TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN CONFEX SPARK 2026

4 Julai 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN CONFEX SPARK 2026

4 JULAI 2026 | SABTU | 12.00 TENGAH HARI

DEWAN GRAND EXHIBITION IOI CITY MALL, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba

Walam yaj’al lahu ‘iwaja

Wa nusalli wa nusallimu ‘ala Rasulihil-Karim,

Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berbahagia Tan Sri Rastam bin Mohd Isa,

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan ahli-ahli Lembaga;

 

Yang Berbahagia Datuk Abdul Shukor bin Mahmood,

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri dan pegawai-pegawai yang hadir;

 

Yang Berusaha Encik Izwan bin Zainuddin,

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB);

 

Staff Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB); dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Acara hari ini bertujuan bukan sekadar paparan laporan tetapi tugas kita memaknai program dan agenda pembangunan bumiputera yang banyak dibahaskan banyak di seminar dan di konvensyenkan tetapi yang menjadi tugas PNB, PUNB adalah untuk memastikan pelaksanaan itu lebih berkesan. Dari lontaran idea percambahan resolusi, itu tidak akan memberikan kesan sekiranya tidak kita susuli dengan tindakan yang bersungguh-sungguh.

 

  1. Sebab itu, saya dahulukan SPARK2026 ini kerana ia adalah satu natijah daripada perbincangan panjang saya ucapkan juga rakan-rakan tahniah kepada rakan PUNB. Pertama setelah saya mula mendapat laporan tiga tahun yang lalu. Usul saya adalah dua yang penting.

 

  1. Pertama, tidak perlu kita mengadakan program bertindih dengan agensi-agensi bumiputera dan juga kerajaan yang lain. Ini pandangan bahawa hanya agensi bumiputera harus melaksanakan acara program bumiputera itu lapuk. Agensi bumiputera termasuk PUNB, MARA, TEKUN dan lain-lain, itu tentu ada tugas khusus. Tetapi semua agensi kerajaan MADANI ini bertanggungjawab untuk memenuhi dasar negara dan dasar negara itu tentunya memacu pertumbuhan ekonomi, tapi menjamin pengagihan yang adil dan saksama.

 

  1. Maknanya sementara kita tidak akan menghalang siapa saja yang ingin bekerja keras memacu pertumbuhan ekonomi dalam semua bidang; bidang tradisional dan juga baru Artificial Intelligence (AI), quantum computing, digital, transisi tenaga, siapa saja boleh tetapi yang keduanya menjamin pengagihannya yang adil itu bermakna melaksanakan acara dan program bumiputera secara lebih berkesan. Maknanya kalau ada agensi Kementerian Kewangan atau Bank Rakyat, Bank Bumiputera atau bank Maybank ataupun CIMB ataupun acara bank negara sendiri pun atau Kementerian MITI, dia bukan kementerian bumiputera tetapi kerangka dasar utama itu jelas pacu pertumbuhan ekonomi tetapi memastikan pengagihan itu adil termasuk agenda bumiputera.

 

  1. Ini saya jelaskan supaya tidak ada keliruan. Negara ini kadang-kadang terhimpit dan terheret bicara soal kaum tidak berkesudahan. Ini saya akan ke Johor membincangkan pasal IT ke AI semua jadi kesampingan, dia mana masalah pergelutan kaum. Tapi bila ada kuasa, tidak buat apa pun atau buat sedikit-sedikit lebih banyak buat untuk kaut kekayaan untuk peribadi, tidak untuk rakyat.

 

  1. Sebab itu saya katakan, bila kita ada kuasa ini termasuk pengurusan PUNB dan semua agensi bumiputera dan bukan bumiputera mesti memastikan program itu dilaksanakan. Sebab itu di Jabatan Perdana Menteri, di bawah saya sendiri, YBhg. Datuk Abdul Shukor tahu walaupun dia tidak ada satu khusus urusan bumiputera atau bukan, kita pastikan semua agensi itu harus bertanggungjawab memenuhi agenda nasional.

 

  1. Agenda nasional itu bermakna, saya tekankan semula memacu pertumbuhan ekonomi yang segar, pantas, rancak, dalam semua aspek tidak menghalang, tidak menyekat sesiapa dari mana kaum, dari mana wilayah, retapi yang keduanya adalah memastikan ada pengagihan yang adil dan saksama.

 

  1. Ini termasuk PuTERA35, agenda bumiputera yang telah kita luluskan sebagai dasar dan cerakinkan secara terperinci. Maka, semua laporan umpamanya sekarang ini diselaraskan dan tiap jabatan itu harus menjawab isu-isu. Itu pertama, saudara nampak serius sangat ini. Yang kedua, kita banyak agensi-agensi bumiputera dan belanja tinggi, PUNB sendiri sejak diasaskan dan tentunya saya agak nostalgia kerana saya diantara yang turut bertanggungjawab menentukan pembentukan penubuhan PUNB di peringkat awal bersama Tan Sri Khalid Ibrahim masa itu.

 

  1. Dan selain pada PUNB yang ada tugas khas, daripada awal saya ingat dia tidak harus dijalankan secara solo. Dia mesti bergerak sealiran dengan semua agensi bumiputera dan agensi kerajaan. Bermakna, dia saling melengkapi dan sebab itu dalam pertemuan pertama, saya tengok Encik Izwan masa mesyuarat pertama dengan saya, dia berpeluh walaupun dingin. Saya tanya, saya hairan sebab apa tapi dalam pertemuan yang akhir ini, dia nampak tenang. Kerana saya katakan, sementara saya akui pelaksanaan program PUNB yang baik, saya katakan jangan bergerak tanpa keseragaman dengan agensi-agensi yang lain.

 

  1. Apa yang dilaksanakan MARA umpamanya? Kalau lemah, kita perkukuh. Kalau betul-betul tidak upaya, kita ambil alih. Begitu juga TEKUN atau Amanah Ikhtiar dan lain-lain. Maka kita boleh fokus betul-betul membina dan membangunkan syarikat bumiputera yang punya keupayaan dan kewibawaan.

 

  1. Saya tidak peduli ketua cawangan ke ketua cabang ke ketua bahagian melobi, saya dah bagi amaran, ketua yang ada keupayaan kita bantu. Kalau pakai surat sokongan sahaja itu dah langkah nak melingkupkan agensi bumiputera seperti ini kita warisi dah puluh tahun. Mengapa kita bagi pinjaman? Sebab dia ada kaitan yang rapat dengan orang-orang tertentu atau surat-surat kuning lah, hijau lah, biru lah. Ini yang masalah merosakkan kita. Akhirnya kita bantu dan perniagaan itu lingkup kerana orang-orang itu tidak komited.

 

  1. Seperti mana kita tahu ada laporan-laporan dulu bagi pinjaman. Langkah pertama apa? Pejabatnya indah. Kemudian? Kenderaan indah. Kemudian? Isteri kedua. Jadi, kegiatannya untuk menjual lesennya dan mendapat komisyen.

 

  1. This has to stop. Kita bicara semua nak popular tetapi tidak berani menegur ketempangan yang ada bukan sedikit saya tahu ramai yang tidak senang dengan sergahan saya begini rupa tapi ini kenyataannya. Berapa puluh bilion yang lingkup, saham? penyahsenaraian saham bumiputera? Berapa ramai? Banyak jahanam. Berapa banyak pinjaman? Perniagaan boleh untung, boleh rugi saya pun tidak fikir semuanya saya masih ingat seorang Mitchell Kapor, seorang pengusaha terkenal di Amerika, California yang menggunakan dana, foundation untuk membantu apa yang dikatakan startups, dia kata kat saya kalau di sana average kalau setahun 2,000 kan itu yang survive 30% yang cemerlang 13-15% tapi cemerlang itu sangat baik.

 

  1. Jadi bukan kita nak hukum orang yang gagal, bagi peluang semula. Tetapi itu berbeza dengan pinjaman dan bantuan diberi kepada orang yang daripada awal memang kurang minat dan pengalamannya dalam bidang perniagaan.

 

  1. Jadi sebab itu saya katakan tadi kita tidak ukur hanya semata-mata kegagalan saya berkata kepada YBhg. Datuk Abdul Shukor, it does not matter, if the disbursement of the loans have shown some cracks and failures because the businesses did not succeed. That’s not the issue. Tetapi, transparency, kesungguhan, mereka itu yang harus diukur.

 

  1. Ada perniagaan kalau dia gagal kebetulan kerana unjuran harga minyak sekian, kemudian datang perang teluk, terkesan. Harga baja meningkat mendadak. Ada hal-hal yang boleh dimengerti.

 

  1. Sebab itu, kata Buya Hamka, saya masih ingat, “Jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”. Dia tak rugi, sebab apa? Dia tak pernah meniaga. Jadi, kalau dia tak pernah panjat, bila nak jatuh? Melainkan jatuh katil. Jangan takut gagal, kata Buya Hamka, “kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah.” Dia tidak pernah menceburi bidang itu, tentunya tidak gagal.

 

  1. Jadi, saudara-saudara ini pengajaran kita daripada apa yang kita warisi selama ini. Cuma saya nak tekankan di sini. Berbeda daripada tanggapan di luar. Perbicaraan kalangan politik biasa, soal agenda bumiputera dan sebagainya. Saya nak beritahu bahawa kerajaan MADANI tertegak, pertama untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan tatakelola yang baik.

 

  1. Kerana ekonomi itu boleh meningkat hebat sampai sepertimanapun, kalau perangai dan fe’el itu menggunakan kedudukan untuk memunggah kekayaan, negara tidak akan selamat. Saya selalu ingatkan apa yang pernah diungkapkan oleh Mohandas K. Gandhi, Gandhi kata, “dunia ini memadai jenuh untuk memenuhi keperluan semua orang, tapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi tuntutan orang yang tamak. The world is enough for every man’s need but will never be enough, adequate for every man’s greed”.

 

  1. Jadi ini apa kaitannya dengan PUNB? Kerana kita tertegak atas dasar untuk memenuhi keperluan bumiputera yang mesti dibantu dan didukung. Bumiputera negara ini majoriti dan dari puratanya masih hilang kategori yang lebih miskin. Walaupun kita menafikan kelompok-kelompok kecil, minoriti lain yang miskin. Tanggungjawab kita dalam Kerajaan MADANI adalah memastikan diangkat kedudukan mereka, yang kita katakan raising the floor, tapi if raising the floor, ceiling itu tidak di raise, negara tidak maju. Jadi, cabaran kita ialah termasuk PUNB, raising the ceiling, prestasi syarikat-syarikat yang perlu diberi pinjaman, sudah mencecah lebih RM5 bilion sejak diasalkan. Dan raising the floor supaya negara ini dapat mencatat kemajuan yang lebih membanggalkan.

 

  1. Jadi rakan-rakan di sini, di antaranya adalah rakan-rakan yang memperolehi kesempatan baru ataupun memperbaiki kelemahan lalu melalui pemacuan transformasi niaga. Saya mohon kerjasama saudara-saudara untuk mengambil kesempatan ini dan tumpu, dan tanggungjawab PUNB dan termasuk Jabatan Perdana Menteri dan semua kementerian lain ialah memastikan sinergi itu bersama.

 

  1. Sebab itu, baru-baru ini dalam laporan, saya panggil semua pimpinan syarikat, pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan, GLICs. Dan GLICs ini ada setengahnya khusus Bumiputera, PNB, MARA. Sebahagiannya mungkin Bank Rakyat. Tiap ada setengahnya bukan, Maybank. PETRONAS ya, umpamanya besar. Tapi saya ingatkan. Program pembangunan Bumiputera itu bukan, saya tegaskan semula, tugas khusus badan agensi bumiputera semata-mata. Tetapi menjadi agenda nasional.

 

  1. Maka sejak dua (2) tahun yang lalu, kita ada Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang saya pengurusikan, yang akan mendengar laporan dari tiap agensi. Agensi bumiputera dan agensi nasional. PETRONAS harus menjelaskan kepada kita pada mesyuarat, apa yang dilakukan sebagai tambahan untuk memastikan penyertaan bumiputera dalam industri minyak, gas dan juga bidang-bidang baru.

 

  1. Bank, penyelarasan Bank Negara dan bank-bank komersial yang lain juga harus memberikan penjelasan bagaimana mereka dapat menetapkan beberapa program termasuk pinjaman atau kemudahan bagi mengangkat kedudukan bumiputera. Mengapa saya lakukan begini? Kerana saya fikir kalau kita ikut terus kaedah lama, kemudian mengharapkan hasil yang lebih baik, tidak mungkin berlaku.

 

  1. Sebab itu, saya tidak cenderung umpamanya, menubuhkan agensi bumiputera baru. Tapi saya cenderung memastikan agensi ini diperkasa, pertama. Yang kedua, agensi lain dan jabatan lain dan kementerian lain, semuanya itu mesti ada. Kementerian digital atau MOSTI atau MOTAC, itu dipimpin oleh bukan bumiputera, Menterinya. Tapi mereka juga punyai tanggungjawab melaporkan dalam tiap acara baru, digital atau pelancongan, apa yang dilakukan untuk memperkasa syarikat bumiputera. Dan, ini saya rasa pendekatan ini dengan kerjasama pimpinan penjawat awam dan pengurusan jentera GLICs dan agensi kerajaan akan memastikan pertumbuhan yang lebih bermakna.

 

  1. Yang lain itu saudara-saudara lebih maklum. Saya tidak boleh bagi kuliah tentang cara meniaga dan pengurusan, saya tidak ada pengalaman itu. Saya tak mengulang perkembangan yang lama-lama dulu. Ada pegawai satu daripada agensi tertentu, lulus dari universiti, pergi ke satu negara, kuliah tentang cara memula dan menjalankan perniagaan. Yang dengar tak ada siapa yang percaya. Sebab dia tidak pernah pun tahu apa dia perniagaan.

 

  1. Jadi, sebab itu dalam PUNB, saya kata, no, the approach should not be top down. Kerana orang yang tahu tu macam mana modal, modal pusingan, harga barang, ketidak ketentuan pasaran, semua itu orang yang dalam lapangan harus tahu. Kita hanya menjadi pemangkin, pembantu, bukan semestinya pengajar. Ini semua kita belajar, it is a bitter tough lesson.

 

  1. Sebab pada peringkat permulaan nak salahkan bagaimana, itu saja yang ada pun. Pengalaman kita. Tapi sekarang tidak. Sebab itu saya cadangkan juga kepada Encik Izwan, kadang-kadang orang-orang yang dah berjaya dalam perniagaan, dia patut juga bina sinergi dengan syarikat-syarikat baru. Atau diambil sebagai peceramah-peceramah undangan, menceritakan pengalaman dia dalam perusahaan perniagaan. Itu lebih bermakna daripada mohon orang-orang yang tidak umpamanya, saya sendiri, saya akui dalam beberapa bidang boleh, tapi bidang perniagaan tak boleh. Paling tidak saya baca buku, bagi ulasan buku. Itu tidak akan membantu.

 

  1. Sebab itu kita mesti ada humility, tawadduk untuk menyatakan ada bidang yang mampu saya lakukan, ada bidang yang saudara lain yang punya kepakaran dan kemahiran yang mampu lakukan. Jangan saya bolot untuk merasakan saya boleh memberi kerjasama dalam semua bidang.

 

  1. Jadi, itu pesanan baru kepada Encik Izwan. Saya usik dia kerana pengalaman dia dengan saya itu berpuluh. Tapi saya bangga kerana dia mendengar dengan baik dan melaksanakan dengan cemerlang. Terima kasih. Ramai penyokong. Itu yang penting. Kerana PUNB ini sekarang telah berkembang sebagai salah satu agensi bumiputera yang baik.

 

  1. Satu perbadanan yang diharapkan untuk memberikan ruang tambahan. Dan saya dah minta umpamanya ada pertemuan berkala dengan PUNB, MARA dan sebuah agensi-agensi lain dan kementerian-kementerian yang terlibat. Sangat utama. Ini mindset lama yang menganggap bahawa agensi bumiputera sahaja yang bumiputera, itu bagi saya meleset.

 

  1. Saya dalam kerajaan, memimpin kerajaan negara ini, bertanggungjawab melaksanakan agenda. Agenda memacu pertumbuhan, agenda menyelamatkan bumiputera. Dengan syarat diurus dengan baik, hentikan amalan-amalan mencuri dan menyakau. Itu saya tidak tolak ansur. Maki hamun lah saya bagaimanapun saya tidak peduli. This, the Malays bagi saya, orang Melayu bumiputera akan survive kalau dia bangkitkan balik bukan sahaja kepintarannya dan perniagaannya tetapi akhlak, nilai dan moralnya, baru kita boleh bangga sebagai bangsa yang tamadun dan boleh maju menjadi contoh kepada dunia.

 

  1. Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Rastam yang sekarang mengepalai sebagai pengerusi dan Encik Izwan, dan saya harap mereka juga memberikan kerjasama yang sebaiknya. Kalau ada pandangan-pandangan tambahan untuk perbaiki, silakan kerana negara memerlukan rakan-rakan yang cukup komited.

 

  1. Saya doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Share: