TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PELUNCURAN PEMBERIAN BANTUAN KHAS KEWANGAN KEPADA PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA DAN BAS SEKOLAH DI ZON TENGAH SECARA BERFASA

14 Oktober 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN PEMBERIAN BANTUAN KHAS KEWANGAN KEPADA PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA DAN BAS SEKOLAH DI ZON TENGAH SECARA BERFASA

14 OKTOBER 2026 | RABU | 2.30 PETANG

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahirabbil ‘alamin.

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim.

 

Nampak hari ini tenang, gembira semua, alhamdulillah.

 

Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,

Menteri Pengangkutan;

 

Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah,

Timbalan Menteri Pengangkutan;

 

Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha;

 

Keluarga JPJ, Kementerian Pengangkutan, dan yang utamanya pemandu-pemandu teksi, bas sekolah, dan kereta sewa.

 

  1. Terima kasih banyak atas kehadiran ini. Saya sepertimana disebut oleh saudara Loke tadi tentunya dari Parlimen sebentar tadi turut syukur kerana sambutan yang diberikan dan kita ada rezeki yang lebih untuk meringankan.
  2. Jadi, terima kasih juga Kamarudin, hari ini nampak dia tenang, selalu garang, Ya Allah. Tapi kalau Persatuan Gabungan Pemandu Teksi dia lembik sahaja tak jalanlah, jadi ada baiknya kalau dia garang sikit, tapi dengan saya jangan garang sangatlah (nada seloroh).

 

  1. Biar saya terangkan sikit tentang program ini. Kita sudah merdeka lama, dan keadaan berubah. Saudara Loke sebut pemandu teksi ini hadapi banyak cabaran dan ada saingan, dulu kurang saingan, yang ada pun prebet sapu umpamanya dulu. Tapi sekarang saingannya dengan kenderaan baru, Grab dan sebagainya. Dan tiap kali saya jumpa, pemandu-pemandu teksi mereka mengeluh bagaimana boleh cari helah untuk ringankan beba dia. Dan kitapun tidak ada jawapan yang mudah kerana pilihan kena bagi kepada rakyat, dia nak guna apa dan sebagainya.

 

  1. Jadi, sebab itu saya hargai peranan kementerian, khususnya Menteri Pengangkutan, dia dengar, memang ambil masa, saya tahu peringkat awal dahulu ada yang marah-marah sikit, dan dia mengambil masa. Dan keputusan yang dia buat itu dia kena bincang bersama. Dan saya tengok sekarang ini, apa sahaja langkah dia ambil, baik kereta baru, kerjasama dengan Proton, baik meringankan beban, baik apa-apa kemudahan yang dibangkitkan kita cuba selesai dengan baik. Tetapi cadangan tentang yang bersama dengan JPJ ini, baru.

 

  1. Sebelum itu, apa-apa hasil kita tak pulang kepada pemandu teksi, kepada kementerian. Hasil itu dibawa kepada Kerajaan kerana kita perlu hasil kerana untuk sekolah anak-anak kita, untuk hospital, keluarga kita, untuk jalan diperbaiki. Selalu Kementerian Kewangan, dia tak senang untuk bagi pulangkan balik hasil kerana Kerajaan perlu hasil, yang pertama. Sebab kita tahu macam negara kita, keperluan pendidikan, itu anak-anak kita juga atau kesihatan, itu keluarga kita yang perlu.

 

  1. Tetapi saya hargailah kerana saudara Loke kata ini special case. Sebab dia kata pemandu-pemandu ini special, kita tak tahu di mana special Tapi nampak hari ini nampak special lah. Dia kata kerana mereka ini dalam kelompok kategori yang agak susah sikit dan cabaran-cabaran yang banyak. Betul bila kita naik harga minyak kita cuba tangani masalah pemandu teksi. Saya ingat masa kita naik Budi95, kita naik harga minyak, tapi kita cuba meringankan beban pemandu teksi, bas sekolah dan sebagainya. Tetapi tak, masih tak cukup.

 

  1. Jadi bila ada cadangan ini untuk beri nombor, saya tahu setengah orang dia gila nombor pendaftaran kereta. Jadi, bagi nombor kereta RM1 juta, RM500 ribu, RM10 juta, dia minat di situ. Tak ganggu kita, hasil boleh bertambah. Jadi setuju atas cadangan menteri bawa kes ini, setuju. Sekarang hasilnya lebih daripada jangkaan kita.

 

  1. Jadi cadangan dia lagi, ini bukanlah saya nak puji sebab Loke ada di sini, sebab itu orang macam ni dia fikir nak berhentilah. Pasal apa orang baik macam ni nak berhenti? Yang nak berhenti orang yang rasuahlah berhenti, betul tak? Ya. Orang baik ini kita pertahan, orang ini nak pimpin negara kita. Jangan pedulilah orang cakap politik ini, biarlah. Kita dengar di Parlimen, tak ada apa kita buat, ini Belanjawan tak ada makna, dengar, biar saja, dengar. Tetapi kita nak pilih menteri atau pemimpin yang prihatin tentang nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak boleh, tetapi kau punya ada niat yang baik.

 

  1. Tapi bukan selesai semua masalah, banyak masalah kita kadang-kadang bukan bidang kuasa kita. Saya bagi tahu saudara Loke, suruh tahanan rumah ini bukan bidang kuasa Perdana Menteri. Itu keputusan yang termaktub dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong. Ini saya nak ambil kesempatan, sebab ini semua penyokong-penyokong dari Kementerian Pengangkutan, penyokong-penyokong Loke kuat ini. Suruh dia duduk dan buat kerja. Kerana negara ini perlukan pimpinan yang ada prinsip. Negara ini perlukan pimpinan yang prihatin terhadap masalah rakyat di bawah. Yang cakap banyak, cakap pandai, maki orang, ramai. Tapi yang tahu, rasa apa nasib pesawah padi di Kedah, apa nasib pemandu teksi di Johor, apa nasib petani, apa nasib nelayan, bagaimana anak sekolah beli buku, bagaimana mahasiswa cukup makan atau tidak, bagaimana gaji penjawat-penjawat awam yang peringkat rendah, cukup atau tidak. Ini semua kita kena fikir.

 

  1. Jadi bila dalam buat belanjawan, percayalah saudara-saudara, bukan perkara yang mudah. Orang boleh cakap apa pun, tapi kalau tanya, bertanyakan saya, nak bagi belanjawan: “Eh, macam mana ni?” Pesawah padi dia kata apa?, ini nelayan, lesen tak ada, cari makan susah. Dia tak ada lesen, tangkap ikan, kena tangkap. Jadi ikan tak dapat tangkap, dia kena tangkap.

 

  1. Jadi bila saya ingat dulu bila saya dialog, saya kata “Yalah, tapi janganlah langgar, lesen itu kena pukat setakat ini. Kami langgar di laut ini sebab apa?”Dia jawab dekat saya, “Dato’ Seri pernah ke laut?” Tentulah saya pernah ke laut. “Pernah tengok nelayan?” “Pernah.” Dia kata, “Nelayan ini di laut ada lampu isyarat ke?” Jadi saya kata, “Tak ada pulak.” “Mana saya tahu lampu hijau lampu merah, saya langgar ajelah.” Ha tengok, pandai nelayan loyar buruk. Haa belum lagi pemandu teksi, lagi loyar buruk hahaha (nada seloroh). Pemandu teksi kalau bahas, kalah kita. Tanya sistem politik, belanjawan, siapa patut jadi Perdana Menteri, siapa rasuah, semua dia boleh jawab. Betul tak? Haa.

 

  1. Sebab itu Kamarudin, sebab apa saya ingat, saya bagi tahu Loke, masa tahun ’98 dulu, bila saya ditangkap, penyokong saya yang paling tegar itu pemandu teksi. Saya salute, terima kasih banyak. Ya, itu masa saya susah kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya. Takkanlah dah jadi Perdana Menteri, Loke cadang nak bagi RM1,000 saya kata tak boleh. Haa maka okey, alhamdulillah.

 

  1. Jadi ini saya nak cerita bagaimana bila kita urus negara ini. Orang syok cakap banyak, “Oh kita nak tolong rakyat.” Bila dia ada kuasa, dia sapu. Haa, tapi jangan sebut ‘sakau’, tak boleh sebut nanti orang marah. Jadi ‘sapu’ boleh, ‘sapu’, ‘rompak’, ‘curi’, ‘bantai’, semua boleh. Sakau tak boleh. Jadi saya jawab tiga kali ‘sakau’. Jangan sebut.

 

 

  1. Orang yang tak salah pasal apa nak kecil hati. Orang yang tak curi, katakanlah pegawai-pegawai JPJ ramai. Ada tak yang langgar peraturan dan rasuah? Ada. Tapi jangan kita kutuk semua, sebab majoriti itu kerja dengan khidmat, dengan ikhlas, dia tahu rezeki yang halal. Jadi orang ini kita kena bagi sokongan dan bagi penghargaan. Baru betul. Kalau yang salah ada bukti, kita ambil tindakan. Ini pendirian kita.

 

  1. Jadi saya sebut, kita tengok semua aspek yang mampu kita lakukan dalam Belanjawan. Orang tanya saya, “Anwar, sebab apa tak buat dua tahun yang lalu?” Saya kata, kita ambil alih, kita nak fikir pasal hutang dulu, wang untuk sekolah cukup ke tidak, sekolah anak-anak kita ini daif, tandas rosak, rumah guru, rumah penjawat-penjawat awam, rumah tentera dan polis dalam keadaan yang daif. Jadi ini satu persatu, satu persatu selesaikan.

 

  1. Pangkalan tentera dan ESSCOM di Sabah, suruh pertahankan negara, kerja 24 jam kena siapsiaga untuk diserang. Kalau leka, diserang. Tapi tengok rumah dia teruk, semua kita perhati. Jadi ambil masa, memang betul ambil masa. Tetapi saya tengok setelah 3 tahun setengah, masuk 4 tahun, saya tengok keadaan kewangan kita mantap. Jasa siapa? Menteri Kewangan? Tak. Jasa semua; penjawat awam, pemandu teksi. Kalau semua pemandu teksi itu yang tidak jalan tanggungjawab, orang naik teksi menyampah, dia tidak akan membantu ekonomi negara dan tourism negara kita, betul tak? Tapi kerana semua ada peranan.

 

  1. Jadi inilah masanya dalam Belanjawan baru-baru ini saya kata, “eloklah ini masa kita pulangkan balik kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini.” Mereka sabar berapa lama. Kena sabar sebab saya kata saya tak mampu buat semua ini dulu. Tak mampu, kerana saya tahu saya ambil ini kes, saya tengok skandal kita, tak malu ke negara? Apa orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, semua teruk benar ke? Tapi imej kita, 1MDB, lesap. Kemudian, Tabung Haji, Tabung Haji! Kemudian FELDA. Satu, satu, satu yang ini pun kita kena betulkan. Orang setuju, ada yang setuju, banyaknya yang marah. Banyak. Saya kena cerca, maki hamun sebab ambil tindakan. Tapi takkan nak biar ini? Saudara nak dapatkan RM100 sehari, seksa. Kerja, tinggal keluarga. Kemudian orang senang-senang ambil bilion nak suruh saya tutup? No! Kalau orang nak suruh saya diam, cari Perdana Menteri lain. Saya tidak sanggup jadi kerja ini dan biar penipuan ini.

 

 

  1. Betul! Nak marah-marahlah, mana boleh? Negara ini is a great country, you know that, Malaysia? Malaysia ini hebat, tahu tak? Tengok pemandu teksi, Melayu, Cina, India can sit together, bangkitkan masalah bersama. Ini hebat kita. Mengapa kita nak biarkan orang-orang yang merosakkan kita itu tentukan masa depan kita? Hebat negara ini. Tengok kita berapa bulan, dua bulan setengah, buat F1. Kita boleh buat F1 di antara yang paling berjaya. Jasa ribuan orang yang terlibat yang membantu, yang berjasa. Cuma jerebu masalah sikit.

 

  1. Jadi ya, ya, saya, saya, saya…. Kamarudin, aku cakap dengan pemandu teksi sahaja aku bersemangat pulak dah. Nanti kalau kempen pilihan raya macam ini punya semangat, cleare-lah kita. Gurau-gurau. Nanti dia ambil ini, dia ambil ini, “Ha tengok, Anwar guna pemandu teksi kempen.” Salah juga. Saya cakap ini macam walaupun jarang jumpa, tapi percayalah, tanya Loke berapa kali, how many times I told him, you know, these taxi drivers? Itu jasa dalam masa saya susah. Masa jadi Perdana Menteri tak apa, semua orang datang. Masa kita susah, saya ada banyak cerita pemandu teksi. Saya nak cerita satu dua.

 

 

  1. Saya kena tangkap masa itu, masuk penjara kena pukul. Tiap-tiap malam ada perhimpunan di rumah. Mana kita tak mampu nak bagi air, bagi kuih. Penjaja-penjaja kecil di Kerinchi di sekitar bagi kuih. Siapa bawa? Teksi tolong hantar. Siapa bayar? Tak bayar. Teksi tolong hantar kuih ke rumah bagi orang-orang yang kerja dan keluarga makan. Ada seorang pakcik dari Nilai, Negeri Sembilan. Saya pernah melawat kawasan itu bersama Menteri Besar. Saya tengok rumah dia itu jalan tepi, tengok rumah dia macam belah dapur itu macam bumbung dia tu pecah-pecah sikit. Saya panggil DO, Pegawai Daerah, pergi tengok rumah itu, ambil nama dia, saya nak suruh baiki segera repair. Berapa ribu, RM2,000-RM3,000 sahaja, repair. Tahu tak ceritanya? Bila saya susah, pakcik itu rupanya dia berniaga telur masin. Dia bawa telur masin, dia kata “Aku nak hantar rumah Anwar Ibrahim.” Panggil teksi. Dia kata, “tolong, aku ini jarang ke Kuala Lumpur, aku nak hantar pergi rumah Anwar Ibrahim.” Pemandu teksi itu, saya tak ingat nama dia. Dia kata, “Okey, saya bawa”. Dari Nilai terus sampai ke Bukit Damansara. Bila sampai rumah, bagi, tapi tak jumpa Azizah, “Ini saja yang saya mampu bagi sebab Anwar dulu dia tolong baiki rumah saya.” Azizah pun ambil.

 

 

  1. Teksi itu dengar cerita, bila dia dengar cerita ini, kemudian hantar balik pakcik itu, dia kata “Tak apa pakcik, saya tak ambil duit pakcik. Ini ikhlas sumbangan saya supaya rakyat.” Jadi saya ada puluhan cerita mengenai teksi. Bila saya di mahkamah, seorang wartawan terkenal dari Perancis, dia datang, dia duduk di hotel, dari hotel dia pergi ke mahkamah, Jalan Duta. Kemudian sempat bisik dia kata, “Wah! You should be okay.” Saya kata, “Okey macam mana, aku dalam penjara.” Dia kata “No, many support.” Macam mana dia tahu? Dia kata dia naik teksi daripada hotel ke mahkamah. Dia kata sepanjang naik teksi itu, pemandu itu bagi kuliah dekat dia, bagaimana dia sokong reformasi. Apa orang teksi ini dibayar? Tak. Dia ahli parti ke? Tidak. Dia saya kenal? Tidak. Tetapi hati nurani dia baik. Dia tahu apa dia keadilan.

 

  1. Sebab itulah saudara-saudara, saya nak akhiri, minta maaf kerana saya pilih ceritakan pengalaman ini, nak menyatakan kita akan cuba sedaya upaya. Bukan saya seorang, ada saudara Loke, ada Hasbi, tapi kita sebagai satu Pegawai-pegawai kita, penjawat awam, JPJ dalam konteks hari ini, Gabungan Teksi, dan saudara-saudara sekalian. Kita akan cuba sedaya upaya untuk pelihara. Betul kita bagi RM1000 hari ini, kerana apa? Kerana kita dapat hasil, kita pulangkan balik.
  2. Betul STR kita tambah, betul SARA kita tambah, dan apa-apa kemudahan lain kita boleh runding cari jalan nak meringankan beban rakyat kerana memang kos sara hidup masalah. Perang daripada Iran-Israel-Amerika dah sampai ke Arab Saudi. Bila dah sampai, harga melambung dan kita terbeban. Tapi saya yakin insya-Allah, kalau semangat kita begini, kita pilih orang-orang yang ada amanah, yang jangan guna kuasa untuk curi duit. Jangan, jangan. Kita banyak sangat pengalaman pahit. Ada kuasa, curi. Tapi kerana dia ada wang, dia boleh bayar orang untuk kempen untuk dia. Seolah-olah curi pun tak apa. Tak boleh.

 

  1. Saya nak bagi tahu, negara ini hebat. Semua kaum ada peranan dan semua profesion, termasuk pemandu ada peranan. Sebab itu, ingat masa kes COVID dulu, masa kita bantu-bantu, orang terima kasih dekat doktor pakar, doktor, jururawat. Saya kata betul, tapi jangan lupa tukang cuci bilik bedah itu, tukang jaga bilik mayat, tukang angkat jenazah, semua ada peranan. Jadi, kalau kita nak hargai, hargai semua. Betul yang atas kita bagi lebih, tapi jangan tinggalkan yang di bawah. Haa ini saja Kerajaan MADANI. Terima kasih.

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: