TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SEMINAR SPM CEMERLANG, SAYA PELAJAR MADANI CEMERLANG

11 Oktober 2025

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

SEMINAR SPM CEMERLANG,

SAYA PELAJAR MADANI CEMERLANG

 

 

11 OKTOBER 2025 (SABTU) | 1.50 TENGAH HARI

SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN YUK CHOY, IPOH

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;

 

Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh,

Timbalan Menteri Pendidikan;

 

Rakan-rakan;

 

Dan team Guru-Guru MCPlus yang hebat.

  

  1. Kalau guru standard dia tinggi dah lah ni. Terima kasih banyak. Jadi, buat apa di sini? Patut tumpu exam dah dekat ni, Bila kertas utama? Bila? Lepas itu, buat apa di sini? (nada berseloroh). Baik, di sini seperti yang kita tahu. Sebelum itu, saya nak terima kasihlah kepada Pengetua dan semua rakan-rakan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk Choy kerana beri kesempatan kita bersama-sama di sini. Terima kasih banyak.

 

 

  1. Dan ucap terima kasih juga kepada Yang Berusaha Muhamad Shakib bin Samsudin yang memiliki MCPlus dan mengambil inisiatif untuk mengerahkan semangat anak-anak, mengulang kaji dan meningkatkan mutu pendidikan dan Insya-Allah kita doakan cemerlang keputusan SPM nanti, insya-Allah.

 

  1. Tentunya, seminar seperti ini tertumpu pada soal ujian dan peperiksaan. Tetapi dalam dunia ilmu, dunia pendidikan, ia mendidik. Jadi sementara kita fokus dalam bidang pendidikan, ulang kaji kerana peperiksaan sudah dekat, menjelang, saya hendak juga himbau permasalahan yang lebih luas. Kita kadang-kadang tidak pernah bertanya, kita lalui kerjaya ataupun perjalanan ke sekolah seperti sesuatu yang biasa. Pernah tak? Mengapa susah payah untuk ke sekolah, mengulang kaji, berhempas pulas? Mengapa memerlukan pengorbanan ibu bapa? Mengapa perlu dedikasi guru-guru? Dan mengapa kerajaan menumpukan peruntukan puluh bilion ringgit untuk prasarana sekolah pendidikan? Pernahkah kita tanya untuk apa ini?

 

  1. Jawapannya tentu untuk kehidupan kita, menjamin masa depan kita, keluarga kita, masyarakat kita. Tapi apakah manusia itu harus memikir sekadar masa depan dia? Ataupun apakah matlamat pendidikan itu bukan untuk mengangkat martabat kita sebagai manusia, keyakinan kita, akhlak dan moral kita, etika hidup kita, dan jiwa, dhamir, hati nurani kita? Menjadi manusia yang baik atau tidak.

 

  1. Sebab itu bila saya mendengar laporan tentang kisah-kisah ketelanjuran dari segi akhlak dan disiplin anak-anak, itu sangat membimbangkan. Anak-anak itu satu gedung pendidikan untuk mendidik, membentuk manusia menjadi baik, warganegara, anak yang kemudian akan menjadi bapa dan ibu yang mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Tetapi dalam masa latihannya itu, perangainya bobrok dan hodoh. Amalan buli diteruskan sehinggakan kerajaan terpaksa mengadakan undang-undang. Untuk siapa? Di sekolah yang memang diatur untuk mendidik, menjaga akhlak, memperbaiki akidah dan ilmu serta sahsiah atau keperibadian, terpaksa diadakan Undang-Undang Anti-Buli.

 

  1. Maknanya, sebahagian kecil mungkin dari kita alpa, cuai dan perlu diperingatkan. Ada melalui nasihat, tapi ada melalui undang-undang. Jadi kita harus renungkan. Kerana orang-orang ini dia lupa bahawa matlamat pendidikan itu, ya menerima ilmu, melayakkan kita sebagai seorang yang bijak, termasuk menilai yang hak dan yang batil, yang benar dan yang palsu. Ini tujuan kita. Tetapi di peringkat awal, semasa kita menimba ilmu itu, permasalahan hak dan batil, amal ma’ruf dan munkar itu kita keliru.

 

  1. Sebab itu sementara kita fokus dalam bidang SPM ini, saya tidak mahu anak-anak lupa. Kita punya cita-cita besar. Lihat Malaysia sekarang. Malaysia bukan negara besar, bukan negara terlalu kaya. Tetapi kalau tidak hak lahirkan anak-anak yang cukup kesihatan ilmunya, kepintarannya, keterampilannya dalam pelbagai bidang, kemahirannya, kemudian hidup sebagai seorang manusia yang waras, tahu negara ini negara yang majoritinya Islam, hukum negara Islam, Melayu, Cina boleh hidup sebagai keluarga besar perlu menganggap semua yang Allah S.W.T jadikan pelbagai kaum, pelbagai daerah, pelbagai qabilah, pelbagai warna, pelbagai budaya, bersatu semua kalau kita asak itu dalam hidup kita. Maka apabila dia itu Melayu atau India atau Cina atau Dayak atau Kadazan, dia itu anak Malaysia yang harus kita banggakan.

 

  1. Sifat dia, sifat kita. Sedih dia, sedih kita. Hidup dia merempat, terkesan kepada kita. Barulah kita menjadi manusia yang terdidik dan matang. Barulah masa depan negara kita terkawal. Bayangkan Malaysia ini dengan pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi untuk menjadi satu negara yang dikagumi dunia sekarang. Ada pertempuran di sempadan, Thailand dan Cambodia baru-baru ini. Alhamdulillah, Malaysia bukan kuat tenteranya, bukan terlalu kaya, tapi dipercayai untuk berusaha mendamaikan mereka.

 

  1. Mereka bukan majoritinya Buddhist atau sebahagian Kristian, sebahagian kecilnya Islam, tetapi mengapa kita campur? Kerana ini kemanusiaan. Ini semangat kejiranan. Bukan faktor kaum itu atau fahaman agama yang sempit. Kalau tanya saya ya, saya fikir sebagai seorang Islam, itu tanggungjawab saya mendamaikan walaupun dia bukan Islam. Semangat itu yang harus ada.

 

  1. Baru-baru ini, rakan-rakan kita belayar. Flotila Sumud Nusantara. Di Lautan Mediterranean, dilambung ombak, hanya untuk menyatakan sikap. Puluh tahun rakyat Gaza dan Palestin dihentam dibadai. Anak-anak kecil dibom kita saksikan. Ada yang kata “oh saya sudah belajar, saya terdidik, saya pun tidak peduli.” Kamu belajar apa? Mana jiwa kamu? Mana hati nurani manusia kamu? Itu yang menyebabkan saya, bukan kita taja mereka lakukan segala cara, kita sudah usahakan. Tidak selesai. Jadi anak-anak ini fikir, “kami mahu ke sana dan tunjuk sikap”, dan percaya. Yang di situ orang Kristian yang ramai dari Eropah, campur orang Islam pun ada, berkumpul kerana mereka terdidik sebagai manusia yang ada faham manusiawi, kemanusiaan. Kerana Allah S.W.T jadikan kita ini manusia karamah insaniyah, itu disebut. Nilai manusia, nilai sejagat.

 

  1. Jadi sebab itulah kita berusaha membantu mereka. Maknanya, pendidikan itu punyai matlamat yang tinggi. Jadi kalau anak-anak tumpu dalam perhatian dalam bidang pendidikan. Tidak ada orang berjaya tanpa usaha. Mustahil. Kalau orang bicara kata, “saya tidak pernah baca buku, saya tidak pernah belajar tapi saya cemerlang.” Sukar bagi saya. Kerana kadangkan, kawan-kawan “eh, I memang tak belajar lah, I tak study lagi”. Ya malam-malam, dia study seorang-seorang diam-diam. Ada kawan macam tu kan? Kalau jumpa kita, “saya ni tak study sangatlah,” malam-malam dia baca buku. Keputusan dia cemerlang. Tak ada, ini semua usaha.

 

  1. Seminar, usaha untuk mengingatkan, untuk mengulang kaji itu betul. Tetapi yang akan menentukan sama ada kita berhasil, berjaya atau tidak ialah disiplin dan belajar dan tekun. Tak ada jalan mudah, dan bagi kita saya sebagai bapa dalam Kerajaan akan berikhtiar dengan cara apa pun bantu. Saya sebutkan tadi negara Malaysia bukan terlalu kaya, tapi kalau kita amanah belajar dari kecil jangan curi wang dari anak kecil, jangan curi pensel kawan. Kalau dia belajar curi pensel, kemudian curi pen, kemudian curi buku, kemudian curi beg, bila jadi pembesar dia curi harta rakyat. Jadi latihan itu penting. Memang seperti saya baca, saya sebut “jangan curi pensel, pen saya tengok ada yang senyum” memang ada berlakulah. Tapi yang penting, yang saya nak tekankan apa? Apa sahaja cara dan kaedah kerajaan perlu lakukan, kita bantu.

 

  1. Bayangkan, mana di dunia ini ada Sumbangan Tunai Rahmah, ibu bapa yang paling miskin, SARA. Kemudian sembilan (9) juta rakyat STR. Anak-anak sekolah bantu lagi. Awal tahun RM150. Yang paling miskin, tambah lagi. Itu yang kita lakukan. Mulai tahun depan, lepas anak-anak keluar daripada sekolah, untuk adik-adik nanti, saya kata, “ibu bapa kalau nak RM150 itu, pergi ke sekolah bulan Januari”. Sebab apa? Kadang-kadang ibu bapa, masuk akaun, dia lupa wang itu wang untuk anak-anak. Buku, alat tulis, mungkin keperluan-keperluan asas yang lain. Jadi itu yang kita tumpukan.

 

  1. Semalam dalam Belanjawan saya umum, kalau betul sangat miskin, pelajar di universiti, PTPTN itu kita berikan pendidikan percuma. Kemudian saya lihat, tiap tahun bila buka UPU, kadang ada orang ini tidak dapat, yang ini tidak dapat. Saya kata kita kena dengar. Kalau sebut macam ini, dah Melayu marah. Sebut sikit Melayu, dah India marah. Jadi, padahal kita kena cari penyelesaian, berunding dengan baik.

 

  1. Bila saya dengar masalah ini, apa dia masalah? Masalahnya tempat, kurang tempat. Jurutera kita perlu 30,000, tak cukup. Tadi saya ada di UTP, Universiti Teknologi PETRONAS. Universiti apa? “Ya PETRONAS, PETRONAS, sorry”. Saya ada dialog dengan mahasiswa, dan saya beritahu, tempat untuk Jabatan, Fakulti Kejuruteraan, Accountancy, AI, Digital, dari segi Tenaga, Bahasa, Undang-Undang itu semua diperlukan. Kejuruteraan keperluannya sangat tinggi, kerana kita, syarikat-syarikat paling besar di dunia Infineon, syarikat semikonduktor terbesar dari Jerman. Kilang dia besar di Jerman, kilang yang kedua dibuat di Malaysia kerana keyakinan. NVIDIA itu pusat terbesar dihasilkan di Johor. Kemudian Google, Microsoft semua di sini. Dia perlu 30,000.

 

  1. Kita masih kurang Perubatan. Selain Kejuruteraan, Perubatan dan Jadi saya bincang daripada gaduh-gaduh ini anak-anak tiap tahun, kita tambah tempat lagi. Kalau keputusan cemerlang, kita berusaha memberikan tempat pilihan mereka berdasarkan keputusan mereka. Kalau cemerlang, dia mahu Accountancy ataupun Medicine ataupun engineering, kita akan sediakan tempat. Kita tambah 1,500.

 

  1. Jadi anak-anak dengan runsing bab itu. Itu tanggungjawab kita untuk menyediakan. Kadang-kadang kalau dulu kita berebut dengan universiti luar negara. Universiti luar negara itu kalau satu dua universiti yang luar biasa cemerlangnya, ya. Tetapi tahap Malaysia, tahu berapa pelajar luar negara yang mahu datang belajar di Malaysia sekarang? 170,000 pelajar dari luar negara. Kerana imej kita, maksudnya pelajaran kita itu dihargai.

 

  1. Di ASEAN, kita nombor satu, jumlah pelajar luar negara. Ada juga orang politik cakap pasal apa begitu. Kita bagi pilihan bertempat keutamaan anak-anak Malaysia tetapi kita bagi juga ruang, kerana orang luar negara ni dia bayar. Dia bayar penuh. Anak Malaysia, kerajaan bayar. Jadi, janganlah pula halang orang luar hendak masuk, kerana dia bayar. Dan kita perlu, terutama universiti-universiti swasta, dia perlu penyertaan pelajar dari luar negara.

 

  1. Tapi untuk kita yang 1,500 tempat itu bukan untuk pelajar luar negara. 1,500 tempat baru ini semuanya diperuntukkan kepada pelajar-pelajar cemerlang sama ada matrikulasi ataupun STPM dalam negara.

 

  1. Kemudian pelajaran, kemudahan-kemudahan, YB Timbalan Menteri Pendidikan pun ada, beliau lebih arif. Wakil Kementerian Pendidikan pun juga ada. Tetapi peruntukan Kementerian, peruntukan pendidikan di Malaysia. Setengah negara, peruntukan yang paling besar ialah pertahanan, kebanyakan negara. Saya tak salahkan kalau dia duduk sebelah Israel ataupun negeri-negeri yang sibuk berperang. Itu dia terpaksa tumpu bidang ketenteraan dan pertahanan. Kita, Alhamdulillah, kawasan kita, rantau kita aman.

 

  1. Jadi, peruntukan belanjawan paling besar adalah bidang pendidikan. Sebab ini masa depan kita. Bagaimana anak-anak terlatih kepintaran, kemahiran, mengulangkaji dengan baik, kemudian mencatat kemajuan, terus ke universiti atau politeknik mana-mana. Tapi pertahankan martabat dan kecemerlangan dan kembali dengan dedikasi, dengan disiplin, work ethics yang baik. Kalau tanya pelabur saya tanya Google Chief, saya jumpa di San Francisco, dia beritahu, apa keistimewaan Malaysia?. Pertama, tentulah sistem politik stabil, dasar jelas, insentif dan sebagainya. Tetapi kata dia, itu etika pekerja, orang yang bekerja, disiplin yang baik dan kerjanya rajin. Ini keistimewaan anak-anak Malaysia. Jadi anak-anak harus pertahankan itu.

 

  1. Tentunya dibicarakan juga tentang penguasaan bahasa. Tadi rakan-rakan kita, guru-guru menyebut tentang penguasaan Bahasa Melayu. Ini saya sebut sebab negara ini negara Malaysia. Bukankah seharusnya kita bangga? Penguasaannya harus baik kerana ini bahasa kebangsaan kita. Tetapi bahasa yang baik itu harus lancar kerana bahasanya juga dihormati, dimuliakan sebagai bahasa ilmu.

 

  1. Sebab itu, bila 100 lebih sekolah-sekolah internasional, sekolah internasional tidak seperti dulu. Dulu, puluhan tahun dahulu saya pernah jadi Menteri Pendidikan. Sekolah internasional, anak-anak Malaysia kalau masuk tu mungkin ratusan orang. Sekarang anak-anak Malaysia yang masuk ke sekolah internasional sudah mencecah puluhan ribu orang. Jadi, ada sistem di sini kita tidak ganggu. Tetapi kita hendak pastikan anak-anak Malaysia harus diwajibkan belajar bahasa. Dia boleh belajar aliran Inggeris, atau Perancis, atau Arab, atau Cina dalam International School. Tetapi dia mesti menguasai Bahasa Melayu dengan baik melalui sistem pendidikan yang ditetapkan dan juga kenegaraan.

 

  1. Belajar di Malaysia, anak Malaysia. Kebetulan anak orang kaya, masuk International School, sejarah Malaysia? “Enggak tahu, Pak.” Ya kerana maid dia orang Indonesia dia cakap begitu. (nada berseloroh) Tak tahu. Bila sejarah negara merdeka? Tak boleh. Jadi sebab itu kita tetapkan. Tetapi seperkara yang berkaitan yang patut saya tekankan ialah penguasaan bahasa-bahasa lain, terutama Bahasa Inggeris. Jadi selain daripada Bahasa Melayu yang kita harus kuasai dengan baik, penguasaan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan untuk melayakkan kita menjadi anak-anak, negara yang mempunyai kekuatan dalam bidang ekonomi.

 

  1. Sebahagiannya, ikut juga bahasa Cina. Bahasa Cina bukan bahasa orang Cina, tapi bahasa ekonomi. Terutama kemaraan negara China sebagai negara gergasi ekonomi baharu. Jadi penguasaan pelbagai bahasa itu penting. Saya pernah mengajar di universiti di Washington DC beberapa tahun. Memang Bahasa Inggeris tetapi semua pelajar itu menguasai bahasa kedua. Sama ada Sepanyol, atau Perancis, atau Jerman, dan lancar bahasa keduanya. Jadi bagi kita, harus ada semangat yang sama.

 

  1. Jadi, anak-anak, saya tidak mahu ganggu panjang majlis ini, majlis anak-anak tumpu SPM, dah dekat kan? Jadi saya hanya mampu mendoakan. Tapi tengok-tengok yang datang ni nampak macam cerdik-cerdik semua, serius. Jadi ini semua sekolah dari Perak kan? Okey, insya-Allah. Saya minta esok Pengarah Pendidikan Negeri, saya nak tengok keputusan. Siapa yang hadir, nak tengok keputusan nanti.

 

  1. Mudah-mudahan kita doakan anak-anak yang hadir ini akan dapat mencatat keputusan yang membanggakan, Insya-Allah. Jangan lupa, selalu hargai jasa ibu bapa, kenang mereka, mohon doa dari mereka juga. Ingat, setengah orang dia fikir apa minta wakil doa ni doa itu, tetapi doa yang paling mustajab itu pertama dari kita, kedua dari ibu bapa kita. Kerana kasih mereka kepada kita itu tidak ada tolak tandingnya.

 

  1. Jadi jangan lupa kirim salam pada mereka dan mohon doa khas untuk kejayaan anak-anak. Kemudian jangan lupa, bila cemerlang, “akulah yang hebat, akulah yang kaji, akulah yang pandai.” Ya tetapi jangan lupa, hargai ibu bapa, hargai jasa guru-guru yang mengajar bertungkus lumus untuk menjayakan kita. Guru kekal jadi guru. Kita sebagai professional. Saya jadi Perdana Menteri, orang panggil PMX. Saya pun tak tahu sebab apa. Tetapi hormat saya kepada guru tidak pernah berubah. Semasa saya Menteri Pendidikan, saya masih ingat, guru saya dulu menjadi Ketua Pengarah Pendidikan.

 

  1. Sepatutnya bila saya nak berucap, dia bangun. Dia bangun. Tetapi oleh kerana saya pernah jadi murid dia, walaupun dia Ketua Pengarah Pendidikan dan saya Menteri, saya masih bangun menghormati dia. Maknanya sentiasa jangan lupa. Dan tidak rugi sedikit pun. Ini yang disebut budi pekerti dan akhlak yang mulia.

 

  1. Doa ke hadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan berjaya mengharumkan bukan saja kejayaan peribadi, keluarga, masyarakat, dan negara Malaysia tercinta.

Terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: