TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA-SAMA WARGA KEMENTERIAN BERSEMPENA DENGAN PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN KEWANGAN
19 Oktober 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA-SAMA WARGA KEMENTERIAN BERSEMPENA DENGAN PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN KEWANGAN
19 OKTOBER 2026 | ISNIN | 11.00 PAGI
KEMENTERIAN KEWANGAN
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahirabbil ‘alamin.
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah dan Timbalan Menteri, KSN, KPPA, dan KSP. KSP kena sebut (nada seloroh). Ketua-ketua Pengarah dan semua yang hadir. Terima kasih banyak atas kehadiran pada pagi ini.
- Selain daripada bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, atas limpah kurnia, keamanan dan kesejahteraan negara yang membolehkan kita melakar satu dasar ekonomi negara dan juga baru-baru ini belanjawan. Saya harus juga menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan, khususnya dari semua bahagian terlibat, Belanjawan, Cukai dan semua di Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk menyiapkan.
- Tentunya seluruh jentera Kerajaan, dari daerah, negeri, Kementerian-kementerian terlibat. Mereka mengemukakan cadangan, usul, tetapi di peringkat akhir terbeban di Perbendaharaan. Dan saya pantau sendiri apa yang telah dilaksanakan, dan tidak menjadi umpamanya maklumat umum bahawa ramai yang terpaksa bermukim, bermalam di sini kerana tahap kerahsiaan, tugas dan beban tanggungjawab. Jadi oleh itu, rakyat umum mungkin tidak tahu bahawa merangka belanjawan itu memerlukan semangat, khidmat dan pengorbanan yang tinggi. Dan saya tentunya bagi pihak Kerajaan keseluruhannya, dan saya percaya di kalangan rakyat ingin menyatakan jazzakumullah khairan katsiran setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang menjalankan tugas.
- Tentu kita merasakan perlu untuk mengingatkan bahawa apabila kita melakar kerangka belanjawan, ia juga titik tolaknya dari kekuatan ekonomi negara. Jadi, penghargaannya kepada semua, tentunya. Tetapi saya menyebutkan di sini tentang belanjawan terkini yang setakat ini diterima baik oleh ramai rakyat kerana kita cuba menyentuh, menyantuni hampir semua kalangan. Tapi, tentunya kita lakukan apa yang kita anggap sebagai sebaik mungkin, tetapi tidak mungkin akan menyenangkan semua pihak. Saudara lihat umpamanya, sepanjang minggu sudah ada perbahasan di Parlimen, ada yang memperlekehkan istilah, ada yang menafikan kenyataan, ada yang belum faham dan maklum dasar-dasar ekonomi, tetapi jangan saudara rasa terguris. Belajar dari pengalaman saya. Orang kata ini simpang-siur, sepak terajang politik yang tidak semestinya sihat.
- Sebab itu, saya berpandukan peringatan al-Qurannul Karim tentang tanggungjawab yang harus kita sempurnakan, kesabaran dan kebijaksanaan. Kerana kita ini akhirnya siapa? Mungkin Menteri, mungkin Ketua Pengarah, mungkin Pengarah, mungkin Ketua Unit, tapi semua kita tanpa kecuali adalah Ibadurrahman – hamba Tuhan. Hamba Tuhan itu ada tanggungjawabnya. “Wa ‘ibādur-raḥmānillażīna yamsyụna ‘alal-arḍi haunaw wa iżā khāṭabahumul-jāhilūna qālū salāmā.”
- Peringatan al-Quran ini banyak mengajar saya tentunya, pertama apa pun kedudukan kamu, hebat, cekal, pandai, susah kamu itu hina, dan hamba hanya kepada Tuhan. Kalau kamu faham kamu itu hanya just a servant, ‘servant’, ‘servant’, hamba Tuhan, maka jangan ingat kita lebih daripada itu. Jadi, Ibadurrahman, maknanya kalau hina, rendah itu hanya kepada Tuhan bukan kepada penguasa, bukan kepada wang, bukan kepada kedudukan, kerana pangkat dan darjat. Sebab itu, disambung ayat, “Allażīna yamsyụna ‘alal-arḍi hauna”.
- Tetapi, walaupun kamu tahu kamu itu rendah darjatnya di sisi Tuhan, di sisi Allah sebagai hamba, dan kamu yakin dan menjalankan tugas sebaik mungkin, tidak semua orang faham dan mengerti. Tidak semua orang dapat terima dengan baik. Masing-masing ada motifnya. Motif cemburu, motif dengki, khianat, motif betul-betul tidak bersetuju, atau tidak faham. Sebab itu Quran menambah, kalau kamu jalan ke bumi ini dengan yakin, tetapi kadang-kadang kamu juga menempuh kalangan yang jahilun. Maknanya dia jahil, dia tidak tahu, sengaja tidak mahu tahu, sengaja meremehkan semua usaha orang lain itu tidak baik. Mereka sahaja yang terbaik, mereka sahaja yang pandai, cekap dan alim. Maka, apa kamu jawab? Nak perang? Nak bergaduh? Nak lawan maki? Lawan fitnah? Tidak. Apa peringatan al-Quran? Waqalu katalah kepada mereka, salamah, selamat.
- Jadi kita jalan tugas kita. Jadi kepada saudara-saudara, saudari-saudari yang turut khidmat dengan baik, dengan ikhlas, tahu diri kita ini bukan sempurna, kita ini hamba dan kita tahu, kita berjalan dengan sepenuh keyakinan dan keikhlasan, kepada yang meremeh dan mencemuhkan, apa jawab kamu? Jawab kamu itu apa yang disarankan dalam al-Qurannul Karim. Apa dia? “Waqalu salama.” Angguk, ya, tapi sukar dilaksanakan. Kerana kita manusia. Kadang-kadang geramnya ada. Saya pun begitu. Kena hujan pun kena marah (nada seloroh). Tapi orang tengok, wah, banyak yang datang kata, “Dato’ Seri, I’m sorry, orang kata.” Saya kata, “Okey”. Seolah-olah kerja saya ini tidak ada apa-apa, asyik dengar lagu sahaja. Tak payah ulaskan, apa jawabnya? “Waqalu salama.” Tapi Johan tak tahu lagu tu. Dia tahu lagu-lagu lainlah.
- Jadi yang pertama tadi saya katakan penghargaan dan kalau balik dari slide pertama tadi, dalam rangka ini yang hebatnya saudara-saudari ini, keluarga Perbendaharaan telah menerima semua input dari Jabatan, Kementerian, Syarikat, orang ramai, petani, nelayan, saudara cuba kumpulkan semua. Jadi sebab itu saya kata, rangka ekonomi kita itu tak boleh lari daripada apa yang kita rencana dari awal. Iaitu berusaha sedaya upaya membantu dan memberi faedah kepada semua rakyat. Wah, sukarkan, rakyat ini 34 juta. Kita cuba menyentuh. Jadi, ini sumbangan rakan-rakan yang saya ingat istimewa, hebat. Nak satu belanjawan, nak berucap dalam masa satu setengah jam, tapi nak sentuh setiap anggota rakyat. Dan walaupun tidak sepenuhnya sempurna, tapi saya ucap sekali lagi terima kasih kerana saudara-saudari kali ini dapat menyentuh majoriti besar rakyat di negara kita. Alhamdulillah.
- Sebab itu kita katakan ini kita gunakan Wa’ad Nasional. Saya mula bentangkan di Kuching, Sarawak. Kerana wa’ad ini seolah janji ikrar. Apa dia sejarah? Sejarahnya itu sejarah dalam Kitab Sejarah Melayu, karya Tun Sri Lanang yang menyebut bila negara itu dibentuk, ada perjanjian di antara raja dan rakyatnya. Raja harus, maknanya pemerintah harus lakukan sebaik mungkin. Adil, membela nasib rakyat, rakyat akan patuh dan terima baik dan yang tidak boleh, yang tidak dibolehkan ialah mengaibkan mana-mana rakyat. Itu yang disebut Waad Nasional sebagai janji. Apa dia wa’adnya? Seperti yang disebut tadi ,kita sempurnakan tanggungjawab, itu seperti kita “menggapai di langit, mengakar di bumi.” Ini satu kenyataan, falsafah yang sangat penting dalam erti pembangunan. Maknanya, dari segi ketakwaan pun “menggapai di langit.” Seolah-olah nak cari tahap ketakwaan ini sebaik mungkin. Dari segi akhlak pun yang lebih murni. Dari segi teknologi, AI, Quantum Computing Itu semua seolah-olah “yang di langit”, maknanya yang tak terjangkau. Macam ini, cuma cerita cinta pulakkan? “Yang di langit”, tapi maknanya “menggapai di langit”.
- Tetapi yang istimewa kita juga, sebab selain daripada saya sebut tentang semua teknologi baharu, rencana-rencana yang sangat kritikal untuk menyelamatkan negara pada masa depan. Kita juga “mengakar ke bumi.” “Mengakar ke bumi” itu, kalau dalam pendidikan yang saya ungkapkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, “Addabanī Rabbī fa aḥsana ta’dībī”. Jadi maknanya, “mengakar ke bumi” kerana ilmunya, kehidupan kita, semuanya harus berakar kepada akhlak dan adab. Itu doa Rasulullah SAW, perbaiki adab aku. “Addabanī Rabbī” dan sempurna, indahkan, “fa aḥsana ta’dībī”. Jadi, bidang pendidikan dalam kerja kita dari segi satu kerangka.
- Tetapi “mengakar ke bumi” juga melihat pada kenyataannya. Kerangka pertumbuhan harus rancak dan segar, pelaburan harus tinggi, teknologi harus memacu ke langit tetapi “mengakar ke bumi” kerana bagaimana pesawah padi di Kedah, nelayan pantai di Perak, nasib pekerja yang gajinya terlalu rendah, sewa rumah yang terlalu mahal, harga bawang yang diimport dari India meningkat, itu yang disebut “mengakar ke bumi.” Maknanya, harus juga melihat kepada permasalahan semua rakyat. Kemudian bagaimana daerah, bagaimana negeri, bagaimana kedudukan pembangunan negeri? Kerana kalau dengar perbahasan di Parlimen, oh, kita menganiaya, menganak tiri negeri. Jadi kita senaraikan, berapa peruntukan, hasil dari negeri-negeri yang relatif miskin itu, hasilnya kecil, tapi belanjanya terus meningkat kerana masalah tebatan banjir, masalah kemiskinan, masalah prasarana asas harus dibangunkan. Sebab itu kita katakan keserataan ekonomi. Dan ekonomi itu tidak harus menjurus kepada kepentingan rantau atau kawasan negeri yang sudah kaya.
- Tapi juga kita bincang tentang pengurusan fiskal negara. Itu telah kita umumkan dari masa ke semasa dengan angka-angka yang saudara dilihat peningkatannya Keadaan ekonomi tidak baik sekarang ya, saudara tahu ya. Harga minyak masa kita buat unjuran tahun lalu untuk harga minyak satu tong itu USD70 satu tong. Sekarang USD110, USD112, USD115, USD120 itu dia meningkat. Bayangkan buat unjuran USD70 satu tong, kenyataan sekarang dah USD115, USD120 satu tong. Tetapi lazimnya di semua negara harga barang akan melonjak naik menyebabkan banyak negara terutama di Eropah sekarang menghadapi rusuhan rakyat. Tak mampu menyelesaikan masalah basic kehidupan mereka. Dari sekolah, dari gaji guru kepada gaji pekerja, kepada kemudahan asas, itu semua jadi masalah. Jadi saya tengok rusuhan yang merebak. Negara-negara jiran juga hadapi dan kita bertambah pula dengan jerebu. Jerebu itu udara, tapi belanjawan tak jerebu. Masalah tak baca, kalau baca, jelas angka dan datanya. Dibuat dengan begitu teliti. Jadi Kalau tak boleh baca, jerebulah ni. Kalau boleh, jelas.
- Umpamanya, saudara lihat masih boleh kita kembangkan 26 sampai 2027, mengembang. Defisit fiskal berkurang. Saudara bayangkan dalam teori ekonomi lazimnya, itu tidak boleh berlaku. Sebab bila keadaan ekonomi terjejas, defisit itu tidak boleh mengurang. Tetapi kita mampu kerana pengurusan ekonomi. Ini bukan soal menterinya sahaja, maknanya seluruh jentera kita itu cuba untuk menyelamatkan dan memberi keyakinan.
- Kemudian, saudara lihat oleh kerana permasalahan negara jiran, ada beberapa kaunter pasaran saham, terutama bila pelaburannya yang besar di Indonesia, dia ada juga sedikit terjejas sementara ini. Mana-mana bank atau syarikat, ladang yang beroperasi di Indonesia, termasuk bank, Maybank, CIMB itu agak terjejas sementara. Tetapi umumnya masih baik dan yakin. Sebab itu, hutang negara itu, hutang, ini memang jadi kontroversi. Saudara lihat beberapa pandangan orang mengatakan jumlah hutang keseluruhannya bertambah, betul kerana hutang lama harus dibayar. Ada yang menyatakan hutang 1MDB dah bayar semua, saya tak tahu daripada mana, kitab mana dia baca. Tak betul. Tapi hutang kita dengan jumlah kadar faedahnya itu harus dibayar. Tetapi hutang baru, ini yang penting. Responsible government means you only borrow what you have to in order to manage the economy. But you always plan ahead. You should not burden the future generation to pay for the excesses of the present. Sebab itu saudara lihat umpamanya, hutang negara itu menurun dalam keadaan ekonomi sekarang ini. Dan hutang yang harus dibayar yang yang tinggi.
- Sebab itu, terkait dengan pengurusan fiskal ialah tatakelola. Tatakelola beberapa bunyinya ya, okeylah mudah, tapi tidak. Dia memerlukan tekad politik. Apa dia tekad politiknya? Apakah mampu seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan atau Kerajaan menyerahkan kuasa? Kita lakukan. Bila ada Fiscal Responsibility Act, itu penyerahan kuasa yang dipantau oleh Parlimen. Baru-baru ini, Parliamentary Services Act, Akta Perkhidmatan Parlimen. Kuasa yang dulunya ada pada Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri diserahkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan dipantau oleh empat ahli parlimen yang menjadi anggota, dua dari Kerajaan, dua dari pembangkang.
- Ini semua orang bicara sejak puluhan tahun yang lalu, tapi hanya Kerajaan MADANI yang melaksanakan. Ini mematangkan proses demokrasi, bahawa bukan seorang Perdana Menteri ataupun satu Kerajaan punyai jawapan dan faham semua masalah. Kita harus tawaduk mengatakan bahawa sementara kita diberi mandat untuk menjalankan tugas, ada yang harus kita agihkan kepada rakan-rakan lain yang juga punya mandat, terhad dan oleh itu diserahkan kuasa itu.
- Saudara, orang boleh bicaralah minta pelaksanaan demokrasi dan sebagainya. Tapi bila mereka berkuasa, tidak ada yang lakukan. Ingat saudara, Kerajaan ini silih berganti, Perdana Menteri pun bertukar. Sudah banyak. Semua bicara sebagai Kerajaan dan pembangkang menjanjikan sesuatu. Tetapi, belum ada yang melaksanakan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, Akta Perkhidmatan Parlimen, sepertimana yang telah kita lakukan, alhamdulillah. Kerana kita telah berjanji untuk melaksanakan reform institusi dan mematangkan demokrasi, maka kita lakukan.
- Begitu juga macam janji-janji yang lain yang kita cuba tunaikan. Walaupun kadang-kadang terlambat sedikit. Umpamanya, harga minyak yang kita turunkan, itu memang terlambat sedikit. Saya akui, dan saya mohon maaf. Kerana tahun pertama, semuanya menentang. Kerana dia kata kalau lakukan keadaan sekarang, ekonomi akan terjejas. Jadi, kita harus mantapkan beberapa langkah dulu, barulah kita laksanakan. Maksud harga minyak yang ada sekarang. Tapi orang selalu lupa. Harga minyak kita ini dalam keadaan harga minyak itu dua kali ganda naik. Macam hampir dua kali ganda. Saya kata satu tong minyak. Tapi kita masih bertahan RON95 RM1.99.
- Kemudian, kerangka ekonomi MADANI kita lakukan. Saya harap tidak kelabu jerebu (nada seloroh). Jadi, ini hanya penjelasan apa yang saya singgung tadi. Ini kerana, saya rasa tak payah, ramai orang Perbendaharaan faham benar, tapi KSP kata cannot. KSP ini hidup dengan angka. Dia kata mesti tunjukkan, jadi saya dah tunjukkan. Baik. Maknanya, dalam 4 tahun kita mula beri kerangka. Jadi, tahun pertama itu banyak cemuhan kerana belum lakukan apa-apa yang bermakna, baru kerangka. Apa dia industri-nya, apa dia NETR-nya, transisi tenaga-nya, bagaimana untuk urus ekonomi, bagaimana proses tender. Jangan terlalu banyak pada masa itu, selected tender ataupun tidak perlu tender. Negotiated process. Semua itu berlalu. Kemudian kita laksanakan, ayam, telurnya, elektriknya. Peringkat pelaksanaan itu perlahan-lahan.
- Dan yang sukar adalah panyasaran subsidi. Saudara tahu lah, saya kalau tanya satu tindakan ekonomi yang betul-betul mencabar ialah penyasaran subsidi. Kerana tidak banyak negara cuba yang berhasil dan tidak banyak negara yang berani. Dan saya tahu daripada zaman Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib sampai sekarang. Semuanya cuba mengemukakan pandangan tentang penyasaran subsidi. Semuanya pertahankan. It has to be done sebab leakages, wastage, kebocoran terlalu banyak, puluh bilion hilang, tapi tidak ada yang sanggup dan berani. Jadi, syukur alhamdulillah kerana semangat yang ditunjukkan oleh saudara-saudara dan kesediaan kita dengan dukungan ramai yang lain, kita laksanakan penyasaran subsidi. Betul.
- Saudara-saudara anggap ini perkara yang dah berlaku biasa, tapi renung sebentar, tengok negara yang mana boleh buat dalam keadaan ekonomi sekarang. Renung sebentar. Ada tak negara yang boleh buat begitu? Kemudian, ada tak negara yang turun harga minyak dalam keadaan harga minyak dunia meningkat, melambung? Kalau tanya sebab apa? Dari segi teori ekonomi mungkin tidak wajar, tapi saya kata sebab kita pemerintah dalam Wa’ad Nasional ini, pemerintah itu harus menjanjikan dan berupaya dan ikhtiar untuk lakukan yang sebaik mungkin kepada rakyat. Atas prinsip itu maka diturunkan. Walaupun saya akui dia tidak menyelesaikan semua masalah. Tetapi itulah yang kita lakukan dengan kerangka, pembaharuan dilaksanakan dan bantuan meningkat. Kita lihat umpamanya STR SARA, saya ambil alih, belanjanya RM8 bilion. Dalam keadaan sekarang ini sudah jadi RM15 bilion. Skim gaji ini, KPPA ada. Terima kasih kerana mereka juga bertungkus lumus lakukan. Kerana jangkaan kita, kenaikan itu cecah sehingga RM18 bilion. Ini semua tambahan daripada peruntukan yang sedia ada. Tapi tidak memiskinkan rakyat dan negara.
- Saya pernah berucap dulu, saya kata tidak ada negara di dunia, sefaham saya, dari sejarah lampau dulu, empayar-empayar terkenal, baik Islam, China, India, Latin Amerika. Negara itu jadi miskin, papa dan rosak kerana pemerintah memilih untuk membantu rakyat. Saya tidak percaya begitu. Yang memiskinkan mengikut banyak teori dan laporan dari Abdul Rahman Ibn Khaldun dalam ‘Mukaddimah’, kepada Gibbons decline and fall of the Roman Empire atau kepada Toynbee tentang ‘cyclical theory of civilization’, semuanya menyatakan kerosakan itu kerana tamak haloba, kerakusan, rasuah dan penyakau di kalangan pimpinan negara. Sebab itu, saya yakin kalau kita lakukan beberapa langkah yang saya katakan yang agak berani. RM15 bilion itu hanya STR SARA. RM18 bilion itu gaji. Sekarang naik pula gaji minima. Kemudian untuk GLIC dan gig itu tak terfikir kerana ini bukan masuk dalam kamus Perbendaharaan 10 tahun yang lalu, tapi sekarang mendesak dan semua ini menelan perbelanjaan yang lebih tinggi.
- Dengan langkah-langkah itu, alhamdulillah, saudara tengok masih kita catat kejayaan, KDNK, pengangguran, inflasi, miskin tegar yang saya uar-uarkan sejak awal di tingkat 0.09%, bawah 1%. Oleh itu, kita catat dalam World Competitiveness Ranking itu masih baik, tetapi Ringgit masih lagi terbaik di Asia. Saudara-saudara, jadi jangan orang, tidak. Ini bagi saya penerusan usaha yang bererti ke arah menyelesaikan. Saya tengok ada kadang-kadang interview, tanya kakak ini, berapa dapat? Kita dapat RM1,600 saja setahun tapi saya ada anak gini-gini. “Tapi ialah, sikit benar” ada juga yang menjawab macam itu. Padahal daripada zero, dia dapat RM1,600 tapi sikit benar, ada juga duit belanja. Jadi kita kena terangkan. Ini, duit tambahan bukan gaji dia, bukan upah dia. Ini hanya tanggungjawab Kerajaan memulangkan sebahagian daripada lebihan.
- Kerana apa ada lebihan? Kerana kita tak izinkan pimpinan memperkayakan diri mereka dan kita hentikan amalan-amalan seperti yang berlaku 1MDB, Tabung Haji, FELDA. Saya tahu ada orang tak suka dengar ini, tapi saudara-saudara tahu ini. Kalau kita dapat cermat dan selamatkan hal ini, berapa puluh bilion yang kita boleh selamatkan dan wang yang diselamatkan itu bukan balik kepada Perdana Menteri, balik kepada negara dan balik kepada rakyat. Yang saya boleh baca tentang peruntukan-peruntukan besar itu sebab apa? Sebab tindakan ini.
- Subsidi minyak sahaja tambah berapa? RM40 bilion kerana kita turunkan harga minyak RM1.99 itu, berapa belanja untuk satu tahun? RM40 bilion. Apakah tidak perlu? Bagi saya perlu, untuk meringankan beban rakyat. Apakah tidak perlu naikkan kadar gaji dan upah penjawat awam? Perlu, kerana saudara tahu 12 tahun tidak naik, ini hak mereka, saya mahu mereka kerja kuat, saya mahu mereka elak ketirisan, saya mahu mereka hentikan amalan rasuah, maka saya harus beri keadilan kepada mereka. Tapi berapa kosnya? RM18 bilion tambahan. Jadi, itu yang dapat kita lakukan dan mudah-mudahan tindakan-tindakan ini akan mendatangkan hasil.
- Baik sekarang ini, hari Jumaat lalu kita umumkan, tapi saya katakan ukurannya. Tadi kita baru selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), selain daripada cadangan-cadangan besar yang lain, saya katakan ujiannya itu bukan pada dasar, bukan kerangka yang indah dan molek, kepada keupayaan kita melaksanakan dengan Ikhlas al-amal lillahi ta’ala. Nah ini yang menjadi ujian. Kalau upah dah naik, minyak dah turun dan ekonomi keadaan sebegini, kita tak bersyukur, kerja masih lembab, masih lambat, surat yang boleh dijawab satu hari diambil masa dua minggu, itu memang cari penyakitlah untuk negara.
- Sebab itu, tanggungjawab kita dari KSP kepada ketua jabatan kepada pengarah dan ketua pengarah harus ingat ini, tiap kerja dilakukan dengan amanah. Saya yakin sebenarnya, walaupun saudara dengar dan nilai pelbagai pandanganlah, tapi saya yakin, iaitu Malaysia ini dalam keadaan apa sekalipun, dengan masalah orang bangkitkan soal kaumnya, agamanya, wilayahnya, partinya, merengeknya macam-macam, saya yakin kalau kita dapat tumpu betul-betul, ada dia kata ṣafwatu mā tarā kumpulan yang berfikir, elemen yang sedar dan gigih. No, I can do it, Insya-Allah cari keberkatan. Saya yakin, ini dari hati sanubari saya. Saya yakin, beri kita 2-3 tahun ini, kita boleh lonjakan kekuatan ekonomi, keselesaan rakyat jauh lebih baik daripada yang kita unjurkan. Itu keyakinan kita. And you can do it!, we have to do it!. We can do it! Insya-Allah.
- Bagi umpamanya macam contoh saya kata, langkah-langkah yang kita ambil, manfaat kepada semua, saya tak ada hasrat untuk ulang. Saudara dengar sendiri apa yang kita lakukan selain daripada yang saya sebutkan tadi. Baik, hari Jumaat, kita umumkan, hari Isnin Rumah MADANI dah dibuka kepada awam untuk daftar. Hari Rabu RM1,000 kepada tiap pemandu teksi. Ada orang kata, oh tapi ini belanjawan belum lulus. Tak apa, dia tak lulus lagi peperiksaan tentang apa dia belanjawan negara. Ini pendapatan sudah diperolehi daripada nombor plat H itu. Jadi dah ada wang lebih, jadi Menteri Loke kata, boleh tak kita agihkan. Saya kata, okey agih kepada pemandu teksi, kerana pemandu taksi itu kategori hidupnya susah sedikit sekarang. Jadi kita beri beberapa kemudahan pinjaman dan sebagainya, tapi kita beri RM1000 ringgit. Hari Jumaat, bentang belanjawan, hari Isnin, KPKT buka pendaftaran rumah Bandar MADANI di Bukit Jalil dan hari Rabu, MOT Kementerian Pengangkutan, kita bagi RM1000 ringgit kepada tiap pemandu teksi.
- Hasil apa? Hasil daripada nombor plat yang baru yang diperkenalkan. Kalau dulu jual, saudara tahu jual pun ada bargain ya, ini tak transparent dan hasilnya dipulangkan. Dan hari Khamis, 15 Oktober itu perumahan 10,000 unit asrama mahasiswa, Residensi Siswa Universiti Malaya. Kerana tanah ada di Universiti Malaya, kita pakat dengan syarikat Kerajaan, bangunkan dalam kadar segera dan saya minta bandar raya untuk menyegerakan proses kelulusan kerana diantara masalah besar adik-adik dan anak-anak kita di universiti adalah masalah perumahan. Ini makna langkah-langkah diambil segera dan saya percaya insya-Allah kalau dengan semangat yang ada KSN akan adakan mesyuarat, tak salah Khamis ini untuk memantau bersama dengan semua KSU dan KP, supaya kita langkah-langkah pelaksanaan diambil.
- Jadi rumusannya apa? Belanjawan boleh dilakar, tetapi cabarannya pelaksanaannya. Bagaimana kita boleh terus selamatkan negara kita, elakkan ketirisan, amalan rasuah, kemalasan dan lembab pelaksanaan. Dan program-program yang diputuskan, dasar-dasar dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
- Akhirul kalam, terima kasih sekali lagi saudara-saudara, saudari-saudari kerana berkhidmat dengan baik. Tapi jangan putus ikhtiar kita dan doa kita kepada Allah SWT. Kerana apa? Tema hari ini selain daripada “menggapai di langit mengakar di bumi” ialah tema yang berdasarkan anjuran al-Quran tentang kita ini hamba Tuhan, Ibadurrahman yang harus ikhlas jalankan tugas dengan sebaik mungkin, berjalan di muka bumi ini dengan yakin, dengan semangat yang jitu dan bersabarlah hadapi ujian dan apa-apa kecaman, kerana jawapannya harus Qalu Salama.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
