TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 KELANTAN DARUL NAIM

9 Ogos 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM MADANI RAKYAT 2025

KELANTAN DARUL NAIM

 

9 OGOS 2025 (SABTU) | 2.15 PETANG

PERKAMPUNGAN STADIUM SULTAN MUHAMMAD KE-IV, KOTA BHARU, KELANTAN

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi Rabbil-Alamin

Nahmahduhu

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Menteri Besar, Datuk Ustaz Mohd Nasharuddin,

dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan;

 

Saudara Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

yang membantu menyelenggarakan majlis pada hari ini ikut giliran Kementerian;

 

Dari Jemaah Menteri;

 

Saudara Saifuddin Nasution;

 

KSN, Tan Seri Shamsul Azri;

 

Dato’ SUK; dan seluruh jentera Kerajaan Negeri Kelantan.

  1. Terima kasih kepada Datuk SUK yang telah memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan program hari ini. Saya ucap terima kasih kepada Datuk Menteri Besar kerana memberi kerjasama dalam mempercepat beberapa projek pelaksanaan program pembangunan di negeri Kelantan.

 

  1. Dan kalau benar kita nak memenuhi hasrat negara Persekutuan, dan konsep Persekutuan, maka kedua-dua pihak harus menjalin kerjasama dan ini yang cuba kita lakukan. Sebab itu dalam menentukan urutan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang saya umumkan baru-baru ini di Parlimen, kita ambil kira libat urus yang dibuat dengan negeri secara langsung.

 

  1. Sebelum ini, seperti mana saudara-saudara sedia maklum, memang ada, tapi kebanyakannya di peringkat pegawai atau masing-masing kementerian. Tetapi dalam dua tahun yang lalu ini kita telah permudahkan. Maknanya setiap kali kita kunjung ke negeri, ada satu sesi khas dan sesi itu memberikan ruang kepada pimpinan negeri memberi input selain daripada pemantauan projek-projek yang sedang berjalan.

 

 

  1. Kadang-kadang projek kita umumkan jumlahnya besar, tapi pelaksanaannya terbantut. Ini berlaku di banyak tempat dan sebab itu rundingan ini kita teruskan dengan maksud pelaksanaan lebih berkesan. Yang kedua, yang juga penting ialah beberapa senarai baru dan dikemukakan. Maknanya, Ketua Menteri Besar dia siap dah. Maknanya baru kita umum projek baru, dah tak sampai seminggu dia minta projek baru lagi.

 

  1. Tapi oleh kerana memikirkan ada beberapa keutamaan, kita kaji, tentulah mengambil masa. Kalau program itu mendesak, selalunya apa dia? Tebatan banjir, bekalan air, bekalan tenaga, pembasmian kemiskinan tegar, itu hal-hal yang kita beri keutamaan. Kalau masuk dalam kerangka itu, saya percaya sebelum belanjawan, sekarang ini kita dah mula dialog belanjawan, libat urus belanjawan negara yang tentunya mengambil kira pelaksanaan RMK-13. Jadi bila kita bincang yang mana yang boleh kita tambah dan utamakan kita boleh. Kalau macam Menteri Besar dan Kerajaan Negeri beri kerjasama begini, kita pun tak sampai hati kalau nak tangguh-tangguh.

 

  1. Saudara-saudari, seperti mana yang saya tegaskan, program ini program yang menyantuni rakyat. Rakyat tahu apa yang dilaksanakan. Selalunya kita umum di peringkat Putrajaya atau Kota Bharu, tapi di sini kita minta rakyat sendiri menilai. Dua hari sudah, bila saya ada libat urus dengan syarikat-syarikat, persatuan-persatuan, 300 syarikat, kita minta yang hadir itu mewakili 300 persatuan peniaga, nelayan, pekebun kecil, kampung, semua bagi pandangan mereka. Jadi beberapa soalan yang dikemukakan dan minta mereka jawab.

 

  1. Satu, umpamanya apa dia masalah paling besar? Tentunya mereka jawab, di antaranya ialah kos sara hidup. Kadang-kadang harga barang. Apa yang keutamaan? Pendidikan. Ada yang dianggap yang utama, yang lain ini mungkin teknologi baru, kita percaya soal energy, tenaga digital. Ada yang dibangkitkan juga soal keselamatan, dadah, ataupun beberapa masalah penderaan dan sebagainya. Jadi bila kita lihat itu, ia membantu kita dalam merangka program.

 

  1. Program hari ini dan beberapa hari yang lalu, sejak 7 haribulan, dengan maksud yang sama. Rakyat lihat apa yang dilakukan, apa yang dilaksanakan dan dia beri pandangan, dan kita cuba baiki. Seperti mana saya sebut pagi tadi dalam perjumpaan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), saya beri penekanan yang sama, bahawa kita tidak mewakili pimpinan yang merasakan semuanya sudah sempurna. Tapi kita lakukan yang sebaiknya ‘in uridu illal islaha mastata’tu’, sedaya upaya kita. Sebab itu kalau kita tengok Rancangan Malaysia Ketiga Belas, ada tiga tonggaknya. Negara mesti aman, maka PDRM, Pertahanan boleh mainkan peranan.

 

  1. Bila negara aman, baru boleh politiknya itu ditekankan supaya lebih stabil. Kadang-kadang negara aman, tapi macam pengalaman di Thailand baru-baru ini, Perdana Menteri bertukar pergi balik. Tiga Perdana Menteri dalam seminggu, naik turun, naik turun. Sebab itu saya tak fikir kita harus turun mudah-mudah. Saya hanya hari ini ambil keputusan untuk turun ke Kelantan.

 

  1. Tapi jangan pandang ringan, tidak ada negara yang boleh pacu pertumbuhan ekonomi kalau kerajaannya tidak stabil. Kalau tiada kerjasama, baik politik, baik negeri di antara satu sama lain itu hukum pertama dalam dunia politik. Bila stabil, baru kita tumpu soal ekonomi. Sebab itu, rancangan ekonomi kita penting. Pegawai-pegawai, penjawat awam, terutamanya sama ada peringkat Persekutuan, negeri atau perbandaran, mesti tahu bila kita sebut mengapa ada berkeperluan ubah transisi tenaga. Daripda tenaga lama kepada tenaga baharu, apa dia tenaga baru?, apa keupayaan Kelantan? apa peranan Sarawak? itu kena tahu sikit-sikit, kena hadam.

 

  1. Kalau kita bicara soal teknologi baharu, mengapa kita tekankan AI (artificial intelligence) itu sampai ke pondok. Semalam saya ke Pondok YIK bersama Menteri Besar, Syeikh Wazir. Ada STEM, ada SPM, tapi kita katakan mampukah kita melawan serangan yang bertubi-tubi, saingan yang lebih sengit, kalau tidak kita menguasai teknologi-teknologi baharu.

 

  1. Munasabahkan kita menyerahkan teknologi baharu ini kepada satu kelompok dan tinggalkan kelompok tradisional di kampung atau di pondok? Ini hal-hal yang kita minta direnungkan, dan kita minta tuan-tuan guru pondok bagi pandangan.

 

  1. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya sekarang dia tak ada rasa tertekan. Saya tidak hadir untuk minta mereka ubah kurikulum. Saya tidak hadir untuk meninggalkan turath, atau kitab-kitab lama. Saya hadir untuk menyatakan teruskan apa yang tuan guru fikir molek, tetapi saya nak cadangkan mesti ada tambahan. Penguasaan bahasa-bahasa, sekarang bahasa Melayu, bahasa Arab, apakah ada keperluan bahasa Inggeris? Tapi tentunya ada keperluan artificial intelligence, komputer, digitalization, kalau tidak, tertinggal. Bukan sahaja mereka tertinggal, tapi negara akan kehilangan nilai dan jati diri kita.

 

  1. Kita ambil saja AI dari luar, kemudian kita tak semena-mena merasakan bahawa jawapan itu lari daripada keyakinan akidah, akhlak kita, nilai kita, dan lari daripada budaya kita. Siapa yang mampu memasukkan yang ada kemahiran dan kepakaran? Anak-anak kita. Bagaimana anak-anak kita boleh tingkatkan? Dengan cara memberikan pendedahan yang secukupnya. Inilah cara kita katakan, dasar itu harus jelas, ekonominya. Kemudian serah pada KSN, SUK. pelaksanaannya juga harus cekap, cepat, dan melaksanakan dengan segera.

 

  1. Itu untuk apa? Bila ekonomi meningkat, barulah boleh kita naikkan apa dikatakan siling, siling bumbung. Kalau ekonomi kita lima tahun yang lalu macam ini, lima tahun akan datang sama, negara tidak akan maju. Naikkan siling maknanya, kegigihan dan kekuatan ekonomi ini, dengan sendiri meningkat. Pelaburan lebih banyak, keuntungan, lebih banyak, syarikat lebih banyak jurutera lebih ramai, pendidik, universiti. Ini dikatakan naik siling hasil negara lebih.

 

  1. Baik kalau negara kaya. Seperti mana banyak negara. Negara kaya, rakyat miskin. Negara kaya memperkayakan segelintir pemimpin-pemimpin dan syarikat, rakyat masih kekal tahap lama. Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas, naik siling negara mesti kaya, naik lantai, rakyat itu sendiri sebagai lantai mesti dia naikkan. Itu yang saya sebut gaji minima. Dulu berapa? RM1,200. Bila kerajaan MADANI ambil alih, naik RM1,500, kemudian tahun lalu naik lagi, tahun ini naik lagi RM1,700. Cukup tak cukup gaji minima? Tapi inilah permulaan, kita buat cara bertahap.

 

  1. Syarikat-syarikat Kerajaan, Petronas, Telekom, Tenaga, bank-bank yang dimiliki oleh PNB, Yayasan Pelaburan Bumiputera ataupun Khazanah, atau Tabung Haji semuanya diminta awal lagi, tahun lalu, saya kata mesti naik-naik. Jangan hanya bangga dengan keuntungan besar, tapi rakyat kekal di tahap lama.

 

  1. Jadi, alhamdulillah, syarikat-syarikat Kerajaan, ratusan ribu pekerja itu naik minima RM3,100 dan kalau campur dengan RM1,700 Kerajaan, supaya syarikat-syarikat swasta pun naik, dia bukanlah susah sangat.

 

  1. Kalau syarikat swasta itu buka restoran, gerai kecil, kita faham. Tapi kalau syarikat itu untung RM400 juta setahun, ada yang untung RM800 juta ringgit, gaji pekerja masih lagi RM1,500, RM1,600 kita tak boleh terima. Ini harus jadi penekanan kita. Ini baru dikatakan naik lantai. Sebab itulah mulai tahun ini kita naik gaji penjawat awam.

 

  1. Memang ada juga di Parlimen yang kritik. Ada yang kata, mantan Perdana Menteri kata, “duit tak dak macam mana nak naik gaji, bohong”. Ada yang ikut pun, “ya, Perdana Menteri bohong”. Sekarang naik gaji, kamu nak kata apa? Dia tak minta maaf, patutnya minta maaflah kat saya, kamu kata tak naik, kita naikkan, dalam 12 tahun kenaikan tertinggi dalam sejarah untuk penjawat awam. Tahun ini penambahan peruntukan, tambah-tambah RM10 bilion ringgit. Tahun depan mungkin sampai mencecah RM18 bilion ringgit. Sebab? Dia kerja dengan Kerajaan, 12 tahun tidak diberi pertimbangan. Kos pendidikan, kos kesihatan, kos sara hidup meningkat. Jadi saya fikir kita harus berlaku adil kepada mereka. Ini yang dikatakan naik lantai.

 

  1. Kemudian bagaimana nelayan, petani, pekebun kecil getah? Semua ini dalam dua tahun yang lalu, kita naikkan. Sebab itu kadang-kadang saya aneh juga, bila dengan dekat apa-apa acara ceramah, tidak ada buat apa, tidak ada naik apa, rakyat seksa, tengoklah dulu.

 

  1. Jadi program seperti Program MADANI Rakyat ini, kesempatan kita dapat maklumat. Tidak setuju tidak mengapa, nak kritik boleh, tetapi terima kenyataan bahawa ada perubahan. Belum cukup, saya setuju. Saya pun setuju belum cukup. Tanya YB Tuan Chang Lih Kang ada, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution ada dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Selalu kita gesa, kena buat itu, cepat selesaikan ini, semuanya ditekan supaya perbaiki. Cuma, janganlah kita nafikan.

 

  1. Harga getah naik, harga padi naik, itu pun tidak cukup. Sebab itu saya dengan Menteri Besar tengok beberapa projek, selagi produktiviti tidak bertambah, sukar kita nak bela nasib pesawah padi. Sebab itu benihnya, bajanya, kaedahnya, teknologinya semua harus difikirkan. Ini baru dikatakan naik lantai.

 

  1. Baik kalau naik siling, naik lantai apa yang menjadi pegangan kita? Terutama di kalangan pemimpin politik dan juga penjawat awam? Tatakelola, tidak boleh ambil saham, ambil kontrak, ambil dana bagi ratus-ratus juta kepada parti, tidak boleh! Kalau buat begitu, rakyat tidak akan dapat diberi pembelaan, kalau perangai pimpinan itu terus dengan amalan lama. Jadi Menteri, jadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri mesti kaya. Ini yang jadi rosak negara kita ini. Ada sejarah yang gelap di kalangan kita. Kadang-kadang pergi luar negara, mula-mula dulu orang kata, bila sebut je Malaysia dia tengok kita, ini 1MDB. Saya kata masalahnya banyak yang lain, ada yang kita usahakan.

 

  1. Sebab itu saya keras soal tatakelola. Ini tonggak ketiga yang merentas 212 iaitu tatakelola. Seperti semalam saya sebut, umpamanya orang bercakap pasal Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Orang lupa bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz itu orang warak, betul. Baca Al-Quran tiap malam menangis, betul. Tetapi beliau juga urus zakat dengan memberi contoh terbaik dan tatakelolanya baik, hidupnya sederhana. Ini semua faktor-faktor yang boleh mengangkat martabat rakyat.

 

  1. Jadi mudah-mudahan dengan Program MADANI Rakyat ini kita dapat dekati masalah dengan rakyat, Kerajaan dengan rakyat, dan mengangkat apa-apa program yang penting yang harus diberi perhatian.

 

  1. Hari ini yang kelolakan adalah MOSTI. Jadi karang YB Tuan Chang Lih Kang dan Ketua Setiausaha (KSU) kata apa ni PM tidak ada announce apa-apa pun. Ini ada beberapa program yang agak baik. Kita ada saintis besar-besar dari universiti, dari agensi, dari syarikat, dari pusat penyelidikan. Jadi apa yang dibuat oleh Menteri dan kementerian? Pilih 100 orang, dan dia kena pergi ke sekolah-sekolah, beri semangat anak-anak, apa yang harus dipelajari untuk menjadi saintis atau berminat dalam soalan matematik dan sains yang menjadi saintis.

 

  1. 130 pelajar dari 11 sekolah di Kelantan telah mengikuti program oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan. Wah hebat! Bayangkan saya semalam ke pondok, hari ini kita umumkan pula Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), latih anak-anak kita pula. Ha ini baru nak jadi lengkap. Kalau nak jamin kemajuan and then, AI untuk belia, kursus AI untuk belia. Ini contoh-contoh yang kita cuba lakukan, laksanakan untuk meningkatkan kesedaran.

 

 

  1. Apakah ini cukup? Saya selalu sebut, ini belum cukup, dan kita perlu kerjasama Kerajaan Negeri, Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan kerana MOSTI tidak boleh masuk sekolah tanpa kerjasama Jabatan Pendidikan Malaysia. Jadi sebab itulah penyelarasan kerjasama ini bagus, ditingkatkan.

 

  1. Tadi saya tengok plot padi Melor dengan Menteri Besar dan alhamdulillah, satu yang membanggakan kita. Apa lagi kita fikirkan? Saudara, kita ada syarikat-syarikat besar, syarikat Malaysia ini gergasi, ada yang melabur puluh bilion dolar Amerika, ratus bilion ringgit di luar negara. Jadi saya kata pilihlah kampung. Jadi, pegawai-pegawai kanan, Menteri-menteri, syarikat-syarikat utama pilih Kampung Angkat.

 

  1. Kemudian baru-baru ni saya panggil syarikat-syarikat, kamu ada Maybank di Gua Musang. Satu lagi ada syarikat, saya tidak tahulah, banyak-banyak syarikat, dengan Proton di Pekan, okey. Ambillah sekolah jadi Sekolah Angkat. Jadi tiap syarikat diminta ambil beberapa sekolah sebagai sekolah angkat. Saya sasarkan 300 sekolah, tetapi syarikat-syarikat swasta ini kalau kita bagi gesaan kepada mereka, 1,000 sekolah dia ambil sebagai sekolah angkat termasuk di Kelantan ini.

 

  1. Masalah yang kita hadapi ialah soal kos sara hidup. Walaupun orang kata semua naik, ada baru ini saya dengar ucapan, dia kata ayam, telur. Ayam, telur ini naik tahun 2021, sekarang tak naik. Dia pakai hentam sahaja dan yang dengar itupun tepuk, setengahnya ‘Allahuakbar’. Saya kata macam mana yang tepuk tangan benda tidak betul, yang ‘Allahuakbar’ sambut benda tidak betul. Jadi sebab itu fakta itu penting.

 

  1. Saya minta saudara tengok kalau perlu umpamanya baru ini, kita kan RM1 bilion ringgit setahun, kita bagi 1.2 bilion untuk tampung pengapungan harga ayam. Kemudian saya kata, macam nak bagi 1.2 bilion? Ayam banyak, lebih jual lagi dekat Singapura, eksport lagi ke Hong Kong. Jadi kita kena tarik balik subsidi itu. Haa marah, maka PMX ini zalim kerana tarik subsidi. Ini, kita tarik subsidi 1.2 bilion, harga ayam kekal ataupun lebih rendah? Harga ayam hari ini banding dengan harga ayam 2021? Harga ayam sekarang ini lebih rendah. Yalah kalau boleh kita bagi free lah baru orang tak jadi masalah. Tetapi ini pendekatan yang kita buat, jadi saya harap ini fahamlah.

 

  1. Ada yang benda import, ada orang marah saya, dia kata barang buah-buahan import, pasal apa nak kena cukai? Haa orang Kelantan ramai sini import daripada sempadan ini. Saya kata, ini cara saya nak pastikan orang beli buah tempatan. Kalau tidak selamanya kita duk seludup daripada Sungai Golok ini dan belah Kelantan, belah-belah Kedah, Perlis sama juga atau belah, ha nanti dia kata orang lain marah ke Kelantan sahaja, tidak. Tetapi apabila dibangkitkan limau dengan epal, biarlah kerana banyak orang makan murah, okay kita bagi pengecualian. Tetapi kalau kita tidak faham, kita terbawa-bawa, jadi bangkit marah sahaja. Jadi kita buat, kita kena buat perubahan.

 

  1. Negara ini kena maju. Pertanian mesti tingkatkan hasil, kena tambah. Kita import RM52 bilion ringgit satu tahun hasil pertanian sebab itu kita tumpu padi, jangan import dah kalau boleh. Nenas sekarang dah baik, kita dah eksport. Dulu avocado mereka mainkan dengan saya, dia kata pasal apa sebut avokado, avokado di Sabah. Oh, ini YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi pun ada, tak nampak tadi, ada Menteri KKR. Avocado di Sabah. Itu kualiti dia lebih baik daripada avokado di import. Jadi ini hal-hal yang kita kena beri perhatian.

 

  1. Sebab itu Kelantan saya bincang selalu dengan Menteri Besar, apa lagi tumpuan kita. Dulu ekonomi, selain daripada pertanian, apa yang boleh bagi tarikan lagi, ya. Terengganu apa dia? Pahang? Selangor memang dah maju sikit, kita serah kepada negeri sahaja, tidak payah kita tumpu banyak melainkan infrastruktur asas. Pulau Pinang tanah sampai penuh dah, pasal hi-tech. Kulim Hi-Tech pun sudah hampir lengkap. Sekarang tumpu ke Johor, kerjasama Johor-Singapura, dan Sarawak sekarang melonjak sebagai pusat gas, tenaga rantau ini, yang membanggakan. Mana-mana saya pergi, baru ini, syarikat ACWA Power, besar, energy, gas, minyak dan tenaga transisi, peralihan yang di antara terbesar di dunia. ACWA Power namanya, dan mereka hendak melabur RM42 bilion ringgit lebih.

 

  1. Terengganu kita anjur, esok atur, lepas tu atur jumpa Menteri Besar Terengganu. Kemudian semalam beliau berlepas ke Sarawak. Itu kerja kita. Mana negeri yang boleh kita beri tumpuan, kita beri tumpuan. Ini bezalah orang dengar, tidak ada perhatian, zalim, empat negeri dianak-tirikan. Sebab itu saya kena jawab, saya tidak jawab tidak adil lah. Ini kita jawab macam ini. Hari Isnin, sidang Parlimen ulang lagi, negeri-negeri dizalimi, Allah doa pula yang ini kerana zalim. Zalim pasal apa? dia kata kita tidak beri peruntukan.

 

  1. Sebab itu terima kasihlah YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin, dia salah seorang Menteri Besar, orang terimalah, adalah terima kasih kita buat. Tidak cukup, dia minta lagi, saya ucap terima kasih. Yang lain yang disebut oleh Menteri Besar, projek-projek yang berimpak tinggi, sebahagiannya telah diumumkan. Dan kita tumpukan juga pembangunan sekitar Rantau Panjang. Mudah-mudahan cepat pelaksanaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok. Kemudian yang lain itu jalan. Saya tidak berhajat untuk sebut semua, ada termasuk ini, Kompleks Sukan Bukit Merbau, Arena Tertutup dan Pusat Akuatik Kota Bharu semua tu dalam rancangan kita.

 

  1. Tetapi memadailah untuk kali ini saya ucapkan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri YB Tuan Chang Lih Kang dan MOSTI, dan Kerajaan Negeri dan semua kementerian yang memberikan kerjasama untuk menjayakan Program MADANI Rakyat di Kelantan Darul Naim.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

Share: