TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PECAH TANAH SETIA FONTAINES INDUSTRIAL PARK

20 Jun 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA 

MAJLIS PECAH TANAH

SETIA FONTAINES INDUSTRIAL PARK

20 JUN 2026 (SABTU) I 1.00 TENGAH HARI

BANDAR SETIA FONTAINES, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T, kita dapat menyempurnakan suatu projek baru menembusi kawasan Bertam dan Kepala Batas supaya pembangunan itu lebih seiring dengan pembangunan di pulau dan juga di selatan yang berkembang pesat.

 

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri;

 

Yang Berbahagia Datuk Zaini Yusoff,

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad;

 

dan seluruh keluarga SP Setia, lembaga dan ahli-ahli dan tenaga yang hadir.

 

  1. Sepertimana yang dijelaskan program ini bagi saya dua aspek, satu, dia merentas kawasan yang dahulunya tidak menyaksikan pembangunan yang rancak dan strategi yang ditekankan oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Pulau Pinang selari dengan Kerajaan Persekutuan adalah untuk memastikan pembangunan itu lebih seimbang. Oleh itu, rencana Setia Fontaines yang diselenggarakan ini dengan pendekatan, pertamanya, industri dan teknologi tinggi, ini cabaran semasa. Keduanya, tentang kemudahan perumahan yang diperlukan dan persekitaran yang lebih lumayan.

 

  1. Ini di antara cabaran dalam pembangunan. Kita mahu pembangunan itu lebih rancak tapi kita yang pastikan ia lebih seimbang. Sebab itu bagi saya bila ada perumahan saya sukacita maklumkan bahawa dalam semua kelulusan kita, baik dalam kerangka, dalam Khazanah dan PNB, KWSP dan syarikat-syarikat swasta mesti berikan juga ruang kepada kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.

 

  1. Jika tidak, kita akan lihat negara kita menyaksikan kesenjangan yang kian melebar. Dan ruang bagi rakyat di bawah ini kian sempit. Pembangunan memacu tinggi, kita hebahkan tentang pertumbuhan yang segar, pelaburan yang meningkat, tetapi tak sampai ke peringkat bawah.

 

  1. Sebab itu saya bangga dengan sikap dan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kerana setiap projek raksasa yang diluluskan itu, mesti menepati keutamaan kita. Dan dalam badan-badan atau syarikat milik kerajaan, di bawah sama ada Khazanah keseluruhannya atau PNB, KWSP, itu saya tekankan tanpa tolak ansur.

 

  1. Yang merancang harus memikir supaya pembangunan ini lebih merata. Kalau tidak, kita bicara apa? Kita bercakap soal keadilan dan keadilan itu hanya satu kelompok. Pembangunan, pembangunan itu yang memacukan supaya angka-angka itu meyakinkan, tetapi tidak mewakili seluruh kelompok masyarakat.

 

  1. Oleh sebab itu, saya teliti cadangan Setia Fontaines ini, dia sekurang-kurangnya menemui beberapa kerangka. Jadi, tanggungjawab di peringkat negeri, perbandaran itu memastikan semua ini dapat lebih seimbang. Jadi sebab itu pecah tanah industrial park ini, dia memberikan kesempatan pekerjaan yang lebih baik tetapi pekerjaan ini tidak seperti dulu.

 

  1. Saya baru di Batu Kawan dengan Ketua Menteri, pelaburan besar dari Amerika Syarikat itu menekankan satu teknologi lebih tinggi. Dia cakap soal wafer fab, soal semicon, soal innovation. Jadi, bukan lagi peringkat apa yang disebut industri back-end tapi sudah sampai mencecah front-end. Front-end ini bermakna tahap kedudukan rakyat itu kian meningkat. Dia bukan mencari pekerja sebagai buruh kasar walaupun kita masih perlu, sebahagian kecil, tetapi dia perlukan anak-anak yang cukup terlatih. Maka perlu sinergi dengan institut latihan, dengan TVET, dengan USM supaya anak-anak dilatih itu punya kemahiran dan kepakaran. Jika tidak, kita boleh menyediakan peluang pekerjaan profesional tahap tinggi tapi tidak ada yang memenuhi kelayakan itu.

 

  1. Ini pengalaman kita bila bicara dengan Infineon, syarikat Jerman terkemuka yang melabur puluhan bilion ringgit. Nvidia juga yang besar. Itu semua menuntut kita melihat semula kurikulum pendidikan kita. Sebab itu, dalam program pendidikan yang ada, yang jadi ibu bapa di sini yang masih muda, tetapi soal prasekolah kita tekankan lebih awal, kemudian pendidikan selain daripada menekankan soal bahasa, soal sejarah yang penting untuk melayakkan kita sebagai warga yang sihat dan memahami sejarah dan perlembagaan negara tetapi harus mula menjurus kepada bidang baru.

 

  1. IT, AI tetapi semua itu yang baru itu juga mencabar. IT, AI itu untuk kemajuan teknologi tapi yang nak kita bangunkan itu manusia. Kadang-kadang kita lupa. Kita fikir guna kilang, industri, AI itu hanya teknologi baru tetapi yang kita nak latih itu manusia. Bagaimana latih manusia nilai tak ada, kemanusiaan tidak ada? Soal apa yang disebut compassion, ihsan yang tidak ada.

 

  1. Jadi sebab itu kalau kita suruh ke situ dan latih anak-anak kita yang tak mempedulikan jadi tidak faham kebencian kaum, tak tolerant tentang kepercayaan masing-masing, menghina orang lain berdasarkan warna kulit atau kaum yang berbeda. Ini maknanya bukanlah pendidikan itu tidak menyeluruh. Pendidikan yang beri ilmu tapi tidak nilai dan tidak akhlak. Itu satu aspek, saya tidak bimbang sangat kerana kelajuan pertumbuhan kita itu memang menakjubkan.

 

  1. Saya pagi tadi, 3.30 pagi sampai dari Turkmenistan, betul? Mata tak boleh buka sikit. 3.30 pagi dari Ashgabat, Turkmenistan ke sini. Sebelum itu ke Kazan, Rusia ada mesyuarat dengan Presiden Vladimir Putin dengan rakan-rakan ASEAN dan saya ada pertemuan empat mata dan juga perbincangan dengan Rusia.

 

  1. Penting Malaysia ini negara bebas dan merdeka. Harus berkawan dengan semua dan memberi ruang supaya orang boleh melabur dan kita berkawan dengan mereka. Presiden Putin bagi jaminan supaya ada perjanjian jangka panjang supaya bekalan minyak dan gas dan diesel di Malaysia ini terselamat untuk sekurang-kurangnya 20 tahun. Ini hanya kerana persahabatan kita.

 

  1. Baik tapi yang lebih menyegarkan kita berita adalah Turkmenistan semalam. Turkmenistan itu punyai telaga gas dan minyak yang sangat besar mengarah dari Ashgabat sehinggakan di Lautan Caspian. Caspian Sea itu nama sea tapi dia bukan sea, Caspian Sea. Dan di situ kalau saya tahu Chow dia makan caviar di situ. Saya tak makan caviar dia mahal. Saya tak tahu Ketua Menteri.

 

  1. Tapi yang penting di situ ialah telaga minyak dan gas di antara yang paling besar di dunia. Sudah 2 tahun yang lalu, Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov datang ke Malaysia. Perbincangan menuju ke arah bekalan minyak dan gas. Dua tahun yang lalu, belum krisis perang serangan Israel ke atas Iran dengan kerjasama Amerika Syarikat. Belum tutup Selat Hormuz. Tapi syukur Alhamdulillah kita memikirkan bekalan tenaga untuk jangka masa depan dan PETRONAS telah ada hubungan dengan Turkmenistan selama 30 tahun. Tapi pendekatan kita bukan pendekatan seperti MNC lain. Kita masuk latih mereka bawa anak-anak pintar ke universiti petroleum. Beri ruang mereka bekerja ambil anak-anak Turkmenistan berikan pekerjaan kepada mereka. Memberi latihan dan pendedahan kepada mereka. Pemindahan teknologi yang sesuai, bekerja dengan syarikat-syarikat tempatan membangun. Ini baru erti pembangunan yang adil dan seimbang.

 

  1. Pengalaman kita di Pulau Pinang di Malaysia dahulu itu hanya orang datang gondol kekayaan sebanyak mungkin dan pada masa itu kadang-kadang keadaan tidak terlalu telus. Kadang-kadang setengah-setengah orang yang bertanggungjawab hanya memikirkan keuntungan peribadi mereka dan kedudukan mereka, dia tidak menekankan syarat-syarat ini.

 

  1. Tapi sekarang, tidak boleh kita teruskan. Kalau negara ini mahu maju, kita harus tegas prinsip tatakelola. Hentikan keterisan bincang bukan soal faedah kepada diri kita, bincang bagaimana pemudahan dan peluang pekerjaan, mutu pekerjaan, mutu kehidupan, latihan, talent pool yang harus kita lakukan.

 

  1. Tadi dengan pengurusan syarikat yang terkenal, semicon yang terkebuka di dunia yang menjadikan cip bagi banyak puluhan atau ratusan syarikat. Saya kata kepada dia terima kasih dan tolong beri ruang sedikit kepada Ketua Menteri mendengar apa yang diperlukan dan saya minta dia ada sinergi latihan dengan USM umpamanya apa bidang kejuruteraan tinggi yang perlu diisi.

 

  1. Kalau perlu boleh tak hantar pakar dia, engineer dia sekali dua pergi bagi kuliah menerangkan ke universiti. Itu pendekatan kita. Kerana bidang-bidang ini baru teknologi bertukar dalam masa 1-2 tahun AI, itu tidak umpamanya terbatas kepada pengalaman, pengetahuan kita 2 tahun yang lalu. Itu yang kita lakukan. Tapi balik daripada Turkmenistan, saya bawa balik Alhamdulillah berita yang sangat baik. Bila runding dengan Presiden, kemudian dia kata, Anwar kena datang. Kalau datang, dia setuju tandatangani satu kemudahan besar bagi Malaysia.

 

  1. Jadi saya hantar pasukan runding dan sampai berunding dengan dia dan ini saya rasa orang kadang-kadang saya tak ke Johor ke Negeri Sembilan, saya ke Turkmenistan. Orang duduk sibuk pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan berhempas pulas kita pun kena hentam teruk juga. Pada yang kita buat apa? Ini keperluan tenaga masa depan kita. Saudara tahu apa yang berlaku? Presiden Sardar dia kata, PM Anwar kita kerana persahabatan kita kerana hubungan baik kita dan rundingan kita sejak Disember 2024 dulu saya setuju untuk menyerahkan di antara telaga Blok 9 dan 10, telaga simpanan gas di antara yang terbesar di dunia kepada Malaysia melalui PETRONAS.

 

  1. So kalau hari ini umpamanya apabila berita itu tersebar dia menjadi satu berita hangat di kalangan industri minyak dan gas seluruh dunia. Malaysia memperolehi bekalan simpanan gas yang di antara terbesar di dunia maknanya keperluan kita terjamin InsyaAllah untuk puluhan tahun. Dan kita akan gunakan itu untuk menambah eksport kita ke negara-negara rantau terutamanya ke negara China, Jepun, Korea dan kerana keperluan mereka itu meningkat.

 

  1. Saudara, itu ertinya hubungan antarabangsa bukan nak kutip hadiah dan pingat dan nak minta kontrak untuk peribadi dan keluarga. Tumpu bagaimana boleh kita hidupkan, bangunkan, jayakan negara Malaysia tercinta. Alhamdulillah kita catat kemajuan yang sangat membanggakan.

 

  1. Jadi, sebab itu walaupun saya kelihatan keletihan, ya baru sampai semalam, mesyuarat di sepanjang pagi sampai tengah hari, lepas solat Jumaat di Ashgabat, sambung lagi dengan Presiden dia petang, jumpa dengan syarikat-syarikat dan menandatangani perjanjian itu. Pagi dia kata hanya MoU dan agreement biasa dengan syarikat-syarikat soal latihan, soal syarikat bersama. Tapi petang khusus kata dia, kerana dia nak umum sendiri bahawa dia telah meluluskan telaga minyak dan study yang penting untuk Malaysia dan untuk melalui PETRONAS. Jadi saudara-saudara, itu berita baik bagi rakyat Malaysia.

 

  1. Nah, yang sibuk-sibuk rentap tu, chup! Orang Kedah kata chup. Chup sat, dengar apa yang berlaku tidak mudah saudara bayangkan, Malaysia bukan gergasi daripada Amerika, ke negara China, ke India, ke Eropah. Malaysia! Dapat apa? Bekalan dan telaga gas di antara yang terbesar di dunia. Saya salut kepada Petronas dan rakyat Malaysia kerana hebat saudara-saudara.

 

  1. Kalau di siapa yang pergi Johor, Negeri Sembilan, cerita yang ini lah. Gaduh apa tak habis, berebut sana berebut sini, kontrak sana kontrak sini. Ya, ini yang penting. Nah, nah ini. Kan setengah pula, “Oh ini Melayu, ini lalu di kuil ini lagi, oh ini Cina, DAP.” Benda tak habis-habis ini. Buat kerja lah ini tengok Chow, dia dia Cina nak buat macam mana? Dah lah Cina, DAP pula.

 

  1. Tapi saya tidak ada masalah. Program, jalan masalah pembangunan kawasan-kawasan Cina, jalan. Kalau kita cadangkan ini beberapa projek khas Bumiputera, jalan. Nak ambil berapa projek latihan untuk Bumiputera tambahan, jalan. Tidak ada tak pernah ada masalah saya tidak tahu, Dato’ Mohamad ada masalah ke?

 

  1. Jadi, yang masalahnya orang yang tidak pernah ada pendedahan ini kalau ada bagi tahu apa dia masalah dia. “Oh, dia ada jual babi di Bagan.” Ha? Ya. Jual, jadi dia nak, kalau dia nak makan babi dia tidak boleh jual? Dia jual. Ya kalau kata, “Oh jangan lah buat besar-besar sangat.” Tidak apa lah, bincang lah. Ya. Takkan itu nak dijadikan, “Sebab itu maka terhakislah keyakinan agama aku.” Apa?

 

  1. Jadi, yang saya nak tekankan, boleh bantah boleh berunding dengan baik tapi jaga lah supaya negeri ini aman dan ekonomi yang baik kalau negeri ini, katalah Malaysia bergaduh banyak dengan negara lain, nilai ringgit merudum, pasaran saham jatuh, kemudian politiknya itu tidak habis-habis, tikam-menikam, cantas-mencantas, kerja lain tidak, kerja tidak buat duk fikir macam mana macam mana aku nak tackle dia ini, jatuhkan orang ini. Bagi tunggu pilihan raya.

 

  1. Kalau kita jadi begitu, siapa yang nak lihat kita? Saudara ingat kalau di Malaysia ini tidak aman, tidak kukuh, saudara ingat Turkmenistan itu nak bagi telaga minyak harga puluh-puluh bilion dolar ini hasil dia? Tidak mungkin! Sebab itu saya merayu pada saudara-saudara. Jaga negeri kita ini baik-baik. Saya ini mewakili generasi lama tapi saya buat kerja ini, kalau orang umur saya tanyalah ke bapak, datuk saudara-saudara tidak terlarat dah.

 

  1. Saya ke Rusia satu malam, Ashgabat satu malam, balik pagi ini, malam ini Seremban, esok pagi Bintulu, Sarawak. Kerana apa saya yakin Malaysia ini landasan dia betul dan saya yakin majoriti rakyat itu tahu, dia mahu negara ini maju. Ada dah park industry, peluang pekerjaan ada tidak payah berhempas-pulas nak pergi ke kilang di Balik Pulau atau nak pergi Batu Kawan. Anak-anak di sini dilatih, peluang pekerjaan dah dekat di tempat mereka. Kemudian, peluang pekerjaan bukan biasa, dapat ditingkatkan mutu lebih baik.

 

  1. Jadi tentang projek ini tidak payah, dia orang dah cerita elok dah. Saya hanya nak sebut dari segi dasar kita dan mengapa ada kaitan projek-projek seperti ini dengan kehidupan kita dan masa depan negara kita. Tetapi memang saya balik dari Ashgabat, Turkmenistan ini dengan rasa cukup gembira.

 

  1. Saya tidak terjangka peluang yang besar diberikan saya tahu akan diberikan tambahan blok minyak gas, memang itu tetap. Tetapi bila berunding, dia umum, dia umum apa yang dia beri itu, rakan-rakan yang hadir, menteri-menteri yang bersama saya dan Petronas pun terkejut kerana Presiden ambil keputusan untuk mengumumkan depan saya, bersama satu peluang dan kemudahan yang akan memberikan faedah yang besar kepada negara Malaysia tercinta.

 

 

  1. Jadi, saya ucap terima kasih sekali lagi dan tahniah kepada SP Setia atas projek yang diluncurkan hari ini. Saya harap dapat dijalankan dengan cepat ikut peraturan yang kemas, jaga persekitaran, jaga kepentingan rakyat tempatan, panggil ketua-ketua kampung dan pimpinan masyarakat, bincang dengan mereka. Panggil anak-anak muda, berikan pendedahan tentang peluang-peluang latihan dan pekerjaan ini barulah kita kata community development. Jangan cakap saja soal ini, pembangunan masyarakat dan komuniti, tapi terpisah daripada kenyataan.

 

  1. Jadi harus ada di kalangan pengurusan SP Setia bersama rakan-rakan kalau minta bantuan kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan yang baik supaya masyarakat tempatan tahu apa yang berlaku. Jangan dia tengok-tengok dah naik, apa dia, dia tidak tahu.

 

 

  1. Jadi, panggil pimpinan pemuda, belia, panggil ketua-ketua masyarakat, jawatankuasa masjid, pimpinan masyarakat lainnya dan terangkan ini program kita, minta pandangan mereka dan supaya penyertaan yang disebut memberi makna kepada demokrasi penyertaan ataupun participatory democracy. Terima Kasih,

 

Assalamulaikum Warahmatullah Wabarakatuh

 

 

Share: