TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERASMIAN HIMPUNAN AGUNG PENGAKAP PERINGKAT ANTARABANGSA DAN PROGRAM TEMU ANWAR
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERASMIAN HIMPUNAN AGUNG PENGAKAP
PERINGKAT ANTARABANGSA DAN PROGRAM TEMU ANWAR
BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
13 SEPTEMBER 2025 (SABTU) | 10:00 PAGI
PANTAI TANJUNG LEMAN, MERSING, JOHOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Alhamdullilah nahmahduhu wa nusalli ala aasoolilah kareem wa ʿalā ālihi wa ṣaḥbihi ajmaʿīn
Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat;
Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Gazi,
Menteri Besar Johor;
Yang Berhormat Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berbahagia Mejar Jeneral Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin,
Ketua Pengakap Negara;
Dan seluruh keluarga pengakap dan anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Terima kasih kerana bukan sahaja hadir di Mersing yang indah ini, tetapi dengan penuh semangat pengakap. Saudara-saudara dan anak-anak dikasihi sekalian, saya di sekolah, di Kolej Melayu Kuala Kangsar, memang bermula sejak Tingkatan 1 sebagai pengakap. Dan kita tahu yang dipupuk, seperti disebut oleh Mejar Jeneral Ketua Pengakap tadi, ialah semangat, disiplin, kemahiran, persaudaraan. Itu penting dalam kehidupan kita.
- Malaysia sebagai negara MADANI ini tentu hendak pacu pertumbuhan ekonomi, tentu hendak menguasai digital, tenaga baru, artificial intelligence tetapi yang kita hendak latih dan pupuk itu, semangat manusia. Dan manusia ini tidak boleh dibentuk hanya dengan mesin dan dengan kepintaran. Dia dibentuk dengan akhlak, dengan disiplin, dengan semangat ihsan antara kawan-kawan, tentunya keluarga, kawan-kawan sekolah, kawan-kawan dan pelbagai kaum dan agama di negara kita ini.
- Ini yang dipupuk dalam semangat kepengakapan. Jadi, semangat pengakap ini memupuk nilai yang bermula dengan kemahiran, ilmu, disiplin. Kalau Rasulullah SAW itu, apakah yang paling istimewa pada peribadi Rasulullah SAW? Itu disebut dalam Al-Quran, wa innaka la‘alā khuluqin ‘aẓīm (Surah al-Qalam, ayat 4). Dan pada Rasulullah itu, akhlak yang terbaik. Nilainya, pribadinya, kepintarannya, ilmunya, pelbagai hal. Tetapi akhlaknya, disiplinnya, semangat, ihsan, kasih sayang pada sesama manusia, malah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bumi yang dicipta oleh Allah SWT.
- Ini dalam Islam ditekankan yang kita sayangi itu di bumi. Hadis Nabi Muhammad SAW: Irḥamū man fī al-arḍ, yarḥamkum man fī as-samā’ (Riwayat al-Tirmizi, Abu Dawud). Tunjuk kasih sayang di bumi, siapa yang di bumi? Ibu bapa kita, keluarga kita, kawan-kawan pengakap kita, guru-guru kita, sahabat kita, kampung kita, daerah kita, negeri kita dan manusia sejagat. Itu di bumi. Haiwan yang dicipta tidak boleh disia-siakan dan sepak terajang sesuka hati. Pohon-pohon. Bagaimana negara-negara, sesetengah negara hancur? Kerana rakus, tebang balak sesuka hati, bukit-bukau diruntuhkan tanpa percanggahan teliti. Ini memusnahkan alam.
- Sebab itu hadis ini, irhamu man fil-ard, tunjuk kasih sayang yang di bumi. Kalau itu dilakukan, apa jaminan? Yang di dalam hadis Nabi Muhammad SAW, yarhamkum man fis-sama. Yang di langit akan curahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita, yang tidak terkira jumlahnya.
- Jadi, bila kita buat kerja dalam pengakap ini, kita kena fikir itu. Kasih sayang sesama manusia, haiwan, pohon-pohon dan bumi, nescaya rahmat dicurahkan dari langit ke atas kita. Tetapi apa yang berlaku? Kadang-kadang kita cuai dan lupa.
- Di sekolah-sekolah, tempat anak-anak belajar, hari-hari dengar cerita buli. Ini manusia jenis apa? Kamu belajar apa? Oh, Matematik, Sains, Sejarah, AI. Tapi bukankah kita ini manusia? Mengapa hendak hina orang yang lebih lemah? Mengapa hendak hina orang kerana warna kulit yang lain? Mengapa hendak hina orang kerana dia miskin? Ataupun sikap dia juga berbeda. Siapa kita?
- Sebab itu, YB Fadhlina sebagai Menteri sekarang tegas mengambil tindakan. Tidak boleh. Saya hendak bangga dengan Malaysia ini. Malaysia yang maju. Dihormati dunia. Tadi Ketua Pengakap sebut, dia bukan seperti dulu lagi. Di mana-mana orang sebut. Ada masalah peperangan Thailand dan Kemboja, itu diminta Malaysia yang tolong leraikan dan amankan. Kerana apa? Gambaran imej kita.
- Bulan depan kita hendak buat Sidang ASEAN. Pertama kali bukan sahaja pemimpin ASEAN, China, Jepun, Korea, India, Australia, dan sekarang dari Perdana Menteri Itali, Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan, Presiden Amerika Syarikat hendak datang ke Kuala Lumpur kerana imej negara kita itu baik.
- Tetapi saya hendak tegaskan kepada anak-anak, ini semua kerana semangat bekerja kita sebagai sebuah pasukan. Menteri-menteri, penjawat awam, polis, tentera dan rakyat biasa, swasta, pekerja. Jaga disiplin kita. Boleh beza pendapat, boleh tegur-menegur dalam persahabatan, tapi ingat, yang hendak letak kita sebagai nilai, kalau saya faham sebagai pengakap, dilatih oleh guru-guru pengakap dulu disiplin, kepintaran. Saya ingat mula-mula hendak matikan tali itu, saya belajar masa jadi pengakap, sampai ‘sesimple’ itu.
- Kemudian kita senang bila ada perkemahan begini. Tetapi yang dipupuk lebih daripada itu adalah nilai kemanusiaan. Kadang-kadang kita lupa. Sebab itu saya pesan juga kepada guru-guru, baik guru Matematik, guru Sains, jangan tinggalkan soal kemanusiaan, soal nilai, soal budaya. Perhatikan sikap-sikap anak-anak ini. Kerana kita tidak mahu negara ini bunyi hebat, ekonomi baik, pelancongan meningkat tinggi, melonjak tinggi dalam angka yang kita dapat dua hari yang lalu, jadi minat bagi negara luar. Itu hanya satu petanda. Petanda yang berjaya atau tidak adalah nilai manusia yang kita latih itu.
- Jadi ini saya mulakan dengan menekankan hal ini kerana bagi saya, tema Pengakap Johor tahun ini “Perpaduan Pemacu Kelestarian Belia dalam Kepengakapan”. Panjang bunyinya. Hendak ulang pun susah. Tetapi apa isi yang kita kena faham? Tanpa perpaduan, negara hancur. Bakar sana, bakar sini. Benci sana, benci sini. Lihat apa yang berlaku. Jadi semangat perpaduan. Perpaduan makna apa? Di kalangan orang Islam. Di kalangan kawan-kawan sesama Islam, dengan Kristian, dengan Buddha, dengan Hindu, dengan orang Asli.
- Kemudian ada juga kawan-kawan kita yang datang dari Singapura, dari Indonesia, dari Hong Kong. Itu maknanya pendedahan kita kepada masyarakat antarabangsa. You get to know friends, not only Malaysians, but now our close friends from Singapore, Indonesia, and some other countries from time to time. So, thank you very much for the foreign delegates. Welcome to Malaysia. Welcome to this beautiful Mersing.
- Jadi ini saya hendak pesan memanglah seperti biasa, Ketua Pengakap bila cadang itu minta peruntukan-peruntukan, saya beritahu kepada YB Tan Sri Johari, Speaker Dewan Rakyat. Saya ingat adalah kita luluskan, tapi saya tengok ini, kemudian Pengarah, Pegawai Daerah Mersing, ada? Ha, okay. Terima kasih kerana dia banyak bantu untuk menyelenggara, menyelaraskan program ini. Kalau apa-apa kurang, minta Pegawai Daerah. Kalau tidak cukup, nanti minta Menteri Besar. Tapi untuk khemah ini, perkhemahan pada berapa hari ini, bila habis ini? Okey, saya luluskan peruntukan khas RM100,000 untuk ini sahaja.
- Dan saya harap nanti cuba, hari ini hari Sabtu, cubalah paling akhir, paling lambat hari Isnin kita hantar dana itu supaya apa-apa keperluan lain, hendak makan sedap sikit ke, apa ke, boleh lah. Tetapi pengakap selalu tidak makan sedap. Dia makan yang lazat sahaja, tapi yang mudah sahaja. Kalau tidak cukup ikan, pergi laut ambil. Kalau hendak daging, beritahu Pegawai Daerah. Kalau ada kambing mana-mana keliaran, tangkap sembelih, tetapi bayar dulu. Itu gurau. Pengakap dia curi ayam, payah saya hendak jawab. Siapa suruh? PM Anwar suruh, PMX. Jangan, jangan, jangan. Saya bergurau.
- Baik, jadi kalau paling cepat hari Isnin saya minta disampaikan. Kerana saya tidak mahu jadi macam orang politik dulu-dulu kan, dia janji satu (1) tahun pun tidak sampai-sampai lagi. Saya ingat dulu masa saya kecil-kecil, orang politik datang kampung. Oh, kampung ini elektrik tidak cukup, lampu jalan. Kita umumkan lampu jalan akan dipasang. Belum pilihan raya tahun itu. Dekat pilihan raya satu lagi baru pasang tiang. Belum lampu lagi. Tidak boleh, tidak boleh. Jadi cara kita, Pegawai Daerah, cara kita mesti. Jadi cuba, insya-Allah, kerana hari ini Sabtu, Ahad sukar. Jadi hari Isnin, kita hantar RM100,000 dan keperluan lain yang untuk Pengakap Malaysia dan Pengakap dalam kegiatan mereka saya akan beri pertimbangan dan akan bincang dengan pimpinan Pengakap. Dan mereka pun ada YB Tan Sri Johari, Speaker Dewan Rakyat, yang memang penyokong Pengakap setia.
- Saya tidak tahu pun rupanya ada soal jawab sikit yang ini. Saya boleh singkat sebab ada Program Ijtima Perdana di Johor Bahru. Sekejap boleh. Tetapi saya sekali lagi lah nyatakan kegembiraan saya jumpa anak-anak dari Johor dan beberapa negeri lain. Mesra, senyum.
- Ini ramai pelancong boleh datang, dia kata istimewa Malaysia apa? Orang baik, orang senyum. Lebih-lebih lagi di Johor, tepi-tepi laut. Bila angin memukul, dia pun senyum berlebih. Alhamdulillah. Jadi terima kasihlah, senyum banyak-banyak. Boleh?
- Tapi jangan lupa, saya hendak pesan satu yang penting tadi. Kita bangga dengan ilmu, dengan kecemerlangan di bidang pendidikan. Kita bangga dengan kemahiran dan keterampilan kita. Tetapi kita harus lebih bangga dengan mengasaskan nilai karamah insaniyyah, nilai manusia itu. Sebab itu juga dirumuskan dalam Al-Quran Abdul Kareem, wa laqad karramnā banī Ādam (Surah Al-Isrā’ (17:70)). Allah angkat darjat anak cucu Nabi Adam, manusia ini.
- Jadi mudah-mudahan anak-anak jangan lupa itu. Jangan sombong. Jangan biadab. Ikut peraturan. Kalau ada kawan-kawan terlanjur, tegur dengan baik. Biar kita ini terkenal sebagai negara yang merdeka, berdaulat dan beradab. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya sukacita merasmikan Forum Temu Anwar sempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor kali ke-27 Tahun 2025.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sesi Q&A Temu Anwar
Soalan 1: Aaron Lim Hong Rong dari Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Skudai.
Kami sebagai pengakap kelana berumur 18–25 tahun, mahupun generasi muda yang bakal menjadi pengundi pada pilihan raya yang akan datang ini. Untuk membantu kami semua melaksanakan tanggungjawab kenegaraan dengan mantap, apakah nasihat ataupun cadangan yang Datuk Seri boleh sampaikan supaya kami dapat membuang undi dengan tepat dan menentukan hala tuju negara yang tepat dan baik?
Jawapan YAB Perdana Menteri:
Terima kasih Aaron. Berkenaan hak anak muda berumur 18 tahun untuk mengundi itu harus disempurnakan. Kerana itu hak itu memang dijamin dalam Perlembagaan dan jaminan bagi negara demokrasi. Kalau umpamanya kita mahu pemimpin yang dipilih itu tidak menyakau duit rakyat. Balak ke, kontrak ke, itu diberi kepada suku sakat tanpa proses yang betul. Kalau kita mahu negara ini ada dasar pendidikan yang baik, kalau kita mahu jamin perpaduan negara ini, majoriti Melayu-Islam mesti dipertahankan hak mereka. Tapi negara ini juga mesti menjamin hak semua warganegara Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan. Kalau kita faham semua ini, maka kita kena pilih pimpinan dan wakil kita yang boleh menyampaikan hasrat kita. Kadang-kadang kita terlupa. Kita dengar banyak sangat di media sosial fitnah, terlalu banyak kerana kita tidak gunakan ilmu kita itu memilih dan menilai dengan baik. Ada orang kata, “orang ini ejen Israel.” Terus kita percaya, “ya, ya, ya,”, tidak ada nilai langsung. Jadi kita kena latih diri kita supaya memahami dasar. Kerana umur 18 itu cukup matang boleh membaca, boleh menilai. Sebab itu saya selalu tekankan jangan kita hanya menjadi orang yang menurut tanpa gunakan akal fikiran dengan baik. Teapi yang saya tekankan tadi, yang paling asas apa? Akhlak. Mana mungkin kita kata kita ini pejuang, tapi kerjanya menghina orang? Bagaimana boleh kata kita ini menjadi pejuang, tetapi kerja kita maki hamun, hina dan fitnah orang? Dengan itu sahaja terbatal. Jadi kita pilih orang yang boleh menyampaikan hasrat, apalagi perjuangan anak-anak muda. (rakaman tersangkut)
Soalan 2 : Seorang Pengakap Kelana dari Pusat Tingkatan Enam, SMK Dato’ Sri Amar Diraja, Muar
Persekutuan Pengakap merupakan rangkaian luas bukan sahaja di Asia, malah di seluruh dunia. Jadi sebagai Pengerusi ASEAN, pada pandangan Datuk Seri, bagaimana ASEAN boleh membantu agar pergerakan pengakap ini diiktiraf sebagai agensi sukarela yang menyokong misi dan visi ASEAN? Dan adakah terdapat cadangan kerajaan untuk mengiktiraf secara rasmi pengalaman serta sumbangan sukarela ahli-ahli pengakap sebagai nilai tambah dalam pendidikan, kerjaya dan biasiswa?
Jawapan YAB Perdana Menteri:
Okey, untuk soalan tentang ASEAN dan berhubung dengan Kerajaan. Kalau di Indonesia disebut lembaga swadaya. Ataupun kalau di sini, masyarakat sivil atau NGO. Pengakap ini merupakan sesuatu yang telah teruji. Sebab itu ia didukung oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi secara langsung diberi keizinan, diberi galakkan dan kerajaan, seperti yang saya sebut hari ini, akan terus memberikan bantuan dan peruntukan untuk menggalakkan kegiatan-kegiatan ini. Dalam konteks ASEAN, kita ada ruang besar yang kita galakkan, terutama anak muda, wanita, dan NGO. NGO yang banyak, dan saya fikir ia bukan masalah, ia bukanlah menjadi agenda. Agenda ASEAN terlalu banyak ya. Kita tekankan soal pertama, mesti aman. Yang banyak bergaduh-bergaduh, mesti leraikan. Kemudian digital, connectivity. Kemudian, tenaga. Macam dari Vietnam ke Tanah Melayu, turun ke Singapura. Dari Sarawak ke Semenanjung, ke Singapura, ke Sabah, ke Indonesia, ke Filipina. Itu yang kita tekankan juga. Jadi banyak hal-hal, tapi saya percaya kalau ada nak pengakap fikir, okey ada satu Perhimpunan Pengakap ASEAN, itu saya rasa cadangan yang baik. Saya boleh pertimbangkan, cuma beritahu Tan Sri Speaker, Tan Sri Johari, beliau cari jalanlah bawa ke Parlimen.
Soalan 3: Seorang ahli pengakap dari Kelana Udara D Rajawali, Kelantan
Pada pandangan Yang Amat Berhormat Dato Seri, bagaimana Pergerakan Pengakap yang telah berusia 117 pada hari ini boleh kekal relevan sebagai agensi bukan kerajaan dalam mendepani dunia digital yang penuh cabaran dan dugaan ini?
Jawapan YAB Perdana Menteri:
Baik, yang dari Kelantan tanya sebab macam mana nak kekal relevan pengakap? Hari ini relevan pengakap. Hari ini, ia masih relevan. Dan soal ada nilai-nilai yang kekal sepanjang masa, yang universal, umpamanya kemahiran, disiplin, perpaduan, yang dipupuk dalam semangat, tolong-menolong, kasih sayang. Itu tak lekang dek zaman. Maknanya, dia relevan 100 tahun lalu, dia akan relevan 100 tahun akan datang, melainkan manusia itu dah hilang kemanusiaannya. Kalau manusia kekal mahu jadi manusia, badan-badan yang memupuk nilai manusiawi, kemanusiaan atau insaniah ini akan kekal relevan. Cuma tentulah dari kemahiran dulu orang tak bercakap soal digital, tak bicara soal AI. Sekarang kita bicara soal itu. Tapi dia tidak hilang tunggaknya. Apa dia tunggaknya? Kemanusiaan. Ihsan. Rahmah. Itu yang ditekankan dalam ciri-ciri dan nilai dalam pengakap. Jadi, insya-Allah akan kekal relevan.
Soalan 4: Nurauzah binti Razali dari Pengakap Kelana Terbuka A, Kulai.
Sebagai seorang pemimpin negara dan juga tokoh dunia, apakah pesanan khusus Yang Amat Berhormat Dato’ Seri kepada Ahli Pengakap Malaysia yang suatu hari nanti bakal menjadi pemimpin negara supaya mereka dapat memimpin dengan integriti, kebijaksanaan dan juga nilai kemanusiaan sejagat.
Jawapan YAB Perdana Menteri:
Baik, terima kasih. Ini dua soalan terakhir. Pertamanya, bagaimana pesanan khusus bagi anak-anak pengakap. Seperti mana saya rumuskan, kemudahan ini tak diperolehi oleh semua orang. Tidak semua negara yang punyai keupayaan ini. Kalau ada pun, hanya di kalangan yang terpilih. Di Malaysia, jumlah keanggotaannya tinggi sekali. Peluang ada. Selalunya kita lupa. Kalau tak dimanfaatkan sekarang, esok dah lepas, baru teringat. Kita rasa rugi. Ini saya nak pesan betul-betul. Anak-anak, kalau tak manfaatkan peluang, latihan, persahabatan, perpaduan dan semangat Pengakap, esok bila tinggal sekolah dan universiti, kebanyakan dia akan sibuk dengan lain-lain. Akan merasa menyesal. “Oh, betapa baik kalau aku manfaatkan sepenuhnya peluang yang ada.” Peluang tentunya seperti khemah perkhemahan ini, atau program-program latihan yang lain. Tetapi yang penting sekali ialah nilai kita. Jangan lupa. Saya tengok dalam keadaan negara-negara Barat, ada negara-negara hancur kerana tak ada nilai. Bunuh orang pun okey. Macam di Gaza; tembak rumah, tengok betul-betul rumah orang duduk — wooo, mengheban. Bayi tahun 2025, kelaparan. Tidak ada langsung menyentuh naluri dia, dhamir dia. Mana dia nilai-nilai kemanusiaan ini?Ada orang sakit tenat, baik di sana ataupun di sini, mana nilai kemanusiaan? Orang muda-muda, orang tu sihat, dibuli. Nilai kemanusiaan itu terhakis. Sebab itu saya kata, kalau pesan saya, manfaatkan keterampilannya, kemahirannya, latihannya, perpaduannya. Tetapi ingat, tonggaknya adalah nilai manusia, itu dia. Semua kita tahu kalau contoh. Siapa dia contoh terbaik bagi kita? “Laqad kāna lakum fī Rasūlillāhi uswatun ḥasanah”. “Uswah hasanah”, maknanya contoh terbaik. Contoh terbaik itu Rasulullah SAW. Kita semua bicara, selalu selawat, “Allāhumma ṣalli ‘alā sayyidinā Muḥammad”. Tetapi sedikit pun tak ambil tahu tentang bagaimana peribadinya, kesabarannya, kasih sayangnya, kesederhanaannya. Ini yang kita kena tahu. Kalau tidak, orang guna agama ke, guna Melayu ke, hasut dan tidak beri kesan apa-apa. Jadi sebab itu saya tekankan lagi tentang nilai yang harus kita pupuk.
Soalan 5: Nur Syakirah binti Osman, Pengakap Kelana B, Pusat Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara.
YAB Dato’ Seri telah memperkenalkan Malaysia MADANI yang mempunyai enam elemen utama yang merupakan kerangka dasar untuk mencapai kemajuan teknologi yang seimbang dan untuk mengukuhkan pengetahuan moral masyarakat. Pada pandangan YAB Dato’ Seri, bagaimana kami Ahli Pengakap yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur ini mampu membantu menjayakan gagasan Malaysia MADANI?
Jawapan YAB Perdana Menteri:
Yang kedua ini, bagaimana Pengakap harus bantu bersama dalam negara MADANI. MADANI ini bukanlah saya kata idea baru saya kata tak, kita rumuskan. Sebab saya lihat umpamanya, sepertimana menjawab soalan pertama, kadang-kadang kita sibuk. Semua nak maju, semua nak pandai, semua nak mengejar digital, technological, transformation, semua nak mengejar artificial intelligence (AI). Kadang dia lupa nilai manusia, pecah-belah. Dia pandai AI, tetapi sama-sama kaum dengan kaum yang lain — hina, pandang rendah, benci-membenci. Dia faham agama, tetapi agama itu bukan untuk memupuk kebaikan, tetapi memupuk kebencian. Jadi, MADANI ini saya tegaskan, tegaskan macam kemampanan. Tentunya ekonomi kena mampan. Tetapi ekonomi mampan itu untuk hari jangka panjang. Jangan musnahkan alam sekitar. Kamu kaya, untung syarikat, jangan tekan pekerja sampai gaji rendah sangat. Kita ada kuasa, janganlah rebut kontrak itu untuk anak pinak kita. Semua ini teras dalam nilai negara MADANI. Tentang daya cipta, innovation. Negara tak boleh maju kalau asyik ikut ‘hat’ lama — kelapa sawit, getah, bijih timah. Mana nak maju? Kemudian, ada teknologi industri lama, tidak boleh lagi dah. Sekarang industri itu lebih canggih, new technology. Macam di Johor masuk NVIDIA, ARM di Lembah Klang, Infineon di utara Kulim dan Pulau Pinang. Itu semua memerlukan anak-anak yang punyai kemahiran dan kepintaran yang lebih tinggi. Maknanya kena tekun belajar. Kalau tidak, kekal di tahap yang lama. Dan ini nilai-nilai MADANI. Maknanya ekonomi kita nak kuat. Teknologi mesti tinggi. Tapi manusia pun mesti terangkat. Jangan tinggi teknologi, manusia diruntuhkan. Kilang besar, untung tinggi. Tapi pekerjanya, akhlaknya rendah. Penguasa syarikat, saudagar-saudagar untung besar, orang pekerja tidak dipedulikan. Rumah robek. Ini yang disebut negara MADANI. Mesti terapkan soal keadilan, soal ihsan, kasih sayang. Baru selamat negara ini. Dan saya percaya pengakap punyai peranan. Dan anak-anak yang bersama harus ingat bahawa masa depan kita itu dengan menyemai semangat yang positif, membina manusia yang berakhlak mulia dan bawa perubahan bagi negara kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
