TEKS VERBATIM: MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN SERI NEGARA

15 Disember 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN

SERI NEGARA

 

15 DISEMBER 2025 (ISNIN) | 12.00 TENGAH HARI

SERI NEGARA, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

Alhamdulillahillazi anzala ala abdihil kitaba

walam yaj’allahu wa iwaja wa salli wa sallimu ala rasulihil karim

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in

 

Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti

Pengerusi Bersama Yayasan Warisan;

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berhormat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menjadi tongkat membantu;

Yang Berbahagia Dato’ Amirul Feisal bin Wan Zahir,

Pengarah Urusan Khazanah;

Terima kasih kepada Feisal dan seluruh rakan-rakan yang menjayakan.

  1. Ingatkan pemeliharaan negara ini punyai suatu, menimbulkan perasaan yang mengesankan. Ia bukan saja rangkaian sejarah, menyingkap dan menerusi pengalaman sejarah tetapi memaknai kemerdekaan, jati diri dan menjadikan Kuala Lumpur ini tidak seperti yang pernah… saya hebahkan pandangan Mark Twain bila melihat kota utama Amerika Syarikat sebagai gersang budayanya, maju, teknologi baru, tetapi menurut ungkapan Mark Twain, ‘culturally barren’.
  1. Jadi, Seri Negara ini memberi makna yang panjang dan mendalam. Tentunya dari sudut sejarah, ia menjadi tonggak kemegahan, kebanggaan, rejim dan elit penjajahan Inggeris.
  1. Sebab itu, semasa saya muda remaja, saya anggap ini suatu kelompongan, kelemahan. Negara kita merdeka, bapak-bapak ibu-ibu kita menabur jasa yang besar, merempuh kekuatan raksasa Inggeris yang memerdekakan negara. Tapi masih ada simbol yang gagah perkasa atas bukit yang maha tinggi di sekitar Kuala Lumpur yang melambangkan keunggulan penguasa penjajah dan sebab itu kami pada masa itu membantah dan mendesak pada tahun 1982 supaya Kerajaan Malaysia mengambil alih dengan cara proses yang adil, memindahkan tempat warisan penjajah ini ke tempat yang lain, dan ini dia, Alhamdulillah.
  1. Perdana Menteri masa itu, Tun Mahathir, bersetuju dan kemudian diiktiraf sebagai milik negara tetapi kerana kesedaran tentang erti keunggulan dan keupayaan kita membina suatu simbol yang mengembalikan jati diri itu mungkin kurang. Maka ia agak terbiar ada proses pengendalian swasta yang menyebabkan ia lemah dan luntur.
  1. Sebab itu, saya hargai benar peranan Khazanah dan rakan-rakan yang membantu memberikannya symbol. Perisiannya itu di antara lain ialah memberi kefahaman tentang sejarah. Liku-liku perjuangan, pahit getir bapak-bapak ibu-ibu kita yang bertempur dengan gergasi besar dunia pada masa itu untuk memerintah negara. Anak-anak yang datang harus didedahkan bahawa negara ini tidak mencapai kemerdekaan yang sering disebut golden future.
  1. Tidak sebenarnya begitu, kerana sesungguhnya ada liku-liku sejarah yang getir ada harga keringat darah dan air mata dan wajar anak-anak kita memahaminya supaya lebih mengenali dan menginsafi peranan mereka.
  1. Kemudian, perisiannya itu… Terima kasih sekali lagi Khazanah. Itu penting. Aspek sejarah dan memperkasa seni budaya tempatan dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dengan pelbagai keindahannya, kemurnian itu dipaparkan di situ. Diselang seri dengan suara budaya dan seniman dan sasterawan yang memberikan suatu gambaran yang unik tentang apa erti Malaysia dan usaha memupuk kesedaran baru melalui pencerahan ilmu tentang sejarah, kekuatan teknologi baru sekarang yang kita dambai atau dambakan dan juga kekuatan seni budaya yang pelbagai rakyat Malaysia keseluruhannya.
  1. Maka saya tidak mampu gambarkan betapa bangga saya dengan pasukan yang telah menjayakannya. Saudara-saudara boleh nanti masuk dan melihat sendiri apa yang saya jelaskan, yang saya lihat bulan dua yang lalu itu hamper, hampir siap tapi bagi saya amat mengagumkan.
  1. Jadi, gambaran bahawa tokoh-tokoh korporat seperti Amirul Feisal ini tidak faham sejarah dan budaya itu dah diketepikan dan nampaknya sudah pandai berpantun dan faham sejarah dan sudah intim serasi sinergi di antara teknologi baru, pembangunan, pelaburan dan pemacuan ekonomi yang segar. Bersama dengan mempertahankan jadi diri, nilai, seni budaya tempatan.
  1. Suatu aspek yang saya juga sangat menarik ialah berbeda sebagai gedung raksasa elit penguasa, penjajah pada ketika itu yang kemudian kita warisi. Kalau sudah lihat rupanya dalam bab dua. Post-colonial itu yang kadang-kadang kita merdeka. Betul, dan kita lakukan apa yang seupayanya, tetapi jiwa minda, sikap, kita belum cukup merdeka.
  1. Maka gedung-gedung ini menjadi gedung pilihan golongan elit penguasa. Tidak ada salahnya, tetapi jangan halang rakyat biasa untuk menikmati kemudahan-kemudahan ini. Ini yang menjadi umpamanya pembenturan idea, juxtaposition of ideas di kalangan apa yang kita rasakan, suara kehendak aspirasi rakyat dengan golongan elit penguasa.
  1. Selama kita merdeka, barangan pulas memiliki gedung yang dulunya milik penjajah tetapi masih kekal sebagai milik elit penguasa baru. Jadi, anti penjajahan itu menolak pimpinan penguasa Inggeris diganti oleh penguasa dengan sikap elitis, sikap yang sebenarnya menghirup seni, jiwa dan budaya asing.
  1. Sebab itu, selain dari kita mengindahkan, memulihara, memberikan gambaran bahawa Seri Negara itu milik negara keseluruhannya dengan perisiannya, sejarahnya, seninya, budayanya, sasteranya, tetapi yang saya jelaskan tadi, yang istimewa dalam konsep Negara MADANI ialah bahawa ia terangkum. Kalau istilah Amirul Feisal dia kata inklusif. Jadi, keterangkuman ini, inclusivity ini yang menyebabkan kita akan berbeda.
  1. Maknanya, ruang untuk anak-anak sekolah, anak-anak muda, rakyat biasa itu harus menjadikannya di sini dengan kawalan-kawalan tertentu, ruang untuk rakyat di negara yang merdeka dan berdaulat. Jadi ini keistimewaannya, maknanya kali pertama dalam sejarah, kita saksikan Seri Negara dengan pemuliharaan yang dilakukan dengan cukup teliti dengan kemahiran dan kepakaran tersendiri itu dimanfaatkan oleh semua rakyat di negara, semua lapisan rakyat dan boleh merasa bangga bahawa ini hasil dan makna negara merdeka dan berdaulat.
  1. Jadi, saya percaya kita boleh atur supaya anak-anak bila datang dan saya yakin kerana saya melihat apa yang diusahakan sebelum ini, itu bagi saya agak menarik. Saya tidak boleh menyebut, saya hanya beri kerangka besar idea, yang lain itu jasa mereka. Kerana saya mengatakan biar inklusif, biar indah, biar pertahankan seni budaya tempatan, itu sahaja. Satu ayat yang mereka catat dalam satu buku. Jadi, terima kasih.
  1. Jadi, sebab itu saya menyatakan bahawa semangat ini harus ada di kalangan kita, dalam tatkala membicarakan soal kemampanan, pembangunan bahawa manfaatnya itu harus dihirup dan dinikmati oleh rakyat terbanyak dan ini satu permulaan yang baik. Dalam tempoh satu bulan lebih, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong diharap akan merasmikan Bangunan Sultan Abdul Samad. Seperti mana yang kita tekankan dalam rangka warisan ini dari Bangunan Sultan Abdul Samad ke Padang Merdeka, Stesen Kereta Api, Daya Bumi, sehinggalah Seri Negara Carcosa dan Taman Botani, itu semua dianggap sebagai warisan.
  1. Ini memang saya tekankan supaya kita jangan gersang budayanya dan budaya dalam pengertian kita sekarang termasuk kemampanannya, persekitaran alam indahnya, kehijauannya dan ruang bagi rakyat itu mengecapi niakmat kemerdekaan dengan pelaburan pembangunan yang tinggi dan keindahan yang dilakar dan diukir dengan keupayaan tenaga Khazanah dengan kerjasama semua pihak, semua jabatan, Yayasan Warisan, bandaraya dan semua yang terlibat.
  1. Jadi saya ingin akhiri dengan sekali lagi menyatakan penghargaan yang tinggi, saya tentunya sedikit terharu kerana bila dilihat gedung ini, kalau boleh diizinkan saya cakap sedikit pengalaman. Oleh kerana kita menuntut begitu keras supaya Carcosa Seri Negara dipulangkan kepada Pemerintah Malaysia, iaitu tentunya tercatat dalam semua catatan untuk Duta Besar Pesuruhjaya Tinggi Inggeris. Setiap kali muncul Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang baru dan tentunya saya diundang minum teh ataupun makan bersama dan semuanya dah baca tentang pengalaman bahawa milik Inggeris Carcosa Seri Negara telah dirampas oleh seorang pemuda. Aduh!
  1. Jadi tanpa kecuritan rekodnya, saya difahamkan masih ada. Saya terpaksa jalankan apa yang saya anggap tugas pada masa itu dan saya syukur Alhamdulillah, saya bangga dengan keputusan dibuat sehingga terjelma seri negara yang indah perkasa ini.
  1. Jadi terima kasih sekali lagi Amirul Feizal dan seluruh pasukan saya tidak upaya untuk menyebut semua tapi saya tahu yang bekerja bertungkus lumus, yang teliti, kadang-kadang dia termasuk dalam istilah maha teliti, saya pun tidak faham mengapa peraturan yang menetapkan mesti kayu itu, mesti begini teliti sekali dan nasib baik saya tidak terlibat secara langsung kerana saya tidak ada kesabaran itu. Walau bagaimanapun inilah keindahan dan sila nikmati dan sila hebahkan dan pastikan rakyat keseluruhannya dapat mengecapi nikmat. Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: