TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 NEGERI SEMBILAN
TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT 2025
NEGERI SEMBILAN
“DIGITAL MERENTASI GENERASI, MEMPERKASA KOMUNITI”
23 OGOS 2025 (SABTU) | 11.00 PAGI
DATARAN NILAI,
NILAI, NEGERI SEMBILAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi waasahbihi ajma’in.
Saudara saya, YAB Dato’ Seri Utama Hj Aminuddin Bin Harun,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Saudara YB Gobind Singh Deo,
Menteri Digital;
Saudara YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Bin Nordin,
Menteri Pertahanan;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Rakan-rakan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Rakan-rakan yang hadir;
1. Terima kasih, orang Nogori hebat sambutan hari ini. Saya tidak ikuti sangat adat Minang yang pandai berpantun, seperti mana Menteri Besar, tetapi saya nak mulakan dengan menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada Kerajaan Negeri Sembilan, dan terutamanya hos kita Kementerian Digital, YB Gobind Singh Deo dan seluruh jentera beliau.
2. Ini istimewa sedikit kerana kita tekankan apa? Kita cakap soal transformasi digital, artificial intelligence (AI), dan ini peluang kita beri pendedahan kepada rakyat. Apa beza AI di Malaysia dengan yang diterokai di negara-negara lain? Kita tidak mahu AI dan digital menyebabkan kesenjangan membengkak di antara golongan yang punyai pendedahan dan rakyat biasa. Kita tidak mahu umpamanya penguasaan digital dan AI ini menyebabkan kita kehilangan jati diri, nilai dan akhlak, keyakinan agama dan budaya kita. Jadi langkah-langkah mesti diambil.
3. Saya ucap tahniah kepada rakan-rakan kerana faham ini dan nak pastikan AI dan digital yang disebut transformasi digital itu akan menyebabkan juga peningkatan khidmat kepada rakyat. Produktiviti, ini yang saya popular sekarang tentang apa yang pernah disebut sebagai ‘productivity paradox’. Jangan kita belanja tinggi untuk AI dan digital, tetapi produktiviti tidak meningkat, khidmat kepada rakyat tidak bertambah.
4. Jadi ini isu-isu yang relevan yang kita harus bincang. Dan bila ada pendedahan oleh Kementerian Digital dan Jabatan-jabatan berkenaan, kita juga akan faham. Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara maju ke depan, kita mesti menguasai disiplin dan ilmu baru, kita tiada pilihan. Dan penguasaan teknologi baru, AI umpamanya, pertamanya bukan mudah, bukan murah, dan ada risikonya. Kerana kalau kita hanya ciplak, ambil sahaja apa yang dilontarkan oleh orang asing, Amerika, atau Eropah atau China, kita tidak akan dapat pertahankan akidah, akhlak, nilai, budaya kita.
5. Jadi sementara kita ambil, kita harus latih anak-anak kita faham apa dia digital, faham apa dia AI, dan kemudian mampu menghasilkan prakarsa yang sesuai dengan pemikiran kita. Kita boleh ambil dari semua negara, tapi kita pertahankan nilai dan budaya kita. Ini yang disebut latihan, talent baharu, penguasaan teknologi baru. Saya lihat barubaru ini, dulu kita perkenalkan Fakulti AI di UTM. Beberapa hari yang lalu saya lihat Fakulti AI dan Kejuruteraan di MMU dan UKM, UPM, UUM, USM semua dah mula. Bukan sahaja perkenalkan Fakulti AI, tetapi membicarakan hal-hal yang relevan dengan kita. Sebab ilmu ini, kita terima, kita telan, kita hadam, dan apa yang dimuntahkan keluar itu berdasarkan apa yang dimasukkan.
6. Sebab itu dalam AI, yang dimasukkan itu penting. Sebab saya katakan dalam pendidikan, apa yang kita tekankan? Ini termasuk digital AI, kita kata ini seolah-olah menggapai di langit. Ini baru ini, siapa dengar AI 20 tahun, 10 tahun yang lalu? Siapa dengar pasal digital transformation? Tidak ada dalam rancangan kita sebelum ini, dalam Belanjawan ke, Rancangan Malaysia, sebab ini perkara baru.
7. Jadi ini seolah-olah menggapai di langit katanya, ilmu baharu, pendedahan baharu, maklumat canggih yang mengagumkan, tetapi harus dikuasai. Ini kita kata menggapai di langit, tetapi kalau kita menggapai di langit, kita tidak jejak di muka bumi, kita akan hilang jati diri, hilang keperibadian, sahsiah kita. Ini yang disebut mengakar ke bumi. Jadi dua-dua ya, capai langit, menggapai di langit, mengakar di bumi. Dalam falsafah pendidikan kita itu yang kita tekankan.
8. Jadi tidak harus bimbang, tidak harus bimbang. Seperti dulu di mana komputer. Bila kita perkenalkan komputer, saya ingat lagi 80-an, ramai juga ulama beritahu saya ini bahaya kerana anak-anak akan terdedah dengan semua, apps yang bahaya, lucah dan sebagainya. Jadi sebab itu saya katakan, benteng pertahanan itu, yang disebut firewalls itu bukan sahaja di teknologi, firewalls itu mesti di rumah. Latihan, akhlak, nilai, itu penting kita asuh di rumah. Itu sebabnya kita katakan penguasaan teknologi baru mesti pertahankan nilai, budaya kita, keaslian kita, dengan keindahan.
9. Apa lagi di Negeri Sembilan ini. Kalau kita lihat di antara lain macam adat dan budaya Minang, itu punyai suatu, saya tak maksud lupakan maknanya Banjar ke, Jawa ke, Melayu ke, Orang Asli tak penting, atau Sikh, semua penting. Tapi saya nak bagi tahu keistimewaan Minang ini ialah kerana penguasaan bahasa di antara yang terbaik, pemahaman tentang seni dan budaya yang paling canggih, pemahaman tentang kemuafakatan dan gotong-royong itu menjadi tradisi budaya yang kuat.
10. Sebab itu kalau kita lihat, umpamanya perjuangan kebangsaan Indonesia sebelumnya, semua tokoh-tokoh besar bahasa, sastera, politik, kanan, kiri, nasionalis, semuanya, ataupun 90% dari rantau ranah Minang ini. Mohammad Yamin, tokoh Pendidikan, Hamka tokoh agama, Sutan Syahrir tokoh perjuangan yang agak kiri, Mohammad Hatta, tokoh pejuang nasionalis yang menjadi wakil presiden pertama, Mohamad Natsir tokoh Islam utama, itu semua dari Minang, termasuk yang komunis, Tan Malaka juga Minang. Jadi, budaya ini kalau kita kembangkan dia akan pertahankan.
11. Jadi di Nogori hari ini istimewa sedikit kerana kita bicara teknologi baru, tapi kita terikat dengan budaya gagah perkasa, budaya agung yang ada di Negeri Sembilan ini. Saya ucap tahniah kepada Menteri Besar Amirudin.
12. Baik, tujuan adakan MADANI Rakyat ini apa? Tujuannya ialah untuk mendedahkan kepada rakyat apa yang kita lakukan. Datang lihat sendiri, bukan janji, lihat pelaksanaannya kerana kita berdepan dengan sesetengah pandangan dari kalangan politik terutamanya yang agak sinis. Semua tak betul, semua dikecam, dia kata kita janji apa pun tak buat. Saya tak tahu, mungkin matanya rabun.
13. Jadi yang penting, rakyat dan gaji pekerja. Inilah Kerajaan MADANI pertama yang naikkan cara mendadak tahun ini dan tahun depan, naik gaji penjawat awam. Inilah Kerajaan MADANI pertama yang berani naikkan gaji minima dari RM1,200 sehingga RM1,700. Inilah Kerajaan MADANI pertama yang menetapkan semua agensi Kerajaan, syarikat-syarikat Kerajaan, GLICs, bank, PETRONAS, Khazanah semua mesti beri gaji minimum bagi pekerja yang bekerja dengan syarikat Kerajaan, minima RM3,100 sebulan. Tapi kalau mereka tanya, tak ada buat apa-apa. Ini juga Kerajaan MADANI pertama yang turunkan harga minyak kepada RM1.99. Jadi dia kata, “Anwar turun”, jadi hari ini saya turun ke Nilai. Baik, dan banyak lagi yang itu sebagaimana yang tertera.
14. Sebab itu kita adakan MADANI Rakyat. Lihat sendiri tengok kalau hari ini Kementerian Digital apa yang dilakukan. Tan Sri KSN ada, bagaimana tentang penjawat awam, perubahan-perubahan yang diperkenalkan. Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasa dia kepada Parlimen, di antaranya Akta Tanggungjawab Fiskal. Maknanya kalau Menteri Kewangan itu umum dasar, unjuran pertumbuhan, turunkan kadar hutang dan parlimen lulus, parlimen luluskan kemudian tak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan kedua bentang semula kepada Parlimen. Ini nak jaga supaya dasar Kerajaan itu penuh bertanggungjawab. Ini telah kita luluskan, kita sudah bentangkan minggu ini apa yang disebut Akta Perolehan Kerajaan. Ini Kerajaan dulu tak berani buat sebab apa? Semua perolehan Kerajaan, Persekutuan, negeri, PBT mesti ikut tatacara yang jelas, mesti ikut tender melainkan soal keselamatan, ya Dato’ Khalid.
15. Kalau betul lah nak beli radar untuk keselamatan mesti ada kerahsiaan, itu kita kecualikan. Tapi yang lain mesti ikut proses tender. Dan kalau ada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri ada kepentingan anaknya atau isterinya dalam syarikat itu dan dia bertindak dipengaruhi oleh keputusan, pengaruhi keputusan, maka dia boleh didakwa, dianggap satu kesalahan jelas dalam peraturan itu. Jadi baik menteri atau pegawai atau jawatankuasa teknikal, semuanya akan dipertanggungjawabkan. Itu cara kita jalankan, laksanakan apa yang kita katakan, iaitu memastikan jangan ada lagi amalan sakau, menyeleweng, memperkayakan tokoh-tokoh dan memiskinkan negara.
16. Ini kalau disetujui nanti di Parlimen mungkin sidang ini, dan kita sedang bincang dengan ahli-ahli Parlimen. Ini suatu hal yang saya ingat hanya Kerajaan yang kukuh dan berani sahaja yang sanggup menyerahkan kuasa ini untuk dianggap sebagai satu pertanggungjawaban.
17. Baik, tetapi kita mesti hadapi masalah-masalah. Terutama kos sara hidup, tadi disebut tentang tarif. Kita hantar Menteri-menteri kita, Tengku Zafrul, Amir Hamzah, TEKS UCAPAN VERBATIM – OGOS 2025 10 pegawai-pegawai MITI, Kementerian Kewangan berbincang dengan pasukan di Amerika Syarikat, kerana kalau dinaikkan tarif, ada kesan kepada negara kita. Jadi bulan lalu bila Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat telefon saya beritahu dan tentunya dia ucap pertamanya tahniah sebab kejayaan Malaysia. Bukan kejayaan Anwar, kejayaan Malaysia, rakan-rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri yang berunding sehingga berjaya kita selesaikan peperangan di antara Thailand dan Cambodia. Itu nama baik Malaysia, saya ucap tahniah kepada rakyat semua.
18. Jadi bila Presiden Donald Trump ucap tahniah, dia jawab dia nak datang bulan Oktober ini. Saya tak pasti bila, tapi dia sudah beri pengakuan. Kemudian kita berjaya turunkan tarif daripada 25% ke 19%. Maknanya kita harus bekerja lebih, produktiviti kita harus lebih, badan-badan Kerajaan, syarikat-syarikat tempatan harus tumpu dalam negara dan tumpu pasaran baru. Sebab itu kita ke negara China, ke Australia, ke Brazil, ke Afrika buka pasaran baru. Kita tak boleh bergantung sahaja semata-mata kepada Amerika Syarikat. Sekarang ini E&E, semikonduktor eksport satu tahun ke Amerika Syarikat itu RM200 bilion. Jadi kita kena buka pasaran Eropah, India, China, Afrika, Latin Amerika ini sebabnya mengapa kita harus jalin hubungan yang lebih baik.
19. Jadi saya minta saudara-saudara supaya gunakan peluang ini, hadam baik-baik dan tahu bahawa kalau Kerajaan lakukan ini dan tak difahami oleh rakyat, kita akan ada masalah. Kerana orang-orang yang hasad dan dengki, ramai. Ada yang saya masih dengar di Parlimen, “Kerajaan ini dah hampir 3 tahun, apa pun belum buat!”, ada yang kata begitu, dan disampaikan di kampung-kampung. Dan sebahagian orang kita mudah percaya dan sebab itulah saya minta KSN bagi perhatian supaya Program-program MADANI Rakyat ini mendedahkan. Bila pergi ke booth, minta pegawai-pegawai tolong terangkan. Jangan hanya dia lihat-lihat, tolong terangkan. Bukan propaganda, terangkan apa yang kita buat, yang kita lakukan. Kemudian biar rakyat nilai. Bukan rakyat Nilai, rakyat menilai. Rakyat Nilai menilai (nada seloroh). Jadi saya harap kita manfaatkan program ini.
20. Baik, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, ada berita baik bagi Negeri Sembilan, kerana ada masalah yang berpanjangan, bertahun-tahun di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pampasan untuk tanah di Gemas. Sudah puluh tahun dah. Puluhan tahun dah saudara, Menteri Besar Amin tak dapat beres. Tetapi Kerajaan MADANI semalam putuskan mesti selesai dan mana patut bayar, bayar balik kepada Negeri Sembilan. Cuma saya beritahu Negeri Sembilan lah, banyak Kerajaan Persekutuan bagi, potong lah sikit (nada seloroh).
21. Ini saya ucap terima kasih kerana Negeri Sembilan dipimpin oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin yang telah merangka program-program, baik pembangunan macam Malaysia Vision Valley. Kalau kita tengok Airbus atau Boeing, sayapnya itu dibuat di Negeri Sembilan di antaranya. Kemudian sekarang program pelancongan di Port Dickson. Jadi pimpinan negeri yang mempunyai wawasan dan bekerja kuat untuk rakyat. Sebab itu saya datang untuk beri sokongan kuat kepada saudara Aminuddin. Walaupun kadang-kadang dia garang juga.
22. Jadi saya tidak akan tekankan tentang projek-projek yang diluluskan di Negeri Sembilan. Saudara sedia maklum dan kita ada paparan di sana cuma saya nak datang di antara lain menyatakan penghargaan saya. Pertama kepada saudara Gobind Singh Deo, Kementerian Digital. Ini pertama kali dalam sejarah kita lahirkan kementerian baru namanya Kementerian Digital. Dan kementerian ini berbeza dari kementerian-kementerian lain, dia merentas semua kementerian. Maknanya kalau mana-mana kementerian atau jabatan nak ada perolehan dasar digital yang canggih yang baru, mesti diselaraskan oleh satu kementerian iaitu di Jabatan Digital Negara di Kementerian Digital.
23. Jadi kita hendak Malaysia ini di antara negara membangun yang utama, yang ke depan dari segi transformasi digital. Tetapi saya realitikan peringkat awal perbicaraan saya tadi, ia berbeza daripada yang lain. Ilmunya ya betul canggih, teknologinya, ya baru, tetapi dia tidak mengizinkan digital divide. Kesenjangan yang membengkak di antara yang kaya, miskin, bandar, desa.
24. Kemudian mesti hasilkan produktiviti dan akhirnya pertahankan nilai kita. Kita ini orang beragama, orang berakhlak, orang yang pertahankan nilai, orang yang bangga dengan budaya dia. Jangan teknologi baru itu menenggelam dan memadamkan ini semua. Sebab itu anak-anak kita dilatih dengan pendedahan yang boleh mempertahankan nilai-nilai ini.
Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
