TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 20 JANUARI 2026: SOALAN 2 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN
TEKS VERBATIM
YAB PERDANA MENTERI
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA,
PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DARIPADA : TUAN AHMAD TARMIZI BIN
SULAIMAN [ SIK ]
TARIKH : 20 JANUARI 2026 (SELASA)
SOALAN
TUAN AHMAD TARMIZI BIN SULAIMAN [ SIK ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah wujud keperluan kepada Kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia dapat terus mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali dalam suasana perkembangan geopolitik mutakhir ini.
JAWAPAN:
Terima kasih, Sik. Ini soalan terkait juga dengan apa yang saya singgung tadi, iaitu untuk mengekalkan kita mengikut prinsip negara berkecuali. Maknanya kekal dengan persahabatan negara yang sedia ada. Tentunya dengan negara jiran, kalau dalam konteks Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Brunei, Thailand dan Vietnam, maknanya dalam lingkungan ASEAN. Kemudian OIC yang kita agak beri komitmen yang kuat, Negara-negara Berkecuali (NAM), dan juga melalui badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tetapi yang agak menarik ialah kerana untuk mengekalkan ini dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu seperti yang dikaitkan oleh Yang Berhormat, kita telah bersetuju untuk bersama dalam rangka umpamanya BRICS, walaupun tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Dan sementara kita kekal dengan hubungan dengan Amerika Syarikat, Eropah, kita juga diketahui agak rapat dengan negara China, dan dalam bulan depan, Perdana Menteri India juga akan hadir ke Malaysia.
Jadi ini memberikan kita gambaran tentang keperluan kita sebut dalam dasar luar ini, terasnya tetap keadilan dan kemanusiaan. Sebab itu kita agak lantang dalam soal Gaza walaupun tidak disenangi oleh sesetengah negara, seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Tapi pendekatan selain itu ialah apa yang disebut dalam istilahnya dengan izin, pragmatic, agile and flexible.
Jadi ini yang mengemudi kita. Apakah perlu pindaan undang-undang atau perlembagaan? Saya rujuk pada Jabatan Peguam Negara dan rujuk semua perjanjian-perjanjian yang dulu dan ketetapan yang lalu, dan dasar-dasar yang dirangka, penggubalan dasar negara itu tidak memerlukan pindaan perlembagaan asalkan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan semangat perlembagaan.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN BAGI SOALAN 1:
Terima kasih, YAB Perdana Menteri. Kita sedia maklum Malaysia dalam sejarahnya konsisten mengisytiharkan pendirian berkecuali dan bebas sejak era Perdana Menteri almarhum Tun Abdul Razak dahulu.
Namun, mutakhir ini, dalam laporan beberapa badan antarabangsa yang menunjukkan negara-negara sederhana seperti Malaysia semakin terdedah kepada tekanan ekonomi dan keselamatan oleh kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dan China ini, sama ada melalui instrumen perdagangan, teknologi ataupun keselamatan rangkaian makanan. Termasuk juga lah laporan beberapa badan ekonomi termasuk yang disebut oleh Third World Network (TWN) dan The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), memberi amaran bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) ini berpotensi menghadkan ruang polisi domestik, khususnya dalam aspek subsidi, perolehan kerajaan, kawalan strategik sektor sensitif dan dasar berkecuali Malaysia.
Jadi soalan saya YAB Perdana Menteri, boleh kah YAB Perdana Menteri menyatakan secara konkrit apakah jaminan bahawa ART ini tidak menjejaskan hak kedaulatan Malaysia untuk menggubal dasar ekonomi dan termasuk keterjaminan makanan itu sendiri dan benar-benar berfungsi melalui kepentingan negara kita yang bebas dalam perdagangan ketika ini.
Dan soalan saya yang kedua, adakah Kerajaan sudah pun menghantar pemberitahuan bertulis seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 3 November 2025 yang lalu berkaitan dengan ART ini dengan Amerika Syarikat. Terima kasih, Tan Sri Speaker.
JAWAPAN YAB PERDNA MENTERI:
Terima kasih, Sik. Apakah negara ini terdedah dengan tekanan? Memang benar. Negara kita tidak terkecuali terdedah. Apakah strategi jawapannya? Kita perkukuhkan kerjasama rantau dalam ASEAN seperti mana kita lakukan baru-baru ini dalam sidang ASEAN, di mana kita ada kesepakatan dalam isu-isu dasar. Kemudian kita juga buat, melakukan jaringan sama ada Malaysia-EU dan juga ASEAN-EU. Kemudian kita tingkatkan juga hubungan dan perjanjian dengan negara-negara lain termasuk yang baru-baru ini Brazil, Afrika Selatan, selain dari negara China, Australia, India dan lain-lain.
Jadi bagaimana kita dapat menyelamatkan negara kita dari tekanan yang keterlaluan ialah dengan menguatkan hubungan antarabangsa dan mengekalkan hubungan dengan diplomasi yang lebih bijaksana, maknanya tidak mengambil sikap permusuhan tetapi tahu batasnya.
Dan ini terkait dengan apa yang Yang Berhormat Sik bangkitkan berhubung kebimbangan tentang ART. Saya telah jelaskan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Menteri MITI) sebelum ini sudah jelaskan. Ada tak salah saya, dimaklum oleh Menteri MITI, 35 soalan ART yang akan dijelaskan oleh Menteri.
Tetapi saya ingin beri jaminan bahawa beberapa peruntukan itu ya, seperti mana kita ada perjanjian awal, dia belum dimuktamadkan kerana dia masih memberi ruang untuk jawab balas dan belum ada jadual tamat jawab balas itu, jadi penguatkuasaannya itu belum berlaku. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan juga diupas oleh Menteri yang berkenaan. Itu akan dijelaskan apakah apa-apa usul pembaikan atau penyesuaian atau penjelasan kerana seperti mana yang saya sebutkan tadi, umpamanya ada jaminan dalam perbincangan itu, Klausa 72 bermaksud begini, kita ada nota. Itu jaminan daripada United States Trade Representative (USTR) dengan Menteri. Tapi kita fikirkan sekarang, pun cukup, tetapi lebih baik kalau jaminan itu tertulis. Itu hal-hal yang sedang dilakukan sebelum kita muktamadkan.
Terima kasih, Sik. Saya dah jelaskan tadi, iaitu kita belum sampai ke tarikh yang dimuktamadkan. Ya, dia bila ada perjanjian, dia bagi deadline untuk kita muktamadkan. Sekarang ini masih peringkat perundingan. Dan saya dah maklum kepada Menteri MITI dan kita juga hubungi, ya beberapa jalur lain untuk mendapatkan penjelasan.
Sebab itu saya bagi contoh tadi, umpamanya dengan USTR, jaminan dia itu jaminan bertulis dalam mesyuarat yang dicatat tetapi kita berpendapat lebih baik jaminan itu bertulis atau menjadi lampiran kepada perjanjian. Hal-hal itu belum dimutamadkan, sebab itu cara yang bertulis itu belum kerana belum dapat tempoh dia. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 2: YB SYED SADDIQ, AHLI PARLIMEN MUAR
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia di bawah pimpinannya mempertahankan dan membela hak rakyat Gaza dan Palestine. Kini dunia masuk ke fasa pemulihan semula atau pembangunan semula di Gaza. Baru-baru ini Presiden Trump ada menubuhkan The Peace Committee yang disertai oleh banyak negara Timur Tengah seperti Turkiye, UAE, Saudi dan negara Eropah seperti UK dan yang lain. Baru diumumkan semalam dan pada pagi ini, Singapura turut dijemput untuk memainkan peranan dalam Peace Committee ini.
Persoalan saya, apakah pandangan Malaysia dan pandangan Yang Amat Berhorma Perdana Menteri berkenaan penyertaan Malaysia atau kemungkinan penyertaan Malaysia dalam Peace Committee ini supaya kita dapat memainkan peranan dalam pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Terima kasih Muar.
Kita tentunya ikuti dari dekat tentang usul susulan daripada Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat tentang Peace Committee. Pada dasarnya kita sokong langkah-langkah untuk menjamin kedamaian. Tetapi kita juga ada beberapa pandangan tentang penubuhan jawatankuasa begitu, dan ahli-ahli yang terlibat. Jadi, bangkangan kuat juga umpamanya kedudukan mantan Perdana Menteri UK Tony Blair yang terlibat secara langsung dalam pembantaian dan serangan terhadap Iraq pada satu ketika dan sikapnya yang dianggap tidak telus dan adil dalam isu Palestin dan Gaza.
Ada juga dimasukkan, umpamanya, penyertaan Perdana Menteri Israel dalam jawatankuasa itu. Banyak pengumuman-pengumuman itu belum disahkan. Jadi, kita tentunya ada perhatian mesyuarat Jemaah Menteri hari Jumaat ini akan meneliti dan Menteri Luar telah diminta untuk mendapatkan senaraian sepenuhnya dan saya juga sedang menghubungi beberapa teman pimpin-pimpin dunia Arab, Turkiye dan lain-lain minta pandangan mereka.
Tetapi, pada pendapat saya ini bukanlah penyelesaian yang munasabah dan kita fikir adil sehingga kita dapat tahu. Pertama, hentikan serangan yang belum berhenti. Perjanjian sudah dimeterai, tetapi serangan oleh rejim Zionis Israel masih berterusan.
Dalam perbincangan saya dengan Presiden Erdogan dua minggu yang lalu, isu ini kita bangkitkan dan beberapa langkah kita usulkan, termasuk dengan Presiden Abdul Fatah Al-Sisi, Mesir. Dan sekarang ini kita hantar utusan kita ke Qatar untuk mendapat maklumat dari segi risikkan apa yang harus dilakukan bersama, tetapi yang nyata perdamaian itu walaupun langkah yang baik untuk menekan Israel untuk menghentikan, tapi masih belum berhasil.
Yang keduanya, cadangan ini hanya cadangan nama-nama jawatankuasa, belum dicerakin apakah matlamat mereka. Kerana bagi saya yang pertama yang harus dilakukan ialah hentikan serangan, keduanya berikan laluan untuk ditambah bantuan makanan dan keselesaan hidup mereka.
Ada usul umpamanya Presiden Turkiye memberikan kemudahan pembangunan perumahan yang besar-besaran. Tapi itu dihalang sampai hari ini, dihalang oleh Israel. Jadi, maknanya ada perdamaian, makan minum tak terjamin.
Jadi sebab itu Malaysia agak berhati-hati sebelum memberikan dukungan terhadap usul ini. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 2: YB TUAN JIMMY PUAH WEE TSE [TEBRAU]
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.
Saya ingin mohon Perdana Menteri Malaysia untuk menjelaskan pendirian Malaysia dalam isu apa yang telah berlaku di Venezuela dan juga hasrat Presiden Trump untuk mengambil Greenland.
Dan yang kedua, baru-baru ini Presiden Trump Amerika Syarikat juga telah mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 25% kepada mana-mana negara yang mempunyai hubungan atau berdagang dengan Iran. Maka saya minta penjelasan daripada Perdana Menteri, bagaimana ini akan, adakah ini akan menjejaskan Malaysia dari segi hubungan ataupun perdagangan dengan Iran? Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Tebrau tanya soalan susah (nada seloroh). Kita ini negara sederhana yang punyai kekuatan yang juga sangat sederhana. Sebab itu dalam apa-apa tindakan seperti ini, kita ambil kira rundingan dengan teman-teman, negara-negara jiran dan juga negara-negara sahabat.
Dalam isu Venezuela seperti mana saudara boleh baca, Malaysia adalah di antara negara yang ambil satu pendirian yang paling tegas. Sebagai seorang yang diamanahkan, tentunya saya pun ada kebimbangannya. Bukan soal kebimbangan peribadi, tapi kebimbangan kepada negara.
Sebab itu, jalur hubungan dengan Amerika Syarikat itu kita kekalkan, walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak. Tapi pendirian kita umpamanya soal Gaza, termasuk soal Peace Initiative yang Committee sekarang ini dan Venezuela, satu-satu negara selain Iran tentunya yang mengambil satu pendirian yang paling tegas, maknanya tidak bersetuju kerana melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan mendesak Amerika Syarikat supaya bawa balik Presiden Maduro dan isterinya ke Venezuela. Itu kenyataan kita yang agak jelas dan tegas.
Apakah ia mungkin menimbulkan masalah? Ada. Jadi caranya ialah untuk mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan Amerika, tapi dengan semua negara-negara yang lain.
Soal Greenland, kita bersetuju dengan pendirian Eropah dan juga Denmark bahawa berunding, kita setuju hak masing-masing negara berunding. Tetapi untuk menakluki mana-mana negara, itu tentunya sebagai negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak mungkin bersetuju. Jadi itu juga pendirian kita.
Soal perdagangan dengan Iran, sekarang ini hubungan kita masih kekal dengan Iran. Saya pun dua (2) kali berhubungan dengan Iran. Ada Menteri-menteri juga dikirim ke Iran. Tapi dalam hal ini semua, kita kena gunakan kebijaksanaan dalam hubungan antarabangsa. Jangan kita nampak umpamanya terlalu lemah, tapi jangan kita umpamanya mengambil beberapa tindakan yang menjejaskan kepentingan negara. Tapi setakat hubungan dengan Iran, itu masih kita kekal dan pertahankan hak dan kedaulatan Iran, itu juga prinsip yang kita pertahankan.
