TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI MALAYSIA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI MALAYSIA
16 SEPTEMBER 2025 (SELASA) | 8.25 PETANG
PUSAT KONVENSYEN PICCA@ARENA BUTTERWORTH, PULAU PINANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Alhamdulillahi rabbil alamin nahmaduhu wa nussalli ala rasulihil karim wa ala alihi wa sahbihi ajma’in
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang; dan isteri
Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah;
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Timbalan Perdana Menteri I;
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof
Timbalan Perdana Menteri;
Yang di-Pertua Dewan Negara;
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang dan isteri;
Yang Berhormat Datur Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Premier Sarawak;
Yang Berhormat Datuk IR. Shahelmey bin Yahya
Timbalan Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi selaku pengerusi bersama;
Rakan-rakan Jemaah Menteri;
Pimpinan Ketua Setiausaha Negara dan seluruh jentera Kerajaan;
Excellencies, Ambassadors and High Commissioners;
Saudara-saudara, saudari-saudari yang dimuliakan.
- Hari Malaysia hari kebesaran negara, susulan dari sambutan Hari Kemerdekaan. Kita harus lakukan kedua-duanya menyingkap lembaran sejarah dan menyongsong hari muka. Setiap hari peringatan dari kemerdekaan kerana ini berbakti menyambung erti kemerdekaan Tanah Melayu dan kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga wilayah ini di bawah penguasaan penjajah Inggeris pada ketika itu. Bapak-bapak ibu-ibu kita berjuang sejak dahulu dan TYT kita sebenarnya mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan di antara yang faham benar dari salasilah keturunan Maharajalela, pejuang yang menentang J.W.W. Birch di Pasir Salak dan membangkit kesedaran orang-orang Melayu bersama dengan tokoh-tokoh lain dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak kemudiannya. Mungkin ada satu pameran untuk menjelaskan. Tetapi perlu kita faham mengapa pimpinan pemikir leluhur bangsa merasakan lemas dan menolak keberadaan penguasa asing yang meragut kekayaan negara, memastikan sistem pemikiran dan jiwa rakyat dijajah oleh mereka.
- Negara inginkan kebebasan. Kemerdekaan ertinya menolak sistem penguasaan, penderaan, penghinaan asing ke atas kita. Dari kekuatan kuasa politiknya, kepada ekonominya, kepada budayanya, pendidikan, sistem sosial, semuanya. Bagi rakan-rakan yang mengikuti erti colonialism atau neocolonialism atau imperialism harus tahu betapa penting gerakan kebangsaan menolak sistem penguasaan asing. Negara yang kaya dimiskinkan, kekayaan dipunggah untuk membina mahligai di kota-kota besar penguasa penjajah dan kalau lihat kejayaan pendidikan di seluruh Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Lihat kekuatan ekonomi yang dulunya pernah menjadi Empayar Kesultanan Melayu Melaka runtuh, lebur sehingga saki-baki kekuatan perdagangan tidak ada.
- Pejuang kebangsaan Filipina yang menganggap dirinya itu sebagai the wanderlust Malay, sang Melayu pengembara Jose Rizal pernah menyebut dalam karyanya ‘The Indolence of The Filipino’. Kerana pandangan penjajah Sepanyol ialah bahawa orang Filipina itu semuanya malas dan tidak ada kekuatan, keupayaan untuk berdagang. Seperti mana juga kupasan Syed Hussei Alatas dalam ‘The Myth of The Lazy Native’, Mitos Pribumi Malas. Seolah-olah tidak ada kekuatan, keupayaan anak bangsa untuk mengagaskan perubahan, kekuatan perdagangan sehinggalah Inggeris datang. Ini dikupas oleh Syed Hussei Alatas, pemikir dan sociologist rantau yang terkemuka. Apa yang dikupas oleh Jose Rizal yang seperti mana saudara-saudara faham. Seorang pejuang, anak pintar terdiri di Sepanyol dan di Filipina, berakhir dengan dibunuh kejam ditembak mati dan sempat menghasilkan ‘Mi último adiós’ (My Ultimate Goodbye) kepada rakyat Filipina. Maknanya perjuangan ini bukan mudah, harga darah, air mata, keringat.
- Jadi kita yang selesa di Pulau Pinang, negara yang maju dan kita dengar tadi Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah tentang bagaimana negara itu diangkat, jangan lupakan. Kita tidak bermula daripada hanya kemerdekaan, kita bermula dengan perjuangan bapak-bapak dan ibu-ibu kita yang mengagaskan perubahan, yang berkorban nyawa, harta benda, tetapi lebih dari itu. Dalam aspek kedua yang nak saya sampaikan ialah wawasan, kepintaran pejuang-pejuang kebangsaan pada ketika itu. Bila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengetuai negara mencapai kemerdekaan dari Inggeris bagi Tanah Melayu. Setelah beberapa tahun beliau mengagaskan, keperluan, dibina kekuatan rantau, dirunding dengan pemimpin-pemimpin Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei. Apakah mungkin kita mengagaskan melalui wawasan, membina kekuatan baru.
- Alhamdulillah, dengan dukungan dan semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan kita, bapak-bapak dan ibu-ibu kita di Sabah, Sarawak, maka tercantum negara merdeka dan berdaulat. Tapi seperti mana yang saya sebut, Dato’ Sri Fadillah ada di Limbang baru-baru ini, minggu lalu, untuk beberapa hari yang lalu. Yang mengagumkan saya ialah bapak-bapak dan ibu-ibu kita tidak semuanya terdidik, dari erti kata pendidikan moden sama ada di Inggeris ataupun di sini. Tapi punyai semangat kental untuk menjamin masa depan anak-anak mereka. Punyai wawasan jauh ke depan dan fahami geopolitik yang begitu mencabar. Dari mana? Hanya kerana keikhlasan, kejituan, kekuatan semangat dan kasih mereka kepada rakyat. Tentunya kita dengar Temenggung Jugah Anak Barieng, kita dengar Tun Mustapha Harun, Donald Stephens yang kemudiannya (nama beliau menjadi) Tun Fuad Stephens itu di antara tokoh-tokoh, tapi tentunya ramai yang lain juga.
- Tidak semuanya terdidik, tidak semuanya pintar dalam erti kata sistem pendidikan yang kita faham sekarang. Tetapi semuanya ikhlas, punyai cita-cita kebangsaan yang luar biasa, punyai semangat untuk bawa perubahan, memerdekakan negara dan menjamin masa depan yang lebih baik dan ini harus kita waspadai. Terima dengan tawaduk, with humility, acknowledge atau terima sumbangan mereka yang besar. Kerana kita kalau lupa, kita padamkan kenyataan ini, hiruk pikuk negara kerana orang akan menjerit soal suku kaum, soal daerah, soal wilayah. Dia lupa bahawa bapak-bapak dia juga memikirkan hal-hal yang sedemikian. Tapi memerdekakan bahawa dengan kekuatan baru, jaminan lebih selamat.
- Sebab apa saya jelaskan yang sedemikian? Kerana Malaysia ini tidak terdiri dari satu lompongan vakum. Malaysia ini terdiri dari suasana pergelutan, persaingan kuasa besar geopolitik yang sangat sengit di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union pada masa itu. Negara mahu diperkotak-katikkan, pengaruh sistem baik yang Barat dan Komunis dari timur itu mencengkam kita di tengah-tengah. Ada yang merasa cemas dan takut dengan teori domino. Jatuhnya Vietnam dan mungkin melebar sistem Komunis sampai ke Tanah Melayu dan menerobos ke kawasan sempadan di Sarawak dan bahagian kecil di Sabah. Ini bukan soal kecil. Pemimpin-pemimpin ini merasakan tanpa kekuatan ini kita akan tenggelam menjadi boneka atau perkakas bagi memenuhi agenda kuasa besar.
- Inilah sebabnya mengapa mereka memilih untuk merdeka dan pada ketika itu, di Limbang saya sebut Presiden Soekarno Indonesia, ada satu ketika yang agak rumit hubungan kita dengan Indonesia, sekarang sangat baik. Padu best. Jangan bimbang dong. Sekarang itu luar biasa hubungan kita dengan Indonesia tetapi saya hanya menyingkap lembaran sejarah. Pada ketika itu, Presiden Soekarno menganggap idea pembentukan Malaysia ini mencabar kekuatan Indonesia dengan kolonialisme bentuk baru, katanya neo-kolonialisme. Maka, dilancarkan serangan yang disebut Ganyang Malaysia.
- Bapak-bapak, ibu-ibu kita di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak faham benar bahawa tanpa kekuatan ini dan sikap yang terbuka yang kita sebut dalam ASEAN sekarang sebagai centrality, berbaik dengan semua, tidak menjadi alat mana-mana kuasa besar atau kuasa asing maka Malaysia harus diperkukuh. Ini latar belakangnya, saudara-saudara.
- Baik, setelah negara terbentuk, inilah cabaran bagi kita, bagaimana kita mengisi kemerdekaan. Sering saya sebut dalam acara sambutan kemerdekaan, kemerdekaan bukan erti mengganti residen dan residen jeneral dan gabenor jeneral Inggeris dengan anak-anak tempatan dan pribumi, tapi perangai tamak haloba, sikap rakus, sistem semuanya ciplakan dari Inggeris, dari Barat.
- Kita tidak meminta kemerdekaan atau perubahan pimpinan dari James Brooke kepada pimpinan Melayu atau Dayak, Melayu atau Kadazan, Melayu, Cina atau India, tetapi mempertahankan fe’el yang sama menggunakan kekuasaan itu untuk meragut kekayaan, menggunakan kuasa itu, dan melaksanakan dengan rakus. Maka, merdeka juga dan pembentukan Malaysia itu satu cabaran bagi kita, memastikan soal nilai, akhlak, prinsip kita.
- Kemerdekaan artinya menjamin suatu sistem ekonomi, budaya yang adil, menjamin perpaduan di kalangan kita. Kalau orang Inggeris, dia lihat pribumi itu yang disebut mitos “pribumi malas” kerana sikap mereka yang mengenepikan sejarah bahawa ada zaman Kesultanan Melayu Melaka, ada zaman dagang dari Sulu ke Utara Filipina, malah pedagang-pedagang besar Indonesia semua di kalangan pribumi ketika itu. Jadi, mereka tanam di pemikiran kita dalam bentuk penjajahan yang disebut oleh salah seorang sarjana Islam sebagai isti’mar ruhi wa fikri penjajahan pemikiran dan jiwa sehingga kita menganggap kita tidak mungkin maju melainkan kita ambil sikap mereka.
- Maka sikap mereka itu menghina orang lain, menghina kaum, menghina orang kerana kulit. Itu sikap yang dibawa kepada kita dan tidak asal. Jarang kita dengar dalam sejarah kebangkitan Melayu di Melaka, Kesultanan Melayu Melaka. Ada hiruk-pikuk soal pertelingkahan kaum dan agama. Walaupun Melaka pada ketika itu negara dagang kosmopolitan.
- Kita diajak untuk faham bahawa kemerdekaan itu bererti semua rakyat bersama, bersatu mengangkat martabat mereka sendiri. Betul, asas kekuatan Melayu menyebabkan kita terima kedudukan bahasa Melayu, Islam agama persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu, dan juga hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera termaktub dalam perlembagaan. Tetapi Malaysia ini juga yang merdeka dan berdaulat dan bermaruah tetap maju dengan menjamin peluang kesaksamaan bagi semua kaum dalam negara kita.
- Ini membedakan kita dengan sikap prasangka dan diskriminasi yang dilakukan oleh penjajah Inggeris. Alhamdulillah, jasa pemimpin-pemimpin lalu sebab kita itu ke dalam landasan tanggungjawab kita, pimpinan baru, memastikan terangkat dari segi ekonomi supaya lebih mampan, lebih inklusif, kerana persaingan kita terlalu sengit sekarang.
- Kita hidup dalam suasana yang tidak menentu. Pagi tadi saya baru balik dari Doha. Sidang darurat segera, emergency negara-negara Islam dan Arab setelah Israel menyerang Doha, Qatar dan terus-menerus menghancurkan Gaza dan Palestin, Tebing Barat. Apa yang saya dapat saksikan? Seluruh kekuatan dunia Islam dan Arab sukar menyaingi kekuatan Israel, tentunya didukung oleh Amerika Syarikat. Apa pengajarannya? Negara merdeka dan berdaulat mesti bersatu. Mesti meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama dan wilayah. Mesti menentukan bahawa sikap pelampau sama ada kaum atau fanatik agama atau suku kaum dan faham wilayah sempit mesti dibanteras untuk menjamin kelangsungan hidup negara yang berdaulat dan merdeka.
- Dan kedua, cabaran kepada pimpinan memastikan ekonomi kita melonjak dengan tata kelola yang baik, supaya fe’el yang dilakukan oleh penjajah yang menyebabkan negara miskin, negara diperkotak-katikkan dapat diselamatkan dengan agenda perubahan ekonomi yang lebih lancar dan lebih gagah, yang harus menjamin keselesaan bagi semua.
- Alhamdulillah, sekurang-kurangnya di Malaysia, Pulau Pinang tentunya satu negeri yang telah awal memulakan dalam bidang industri E&E. Kemudian dibuka jajaran itu ke Kulim Hi-Tech dan kemudian di Perak dan sekarang ada KIGIP Hi-Tech yang memusatkan kepentingan industri hijau, industri kenderaan, motorcar yang besar di Tanjung Malim dan Lembah Klang yang besar.
- Johor yang dulunya agak perlahan pertumbuhan ekonomi sekarang telah muncul sebagai gergasi ekonomi dari bidang industri dan E&E. Dan catatan suku tahun pertama 2025 menunjukkan negeri Johor paling atas dari segi keupayaan menarik pelaburan kerana sekali lagi dasar Kerajaan Persekutuan yang membawa dan melaksanakan Johor-Singapore Economic Zone.
- Sarawak hari ini telah menjadi satu hab tenaga utama di rantau ASEAN dari segi kekuatan hidro termasuk green hydrogen dan baru-baru ini saya bersama Premier munculkan satu wafer fabrication industry, X-FAB, yang agak canggih. Bayangkan umpamanya 30 tahun lalu, 50 tahun lalu, sekarang Sarawak telah muncul sebagai negeri yang mampu bersaing bersama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung,
- Sabah punya potensi dalam kajian MBBS terakhir, sekiranya landasannya itu kekal, hubungan Sabah dengan Semenanjung dan Kerajaan Negeri dan Persekutuan tetap kekal mantap dan kuat, Sabah untuk tahun 2026 mungkin akan mencatat kadar pertumbuhan yang tertinggi di Malaysia.
- Saudara-saudara, hal-hal ini menunjukkan bahawa negara kita ini negara keramat kerana hasrat kita bangunkan semua negeri dengan keupayaan mereka masing-masing. Supaya tatakelola oleh pimpinan persekutuan dan negeri perlu diselaraskan dan mengikuti kaedah-kaedah kekuatan yang baik.
- Akhirrul kalam dalam negara MADANI, pertumbuhan kemampanan itu diselari seperti mana yang disebut oleh Ketua Menteri dengan ihsannya, dengan rahmahnya, dengan nilai yang baik. Kita tidak mahu maju seperti mana negara barat maju. Kita mahu maju ekonomi, tetapi tinggi budaya dan budi pekerti.
- Kita mahu mencatat kemajuan artificial intelligence dan digital, dan perubahan energi dan transisi energi, tapi tidak tinggalkan nilai kemanusiaan, karamah insaniah. Demikianlah harapan saya dengan semangat Hari Malaysia.
- Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun, Tok Puan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberi kerjasama yang sangat baik pada malam ini, terima kasih. Dan rakan-rakan Menteri, seluruh pimpinan persekutuan yang hadir bersama dengan wakil-wakil negara asing yang begitu ramai sekali meraikan Hari Malaysia 2025.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
