TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 TERENGGANU
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 TERENGGANU
12 JULAI 2025 (SABTU) | 12.00 TENGAHARI
KOMPLEKS PASAR PAYANG KUALA TERENGGANU, TERENGGANU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar,
Saudara Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu,
Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi,
Menteri Kerja Raya;
YB Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berhormat Timbalan-timbalan Menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berhormat Setiausah Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Ahli-ahli Yang Berhormat dan saudara dan saudari yang
dimuliakan.
- Terima kasih atas sambutan yang begitu meriah di Pasar Payang ini. Dan maksudnya seperti yang dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar ialah supaya rakyat diberi kesempatan lihat sendiri apa yang diumumkan dan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Dengan cara ini ada pertemuan, pandangan, teguran dan cadangan yang akan dicatat masing-masing Jabatan dan Kementerian yang boleh membantu kita bekerja sebagai satu pasukan.
- Jadi untuk itu kerana yang menyelenggara Program MADANI Rakyat di Terengganu ini adalah Kementerian Kerja Raya dan ucap terima kasih kepada YB Menteri, Ketua Setiausaha dan seluruh keluarga kementerian. Dan selalunya kementerian-kementerian bersaing, nampaknya hari ini Kementerian Kerja Raya nampak mantap dan hebat.
- Dan saya ucap terima kasih kerana kerjasama penuh oleh Negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri yang memberi kerjasama penuh untuk menjayakan majlis ini. Terima kasih YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh jentera Kerajaan Terengganu. Beginilah cara kita. Jadi bila kita baik muafakat, kita boleh majukan Negeri Terengganu dan majukan Negara. Terima kasih.
- Sebentar tadi saya dengan YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri, Menteri Besar kita ke Kenyir dan Kenyir ini projek besar, projek raksaksa. Empangan itu sudah selesai, tapi diadakan Projek Solar Guna Tenaga Baharu dan apa yang disebut sekarang ini sebagai hidrogen hijau – green hydrogen. Sama ada ammonium methanol itu kemudian dikerjakan. Projek ini besar ditaja oleh PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dan dengan kerjasama dan penyertaan Terengganu Inc.
- Kita lihat umpamanya apa yang kita umumkan tahun lalu yang dilaksanakan dan kita jadikan Terengganu sebagai pangkalan untuk menjadi pusat di Semenanjung ini, pusat penting menggunakan permukaan Tasik kenyir sebagai satu pusat tenaga selain daripada kuasa hidro tetapi juga solar dan green hydrogen.
- Jadi saya ucap tahniah kepada rakyat Kuala Berang dan Terengganu kerana berhasil menjayakan ini. Ini saya tekankan kerana dengan sendirinya mematahkan setengah-setengah orang menyatakan tidak ada yang dilakukan, kerana kita lihat ini kekuatan, ada tasik yang besar, manfaatkan kawasan itu tenaga baharu.
- Baik, kemudian saya terang juga dari ASEAN ini, yang saudara lihat, mesyuarat, mesyuarat, mesyuarat, jadi apa kerja Perdana Menteri dan Menteri-menteri melawat pergi ziarah ke sana ke sini mesyuarat. Di antara keputusan penting yang sedang dilaksanakan, apa yang dah dikatakan ASEAN Power Grid (APG) iaitu tenaga baharu ASEAN dari Vietnam, hidro, guna lautan dasar laut, cable sampai ke Terengganu dan Kelantan dan ada juga kaitan dengan Kenyir, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Singapura. Maknanya janakuasa baru guna Grid baru dan ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ASEAN, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.
- Ini akan memberikan peluang Malaysia menjadi suatu negara yang punyai kekuatan untuk memperkenalkan dan menjana kuasa tenaga besar di rantau ini. Bila kita sebut data center, AI, itu memerlukan air dan tenaga yang sangat tinggi. Puluhan kali ganda daripada keperluan biasa. Kalau industri perlu 10 data Centre dan AI mungkin perlu 200. Jadi sebab itu penting dan ini kita telah jayakan. Maknanya apa yang kita umumkan dalam Belanjawan Negara tahun lalu kita telah saksikan umpamanya pelaksanaannya di Terengganu, salah satu projek penting. Tujuan kita ialah untuk jadikan semua negeri-negeri ini ada kekuatannya. Terengganu adalah kekuatan tenaganya, Kedah Kulim Hi-Technya, Pulau Pinang industri dari Pulau ke Seberang ke Batu Kawan hampir penuh. Di Lembah Klang tentunya di Selangor, di Kuala Lumpur itu menjadi tarikan pelaburan tertinggi di negara kita.
- Kemudian kita juga perhati Sabah dan Sarawak. Sarawak jadi pusat tenaga yang besar kerana hidrogen gas dan kita juga cadangkan supaya gas itu disalur melalui dasar laut ke Semenanjung ke Singapura dan keseluruh negara-negara ASEAN dan beritahu juga YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi ada, kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg bahawa kita akan luluskan. Kemudian dari Sarawak ke Brunei ke Sabah ke ibu kota baru di Kalimantan sehinggalah menerobos ke Selatan Filipina.
- Ini pelaksanaan yang penting. Dan ini hanya berlaku bila ada kerjasama di kalangan semua Jabatan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan fokus. Bila kita buat begini apa faedah Kenyir bagi rakyat? Saya kata, dari kawasannya, stafnya perumahannya, restorannya dan gerainya. Baik, lagi apa? Kemudahan-kemudahan hospitalnya, masjidnya dan sekolahnya semua akan meningkat bila ada projek raksasa begitu. Dan saya cadangkan tadi, PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Negeri.
- Bagi peluang. Nombor satu, anak-anak Kuala Berang mesti ada tempat. Kedua, anak-anak Terengganu mesti ada tempat baru kita perluaskan. Ini saudara-saudara cara kita sebagai contoh, mengendali projek yang ada dan tentunya bukan itu sahaja, saya hanya sebut sebagai contoh supaya rakyat faham. Kadang-kadang kita dengar di luar ini lain lah. Cakap, umum, tidak buat apa. Sebab itu pergi tengok tiap kementerian, sejak tahun lalu, sejak dua (2) tahun yang lalu apa yang dilakukan. Pegawai-pegawai kita di semua peringkat dan juga pasukan keselamatan, polis, tentera, bomba dan imigresen. Semua itu diberikan ruang untuk menunjukkan keupayaan mereka dan kita tidak hanya mencatat apa dilakukan tapi menggesa dan mendesak supaya mereka tingkatkan keupayaan mereka. Barulah Malaysia ini boleh harum sebagai negara yang maju dan cemerlang.
Saudara-saudara yang dihormati sekalian,
- Kalau kita lihat umpamanya Rancangan Malaysia ke-12, projek pada tahun 2025, berapa banyak projek di Terengganu? 445 program dan projek di Terengganu. Peruntukan RM1.836 bilion, yang ini tambahan daripada tahun 2024, kita tambah RM239 juta. Yang ini saya umumkan projek yang sedang berjalan atau mula berjalan. Kadang lambat, soal tanah atau soal kajian, kesesuaian ada, tetapi ini yang diluluskan berapa? RM1.836 bilion. Jadi kalau ada orang ceramah di mana-mana kampung kata tidak ada, tolong jelaskan RM1.836 bilion.
- Tapi ini termasuk apa? sekarang ini orang Terengganu pun tidak mahu ketinggalan. Pergi kampung, dia tanya tidak clear Internet, amboi!!!. Kalau dulu dia tanya, jalan sikit ke apa sikit, sekarang ini tanya Internet. Maknanya anak-anak kita sudah meningkat keupayaan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang teknologi baru ini. Sebab itu, umpamanya di Hulu Terengganu dan Besut sahaja kita telah perluaskan liputan Internet yang melibatkan 15,000 isi rumah. Agihan air sedia ada, liputan air paip RM300 juta ringgit tambahan untuk tahun 2025 kerana di Terengganu masih ada masalah laluan air dan bekalan air bersih.
- Di Marang RM 78.16 juta, itu saya minta Menteri Besar Samsuri boleh jumpa Tuan Guru Ustaz Hj Hadi Awang tolong bagi tahu kita luluskan untuk Marang ini dan ini termasuk Kolej Matrikulasi. Kolej Matriklasi nak buat di Marang, yang baru. Kemudian, Kampus Politeknik Kuala Terengganu dan jambatan merentasi sungai Marang itu nampak ada masalah. Jadi oleh itu, Alex kata dia sudah kerahkan kepada KSU untuk menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang. Kena cepat, kita sudah umum di sini. Kadang-kadang tengok orang marah balik, itu belum buat. Jadi saya beritahu KSU, angkat tangan, haa KSU nampak? itu KSU. Kena angkat tangan. Yang ini kalau lambat tanya dia.
- Kemudian kita ada apa yang di maksudkan dengan Program Sejati MADANI, RM 30 juta. Permohonan Sejati MADANI maknanya begini, setiap kampung diberikan sekitar RM100,000 dan dia pilih sendiri nak buat apa. Kalau dahulu ini dari Negeri ke Jabatan Kerajaan Persekutuan, Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu, ini tidak payah, kampung sendiri mesyuarat panggil imam, panggil jawatankuasa masjid, panggil belia, panggil wanita, panggil PIBG mesyuarat apa yang perlu.
- Saya pergi satu Kampung di parit Buntar saya tengok tu beli 2 drone. Saya kata apa pula ini, kita bagi RM100,000 dia beli 2 drone, rupanya orang kampung sendiri dia beli 2 drone, dia sewa untuk racun, untuk baja dan sekarang setiap bulan untung bersih RM30,000, baru mula. Jadi maknanya jangan main-main kalau kita bagi keupayaan orang kampung dan dia urus dengan baik. Kadang-kadang projek itu lebih baik daripada projek-projek lain. Jadi saya ucap tahniah kepada Kampung-kampung yang menjalankan tugas dengan baik.
- Saya ucap tahniah kepada JKR. Jika selalu, kalau orang nak complaint paling mudah JKR. Sekolah lambat siap, JKR. Jambatan masalah JKR, bumbung bangunan rosak JKR. Parit pasar, JKR semua kena beban JKR. Jadi saya simpati juga kepada JKR, terutama kepada yang bekerja kuat. Jadi kita kena juga berterima kasih kerana apa yang kita lihat ini termasuklah projek ini, pasar ini dan beberapa projek kerana khidmat cemerlang keluarga di Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kerja Raya. Terima kasih.
- Kerana tanggungjawab dia banyak, untuk Terengganu JKR ini 441 projek dan tentulah kadang-kadang ada sedikit masalah kelewatan dan Menteri KSU memang tekankan dan saya dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri saya kurang sabar, kalau ada projek yang complaint lambat Dr Samsuri tulis surat, telefon, Datuk Seri pasal apa ini lambat bukan main, jadi saya pun kena bagi tahu Jemaah Menteri jangan lambat.
- Hari itu pasal tebing Kenyir runtuh, tebing Kenyir runtuh pun Menteri Besar bagi tahu Perdana Menteri juga. Jadi oleh kerana masalah itu betul tidak boleh tangguh, jadi kita kena luluskan segera RM200 juta. TNB sudah belanja RM600 juta, jadi hampir RM800 juta ringgit hanya nak perkuatkan tebing-tebing kerana bila runtuh melibatkan keselamatan tasik dan empangan, dan juga keselamatan perkampungan di sekitar Kenyir.
- Jambatan Sungai Terengganu 2 dan persimpangan bertingkat jalan Bayan Lepas Kuala Terengganu nilainya RM180 juta. Kemudian ada beberapa projek lain, inisiatif pengurangan risiko bencana dan kesejahteraan. Walaupun tidak banyak projek tebatan banjir besar tetapi banjir ini masih menjadi masalah. Saya bincang dengan Menteri Besar, masalah yang paling besar ialah hakisan pantai. Jadi kita sekarang kena cari apa teknologi baru dan cadangan sekarang untuk perkukuh dan mengelak daripada hakisan berterusan di pantai Terengganu itu terlalu tinggi nanti sampai berbilion-bilion ringgit. Jadi kita cari apa dia cara lain yang boleh kita segerakan untuk mengurangkan. Kalau tidak nanti Terengganu tinggal setengah sahaja, Terengganu Darul Iman yang dulu dengan sekarang tinggal setengah Terengganu. Jadi kita kena cari jalan selesai cepat.
- Bukanlah maksud saya saudara saudari untuk menjelaskan semua, tetapi memadai untuk saya minta keluarga, rakan-rakan semua bila datang tengok setiap Kementerian. Terutama anak-anak bagi dia pendedahan, pencerahan apa yang dilakukan, apa projek Kementerian Pendidikan, apa projek Kementerian Pendidikan Tinggi, Sumber Manusia, Kementerian Kewangan. Kemudian tentunya Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Desa dan Wilayah. Jadi bila kita tengok, kita tahu. Jadi bila kita dengar orang cakap kita tahu daripada maklumat dan fakta. Kerana sesetengah orang bercakap, dia kata kita tak buat apa-apa. Kita umum tetapi tidak buat apa-apa, kena tengok sendiri apa dilakukan. Sebab tu saya pagi ini saya bangga alhamdulillah, kerana lihat sendiri kemajuan dan belanja yang sudah mencecah bilion ringgit di Kenyir.
- Yang lain itu seperti mana kita tahu Terengganu ini juga selain daripada keropok, batik, songket, jadi ada yang disebut bawah PMKS perusahaan kecil mikro, kecil dan sederhana untuk menambah bantuan dan perhatian dan ini di bawah KUSKOP. Untuk Terengganu pembiayaan dan geran bagi PMKS 10,000 usahawan di Terengganu, berapa yang disalurkan? RM250 juta, sebab itu kita kena lihat sendiri di KUSKOP dan tengok program dia dan bagaimana kita boleh salurkan kalau ada pengusaha batik dan songket atau lain-lain di Negeri Terengganu ini.
- Jadi rakan-rakan, saya harap dalam program ini termasuk umpamanya jumlah miskin tegar, kalau ada lagi kena lapor, kerana kita hendak setiap tahun kita cuba selesaikan, kemudian tambah lagi tahun depan jadi kurang, tahun berikutnya akan lebih kurang, tetapi target kita setiap tahun biar ada rekod kemiskinan kita cuba selesaikan dengan kerjasama semua jentera Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk Majlis Agama Islam.
- Sistem E-kasih sehingga 15 Jun baki KIR miskin ialah 89,000 dengan penurunan Sebanyak 21%. Jadi ada kemajuannya walaupun kita kena usaha supaya perbaiki lagi.
- Pada hari ini saya nak perkenalkan satu lagi galakan. Sekali lagi tahniah Pengarah Pendidikan. Mana dia Pengarah Pendidikan Terengganu? Kalau ada pengetua-pengetua, guru besar, tadi saya lihat MRSM. Kerana saya pun tak tahu sebab apa, tetapi memang pencapaian keputusan peperiksaan Terengganu ini memang sangat cemerlang. Tahniah! Dan ini selain Menteri dan Kementerian, Pengetua, Guru Guru, Guru Besar, ibu bapa yang bagi galakkan. Saya syukur alhamdulillah dan minta mereka teruskan pada masa depan. Malaysia ini bergantung kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang semua bidang termasuk STEM, TVET, termasuk teknologi AI dan kita perlu tumpu ini. Sebab itu saya katakan Petronas dan TNB pun akan bantu selain daripada yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan.
- Oleh kerana saya hargai dan nampak Terengganu mencatat satu keputusan yang cemerlang dan saya turut bangga sebagai seorang bapa dan datuk, saya ingin umumkan khusus untuk Terengganu dulu sebagai permulaan. Sebagai bantuan kepada pelajar pelajar. Dan bantuan ini, dengan kerjasama bantuan pengajar daripada guru-guru sekolah. Berapa orang? berapa jumlahnya? Untuk hari ini di Terengganu, untuk anak-anak sekolah, saya luluskan RM5.27 juta. Berapa pelajarnya? 9,408 pelajar di seluruh Terengganu. Ini program pertama di Malaysia. Saya tidak pilih Pulau Pinang. Saya tidak pilih Perak. Saya pilih negeri Terengganu Darul Iman. Ini 9,408 pelajar dengan kerjasama bantuan pengajar daripada guru-guru sekolah seramai 614 guru. Selain daripada RM100, kita bagi kepada setiap guru. Tahun lalu kita bagi kepada pelajar RM100 untuk beli buku. Tahun ini, kita bagi kepada semua guru RM100, untuk beli buku dan baca, bukan beli buku dan pamer. Dan selain daripada itu, inilah bantuan tambahan.
- Oleh kerana projek ini terlalu awal, saya akan mulakan dan mungkin berikutnya nanti saya cuba sambung ke Kelantan pula. Orang Kelantan ada. Jadi Menteri dan KSU akan tolong selenggarakan.
- Akhirnya saya nak sebut apa saudara-saudara? Kita negara ini, kalau ada kerjasama tumpu hal-hal yang penting bagi negara kita akan selamat. Tapi kalau kita masih lagi berlegar dengan kempen-kempen negatif, dia tidak akan membantu. Umpamanya tuduhan kata kita tidak mahu tolong orang Melayu. Orang Melayu keadaan atau orang Islam tercabar sekarang. Ini program ini, semua ini, mengapa saya pilih Terengganu? Terengganu 90% lebih orang Melayu. Tapi bukan saya pilih kerana Melayu semata-mata. Tapi kerana negeri ini mencatat satu kemajuan dan kecemerlangan dalam bidang pendidikan seperti juga projek Kenyir.
- Dan saya harap. Kita boleh dengar, tapi kita nilai dengan baik. Dan jangan jadi isu-isu yang tidak menguntungkan kita atau tuduhan-tuduhan yang melampau yang tidak ada faedah. Kita makna terus bergaduh. Sebab apa kita boleh catat kemajuan? Semalam, kita tengok ASEAN. Mesyuarat ASEAN 10 negara, campur Timor Leste ,11. Tapi yang datang siapa? Jepun, Amerika Syarikat, Rusia, Turkiye. Apa kena-mengena dengan ASEAN? Tapi bila kita panggil, sambutan itu luar biasa. Dan bila saya pergi baru-baru ini untuk mesyuarat ASEAN ini yang nak datang siapa? ASEAN tetaplah, China, India, yang Asia, Australia, Jepun, Korea kita faham, tetapi yang akan datang pertama kali dalam Mesyuarat ASEAN tahun ini termasuk Afrika Selatan, Brazil, Itali akan datang kerana mereka lihat Malaysia ini negara yang aman, bersatu, ada potensi yang baik untuk mereka berdagang dan baik sikap kita. Jadi sebab itu, jangan kita sia-siakan tanggungjawab ini. Jaga betul betul negeri ini. Berkecai banyak negara, tengok Thailand, tengah aman elok-elok, bertempur. Sekarang dalam satu minggu, tiga (3) Perdana Menteri.
- Jadi sebab itu saya minta rakan-rakan, termasuk di Terengganu kekalkan hubungan baik, seperti mana ditunjukkan oleh Menteri besar dan Kerajaan Persekutuan. Dan dalam apa penerangan dan ceramah atau kempen, ada kawalannya kerana sebarang kecaman dan fitnah itu tidak akan memberikan faedah. Umpamanya sekarang ini yang riuh konon kita nak rosakkan Badan Kehakiman dan sebagainya. Saya tidak akan jawab di sini. Tetapi kerana Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong sendiri sudah buat kenyataan, jadi terpulang kepada rakyat memilih. Apa yang sepatutnya.
- Tapi kalau kita bicara umpamanya, mengapa Perdana Menteri asyik keluar? Bukan saudara-saudara. Saya umur sudah nak masuk 78 tahun bulan depan. Saudara ingat saya suka berjalan ke sini sana? ke luar negara? Saudara ingat tidak letih? Sampai dari Brazil 24 jam kapal terbang, tiga (3) kali orang pergi Mekah jauhnya. Sampai 2.00 pagi, sampai rumah 3.00 pagi, 9.00 pagi saya rasmi persidangan ASEAN, terus perjumpaan dengan pimpinan ASEAN. Pukul 2.00 petang tanya YB Alexander, Mesyuarat Menteri Kabinet.
- Bukan saya pilih, tetapi di Brazil itu Mesyuarat BRICS. BRICS ini negara-negara selatan yang tidak mahu tunduk kepada satu-satu kuasa besar. Yang nak buka dagang bersama kita. Brazil negara besar. Dia bagi ruang pelantar minyak yang terbesar kepada PETRONAS. Sebab apa? Sebab kita berkawan dengan dia. Siapa untung? PETRONAS. PETRONAS untung, siapa? Rakyat Malaysia. Dia bagi satu syarikat perkapalan di Peru, saya pergi tahun lalu. Dan di Brazil bina kapal untuk oil and gas yang besar. Harga kapal hampir RM1 bilion. Untuk siapa? Betul untuk syarikat. Untungnya mana? Untung dia bawa balik ke Malaysia. Pekerja siapa? Majoriti rakyat Malaysia. Jadi bukan kita pergi hanya untuk bersiar-siar. Kita macam umpamanya dalam mesyuarat, dalam perjumpaan, dan kita gunakan untuk menemui.
- Jadi, ini saya nak terangkan kerana saya tidak banyak masa lain untuk jawab. Saya hanya menjalankan kerja saya, tapi sesekali datang kerana jarang juga ke Terengganu, saya jawab sikit. Apa faedahnya? Jadi seolah-olah kita cakap semua tidak betul. Kita janji pelaburan ini yang bilion di Kenyir itu pelaburanlah itu. Dan sekarang ini Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS), Menteri Besar tahu. Maknanya carbon capture kita luluskan pelaburan bilion untuk bawa carbon. Itu pelaburan, saya sebut tadi Infineon, syarikat Jerman, pelaburan dia RM20 bilion. Dia umum, dah masuk dah, sudah mula ya, di mana? di Kulim Hi-Tech dan di Melaka. Nvidia, pelaburan RM6 bilion, di mana? Di Johor. Dah mula? Ya, sudah, kilang tu dah hampir siap.
- Tapi kalau kita dengar ceramah sahaja, di Kuala Berang ke Jerteh mana kita tahu siap di mana? Jadi sebab itu saya minta rakan-rakan supaya ambil pendekatan yang lebih terbuka. Yang baik, kita kata baik. Kalau nak tegur, boleh tegur. Oh Anwar, ini barang ini naik. Cuba cari jalan selesai masalah ini. Sekolah ini kurang ada kemudahan. Bomba ada masalah, kemudahan kelengkapan tidak cukup? Kemuka dengan baik supaya kita boleh runding dengan baik.
- Jadi saya harap terima pandangan saya ini secara terbuka. Saya bukan bermaksud untuk sindir dan singgung sesiapa. Saya harap rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri, pimpinan Persekutuan dan Negeri tumpu negara ini punyai potensi. Percayalah kita tengok banyak negara, Malaysia ini kalau bersatu, tumpu kerja dengan baik, hindar daripada perpecahan, negara ini boleh naik balik sebagai negara yang baik. Kita boleh tingkatkan Islamnya. Kita boleh tingkatkan Pendidikan Islamnya. Kita boleh jaga kerana MADANI ini bukan sahaja pembangunan, MADANI ini juga jaga soal akhlak dan nilai dan ketahanan Islam. Ini prinsip yang kita pegang dan saya percaya rakan-rakan boleh mengerti dan beri kerjasama yang sebaiknya.
Wabillahi taufik wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
