TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERASMIAN PEMBUKAAN MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA (MTHQA) TAHUN 1447H/2025M

2 Ogos 2025

  

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 PERASMIAN PEMBUKAAN

MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN

PERINGKAT ANTARABANGSA (MTHQA)

TAHUN 1447H/2025M

 

  

2 OGOS 2025 (SABTU) | 8.30 MALAM

WORLD TRADE CENTRE, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah,

Alhamdulillahilladzi arsala rasulahu bil huda wadinil haqq, liyudzhirahu ’aladdini kullihi, wakafa billahi syahiidaa.

Wausolli wausollimu ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan isteri;

 

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad,

Menteri Kesihatan;

 

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan isteri;

 

Tuan Yang Terutama Duta dan Perwakilan Asing;

 

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan isteri;

 

Para peserta dan jemaah hakim;

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

 

  1. Pada malam ini kita meneruskan acara yang telah diusahakan dan ditaja oleh negara Malaysia. Iaitu majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran yang kali ini di peringkat antarabangsa. Saya ingin memulakan dengan menyatakan penghargaan setinggi-tingginya, jazakumullah khairan katsiran kepada pihak pengelola dan juga Hakim, tetamu luar dan peserta yang menyerikan majlis dengan semangat penghayatan al-Quran.

 

  1. Dan kita tahu sebenarnya tujuan kita adalah untuk mengimarahkan majlis ilmu dengan berpangkalkan kepada usaha mendalami, memahami, termasuk menghafal, memaknai dan menjadikan ianya sebagai fahaman yang dapat diamalkan sepenuhnya, insya-Allah. Ini yang disebut mengangkat satu generasi Rabbani, Gil Rabbani yang boleh membawa kepada perubahan masyarakat kita.

 

  1. Saudara-saudara, kita juga bertanggungjawab untuk menyatakan bahawa penyebaran dakwah Islam itu, kita cuba tingkatkan di negara kita. Walaupun permasalahannya banyak, tetapi ia memerlukan kefahaman, “Bil hikmah wal mau’izhahtul hasanah, wajadilhum billati hiya ahsan”, kerana sesungguhnya dalam negara yang pelbagai, rencam ini walaupun Islam agama Persekutuan dan majoritinya umat Islam tanggungjawab kita ialah menyampaikan dengan baik, dengan bijaksana, dengan penuh rahmah, dengan penuh kasih sayang.

 

  1. Saya diperingatkan oleh guru-guru kami, para ulama menyatakan tentang memaknai, mempelajari, menghadam dan cuba mengaitkan dengan kehidupan kita. Dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, “Fabimaa rahmatim minal laahi linta lahum wa law kunta fazzan ghaleezal qalbi lanfaddoo min hawlika fa’afu ‘anhum wastaghfir lahum wa shaawirhum fil amri fa izaa ‘azamta fatawakkal ‘alal laah; innallaaha yuhibbul mutawak kileen” (Surah al-Imran: 159). Ramai ulama, mufti-mufti, sheikh-sheikh boleh kupas lebih baik daripada saya. Saya cuma nak rumuskan, mengatakan bahawa dakwah itu dalam keadaan tenang, dalam keadaan gelora, dalam keadaan paling mencabar masih memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan kasih sayang. Sebab itu dalam ayat ini yang ada bagi yang mengikuti asbabun nuzul nya tentang perang Uhud di mana ada kesilapan, kekhilafan, kegopohan dalam kalangan yang merebut ghanimah yang menyebabkan kecederaan Rasulullah SAW dan para sahabat. Ayat itu diturunkan untuk mengingatkan kita pertamanya, memaafkan kerana kasih sayang dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

  1. Sebab itu disebut “fa’fu anhum” tetapi diikuti dengan “wastaghfirlahum, mohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tetapi dimulakan dengan “wa shaawirhum”, maknanya dalam konteks tatakelola negara, perundingan itu penting, muafakat itu penting, kesedaran bersama, itu diutamakan.

 

  1. Kemudian dengan bila sudah ada keputusan tetapi keputusan itu dibuat dengan kebijaksanaan, dengan semangat rahmah dan kasih sayang di kalangan umat Islam, di kalangan umat manusia, haiwan dan binatang, pohon-pohon dan bumi keseluruhannya, ini kasih sayang kita. Inilah yang ditekankan, maka bila ada perundingan, musyawarah di kalangan kita, kita ambil keputusan, keputusan bersama – “fa izaa ‘azamta”, tekad, komitmen, iltizam, kesungguhan untuk melaksanakan dan “fatawakkal ‘alal laah” – serah kepada Allah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kerana sesungguhnya Allah kasih orang-orang yang bertawakal.

 

  1. Soal kasih sayang ini kadang-kadang ketinggalan dalam keghairahan kita menyampaikan. Ulama kita dalam sejarah kita, kesedaran Islam itu di kepulauan Melayu, ini yang unik, yang istimewa tanpa peperangan. Dari Tanah Melayu, ke Tanah Jawa dan persekitarannya. Itu penyebaran oleh alim, pendakwah yang punya hikmah, kebijaksanaan dan kesabaran dan penuh rahmah. Mengerti masyarakatnya, mengerti keterbatasannya, mengerti matlamat akhirnya dan tidak mengizinkan segala keterlanjuran. Kerana matlamat itu tidak seperti Machiavelli, matlamat tidak menghalalkan cara “al-ghayah la tubariru al-wasilah”. Maknanya matlamat tidak menghalalkan cara. Cara itu mestilah ikut kaedah yang baik dan di sini dalam konteks ini, kasih sayang.

 

  1. Sebab itu tatkala meluncurkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk negara ini, hari Isnin yang lalu saya nukilkan hadis Nabi Muhammad SAW yang selalu kita peringatkan dan popularkan, dihadam – “Irhamu man fil ard, yarhamkum man fis sama’.” Maknanya dalam hidup kita dengan jawatan kita apa yang harus kita kerjakan? Perubahan dasar, reform institusi, kerangka ekonomi, reform Pendidikan, peningkatan kemudahan kesihatan itu semua kerana kasih sayang. Kerana sesungguhnya yang disebut di dalam hadis Rasulullah SAW itu, kalau kita tunjukkan “Irhamu man fil ard”, tunjukkan kasih sayang di bumi, yang di bumi siapa? manusia, Muslim dan lain-lainnya: binatang, haiwan, itu “fil-ard”, pohon-pohon, bukit-bukau, kayu kayan, dan bumi yang dipijak kalau kita tunjukkan kasih sayang di bumi ini, nescaya “yarhamkum man fis-sama’ — nescaya yang di langit akan akan mencurahkan rahmat-Nya ke atas kita semua.

 

  1. Kalau kita yakin begitu, maka cara dan kaedahnya itu harus betul. Sebab itu, dalam negara MADANI yang kita cuba terapkan, apa keistimewaannya? Digitalisation diusahakan oleh semua negara, Artificial Intelligence (AI) itu diperlukan oleh negara-negara maju, new technology, transisi tenaga (energy transition) itu semua dibicarakan, apa yang kelainannya? Nilai, akhlak diterapkan dalam semua dasar kita dalam sistem pendidikan, kita mahu AI, kita mahu kemajuan-kemajuan lain, tetapi kita tidak tinggalkan usaha menguasai ilmu asas agama dan kita tahu dengan dari awal kita hidup masyarakat yang pelbagai ini pun ada ikhtilaf itu juga kita tekankan.

 

  1. Dalam bidang kesihatan, doktor dan segala jentera perubatan dan kesihatan itu diterapkan kerana apa? Kerana kasih saying. Sama juga dalam dakwah, dalam pemerintahan dan ini bagi saya bezanya, keunikan yang istimewanya dalam penerapan konsep negara MADANI kerana ia tidak sah tanpa menerapkan nilai, values yang disebut, etika tidak boleh lari dari pangkal akidah Islam sebagai pegangan kita.

 

  1. Akhir kalam, saya nak umumkan bahawa pada 8 Ogos ini, kita akan luncurkan Mushaf Ummah di Nasyrul Quran, Putrajaya. Ini hasil idea yang diterapkan oleh tokoh qiraat antarabangsa yang turut hadir Professor Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi, mantan Sheikhul Qurra’ Mesir dengan kerjasama Yayasan Restu.

 

  1. Sekali lagi apa keistimewaannya? Bila berlakunya tindakan golongan khianat dan sesat dan anti-agama, apa lagi Islam, menghina dan membakar al-Quran, seperti mutakhir di Sweden, ramai orang Islam marah. Munasabah marahnya. Ada yang marah dengan lawan bakar lagi yang lain atau mengecam dan menghina orang lain. Tetapi di Malaysia, alhamdulillah, kita memilih jalur yang lain. Saya berjumpa pengasas Yayasan Restu dan mengatakan “Apa kata kalau kita jawab dengan mencetak dan menerbitkan satu juta naskhah al-Quran dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Perancis, Jerman, Tagalog, Khema semua dan kita edarkan. Kita mula di Sweden yang membakar satu al-Quran, kita kirim al-Quran ke tiap sekolah dan universiti di sana. Itu cara kita jawab berhemah, berhikmah, dan memenuhi maksud kita untuk menyampaikan dakwah dengan risalah yang betul.

 

 

  1. Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia Peru, Brazil, Perancis, Kemboja, semua negara, puluhan negara dalam beberapa tahun ini. Setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dengan penerbitan peterjemahan oleh Yayasan Restu dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi dan inilah bagi saya satu pendekatan yang baik dan pada 8 Ogos, insya-Allah, kita akan luncurkan yang disebutkan Mushaf Ummah.

 

  1. Satu perkara lain yang saya nak sebut ialah tentang pertemuan saya dengan ulama-ulama pondok di Malaysia. Dan kita harus ingat pondok itu kadang-kadang dalam perjalanannya agak ketinggalan sedikit tapi saya nak sebut satu hal penting dari sudut sejarah. Dikala kita dijajah di Malaysia. Malaysia dijajah Birch di Perak dan kemudian Clifford di Pahang, Lord Cromer di Mesir, Macaulay di India dan lain lagi dari Perancis di Algeria, Itali di Libya, apa yang berlaku? Seluruh sistem tewas. Sistem politik tewas dan pimpinan elit menyerah, sistem ekonomi tunduk kepada acuan Barat. Sistem pendidikan dirombak menjadi sistem pendidikan Barat. Bahasa diagungkan dalam kalangan penjajah bahasa kebangsaan dan bahasa negara terhina dan terhimpit. Yang jadi benteng satu-satunya ialah pondok-pondok dan pesantren-pesantren. Jasa luar biasa sebagai benteng pertahanan akidah dan mental ilmu umat, ini pernah dirumuskan oleh Muhammad Natsir, Pesantren sebagai benteng pertahanan umat.

 

  1. Jadi dalam pertemuan saya dengan para guru dan ulama pondok ini saya katakan mari kita bangkitkan semula tapi mesti memenuhi tuntutan semasa. Huffaz sudah 12,000 maahad tahfiz yang kemudian menguasai TVET, yang masuk ke jalur TVET. Kemudian sekolah-sekolah agama dan pondok banyak yang masih dalam keadaan daif. Saya bincang dengan Dr. Naim, Kementerian Kewangan, dan JAKIM akan bekerjasama untuk memulih dan mengangkat semula martabat, memenuhi keperluan semasa. Kekalkan kitab-kitab mereka, kekalkan pendekatan dakwah mereka tidak bermaksud untuk buat apa-apa perubahan, itu keputusan mereka tetapi kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk maklumat digital dan Artificial Intelligence supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: