TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 27 OKTOBER 2026: SOALAN DUA DAN SOALAN TAMBAHAN
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KELIMA BELAS
|
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI |
|
DARIPADA |
: |
DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY BIN JUSOH [ BESUT ] |
|
TARIKH |
: |
27 OKTOBER 2026 (SELASA) |
SOALAN:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan formula dan kriteria yang diambil kira Kerajaan dalam menentukan jumlah agihan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada kawasan Parlimen bagi memastikan keperluan asas rakyat setempat terus terjamin dan dapat diberi perhatian sewajarnya.
JAWAPAN
Tan Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih, terima baik pembetulan. Saya setuju dengan Yang Berhormat Besut, lebih tepat. Tetapi apakah dasar kita dalam menentukan projek? Tentunya keutamaan pembangunan dalam kerangka belanjawan dan pembangunan negara, libat urus dengan kerajaan, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan. Kemudian dengan kerajaan negeri dan input daripada pejabat daerah. Kemudian tertakluk juga keupayaan, kekuatan dana dan kewangan semasa kerajaan dan melihat juga kepentingan rakyat setempat.
Jadi saya nak tekan di sini untuk Besut sebagai contoh, untuk Besut, mengambil kira kerangka yang saya sebutkan tadi, yang telah diluluskan adalah sebanyak RM123 juta untuk projek dan projek kecil yang melibatkan 197 projek. Ini termasuk infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan, tebatan banjir.
Umpamanya kalau saya nak bagi contoh, banyak baik juga soalan tu kerana memberikan gambaran bahawa sebenarnya tidak ada kawasan yang kita pinggirkan, malah peruntukan itu jauh lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya. Dia sampaikan Sekolah Kebangsaan Permaisuri Nur Zahirah, untuk Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, sama ada bangunan tambahan dan naik taraf kompleks sukan, komuniti, termasuk MRSM Besut, kemudian yang dah siap MRSM Kota Putra, yang itu dah siap. Pemeliharaan sungai, Sungai Besut, itu RM8 juta. Terminal Bersepadu Bas dan Teksi, Jertih. Sekolah Kebangsaan Nurul Ittifaqiah, Besut, itu Dewan. Projek Keselamatan Pangkalan Udara Gong Kedak, RM18 juta, itu soal keselamatan.
Jadi projek-projek kecil begini, ini input dari pejabat daerah dan kerajaan negeri tetapi kita tentulah terbuka kerana kadang-kadang ada teguran, umpamanya kesesakan hospital. Saya terima baik tetapi, sebab itu dibina satu klinik baru, klinik kesihatan di Pusat Perhentian dengan kos RM37 juta. Itu kerana dalam daerah Besut.
Kemudian, tentu kalau tanya saya, saya setuju dengan Yang Berhormat Besut, ada hal-hal yang mendesak, kita ikutlah keutamaan, kalau tak boleh tahun ini, tahun depan. Kalau Yang Berhormat kemukakan cara baik, tentulah saya beri pertimbangan yang baik.
SOALAN 2: SOALAN TAMBAHAN 1
DARIPADA DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY BIN JUSOH [ BESUT ]
Yang Amat Berhormat Tambun. Saya rasa yang diceritakan itu secara keseluruhan pembangunan. Maksud saya yang CDF tadi. Jadi, pertanyaan saya seterusnyalah, merujuk kepada jawapan kepada soalan saya pada 22 Jun 2026. Kerajaan ada menyebut bahawa peruntukan pembangunan kawasan Parlimen kerajaan dan bukan kerajaan adalah sebanyak RM2 juta setahun. Itu sahaja sebenarnya. Yang lain-lain disebut lain-lainlah.
Jadi, namun peruntukan bagi kawasan bukan kerajaan dikendalikan langsung oleh kerajaan. Makna mungkin daripada melalui pejabat daerah ke apa semua. Jadi terdapat layanan agak ada double standard sikitlah kot, walaupun manifesto PH ada menjanjikan bahawa CDF ni secara sama rata kepada semua wakil rakyat, wakil rakyat Parlimen, tanpa mengira parti kerajaan, tanpa mengira parti mana, kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
Jadi soalan saya sebenarnya, adakah Kerajaan MADANI berhasrat untuk menggubal Akta Peruntukan Sama Rata dan menunaikan manifesto PH sendiri sebelum PRU akan datang? Atau tidak? Itupun kalau Yang Amat Berhormat masih adalah. Kalau masih adalah.
Jadi, baik kerajaan isytiharkan saja, tidak akan bagi peruntukan dan juga tidak akan penuhi janji manifesto tersebut supaya kami, ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan atau bukan kerajaan tidak perlu tanya atau tuntut lagi pada masa akan datang. Sebab kita lihat, sebab ada Menteri, Menteri mana? Komunikasi ada menyebut Kabinet akan membincang. Sebab tu saya tanya soalan. Menyebut Kabinet akan membincangkan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen dipilih rakyat pada masa akan datang. Menteri Komunikasi sendiri yang cakap macam tu.
JAWAPAN:
Terima kasih, Besut. Kabinet memutuskan untuk memastikan semua kawasan Parlimen diberi pertimbangan. Saya bagi contoh, Terengganu itu negeri pembangkang. Baik. Peruntukan tidak sepertimana diuar-uarkan. Semasa parti Yang Berhormat memerintah, peruntukan untuk Terengganu keseluruhannya adalah RM6 bilion. RM6 bilion peruntukan Persekutuan. Dalam tahun 2027 bawah Kerajaan MADANI kita naikkan jadi RM8.2 bilion.
Jadi saya nak jelaskan di sini, isunya apakah ada pengurangan? Tidak, malah ditambah. Saya tegaskan di sini, dari segi rekod baik setiap kawasan Parlimen atau negeri, kita tidak pinggirkan. Soal kenyataan-kenyataan lain Yang Berhormat, yang terus menyerang, itu soal lain. Tetapi saya beri fakta di sini.
Soalnya, mengapa tidak disalur kepada Parlimen? Saya jawab tadi soalan Parlimen, disalur ke Parlimen. Wang yang diperuntukkan tadi, yang diperuntukkan untuk Parlimen Besut, itu untuk Parlimen Besut. Siapa yang tentukan projek Parlimen Besut? Itu dari Besut dan kelulusan negeri dan kementerian-kementerian berkenaan. Dan jumlahnya bukan kecil sebenarnya disebutkan.
Yang dibangkitkan ialah mengapa tidak melalui Ahli Parlimen? Itu beza. Yang kita beri kepada Ahli Parlimen, seperti mana yang berlaku di antara saya dulu sebagai Ketua Pembangkang dan kerajaan yang juga disertai oleh Yang Berhormat itu adalah dengan persetujuan mantan Perdana Menteri, Bera dan kita tandatangani apa yang disebut CSA. Dan setelah tandatangani, proses dijalankan walaupun tidak sepenuhnya, tidak apalah, semua dijalankan. Tetapi peruntukan berbeda daripada tanggapan. Kami dianaktirikan. Kami mana? Rakyat tidak dianaktirikan, kawasan tidak dianaktirikan. Apakah mesti projek itu mesti melalui Parlimen? Tidak. Dalam kawasan parti-parti kerajaan pun tidak diberi kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen mengesahkan projek itu. Dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen.
Jadi soalnya, kalau nak kita dah minta menemui TPM II yang diberikan mandat untuk berbincang. Ada tandatangani, saya luluskan dan saya beritahu di sini, bila Arau bantah dulu, saya kata kalau sign hari ini, esok dia luluskan. Dah tidak mahu runding, itu bukan masalah saya.
Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk Kota Bharu dulu pun dalam jawatankuasa, kalau tak salah saya dalam jawatankuasa rundingan itu. Jadi, kita gunakan format yang sama. Tidak payah pinda satu perkataan pun. Jadi, itu yang dikatakan dalam peraturan.
Jadi, mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dari segi peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat disampaikan. Apakah sekolah daif? Apakah sekolah agama? Apakah jalan kecil? Membaiki masjid, itu semua diluluskan.
Ini saya nak tegaskan. Terima kasih banyak. Ini yang disebut. Sebab itu saya selalu suka bandingkan dengan 2022. Peningkatan itu besar. Dari RM6 bilion kepada RM8.2 bilion. Ini diskriminasi apa? Apa ini banyak disebut zalim. Zalim apa ni? Satu kawasan yang 100% sokongan pembangkang, kita tambah RM2.2 bilion. Ini memang luar biasa zalimnya.
SOALAN 2: SOALAN TAMBAHAN 2
YB MOHD KURNIAWAN NAIM BIN MOKTAR
[KINABATANGAN]
Terima kasih Tan Sri Speaker selalu memberi ruang kepada Kinabatangan.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memandangkan terdapat beberapa kawasan yang terlalu luas di Kinabatangan di mana, seluas Negeri Johor yang mempunyai 26 parlimen.
Dan soalan saya, adakah Yang Amat Berhormat, bersetuju dan kerajaan bersedia formula ini perlu dirombak pengagihan peruntukan tersebut untuk pembangunan berasaskan geografi kerana tuntutan itu terlalu rumit untuk kami penuhi di kawasan yang luas. Sekian, terima kasih.
JAWAPAN
YB Kinabatangan, itu yang diambil kira sebab itu peruntukan untuk Sabah, walaupun jumlah penduduknya itu kecil, itu peruntukan pembangunan paling besar dalam negara untuk tahun depan. Apakah ia memenuhi semua keperluan? Tidak.
Tetapi, kenyataannya itu mengambil kira kenyataan geografi kawasan pedalaman, merupakan kawasan yang ketinggalan, merupakan infrastruktur yang terbelakang, maka peruntukan terbesar dalam belanjawan pembangunan tahun 2027 tertinggi Sabah, kedua tertinggi Sarawak.
Dan kalau ikut hasil dan perbelanjaan, itu hasil walaupun beberapa negeri-negeri Pantai Timur itu kecil tapi perbelanjaan itu jauh lebih tinggi kerana kita ambil daripada hasil dari negeri-negeri lain daripada National Fund.
SOALAN 2 TAMBAHAN 3
YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE [BELURAN]
Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Memang hakikatnya, dan jelas bahawa Sabah dan Sarawak menerima peruntukan lebih tinggi daripada negeri-negeri lain dalam Belanjawan 2027, tetapi itu merupakan hakikat dan keperluan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Kerana Sabah memerlukan lebih banyak dana, sebab itu bila Sabah menyertai Malaysia dulu, sama-sama membentuk Malaysia, ada peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan dibawah 112 (c) dan 112 (d) yang berbeza dengan negeri yang lain. Itu menunjukkan hakikat bahawa Sabah dan Sarawak ada kelebihan dan perlu kelebihan daripada Kerajaan Persekutuan.
Semalam, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan bahawa sebahagaian besar daripada projek-projek yang dicantas, yang tidak diberi peruntukan melibatkan projek-projek Sabah dan Sarawak. Jadi maknanya, walaupun ada peruntukan direct kepada negeri melalui bajet, tetapi ada peruntukan melalui kementerian.
Tetapi dimaklumkan semalam oleh Timbalan Perdana Menteri, sebahagian besar daripada projek-projek yang tidak diberi peruntukan kepada kementerian Timbalan Perdana Menteri melibatkan projek-projek dari Sabah dan Sarawak, yang ini akan memberi kesan drastik kepada kedua-dua negeri ini yang memerlukan dana melalui kementerian.
Jadi, mengapa perkara itu berlaku Yang Amat Berhormat Tambun? Adakah kerana perbalahan politik yang sedang berlaku di sebelah sana ketika ini, menyebabkan yang akan memberi kesan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak melalui projek-projek luar bandar yang disenaraikan oleh kementerian luar bandar? Terima Kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Terima kasih Beluran. Jangan gusar. Walaupun perkara ini berbangkit, kita dan cuba jelaskan. Kerana ini terkait dari segi Kementerian Kewangan, bagaimana nak urus kewangan dan planning. Ada jawapan, biar MKII uruskan, itu agak detail sedikit.
Cuma saya nak sebut disini, dari segi belanja yang saya umum itu. Itu tidak termasuk dengan apa yang disebut oleh TPM I itu. Yang kita umumkan itu projek-projek yang diluluskan mengikut perkiraan terkini dan saya pertahankan keputusan kita untuk memberikan dana yang lebih besar kerana tengok kawasan jalanraya, walaupun penduduk kecil tetapi jalanraya di banyak kawasan di Sabah itu parah, lubang-lubang.
Jadi sebab itu, peruntukan harus bertambah dan sebab itu saya katakan ini wa’ad nasional yang kita lihat dari segi kacamata satu negeri, iaitu kepentingan untuk melayani lebih Sabah dan Sarawak, tidak. MA63 itu mesti dilihat sebagai wa’ad nasional. Kepentingan kita untuk menjaga kepentingan semua. Sebab itu, daripada jumlah umpamanya RM150 – RM600 juta kita tambah interim itu RM1.5 bilion, dan saya juga jelaskan disini dengan keterangan sebaik sahaja mereka ada upaya sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak. Itu memang satu yang bersejarah, iaitu bila ada keupayaan macam pelabuhan Bintulu atas rundingan Menteri Pengangkutan dengan Kerajaan Negeri, itu jumlah RM1.8 bilion itu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Walaupun perjanjian MA63 itu menyatakan pelabuhan itu milik Sarawak, tetapi memikirkan pelaburan yang terlalu tinggi, puluhan billion saban tahun maka dipulangkan.
Jadi sebab itu, saya bersetuju bahawa kita lihat ini sebagai kepentingan nasional dan maka peruntukan itu harus ditambah. Saya terpaksa mengaku bahawa peruntukan tersebut tidak pernah cukup, sebab itu kita terpaksa jaga tatakelola, elak ketirisan, jaga pemberian-pemberian kontrak secara melulu. Tengok betul-betul peraturannya dan tengok kapasiti dan tindakan.
