TEKS UCAPAN : YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA MEJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID MADANI PERMATANG PAUH
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID MADANI, PERMATANG PAUH
8 NOVEMBER 2025 ( SABTU) | 10:30 PAGI
MASJID AROWANA, PERMATANG PAUH, PULAU PINANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;
Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
Menteri Kewangan II;
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang baru menang Ahli Lembaga Pengarah UNESCO dunia, dengan undi tertinggi. Malaysia catat undi tertinggi, alhamdulillah.
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Peguam Negara;
Ahli Yang Berhormat;
Yang Berbahagia Tan Sri Rashid Hussein,
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid MADANI Permatang Pauh;
Sahibus Samahah Mufti;
Tok-tok Guru; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, hari ini saya, yalah bersyukur itu setiap masa tapi hari ini saya gembira lebih sedikit kerana projek Masjid Madani ini saya idamkan lama, puluh tahun dan semasa berehat di istana hinggap Sungai Buloh saya juga berfikir bagaimana hendak ada satu mercu tanda yang indah, satu masjid untuk diimarahkan tetapi yang berfungsi sepenuhnya dengan tempat solatnya, perpustakaannya, dewannya dan kemudahan-kemudahan asasnya, perumahan dan sebagainya yang agak lengkap.
- Alhamdulillah, keadaan mengizinkan. Terima kasih Timbalan Ketua Menteri I dan Majlis Agama Islam Negeri, Kerajaan Negeri, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyegerakan pengambilalihan tanah 5.3 ekar dan tempat yang sangat strategik.
- Saya bercita-cita adakan masjid ini dan di antara masjid yang berfungsi dan indah termasuk Masjid Sendayan yang dibina atas usaha Tan Sri Rashid Hussien tatkala beliau memegang RHB Bank. Dan saya panggil dia, saya minta dia pengerusikan.
- Untuk makluman rakan-rakan di sini, di Permatang Pauh dan di Pulau Pinang saya nak sebut di sini, selain daripada tanah, pembangunan projek ini mahal sedikit, kerana yang merancang itu Tan Sri Rashid, dia bukan reti kos, kos dia itu masalah Kementerian Kewangan, tetapi alhamdulillah dengan persahabatan saya beberapa rakan-rakan di luar negara dan luar negara, setakat ini kos itu mencecah 75 juta ringgit dan tanpa dana Kerajaan. Setengah rakan-rakan saya dari luar negara dan setengah rakan-rakan saya di sini, kalau tak cukup saya buat permohonan kepada Saudara Amir Hamzah (nada seloroh). Tapi setakat ini saya cuba supaya projek ini selain dari tanah tidak memerlukan dana Kerajaan tapi dana syarikat-syarikat Islam tempatan dan rakan-rakan muslim luar negara, 75 juta dan sekitar 4-5 juta itu disimpan sebagai tabung amanah menyelenggara masjid dan memastikan kegiatan masjid itu tidak terbeban dengan kos.
- Kariah nanti diminta untuk memanfaatkan kemudahan dan memberikan sumbangan setimpal kerana masjid sebagaimana yang dipamerkan dalam video, kareografer dan direktornya Rashid Hussein, saya baru tengok. Ya, kita berteraskan ayat al-Quran:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
(Surah at-Taubah, 9:18)
- Baik, apa dia maknanya? Membina dan membangunkan masjid itu tugas semua. Memakmurkan masjid. Sesungguhnya memakmurkan masjid itu seruan umum kepada kita, tanggungjawab kita. Dan kalau ikut daripada zaman Rasulullah SAW setelah Hajj, hijratun nabi Muhammad SAW daripada Makkah Al-Mukarramah ke Yathrib, Madinatun al- Munawwarah, masjid itu jadi asas. Jadi, membangun dan membina masjid itu suatu tanggungjawab.
- Masjid itu asas sebagaimana kita tahu, peringatan kepada kita, kepada Tan Sri Rashid dan juga jawatankuasa, kepada saya semua, masjid itu juga boleh jadi kekuatan unggul untuk membina umat dan juga boleh meruntuhkan. Ini daripada nas Al-Quran, “lamasjidun ussisa ala taqwa” (لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ), masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah. Kupasan nanti Sabri dan sebagainya dalam kuliah guna tajuk ini sikitlah ya.
- Tujuannya, selepas membina masjid, untuk apa? “man aamana billaahi wal yawmil aakhiri” – terikat dengan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa’taala. Tentunya tanggungjawab saya mengingatkan kita bahawa bukan gedungnya harus ditandai dengan kemegahan dan keindahan tetapi kerana kita berupaya, ada pengaruh, ada dana, ada kekuatan, ada tanah, kita manfaatkan supaya ia jadi gedung yang dimulikan.
- Tetapi kita juga ingat, masjid yang ussisala takwa itu sangat sederhana, sangat basic. Sebab itu tidak terikat kepada “man aamana billaahi wal yawmil aakhiri”, untuk mengikat diri kita meneguhkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa’taala. “wa aqaamas salaata”, untuk menyempurnakan solat. Dia niat daripada awal untuk jemaah sebab itu saya beritahu kepada Tan Sri Rashid saya kata dalam sekitar 3000-3500 orang tapi dia sudah naik kepada 5300. Dia kata dahulu dia banker. Jadi mengimarahkan masjid “man aamana billaahi wal yawmil aakhiri”, keyakinan kita.
- “wa aqaamas salaata wa aataz zakaata”, ini selalu saya tegaskan bagaimana Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam mengupas ayat-ayat al-Quran kerana sering dikaitkan disambung tentang “wa aqaamas salaata wa aataz zakaata”, solat dan zakat. Kerana ada tanggungjawab “Hablum Minallah”, “Hablum Minannas” ada tanggungjawab yang terkait dengan ketakwaan dengan Allah dan juga kepada manusia, yakni zakat. Institusi zakat itu penting dan zakat itu kerana pertimbangan masalah kemiskinan.
- Dan sebab itu kalau dalam dasar Ekonomi Madani ini, soal kemiskinan tegar itu tidak boleh tolak ansur, setiap tahun ada jumlah selesaikan, dia naik lagi tidak mengapa tetapi jumlah itu kian berkurangan. Kemudian barulah kita ambil golongan miskin yang lain.
- Masjid itu juga dikaitkan dengan zakat yang harus memberikan pertimbangan penyelesaian khusus terhadap masalah kemiskinan tegar dan ini yang pernah dikupas oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi yang saya cuba popularkan. Apa kata dia? Dia kata soal zakat ini kadang-kadang kita anggap sebagai ritual biasa bayar zakat, tetapi kita lupa bahawa institusi negara itu tertegak dengan institusi zakat dan dasar ekonomi yang mesti menyelesaikan masalah rakyat yang tersisih, terbiar, terpinggir dan termiskin. Dan sebegitu pentingnya soal zakat dalam konteks kemiskinan rakyat, tanggungjawab sosial, kata manusia yang daif, yang fuqara’ wal masakin ini sehingga pada zaman Abu Bakar As-Siddiq r.a sanggup isytihar perang terhadap golongan yang ingkar bayar zakat. Katanya, hab al faqih – perang atas soal kemiskinan.
- Dan ini kita baca sebagai sejarah tapi sebenarnya kita dilihat dalam sejarah manusia daripada zaman empayar China kepada Arab kepada India kepada Amerika Latin, mana ada maharaja yang perang untuk bela nasib orang miskin. Dia perang untuk dapat harta, perang untuk menakluki kawasan, perang untuk kerana marah meminang puteri diraja tidak diterima hatinya luka lara, luka lara maka perang.
- Tapi inilah kali pertama katanya, buat pertama kali dalam sejarah peperangan diisytiharkan untuk membela nasib rakyat Fuqara’ yang paling miskin kerana melalui institusi zakat dan ini dikaitkan dengan mendirikan masjid “wa aataz zakaata”, kerana kalau ini ada:
مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ
maka tidak ada gentar. Biasa simpang siur, sepak terajang dalam politik, dalam serangan, itu biasa, asalkan kita jelas matlamat kita, teguh dengan pendirian kita, dan bertindak dengan keyakinan kita, dan tidak harus gentar.
- Jadi mudah-mudahan masjid MADANI ini dan ada kaitan dengan MADANI ini, kerana MADANI ini beza sikit dengan konsep-konsep pembangunan negara. Semua negara di dunia bercakap soal pembangunan, semua berbicara soal kemampanan, tetapi kita menekankan soal nilai, soal ihsan, soal akhlak, termasuk dalam Artificial Intelligence. Dalam AI itu, tidak boleh masjid pun kena guna AI sekarang. Sekolah-sekolah agama, bila saya bantu, di Kelantan, di Kedah, saya kata teks asal nak guna teks-teks lama dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, Al-Ghazali, atau Munyatul Musalli, Daud Al-Fatani itu saya tidak jadi masalah, tidak ganggu, silakan. Tapi saya kata kena tambah dalam soal digital, dalam AI, kalau tidak kita akan tewas, kalah. Dalam serangan baru ini dulu dalam penjajahan, dia serang, dia takluk negara dia tawan golongan elit politik, dia kuasai ekonomi, dia kuasai pendidikan, dia cuma tidak mampu tembus pondok dan pesantren.
- Pondok menjadi benteng pertahanan, iman dan roh perjuangan rakyat. Itu dikata kita pertahankan. Tetapi, pondok masa itu ditanam roh jihad, perjuangan, pertahankan. Ini benteng terkuat dan terakhir umat. Di pesantren di Indonesia, pondok-pondok di Malaysia, benteng supaya umat itu tidak selalu hilang keyakinan dan menjadikan Barat itu qiblat mereka. Bahasa dianggap bahasa asing lebih hebat. Budaya, budaya asing lebih hebat kerana sudah hilang keyakinannya yang pondok menjadi benteng.
- Sekarang kalau pondok mahu menjadi benteng, serangan baru ini serangan teknologi, serangan fikrah, isti’amar ruhi wa fikri, kata Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Penjajahan itu bukan lagi penjajahan kuasa, dia punya pemikiran dan jiwa. Sebab itu umat ini harus bersatu berpakat tingkatkan kefahaman dia, agama dan teknologi baru. Sebab itu saya dalam bentuk bantuan kerana bantuan pondok ini, sekolah-sekolah agama rakyat, dihapuskan pada tahun 2003. Masa pemimpin mereka sekarang lah, dewa-dewa kan tu, pemimpin besar mereka itu batalkan peruntukan untuk sekolah agama rakyat.
- Saya ambil alih 2022 saya kembalikan, bukan sekadar kembalikan, tingkatkan lagi bantuan, pilih sekolah-sekolah ini. Yang itu dia tak sebut, dalam ceramah-ceramah saya dok kena maki setiap hari, turun-turun.
- Jadi saya nak tegaskan di sini, kalau benteng pertahanan umat itu mahu kekal jadi benteng pertahanan, dia mesti kuasai teknologi baharu, tidak tinggal asasnya, kitab-kitabnya, akidah, akhlak, ibadahnya tetapi dia tambah dengan kekuasaan. Sahibus Samahah, tentu lebih arif bab ini dan kita tegaskan dalam bantuan-bantuan kita mesti ke arah itu.
- Sebab itu, sekolah-sekolah agama, Maahad Tahfiz sekarang ini, kita juga beri dia peluang sudah Hafiz jadi Hufaz, dia boleh ambil TVET Dan TVET itu diberi. Ruang sehingga ke universiti. Dan sekarang ini ada juruterbang dari Maahad Tahfiz yang telah dilatih masuk ke universiti dan jadi juruterbang. Kita mahu begitu, kerana tidak semua orang lulusan Maahad Tahfiz akan mampu jadi imam ataupun dalam ceramah-ceramah atau tazkirah saja. Perlu itu, tetapi harus ditambah. Ini rancangan Kerajaan MADANI sekarang.
- Saya tekankan ini, kadang-kadang tidak sampai. Yang sampai di ruang-ruang ceramah politik ini, “PMX, dia cukai orang miskin, tak cukai orang kaya.” Siapa dia ni? Belajar ekonomi di mana? Ni Permatang Pauh saya dengar macam tu juga. Cukai, bila yang saya cukai orang miskin, tidak cukai orang kaya? Elektrik, cukai orang kaya, 15%, 85% tidak kena. Diesel, cukai orang kaya, yang bawah tidak. Petrol RON95 kita turunkan bagi semua. Tetapi yang bawa itu cukai.
- Ini kita buat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat serah negara daripada mereka, kita jadi takluk Amerika. Ini kalau takluk Amerika, saya buat perjanjian itu hari Ahad dengan Donald Trump, Presiden Amerika. Hari Isnin, kita buat perjanjian dengan negara China, Perdana Menteri Premier Li Qiang, negara China. Bulan ini, saya akan pergi G20 di Afrika atas undangan Cyril Ramaphosa, Presiden Afrika Selatan. Tetapi Donald Trump kata dia melarang mana-mana pegawai Amerika hadir ke G20, kita tidak ikut kerana Malaysia negara merdeka dan berdaulat, berkawan semua.
- Dan kalau tanya sebab apa kita berunding dengan Amerika? Sebab kita berunding dengan semua. Kita setuju dengan Amerika semua? Tidak. Dalam pertemuan saya dengan Presiden Donald Trump. Yalah, betul lah saya buat begitu sikit. Amboi. Kena maki setengah bakul. Yang hampa curi bilion-bilion itu tidak mengapa? Yang ambil berbilion-bilion, saya ambil tindakan, ada satu sokongan pun tiada. Ada dengar ceramah setuju dengan PMX, ambil tindakan kepada perompak-perompak curi duit negara ini. Pulang balik pada rakyat. Kirim bantuan itu untuk bangunkan masjid dan sekolah-sekolah agama. Ada dengar? Tak ada dengar.
- Jadi, tak ada. Saya tidak fikir ada keikhlasan bicarakan itu. Hanya kebencian kerana parti berbeda. Hanya kebencian dan merendah-rendahkan. Apa saudara ingat saya setelah hiruk pikuk hidup saya dan derita keluarga. Masuk keluar penjara dan keluar untuk fikir nak dapat duit dan nak jadi perkakas kepada Amerika Syarikat? kamu salah orang. Kita bercakap dengan Presiden, dia memang negara besar. Tentera terkuat di dunia, ekonomi paling gagah di dunia, tetapi bicara, bandingkan perbicaraan saya dengan mana-mana lawatan dia ke mana-mana di dunia. Semua, “yes President, yes President” Saya, “Terima kasih President, you tolong selesaikan masalah fasa pertama Gaza. Tetapi, Presiden, penyelesaian dia itu mesti menyeluruh — comprehensive solution.” Mana ada. pemimpin yang berdepan dengan Trump mengatakan, “Presiden, penyelesaiannya adalah comprehensive solution untuk iktiraf Gaza dan Palestin.”
- Ya, tidak setuju tak apa, tapi meremehkan seolah-olah kita tidak langsung lakukan apa-apa. Saya tidak setuju cara begitu. Sepatutnya bagi sokongan, bagi galakan. Saudara ingat saya berani sangat. Kita negara kecil. Dia hantar kapal perang sekali, ranap kita. Tapi saya mesti suarakan apa yang benar. Tetapi dengan hikmah, dengan bijaksana, biar dia dengar. Bukan cara tertutup dua orang dalam kereta dia. Kereta dia pun nama beast, haiwan, pelik juga. Kereta dia macam tank. Dia ajak masuk kereta dia. Ya? Okay. Dia kata orang ramai mana tahu dia cakap. Tetapi di depan, masa perundingan penyelesaian Kemboja-Thailand. Kemudian United States — Malaysia. Kemudian United States — ASEAN. Tiga-tiga majlis itu, saya tekankan kepada Presiden Donald Trump penyelesaian mesti komprehensif. Dia tak sebut komprehensif, dia sebut 20 point solution yang banyak negara kata okay. Saya kata, “Okay, fasa pertama, tapi mesti penyelesaian menyeluruh.” Maknanya, mengiktiraf hak rakyat Gaza dan Palestin. Hentikan serangan dan penaklukan dan penjajahan — itu penyelesaian kita saudara dan saudari.
- Tidak apa, tidak payah terima kasih pun. Tapi nak maki hamun begitu, dan sekarang ni rancang nak buat perhimpunan turunkan Anwar sekali lagi, buatlah. Tetapi saya, (faidza ‘azamta fatawakkal ‘alallah. Innallaha yuhibbul mutawakkilin) – Surah Ali ‘Imran, 159. Saya akan teruskan kerja.
- Jadi, saudara saudari saya memanfaatkan waktu ini menjelaskan kerana ada orang kata, mengapa jelaskan dalam forum begini? Di mana lagi kita nak terangkan? Di Permatang Pauh ini, sanak saudara dan keluarga saya. Saya tidak mahu mereka dengar fitnah dan termakan dengan hasutan. Kalau ada kelemahan, memang ada. Apa di bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, tidak ada kelemahan? Tidak betul, ada kelemahan. Ada yang belum saya buat? Ya. Masih banyak yang belum saya lakukan. Tegurlah. Kritiklah. Nasihatlah. Tapi jangan caci dan hina.
- Saya sebut tadi, pertama cukai pada orang miskin. Kita saudari-saudari, saudara-saudara, saya cuba sedaya upaya. Betul. Saya kata kalau kita menang, minyak kita turunkan. Saya ambil masa, betul. Saya minta maaf kerana ambil masa panjang sedikit. Kerana apa? Masa saya bercakap itu, hutang beratus bilion. Masa saya jadi Perdana Menteri, hutang sudah 1.5 trillion ringgit.
- PTPTN, saya ambil masa. Sebab apa? Masa saya cadangkan hutang baru sekitar RM 30-40 bilion. Sekarang sudah dua kali ganda. Sekarang kena cari jalan supaya negara tak terbeban dengan ekonomi. Jadi sebab itu setelah hampir 3 tahun, saya umumkan anak-anak yang paling miskin. Mulai tahun depan, akan diberikan pendidikan percuma dari sekolah rendah sampai universiti.
- Ya, saya salah. Saya minta maaf kerana ambil masa. Tapi demikianlah dalam urusan tata negara. Sultan Salahuddin al-Ayyubi, pejuang, mujahid, negarawan ulung dalam sejarah kita, dia mengambil masa masa 10 tahun sebelum melangkah untuk menyerang. Pertama, tradisi ilmu. Kedua, kekuatan dalaman ekonomi. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Dan dalam masa 10 tahun itu, dia berkawan dengan semua negara-negara jiran. Negara Arab, Muslim, negara Kristian. Semua dia berdamai sehingga dia bina kekuatan. Dia kata dia kena takluki balik Baitulmaqdis. Siapa sokong, dia ikut serta termasuk wilayah Kristian. Siapa yang menyerang dia, dia serang balas. Sehinggalah dia dapat menawan Baitulmaqdis. Masa berapa lama? 10 tahun. Saya tidak bolehlah tunggu 10 tahun, saya dah tua. Tetapi, kita buat ikhtiar sedaya upaya kita.
- Akhir kalam, soal peruntukan agama. Saudara Amir Hamzah ada di sini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan pun ada di sini. Kita tambah, sekarang ini peruntukan lebih daripada masa mereka perintah. Dana untuk sekolah agama rakyat, kita bagi balik, kita tambah. Sekarang peruntukan JAKIM itu 2.5 bilion ringgit. Ada golongan-golongan yang pro-sekular barat ini mengecam saya. Saya tak peduli. RM2.5 bilion, ini tak termasuk macam bina masjid ni, saya tak ambil duit itu. Ini bina masjid RM75 juta di Masjid MADANI Permatang Pauh, saya tidak guna wang itu. Kita masih cari jalan.
- Kementerian Pendidikan, Fadhlina ada, bantu-bantu sekolah agama, Sekolah Menengah Berasrama Penuh, termasuk Permatang Pauh yang baru ini. Jadinya, itu kita guna peruntukan Kementerian Pendidikan. Jadi, saudara saudari kita buat sedaya upaya, bagi lah kerjasama, bagi lah teguran dan janganlah buat semacam permusuhan. Kadang-kadang ustaz yang baik-baik pun bila dia jadi parti, dia pun jadi keliru, kasar tidak tentu arah sudah. Tidak boleh saudara saudara.
- Ini yang saya ambil kesempatan betul-betul nak menyeru kerana kita ada agenda. Orang hormat kita kekuatan ASEAN baru-baru ini kerana negara ini aman. Dan aman ni kerana apa? Ya, rakyat aman. Tetapi kerana polis, kerana tentera. Ini kena jagalah mereka. Sebab itu, perumahan polis, perumahan tentera saya jaga lebih. Ini sudah 20 – 30 tahun, rumah dah teruk. Tidak baiki. Guru, kita nak guru jalankan tugas dengan baik. Tetapi tandas sekolah, masih lagi 10 tahun, 15 tahun, keadaan yang sama. Kena baiki. Rumah guru kadang-kadang, pintu tandas pun dah pecah. Ini yang kita lakukan.
- Kalau rakan-rakan termasuk di sekolah-sekolah agama, pondok-pondok nak dengar, kita bagi penjelasan. Kemudian bagi teguran, “Oh betul yang ni buat, tapi ini tak buat lagi, yang ni tak kena lagi,” saya boleh terima. Tetapi janganlah menafikan kerana kita sedaya upaya. Semua gaji naik, gaji menteri potong 20%. Dan saya tak ambil gaji sebab saya kata gaji elaun parlimen cukup dah. Saya nak tunjuk kepada rakyat bahawa tidak semua orang jadi menteri kewangan itu mesti kaya. Ada harta, London, ada harta berbilion-bilion. Sekarang bila kita nak ambil tindakan nak rampas balik, ada lagi pertahan.
- Ini politik agama apa macam itu? Bukan kita nak ambil hak orang. Kita nak ambil wang yang dirampas. Kalau tidak dari mana saya nak bantu ni? Wang dari mana? Ketirisan, rugi, rasuah dan kita cakap Islam berdegar-degar tapi yang ni semua kita diam. Berapa yang kita dah rampas balik? selamatkan wang negara dalam dua tahun ini, 23, 24? 15.5 bilion ringgit. Penyeludupan, kilang-kilang haram, orang tak bayar cukai, yang wang rasuah yang kita rampas berapa? 15.5 bilion ringgit. Apa untuk saya sakau? Tidak. Untuk balik kepada rakyat. Sebab itu negara, walaupun hutang tinggi, sebelum ini kita cuba turunkan.
- Saudara saudarai kita diajar, saya hanya pelajar, masih belajar, apalagi kalau dalam Islam, itu diajar untuk cari kebenaran. Untuk menilai. Untuk ada hikmah. Dalam dakwah pun, (wal ma’un zatal hasanah, wajadilhum billatihi ahsan). Itu yang diajar. Tegur, ya. Kerana ad-dinu nasihah. Betul. Tetapi, carilah fakta dan kebenaran.
- Hari ini, Tan Sri Rashid, jangan bimbang. Masjid ini, kita nak jalankan sedaya upaya. Dan memang belum cukup 75 juta itu, tapi saya kata boleh kita selesaikan. Kerana, 42 juta itu dari sumbangan kawan-kawan di luar negara. Saya tak sebut nama mereka kerana mereka tak bagi laluan lagi untuk sebut, kalau mungkin kemudian dia setuju baru saya sebut. Yang 30 juta lagi itu dalam negara. Kalau kurang mungkin saya ambil wang Kerajaan sedikit, kalau perlu. Setakat ini saya fikir memadailah kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mengambil tanah. Semua kelulusan, segera. Tindakan, segera. Pembangunan, segera. Dan saya tidak akan tolak ansur apa-apa kelemahan dan kelewatan membina Masjid Agung, Masjid MADANI di Permatang Pauh ini.
- Semoga Allah S.W.T memberkati usaha kita. Terima kasih, terutamanya kepada rakan-rakan yang menjayakan, Tan Sri Rashid kerana dia bagi seluruh jiwa raga dia untuk keindahan masjid ini. Kalau tanya saya, selesai RM40 juta sahaja. Ambil Tan Sri Rashid, dia naik sampai RM75 juta. Silap saya lah nak cari orang hebat-hebat jadi pengerusi, itu jadinya. Tapi, kalau kita tengok seni reka, seni bentuk, falsafahnya, kemudahannya. Alhamdulillah. Ini satu petanda yang baik, yang membanggakan kita di Permatang Pauh dan di Pulau Pinang.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
