TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2026
TEKS VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2026
10 MAC 2026 (SELASA) | 2.30 PETANG
PUSAT PERDAGANGAN DAN PAMERAN ANTARABANGSA MALAYSIA (MITEC)
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Nahmaduhu wanusalli ala rasoolihil kareem
Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.
Saudara Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff,
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
Excellencies, saudara-saudara yang dimuliakan.
- Ini bulan Ramadan Kareem, Kullu ‘aamin wa antum bikhair, dan kita sambut Hari Wanita Antarabangsa. Dan tentunya saya sepertimana juga rakan-rakan teringat awal puasa, belajar puasa didik ibu, seorang wanita. Kejut bangun, masak sebelum itu, tidak pernah menunjukkan lelah hanya kerana keistimewaan wanita yang kita gelar ibu. Cuba kita renung sebentar, bangun awal, masak untuk anak-anak, keluarga seluruhnya, dan kita bangun di saat akhir, makan. Dan sekarang baru kita terfikir, pada masa itu kalau demam sedikit, atau pening, atau pun letih, atau lelah, si ibu tidak pernah kita dengar keluhan itu. Demikianlah kasih seorang wanita yang namanya ibu, atau isteri kepada anak-anak dan keluarganya. Jadi mari nyatakan syukur kita dan doakan kepada Allah Subhanahu Wa Taala mudah-mudahan bagi yang telah meninggalkan kita dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
- Kemudian di bulan Ramadan. Ramadan ini bulan latihan, apa yang disebut madrasah Ramadan, atau tarbiyyahtul ruhiyyah. Jadi mari kita manfaatkan sambutan Hari Wanita ini untuk mengingatkan bahawa ia mendorong kita supaya meningkatkan amalan kita dan disamping itu, menjadikannya satu program latihan. Bayangkan seluruh umat Islam di dunia itu diwajibkan berpuasa, maknanya kembali kepada madrasah Ramadan. Apakah dia pintar? Apakah dia pemimpin? Apakah dia petani atau seorang alim? Mereka semua harus kembali ke sekolah Ramadan. Meningkatkan keteguhan imannya, keyakinannya melalui amalannya, bukan semata-mata pengucapannya. Jadi mudah-mudahan kita jadikan Ramadan ini kesempatan untuk meningkat dan mengangkat martabat manusiawi kita, insaniah kita dan jadikannya satu amal yang boleh memberikan satu kekuatan berikutnya.
- Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 ini luar biasa. Saya tengok wanita ini macam biasa, meriah seperti biasa, tiada keluh langsung, walau tiada jamuan teh (nada seloroh). Ini kerana semangat mereka menjayakan satu acara yang amat besar ertinya. Temanya “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”. ‘Memartabat’, iaitu martabat wanita. Kerana kita mewakili kelompok yang yakin, hanya dengan mengangkat martabat, harakat dan darjat wanita, kita boleh capai dan menjamin pengukuhan negara Malaysia tercinta. Jadi tugasnya besar.
- Jadi saya juga harus menyatakan penghargaan kepada Menteri KPWKM, seorang yang menunjukkan komitmen dan kegigihan mempertahankan hak wanita di mana-mana sidang, termasuk dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Tiap kali, tentunya saya pengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, Nancy yang di sebelah kanan, kalau dia bersuara, saya tahulah memang, dengan gayanya, tapi tegas pertahankan, tuntut, paksa kami semua dengar sampai habis tuntutan wanita itu. Jadi saya ucap tahniah, Nancy! Dan itulah juga cara tatkala beliau capai Pelan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita yang telah kita luncurkan. Dijelaskan. Jadi kalau ada yang menanggap bahawa ini hanya sekadar satu acara, program yang diumumkan dan disebarkan, saya jawab tidak benar. Kerana Menteri KPWKM memaksa kami mendengar teliti dan faham. Selagi dia tak habis, jangan harap dia hendak berhenti daripada memberikan pandangan itu. Dan saya rasa inilah sikap dan peranan kepimpinan wanita, mesti tegas pertahankan hak dan jangan tolak ansur lawan itu.
- Pada kesempatan ini, saya mengambil ruang untuk menjelaskan beberapa isu, iaitu atas ikhtiar KPWKM yang didukung oleh Kerajaan untuk melaksanakan beberapa program utama. Di antaranya:
- PERANTARA RUJUKAN, INTERVENSI, SOKONGAN, MAKLUMAT DAN ADVOKASI UNTUK WANITA (PRISMAnita)
- PRISMAnita berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, terselaras dan mesra mangsa.
- Inisiatif ini tidak terhad kepada penyediaan perkhidmatan di bawah KPWKM, tetapi sepertimana dalam rangka Kerajaan Madani ini, kita pastikan dia tidak bergerak silo, program dan acara dan ikhtiar KPWKM mesti juga didukung sepenuhnya oleh semua Kementerian dan jabatan berkaitan.
- Ketua Setiausaha Negara memastikan dalam mesyuarat-mesyuarat penyelarasan itu supaya agenda wanita juga diketengahkan.
- Kerana tawaran sokongan ini lebih menyeluruh dan merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan.
- Ini fokusnya termasuk platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan, dan sokongan tatkala hadapi krisis.
- Hab advokasi termasuk memberi kefahaman dan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Peraturan-Peraturan lain berkaitan.
- Jadi, perkhidmatan melalui bimbingan, kaunseling akan diteruskan.
- PRISMAnita ini diasaskan di semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara.
- INSENTIF PENGECUALIAN CUKAI KEPADA BADAN KORPORAT MELALUI SKIM LINDUNG KASIH
- Dalam Dasar Wanita Negara 2025-2030, tumpuannya adalah pemerkasaan aanita. Pemerkasaan wanita maknanya memberikan ruang, peluang, pendedahan, kegiatan ekonomi, pelindungan sosial dan menjamin satu peraturan, kaedah ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan merangkum.
- Insentif cukai ini termasuk dalam bidang penjagaan anak-anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran dan dasar mesra keluarga.
- Saya perluaskan kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang diperkenalkan sejak 2022 di bawah kelolaan PERKESO, dengan caruman RM120 setahun, skim ini memberi pelbagai manfaat: faedah perubatan bagi yang hilang upaya dan memudahkan pemulihan dan banyak kemudahan-kemudahan berkait.
Saudara-saudara yang dihormati sekalian,
- Tentunya majlis seperti ini bukan sahaja sebagai suatu majlis sambutan biasa, tetapi gesaan supaya negara keseluruhannya, bukan sahaja wanita menganggap peranan wanita dari peringkat sekolah lagi, iaitu prasekolah, kecil sehingga dewasa dalam bidang profesional itu diberi perhatian dan tumpuan. Bagi saya dalam negara MADANI ini, satu kelainannya. Kita ini dengan arus pembangunan dan perubahan, menerima pengaruh besar dari barat. Ada yang positif tentunya, tapi ada juga gejala yang negatif. Di antaranya ialah keruntuhan nilai yang termasuk moral dan akhlak, dan keruntuhan institusi keluarga.
- Its a normal phenomenon, we have seen with modernity and the challenge of modernity and westernisation, there is general decedance of values, ethics and the rule of family. Is therefore precisely an important phenomena strategy within the MADANI framework to reinstate the beliefs. Whilst we choose to be modern, more expose to eastern western values, we engage with all without prejudice and also mindful for our own identity and to preserve our values and one of the critical values that we must preserve is the family.
- Jadi bagi saya, institusi keluarga itu sangat asasi, dan harus kita pertahan dan dukung. Dan ini bagi saya kalau ada yang dikatakan apa yang istimewa dan kelainan dalam negara MADANI? Ya, kita harus mengejar pembaharuan, kita harus mengejar teknologi baru, kalau dalam bidang pendidikan saya sebut Fadhlina, kita harus menggapai yang di langit: teknologi baru, transformasi digital, Artificial Intelligence, kita harus gapai itu semua jangan ketinggalan. Tetapi, sementara kita gapai yang di langit sentiasa kita mengakar yang di bumi. Mengakar di bumi ertinya mempertahankan keyakinan agama, nilai, budaya, tradisi dan membentuk itu semua melalui institusi keluarga.
- Jadi sementara kita menggapai di langit, kita mengakar di bumi. Dan mengakar di bumi itu, institusi keluarga peranan utama dalam KPWKM yang menyebabkan kita menganggap kementerian ini, kementerian induk dalam menjamin kelangsungan negara bangsa yang terikat dengan keyakinan dan nilai.
- Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita.
Terima kasih.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
