TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM PEMBAHARUAN TEKSI MADANI NASIONAL
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM PEMBAHARUAN TEKSI MADANI NASIONAL
3 JULAI 2026 | JUMAAT | 11.00 PAGI
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulilah.
Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara Menteri Pengangkutan;
YB Loke Siew Fook;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),
Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh;
Yang Berbahagia Tan Sri Syed Faisal Albar bin Syed Ali Rethza Albar,
Pengerusi PROTON Holdings Berhad;
dan rakan-rakan Proton;
Datuk Bandar Kuala Lumpur,
Yang Berbahagia Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud;
Panglima Teksi kita, Kamal dan rakan-rakan.
- Sebab apa saya panggil Panglima? Kalau jumpa dia mesti ada tuntutan. Tapi saya ucap terima kasih kerana dia tidak menuntut bagi pihak dia, dia menuntut bagi pihak pemandu-pemandu teksi seluruh negara. Tapi janganlah bagi susah saya sangat. Kalau ada masalah, pergi cari Anthony Loke (nada seloroh).
- Baik, hari ini berita gembira. Sebab isu teksi ini, isu yang dibangkitkan, yang dikaitkan dengan kepayahan hidup, kesukaran, teknologi yang tertinggal dan masyarakat serta pemandu yang agak sedikit dewasa.
- Saya ingat lagi Port Dickson, di Pulau Pinang, di Ipoh, di Johor Bahru, memang bila jumpa rakan-rakan pemandu teksi banyak keluhan.
- Kita warisi satu sistem yang tidak boleh kita banggakan. Dari dulu kalau saudara lihat, ucapan-ucapan saya di Parlimen, di antara isu saya bangkitkan, mengapa permit teksi diberi kepada orang-orang kaya dan diharapkan pemandu mendapat rezeki yang halal? Mengapa tidak boleh permit itu diberi langsung kepada pemandu, supaya dia jadi pemilik?
- Ini isu yang dibangkitkan puluhan tahun. Alhamdulillah, Kerajaan berubah, dan Kerajaan sekarang mengatakan permit patut diberi bagi yang mampu mengendali. Projek besar-besar, nak buat bangunan pencakar langit, ya lah, kita faham atau syarikat-syarikat besar, tapi pengusaha peringkat kecil, orang cari rezeki, kena bayar lagi sewa, kadang-kadang terlalu tinggi dan sewa itu dia bayar tak kira bulan pendapatan yang baik atau tidak, ini mempersulitkan.
- Kalau kisah-kisah dulu menteri. Ada menteri, permitnya 20 teksi, ada yang 14 teksi. Sekarang alhamdulillah, Kerajaan sekarang tidak ada menteri atau pimpinan politik negara yang diberikan permit teksi.
- Sebab itu dalam pilihan kita kena cerdik. Ada orang kata dia janji di situ, janji di sini. Bukan perkara besar sangat. Permit teksi bukan besar sangat, tapi nak ubah pemilik kepada pemandu sendiri, wah bukan main susah kerana orang yang diamanahkan itu menjaga kepentingan mereka. Dia tidak menjaga kepentingan pemandu teksi.
- Alhamdulillah, sekarang kita dah mengangkat lebih jauh. Saya terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook. Dia komited. Cari jalan, bagi cadangan, dalam Jemaah Menteri atau dalam perbincangan dengan saya, cari jalan bagaimana nak baiki dan tidak mudah kerana teknologi berubah, sistem berubah. Kalau dulu, paling tidak ada teksi, ada ‘Prebet Sapu’, dia panggil. Sekarang, banyak alternatif lain, dan kita tidak boleh halang. Kita harus beri galakan yang sama, kerana dalam isu-isu memandu kecil-kecilan ini juga di kalangan anak-anak kita, yang kadang-kadang mencari pekerjaan sementara sebelum mendapat pekerjaan lain ataupun yang terjamin pendapatan yang lebih selesa.
- Maka kita terpaksa fokuskan kepada pemandu teksi. Apa lagi yang boleh kita buat? Majlis-majlis Perbandaran, kita minta supaya sediakan tempat yang lebih selesa. Saya tahu dulu masa di Port Dickson jumpa, kalau tempat singgah pemandu teksi stesen itu nampak macam reban robek sahaja. Jadi kita minta Kerajaan Negeri, ini bawah Majlis Perbandaran. Sebab itu, selain daripada memiliki Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri pun penting. Sebab itu saya kena ke Johor esok. Sebab kalau dasar Kerajaan Persekutuan begini, di negeri tak diberikan perhatian pada yang di bawah. Semua sibuk soal projek besar. Projek besar kita tak abaikan.
- Ini projek warisan ini, Bangunan Sultan Abdul Samad. Ini khazanah. Saya cadangkan 2.5 tahun yang lalu tengok siap dan jadi kebanggaan negara kita. Warisan sejarah kita, keindahan kota kita. Tetapi kalau nak tahu kemajuan negara, dia tak habis ke situ. Atau industri semikonduktor sekarang. Ataupun data center atau digital. Itu semua penting. Tetapi bagaimana dengan nasib orang yang di bawah. Yang di bawah itu termasuk pemandu teksi.
- Sebab itu beberapa cadangan yang dibawa oleh Kementerian Pengangkutan yang kita pertimbangkan dan sebagainya kita umumkan. Walaupun Kamal lepas kita umumkan yang satu, dia bagi memo lagi tebal. Ini bagilah peluang aku rehat sekejap (nada seloroh). Baik. Tapi, kalau cadangan itu baik, kita pertimbangkan.
- Saudara Anthony Loke kata, dana RM10 juta itu dan kita ada kesepakatan dengan Proton, dan Proton pun alhamdulillah, industri tempatan. Dan tadi baru saya bercakap dengan Syed Faisal, saya baru dapat maklumat. Di Mesir Proton Saga, di Mesir tahun ini catat rekod di antara pengeluar yang terbaik. Maknanya Malaysians, kita orang Malaysia can do it. Kita mampu lakukan. Tapi, mesti pimpinan bersih. Jaga tatakelola. Kalau saya sebagai Perdana Menteri nak permit teksi untuk saya atau anak saya 50-60 permit, tak akan selesai masalah negara kita. Kerana ada pimpinan yang difikir diri dia dulu.
- Inilah sebabnya mengapa, selain daripada catat kejayaan, Proton dah berjaya, okey. Bagaimana boleh kita gunakan kejayaan dia, keuntungan dia, kemahiran dia, kepakaran dia dan industri dia untuk bantu. Jadi, cadangan dari Proton dan Kementerian Pengangkutan, yang dibawa oleh saudara Loke, ialah adakan skim Proton S70 ini, supaya semua kereta baru kita bantu dan bantuan kita seperti mana telah diumumkan, sebahagiannya dalam bentuk mengurangkan harga, sebahagiannya untuk menjamin servis khidmat dia besok di PUSPAKOM yang lebih selesa dan murah. Dan saya dengar tadi, tak payah semuanya pergi ke pusat. Mereka boleh turun juga di tempat-tempat yang diperlukan untuk repair dan servis kecil. Supaya kos itu dapat dikurangkan dan tidak dibebankan.
- Dan dana Kerajaan yang saya umumkan dalam belanjawan tahun lalu adalah RM10 juta. Tapi saya tengok sambutannya baik, dan orang-orang teksi ini, eh penting saudara-saudara tahu tak? Saya ingat, minta maaf, cakap personal sikit, Loke alright ya. Masa dulu-dulu ya, masa saya susah-susah, sekarang susah cara lain. Dulu-dulu, ini anak-anak muda belum ada lagi. 1999, masa itu media semua di-control. Suara kita tak dengar. Siapa Manager kempen kita? Kempen penerangan dan propaganda kita yang terbaik? Pemandu teksi. terima kasih.
- Masa itu kawan-kawan saya dari luar negara, ada seorang wartawan dari Perancis, dia ke mahkamah. Mahkamah bawah ni masa tu, ini ada sejarah bilik Anwar di bawah dulu sekejap (nada seloroh). Dia jumpa saya dia kata, wah dia naik teksi dari lapangan terbang ke hotel, dan sepanjang perjalanan itu pemandu teksi kata, “ini kita, Malaysia ini sedih, kerana sahabat kita, kawan kita dalam penjara. Ini tidak adil”. Wah, jadi saya tak tahu pun siapa nama pemandu teksi itu. Tapi begitulah jasa orang teksi, bukan sahaja bawa kereta, tapi sampaikan mesej Malaysia. Terima kasih.
- Dan sekarang pula, tunjuk keindahan kita, tunjuk kebersihan kita. Adalah kadang-kadang sikit-sikit kotor, semalam saya hantar dekat Hannah Yeoh, dia dah selesaikan dah. Tapi umumnya terima kasih Wilayah Persekutuan kerana Kuala Lumpur ini dianggap di antara rantau, negeri dan kawasan yang bersih di rantau negara kita. Bukan nak kata oleh kerana Perdana Menteri nak lalu satu sampah pun tiada. Bukan. Saya ingat hari-hari yang saya lalu tak ada notis pun, memang tak ada sampah.
- Dan ini penting cara pemandu teksi bicara. Negeri bersih, kawasan baik, dengan sopan, cakap dengan baik. Itu akan membantu menarik orang. Kita yang pernah berjalan keluar negara pun tahu. Kalau pemandu teksi itu bengis, kasar, itu tentunya dia tidak akan mendapat menarik minat pelancong. Pelancong dia lihat juga, tengok oh, orang-orang Malaysia ini sopan they’re very polite, very nice. Jadi daripada teksi hantar ke hotel, hotel sambut dengan baik.
- Ini cara kita beri sumbangan kepada negara. Bukan orang nak bagi sumbangan ini bukan semua mesti pegawai tinggi, bukan mesti semua wakil rakyat. Pemandu teksi bagi kita adalah penyumbang dalam bidang kebersihan, dalam bidang pelancongan, dalam perlindungan tatasusila, dan MADANI dalam negara kita. Saya salute dan ucap terima kasih kepada semua pemandu teksi.
- Jadi, kerana sambutan itu baik, tak apa Saudara Loke, saya luluskan hari ini segera tambahan RM10 juta ringgit lagi. Ini khusus untuk teksi. Untuk teksi dan S70 biar siap betul-betul. Tak siap jaga. Mesti baik, saya dah pergi dua kali dah di Proton, dan saya ucap tahniah.
- Ini penting juga, kadang-kadang syarikat-syarikat ini kaya-kaya, maha kaya, tolonglah yang di bawah ini sikit. Jangan tunggu semua kerana cukai, kerana arahan. Tak perlu. Kadang-kadang kalau masing-masing ada keprihatinan, ini yang disebut MADANI. MADANI ada ihsan dia, ada kasih sayang dia. Tengok pemandu teksi, memang betul ramai Melayu, ada Cina, ada India. Kalau di Sabah Sarawak ada Iban, ada Kadazan. Ini kita lihat dia sebagai pemandu teksi. Bukan kita pakai tengok warna kulit dia, bukan tengok kaum dia, bukan lihat pada agama dia, lihat kepada kerjaya dia dan sumbangan dia.
- Jadi saya harap Kamal, Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi ini dan gabungannya, mesti tekankan hal yang sedemikian. Apa-apa yang lain boleh runding. Tan Sri KSN pun ada. Apa-apa yang diperlukan kita bincang dengan baik. Dengan Jana ya, KSU (Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan).
- Jadi, ini yang saya nak sampaikan ya, tambahan sedikit dan apa-apa kemudahan lain saudara bincang dengan Saudara Loke, kerana kalau tidak ada rundingan yang baik, dia tidak akan beri manfaat. Bila saya sebut runding, boleh komplen? Boleh. Boleh desak? Boleh. Boleh cadang? Boleh. Tapi mestilah ada semangat kerjasama, muafakat di kalangan kita.
- Jadi yang kita lihat hari ini, teksi wajah baharu. Teksi teknologi baharu, tetapi cabaran bagi pemandu juga, mesti tahu tentang kaedah baharu. Kalau dulu, kita pakai bayaran seperti biasa. Sekarang, kita gunakan apps/aplikasi baru dan saya percaya kalau perlu latihan tambahan untuk sedikit pendedahan, pegawai-pegawai di kementerian boleh turun ke stesen-stesen teksi dan beri kursus-kursus.
- Dia nak pergi ke pusat-pusat latihan, nak dapat penerangan, tidak boleh. Dia nanti soru nanti mis. Kalau mahu soru, sappadu cukup, dia tidak boleh banyak buang masa kursus-kursus.
- Jadi saya percaya kementerian boleh cari jalan seperti mana di PUSPAKOM, daripada nak pergi pusat ada kalanya boleh turun ke stesen sama juga dengan pegawai-pegawai kadang-kadang perlu apps baru yang perlu diberi latihan, new technology yang perlu pendedahan saya percaya boleh rakan-rakan dari kementerian ya turun ke pekan-pekan ini Kuala Lumpur (KL), Petaling Jaya (PJ) ataupun Damansara, Putrajaya, Johor Bahru, Muar di tempat-tempat itu dengan pegawai yang ada, beri dia satu sukatan supaya pemandu ini terdedah.
- Tiap pemandu baru yang dapat Proton S70 ini mesti diberikan program latihan yang baru. Dia bukan hanya kereta baru, wajah baru tapi teknologi baharu itu dia mesti kuasai.
- Saya ingin sekali lagi ucap terima kasih lah kepada semua yang menjayakan program ini. Dan Kamal, RM10 juta itu cukup lah dulu, nak umum semua. Banyak cadangan satu memo, akademi lah, nanti perlahan-perlahan, man man jangan kacau banyak.
- Saya nak akhiri sekali lagi dengan ucap terima kasih dan penghargaan. Hari ini saya nak sampai begitu. Saya gembira. Saya masih ingat Kamar, kita buat perhimpunan di Dewan Sivik, Petaling Jaya. Teksi masa itu beribu beratur di seluruh kawasan, berikan sokongan kepada kita. Walaupun masa itu kita belum ada kuasa, tetapi mereka tahu bila kita ada kuasa, kita gunakan sebaiknya untuk bantu pemandu teksi. Sebab itu, saya kata yang langkah satu, lu bawa, kita bagi pinjaman mudah tunai, kita bagi kereta baharu, kita bagi permit itu atas nama saudara. Saudara terpaksa pinjam, boleh pinjam, tapi permit itu kekal di bawah pemandu teksi, tidak pindah milik kepada orang lain yang punya wang. Ini satu keputusan dasar yang penting bagi negara kita untuk menjaga kepentingan, menjamin kepentingan keluarga teksi itu sendiri.
- Ada yang disebut satu hal akhir ini, iaitu berapa pendapatan teksi sebulan? Ada kalau kadang-kadang musimnya dia turun sampai RM2,050, RM3,000, biasanya RM4,000. Nak cecah RM5000 ribu sebulan susah sekali. Tapi dalam skim ini, saya bincang dengan Menteri Loke, mesti ada satu perancangan. Dalam perancangan baru ini, dengan kerjasama mengurangkan kos pembaikan dan servis, perkhidmatan dan lain-lain, dan kos pinjaman. Kita jangka boleh dapat pendapatan di antara RM5,000 sampai RM7,000. Jadi adalah sedikit boleh hidup dengan lebih selesa. Kalau di tahap lama tidak boleh hidup.
- Jadi ini saudara bayangkan ya, kita dalam Kerajaan sekarang ini, kita teliti sampai itu. Bukan saya datang ini nak umum tambah RM10 juta. Tidak. Kita nak tahu apa yang Proton boleh bagi? Apa yang Kementerian Kewangan boleh tambah? Apa servis dalam PUSPAKOM? Apa bentuk kemudahan lain kita boleh beri? Ini yang insentif percukaian semua? Semua itu dikira untuk mengurangkan beban pemandu teksi dan keluarga mereka.
- Sampaikan salam kepada semua keluarga pemandu teksi dan doa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan kita lebih selamat, menjaga keluarga kita dan menjaga negara kita yang tercinta.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
