TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MALAM HIMPUNAN & SELAWAT MALAYSIAKU BERSAMA GAZA SERTA PELEPASAN KONVOI SUMUD NUSANTARA 2025

24 Ogos 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MALAM HIMPUNAN & SELAWAT MALAYSIAKU BERSAMA

 GAZA & PELEPASAN KONVOI SUMUD NUSANTARA 2025

 

 

 

24 OGOS 2025 (AHAD) | 9.00 MALAM

DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Saudara-saudara, saudari-saudari yang saya muliakan,

  1. Malam ini malam yang kita peringatkan, bukan sahaja perjuangan umat Islam, Gaza dan Palestin, tetapi tentang penderitaan yang dirasakan oleh mereka, yang turut kita rasakan.

 

  1. Saya ucapkan penghargaan, terima kasih, jazakumullahu khairan kathiran atas inisiatif MAPIM, saudara Nadir, rakan-rakan menteri dan juga yang saya muliakan tuan-tuan guru yang hadir bersama. Kerana Malaysia dari segi unik, rakyat bangkit bersama dengan Kerajaan MADANI, dengan satu tekad, satu suara membela nasib rakyat Palestin dan Gaza.

 

  1. Benci dengan kezaliman yang berterusan, menolak keganasan, pembunuhan wanita, anak-anak. Malu dunia sekarang. Mana mungkin negara merdeka berbicara soal hak asasi, bicara soal keadilan, rakyat diterajang, dibunuh, anak-anak kecil, wanita. Dunia gagal sistemnya, bukan satu hari, bukan satu minggu, berbulan, bertahun.

 

  1. Jadi saudara-saudara, soal Gaza, soal Palestin bukan baru. Saya masih ingat masih muda, dijemput oleh Yaseer Arafat ke Algiers, persidangan PLO masa itu. Bicara tentang pembunuhan, penaklukan, penjajahan, hari ini 2025, masih. Saya tanya, kepala-kepala negara Eropah, Amerika dan lain-lain. Apakah kita berjuang, bolehkah kita terima penjajahan? Mengapa dalam soal Gaza penjajahan diizinkan? Apakah kita terima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita? Mengapa di Gaza, kerana Arab-nya, kerana Islam-nya, kerana nama Palestin-nya, diberi keizinan? Ini persoalan yang kita terus tanya, dan apa jawapan? “Hamas 7 Oktober”, itu sahaja jawapan mereka.

 

  1. Saya tegaskan, betul, kita tahu apa yang berlaku. Ini berlaku kerana kezaliman yang kamu lakukan selama puluhan tahun. Tanah kamu rampas, rumah kamu musnahkan, sekolah kamu robohkan, masjid kamu leburkan, malah gereja juga kamu hancurkan. Ini bukan manusia, ini haiwan! Itu jawapan kita kepada mereka.

 

 

  1. Enam puluh, tujuh puluh tahun yang lalu berlaku penjajahan. Kita merdeka tahun 1957, mengapa kita usir Inggeris? Kerana kita mahu Tanah Melayu dan Malaysia bebas dan Merdeka! Kita yang menentukan masa depan kita. Mengapa negara yang merdeka menolak penjajahan, boleh terima penjajahan? Apa yang berlaku di Gaza ini penjajahan.

 

  1. I mean a lot of reference in the past, but the history, the struggle of the Palestinian and Gaza, very steadfast, consistent in their rejection of imperialism, colonialism, and exploitation of people. Killing and murder, destruction of their property. The great scholar Edward Said once said, do you want to understand the politics of Palestine? It is the politics of dispossession.

 

  1. Meaning, everything that you possess is taken away from you. You are dispossessed, your land, your water, your house, your family, your children, your babies, everything they came and destroyed. Why is it so difficult to understand? Why this hypocrisy? Why talk about human rights and democracy? What human rights? What democracy? What world order? when you have is complete destruction of houses and people in Gaza and Palestine.

 

  1. Maaf tuan-tuan guru dan mufti-mufti, Mufti Perlis ada dan Mufti Wilayah Persekutuan ada, kerana saya masalah ini, saya beritahu Nadir, saya tahu bagitahu Syeikh Araby melelahkan. Kalau dulu saya bicara keras, sekarang saya sudah Perdana Menteri, dan saya gunakan kuasa sedaya upaya saya, bercakap dengan setiap pemimpin Islam, pemimpin Jepun, China, India. Mana saya pergi saya tidak pernah tinggalkan saudaraku, saudaraku Gaza dan Palestin.

 

  1. Merayu, mendesak. Saudara, memang ujian besar. Ujian besar kepada Gaza dan Palestin, kepada umat Islam dan kepada manusia yang cintakan keadilan dan faham kemanusiaan. Sebab itu Allah menekankan jangan kita cuai, ‘la takhaf wa la tahzan innallaha ma’ana’ (Surah At-Taubah, petikan Ayat 40). Mesti mengorak langkah, jangan rasa mengalah. Ya, melelahkan. Ya, kadangkala mengecewakan. Ya, kadang-kadang merasakan tidak ada harapan. Tetapi percaya saudara, ‘nasrum min Allah wa fathun qareeb’ (Surah As-Saff, petikan Ayat 13), kita percaya dengan pertolongan Allah SWT. Tetapi pesanan kepada kita, gesaan daripada Allah SWT, tidak lari daripada kita melangkah dalam perjuangan. ‘Wallaziina jaahadu fiinaa lanahdiyannahum subulanaa, wa innallaaha lama’al-muḥsiniin’ (Surah Al-Ankabut, Ayat 69). Jadi jangan kita merasa lelah dan kecewa mengorak langkah.

 

  1. Jadi, kepada Syeikh Araby dan Nadir yang mengambil inisiatif ini, saya menyatakan silakan saudara-saudara, kami bersama saudara-saudara. Sumud Nusantara Flotilla adalah sumud rakyat Malaysia dan rakyat yang cintakan keamanan dan kebenaran. Belum cukup usaha, kita tambah usaha. Membujur lalu melintang (patah)! Lawan tetap (lawan)! Ini semangat yang harus ada di kalangan kita.

 

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

  1. Apakah perkembangan yang terakhir? Tentunya keadaan jauh lebih baik. Saya bicara dengan Perdana Menteri Jepun dua (2) tahun lalu, dia setuju untuk Jepun dan Malaysia mengepalai usaha pembangunan semula Gaza. Mesyuarat diadakan dengan kerjasama Kementerian Luar di Kuala Lumpur. Ada sedikit inisiatif tambahan. Dalam keputusan-keputusan dunia, kita semua bersama. Di Hague, bukan sahaja negara-negara Islam, Sepanyol tegas, Brazil tegas, Afrika Selatan tegas. Ada perubahan saudara, suara orang yang berani menolak penjajahan kezaliman Zionis Israel. Ya, belum menang tetapi insya-Allah akan dan pasti menang kebenaran dan keadilan.

 

  1. Bulan ini bulan Merdeka Malaysia. Tahun 20-an, 30-an, 40-an ialah bapa-bapa kita mengorak langkah. Siapa percaya kita boleh mencatat dan mencapai kemerdekaan? Siapa percaya Indonesia masa Bung Karno boleh membebaskan Indonesia dari ancaman-ancaman, genggaman, penekanan, pemerasan Belanda dengan sekutu-sekutu mereka? Siapa percaya orang kerdil seperti Mathatma Gandhi dan Muhammad Ali Jinnah boleh bangkit melawan kekuatan Inggeris? Siapa percaya Vietnam menolak Perancis dan Amerika? Ini makna merdeka.

 

  1. Bergerak dengan keyakinan. Ini bulan merdeka dan saya gembira, syukur Alhamdulillah, mendengar rakan-rakan kita menyatakan mereka akan bergerak 31 Ogos hari keramat Merdeka Malaysia. Merdeka!

 

  1. Semangat ini harus ada saudara-saudara. Ini maknanya suara bersama, bukan suara parti, bukan suara kelompok, bukan suara kaum, bukan suara wilayah. Ini suara rakyat Malaysia!

 

  1. Tak banyak negara, rakyat, pertubuhan-pertubuhan sukarela, ulama, anak muda, wanita, semua berkumpul dengan satu tekad, tegakkan kebenaran dan keadilan, tolak kezaliman dan kemungkaran, dan mahu rasa merdeka! Ini yang kita harapkan saudara-saudara.

 

  1. Jadi saya percaya perhimpunan ini, seperti mana saya sebut, tidak banyak negara saudara. Rakyat dan saya sebagai rakyat Malaysia, bersama dengan rakyat, lakukan apa lagi yang belum kita lakukan. Bawa yang uzur, yang sakit dengan dua pesawat, kita sudah bawa. Kebanyakannya sudah dirawat, sudah pulang. Anak-anak yang di sini tertinggal, bagi dia peluang pelajaran. Kemudahan dan bantuan kita terus kirim. Tak cukup dana, malam ini saya umumkan, bagi pihak Kerajaan MADANI, kita telah luluskan dua tahun yang lalu RM100 juta ringgit, malam ini saya isytiharkan kerajaan Malaysia akan beri dana RM100 juta ringgit lagi.

 

  1. Sebagai permulaan dan saya minta rakyat, syarikat-syarikat, pedagang-pedagang yang banyak, yang kaya raya, ingat! negara ini bebas, negara ini aman sentosa, belajarlah daripada itu, dan jaminlah aman dan kebebasan bagi rakan-rakan yang lain.

 

  1. Saya akan minta rakan-rakan dari syarikat-syarikat negara kita untuk turut prihatin. Mereka telah bantu sebelum ini, ada yang memberi pelbagai bantuan, tetapi dengan Zionis Israel, sampai busuk barang, sampai rosak, apa jenis manusia? Ini bukan manusia, ini haiwan!! Mahu orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk, orang sakit perlu ubat, ubat yang dipagar tidak boleh masuk. Manusia yang jenis paling teruk pun tidak seperti itu. Saya umur 78 tahun, saya belum pernah lihat, baca dan dengar di zaman baru ini, mutakhir ini, manusia sekejam itu.

 

  1. Ini Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim. Boleh pertahankan anak-anak kecil, semua Hamas. Anak dua tahun berlari, ini Hamas. Ini penyakit. Saudara, malas kita bicara soal ini. Yang harus kita bangkit.

 

  1. Akhir kalam, dengan izin tuan-tuan guru ada, Mufti-mufti ada, dan rakan-rakan saya Menteri, saya nak pesan kepada rakyat Malaysia, belajarlah dari pengalaman ni bahawa dengan kesatuan kita, kita boleh lakukan dan suarakan apa yang jarang boleh dilaku dan disuarakan oleh mana-mana negara lain.

 

  1. Sebab, kita bersatu. Sebab, kita punya satu tekad. Sebab, kita benci dengan perpecahan. Sebab, kita mahu rakyat ini bangkit bersama. Negara ini maju supaya rakyat dapat selesa. Negara ini maju dan makmur supaya jadi contoh dan teladan, supaya negara-negara lain boleh belajar dan jamin keamanan, boleh bantu rakyat yang susah termasuk di Gaza.

 

  1. Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan di kalangan kita, bina kekuatan baru. Anak-anak muda, saya pesan, anak-anak muda harus bangkit jaga negara ini, biar benar merdeka, biar maju, biar naik martabat, harakat dan darjat bangsa dan negara. Barulah boleh kita maju dan bantu yang lain.

 

  1. Mudah-mudahan malam ini, tanam lagi roh jihad, semangat perjuangan kepada rakyat kita dan rakyat Gaza. Salam kepada mereka, bagi mereka melihat. May I say this, to my brothers and sisters of Gaza and Palestine: We will never abandon you. We will never surrender like you, and in fact, we learn from your feel, your spirit and your struggle, we salute your spirit of struggle and we will never leave you alone. Malaysians and many other friends are with you, my brother, sister from Gaza and Palestine.
  2. Kita bersama mereka dan kita doakan kepada Allah SWT meringankan beban dan tekanan mereka, dan mencapai kejayaan dalam masa yang sesingkat mungkin.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: