TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PENYURAIAN TRAFIK DI ANTARA PLAZA TOL JURU DAN PLAZA TOL SUNGAI DUA, LEBUHRAYA UTARA SELATAN

8 November 2025

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PENYURAIAN TRAFIK DI ANTARA PLAZA TOL JURU DAN PLAZA TOL SUNGAI DUA, LEBUHRAYA UTARA SELATAN

 

 

8 NOVEMBER 2025 ( SABTU) | 10:00 PAGI

TAPAK EKSPO SEBERANG JAYA , PULAU PINANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

 

Alhamdulillah Rabbil Alamin,

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Lingi,

Menteri Kerja Raya;

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Haji Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Menteri-Menteri, ramai Menteri-Menteri pada hari ini,  KSP, KSU,  Setiausaha Kerajaan Negeri,  speaker, ramai. Alhamdulillah.

  1. Hari ini kita bersyukur kepada Allah SWT kerana satu usul yang dibawa oleh rakyat Pulau Pinang, Kedah, Perlis, dan yang nak menuju ke Thailand atau nak menjurus ke Selatan. Saya ingat sudah belasan tahun tiap kali saya ke Perak, ke Pulau Pinang, ke Kedah, semuanya mengeluh tentang kesesakan penyuraian Juru, Sungai Dua, simpangan Pematang Pauh, Jambatan Pulau Pinang. Alhamdulillah, hari ini kita bersyukur, hal yang tertangguh sekian lama dapat dilaksanakan hari ini.

 

  1. Saya juga nak alu-alukanlah kawan-kawan kita yang jauh datang, dan projek ini melibatkan terlalu ramai; Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, CIDB, LLM dan pengerusi LLM pun ada, PLUS, UE. Maknanya satu keperluan menyeragamkan usaha supaya dapat dipercepatkan. Dan seperti mana  saya sebut pada Alex tadi, kita rancang sekian lama, teliti, menelusuri, mencerakin semua sekali. Sekarang perlu bertindak segera.

 

  1. Jadi walaupun unjurannya entah 24 bulan, 48 bulan, saya tak peduli. Ambil langkah segera dan percepatkan proses supaya pelaksanaan itu menyenangkan rakyat. Saya harap kementerian akan pantau supaya dapat disegerakan. Kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri beri jaminan supaya percepatkan, kerana melibatkan soal teknikal dengan Majlis Perbandaran dan Kerajaan Negeri. Saya harap semua ini boleh dibereskan supaya program, pelaksanaan dapat disegerakan. Kerana dipercepatkan satu bulan itu bermakna penjimatan ekonomi dan keselesaan rakyat.

 

  1. Jadi saya ingin gesa hal yang sedemikian, supaya kita tidak ambil unjuran biasa. Malaysia ini sudah ke tahap yang lebih meyakinkan, pelabur datang dan juga minat antarabangsa meningkat. Prasarana itu wajib kita sediakan. Memang betul, agak mahal, dan kalau kita lihat umpamanya dari video yang ditayangkan sebentar tadi, menunjukkan satu projek yang agak raksasa, satu sistem penyuraian yang di antara yang paling canggih dan ini memerlukan, saya katakan, tindakan semua agensi dan jabatan terlibat termasuk syarikat pengendali menyegerakan.

 

  1. Yang kedua yang saya hendak tekankan ialah tentang kos. Walaupun kosnya tinggi, saya ucap terima kasih kerana 60% kerajaan dan syarikat, khususnya PLUS, itu menampung 40% dan ini dapat mengurangkan beban. Jadi kita bersyukur.

 

  1. Penyuraian ini tak jadi isu politik sangat sebab ia beri manfaat kepada semua Kedah, Perlis, semua. Saya pergi Kedah pun mereka minta selesaikan masalah ini. Yang jadi isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen Pembangkang termasuk yang di Permatang Pauh iaitu LRT. Dia tanya mengapa terlalu mahal dan mengapa harga itu bertambah? Ini sebabnya mengapa saya katakan pimpinan politik ini dia juga kena ikuti perkembangan. Jangan pakai lepas pergi ke kampung-kampung mengatakan kos itu tak menentu, tidak.

 

  1. Bila dibentang kepada saya oleh Kerajaan Negeri, projek LRT itu hanya di pulau. Saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, saya tidak mahu projek itu tersekat di situ. Jadi saya yang mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai. Ya, dan kalau saya Ahli Parlimen Bagan macam Lim Guan Eng atau Ahli Parlimen Permatang Pauh atau Nibong Tebal, Fadhlina, kita senang sebab projek itu akan sampai ke Penang Sentral di Seberang Perai.

 

  1. Kalau tidak, bila orang cakap Pulau Pinang, dia kata, “hah tengok, jaga pulau sahaja, kepentingan Cina sahaja, tak jaga seberang, tak jaga Melayu.” Ini polemik yang tidak menguntungkan, dan bila kita bagi penjelasan, tak dengar. Sebab itu saya kata di Parlimen, ini seolah-olah dialogue with the deaf dia tak peduli. Katalah apa, bagi penjelasan.

 

  1. Jadi LRT ni saya nak sebut sekali lagi dia bertambah kerana Perdana Menteri mengusulkan LRT di Pulau menyeberang ke Seberang Perai. Kalau ada orang Permatang Pauh di sini kata kami tak mahu LRT, hah, bagitahu saya. Kata ini tidak penting. Yang sebut tidak penting itu orang luar atau orang yang tidak mengetahui perkembangan yang berlaku.

 

  1. Saudara, Pulau Pinang itu di antara negeri-negeri yang menunjukkan prestasi pelaburan dan pertumbuhan yang meyakinkan, membanggakan kita. Tetapi tidak benar kalau kita kata kita hanya tumpu di sini. Petang nanti saya ke Sabah, juga ada isu di Sabah. Kita tengok hasil daripada Sabah berapa? 10 bilion? 11 bilion? Berapa jumlah perbelanjaan tahun lalu untuk Sabah? 17 bilion! Apa kita fikir Sabah saja? Tidak. Kita fikir negeri.

 

  1. Saya di Sarawak dengan Saudara Alex. Mereka pun memacu pertumbuhan dan mencari jalan. Dia tengok Pulau Pinang dari segi semiconductor. Ada kemajuan ke situ, walaupun kita katakan pemusatan kita ialah soal menjadikan Sarawak sebagai energy hub, sebab keupayaan dia menghasilkan tenaga alternatif. Tetapi Premier dan rakan-rakan pimpinan mengatakan tidak boleh, kita kena perbagaikan. Maka ada program semi-conductor front-end. Kedah, kita bangun dengan Kulim Hi-tech. Itu pun dengan usaha Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri.

 

  1. Perbelanjaan untuk Kelantan itu jauh meningkat, lebih daripada semasa Perikatan Nasional perintah. I mean, look at the facts. Argue based on data and facts. Tidak sentimen kaum, sentimen negeri, sentimen agama. Kerana kaum, negeri dan agama tidak mengajar kita untuk memalsukan fakta. Saudara ingat, tahun 2023, riuh kita zalimi empat negeri ini. Sekarang, hal yang sedemikian tak didengar sangat lagi. Kerana tiap kali Sidang Parlimen, saya akan bagi angka. Tahun 2022, sekian perutukan untuk Kelantan. Tahun 2024, sekian tinggi untuk Kelantan. Jadi, tenggelam.

 

  1. Kalau ditanya mengenai Pulau Pinang, kita juga tahu dalam tahun-tahun kebelakangan, semasa YB Lim Guan Eng, Ketua Menteri ketika itu, projek-projek besar itu hampir dibekukan. Jadi, saya bukan beri fokus Pulau Pinang kerana saya semata-mata anak Pulau Pinang, tapi apa yang keperluan, lapangan terbang sekarang kita besarkan, setuju. Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Pulau Pinang, Tawau, membesarkan lapangan terbang peringkat antarabangsa di Kota Bharu.

 

  1. Ini berbeza dengan apa yang dilontarkan di kampung-kampung. Sebab itu, kalau mahu jadikan negara ini hebat, demokrasi ini memerlukan wacana yang sehat dan segar. Boleh tidak bersetuju, tapi tidak boleh memalsukan fakta. Bicara sebagai seorang alim, tetapi penuh dengan kata nista dan penipuan fakta.

 

  1. Umpamanya, di sini, tokoh politik. Mana? Saidi ada tak? Ada? Haa, okay (nada berseloroh). Kita dengar umpamanya, PMX dan kerajaan sekarang mengenakan cukai kepada rakyat miskin, tidak kepada orang kaya. Saya tidak tahu dia belajar ekonomi di mana. Padahal kita di Malaysia ini, kerana pendekatan dan kerangka ekonomi MADANI, kita tekankan cukai tentu bagi yang mampu bayar.

 

  1. Elektrik, 85% tidak perlu bayar. Tidak meningkatkan tarif. Yang kena itu hanya industry, golongan-golongan yang kaya. Di mana yang kita kenakan cukai? Diesel, begitu juga. Dan baru-baru ini, RON95 pun salah juga, sebab orang kaya pun kita samakan, turun harga RM1.99. Tapi, Kementerian Kewangan kaji dengan teliti. Ada cadangan, Bank Dunia dulu. Kemudian ada yang mendukung, kata cukai semua, naikkan harga semua. Kemudian kita bagi bantuan melalui PADU dan sebagainya.

 

  1. Tapi saya fikir, berapa jumlahnya? Yang dicadangkan RM13,000 bagi satu keluarga. Oh, saya kata tidak boleh. RM13,000 ini yang di sini ini ramai yang RM13,000 satu keluarga. Naik RM15,000, naik RM18,000. Kalau pun nak dipertimbangkan, mungkin RM50,000 satu keluarga. Tapi jumlahnya jadi terlalu kecil. Jadi, peringkat awal, kita turunkan senang. Warga negara ada IC, RM1.99. Tak ada IC, RM2.60. Senang.

 

  1. Jadi, rakyat yang harus faham. Oh, dia katakan masih tinggi. Saya katakan, ya, tidak mudah kita ambil keputusan itu kerana hutang masih banyak. Tetapi ini langkah-langkah yang harus diambil untuk meredakan kemaslahatan rakyat. Jadi jalan dulu, saya tengok. Orang ada kata, inilah negara yang paling sukar. Nak ambil minyak pun kena ada IC. Ini kalau kamu tak rompak, kamu bukan kaki sakau, kamu takut tunjuk IC sebab apa? Saya tak faham. Nak kahwin pun kena ada IC. Nak kahwin dua pun lagi kena tunjuk IC. Saya tidak, tapi KSN saya tak tahu (nada berseloroh).

 

  1. Jadi, saya terangkan hal ini kerana sudah ada dengar soal penyuraian Tol Juru, Sungai Dua, dan ini ya. Tetapi, kerangka ekonomi kena faham. Sebab kalau tidak, kita dengar pandangan-pandangan yang tidak membantu sama sekali. Wacana penuh dengan caci maki.

 

  1. Yang terakhir yang saya nak gunakan majlis ini ialah kerana isu Perjanjian Perdagangan. Sebab apa sambut hebat Presiden Donald Trump ini adalah orang yang menyokong pembunuhan rakyat Gaza? Saudara, pendirian kita dengan negara-negara ini: Centrality, maknanya kita berdagang dengan semua.

 

  1. Di Pulau Pinang, negeri Pulau Pinang ini, anak-anak Pulau Pinang bekerja. Beberapa ramai yang bekerja dengan syarikat Amerika. Siapa untung? Saya boleh jadi hero, keras maki hamun Amerika Syarikat. Yang akan sengsara itu rakyat yang bekerja. Ribuan supply chain, puluh ribu anak-anak yang bekerja. Saya, sebelum saya buat kenyataan, saya kena fikir itu semua.

 

  1. Jadi, Malaysia negara dagang. Betul kita baik dengan Amerika. Pada hari Ahad sign dengan Amerika Syarikat. PM dengan Donald Trump. Wow, orang kecam, seolah-olah kita tunduk kepada Amerika. Tapi, saya jemput juga Brazil yang tidak disenangi oleh Amerika. Saya jemput juga Cyril Ramaphosa, Presiden Afrika Selatan, yang mempengerusikan G20.

 

  1. Presiden Donald Trump umumkan melarang semua wakil Amerika Syarikat hadir ke G20. Tapi saya akan hadir ke G20 kerana Malaysia negara merdeka dan berdaulat serta bebas. Kalau kita tunduk kepada arahan Amerika, kita tidak akan pergi. Hari Ahad, kita dengan Presiden Donald Trump, tanda tangan. Hari Isnin, saya dengan Premier Li Qiang berbincang untuk meningkatkan pelaburan, perdagangan, kerjasama dengan negara China. Termasuk soal rare earth – nadir bumi. Oh, ada mengatakan nadir bumi ini hanya dengan Amerika Syarikat. Tidak benar sama sekali.

 

  1. Di Pahang sekarang, nadir bumi, Lynas itu Australia. Dan ada pelaburan baru 600 juta ringgit sudah masuk, sudah ada kilang, dari Korea Selatan. Dia S-link apa namanya (JS Link). Maknanya, walaupun perjanjian kita mengatakan boleh dengan Amerika, dengan Australia dan Korea.

 

  1. Dia Perak, nadir bumi itu dengan negara China. Dia tidak menghalang sama sekali. Jadi kalau kita tengok perjanjian, kita tengok juga pengecualian dia, peluang. Sebab itu saya katakan, hari Ahad boleh tanda tangan dengan Presiden Trump. Hari Isnin atau Selasa, tandatangan di Malaysia, di antara Malaysia dan ASEAN dengan Premier negara China Li Qiang.

 

  1. Di Korea, saya sempat juga berjumpa dengan Presiden Xi Jinping. Tak ada langsung masalah. Terus bagi perhatian, terima kasih dan penghargaan kepada Malaysia dan menyatakan kepada saya hendak meningkatkan hubungan baik dengan kita. Jadi, saya harap walaupun perkara ini akan jadi isu besar. Kononnya, mereka akan bantah perjanjian dengan Amerika Syarikat dan ini akan dijadikan Round 2 ‘Turun Anwar’. Tak ada masalah itu. Dia sibuk ‘Turun Anwar’, ‘Turun Anwar’, sekarang ini dia suruh orang lain pulak turun.

 

  1. Tapi yang saya syukur dan bangga hari ini ialah kerjasama semua pihak untuk percepatkan projek pembangunan. Baik di sini, Inland Port di Perlis, tebatan banjir di Kelantan, pembangunan di Sarawak, dan malam ini dan esok dan lusa, hari Isnin pagi, hospital baru di Tawau, Sabah. Ini kerja kita untuk menjana pertumbuhan dan perkembangan ekonomi. Dan kita jadikan semangat Malaysia ini hidup.

 

  1. Alex Nanta Linggi ini siapa? Untuk saudara-saudara yang belum tahu lah ya, ini cucu Temenggung Jugah. Mengapa saya sebut perkara ini? Kerana bapak-bapak kita dulu ni dia ada wawasan. Dia tahu kalau Malaysia ini kuat, ada kesepakatan. Banyak perbedaan, budaya Melayu atau budaya Cina dengan budaya Iban, tapi banyak juga persamaan. Kita tumpu pada persamaan, perbedaan itu sekadar kita lita’arafu, menghormati dan memuliakan. Sebab itu bila dia undang saya ke Kapit dengan sambutan adat istiadat Iban itu cukup mengesankan kepada saya.

 

  1. Saya, anak Melayu Pulau Pinang beragama Islam, disambut di Kapit dengan penuh istiadat kerana apa? Kerana tujuan bersama untuk mengikat persefahaman dan mengangkat martabat negara Malaysia tercinta. Saya boleh bagi kuliah, beda pendapat saya dengan Kapit dan Iban. Tapi itu kenyataan. Jadi sebab itu kita pilih untuk bekerjasama.

 

  1. Jadi saya harap kesempatan pada pagi ini, kita manfaatkan sepenuhnya. Saudara, bukanlah kerana saya kebetulan Perdana Menteri, kerana yang menjayakan ASEAN itu bukan saya seorang. Seluruh anggota Jemaah Menteri, Kerajaan-kerajaan Negeri, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, puluhan ribu anggota polis, termasuk yang jaga trafik, itu yang mengagumkan. Orang datang, dia lihat lebuh raya, dia lihat pasukan keselamatan, dia lihat golongan di Kementerian Luar yang jaga protokol, dia lihat anak-anak mahasiswa yang jadi sukarelawan, dia lihat acara kita, dia lihat kebersihan kota. Itu semuanya itu melibatkan puluhan ribu orang. Jadi saya ucap terima kasih kepada mereka, dan ini yang menyebabkan orang kagum dengan kita menyelenggarakan.

 

  1. Namanya ASEAN. ASEAN 10 negara, masuk Timor-Leste jadi 11. Tapi yang datang ini puluhan negara, termasuk negara besar. China, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, India. Dan kita masukkan lagi pula dari Latin America, Brazil dengan Afrika Selatan. Apa kena mengena dengan ASEAN? Dia jadi tamu kepada Pengerusi ASEAN untuk menunjukkan keperluan Malaysia membuka jaringan persahabatan, perdagangan dengan mereka. Ada orang tanya apa? Di kampung-kampung ceramah, “ah ini, nak seronok-seronok, nak tunjuk hebat”.

 

  1. Saudara, dengan Brazil, kerana persahabatan kita dengan Lula, dia beri satu ruang, peluang Petronas Cari Gali dan sekarang sudah mengaut minyak dari Brazil. Syarikat swasta Yinson, bina kapal besar untuk penggunaan Brazil. Saya akan ke Afrika untuk G20, dengan Cyril Ramaphosa. Peranan kita, buka jaringan. Kuat dengan Amerika, kuat dengan China, tak cukup. Buka jaringan dengan pelbagai negara, menjadikan Malaysia ini negara dagang yang boleh meyakinkan.

 

  1. Sebab saya tengok Pulau Pinang, penuh sesak dengan kawasan. Tak ada celah nak buka. Dia buka di Batu Kawan. Habis, kawasan-kawasan Sungai Bakap, kampung-kampung, ceruk rantau ini, kerana tarikan pelaburan. Maknanya keperluan Kerajaan Persekutuan mengatur dasar dan kerjasama Kerajaan Negeri yang progresif dan cekap, ini membantu sebenarnya.

 

  1. Jadi saya harap kita jaga negeri ini, jaga keamanan, dan jaga kepentingan negara dan kepentingan rakyat. Tidak banyak negara yang mampu capai apa yang kita lakukan kerana semangat dan minat kita. Dia tidak pernah sempurna. Saya tidak pernah mengaku bahawa kita ini sudah perfect. Kelemahan-kelemahan harus kita betulkan. Kelewatan, keras membanteras rasuah. Masih ada celah-celah, masih berlaku. Kita bagi amaran. Bagi laluan sepenuhnya kepada SPRM, Polis, LHDN jalankan tanggungjawab mereka. Jadi kita dapat kumpul dana yang besar, menyelamatkan negara dari ketirisan, dan pemborosan dan rasuah. Jadi agendanya belum selesai.

 

  1. Saya harap dengan majlis seperti ini yang menunjukkan kepentingan infrastruktur dari segi keselesaan rakyat, itu yang utama. Keselesaan rakyat, dari segi pengangkutan, lebuh raya dan dapat meyakinkan. Sedikit saya nak sebut tentang bila kita ada KIGIP di Kerian, teknologi hijau yang baru, projek besar di Kerian. Bila berunding dengan bakal-bakal pelabur di Kerian, apa yang mereka runsing? Dia kata pelabuhan di Pulau Pinang, lapangan terbang di Pulau Pinang, tapi jalan dia kata sesak. Jadi pelabur, dia bangkitkan isu ni. Pada masa itu saya kata saya bagi jaminan kita akan selesaikan. Dan hari ini alhamdulillah peringkat pertama dah diselesaikan.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: