TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN SOLAR TERAPUNG HIDRO HIBRID DAN HAB HIDROGEN HIJAU DI TERENGGANU

12 Julai 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN SOLAR TERAPUNG HIDRO HIBRID DAN HAB HIDROGEN HIJAU DI TERENGGANU

 

 

 

12 JULAI 2025 (SABTU) | 9.30 PAGI 

STESEN JANAKUASA SULTAN MAHMUD, TASIK KENYIR,

HULU TERENGGANU

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Saudara Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu,
YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar;

YBhg, Ketua Setiausaha Negara;

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA),

YB Tuan Haji Akmal Nasarullah bin Mohd Nasir;

Setiausaha Kerajaan Negeri;

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

YBhg. Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid,

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad;

YBhg. Tan Sri Mohd Bakke Bin Salleh,

Pengerusi PETRONAS;

Pengurusan Petronas;

Pengurusan TNB;

Wakil Kerajaan Persekutuan dan negeri;

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

  1. Hari ini kita telah mencatat satu lagi perkembangan baru yang menarik, yang menunjukkan kesegaran pertumbuhan negara kita dan menjadi tempat markas tumpuan pelabur regional dan antarabangsa.
  1. Seperti mana kita sedia maklum, dalam perkembangan mutakhir ini, kita tekankan umpamanya keperluan peralihan tenaga dan Kenyir merupakan satu kekuatan hidro. Tetapi, kini ditambah dengan permulaan kerjasama dua gergasi, Petronas dan TNB, untuk menakhodai satu projek asal solar dan sekarang hidrogen hijau.
  1. Ini semua merupakan beberapa penyelidikan yang mengarah kepada tenaga alternatif baharu, bersih dan hijau, yang telah disepakati di peringkat antarabangsa dan juga menjadi dasar tenaga negara kita.
  1. Oleh sebab itu, saya ucap terima kasih kepada saudara Dr. Samsuri kerana memberikan kerjasama penuh dari Terengganu Inc dan Kerajaan Terengganu kepada projek ini.
  1. Kita lihat umpamanya di Semenanjung sahaja, yang terbaru Johor-Singapura Economic Zone, yang telah menjadi tarikan kepada pembangunan pertumbuhan pelaburan termasuk teknologi baharu. Data centre, Artificial Intelligence, itu menjadi tumpuan. Kemudian, selain daripada Kulim Hi-Tech yang sekarang hampir sesak, penuh, dan juga pembangunan Pulau Pinang sampai turun ke Batu Kawan juga hampir sesak. Kita kemukakan program teknologi tinggi hijau KIGIP di Kerian, utara Perak, selain daripada Automotive City di Tanjung Malim.
  1. Sebab itu, pengembangan projek-projek ini untuk negeri, kalau dimulakan di Semenanjung, sangat penting. Dan sekarang umpamanya bila pembangunan hidro dan hidrogen hijau di Kenyir, ia merupakan satu pemusatan minat pelabur antarabangsa. Sekarang ini bukan sahaja Terengganu, tapi Kenyir menjadi suatu tarikan.Dan kalau kita lihat pelabur-pelabur yang bercakap soal tenaga hijau itu, termasuk Kenyir dengan projek yang kita luncurkan pada hari ini.
  1. Saya ucap terima kasih kerana bila kita umumkan dalam belanjawan, ada yang katakan pengumuman tapi tak ada nampak. Jadi dia nampak hari ini bagaimana projek itu dikaji dan dilaksanakan dengan cepat. Dan saya ucap tahniah kepada yang terlibat, Petronas, TNB dan Terengganu Inc.
  1. Jadi satu pengajaran. Pertama, projek yang telah diumumkan segera dilaksanakan walaupun ini rencana daripada syarikat-syarikat utama kerajaan, tetapi ia dengan sendiri dapat tarikan. Dan seperti mana yang disebut oleh saudara Akmal tadi, ia ada kaitan dengan apa yang disebut sebagai ASEAN Power Grid, tenaga ASEAN. Maknanya, dari Vietnam ada projek kabel bawah dasar laut (undersea cable) ke Kelantan dan terpaksa bina grid baru. Grid yang lama dianggap kecil, tidak boleh menampung kekuatan 502,000 ini. Jadi grid baru ini akan bermula dari Kelantan lepas ini Terengganu dan saya rasa percaya mesti menyambung kepada keupayaan dan infrastruktur di sini, di Kuala Berang, Kenyir sehinggalah ke Pahang, menembusi sebahagian Selangor, Johor dan Singapura.
  1. Dalam perbincangan dengan Presiden Prabowo umpamanya, beliau mahu itu dia melangkau supaya cadangan di Sarawak, kerana Sarawak juga merupakan satu markas, lapangan, landasan green hub yang utama di rantau kita yang melepasi Sabah, Indonesia, selatan Filipina dan mungkin ke Batam dan Singapura.
  1. Jadi saudara lihat umpamanya bila kita bincang dengan negeri ASEAN ini, sekarang bukan bincang diplomatik dan perbincangan kerjasama biasa, tetapi juga kerjasama yang telah disepakati dan melaksanakan beberapa projek. Dan ini telah bermula. Sekarang persiapan untuk pembinaan kabel dan juga paip sedang diselenggarakan, dan kontrak untuk undersea cable di antara Vietnam–Malaysia itu sedang juga diselenggarakan. Sebab itu, projek ini bagi kita sangat kritikal dan kerjasama untuk menyegerakan juga penting. Itu dari segi rantau, tapi dari segi kawasan kita, apa yang faedah yang bentuk Kuala Berang?
  1. Jadi, saya usulkan Petronas dan Tenaga Nasional Berhad juga mencari kaedah-kaedah baru dari segi latihan. Sekarang ini, umpamanya dulu penekanan tentang TVET itu sangat penting. Ada pelaburan dari Jerman, namanya Infineon, syarikat semikonduktor terbesar di Eropah. Dan untuk di Kulim Hi-Tech, Melaka itu mencecah hampir RM25 bilion. Cip dan semikonduktor itu sudah peringkat front-end maknanya sudah peringkat tinggi, tidak peringkat asas yang disebut back-end seperti dulu. Ia memerlukan jurutera yang cukup terlatih. TVET bukan sahaja TVET biasa, TVET peringkat atas, upskilling. Inilah yang peranan yang harus dibuat, diambil juga oleh Petronas dan sepertimana kita tahu, Petronas telah dijalankan dari peringkat TVET, latihan sehingga ke universiti, begitu juga TNB.
  1. Jadi, saya minta umpamanya kerana projek besar ini di Kenyir, Terengganu, ada usaha khusus untuk TNB dan Petronas umpamanya, kerjasama dengan kementerian-kementerian berkenaan; Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Sumber Manusia dan lain-lain, dan juga kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengadakan beberapa program peluang latihan khas.
  1. Saya nak pastikan supaya anak Kuala Berang sendiri dipilih untuk diberi latihan, supaya nanti rakyat di Kuala Berang, kata ” projek besar di sini, tapi anak-anak kami takkanlah setakat buka restoran-restoran kecil sahaja atau tukang-tukang pembersih.” Baik, itu boleh diteruskan kerana kita perlu tenaga mereka, tetapi eloklah dirancang supaya ada tempat di mana anak-anak dari Kuala Berang dan Terengganu juga diberi latihan khusus satu kuota supaya ada manfaat dan faedah. Jadi, saya harap ini dapat disegerakan.
  1. Kita lihat umpamanya ada satu projek skala besar yang kita laksanakan dan saya tidak mahu umpamanya ada rakan-rakan menganggap ini satu acara propaganda, tidak. Tetapi kalau saudara-saudara ikuti soal tenaga baharu, tenaga hijau, solar itu bukan suatu yang sangat canggih. Ada projek besar di sini, ada projek besar di Thailand, Vietnam, Indonesia, tetapi solar dengan hidrogen hijau ini suatu yang sangat baru dan canggih. Dan Kenyir mencatat sejarah, kerana kita dapat segerakan dan menjadi tumpuan. Dan kita tahu, kalau ini dimulakan, beberapa pelaburan daripada Arab, Jepun yang menunjukkan minat, dan saya percaya Petronas, TNB dan Kerajaan Negeri boleh bincang bagaimana boleh kembangkan program ini.
  1. Baik itu dari segi teknologinya, tetapi saya nak tekankan juga aspek kedua, iaitu latihan dan faedah kepada rakyat kita. Tak ada makna kalau teknologi itu semua daripada asing, kemudian kepakaran benda asing. Ini kita lihat keupayaan anak-anak kita sendiri menyelenggarakan projek yang baru dan canggih. Sebab itu, soal latihan dan AI itu penting. Dan sementara ada institusi yang sedia ada, kementerian-kementerian sedang memikir bagaimana boleh disediakan beberapa tempat baru, di mana TNB dan Petronas itu boleh ambil alih beberapa pusat yang sedia ada dan kendali projek untuk memenuhi keperluan ini.
  1. Kalau ada sekitar, umpamanya Kuala Berang atau sekitarnya, beberapa projek yang dianggap institut latihan atau TVET, mereka harus mendekati Petronas dan TNB supaya mengambilalih kalau tidak sepenuhnya institut itu atau sebahagiannya supaya dapat melatih di peringkat yang lebih tinggi anak-anak kita dan memenuhi keperluan pekerjaan di sini ataupun yang berkaitan dengan industri.
  1. Saya tekankan, sebahagian kuota haruslah beri peluang dan kesempatan kepada anak-anak tempatan, termasuk dari Kuala Berang. Dan ini, dengan sendirinya menjawab beberapa kegelisahan, katanya, a kita tak bagi perhatian kepada Terengganu. Projek kita sangat pragmatik, kalau projek itu sesuai di Kulim Hi-Tech Kedah, dia pergi ke Kedah. Kalau sesuai di Sarawak, di Sarawak. Dan di sini, kalau Kenyir itu suatu yang sangat indah dan memenuhi keperluan kita, maka di Kenyir, Terengganu. Itulah pendekatan kita. Jadi, ini berbeza dengan apa yang saudara selalu dengar dalam kempen-kempen di luar. Kempen di luar itu sedap bercakap, tapi dari segi amalannya, apa yang perlu, yang dirasakan sesuai untuk pembangunan kita tidak abaikan.

  1. Malah, saya nak beritahu di sini, yang tidak dulu tidak dilakukan, iaitu umpamanya kita ada projek besar di sini, maka kebetulan di Terengganu, bagi ruang kepada anak-anak Terengganu dan anak-anak Kuala Berang. Ini suatu pendekatan yang kita buat. Bukan saja Terengganu. Kalau projek itu di Johor, kita katakan bagi kuota untuk anak-anak Johor.Kalau di Kulim Hi-Tech, begitu juga. Sekarang ini kita ada program di Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) yang juga melibatkan tenaga secara besar, pandangan kita yang sama mesti ada persiapan kerana ini teknologi yang baharu, termasuk tenaga baharu, tenaga hijau dan hi-tech, kita kena buat latihan dan di Kerian.
  1. Kerian pula adalah satu daerah yang relatif lebih miskin ketimbang beberapa daerah lain di Perak. Jadi kita pilih projek KIGIP itu dan faedahnya ialah bila kita tekankan kemudahannya, sekolahnya. Di sini saya lihat MRSM ada yang agak baik. Begitu juga di tempat-tempat lain, bila ada projek besar — sekolahnya, masjidnya, klinik kesihatannya atau hospital, jadi prasarana, penyelarasan itu harus ada untuk memudahkan kerana golongan profesional, technician di sini pun kian ramai, jadi harus ada perancangan yang lebih menyeluruh. Saya percaya Ketua Setiausaha Negara dapat selaraskan mesyuarat di peringkat tertinggi supaya tindakan diambil bukan sahaja oleh TNB dan PETRONAS serta Kerajaan Negeri, tetapi kerjasama Kerajaan Persekutuan sepenuhnya.
  1. Semua ekosistem yang diperlukan, dari segi pendidikan, latihan, kesihatan, prasarana jalan dan kemudahan asas, air, tenaga, itu harus dipantau dan disegerakan. Begitu juga apabila berlaku hakisan ini, saya ingat lagi apabila Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tersebut pada saya, kita luluskan dalam kadar yang segera. Saya kira sekitar RM200 juta untuk membantu menyegerakan kerja-kerja dan saya ucap sekali lagi tahniah kepada jabatan-jabatan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyegerakan projek menyelamatkan daripada hakisan ini.
  1. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan kerana kadang-kadang apa yang kita lakukan ini berbeza dengan apa yang disinggung di luar. Jadi saya harap perbezaan itu dibolehkan, tetapi fitnah dan sikap yang negatif itu tidak dibenarkan, kerana ia bercanggah dengan apa yang berlaku. Ini satu dasar kita. Kebetulan di Kuala Berang, Terengganu, dia tidak berubah. Ini juga saya bicara di Pulau Pinang atau di Perak atau di Sarawak, iaitu ada projek besar, raksasa yang melibatkan syarikat besar. Ada beberapa ekosistem yang disediakan, dan ini mesti terpakai untuk semua negeri, tidak kira negeri itu negeri Kerajaan Perpaduan atau pembangkang. Itu soal yang diputuskan oleh rakyat dalam pilihan raya. Yang penting, pembangunan itu mesti menyeluruh dan adil, dan ekosistem harus ada. Mesti ada sekolah yang bermutu, pusat latihannya, kesihatannya, prasarananya, masjidnya yang harus merupakan ekosistem yang perlu bagi pembangunan masyarakat. Barulah kita kata negara ini negara MADANI kerana pembangunan itu mesti ada pertahankan soal nilai.
  1. Beza kita dengan pusat pembangunan yang dibicarakan di Barat, apa dia? Kita ada solar, dia juga ada solar, kita ada teknologi baru dia ada yang lagi baru, kita ada hi-tech, artificial intelligence (AI) dia pun ada. Tapi apa bezanya? Bezanya keyakinan kita dan nilai kita. Sebab itu, apabila kita bercakap soal artificial intelligence sekarang, apa beza? Bezanya ialah AI itu mesti memberikan persiapan kepada kepakaran kita, memasukkan soal agama, soal budaya, soal nilai yang tentunya berbeza daripada apa yang ditetapkan oleh syarikat Microsoft, Google, Infineon dan Nvidia di Amerika Syarikat.
  1. Sebab itu, Nvidia umpamanya berpusat di Johor, besar pelaburannya, kita katakan anak-anak yang dilatih itu mesti memasukkan faktor keyakinan Islam, masukkan soal budaya, soal Bahasa Melayu dan juga tradisi masyarakat kita. Kerana apa yang dimuntahkan daripada AI itu mestilah apa yang dimasukkan pada peringkat awalnya. Ini saya tekankan berbeza daripada apa yang dibicarakan. Dan ini yang kita sedang kerjakan. Mudah-mudahan moga Allah SWT merestui, merahmati usaha kita.
  1. Jadi saya nak akhiri dengan menyatakan penghargaan, kerana apabila saya mula cadangkan daripada PETRONAS dan TNB ini, mereka tahulah. Saya terpaksa panggil ke pejabat dan tekan beberapa kali dan Datuk Tengku Muhammad Taufik pun ada di sini, Tan Sri Megat Najmuddin pun ada, saya bagitahu ‘no argument, no compromise. I want it done and I want it done fast.’ Alhamdulillah, saya salute Saya baca laporan dalam minggu sebelum saya pergi ke Eropah dan Brazil baru-baru ini, bahawa dilihat apa yang dijayakan di Kenyir ini, solar dan juga green, hydrogen itu di antara yang pantas dan baru dan cekap kalau dibanding ketimbang beberapa projek di sekitar lagi. Jadi bukan sahaja dijalankan tetapi dijalankan dengan pantas dan cekap. Ini kerana keupayaan rakan-rakan kita PETRONAS dan TNB dengan kerjasama negeri Terengganu Inc, terima kasih.
  1. Dan dengan semangat itu, kita doakan kepada Allah SWT agar projek ini berjalan dengan baik, mempunyai potensi 500 kW itu besar dan mencecah sehingga 2,000–2,500 kW, ini suatu sumbangan yang besar kepada negara dan kepada rantau membuktikan keupayaan Malaysia sebagai satu negara yang ke depan, maju dan hebat, yang mengepalai dan mendepani keperluan tenaga baru, tenaga hijau.

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: