YAB PERDANA MENTERI:
Baik ini, isu periklanan. Pertama, yang kurang memberi pertimbangan tentang etika. Yang keduanya, yang disebabkan lambakan dari negara asing itu menimbulkan permasalahan yang besar. Dari segi konteks ekonomi makro, ini membebankan ekonomi negara.
Saya tidak berhasrat mengatakan kita mengekang atau menyekat sepenuhnya. Tetapi apakah kita tidak bertanggungjawab menjaga mutu dan supaya mereka lebih bertanggungjawab? Dia terlepas daripada segala pemantauan. Dari segi mutu, dari segi penumpuan, dari segi halal, itu hampir tidak ada peraturan. Jadi sebab itu, kita mula sekarang memberikan beberapa sekatan. Kita akan beri peluang, mereka masuk dengan syarat, ada syarikat-syarikat tempatan yang bersama. Ataupun dengan jaminan mutunya, kesihatannya dan juga kalau dia sebut halal, mesti harus jamin halal.
Ini saya bangkitkan juga dengan pimpinan di negara China. Beberapa bulan lalu di sana dan juga baru-baru ini. Dengan mengatakan bahawa sementara kita tidak bertujuan menyekat, yang kita mahu itu pelaburan, perdagangan, bukan lambakan barang-barang yang murah sementara ini. Jadi sebab itu, dan ini membunuh beberapa syarikat-syarikat kecil di lapangan. Jadi, kita sudah mengambil beberapa persetujuan dalam Jemaah Menteri untuk mengambil langkah-langkah mengekang sedikit. Tidak menyekat sama sekali, kerana ini bertentangan dengan sikap dasar kita untuk membolehkan import yang bertambah. Tetapi baru-baru ini, Presiden Xi Jinping sendiri mengaku bahawa sementara ini difahami, tetapi mereka juga akan buka ruang supaya barang-barang Malaysia, ada yang harus ditingkatkan eksport ke negara China, sebagai contoh.
Jadi, langkah sementara yang kita sedang fikirkan, tentunya kita akan mengekang. Supaya kita jamin mutunya itu. Ini teori, ini teori lama. Clasical Economic. Ini Babylon’s Conspicuous Consumption. Orang dia ghairah. Dia tengok media, dia tengok propaganda dan iklan, dia terpukau. Tapi belum tentu mutu terjamin. Kadang-kadang, dia yang tak perlu pun, dia nak beli juga. Kerana iklan yang meluas. Jadi, kalau tanggungjawab Kerajaan itu, tentunya harus pantau. Boleh iklan, tetapi mesti jamin, mutu dan juga memberi pendidikan. Ini yang pendidikan penggunalah, consumer education. Beli barang yang kita perlu. Ini kalau tidak pendapatan dia kecil, barang yang dia beli itu banyak. Jadi akan mengundang tanggungan hutang piutang yang tinggi. Jadi saya setuju dan saya fikir kita harus perkenalkan beberapa peraturan lebih ketat.
MODERATOR:
Terima kasih Dato’ Seri. Terima kasih Adam Syamil. Kita teruskan Dato’ Seri dengan soalan terkait juga dengan produk-produk makanan dan juga agri-ekonomi. Kita bersama dengan Tuan Azmi Zainal yang juga dikenali sebagai Bos Susu. Silakan Tuan Azmi.
SOALAN AZMI ZAINAL:
Assalamualaikum Yang Amar Berhormat Dato’ Seri. Saya Azmi, pengasas bersama Farm Fresh. Dato’ Seri dah minum susu hari ini? Susu Farm Fresh? Soalan saya Dato’ Seri, sebagai pengeluar makanan di negara kita, terutamanya produk tenusu, kita daripada ladang sampailah kepada kilang dan juga pengguna. Kos pengeluaran semakin meningkat. Kos pengeluaran pada hari ini bukan sahaja faktor domestic, tetapi antara kos pengeluaran tinggi kita jadi kerana geopolitik dunia. Contoh seperti perang di Iran bersama dengan Israel, Ukraine bersama dengan Rusia yang menyebabkan bekalan input makanan ternakan ataupun input makanan bahan pertanian menjadi tinggi disebabkan geopolitik dunia. Rakyat mahukan makanan yang mampu milik ataupun yang murah ataupun yang mudah untuk diakses. Manakala pengeluar, petani nak mencari nafkah untuk diri mereka dan menyara keluarga mereka. Bagaimanakah Kerajaan menyeimbangi dan melindungi hak pengguna tadi dan dalam jangka masa yang sama melindungi ataupun memberi galakan kepada golongan petani ini untuk lebih berdaya maju dalam konteks untuk mengeluarkan makanan dan menjamin keterjaminan makanan negara. Itu sahaja Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih. Sebelum jawab, saya nak jelaskan bahawa sebenarnya bukan perang antara Israel dengan Iran. Israel dengan kerjasama Amerika Syarikat menyerang Iran. Itu biar jelas kenyataan geopolitik kita itu. Jadi, Iran hanya terpaksa pertahankan negara mereka, kedaulatan negara mereka kerana keganasan dan tindakan agresif, aggression Israel. Itu saya nak jelaskan.
Yang keduanya tentang keadaan geopolitik itu benar. Maknanya, kos itu meningkat, kos pengangkutan kapal umpamanya itu meningkat puluh kali ganda. Jadi, tentunya menyebabkan kos barang-barang kita import. Posphate umpamanya yang diperlukan di ladang kita itu masih di import dan melalui Teluk Hormuz. Peringkat awal, saya masih ingat lagi saya minta bantuan Presiden Iran yang melepaskan beberapa kapal PETRONAS tapi kalau berlarutan, kita menghadapi masalah.
Walaupun begitu, tapi kita tidak boleh bebankan juga rakyat. Semua negara di Asia, bahkan di Eropah, sekarang kita lihat umpamanya, ketegangan politik dan sosial itu akibat daripada kenaikan harga barang. Sebahagiannya kerana Dasar Fiskal Negara, sebahagiannya kerana permasalahan kenaikan barang-barang yang di import.
Jadi kita, Farm Fresh satu contoh yang baik kerana Farm Fresh satu usaha yang baik oleh pengusaha-pengusaha, pedagang, pemodal, dibantu oleh Khazanah Nasional pada masa itu ya. Jadi, ini satu contoh yang baik di mana Khazanah Nasional itu mengambil keputusan untuk menyokong peringkat awal, syarikat-syarikat yang mempunyai potensi, di urus dengan baik dan berjaya, maka berundurlah khazanah untuk cari syarikat-syarikat baru yang lain.
Jadi, bagaimana nak imbangi, itu masalah yang besar kita. Kita tidak mahu naik, kadang-kadang luar daripada kawalan kita. Bila hari itu saya ingat saya pergi ke balik Pulau Pinang, dia marah sebab bawang, harga bawang naik. Bawang masa itu kita import dari India. Jadi harga bawang naik. Jadi ada yang tidak boleh dikawal. Tapi ada yang juga kelemahan dalam sistem. Ini juga soal yang lama yang pernah di kupas oleh Ungku Aziz ya. Soal dalam bidang petani, pertanian dan penternakan dan perikanan, itu masalah modal awal, ya kita sediakan, tetapi kadang-kadang tak sampai. Nak pastikan badan-badan peminjam ni, Agro Bank dan beberapa badan-badan lain ni sampai. Kemudian, keduanya soal penghasilan, productivity, kadang rendah. Maka perlu baja dan perlu pembenihan yang lain-lain.
Yang ketiga, soal pemasaran. Ini curi, klasik Ungku Aziz dulu lah, irregularities in the marketing infrastructure, itu pun, jadi harus kita tangani hal ini. Memang ada agensi-agensi yang lakukan itu, tapi harus bergerak lebih agresif. Dia boleh kurangkan beban, betul, sebab itu bagi saya, saya kembali kepada persoalan. Dana besar, tetapi saya harap anak-anak yang kemudian muncul, pastikan jangan lupa kalau betul kita nak jadi pejuang dan berkhidmat kepada masyarakat dan negara, tatakelola jangan kita abaikan, kerana ketirisan, bocor dari dana ini, itu bagi saya keterlaluan. Dan bila kita sampai keadaan yang agak sistemik, buruk dia, bobroknya sistem, bila kita ambil tindakan, itu reaksinya sangat berat. Kemarahannya meluas, sebab dia selesa dengan komisen, kita ambil tindakan, jadi saudara lihat umpamanya dari segi kekangan sistem, reaksi politik pun begitu rupa, tidak mudah.
Tapi macam saudara faham. Dia perlu suatu tindakan yang bersungguh-sungguh daripada agensi yang diamanahkan. Boleh bantu, dan di sini kerana keupayaan saudara-saudara, saudara sendiri boleh terangkat dan kita bangga dengan Farm Fresh. Bukan sahaja di sini, tapi dah di beberapa negara lain, dan kita mencatat satu kejayaan, dari segi pengeluaran bahan makanan dan dapat mengawal sedapat mungkin harga dan kemudian dapat hasil kerana eksport dan juga pelaburan di luar negara.
MODERATOR:
Apa Kerajaan yang lebih berhati-hati dalam mengawal suntikan dana GLC atau syarikat berkaitan Kerajaan kepada syarikat tempatan supaya tidak terpalit dengan isu kronisme dan mungkin penyalahgunaan dana, Dato’ Seri?
YAB PERDANA MENTERI:
Sekarang saya ingat kalau ikut GLIC ini, kita jauh lebih tegas. Kementerian Kewangan dengan membentangkan undang-undang baru untuk mengawal perbelanjaan dari segi kewangan. Kita tidak akan, syarikat-syarikat ini dia patut jalankan dengan bebas tetapi pengawalan kewangan itu. Kadang-kadang dia ada lembaga agensi. Jadi kita kawal dan lembaga audit check itu, tetapi dia ada subsidiari dan subsidiari itu bebas dan karenah yang kotor itu di situ. Ada umpamanya agensi di mana pengerusinya elaun RM1,000. Kita ingat baguslah, khidmat kepada negara tetapi tujuh puluh syarikat-syarikat kecil subsidiari dan seribu satu syarikat. Jadi, elaun dia akhirnya RM70,000 sebulan. Hal ini kita dapat kenal pasti dan kita ambil keputusan yang tegas untuk menghentikan dan sekali lagi saya tegaskan, orang yang biasa, dah puluh tahun tak diganggu, sekarang kita ganggu. Tapi ganggu kerana ini amanah mesti dipikul dan mesti berani mengambil beberapa tindakan.
MODERATOR:
Alhamdulillah. Dato’ Seri, berganjak daripada segmentasi soalan itu, kita akan beralih kepada di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, majlis-majlis ilmu banyak dilaksanakan dan juga disempurnakan. Malah, mengajak para ulama dan juga ilmuan-ilmuan yang terkenal di seantero dunia. Baru-baru ini juga berlangsung Majlis ilmu di Putrajaya. Alhamdulillah, ramai kehadiran dan dapat mengimarahkan Majlis ilmu tersebut. Jadi, persoalan ini kita akan lanjutkan bersama dengan Ustaz Izzhar untuk kita membawakan kembaran dan lanjutan persoalan tentang agama, ilmu dan juga mengimarahkan majlis-majlis seperti ini, silakan.
SOALAN USTAZ IZZHAR NAZRI:
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya Izzhar Nazri, juga salah seorang bekas peserta program realiti, dakwah di TV dan juga menjadi suara hari ini sebagai pendakwah yang terjun kepada masyarakat, khususnya suara pendakwah-pendakwah muda ataupun gen Z atau dilabel sebagai strawberry generation.
Saya ingat saya perlu mulakan dengan satu perkara ini berdasarkan perkara tiga Perlembagaan Persekutuan yang ditetapkan agama Islam itu sebagai agama Persekutuan, dan juga saya ingat elemen agama dah jadi teras pada jati diri majoriti rakyat Malaysia. Cuma hari ini, wacana awam ini banyak jadikan isu agama, sentimen agama ini sebagai sesuatu yang di debatkan, is either di luar media sosial ataupun di dalam sosial media ini menyebabkan pecah belah pada masyarakat ini. Sesuatu yang hanya perbezaan pendapat khilafiyah ilmiah, tapi dah mula jadi sesuatu yang menyebabkan walaupun kita kongsi satu masjid yang sama, satu bumbung yang sama, tapi mula untuk bermusuh. Bimbang saya adalah, walaupun saya personally di luar orang gelar sebagai ustaz, saya membesar dengan pendidikan dan juga sekolah pun daripada sekolah Cina. Wǒ shì huá xiào sheng. Jadi menyebabkan bila saya masuk dalam masyarakat membawa dakwah ini, saya mula untuk confused sebab masyarakat sukar nak faham mana satu pendapat agama yang berteraskan ilmu yang sahih dan juga pendapat yang disebabkan oleh sentimen ataupun kepentingan pihak-pihak tertentu. Jadi soalan saya kepada Dato’ Seri adalah apakah garis panduan untuk kita nak membezakan di antara mana satu tindakan kerajaan untuk mempertahankan agama dan juga kita risau ada wujud ekstremis-ekstremis yang menggunakan sentimen agama, menunggang agama untuk kepentingan individu dan pihak-pihak tertentu dan apa inisiatif daripada Dato’ Seri sendiri untuk pastikan pihak ini tak langgar garis panduan itu termasuklah mereka yang ada dalam kerajaan. Terima kasih.
YAB PERDANA MENTERI:
Wo bu zhidao. Dia begini, dalam kaedah dakwah, fiqhul da’wah, usulul da’wah. Dakwah ini pun ada juga beberapa pra-syarat dia. Pra-syarat pertamanya ilmu. Mengapa kita bawa ini ramai ulama-ulama terbesar dan saya kenal beberapa ulama terkenal dulu termasuk Syed Yusuf al-Qaradawi yang saya anggap sebagai guru yang seorang tokoh besar. Tak pernah dengar pettiness, menghukum orang sewenang-wenang seperti yang kita dengar sekarang saban hari. Maknanya yang menjerit soal agama ini, istilah tukang jerit itu pernah digunakan oleh Prof. Dr. Syed Hussein Al-Alatas, tentang kecenderungan beberapa orang menggunakan agama sebagai topeng tanpa isi. Jadi senang saja. Kupas sedikit, terus hentam. Jadi, kesian rakyat ni. Rakyat ni dengan fahaman yang agak dangkal, dia terima sahaja. Sebagai yang sudah tetap. Ini tidak boleh dirombak. Padahal kenyataan-kenyataan itu sahaja pendapat. Pendapat politik. Sebab itu, kadang-kadang dalam politik itu, dua tahun sekali dia ubah fatwanya. Tapi, orang anggap oleh kerana ini daripada Tok guru, jadi mesti betul. Padahal ini pandangan politik, tapi kalau pandangan itu dari segi betul-betul, dari segi agama, kupas dengan baik.
Macam beberapa hari lalu, kita ada usaha mengupas korpus hadis yang banyak. Itu bahagian-bahagian apa? Maknanya hadis itu bukan satu, dua. Bukan sepuluh, dua puluh. Beratus ribu yang kupas, diolah, dan dikaji, dan diteliti, dan mesej yang penting pengajarannya itu. Jadi, saya setuju dengan Ustaz, iaitu bagaimana mungkin kita memberikan pencerahan. Semua. Sama ada ulama, yang saya sebut tadi, atau pun sarjana. Contohnya, katalah Almarhum Prof. Dr. Ismaʻil al-Faruqi, yang mengasaskan Institut Pemikiran Islam Sedunia. Saya kenal dia. Bagi dia, apa dia? Malaise of the Ummah. Permasalahan ummah yang paling besar? Itu ilmu. Sejak perdebatan Khalid Muhammad Khalid dengan Syeikh Muhammad al-Ghazali dulu. Min Huna Na’lam, Min Huna Nabda’, kan? Dari mana kita bermula? Dia dari ilmu. Jawab Syeikh Muhammad al-Ghazali itu, Min Huna Na’lam, our beginning in wisdom. Ini bagi saya ini cabaran terbesar kita.
Mengupas permasalahan kerana media sosial, semua anggap dia mahir, semua dia pakar, ada 200 orang, dia rasa dia boleh jawab semua masalah walaupun dia tidak punyai keupayaan, ataupun itu hanya pandangan dan penafsiran dia, tetapi kesannya itu kepada masyarakat. Apalagi kalau motifnya itu bukan kemurnian dan ketinggian Islam, motifnya politik. Jadi, saya bukan bicara tentang pembangkang. Mungkin dalam Kerajaan sendiri pun, tapi sebab itu saya kata jawapannya bukan pembangkang untuk Kerajaan ataupun pendakwah. Jawapannya mesti disandar dengan dasar ilmu yang kuat.
Dasar ilmu ini yang saya anggap sangat kurang. Maknanya kalau seorang itu, seorang yang pakaiannya begitu rupa, maka dia bagi pandangan tak berani siapa pun tegur walaupun salah. Kemudian kalau pandangan itu beza sikit, terus Dajjal, dan tak berani siapa tegur. Jadi kalau begini, kita nak ke mana begini sebenarnya? Orang jawab ingat kita ini dari segi pandangan politik, tidak. Kalau begitu, dia tidak menggalakkan perbahasan, tidak usaha mendalami ilmu, dia meremeh. Malah bagi saya, dia merendahkan darjat agama itu sendiri di kalangan masyarakat. Orang melihat beginikah Islam? Tak betul.
Kita di Malaysia lebih tercabar kerana umat Islam ini harus beri contoh yang baik. Tentang kemurnian mencintai ilmu, faham kemanusiaan yang tebal, faham keadilan yang lebih sungguh-sungguh. Ini contoh dia, tetapi kalau tengok kita, kita yang paling banyak kompromi dengan segala rasuah dan penyelewengan. Dan kita guna label Islam, tak berani orang tegur. Jadi, sebab itu saya setuju kita, anak-anak muda terutamanya, cari jalan dan kaedah. Buat penelitian, analisa, kajian dan bincang. Saya tak kata tahu salah orang itu, salah orang ini. Tetapi, janganlah pakai, terima seolah-olah dia itu Maha Guru dan Mursyidul Am dan semua sekali. Tak betul. Jadi, kena dengar dan kupas. Apatah lagi kalau dia, termasuk saya, oh Anwar macam mana pun dia orang politik, kita kaji tengok, benar atau tidak? Ada asas atau tidak? Fakta dia bagi betul atau tidak? Jadi, kalau ada ini, ini yang tradisi Islam ni. Saudara rujuk hadis orang tanya. Sanad mana? Quran, ayat apa? Tafsir guna rujukan siapa? Ini semua dari segi tradisi itu dilatih tapi tidak diamalkan kerana kita dilatih oleh setengah-setengah pihak untuk hanya terima, jangan pertikai. Yours is not to question why but to do and die. Khalas.
MODERATOR:
Terima kasih Dato’ Seri untuk jawapannya itu. Boleh kita teruskan lagi Dato’ Seri? Daripada perjalanan untuk kita membawa tentang prinsip Islam, pastinya kita membawa tentang integriti dan juga tatakelola. Yang banyak disebut oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri dalam sebarang ucapan tatakelola dan juga pentadbiran yang berintegriti. Persoalan itu akan dilanjutkan oleh saudara Amir Fareed Abdul Rahim dari, ataupun Pengarah Strategik bagi KRA Group untuk bertanyakan terus kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Silakan.
SOALAN AMIR FAREED ABDUL RAHIM:
Terima kasih. Assalamualaikum. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Seperti mana yang saudara Ismail cakapkan tadi, Dato’ Seri memang sering membangkitkan di dalam pidato-pidato Dato’ Seri soal isu integriti, takbir urus dan juga tatakelola yang baik dan sepertimana kita semua sedia maklum, ini berkait rapat juga dengan keyakinan terhadap institusi-institusi negara dan kita lihat hasilnya apabila ada kepercayaan terhadap institusi-institusi negara dengan tatakelola yang baik, daya saing negara bertambah baik, pelabur masuk. Lihat sajalah pada indeks daya saing negara yang sudah bertambah baik dalam 3 tahun kebelakangan ini.
Tetapi Dato’ Seri, dalam cerapan saya di lapangan apabila saya lakukan kajian-kajian di lapangan, persoalan yang sering dibangkitkan apabila kita bercakap tentang isu integriti ini adalah apabila integriti itu menyentuh mereka yang berkuasa, yang dekat dengan kuasa. Jadi timbul persepsi bahawa ada seolah-olah pendekatan yang berbeza diambil oleh Kerajaan dalam isu ini di dalam isu-isu berprofil tinggi yang membabitkan mereka yang menyokong Kerajaan Dato’ Seri sendiri. Ini persoalan yang dibangkitkan di bawah sana. Jadi persoalan saya kepada Dato’ Seri ialah bagaimana Dato’ Seri ingin meyakinkan rakyat Malaysia di luar sana bahawa tidak ada dua darjat di antara mereka yang berkuasa dan rakyat biasa dalam berhadapan dengan soal-soal isu integriti ini, Dato’ Seri.
Dan kedua ialah adakah Dato’ Seri sanggup membayar kos politik kalau misalnya orang yang berada di dalam kerajaan Dato’ Seri ataupun yang dekat dengan kerajaan didapati bersalah? Ini hypothetical tapi soalan yang ditujukan daripada Dato’ Seri dalam soal integriti ini.
MODERATOR:
Kita tahu maksud isu balik soalan ini. Dato’ Seri, the rule of law always prevail.
YAB PERDANA MENTERI:
Kalau tak jaga-jaga ni pukulan maut ini.
SOALAN AMIR FAREED ABDUL RAHIM:
Ini soalan yang daripada rakyat Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Betul. Dak dak betul, saya setuju. Saya bergurau tadi. Soal tatakelola ini, bukan retorika politik dan saya andaikan sebelum saya jadi Perdana Menteri, kalau kita agak tegas, tak curi wang, tak ambil saham, tak perkayakan diri dan keluarga, orang boleh terima. Tak semestinya, kerana rasuah ini sudah sistemik. Dia rasa ini sebagai hak dia. Jadi, pertarungan itu lebih sengit daripada apa yang saya jangkakan. Jadi, saya salah. Saya dok pikir lebih mudah umpamanya. Tak ambil gaji itu dipermain-mainkan. Saya rasa belum. Saya tidak ambil satu saham, satu kontrak, tetapi itu tidak menjadi satu hal yang dianggap baik.
Dia kata, tapi bagaimana orang-orang keliling? Keliling saya kata terbuka. Jangan guna sentimen politik. Beri. Ditanya di parlimen dalam Prime Minister’s Question Time (PMQT), tentang apakah undang-undang dua darjat? Dua darjat ikut tafsiran. Ada orang kata tanah rumah itu bermakna dua darjat, tapi oleh kerana penyokong dia, itu okey. Tapi itu luar daripada keupayaan kita. Itu memang keputusan yang kita hormat, ikut perlembagaan, tetapi kita harus jawab.
Keduanya, apa kata kalau orang di sekeliling? Mantan Ketua Setiausaha Politik saya, saya dimaklumkan ada kes, saya kata saya tak campur. Saudara bayangkan, orang rapat dengan saya, itu bila disiasat, tentu saya tanya apa dia ni? Dia beritahu, saya kata saya tak campur. Maka di dakwa. Ada pernah mudah kes seperti itu berlaku? Tidak. Dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu, saya tidak akan pertahankan dan SPRM di bawah hakim, mantan hakim itu lebih tegas menjalankan tugas mereka. Jadi, itu kita memang tegas. Tetapi oleh kerana serangan daripada kelompok yang tertentu yang mempertikai. Umpamanya, di Parlimen tanya, oh, undang-undang dua darjat. Apa dia? Oh, kerana orang kritik Perdana Menteri masuk jail. Saya kata tak betul. Saya kata kalau kritik Perdana Menteri, saya beri jaminan. Kamu kritik Perdana Menteri, saya beri jaminan. Akta Universiti, saya arah mesti dipinda tahun ini juga. Kerana apa? Kerana memberi ruang kepada anak-anak muda. Mungkin dia silap sedikit. Mungkin dia betul, tetapi beri kebebasan kepada dia. Dan banyak penentangan. Tentangan dari dalam yang tidak senang dengan keputusan ini. Tapi saya kata kita teruskan. Baik.
Kalau ada kes, dia kata, mengapa dihukum orang yang mengkritik Perdana Menteri. Tapi bila kita tengok, kes bukan kritik Perdana Menteri. Dia minta orang bunuh Perdana Menteri. Dia sanggup bayar RM3 juta untuk membunuh Perdana Menteri. Betul dia ada wang RM3 juta, saya tidak tahu. Tapi tentunya pihak polis mengambil tindakan. Jadi itu beza daripada kritik. Jadi, pembangkang mengatakan, tengoklah, Perdana Menteri kata tak boleh kritik. Tapi tengok, orang itu dah didakwa dan dihukum. Saya kata dia bukan sebab kritik saya, hari-hari orang kritik saya. Jadi, janganlah kritik hari-hari, kesian. Tapi, yang ini yang dibangkitkan itu, dia minta, dia memang, dan dia mengaku akhirnya. Dia mengaku, ya, dia tersalah, dia minta Perdana Menteri dibunuh. Jadi, tentu saya tak halang tindakan. Jadi, saya setuju maknanya bagaimana kita boleh terus tingkatkan kerana usaha untuk memulihkan. Kita strict.
Bocor di KLIA. Ambil tindakan lagi. Bocor di TUDM. Ambil tindakan lagi. Bocor di Custom. Bukan semua. Dia kadang-kadang dalam penjawat ada 2, 3 ribu orang, ada mungkin 20. Tetapi, saya setuju. Mesti ambil tindakan. Saya bila dengar macam ni, saya tak peduli. Saya terus, saya di negara China masa itu, saya ingat. Ya, masa kes TUDM. Saya terus telefon Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera. Beri sokongan sepenuhnya supaya tindakan. Tapi dia tidak mari menggambarkan TUDM. Dia menggambarkan beberapa kerat orang itu. Tapi tindakan harus diambil.
Saudara, bayangkan dalam Kerajaan dalam 4 tahun ini paling keras mengambil tindakan tetapi masih berlaku kerana yang saya sebut 4 tahun lalu. Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Jadi oleh itu, kita mesti terus tegas, terus jalan. Walaupun popular tidak, itu soal kedua. Banyak yang marah. Kalau dah ramai sangat yang terlibat, jadi saya ni lawan ramai. Tapi ini anak-anak muda saya, harapan. Bagi saya, betul. Sebab itu saya tumpu banyak. Pergi ke universiti, Temu Anwar, bukan masalah nak kata cari populariti, tidak, tapi saya ingat ini innocent dan dia ada idealisme dan dia harapan kita. Dan kalau generasi ini, Z, Y, kalau dia dapat diyakini, masa depan kita lebih terjamin. Itu harapan saya.
MODERATOR:
Dato’ Seri bukan kritik, tetapi rakan-rakan mahasiswa kita minta kalau boleh Dato’ Seri reply komen mereka di social media. Boleh Dato’ Seri? Betul ke? Teringin sekali nak dapat jawapan daripada Dato’ Seri. Okey, nanti kita bincang lain Dato’ Seri. Wakil daripada mahasiswa juga kita datangkan bersama kita, saudara Muhammad Adib Hazim dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
SOALAN WAKIL MAHASISWA (MOHAMAD ADIB HAZIM BIN MOHAMAD RAZALI, YDP MPP UITM):
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI, Dato’ Seri. Saya Mohamad Adib Hazim bin Mohamad Razali, selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), hadir pada malam ini mewakili suara sahabat-sahabat mahasiswa daripada UiTM.
Jadi Dato’ Seri, menyentuh kepada pemerkasaan institusi pengajian tinggi selari dengan sejarah Dato’ Seri sendiri yang telah terlibat dalam perjuangan reformasi institusi pengajian tinggi saban tahun sebelum ini, Dato’ Seri. Jadi, selari dan juga selaras dengan pemansuhan Akta Universiti, Kolej Universiti (AUKU) 1971. Jadi, saya rasa, Dato’ Seri, semangat itu terhenti ataupun tidak sampai kepada kami, mahasiswa ataupun warga UiTM, Dato’ Seri.
Kerana kita, saya nak bawakan seluruh seisi majlis berkenaan dengan sejarah silam Universiti Teknologi MARA tahun ini telah masuk tahun ke-70, genap institusi keramat UiTM di dalam negara kita berdiri teguh untuk memperkasakan dan mempertahankan agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera, Dato’ Seri. Jadi, selari dengan cadangan daripada peringkat kementerian dan juga Kerajaan untuk pemansuhan Akta Universiti, Kolej Universiti ataupun ringkasnya AUKU untuk digantikan dengan kerangka perundangan yang baharu yang dinamakan sebagai ‘One Higher Education Act’ ataupun kami dalam kalangan mahasiswa telah sinonim dengan nama OHEA, ‘One Higher Education Act’.
Jadi bagaimana pula dengan kedudukan UiTM? Mengenai kedudukan institusi keramat ini, Dato’ Seri? Kerana kami mempunyai kerangka perundangan yang berbeza, Akta Ibu 173, Akta Tata Tertib Pelajar 174, berbeza dengan 19 Institusi Pengajian Tinggi Awam yang lain. Jadi bagaimana kedudukan UiTM? Apakah langkah daripada peringkat Kerajaan, hasrat Dato’ Seri sendiri untuk melihat, menelusuri Akta 173, melihat semula pemerkasaan mahasiswa yang telah termaktub dari Akta 174. Kerana kami, mahasiswa UiTM, 180,000 mahasiswa, 1 nisbah 38 alumni UiTM adalah warga negara Malaysia. Jadi kami memerlukan suatu, orang kata, titik-titik yang akan memperjuangkan semangat kami supaya kami ini dari sudut hak kebebasan bersuara, autonomi, pemerkasaan kepimpinan mahasiswa itu diperlihatkan dan juga diperjelaskan. Saya rasa itu sahaja, Dato’ Seri. Sekian, terima kasih.
MODERATOR:
Terima kasih, Adib Hazim. Dato’ Seri, mentang-mentang beliau MPP UiTM jadi dibawanya rakan-rakan berdiri ataupun duduk di bawah. Tapi kita juga tak melupakan rakan-rakan daripada universiti lain. Berikan tepukan. Dato’ Seri, itulah dia, soal terkait dengan peraturan-peraturan yang mengawal selia universiti-universiti di Malaysia.
YAB PERDANA MENTERI:
Benar. Tadi tepat bahawa sementara kita pinda Akta Universiti, peruntukan. Bukan keseluruhan akta, keseluruhan akta mengambil masa sedikit soal pengurusan, soal autonomi. Tapi soal hak kebebasan mahasiswa itu, saya minta segerakan. Tapi termasuk ini, sekarang ini tak termasuk 173, 174 Akta Pendidikan yang melibatkan UiTM. Jadi saya telah memberitahu supaya dan arahan saya itu keseluruhannya. Maknanya tindakan harus diambil walaupun ada rencana untuk meminda Akta MARA tapi mungkin mengambil lebih masa tapi yang disegerakan seperti yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ialah untuk membatalkan peruntukan itu.
Ada yang mengatakan, oh, ini nak jaga disiplin, ini untuk Bumiputera, tak ada yang nak merendahkan darjat Bumiputera. Anak-anak kita patut diberikan ruang dan kebebasan. Biar dia bersuara. Biar dia beri pandangan. Mengapa nak dikongkong pemikiran dia? Jadi saya setuju dengan saudara, dan saya tentu akan pastikan. Kerana arahan itu terpakai kepada semua. Kita cuma sebut Akta Universiti, kerana akta yang diketahui, tapi 173, 174 itu jelas. Dia malah beberapa peruntukan itu lebih keras kongkongannya. Dan ini saya akan pastikan supaya akan juga dipinda. Selaras dengan semangat kebebasan dan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berikan pandangan.
Dan kalau katalah, ada yang mengatakan bagaimana kalau jadi esok dia ada perlakuan jenayah, Jenayah itu undang-undang lain. Ini masalah kebebasan. Jadi nak mengekang ini, sehinggakan guna contoh-contoh yang umpamanya penderaan atau jenayah. Itu ada undang-undang lain. Tapi yang saya nak tekankan di sini, jangan gunakan pemikiran lama untuk menyekat kebebasan mahasiswa. Kita boleh terangkan kepada mereka, boleh jelaskan dan saya yakin, bukan sebab pengalaman saya dulu, kerana saudara tahu Akta Universiti itu diperkenalkan untuk jaga saya. Saya tak mahu guna akta itu untuk jaga saudara-saudara. You mesti diberikan ruang dan kebebasan. Dan kalau kita tak latih anak-anak dan beri keyakinan, kepercayaan kepada mereka, bagaimana masa depan kita? Ini bukan untuk anak-anak, bukan sekolah. Saya malah pra universiti pun saya keluarkan daripada sistem persekolahan. Untuk menganggap anak-anak ini sudah agak jauh lebih matang. Diberi dia kebebasan, ya.
MODERATOR:
Apa jaminan kebebasan politik mahasiswa, Dato’ Seri?
YAB PERDANA MENTERI:
Itu kalau ikut pindaan, dia bebas. Yang ini tak boleh. Ini tak boleh. Ini tak boleh.
MODERATOR:
Dato’ Seri, untuk menutup malam ini, satu soalan yang dinanti-nantikan dan kita simpan sehingga ke akhirnya. Soalannya Dato’ Seri, apakah benar Pilihan Raya Umum akan diadakan pada tahun 2027?
YAB PERDANA MENTERI:
Pilihan Raya Umum mesti diadakan sebelum Februari 2028 begitu lebih kurang. Jadi, sabarlah.
MODERATOR:
Sebelum Hari Kebangsaan atau selepas Hari Kebangsaan?
YAB PERDANA MENTERI:
Dia sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Dia tak ada lebih daripada itu.
MODERATOR:
Dan seperkara lagi, Dato’ Seri.
YAB PERDANA MENTERI:
Tak adalah susah sangat soalan itu (nada berseloroh).
MODERATOR:
Sekiranya diberi mandat sekali lagi, apa mungkin berlaku perubahan?
YAB PERDANA MENTERI:
Soalan sekali lagi? Sekiranya? Hei, nampak macam tak sokong ni.
MODERATOR:
Saya sokong, Dato’ Seri. Insya-Allah. Kita harapkan Dato’ Seri meneraju kepimpinan negara, insya-Allah. Cuma, mandat yang diberikan sekali lagi untuk Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apa mungkin berlaku perubahan dari segi pentadbiran dan komposisi pentadbiran?
YAB PERDANA MENTERI:
Komposisi pentadbirannya itu fa tawakkal ‘alallah kita tengok keadaan dan dukungan dan mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, izinkan saya teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada. Dapat mengangkat martabat Malaysia. Saya pencinta negara. Saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada anak-anak muda. Dan saya mahu Malaysia ini, sekarang ini terangkat, tapi biar menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan di dunia. Itu cita-cita saya.
MODERATOR:
Ya, insya-Allah. Dato’ Seri di kesempatan yang terakhir ini, pengharapan dan juga pesanan untuk rakyat Malaysia menginjak ke tahun 2027 oleh seorang Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Silakan Dato’ Seri pesanannya untuk rakyat Malaysia.
YAB PERDANA MENTERI:
Dia… Kita beginilah, kita masing-masing ada tanggungjawab. Keistimewaan kita dalam fahaman Islam ini ialah bahawa tanggungjawab dia bukan Menteri, bukan Ketua Pengarah. Tanggungjawab itu tiap orang ada tanggungjawab. Kullukum ra’in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi. Jadi kalau kita faham itu, kita boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kita.
Seorang Perdana Menteri tentunya mesti pikul amanah dengan serius. Dan jangan salah guna kuasa memperkayakan diri. Seorang ketua pejabat harus pegang dan pikul amanah. Seorang pimpinan mahasiswa, laksana amanah. Seorang bapa, seorang ibu. Jadi, kita harapkan ada kesedaran yang terus meningkat. Dan kita baiki sebagai satu semangat persaudaraan tulen di kalangan kita. Elak daripada ketegangan. Masalah kita bukan soal kaum. Jangan benci satu sama lain. Masalah kita ini, masalah prinsip dan akhlak. Jadi, kita baiki bersama. Kita bina kekuatan. Kerana kita punyai, sepertimana saya tegaskan, potensi luar biasa untuk mengangkat harkat martabat negara ini.
Saya mewakili pandangan bahawa Malaysia ini, pasti akan gagah dengan syarat kita bermuafakat, betulkan kesilapan-kesilapan dan bekerjasama sebagai satu pasukan besar, semua kaum, semua agama, semua wilayah. Terima kasih.
MODERATOR:
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, terima kasih bersama kami dalam secara eksklusif Dialog Negara di Sebalik Keputusan.
Jadi sekali lagi tepukan gemuruh untuk Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Terima kasih banyak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.
Hadirin dan juga saudara sekalian, Dialog Negara untuk episod pertama melabuhkan tirainya pada malam ini. Namun, cuplikan tentang idea tidak pernah berhenti. Untuk masa depan yang lebih baik, kita harus berfikir, bertanya dan juga bertindak. Dengan itu, Dialog Negara di Sebalik Keputusan.
Assalamualaikum, Salam Malaysia MADANI.
