TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: AMANAT HARI KEBANGSAAN 2025 “MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI”

30 Ogos 2025

 

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

 

AMANAT HARI KEBANGSAAN 2025

“MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI”

 

 

30 OGOS 2025 (SABTU) | 11.00 PAGI

MAEPS, SERDANG

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba,

wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

wa nusalli ala rasoolihil kareem,

wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul,

Speaker Dewan Rakyat;

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amiruddin bin Shari, Menteri Besar Selangor;

 

Rakan-rakan Menteri; dan

 

Seluruh hadirin yang diketuai oleh,

 

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Khalid bin Ismail,

Ketua Polis Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar,

Peguam Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Dan semua yang berjasa, berkhidmat untuk mengangkat martabat Malaysia tercinta, terima kasih atas kehadiran rakan-rakan;

 

  1. Tidak ketinggalan anak-anak muda, anak-anak dan siswa yang akan menentukan masa depan kita agar kekal dan meningkat kecemerlangannya. Terima kasih anak-anak muda.

 

  1. Selalu kita memulakan acara Sambutan Kemerdekaan ini pastinya dengan menyingkap lembaran sejarah, kerana kita capai nikmat kemerdekaan berkat perjuangan, pengorbanan banyak pihak, dan sejarah tidak harus memadamkan kenyataan dan perjuangan ini. Yang kita nikmati adalah kerana yang kita warisi dengan baik.

 

  1. Pertama, syukur kepada hadrat Allah SWT. Keduanya, penghargaan setingginya kepada pengorbanan bapa-bapa dan ibu-ibu kita, dengan pasukan pertahanan kita. Benar, ketimbang dengan negara-negara lain, tidak terlalu besar jumlah terkorban banding Indonesia, Vietnam atau Algeria yang meragut jutaan nyawa, tetapi ribuan nyawa terkorban dari zaman Mat Kilau ke Dato’ Maharajalela, sehinggalah home guard, tentera, polis sepanjang puluhan tahun bertarung melawan penjajahan, melawan gerombolan komunis, diketuai oleh Parti Komunis Malaya sehinggalah tercapai keamanan dan apa yang dilontarkan idea awal oleh al-marhum Dato’ Onn Ja‘afar.

 

  1. Kemudian bendera dipegang oleh al-marhum Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj, dengan gabungan kekuatan induknya Melayu, kekuatan asas Melayu, semangat kebangsaannya mula Melayu, digabung kekuatan India, Cina, dan kemudian tokoh-tokoh besar dari Sarawak dan Sabah menjadikan Malaya, Tanah Melayu merdeka, dan kemudian menggarap kekuatan Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung Malaysia merdeka, Malaysia diasaskan sebagai negara baharu, merdeka dan berdaulat pada 16 September.

 

  1. Terlalu banyak pengorbanan nyawa, harta benda, air mata, keringat, dan saya seru anak-anak muda terutamanya, lihat, belajar, bahawa apa yang kita kecapi dan nikmati ini adalah dengan harga, bukan murah. Sebab itu, peliharalah negara ini. Negara ini unik, satu-satunya negara pelbagai kaum dan pelbagai agama yang bertahan dari segi keamanannya, dari segi kesegaran ekonominya, dari segi kekuatan dan semangat perpaduan dan budayanya banding dengan negara-negara sekitar kita, Asia atau di dunia.

 

  1. Aneh, kerana selang beberapa dekad selepas perjuangan menentang penjajahan, yang kita menolak penjajahan itu kerana pengkhianatan, keangkuhan kuasa, merampas kekayaan anak negeri, memperbodohkan rakyat, menghasut supaya ada hilang keyakinan, azmat al-thiqah, keyakinan kepada kekuatan sendiri dan kagum dengan kekuatan asing. Kita warisi keadaan sedemikian.

 

  1. India, Indonesia, Algeria, sebut saja mana-mana negara terjajah. Elit yang awal kadang-kadang dalam usaha perjuangkan kemerdekaan masih terpukau dengan kehebatan Barat sehingga sistem mereka itu akan patuh kepada nilai dan budaya Barat. Tetapi nyata tidak ada negara yang mampu merdeka kalau tidak ada semangat kerjasama dan perpaduan, dan jati diri. Cuma selang beberapa abad, kadang-kadang ini dilupakan. Malaysia harus belajar dari pengalaman ini. Jangan lupa bahawa kemerdekaan itu dibayar dengan harga yang tinggi, nyawa, harta benda dan keringat.

 

  1. Semua kaum, tidak harus dimungkiri kenyataan bahawa yang menjadi induk kekuatannya Melayu dan Bumiputera, tetapi kemerdekaan itu dipermudahkan dengan pernyertaan dan dukungan kaum-kaum lain, Cina dan India. Sebegitu juga bila kita mencapai persetujuan kemufakatan Hari Malaysia. Saya tekankan perkara ini kerana maksud saya hendak sampaikan bahawa gejala memecah-belahkan negara ini berdasarkan faham kaum, kabilah, wilayah mesti dihalang dengan keras dan tegas, kerana Malaysia itu lebih penting daripada faham-faham sukuan dan daerah.

 

  1. Percayalah, sebagai pelajar dan pengagung sejarah, tidak ada negara yang boleh bertahan kalau menerima hasutan kebencian antara kaum. Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini pembangunan semula bandar masih dihadapi kaum, masih diberikan, ditanam, dan dihasut rasa takut.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing. Apapun saya bicarakan, saya tetap Melayu. Saya bangga dengan bahasa saya, bahasa Melayu. Saya bangga dengan kehebatan budaya Melayu yang agung, dengan karya-karya besar dari Raja Ali Haji, ke Za‘aba, ke Ungku Aziz, ke Naquib al-Attas. Saya tetap bangga dan memuliakan mereka. Tetapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan, apalagi menghina yang lain.

 

  1. Sebab itu, ini bukan zero-sum game. Bukan memilih untuk memperhebatkan kekuatan Melayu dan menghina yang lain. Ataupun di kalangan masyarakat Cina, menyatakan keagungan budaya dan tamadun mereka ribuan tahun dan cuba meminggirkan seolah-olah negara ini tidak ada asas kekuatan bahasanya dan budayanya. Ataupun di kalangan masyarakat India, itu juga tekanan-tekanan dari negeri-negeri, baik Sarawak atau Sabah, Pahang, Johor, dan sebagainya. Mereka lupa bahawa Melayu dulu sebelum merdeka itu Melayu Johor, Melayu Pulau Pinang, Melayu Kedah, Melayu Kelantan, dan bukan semangat Semenanjung itu tidak ada. Hanya dengan perjuangan kebangsaan mengikat kita bersama sebagai kesatuan. Kemudian mengikat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan Orang Ulu semuanya sebagai satu kekuatan rakyat Malaysia. Harus kita bekerja keras untuk menjaga perasaan sentimen masing-masing.

 

  1. Ada negara yang hancur kerana pimpinannya terlalu taksub dengan masalah bahasanya, sehingga mengenepikan bahasa yang lain. Saya tengok sejarah. Selaku Perdana Menteri, sukar saya sebut nama-nama negara kerana sensitif. Tetapi harus saudara faham, ada negara-negara berpecah kerana ketaksuban untuk pertahankan bahasa sehingga menafikan bahasa kaum lain. Pecah, ada negara pecah kerana sentimen kaum satu sama lain. Ada kerana faham agama yang melampau. Bukan sahaja di kalangan orang Islam, ada juga di kalangan orang Kristian, ada juga di kalangan orang Hindu.

 

  1. Kita kena belajar. Kita harus tentunya mengangkat, menghayati Islam itu adalah agama yang harus dihayati. Tetapi penghayatan Islam itu tidak pernah harus selari dengan penghinaan kepada agama-agama yang lain.

 

  1. Saya tekankan hal ini kerana kalau kita kata “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni”, itu hanya mampu dimaknai dengan kefahaman, komitmen, dan iltizam yang jelas. Pertahankan kesatuan kita. Kesatuan kita maknanya menghormati Lita’arafu kepada yang lain, dan yakin bahawa manusia ini diangkat martabatnya. Tentunya, inna akramakum ‘indallāhi atqākum, yang paling mulia itu takwanya, bukan bahasanya, bukan budayanya, bukan kaumnya, tetapi ketakwaan kepada Allah SWT. Itu janji Allah SWT.

 

  1. Tetapi selain daripada itu, ditekankan Lita’arafu bukan sekadar tolerant. Kalau dalam idea-idea Barat, antara kaum ini dikatakan tolerant. Dalam istilah al-Quran, disebut Lita’arafu, maknanya arif, kenal, knowing one another, menghormati dan memuliakan perbedaan. Dan ini keunikan Islam. Tapi yang kita dengar ini, benci, laknatkan orang, Qunut Nazilah kan orang, menghukum. Kalau setuju, semua masuk syurga, tidak setuju, diharamkan. Ini faham-faham yang tidak membantu. Orang tidak akan kasih dan menerima Islam dengan sikap yang sedemikian.

 

  1. Kalau kita belajar sejarah kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang pernah saya singgung dulu, dari zaman Ibn Battuta menjadi Shaykh Al-Islam di Aceh Darussalam, sehingga ulama-ulama besar, Sheikh Daud al-Fatani, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumatrani, semua itu tidak pernah mudah menghukum, tetapi mengajak. ‘bil-ḥikmati wal-mau’iẓatil-ḥasanati wa jādil-hum billatī hiya aḥsan’ – dengan kebijaksanaan, dengan perkataan yang baik. Malah kalau mujadalah, bertikam lidah pun itu ‘wa jādil-hum billatī hiya aḥsan’. Kalaupun mujadalah, mesti dengan perkataan yang baik. Itu Yang Dipertua Dewan Rakyat lebih arif. Terutama mujadalah di Parlimen itu, perkataan-perkataan yang kesat, yang kadang-kadang tidak mencerminkan budaya Melayunya, Islamnya, apalagi Malaysianya.

 

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Sebab itu, semangat kemerdekaan ini kena yakin. Malaysia ini bukan suatu negara yang sempurna. Tetapi kekuatan dan kehebatannya itu luar biasa. Saya tegaskan semula, cari negara pelbagai kaum di mana semangat perpaduan itu sekental dan sehebat Malaysia. Saya salute kepada rakyat Malaysia yang pertahankan semangat sedemikian. Bukan 10 tahun, bukan 20 tahun, sudah 68 tahun kita bertahan. Bukan tidak ada unsur-unsur negatif yang mengkhianati semangat yang sedemikian. Tiap kali ada satu perlantikan, tiap kali ada satu ikhtiar baharu, tiap kali ada satu rang undang-undang baharu, masalah kaum itu dibangkitkan.

 

  1. Saya syukur alhamdulillah, kerana majoriti rakyat masih gunakan hikmah dan kebijaksanaan, lihat kepada fakta dan angka, tidak pada sentimen buruk yang boleh melemahkan kekuatan dan sendi negara kita. Tetapi ini tidak bermakna kita harus angkuh. Saya terima kenyataan bahawa ada masalah-masalah yang harus kita tangani dengan baik. TPM YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof ada, menteri-menteri ada. Setiap sidang jemaah menteri tidak pernah berlalu tanpa mempertikaikan soal-soal yang dihadapi oleh rakyat. Sama ada pendidikan mereka, kesihatan mereka, harga barang, harga telur, harga ayam, Tok Mat Sabu (YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu), itu dibincang panjang oleh negara. Naik harga 5 sen, itu merunsingkan kita, walaupun kita tahu di negara-negara luar naik lebih mendadak.
  2. Dan walaupun kita tahu semasa rakan-rakan sebelah sana memerintah, harga-harga itu melambung. Dan kita harus tahu bahawa Kerajaan MADANI telah memecahkan tembok kartel. Dan terus kita berperang. Saya sudah panggil badan-badan penguat kuasaan. Fight them. Fight the cartel. Fight kumpulan-kumpulan yang menggunakan cara-cara haram dan khianat untuk merosakkan sendi negara ini. Kita tidak tolak ansur, saudara-saudara. Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun. Mampu kita pecahkan. Ini dengan tekad politik, satu. Kedua, semangat dan pengorbanan rakan-rakan di bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Polis Diraja Malaysia dan semua. Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada.

 

  1. Sebab itu, semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan bebaskan negara ini dari segala bentuk kecurangan, namanya rasuah, namanya penyeludupan, namanya kegiatan haram. Mesti tekad memerdekakan rakyat dengan menghapuskan kegiatan-kegiatan sedemikian. Apa yang kita catat, angka-angka mutakhir membanggakan, alhamdulillah. Tapi ini proses penerusan. Suku kedua tahun ini, 2025, kita catat 4.4 peratus pertumbuhan. Ini dalam keadaan geopolitik dan ekonomi negara tidak menentu, dalam keadaan pertarungan dan peperangan dagang di antara Amerika Syarikat dan negara China memuncak. Dalam keadaan tarif itu menekan. Kita ambil pendekatan sama dengan ASEAN centrality. Berbaik dengan negara China, dan berbaik dengan Amerika Syarikat. Dua minggu lalu saya terima telefon daripada Presiden Donald Trump. Esok, selesai perbarisan Merdeka, saya akan ke negara China atas undangan Presiden Xi Jinping. Itu kebijaksanaan Malaysia, saudara-saudara.

 

  1. Ada hal yang kita tidak setuju, tetapi itu kebijaksanaan rakan-rakan kita dalam pimpinan negara ini kerana memilih untuk jaga kepentingan negara dan rakyat negara. Kalau ambil sentimen orang yang ekstrem, perang di sana, perang di sini, rakyat merempat. Kalau ambil pendekatan kita, tegas dalam soal Gaza, tegas dalam soal kemanusiaan, tetapi tetap pertahankan persahabatan supaya rakyat tidak terkorban dan ekonomi kita harus meningkat. Sebab itu kita masih catat 4.4 peratus suku kedua tahun ini.

 

  1. Defisit fiskal, ada orang dia mual dan benci bila saya sebut kita warisi hutang lebih RM1 trilion. Itu kenyataan, saudara. Ayah meninggal, anak ambil alih syarikat, hutang RM50,000. Anak itu terbeban dengan hutang. Kami warisi Kerajaan, hutang itu termasuk contingent liability, RM1.5 trilion. Ah, biasa. Apa biasa? Saya belum hutang lagi. Malaysia ini bukan masih belum muflis. Saya belum hutang. Dan rakan-rakan saya boleh kata, ok, kita hutang, bagi sahaja kepada rakyat. Tetapi yang akan bayar, anak-anak kita.

 

  1. Apakah mereka mampu bayar kalau RM1.6 trilion, RM1.7 trilion, RM1.8 trilion? Tak mampu. Sebab itu, governance ini, tatakelola ini harus berdasarkan beberapa landasan utama. Kalau negara ini hendak dipertahankan kemakmurannya dan unjuran pertumbuhan itu kekal, keyakinan pelaburan asing dan domestik kekal, maka kita kena turunkan defisit. Berapa defisit masa kita ambil alih kuasa? 5.6%. Tahun pertama kita turunkan, 5%. Kemudian 4.8%. Tahun ini 3.8%. Itu rekod dalam mana-mana negara membangun, saudara-saudara.

 

  1. Tapi dalam masa kita turunkan defisit, gaji naik. Bukan kita turunkan defisit, gaji turun. Kita turunkan defisit, perbelanjaan bagi semua negeri itu naik, termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang — Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu. Tapi yang diwiridkan apa? “Zalim, menindas kami.” Saya beri angka di Parlimen, tak bangkit soalan. Saya beri angka di Parlimen, saya kata semangat kita semangat perpaduan. Kita ada mandat jaga negara, kesemuanya. Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, termasuk 4 negeri ini. Dan saya beri angka secara terperinci, naikkan. Kelantan tinggi sebab masalah banjir. Mereka hadapi banjir dah puluhan tahun, dan tanggungjawab kita, kerajaan Persekutuan, untuk bantu. Dan kita teruskan di bawah portfolio TPM dan kita teruskan.

 

  1. Ini saya sebut tentang defisit fiskal. Ingat ya, defisit hutang pinjaman baharu diturunkan. Hutang masih banyak, tapi pinjaman baharu diturunkan. Dari 100 bilion, sekarang 70 bilion. Tanya sebab apa masih hutang? Kerana Kerajaan kena belanja, tak boleh henti terus. Jadi dari 100, sekarang 70. Gaji naik, peruntukan naik dan STR, SARA naik. Sekarang 15 bilion ringgit untuk rakyat. Tahun ini, 15 bilion ringgit. Jadi ada langkah-langkah yang kita ambil. Yang kata bahawa PMX ini zalim, naikkan, tarik subsidi. Elektrik kita tarik untuk siapa? Tapi masih lagi berlegar. Kita tarik untuk golongan yang maha kaya, syarikat-syarikat yang besar, syarikat untung 200 juta, 1 bilion ringgit 1 tahun. Elektrik kita subsidi, jadi syarikat itu tak payah subsidi. Tapi apakah kita tarik kepada rakyat? Tidak tarik. Mungkin kalau dalam dewan ini ada 5-6 orang yang termasuk golongan kaya yang bayar, tapi yang lain itu tidak naik.

 

  1. Sekarang kita cadangkan RON95 dan tarik subsidi. “Oi riuh, zalim.” Harga minyak RON95, insya-Allah kita turunkan kepada RM1.99. Tolong tanya, negara mana yang turunkan harga minyak dengan keadaan sekarang? Dan kita turunkan, kita tarik subsidi bagi maknanya bukan rakyat. Rakyat, harganya turun. “Hari ini menang…harga minyak turun”. Tapi tidak hari itu, jadi kita tangguh dua (2) tahun, tapi turun juga. Syukur, alhamdulillah.

 

  1. Kedua, yang akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi. Bukan naik, ditarik subsidi. Itu bagi orang asing. Tapi bila berlegar di luar, dikatakan kita bebankan rakyat. Merdeka apa? Apa erti merdeka kalau subsidi rakyat ditarik? Subsidi ditarik kepada orang asing. Yang nak dibebalkan sebab apa? Subsidi ditarik kepada orang asing. Dan kalau dikenakan bukannya kepada kalangan yang gajinya RM50,000-RM60,000 sebulan. Kalau saudara gajinya RM50,000 sebulan, bayarlah sikit supaya kita tolong rakyat.

 

  1. Tapi dalam dewan ini, petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja kilang, itu semua tidak akan dinaikkan minyak. Ini rencana kita. Apa yang saya umumkan, berbeda daripada apa yang berlegar dalam media sosial. Bahawa Kerajaan ini zalim kerana tarik subsidi rakyat. Yang kita tarik subsidi kepada warganegara asing. Dia tak bayar cukai. Dia bukan warganegara, jadi dia bayarlah harga yang sepatutnya.

 

  1. Jadi saudara-saudara, akhir tahun ini, bukan akhir tahun, dalam tempoh sebulan, dua bulan ini, Malaysia sekali lagi akan menjadi pusat perhatian dunia. Ketua-ketua negara ASEAN, beberapa negara Eropah, Kanada, Latin Amerika dan Afrika akan bermukim di Kuala Lumpur. Sepertimana yang disebut sebelum ini, Presiden Donald Trump telah mengesahkan beliau juga akan melawat Malaysia dan saya percaya pimpinan China dan mungkin pimpinan Rusia.

 

  1. Mengapa saya berasa yakin? Kerana saya lihat kecekapan luar biasa jentera kita, Kementerian Luar-nya, PDRM-nya, seluruh staf JPM-nya, pegawai-pegawai dari Kementerian Pelancongan-nya, seluruh jentera Kerajaan itu bekerja dan dianggap Sidang ASEAN yang kita adakan beberapa bulan lalu itu di antara Sidang ASEAN yang besar, hebat dan paling cermat dan teratur yang pernah diadakan. Dan insya-Allah mudah-mudahan kita dapat anjurkan dengan yang lebih baik, berkesan walaupun perhimpunan itu hampir menjadi sidang besar dunia di akhir tahun ini.

 

  1. Dan saya ucap terima kasih kerana seluruh jentera Kerajaan telah mula bergerak menjamin persiapan dan akhirnya keselamatan dan juga peraturan diteliti. Jadi, mudah-mudahan dapat digerakkan. Pengalaman kita beberapa bulan lalu, patut mengajar kita memperbaiki prestasi kita.

 

  1. Saudara-saudara ingat, tema tentang MADANI dan rakyat – “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni”. Dan tonggaknya perpaduan di kalangan kita. Guna seluruh kekuatan-kekuatan dan jentera kita menyantuni rakyat, mengurangkan tekanan, menjamin keselesaan. Amalan-amalan sama ada sikap bobrok, ataupun keinginan untuk mengaut kekayaan luar daripada peraturan, mesti dihentikan. Saya jelaskan tadi, langkah-langkah yang diamanahkan dan setiap kali ada sidang seperti ini, saya tegaskan kerana masih ada ruang untuk kita perbaiki.

 

  1. Merdeka ini bermakna bebas dan yakin dengan kekuatan kita. Dan saya masih ingat al-Quranul Karim, dalam bangga kita, hebat kita, jangan lupa, kita ini juga hamba Tuhan. “Wa’ibaadur Rahman.” Kita adalah hamba Tuhan. Kalau kita ingat itu, hebat, mulia, kaya, berkuasa manapun, kita itu hanya hamba. Tapi hamba kepada siapa? Ar-Rahman. “Wa `Ibadu Ar-Rahmani Al-Ladhina Yamshuna `Ala Al-`Arđi Hawnaan Wa `Idha Khatabahumu Al-Jahiluna Qalu Salamaan.” Hamba Tuhan itu kecil hina hanya kepada Allah SWT.

 

  1. Ingat! Betapa kaya, berkuasa, berpengaruh hebat di mana-mana jabatan atau negara, kita itu hamba Tuhan. Hina, hamba. Serendah-rendah darjat manusia itu adalah hamba. Tapi, “Ibaadur Rahman,” hamba Tuhan. Tapi, hamba Tuhan ini, ingat. Kalau landasannya betul, “Al-Ladhina Yamshuna `Ala Al-`Arđi Hawnaan.” Dia boleh berjalan di muka bumi dengan yakin, dengan confident. Kita hamba Tuhan tapi kita merdeka. Tidak gentar untuk kita lalui, tempuh rintangan berdasarkan prinsip dan kekuatan ini. Makruf ke arah makruf dan tolak mungkar.

 

  1. Apakah dengan buat yang baik, kerja yang kuat, Ketua-ketua Jabatan yang berdisiplin dan integriti dan komited dalam kerjanya, siswa yang bekerja baik, apakah dia tidak ada rintangan? Jawabnya ada. Apakah dia tidak akan hadapi celaan? Jawabnya ada. Apakah mungkin semua yang bersetuju dengan dia? Tidak. Tapi, dia yakin berdasarkan prinsip tentang semua pertimbangan ini dilaksanakan dengan baik. Sebab itu, Al-Quran menyebut, ada kemungkinan ini dan kalau ada yang mengambil sikap “Wa `Idha Khatabahumu Al-Jahiluna” orang-orang yang jahil terhadap kamu, mencerca, menolak kenyataan, mengadu domba, menanam rasa bibit-bibit perpecahan dan permusuhan. Pertahankan golongan perasuah-perasuah besar. Orang yang ambil kekayaan, mengaut kekayaan 3 -4 bilion pun menjadi hero. Dan orang-orang yang bertindak, mencekal, menghalang kegiatan rasuah dan mengambil tindakan, ini pula dikecam. Ibarat ‘Jaman Edan’ yang disebut oleh Ronggowarsito.

 

  1. Jadi, tak boleh nafikan. “Ibadur Rahman”, hamba Tuhan. Dia berjalan di muka bumi ini dengan yakin. Tetapi dia masih hadapi ujian dan cabaran. Apa jawab kamu? “Qalu” – katakanlah, “Salamaan” – selamat kamu. Kamu boleh lemparkan apa saja. Kita terus berjalan, terus bertindak, terus bekerja. “Membujur lalu melintang… patah. Membujur lalu melintang… patah. Membujur lalu melintang… patah.”

 

  1. Dengan keyakinan kita, dengan semangat kita, dengan keikhlasan kita, dengan tekad kita. Kalau ada, yang disebut dalam Al-Quran. Jangan kita ingat tidak ada. Ujian dan cabaran. Tetapi jangan anggap ujian kita terlalu besar. Kadang-kadang kita ada masalah, Allah ya Rabbi, ujian aku terlalu besar, masalah aku terlalu besar. Tak betul. Kerana Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh sahabat, kena caci, kena maki, kena pukul, kena berkorban, semua. Jadi, tanya kepada Rasulullah SAW, Ya Rasulullah, “Ayyunasu asyaddu bala’an”. Manusia ini, di kalangan manusia, siapa yang paling banyak terima ujian dan bala? “Kita lah.” Anggapnya ya. Tanya kepada Rasulullah, di kalangan manusia, siapa yang banyak ujian ini? Kadang-kadang ketua jabatan marah, kadang-kadang disiplin kena, kadang-kadang macam-macam lah. Kerja kuat, kena maki lagi. Tapi jawab Rasulullah itu amat tepat dan kita patut pegang.

 

  1. Jawab Rasulullah SAW, soalannya apa? “Ayunasu asyadu bala’an.” Di kalangan manusia, siapa yang paling banyak menerima tribulasi, ujian, rintangan, bala’? Jawab Rasulullah SAW, “Al-anbiya’u thumma al-amthalu fal-amthal.” Yang paling banyak ini bukan kita. Paling banyak tu para Nabi. Jauh makamnya. Ibarat langit dengan bumi kena dengan kita ini. Selepas itu, “Al-anbiya’u thumma al-amthal.” Mana yang orang dekat yang ambil misalan daripada Nabi. Amalnya, kerjanya, makrufnya, percakapannya, tingkah lakunya. Lepas itu, “Al-anbiya’u thumma al-amthalu fa al-amthal”. Kemudian, orang yang ambil misal daripada misal itu, jauhlah kita kategori. Kita ini, “tabi’ain jauh la ila yawmiddi”, sampai ke belakang, belum lagi. Jadi, jangan kita terlalu terbeban dengan rintangan dan ujian. Sebab itu Quran menyebut, “Qalu Salamaan” kita ada tugas, kita akan jalankan kerja kita.

 

  1. Kita ada program negara MADANI. Kita ada program-program pelaksanaan ekonominya, sosialnya, pendidikannya, kesihatannya. Kita harus terus kerja. Kerja sebagai satu pasukan. Jaga perpaduan. Tingkatkan semangat. Selamatkan negara kita. Jaga supaya negara ini terpelihara daripada segala usaha-usaha di luar. Kerana ramai yang cemburu dalam negara dan luar negara. Ramai yang cemburu. Percayalah saudara-saudara. Ramai yang cemburu dengan Malaysia. Keamanan kita, kejayaan kita, kemakmuran kita. Pertahankanlah dengan segala tenaga kita.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: