TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN PELAN INDUK BUMIPUTERA, TUNAS MADANI & PROJEK PERUMAHAN JKPSB

19 Julai 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN PELAN INDUK BUMIPUTERA, TUNAS MADANI & PROJEK PERUMAHAN JKPSB

 

19 JULAI 2025 (SABTU) | 9:30 PAGI

 

UITM CAWANGAN KAMPUS PERMATANG PAUH,

PULAU PINANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri;

Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

 

 

Yang Berbahagia Tan Sri Khalid bin Ramli,

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP);

Seluruh keluarga JKP;

Rakan-rakan yang bersama;

Anak-anak Universiti;

Wakil-wakil Pendidikan Pulau Pinang dan negeri-negeri jiran.

  1. Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita luncurkan beberapa program yang diselenggarakan oleh majlis yang dipimpin oleh saudara Tan Sri Khalid, yang merangka strategi dan pendekatan tambahan. Bukan semestinya baru, tapi yang sudah diluncurkan selama ini tapi kita hendak perkukuh dan mantapkan. Kita tidak boleh hanya sekadar mengeluh. Ini belum buat, ini belum buat. Tapi bila ada kuasa kadang-kadang kita leka. Sebab itu ujian bagi kita adalah untuk memanfaatkan kuasa itu dengan melaksanakan, apa yang munasabah dan mampu.
  1. Bila kita bicara soal Pulau Pinang khususnya Bumiputera, ada beberapa masalah yang dibicarakan panjang. Peluang perniagaan, usahawan dan juga mutu pendidikan, peluang dan pendedahan pendidikan, terutamanya perumahan. Bila negeri memacu pertumbuhan yang menyegarkan, kos tanah meningkat. Kalangan yang relatif lebih miskin, kurang upaya untuk mendapat tempat dan penginapan yang sesuai dan wajar. Itulah menyebabkan kita memberi pendekatan.
  1. Saya ucapkan terima kasih melalui YB Dato’ Dr. Mohamad kepada YAB Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Kerajaan Negeri yang membantu mempercepatkan dan meluluskan inisiatif yang diambil dan kebanyakan tentunya oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk sahibus samahah, terima kasih atas kehadiran.
  1. Kita tumpu dulu soal kerangka ini. Saya tekankan perlu kita adakan pendekatan tambahan. Hari ini beberapa projek peluncuran termasuk pelan induk yang merentas semua sektor. Kemudian, penekanan tentang latihan graduan, dan saya ucap terima kasih kepada Universiti Teknologi Mara (UiTIM) pimpinannya dan mahasiswanya kerana memberikan suatu pendekatan tambahan daripada tumpuan akademik kepada usaha langsung untuk memberdaya graduan dalam satu sektor yang agak kita ketinggalan. Dan ini hanya dapat dilakukan oleh seluruh jentera Persekutuan dan Negeri dan syarikat-syarikat swasta serta tenaga akademik di universiti. Jadi kita mulakan dan saya beritahu juga kepada MATRADE tadi tentang kalau boleh diselaraskan kerana ini dapat jaringan terus kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
  1. Suatu hal lain ialah tentang Teratak MADANI, perumahan. Selain daripada apa yang diusahakan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, petang nanti saya luncurkan di Seberang Jaya ini projek swasta, Bakat MADANI 3,000 perumahan dan sebahagiannya itu untuk kos yang lebih sederhana. Petang nanti di Batu kawan, projek yang lebih besar kerana tuntutan perumahan di situ besar, sekitar 6,000 unit. Lewat petang di Teluk Kumbar, Kompleks Perniagaan Pengurusan Bumiputera MADANI kebanyakannya.
  2. Maknanya, kita mesti giat laksanakan bukan sekadar untuk mengeluh atau seperti mana ramai kawan-kawan kita masa ada kuasa, dok kira saham anak pinak dia. Ada kuasa kalau ada derma umpamanya seperti mana kita tahu daripada Yayasan Albukhary, YBhg. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu masuk parti dia ratus juta. Tapi bila kita ada kuasa, saya tanya YBhg. Tan Sri Syed Mokhtar, “betulkah bagi dulu kepada parti?” dia kata “kalau dia orang minta, saya terpaksa”.  Baik, saya nak minta untuk pesawah padi di Kedah. Terus dia bagi RM60 juta ringgit. Itu beda pendekatan. Dan ini kenyataan. Boleh tanya dia.
  1. Sebab itu saya kata, syarat utama pimpinan ialah mesti jaga integriti. Itu yang kita sebut tatakelola. Kalau tidak mana boleh fikir perumahan rakyat kalau kita ada fikir faedah pada diri dan keluarga kita. Sebab itu saya tidak hairan kalau ada seperti mana di Alor Setar baru-baru ini. Orang yang ada kes ratus juta, ada anak dia RM1 bilion, ada keluarga dia RM4 bilion. Kemudian, gagah juga hendak kumpul tenaga hendak lawan Kerajaan sekarang, hendak minta kita turun.
  1. Saudara, kita minta terutama orang Melayu fikir masa depan mereka. Malaysia inilah salah satu negara yang paling stabil politiknya, menarik pelaburan dapat pengiktirafan dunia. Tengok Thailand sekarang, belum tentu siapa Perdana Menteri. Satu minggu, 3 Perdana Menteri. Kita dulu empat (4) Perdana Menteri dalam masa 5 tahun. Sekarang stabil. Ada tarikan. Semalam saya jumpa ulama-ulama, ulama besar dari India, Lubnan dan Syria. Malam ini di Masjid Putra, guru-guru pondok, asatizah seluruh negara berkumpul. Kita tumpu untuk mengangkat, beri kecerdasan dan pencerahan kepada umat Islam kerana apa? Kerana kita punya sistem yang stabil dan tumpu perhatian.
  1. Itu Thailand. Indonesia walaupun relatif lebih stabil tetapi masih belum dapat mengangkat Rupiahnya dan juga pasaran sahamnya. Filipina sekarang bertempur dan tubuh kekuatan dan menimbulkan sedikit sebanyak kebimbangan. Itu sahabat-sahabat kita, kita pantau dari dekat. Kita mendoakan supaya stabil dan sejahtera. Jadi sebab itu orang banyak iri hati kepada Malaysia. Dua (2) minggu lalu dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, MITI dan lain-lain, kita dapat kumpulkan Menteri-menteri Luar dari negara-negara utama dunia. ASEAN, Jepun, Korea, China, Amerika Syarikat dan Rusia berunding di sini. Rusia, Menteri Luar berunding dengan Menteri Luar Amerika di Kuala Lumpur. Menteri Luar Amerika berunding dengan Menteri Luar China di Kuala Lumpur. Ada sedikit pergeseran Thailand dan Cambodia, Menteri Luar berunding di Kuala Lumpur. Ada masalah ketegangan di Myanmar, Menteri Luar Myanmar, Menteri Luar Malaysia dan beberapa kawan-kawan ASEAN berunding di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, Malaysia dapat tempat pengiktirafan dunia yang begitu baik.
  1. Semalam, kita dapat angka terbaru. Pertumbuhan suku pertama tahun ini 4.5 peratus dalam keadaan ekonomi dunia gawat. Termasuk cabaran daripada tarif oleh Presiden Trump. Kita ada sampai awal Ogos untuk memutuskan. Tapi ada beza pendekatan kita. Ada orang kata masih 25 peratus. Indonesia 30 peratus turun ke 19 peratus, baru minggu lalu. Thailand masih 30 peratus. Cambodia, 40 peratus tarif. Kita masih berunding, tapi ada beberapa syarat yang kita tegaskan, yang kita sebut garis merah. Apa dia? Dasar Negara. Dasar kita menetapkan sistem kita Raja, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam agama Persekutuan. Industri halal dipertahankan. Tidak boleh buka. Ada pensijilan halal yang diiktiraf melalui JAKIM. Kita tidak tolak ansur. Hak keistimewaan orang Melayu, banyak dasar Bumiputera. Dia kata ini tidak boleh harus transparent harus telus. Tidak boleh ada dasar yang memilih, dasar kaum. Kita tidak setuju. Siapa yang mulakan perbincangan itu? Amerika Syarikat, gergasi ekonomi dunia. Bincang dengan siapa? Malaysia. Negara yang relatif kecil. Tapi kita negara merdeka berdaulat dan ada integriti pertahankan hak dan keputusan negara kita.
  1. Jadi saya nak maklumkan secara terang hari ini, walaupun Datuk Seri Utama Haji Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz ada memberikan sepintas lalu singgungannya kerana kita masih dalam rundingan, kita tidak mahu cerita semua, tetapi saya terpaksa menyebut kerana orang bimbang. Dan kita mengharapkan tarifnya turun sebab bila saya di Singapura bulan lalu, Menteri Pertahanan dia (Amerika Syarikat) Pete Hegseth minta nak jumpa, saya jumpa. Dua minggu lalu Menteri Luar Amerika Syarikat, Marco Rubio mohon kita bertemu, saya berjumpa. Jadi kita bukan ambil sikap bermusuh kita mahu berbaik dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat, tapi kita tidak tunduk kepada mana-mana syarat.
  1. Sebab itu pendirian kita tentang keganasan kezaliman Israel ke atas Gaza itu di antara negara yang paling tegas menyatakan pandangan kita. Kita tidak tolak ansur bila rakyat dan umat Islam dia dibunuh. Rumah mereka dimusnahkan, tanah mereka dirampas, umat Islam tidak boleh berdiam diri sebab itu kita suarakan dengan lantang. Bila berlaku serangan Israel ke atas Iran, berapa negara Islam yang berani berbicara dengan presiden Iran? Kerana takut tekanan Amerika Syarikat, takut tekanan negara luar dan kerana Israel lebih berpengaruh sekarang. Tapi Malaysia tidak. Saya memilih untuk menelefon Presiden Iran. Menyatakan simpati kita mewakili umat Islam dan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip tidak boleh negara lain serang semborono ke atas negara yang lain. Itu yang dilakukan oleh Israel terhadap Iran. Selepas itu Presiden Iran kata dia ada masalah sikit dengan Qatar. Terus saya telefon Emir of Qatar. Minta supaya berbaik semula walaupun saya faham ada sedikit sebanyak ketegangan.
  1. Saudara, kita negara yang relatif lebih kecil. Tetapi saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana negara kita boleh lakukan ini pertamanya kerana aman dan stabil. Kalau negara kita porak peranda mana mungkin kita bicara dengan negara-negara lain soal keselamatan umat dan ekonomi kita berkembang. Siapa kata tidak ada masalah. Satu dunia ada masalah sekarang, kos sara hidup. Saudara ingat kita boleh tenang hidup. Ini saya bukan hendak sentimen kerana orang maki hamun saya setiap hari, itu kerja mereka. Termasuk orang yang ustaz-ustaz pakai jubah. Bercakap di Permatang Pauh ini. Apa dia kata? “Zalim Anuar ini, dia menindas rakyat, zalim kepada rakyat, dia tidak cukai kepada orang kaya” Hang reti ke ekonomi ini? Hang cakap apa? Ustaz, dasar hukum lah. Ikut fakta lah.
  1. Tengok letrik, letrik saya kenakan yang 15% tertinggi. Dalam dewan ini tidak ada yang kena. Kenaikan tarif industri ini yang syarikat-syarikat yang besar yang ada keuntungan besar, bayarlah lebih sikit. Yang kamu nak susah hati sebab apa? Bagaimana nak bagi ini untuk projek bumiputera ini? Untuk anak TVET yang YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi pengerusikan. Tahun ini 160,000 ribu anak-anak, 85% anak Melayu masuk TVET kerana gaji lebih baik dan latihan yang lebih baik dan peluang pekerjaan lebih baik. Dari mana dana itu RM7 bilion, RM8 bilion untuk TVET, dari negara. Dari mana? dari cukai. Cukai kepada rakyat, tidak boleh! cukai kepada orang kaya itu pun dia bising. Cakap Islam berdegar-degar. Tapi biarlah orang kaya. Tengok yang berhimpun, yang berucap, semua bilion-bilion. Anak, bukan saya tuduh, anak dia isytihar kepada SPRM, ya harta saya melebihi RM 1 bilion. Nak berjuang untuk Melayu, silakan. Nak bela nasib Melayu, teruskan. Tapi kalau kamu ambil RM 1 bilion bagi lah balik. Apa salah? Ya, saya guna kuasa saya nak tuntut wang yang diambil cara haram mesti dipulangkan kepada rakyat.

 

  1. Saya kalau balik Permatang Pauh ini semangat sikit. Musa okey, ya. Betul, jadi kita nampak. Saya jarang jawab. Saya jarang jawab sebab saya kebetulan jawatannya Perdana Menteri kerja, dan tidak bermakna kita tidak dilandasan yang betul. Itu pun kita masih cari jalan, saudara-saudara. Masalah negara ini banyak. Tapi kita hadapi satu keadaan di mana, oh Melayu tak selamat. Bandingkan ini Tun Mahathir jaga negara 22 campur 2 tahun, 24 tahun ini Melayu yang jadi masalah sekarang ini siapa perintah? 24 tahun hang jaga sudahlah duduk diam-diam lah. Harta dah banyak rehat baik-baik, jangan duk mengah tak tentu arah.
  1. Jadi saudara-saudara kena faham begitu. Masalah kita, kita warisi, hutang negara besar. Orang kita hutang bayar hutang, kalau tak bayar hutang macam mana negeri bankrap. Jadi memang betul saya nak guna peluang ini bicara kepada rakyat supaya tahu. Program bumiputera ini tidak mungkin dilakukan kalau kita tidak punyai dana. Negara mesti stabil, ekonomi mesti berkembang, beri  kekuatan. Hidup kita Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan mesti tenang, saling mempercayai. Ada masa kita kata baiklah, kita belanja untuk pembangunan Islam, dengan JAKIM sahaja RM 1 bilion. Kemudiannya ada permintaan daripada sekolah Cina tambah RM 50 juta. Wah, bising Anwar telah khianati orang orang Melayu dia tambah peruntukan kepada Cina 50 juta.
  1. Saudara, yang saya hairan ini yang bercakap tu kadang-kadang belajar di Universiti Al-Azhar. Tapi bila dia masuk parti bukan dia pergi dakwah dan bagi kefahaman, dia pun serabut lebih daripada itu lagi. Dulu bersyarah dan kuliah dengan begitu baik. Sekarang kerjanya singgung orang, maki orang, tuduh, nak tuduh kita khianat, nak tuduh kita zalim, saudara. Saya bukan nak cerita saya, tapi saya tak ambil gaji sebab apa? bukan saya miskin, elaun Parlimen saya ambil. Tapi saya rasa cukuplah, banyak orang yang lagi susah. Tidak ambil gaji dah 2 setengah tahun, gaji Perdana Menteri 2 setengah tahun berapa? dah juta ringgit dah. Saya tak tahu 2 atau 3 juta ringgit. Elaun Pengerusi Khazanah kalau campur semua 3 – 4 juta ringgit dah. Saya tak ambil. Bukan saya nak suruh kata, oh! bagus-bagus, tidak. Kerana saya ambil elaun ahli Parlimen, saya ambil. Semua penerbangan ini naik pesawat daripada Kuala Lumpur, pesawat Kerajaan. Naik helikopter pesawat Kerajaan, kereta, kereta Kerajaan cukuplah jagalah rakyat lain. Tapi saya nak tanya Perdana Menteri yang sebelum saya yang kaya raya yang anak dia berbilion ringgit, dia ambil tak gaji? dia ambil. Dia ambil tidak elaun? dia ambil. Janganlah cakap banyak sangat. Terutama anak-anak UiTM kena faham.

  1. Jadi kena ingat kalau kita tak stabil, ada huru hara. Kalau betullah kita buat salah, Anwar Ibrahim sejak jadi Perdana Menteri, dia bagi projek dia ambil 100 juta simpan dalam bank. Bawa keluar kayakan anak dia, boleh kritik. Ini tidak ada. Yang bercakap, ‘dia zalim’. Kita dah tak boleh cakap dah, ni hang duk buat sampai di Stadium itu apa dia? Tak boleh, cakap kena tangkap. Ini aku, bukan masa hang jadi Perdana Menteri ramai yang kena tangkap.
  1. Tapi yang saya berasa dukacita, orang-orang kita pun macam tak reti. Termasuk orang kita ada dengar. Takkan lah tak betul kot. Saudara-saudara tak boleh cakap. Tidak boleh sentuh soal Raja, betul sebab Raja sebut. Raja Raja dia bukan orang politik, rakyat kritik dia dalam saluran, boleh. Cara terbuka, tak boleh. Ini undang-undang negara kita, sebab dia tak boleh jawab, dia bukan orang politik, dia bukan duduk di Parlimen sebab di Parlimen tidak boleh serang Raja. Raja tak ada di situ, tak boleh jawab. Tapi kalau nak bawa pandangan bawa melalui Perdana Menteri tulis surat kepada Raja, boleh.
  1. Saudara-saudara, tengok macam kes hakim baru-baru ni. Seminggu riuh rendah Anwar telah khianati, rosakkan badan kehakiman, ambil orang-orang yang tidak layak jadi Ketua Hakim, riuh rendah. Saya nak jawab tidak boleh, sebab saya kena ambil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman timbang, nilai, bawakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong perkenan, bincang dengan Majlis Raja-Raja. Saya kena berdepan dengan Raja-Raja, bagi penjelasan. Raja-Raja kata okey, hantar balik, Agong signed, baru saya boleh jawab. Hari ini boleh jawablah. Tapi seminggu dia balun kita setengah mati. Oh! Khianat, rosak Badan Kehakiman. Hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada! Tapi kita terbawa-bawa kerana yang bercakap kadang-kadang Tok Guru atau ustaz, kita terima terus.
  1. Saudara-saudara, sekarang bila Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman (JAC) bawa nama kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri timbang, bawa kepada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong bawa ke Majlis Raja-Raja perkenaan, kemudian Yang di-Pertuan Agong bagi kelulusan, kita dah umum semalam. Oh! itu keputusan yang baik. Hak itulah daripada awal aku cadang. Hang maki aku sudah seminggu. “Itu keputusan yang baik”, dia kata. Tapi tak minta maaf. Orang tanya, “Anwar, sebab apa tidak jawab sebelum ini?” Saya kata, “saya tidak boleh jawab”. Sebab saya tidak boleh, saya sudah cadangkan satu nama, bukan yang ini, yang ini, yang ini. Sebab sebagai Perdana Menteri, kita kena hormat sistem itu, prosedur dia. Bawa kepada Raja, Raja nilai, bincang, saya duduk dengan Raja, Majlis Raja-Raja, masa itu Raja-Raja sahaja, dia wakil sembilan Raja-Raja. Demi rakyat Malaysia, Perdana Menteri dia tanya. Pengerusi Majlis Raja-Raja kali ini Tuanku Sultan Selangor. Sebelum itu dia minta saya jumpa dia. Jadi dia tahu, dia kata nama yang disebut oleh orang ramai, oh! Anwar khianat, lantik orang ini adakah disebut? Dia pun dengar daripada saya, dah dua bulan saya bincang dengan dia tak sebut nama itu. Adakah Tuanku Agong sebut? Tidak! Dia dengar daripada mana? Dia dengar daripada fitnah. Dan kita termakan. Ini apa masalah kita ini?
  1. Kemudian kata, oh! baru ni statement lagi semalam, lambat pelantikan. Kami semua okey, setuju Ketua Hakim negara yang baru. Tetapi kita hairan, pasal apa tidak lantik lagi kekosongan Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi. Dia tidak tahu dah lantik dah. Lapan Hakim Mahkamah Rayuan, kita lantik. Kalau lantik dua bulan sudah, Agong perkenan, kena tunggu Majlis Raja-Raja minggu sudah. Walaupun lantik dua bulan, Hakim Mahkamah Tinggi saya ingat sudah tiga bulan. Dia kena tunggu Majlis Raja-Raja. Berapa Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik? Empat belas (14).  Berapa Hakim Mahkamah Rayuan? Lapan (8). Tapi yang diumum tiga (3) kerana selalunya Agong dia umum yang jawatan tertinggi. Macam umum pelantikan Kerajaan, dia umum Perdana Menteri dulu seorang. Dia tidaklah umum semua, kemudian baru Perdana Menteri umum yang lain. Macam itu juga Badan Kehakiman. Tapi marah dulu. Ini yang saya hendak sebut jawatan tiga tertinggi diumumkan, lapan (8) Hakim Mahkamah Rayuan, 14 Hakim Mahkamah Tinggi sudah pun diperkenan dan akan angkat sumpah dan berjalan.
  1. Angkat sumpah dia kata, pasal apa tidak angkat sumpah hari Isnin? Saya kata angkat sumpah ini kena Tuanku Agong yang perkenan, dia bagi tarikh 28, dia tanya, Dato’ Seri okey? Saya kata ada, 8.00 pagi okey. Sebab bila melibatkan Ketua Hakim Negara diminta Perdana Menteri hadir, jadi bagi tarikh. Saudara-saudara, saya sebut perkara ini kerana hal ini sampai, tengok fitnah, maki hamun dan cerca, berjalan, tanpa semak. Apa salahnya kalau Pengerusi Majlis Peguam atau Ahli-Ahli Parlimen tanya Anwar sepatah. Ini betul ke orang ini? Saya boleh kata tidak betul. Kadang-kadang saya kata, tak boleh jawab lagi. Faham?
  1. Jadi, mudah-mudahan kita belajar dari pengalaman ini. Bagaimana khususnya orang-orang Melayu harus mantap, duduk bersama, santuni masyarakat Cina, India, Sabah, Sarawak supaya kita jaga kestabilan negara kita. Saya sudah minta Tan Sri Khalid gunakan pamplet yang kita lakukan pelan induk dan projek hari ini dan sebar setiap sekolah, setiap masjid, dan setiap kalau boleh warung-warung di Pulau Pinang. Apa yang dilakukan sebelum, dan apa yang sedang kita lakukan. Ini lebih baik daripada dengar kempen-kempen dan cerca orang. Masa dia perintah dia buat? Tak buat. Kalau orang-orang ini yang pernah jadi pemimpin, dia buat, saya salute. Sebab itu kalau dalam umpamanya baru-baru ini, bila Almarhum Tun Abdullah Badawi, dia orang tidak minta, sebaik sahaja dengar dia, dimaklum, saya tidak minta, minta permohonan satu istiadat oleh pemerintah secara penghormatan tertinggi, saya tidak tunggu minta. Sebab kita tahu jasa dia, khidmat dia kepada negara. Dan kita iktiraf jasa dan khidmat dia. Apa lagi saya sebagai anak Pulau Pinang dan ibu bapa saya juga rapat dengan ibu bapa dia. wTapi saya nak sebut di sini, apa dia? Sejak dia pencen, bersara dia tahu jaga diri dia. Dan dia tahu had dia. Masa dia perintah, dia buat sebaiknya. Setuju, tak setuju tak apa. Tapi dah habis, habis. Bagi ruang kepada yang lain. Itu baru sikap negarawan yang betul. Tidak boleh dengan dendam, hasad dengki, tak boleh orang lebih daripada dia.
  1. Sebab itu kalau kita tengok sekarang ini isu pimpinannya apa? Mesti contoh? Jangan guna kuasa, rebut kekayaan dan zalim kepada orang. Yang ni saya tidak tolak ansur. Tetapi dia bangkit lagi, kes-kes lama termasuk kes yang melibatkan Dato’ Seri Zahid. Itu kes yang diputuskan oleh Peguam Negara dan mahkamah. Yang saya nak kena jaga dan yang dapat kerjasama sepenuhnya oleh Jemaah Menteri dan Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan, UMNO, BN, GPS, GRS ini apa? Keterlanjuran dulu jangan ulang! Kerana Suruhanjaya Membenteras Rasuah itu bebas sepenuhnya.
  2. Jadi ini, saya harap rakyat cuba faham. Apa masalah negara kita? Kos sara hidup masih ada. Sebab itu saya ambil beberapa langkah. Tahun ini, kita naikkan gaji dan elaun penjawat awam. Berapa tambahan dia? RM10 bilion. Tahun depan, berapa tambahan dia? RM18 bilion. Sebab apa? Sebab mereka kerja, kerja tambahan dan gaji 12 tahun tidak dikaji semula. Itu bila kita ada kuasa, buat. Bila mereka ada kuasa, ada tidak? Mesyuarat pun tidak, saudara-saudara. Mesyuarat untuk kaji semula sistem persaraan ini tidak pun diadakan. Saya tengok minit, tak ada. Jadi kita buat.
  1. Suntikan tunai RAHMAH yang memanfaatkan 9 juta rakyat Malaysia. Pasal apa kita tambah? sekarang ni RM13 bilion setahun. Yang dapat ini, saudara-saudara dapat setiap bulan ini, belanja untuk negara RM13 bilion. RM13 bilion STR, RM10 bilion tambahan gaji. Itu sahaja sudah RM23 bilion. Kita buat sebab apa? Sebab kita faham ini, kos naik. Tapi naik pun janganlah sebut naik macam dulu. Ayam, telur, ikan yang naik ada, tapi bukan semua naik.  Ada masalah, ada. Tapi naik di seluruh dunia, kita ada masalah.
  2. Makanan untuk ternakan naik, kerana apa? Kerana tidak ada kena mengena dengan kita, Perang Rusia Ukraine. Pengangkutan bertambah. Tapi seperti mana saya telah sebut, saya akan cari jalan dan ikhtiar. Sekarang tiap hari di Kementerian Kewangan bergelut untuk cari apa dia yang boleh diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa singkat ini. Saya ada bagitahu saya akan ada pengumuman. Bila akan umumkan pengumuman itu, ya mesti besarlah sikit. Untuk tangani masalah yang dihadapi. Siap saja, mungkin Isnin, Selasa, bagilah dua tiga hari, saya akan kasi mantap betul, saya umumlah.
    Doa bagi umum yang elok-eloklah. Insya-Allah.
  1. Baik, jadi okeylah. Akhirul kalam, saya di Permatang Pauh ini. Terima kasih banyaklah kerana kesabaran dan kehadiran ramai termasuk anak-anak. Sebenarnya mula-mula dulu, kalau dulu orang nak naik motor ni saya tidak bagi. Tak payahlah. Tapi oleh kerana orang dok cabar,cabar, cabar, tidak jawab dia ingat kita lemah. Jadi saya terima kasih yang di luar, 1000 budak-budak motor ni, terima kasih banyaklah sangat. Saya tengok, eh ramai sungguh, nampak hebat yang bukan Permatang Pauh di Pulau Pinang nampak semangat. Jangan cabar, kalau cabar kita tahu macam mana nak jawab. Itu baru round pertama.
  1. Petang ini di Teluk Kumbar dengan Batu Kawan. Saya dengar dia orang nak tunjuk jugak, berhimpun. Mudah-mudahan kita gunakan itu untuk bagi penjelasan seperti ini. Saya kutuk mereka? Tidak. Saya jawab tohmahan-tohmahan yang tidak adil. Tapi percayalah terutama saudara-saudara di sini. Ini pun himpun ramai tadi. Bukan semua kenal saya semalam. Kita nak guna sebaik mungkin. Ikhtiar sebaik mungkin. Saya reti semua? Tidak. Sebab itu semalam panggil lepas pada solat Isyak, solat maghrib di Shah Alam rumah Menteri Besar, semua Tok-Tok Guru saya panggil minta pandangan dan nasihat apa lagi nak buat? Tok-tok Guru utama dari Kedah, dari Kelantan, dari Pattani, dari Indonesia. Saya kata, ada tak pandangan, bagi nasihat, bagaimana kita baiki lagi. Dia orang rasa terharu kerana belum pernah lagilah Perdana Menteri panggil Tok-Tok Guru minta nasihat. Malam ni, saya sambung dengan Guru-Guru Pondok seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak untuk berjumpa, santuni sebelum saya ke Port Dickson lewat malam.
  1. Sekali lagi terima kasih saudara Khalid, Kerajaan Negeri, Menteri Pendidikan dan Azizah dan semua rakan-rakan yang telah memberikan kerjasama. Semoga Allah merestui memberkati usaha kita bersama.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: