TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERTANDINGAN AKHIR BAHAS PIALA PERDANA MENTERI KE-50 TAHUN 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERTANDINGAN AKHIR
BAHAS PIALA PERDANA MENTERI KE-50
TAHUN 2025
26 JULAI 2025 (SABTU) | 10.00 PAGI
DEWAN PLENARI,
PICC PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek;
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir;
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Yang Berbahagia Dato’ Ts Dr Haji Aminuddin bin Hassim;
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berusaha Dr. Mohd Azam bin Ahmad;
Para tenaga pengajar; dan
Anak-anak yang saya kasihi sekalian.
- Saya hadir untuk mendengar, menilai dan juga belajar. Dan saya, seperti mana disebut oleh YB Puan Fadhlina, bangga sekali dengan tahap perdebatan dicapai. Saya renung sebentar, apakah salahnya kalau Ahli-ahli Parlimen belajar daripada ini.
- Pertama, untuk berbahas, kita kena menguasai ilmu, menghadam dan kemudian mengolah dan melakar, seterusnya menyampaikan. Dan saya lihat, dalam soal kecerdasan buatan (AI), satu subjek yang disebut sebagai teknologi baharu itu ilmu disiplin yang baharu, yang mencabar, yang memerlukan persiapan. Dan anak-anak dari tingkatan tiga, empat dan lima sudah menunjukkan contoh dan tahap perbahasan yang hebat, saya salute.
- Perdebatan ini atau perbahasan bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi keupayaan untuk menguasai, menelaah dan menguasai, menghadam dan melontarkan. Sebab itu saya rasa atas faktor itu yang pertama, yang harus dipelajari oleh bapa-bapa kita di Dewan Rakyat yang sekarang sedang bersidang. Yang kedua, yang terkait adalah perbicaraan dengan mempertahankan bahasa dan budaya yang sopan. Tegas tetapi sopan. Tidak menghina, tidak mencaci. Ini yang disebut adab dan akhlak. Dan ini ditunjukkan oleh anak-anak pembahas tadi yang harus dipelajari oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia.
- Maknanya kita boleh berbeza pendapat dan boleh keras dalam perbezaan pendapat, dalam berbeda pendapat, dan boleh tegas dalam menyampaikan hujah, melontarkan idea tetapi tidak semestinya cara menghina, mengaibkan, mencaci dan memaki hamun. Apa lagi kalau guna lambang dan label Islam untuk pertahankan.
- Jadi itu saya harap, oleh kerana siaran ini siaran langsung, mungkin Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) boleh ulang sedikit beberapa aspek perdebatan. Dan saya minta supaya pengacara akan sebut khusus untuk bapa-bapa dan ibu-ibu, ahli-ahli Parlimen yang bersidang sekarang.
- Sebab itu di antara karya besar yang telah saya usulkan untuk disebarkan di kalangan anak-anak di sekolah adalah karya seorang ulama usul al-Fiqh, pernah mengetuai Institut Pemikiran Islam Sedunia – Maahad al-Fiqh, International Institute of Islamic Thought. Beliau ustaz usul al-Fiqh yang terkemuka, namanya Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani. Karya beliau iaitu ‘adab al-Ikhtilaf fi al-Islam’. Banyak ikhtilaf itu dimungkinkan, tetapi ikhtilaf itu mesti beradab dan Islam menetapkan. Dan ini ada hubungan dengan nilai dan akhlak.
- Bila kita bicara soal Negara MADANI, Negara MADANI itu tidak hanya AI dan digital dan teknologi baru, tapi mesti diterapkan dengan asas, nilai dan akhlak yang kukuh. Dan ini yang dihujahkan oleh Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam ‘Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam’ perbedaan pendapat, dengan adab, dengan dasar adab. Untuk dunia Pendidikan yang saya percaya disampaikan oleh menteri dan rakan-rakan di Kementerian Pendidikan.
- Saya selalu gunakan ungkapan kerana cabaran semasa itu menuntut kita menggapai, seolah menggapai di langit. Ilmu baru, kaedah baru yang kami, generasi saya tidak terdedah. Kami tidak pernah kenal apa yang disebut digitalization, komputer, AI, transisi tenaga, ini semua disiplin baru dan ilmu baru dan teknologi baru.
- Maknanya kalau kita, Malaysia ini mahu mencapai kemajuan, kita mesti menguasai ilmu, termasuk ilmu baru. Maka, seolah-olah menggapai langit. Teknologi baru itu menggapai langit yang canggih. Kadang-kadang bapa atau nenek kita di rumah agak tidak tahu sama sekali, bingung kalau saudara hendak sampaikan hujah seperti ini. Sudahlah bahasanya mencerakinkan, ‘sementalahan itu’, ‘menerusi’, saya dengar tadi. Itu anak tingkatan 3, 4, 5, penguasaan bahasa Melayu pun mantap, baik sekali. Terima kasih. Ini menunjukkan mutu guru-guru kita itu memang hebat dan handal, dan terima kasih.
- Saya dalam Kerajaan terpaksa menyebut perkara ini kerana kadang-kadang saudara dengar hujah-hujah di luar, apa lagi dalam dunia politik itu hanya kecaman merendah-rendahkan, ada masalah-masalah. Tentu ada masalah guru-guru, tetapi kenyataannya itu kita lihat bila kita saksikan keupayaan kepantasan berhujah, penguasaan ilmu, penguasaan bahasa yang baik.
- Ini tentunya kerana kesungguhan anak-anak, kerana dedikasi guru-guru, mudah-mudahan dengan bimbingan ibu bapa juga. Jadi saya bagi pihak kerajaan nak lahirkan rasa terharu saya, kecintaan saya, kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa yang mendorong ke arah penguasaan ilmu menggapai langit tetapi berteraskan kepada nilai, akhlak dan budaya kita sendiri. Sebab itu saya sebut menggapai langit mengakar ke bumi, itu falsafah pendidikan kita.
- Kalau kita akar ke bumi sahaja tentang tradisi dan budaya dan sejarah, dan seni lama, dan khazanah tidak cukup. Kalau kita hanya bicara soal ini, AI dan digital dan semua ilmu-ilmu yang canggih, pun tidak cukup, kerana kemanusiaan itu memerlukan alunan gabungan keserasian, sinergi di antara yang mencabar ilmu canggih dan akar tradisi, menggapai di langit mengakar di bumi.
- Bila kita berbicara soal agama Islam sebagai landasan nilai dan akhlak itu berteraskan kepada nilai yang berakar di bumi. Kalau dalam pertemuan saya, tentulah saya kita bertemu dengan presiden, CEO Google, bicara dengan Elon Musk, bicara dengan Ruth Porat dari Google dan Jensen Huang dari Nvidia dan CEO dari Infineon. Ini syarikat-syarikat korporat gergasi besar dalam dunia AI dan pembikinan cip. Selalu saya lontarkan satu soalan tentang keupayaan AI yang boleh memenuhi cita rasa, hati nurani, ‘damir’
- Semuanya bicara dan jawapannya spontan dan tuntas. Apa dia? Apa yang dilontarkan dan dimuntahkan oleh AItermasuk ChatGPT, Google dan sebagainya itu adalah apa yang dihadam, dimasukkan ke dalam apps Haa itu cabaran kita. Apa dia? Melatih anak-anak bukan sahaja menguasai menggapai di langit, tetapi melatih mereka supaya menguasai ilmu tetapi pertahankan nilai, akidah, akhlak, syafiyah, nilai, seni, budaya tempatan.
- Sebab itu dalam latihan kita mesti kita gabungkan ini kerana tanpa alunan ini, kita hanya akan memenuhi acuan barat. Kita sudah merdeka, berdaulat, faham Islam, tetapi bila soal AI, sepenuhnya yang dimuntahkan dari peralatan canggih mengikut pemikiran dan nilai barat. Jadi sementara kita terpaksa dalam keadaan sekarang menggapai langit dari usaha dan teknologi mereka sama ada barat atau China atau India tetapi mesti latih anak-anak supaya kenal dan ada jati diri, ada nilai, ada akhlak dan ada kekuatan.
- Jadi saya sekali lagi lah hendak ucapkan penghargaan saya. Mula-mula sebab malam pulang dari Kedah dan sebentar lagi mulai jam 2 seharian mesyuarat. Esok ke Muar, sebelah petang saya kumpulkan beberapa sarjana dan ulama. Ulama besar, Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani dari Gambia. Cat Stevens, seorang penyanyi pop; Yusuf Islam yang sekarang masuk Islam dan Tareq al-Suwaidan, seorang sarjana alim yang pintar dalam latihan. Itu saya kumpulkan di Seri Perdana, rumah rasmi Perdana Menteri. Jadi menunjukkan jadual yang begitu ketat, jadi saya fikir kepada pada YB Fadhlina semalam saya kata tak apalah saya datang di peringkat akhir sahaja. Tapi saya fikir-fikir pula, sebut dengan Azizah “eh nak dengar juga anak-anak kita berdebat, berbahas”.
- Dan saya bangga dengan pencapaian anak-anak. Kalau YB Fadhlina sebut tadi saya semasa di Kolej Melayu Kuala Kangsar belum ada ini pertandingan Perdebatan Perdana Menteri. Tapi saya memang terlibat sejak saya tingkatan 5, masa itu tingkatan 6 kebanyakan berbahas kita tingkatan 6. Tetapi kalau saya nilai apa yang saya upaya semasa di tingkatan 5, tingkatan 6, anak-anak di tingkatan 3, 4, 5 itu telah jauh lebih baik daripada generasi sekarang.
- Dan saya tidak exaggerate itu berlebih-lebih, memuji. Tapi saya terpaksa akui apa pun orang bicara tentang kelemahan sistem pendidikan yang memerlukan reform berterusan, saya ucap tahniah kepada Menterinya, Timbalan Menterinya dan seluruh jentera dan lebih sekali anak-anak yang tunjuk kehebatan mereka untuk mempertahankan satu budaya yang sihat di negara kita. Dan kepada Kementerian Pendidikan teruskan. Saya datang pula diminta pula bagi hadiah baru piala pula, aduhai. Tak apa, saya akan sampaikan dengan dengan senang hati, pilih yang terbaik, piala yang baik untuk anak-anak.
- Dan juga kepada YB Akmal kerana melalui Kementeriannya, diharap membantu supaya program ini diteruskan dan saya beritahu YB Akmal supaya bagi tahu kepada Menteri, iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian biar terus dengan program ini, jadi kita ada sponsor dari mereka dan terjamin dah selesai. Jadi selain daripada Kementerian Pendidikan, maknanya hadiah pun boleh tambah, sagu hati pun boleh tambah, makan minum pun lebih baik sikit, pakaian pun lebih sempurna. Mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha kita.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
