TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : PERASMIAN MAJLIS KEMUNCAK HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2026

20 Jun 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERASMIAN

MAJLIS KEMUNCAK HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2026

SABTU, 20 JUN 2026 | 3.00 PETANG PICCA CONVENTION CENTRE @ BUTTERWORTH

ARENA, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Nallini Pathmanathan,

Pengerusi Majlis Media Malaysia;

Tahniah atas pelantikan sebagai pengerusi Majlis Media Malaysia dan tentunya dengan pengangkatan beliau akan memberikan suatu gambaran dan kenyataan bahawa Majlis Media ini kian serius. Orang yang punyai latar belakang dan rekod badan kehakiman yang bebas dan berintegriti. Saya tambah selalu impeccable credentials dan ini akan membantu memberikan satu imej dan keyakinan baru kepada Majlis Media Malaysia.

 

YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai,

Pengerusi BERNAMA, penganjur bersama; dan

Rakan-rakan dimuliakan.

 

 

  1. Isu media ini sebenarnya terkait dengan isu kebebasan dan saya telah mendengar pidato saudara Fahmi. Teringat tentang satu perdebatan hangat di zaman Yunani purba lagi. Bila Socrates ditahan dan diaju. Karya I.F. Stone, The Trial of Socrates, ia relevan dalam konteks kita kerana dibicarakan pertama, soal erti kebebasan ruangnya dan keterbatasannya. Keduanya, penyaluran maklumat walaupun pada masa itu belum ada media sosial dan media, tetapi penyaluran maklumat akan memberikan ruang dan pengaruh tetap keputusan dalam penentuan masa depan Socrates.

 

  1. Dalam The Trial of Socrates, I. F. Stone membahaskan sebenarnya prinsip kebebasan. Mesti ada ketetapan. Jelas. Bahawa untuk negara pada masa itu, Athens, harus ada prinsip kebebasan yang tidak boleh dipertikai. Tetapi mesti juga beri ruang kepada kalangan yang menyanggah kebebasan tanpa batas yang mungkin akan meruntuhkan sistem demokrasi yang wujud ketika itu di Athens.

 

  1. Jadi perbahasan dua pola pemikiran yang bertentangan. Tetapi, bagaimana menyalurkan pandangan kepada rakyat? Walaupun pada masa itu demokrasi terbatas, tapi penyaluran maklumat yang ada kaitan tentunya dengan perbicaraan kita mengenai HAWANA pada hari ini. Kerana betapapun benar kenyataan pertahankan hak dan kebebasan Socrates, ataupun betapa benar sekali kalangan yang menyanggah kerana bagi mereka soal keselamatan negara, keutuhan sistem lebih penting dari kebebasan individu.

 

  1. Ada dua kebenaran. Tetapi kebenaran itu akan dihukum dan nilai berdasarkan maklumat yang disalurkan. Dan ini isu ketiga yang terkait dengan kedudukan kita. Penyampaian maklumat tentang kekuatan, prinsip kebebasan yang dikemukakan oleh Socrates dan penyanggahan terhadap kebebasan tidak berbatas kerana menurut pengkritik Socrates yang dikupas oleh I. F. Stone ia akan meleburkan, melemah dan merungkai kekuatan sistem itu sendiri. Dan bagi rakyat, saudara-saudara, menilai kedua-duanya kerana penyampaian maklumat itu menentukan bagaimana rakyat masa itu di Athens memutuskan.

 

  1. Saya harap tidak selalu rumit di antara satu hak dengan hak yang lain, di satu ketetapan keyakinan dengan satu keyakinan lain, penyaluran itu akan menentukan sikap yang benar yang boleh disambut oleh rakyat. Hal yang sedemikian berlanjutan hingga sekarang, kerana dalam pertembungan, pertarungan atau pembenturan idea, juxtaposition of ideas, mesti ada. Pertama, etika untuk menyampaikan yang benar. Dan kita kadang-kadang kalah bila kita bicara soal etika dan nilai. Sebab itu dalam negara Malaysia MADANI ini, saya sentiasa tekankan. Orang kerana sibuk soal pertumbuhan, soal digital, soal transisi tenaga, soal artificial intelligence, tapi dia lupa bahawa dalam semua kerangka prakarsa baru itu, tidak harus ditinggalkan aspek etika dan nilai. Kerana nilai dan etika yang menentukan sama ada yang disampaikan itu benar atau palsu, hak atau batil, makruf atau mungkar, itu ditentukan oleh etika dan nilai bukan semata-mata fakta.

 

  1. Jadi, ini satu cabaran yang besar bagi penggerak, pengamal media dan saya tentunya bagi pihak rakan-rakan dalam Kerajaan harus menyatakan bahawa sistem kita yang lebih stabil, politik yang memfokuskan tentang pembangunan yang lebih rencam, tapi menekankan soal nilai dan etika, itu banyak bergantung kepada sikap, peranan pengamal media dan wartawan.

 

  1. Jadi saya mulakan dengan menyatakan dari susur galur pengalaman sejarah pertarungan dan pembenturan idea di zaman Socrates sampailah pertembungan pembenturan idea di zaman artificial intelligence, saya harus salute, terima kasih dan menghargai jasa, khidmat, pengorbanan rakan-rakan pengamal media di Malaysia.

 

 

  1. Dan tentunya ia tidak mudah, saya mendukung agenda reform, sebahagiannya memahami, sebahagiannya mempertikaikan dan mencerca, tetapi saudara-saudara juga tahu bagi orang yang hadam perdebatan dari awal, yang tidak hanya ambil cebisan-cebisan dan menjadi kononnya penggagas reform untuk mencari hanya dukungan mentera, dari awal dia tidak mudah.

 

  1. Kalau kita jelas yang apa yang kita mahu, tindakan itu harus berhemah. Kalau kita ambil pendekatan, malah tatakelola sendiri pun, membantah rasuah sekalipun, kalau saudara pakai hentam keromo, dia ada syarat-syarat dia. Negara ini negara hukum. Kalau tanya saya, hasrat saya, orang-orang yang mengumpul dana puluh-puluh bilion ringgit yang jelas itu, hukum sahajalah, tapi, kita telah tidak memilih cara begitu. Kita memilih kaedah negara hukum. Negara hukum itu menuntut proses dihormati. Hak orang yang kita tidak senangi, yang kita yakin perasuah masih punya hak untuk mempertahankan diri. Dan ini akan mengambil waktu yang luar daripada keupayaan pemerintah. Dia mengikut susur. Pendakwaan, siasatan, betapa berkesannya siasatan, betapa punya integriti badan siasatan, kemudian pendakwaan, betapa berkesan dan punya integriti, dan akhirnya mahkamah yang punya keupayaan dan berintegriti.
  2. Jadi semuanya itu punyai bukan sahaja kemahiran dan kepakaran, tetapi keupayaan melaksanakan dengan berhemah dan nilai dan akhlak yang mulia. Sebab itu, sementara kita jelas gagasan kita bawa perubahan, kita juga tahu ini bukan soal sentimen, bukan slogan. Ia memerlukan tindakan dan dalam tindakan itu kerana ianya berbaur politik dan melibatkan banyak kalangan kelompok, dia juga mengundang pelbagai sanggahan dan kritikan dan tohmahan. Sebab itu, saya gunakan ruang ini juga untuk memohon rakan-rakan dan pengamal media, untuk memahami kekuatan kita dan keterbatasan kita.

 

  1. Mana ada negara yang bawa perubahan? Dari zaman para nabi dan para rasul, semua perubahan itu berperingkat. Ada marhalah-marhalahnya. Kalau dalam Islam, ada marhalah baqiyyah-nya, madinahnya. Langkah-langkah yang disusuli oleh para sahabat dan kemudian Khulafah Ar-rasyidin. Ada pasang surutnya dan tidak mudah dan gampang dilaksanakan dalam masa sedikit.

 

  1. Saya tekankan saudara-saudara ini, bukan alasan untuk melengah. Melengahkan tindakan. Ini bukan alasan untuk mengizinkan dan condone excesses, mengizinkan keterlajuran. Tapi ia harus didekati dan dibahas cara waras dan bijak. Ada orang gunakan alasan ini untuk mempertahankan rasuah dan penyelewengan. Tapi saudara percaya, saya pernah singgung hal ini.

 

  1. Contohnya, zaman mutakhir di negara-negara Eropah Timur, yang melangkah era perubahan, pembaharuan, revolusi dan reform. Malah sebelum itu, siapa yang tidak terpegun, terpersona dengan gagasan revolusi Perancis? Égalité, Fraternité, apa satu lagi? Liberté. Liberté, Égalité, Fraternité. Ini saya kena tengok Nalini, kalau dia angguk, okey. Ya, tapi saudara tahu, setelah berjaya jatuhnya Raja Louis, kemudian naiknya Jacobins, Robespierre and the Reign of Terror. Pertembungan itu menelan ribuan nyawa, bermula dengan para elitnya. Ini pancung dalam tatkala Reign of Terror dan Guillotine.

 

  1. Saudara kalau baca sejarah Jacobins yang dikupas dalam The Citizens, itu orang-orang yang mempunyai prinsip yang murni, idealisme ini macam golongan Khawarij dalam Islam, dia lebih alim daripada setengah daripada sahabat, lebih kuat beramal. Tetapi ketaksuban dan fanatiknya itu menuntut perubahan, tidak mengenal Batasan, dan tidak memberi ruang untuk mengikut jalur hukum. Dan mengikut jalur hukum itu menuntut kita kesabaran, letih dan lelah dengar jalur hukum.

 

  1. Pengalaman saya, pun begitulah, lagi teruklah, tak habis-habis, tetapi inilah, demikianlah sistemnya itu saya menjelaskan tentang Reign of Terror. Dalam satu kajian, 10 tahun setelah Revolusi Perancis, bicara soal reform di bandar, di kalangan petani, di desa, kehidupan lebih parah daripada sebelum revolusi kerana orang hanya menggegar reform, reform, perubahan, perubahan, nasib rakyat yang menderita itu tidak menjadi keutamaan. Yang utama itu ialah gambaran mereka kata dewan reform not realizing the fact that the poor peasants, their livelihood, was far worse than it was pre-revolution of 1774.

 

  1. Saya sebut tadi tentang pengalaman selepas kejatuhan regime komunis di Eropah Timur. Tokoh-tokoh besar seperti Lech Wałęsa, Václav Havel, Havel teman saya. Saya anggota bersama dia dalam Forum 2000. Bayangkan Václav Havel, champion of human rights, a great literary giant, consistent his policies asking for reform. Tapi negara itu terpecah dua, Czech dan Slovak, kerana dia tidak melihat tentang sentimen kaum dan daerah dan wilayah yang dipelopori oleh pendukung-pendukungnya.

 

  1. Bayangkan di bawah pimpinan seorang great reformist, an idealist, menyebabkan negara itu berpecah dua. Saya bicara hal ini bukan untuk menakutkan, tapi nak bicarakan bahawa kenyataan di Malaysia itu kadang-kadang lebih rencam, lebih rumit, lebih mencabar dari pengalaman di Eropah Timur.

 

  1. Sebab itu saudara lihat umpamanya, setelah satu generasi revolusi dan reform di Asia, di Eropah Timur ramai rakyat yang mahu ingin kembali kepada sistem lama kerana tidak dapat memberikan habuan dan kehidupan lebih baik dari segi ekonominya. Sebab itu, kalau bagi kita negara MADANI, apa pun perubahan yang bertahap fokus kita tetap dalam pembangunan dan ekonomi rakyat, keselesaan rakyat. Kita belajar dari pengalaman-pengalaman yang lalu.

 

  1. Dan alhamdulillah, walaupun banyak keterbatasan, saya singgung tadi umumnya keadaan masih terkawal, walaupun selalu saya ungkap George Bernard Shaw, bila dia sebut room for improvement dan kalau baca karya sinis George Bernard Shaw itu, “room” itu selalu besar untuk diperbaiki kelemahan-kelemahan kita.

 

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

 

  1. Pagi tadi, 3:30 pagi saya sampai dari Ashgabat, Turkmenistan. Sebelum itu di Kazan, Rusia dalam pertemuan kemuncak di antara pimpinan ASEAN dan Presiden Vladimir Putin, Rusia. Saya ada juga kesempatan ada pertemuan dua hala dengan Putin dan juga empat mata. Saya ucap terima kasih, dua perkara yang saya sebut kepada Putin. Pengalaman kita dengan Rusia, betapa sukar sekalipun, dia honour the commitments, dan apa yang dijanjikan, dia tunai dengan baik. Dan ini termasuk janji terakhir bahawa Presiden Putin beritahu saya, dia setuju ada perjanjian jangka panjang menjamin pembekalan tenaga kepada Malaysia.

 

  1. Sangat melegakan saya ya, kerana itu yang cabaran baru yang kita terpaksa hadapi. Itu yang to resolve. Saya terbang ke Turkmenistan, satu malam di Turkmenistan. Presiden Serdar Berdimuhamedow ke Malaysia pada bulan November, Disember 2024. Saya dalam perbincangan hati ke hati, bincang tentang pengalaman Petronas selama 30 tahun, dan saya minta kalau bagi ruang kerana Petronas telah diurus dengan baik dan mempunyai prestasi yang membanggakan, tapi belum dapat menerobos dalam cari gali minyak atau gas yang berskala besar. Walaupun ada di Kanada dan berapa negara Afrika lain.

 

  1. Saya ucap terima kasih, tatkala setengah tahun berlalu, Presiden Serdar semalam mengumumkan di depan saya bahawa kerana hubungan baik dengan Malaysia, beliau bersetuju menyerahkan telaga gas di antara yang paling besar di dunia untuk diuruskan Malaysia melalui Petronas. Dan saya tahu perbincangan awal disebut antara blok 9, 10 dan beberapa seismic study, tetapi dia tunggu saat akhir ucapan dia bersama saya untuk umumkan “Prime Minister Anwar, great news for both of our countries, you have worked as a team.” Dan in my response, I said, “This experience is unique, we are not the usual multinational corporation, they come and exploit, but we come as partners, we share the technology, we train the expertise, we bring your top students to our University Petroleum and we allow for local companies, local Turkmenistan companies to be trained, to be given the necessary exposure and to work together.

 

  1. Oleh sebab itu, beliau mengatakan dua telaga besar termasuk beberapa kemudahan lain dipersetujui, diserah untuk dikelola oleh Petronas. Dan ini rekod dalam sejarah kita. Maknanya, saya pulang boleh tidur nyenyak, walaupun sampai, 4:30 pagi, tapi saya rasa lega ya, dalam sejarah kita, ini jaminan bekalan jangka panjang, satu.

 

  1. Dan keduanya, keupayaan pengurusan dagang kita dalam soal tenaga yang paling besar, yang boleh memenuhi semua permintaan Jepun, Korea, China dan negara-negara lain, yang Australia yang sekarang berdagang dengan kita untuk jangka panjang.

 

  1. So, saya syukur alhamdulillah, it’s great news ya dan saya harap kawan-kawan di Johor dan Negeri Sembilan sabar sekejap dengar berita baik dan bagaimana Malaysia dapat urus negara dia dan dapat dukungan daripada negara lain.

 

  1. Baik jadi, ini Fahmi ini dia wakil HAWANA ke wakil Kerajaan? Dia duk lobi, “Please please please sir, please, please.” Please apa? Dah bagi dah, cukuplah. Pertama, peruntukan untuk Tabung Kasih Hawana 2026. Saya rasa tidak adalah berat sangat, tengok standard makan hari ini pun okeylah. Malam pula katanya Ketua Menteri Chow bagi jamuan. Saya tidak dijemput. Sehingga hari ini, 773 pengamal media seluruh negara sudah terima sumbangan berjumlah RM2.26 juta, tapi untuk kerana kejayaan ini, kerana semangat ihsan dan kasih maka Tabung Kasih Hawana bagi tahun 2026 diberi peruntukan RM1 juta.

 

  1. Baik, sebelum ini Kerajaan peruntukan RM30 juta dana inovasi media yang diumumkan, saya umumkan tahun lalu. Jadi soalnya bagaimana kedudukannya? Jadi saya nak jawab, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan peruntukan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media negara melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri media. Bagaimana? Ha, saudara jawab, saya tidak tahu kerana ini catatan yang diberi oleh Fahmi, dia suruh Perdana Menteri baca.

 

  1. Setakat ini, 72 syarikat media menerima pembiayaan keseluruhannya berjumlah RM24.57 juta dari Dana Inovasi Media Fasa 1 hingga Fasa 5. Jadi, kita sediakan peruntukan dan sebaik dana itu digunakan, tentunya kita tambah supaya tabung itu tidak akan ketinggalan atau kekurangan.

 

  1. Jadi ini berita baik untuk saudara-saudara, jalankanlah kerja baik. Ingat perdebatan Socrates, sehingga berikutnya tentang perlu menyampaikan maklumat secara berkesan semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala merestui usaha kita bersama.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Share: