TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN 60 TAHUN MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)

3 Mei 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN 60 TAHUN MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)

 

 

3 MEI 2026 (AHAD) | 10.00 PAGI

DEWAN MERDEKA, WORLD TRADE CENTRE

KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam Malaysia MADANI.

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kamajuan Desa dan Wilayah;

 

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah binti Wang,

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;

 

Ahli Yang Berhormat;

 

Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA dan Pegawai-Pegawai Kanan MARA, khususnya saudara pengerusi yang telah meletakkan prestasi MARA yang begitu membanggakan. Jadi terima kasih, Saudara Asyraf Wajdi Dusuki, kerana usaha dan saya tentu berikan segala dukungan kerajaan untuk memastikan MARA dapat diperkasa, martabatkan, bukan sahaja sesuai dengan matlamat awal, tetapi sesuai dengan tuntutan zaman.

 

Saudara-saudari, selalunya kita bicara tentang agensi, syarikat dan menyingkap pengalaman dan itu disampaikan oleh Saudara Pengerusi tadi, dan saya percaya sepanjang sambutan, kita lakarkan kejayaan, tapi yang menarik dalam Pimpinan MARA ini bukan sahaja kerana mengimbau tentang kejayaan, nostalgia, kehebatan, tapi memilih untuk lebih teliti, mencerakinkan isu, melihat kekuatan, kelemahan dan menetapkan garis panduan supaya dapat mengangkat keupayaan dan martabat MARA sesuai dengan tuntutan semasa dan juga tuntutan masa depan kita dan ini saya anggap satu pendekatan yang menarik dan harus diberikan dukungan dan sokongan penuh oleh bukan saja keluarga besar MARA, tetapi oleh rakyat dan negara.

 

 

Sebab itu, saya lebih memilih untuk melihat keupayaan masa depan kita. Saudara soal dasar yang disebut affirmative action, dasar yang disebut memilih untuk mendukung kepentingan indigenous population itu didukung di banyak negara, tapi disanggah oleh juga banyak pendapat umpamanya Thomas Sowell, banyak profesor sini tahu, itu mewakili sosok pemimpin kulit hitam, sarjana terkemuka juga yang menganggap dasar affirmative action itu tidak wajar dipertahankan kerana akan melemahkan semangat daya saing rakyat.

 

 

Di satu pihak yang lain, ada yang mempelopori, malah di Malaysia sendiri, elit yang termasuk di kalangan bumiputera, walaupun kecil, yang menganggap bahawa untuk maju Malaysia ini mesti bersaing dan mempertahankan kepentingan elit. Kita harus memperingatkan mereka bahawa pendekatan begini tidak semestinya yang terbaik.

 

Sebab itu, saya cuba popularkan karya Michael Sandel yang juga menyebut tentang tyranny of merit. Kalau kita terlalu membiarkan, dan saya harap sarjana-sarjana, terutama keluarga MARA, bantu untuk menjelaskan, jangan izinkan polemik sekelompok ini mempengaruhi pandangan masyarakat terutama masyarakat di bandar dan jugak kaum bukan Melayu yang menganggap bahawa Malaysia ini boleh bertapak dan maju hanya dengan mengiktiraf dasar elit yang paling pintar sahaja. Saya tidak menolak kebijaksanaan mempertahankan pahaman elit, tetapi kita tahu yang kita nak tekankan ialah keadilan.

 

 

Sebab itu, dalam debat terkemuka tahun 70-an dan sebelumnya, di antara Galbraith dan Norzig, isu ini ditekankan. Norzig memilih pandangan bebas menjana pertumbuhan, memberi pengiktirafan kepada golongan pintar. Galbraith mewakili pandangan yang menggerakkan masyarakat ke arah keadilan sosial.

 

Saya tekankan hal ini kerana perdebatannya belum selesai. Benar, kita dalam keluarga dan dalam sistem yang mendukung dasar ekonomi baru, yang mendukung kehadiran dan keperluan mengangkat marah. Tetapi saya mahu saudara-saudara, terutama di kalangan Sarjana, tidak hidup dalam kelompok terpencil. Harus ke depan, berbahas, berdebat, berwacana cara segar menjawab isu ini kerana kita mahu Malaysia, seluruh rakyatnya, memahami bahawa dasar keadilan itu harus diketengahkan dan tidak sahaja elit memilih kalangan yang paling pandai.

 

 

Thomas Sowell dalam “Tyranny of Merit” itu membahaskan yang kita nak tekankan itu keadilan, dan keadilan tidak tercapai tanpa kesaksamaan. Kata dia, justice itu mesti fair sebab disebut-sebut justice as fairness. Kita bicarakan sekolah terbaik di Kuala Lumpur ketimbang sekolah di Kapit atau Manik Urai, kemudian kita kata bersaing kamu dan lihat keputusan masing-masing, dan mengharapkan sekolah melahirkan anak-anak sama pintar, tidak mungkin. Kerana tidak ada keadilan pada peringkat asasnya. Ini yang difikirkan, dan saya lihat, upamanya, baca ucapan-ucapan Almarhum Tun Abdul Razak Tun Hussein atau Almarhum Tun Dr. Ismail.

 

Walaupun Tun Dr. Ismail itu menggagaskan dengan berani pada ketika itu dan menjadi kontroversi politik yang hangat kerana mengatakan harus ada titik noktah akhirnya tentang dasar bumiputera ini. Tetapi gagasan utama mereka ialah mengatakan tidak mungkin tertegaknya keadilan kalau tidak diberikan peluang yang saksama. No equal opportunities, you expect different results. Satu kelompok yang terpinggir, yang disebut oleh Dato’ Seri Zahid tadi, atau terpencil, kemudian diharap dapat bersaing dengan begitu adil.

 

 

Sebab itu, dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam kerajaan MADANI, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitism semata-mata atau meminggirkan kepentingan bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebagian orang. Malah, saya nak tekankan saksinya Dato’ Seri Zahid, 3 tahun Kerajaan MADANI, program bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya dan kita boleh kemukakan angka-angka dalam perbahasan terbuka.

 

 

Tapi yang saya nak tegaskan pada kerangka pemikiran besarnya bahawa pahaman kita sementara mendukung beberapa aspek elit, umpamanya baru-baru ini kerajaan memutuskan siapa anak manapun yang mencatat keputusan terbaik 10A, otomatik diberi tempat universiti. Tetapi dalam masa yang sama, 90% anak bumiputera itu diberikan kesempatan untuk program matrikulasi.

 

 

Jadi, jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu. Pilih, umpamanya, kalau di kalangan orang bukan Melayu, sebahagiannya menulis ada yang guna kategori pensyarah, saya tak tahu dia pensyarah apa. Atau ada yang digelar profesor. Profesor ini harus menukil, memahami, dalam sikap adil. Diambil situ, dia kata 90% dihadkan ataupun diperuntukkan kepada bumiputera. Hanya 10% bagi bukan Melayu. Dia tak sebut itu hanya program matikulasi.

 

 

Program matikulasi itu dulunya 100% bumiputera. Kita beri kategori 10%, terutama di kalangan anak-anak bukan Melayu yang miskin atau terpinggir, tetapi ada pulak di kalangan sebagai Melayu yang mengatakan keputusan memberikan pengiktirafan 10A kepada semua pelajar itu tidak adil. Jadi polemik itu, yang disebutkan zero sum game itu, akan berterusan.

 

 

Saya mohon kawan-kawan, rakan-rakan dan keluarga MARA memahami bahawa dari segi dasar pokok, itu tidak berubah. Tetapi, kita harus juga menunjukkan kewarasan dan kebijaksanaan. Negara ini harus aman. Negara itu harus menggarap kekuatan semua. Negara ini harus memberikan ruang, memastikan setiap anak Melayu, atau Cina, atau India, atau Iban, atau Kadazan, merasakan mereka itu selesa dan anggap mereka itu diberi pengiktirafan yang baik oleh negara itu prasyaratnya. Tetapi negara ini tidak akan berganjak dari dasar yang saya sebutkan tadi, justice as fairness, memberi ruang dan keadilan, terutama bagi masyarakat yang terpinggir, yang terabai, dan faham bahawa tidak mungkin ada kestabilan politik kalau tidak terjamin masyarakat majoriti yang rata-rata lebih miskin, inilah maka dasar pengukuhan agensi seperti MARA itu harus diteruskan, diteruskan dengan lebih teratur dan lebih bijaksana.

 

 

Sebab itu, kita dah bincang dengan rakan-rakan di kementerian, kerajaan, Jemaah Menteri, kita berikan dukungan kepada MARA untuk memastikan pengarahan masa depan dengan tujahan MARA yang lebih jelas, iaitu keusahawanan dan pendidikan sebagai asas utama; tujahan kedua, penyertaan pemilikkan penguasaan supaya pemilikkan dan penguasaan itu akan memberikan tonggak kekuatan, tonggak ekonomi yang lebih jelas; dan ketiga, sumbangan melahirkan bakat modal insan mahir dan separa mahir kerana kita menuju keadaan yang lebih berubah.

 

 

Dalam bidang minyak dan gas bumiputera memang ke atas, itu bidang agak baru. Kalau bidang lama, konvensional, pembuatan, pembinaan, kita agak ketinggalan. Kita MARA, dan pimpinan MARA menggagaskan sesuatu keadaan di mana kita punyai competitive advantage dan menjurus ke arah bidang-bidang baru, termasuk utamanya minyak dan gas satu, AI dan TVET. Dan untuk TVET, setelah kita putuskan dengan amanahnya kepada Dato’ Seri Zahid, ternyata anjakkan yang dilakukan dan kejayaan bidang TVET peringkat tinggi, bukan TVET asasi, itu di antara yang terbaik yang dicatat oleh mana-mana negara membangun.

 

Maknanya, kalau kita berikan fokus dan TVET ini kita tidak sebut TVET Bumiputera, ini satu penyakit jugak. Kita kata TVET, tapi tanya Dato’ Seri Zahid peluang diberikan kepada anak-anak Bumiputera bukan sekadar berikan pendidikan asas TVET, tetapi terangkat sehingga ke UniKL. Dan UniKL selain daripada program asas kejuruteraan yang agak istimewa dan perakaunan dan lain-lain, ialah AI dan kita telah putuskan untuk memastikan UniKL juga menjadi di antara institusi cemerlang dalam AI.

 

 

Kemudian PMKS, PMKS bumiputera di antara sektor yang pembinaan yang agak lemah di kalangan Bumiputera adalah PMKS ia tidak dapat mencecah lebih daripada 10-15%. Tapi ada langkah-langkah yang diambil. Sekali lagi, Dato’ Seri Zahid melalui kegiatan halal yang dapat memecah tembok monopoli dalam beberapa bidang dan mengangkat melalui MIHAS dan industri halal sebagai peluang baru yang harus diterokai oleh golongan Bumiputera.

 

Jadi ekosistem itu harus inklusif yang ini maknanya MARA sebagai payung besar. Payung pula ini istilah Zahid ini. Ini payung ekonomi, payung politik saya serahkan kepada Dato’ Seri Zahid. Jadi payung besar dan pusat sehenti pembangunan bumiputera jadi satu tugas baru supaya semua agensi yang dikelola oleh Kementerian Ekonomi dengan Kementerian lain, bila soal umpamanya pusat sehenti pembangunan bumiputera, kita boleh alih supaya dia beri amanahnya kepada MARA.

 

 

Tujahan ke enam ini yang disinggung oleh saudara TPM sebentar tadi itu mesti menerobos ke lapangan baru termasuk di peringkat antarabangsa baru-baru ini saya panggil semua syarikat-syarikat kerajaan dan kita mohon supaya mereka bantu juga bumiputera untuk menembusi pasaran antarabangsa itu tujahan ke-6 dan ke-7 yang dirumuskan oleh saudara pengerusi sebentar tadi.

 

 

Tentunya dalam tempoh 60 tahun ada masa pasang surutnya ada masa isu tatakelola itu dianggap paling bobrok dan lemah dan sebab itu saya ucap terima kasih kepada MARA, pengerusi dan jawatankuasa yang memusatkan perhatian dalam isu tatakelola ini.

 

Kita mahu agensi-agensi bumiputera itu bukan saja ke depan dalam menyuarakan kepentingan bumiputera lantang tetapi lebih tegas dalam memberikan satu pengarahan, penegasan tentang tatakelola yang baik. Maka saya harap draf akta MARA yang baharu TPM arahkan supaya siap sebelum akhir tahun saya kata tidak perlu tunggu, ini semua yang mahir-mahir, pakar-pakar, nak tunggu sampai 6, 7, 8 bulan sebab apa? Beri draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan.

 

Baik, saudara-saudara, izinkan saya sikit tambah ini, bagi saya sidang ini penting. Kita kongres-kongres bumiputera saya ikuti sebenarnya. Saya ikuti, Dato’ Seri Zahid terkejut termasuk yang sedang dalam pendidikan UMNO itu. Saya boleh selamat ni kerana saya pantau seluruhnya, tapi dengan maksud yang baik.

 

Jadi kita dengar ini kekuatan kita dalam pimpinan ini ialah bila kita sanggup dengar termasuk teguran atau cadangan dan kritikan dan cadangan itu dilihat cara yang objektif tidak perlu umpamanya merasa tertekan dan kalau perlu dijawab, saya tahu Saudara Zambry, Menteri Pendidikan Tinggi menjawab sebahagiannya tetapi ada hal-hal yang harus diteliti dan saya percaya dalam tempoh beberapa minggu Dato’ Seri Zahid, saya ada minta kemukakan beberapa resolusi yang baik yang harus dikaji oleh malis pembangunan bumiputera yang saya pengerusikan sendiri.

 

Saudara-saudara, kita tidak pinggirkan, saudara bayangkan kita amanahkan TPM dengan menteri-menteri untuk memastikan program bumiputera itu tidak terpinggir diberikan keutamaan dan dibentangkan dengan Majlis Pembangunan Bumiputera yang saya pengerusikan sendiri. Kemudian kalau ada soal dasar dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri tidak mungkin mudah untuk diketepikan bila pengerusi bila Perdana Menteri bentangkan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri.

 

Jadi Mesyuarat Jemaah Menteri tidak sepertimana yang diandai oleh setengah orang yang terpukau atau ditakuti dengan hantu-hantu parti-parti lain, tidak timbul. Kita tiga tahun dalam kerajaan tanya Dato’ Seri Zahid.

 

Hal lain kontroversial termasuk mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu pertama sejak merdeka 1957. Saya umumkan tidak ada bantahan, dipersetujui inilah pertama kali kita isytiharkan.

 

Jadi saudara-saudara, saya nak berikan ulasan setelah mendengar hujah-hujah dikemukakan 2-3 hari ini, kerana kenaikan pendapatan isi rumah menengah bumiputera beberapa tahun ketimbang ini termasuk gaji minimal RM1,700 dan gaji atau upah semua pekerja GLICs itu RM3,000 minimum RM3,100 itu semuanya itu majoriti besar ke bumiputera. Jadi lain daripada laungan dan leteran dengan tindakan yang jelas kita ada dalam kuasa kita dan upah RM3,100 itu bukan sesuatu yang keterlaluan. Kita tidak boleh paksa semua syarikat-syarikat swasta tapi kita boleh tetapkan syarikat-syarikat kerajaan itu menetapkan gaji minima RM3,100 dan ini telah dijalankan dan memberi manfaat kepada ratusan ribu dan 87% itu bumiputera.

 

Sebab itu kalau saudara lihat, kenaikkan pendapatan isi rumah menengah bumiputera lebih 10% daripada sekitar RM6,300 tahun 2022 kepada RM7,000 pada tahun 2024.

 

Ini saya tidak bermaksud menyatakan tidak ada kesenjangan, tidak ada petani atau nelayan atau pekerja yang masih kategori miskin. Keutamaan kita dalam tahun-tahun pertama ialah membasmikan, menghapuskan sama sekali kemiskinan tegar dan ucap tahniah, Menteri-Menteri Besar ada di sini Pahang, Perak itu berjaya dan kita ambil angka granular tiap kampung, tiap ketua kampung, penghulu bagi daftar kalau ada sahaja yang masuk kategori kemiskinan tegar diselesaikan segera dan kita dah lakukan tetapi target kita adalah membasmi kemiskinan tapi bermula dengan kemiskinan tegar.

 

Kemudian peruntukkan saudara lihat upamanya ada yang bicarakan tentang demografi negeri-negeri ini tapi saya nak beritahu walaupun dari segi politik ini agak kontroversial dan saya juga dikritik kerana memberi peruntukkan yang agak besar kepada negeri-negeri majoriti Melayu tetapi tidak bersama dengan kerajaan, persekutuan.

 

Tapi saya memilih untuk menekankan soal pertumbuhan ekonomi, menyelesaikan isu banjir, prasarana dalam pendidikan, kesihatan dan berbincang dengan rakan-rakan dan saya kata itu saya tidak akan tolak ansur.

 

Kita pegang amanah untuk membela nasib rakyat dan kita teruskan membela walaupun ada di kalangan mereka yang mencurigai niat baik kita, sebab itu umpamanya peningkatan 2026 bagi negari-negeri yang di relatif miskin yang tidak mendukung kerajaan itu naik 26% sejak kita pegang pemerintahan RM129 bilion.

 

Jadi begitu juga peruntukkan kementerian KKDW maknanya dari RM10.5 bilion kepada RM12.4 bilion ringgit 2026 dan kita lihat sebab itu angka pengangguran menurun apakah kita berpuas hati? Saya kata tidak, dia budaya, selesa, ini bahaya kalau pimpinannya anggap ini semua kenyataan-kenyataan membanggakan jadi kita boleh rehat, tidak. Tetapi, untuk menafikan pun menjadi masalah juga sepertimana setengah-setengah pihak yang berhimpun tidak ada yang baik, tidak ada yang positif.

 

Jadi sebab itu tanggungjawab kita menyatakan yang positif tetapi mengakui kerana budaya culture of contentment atau culture of complacency itu tidak membantu dia menjelaskan fakta tetapi harus mendorong kita ke arah mengangkat mutu kerja memperbaiki nasib rakyat ini yang kita lakukan. Jadi walaupun kadar pengangguran itu turun dari 2022 39% kepada 29% itu keadaan terendah dalam tempoh 10 tahun, ini kenyataannya.

 

Ini bermakna pengurangan penganggur bumiputera mencecah 100 ribu orang. Ya, pendidikan, MARA itu di antara agensi yang diberi kesempatan dan tidak menghadapi kerenah, tekanan Kementerian Kewangan sepertimana banyak agensi lain. Ada dua sebab, pertama, kerana kita tahu ini adalah agensi yang sangat kritikal untuk menjamin keselesaan hidup dan kebahagiaan bumiputera dan kedua, kerana dalam tahun-tahun kebelakangan ini tatakelola yang jauh lebih baik daripada yang dulu.

 

Jadi sebab itu naik dari RM38 bilion kepada RM43 bilion ini peruntukan dan dapat membiaya lebih 1.8 juta pelajar. Tapi ada ikhtiar-ikhtiar baru yang dibawa oleh MARA termasuk Ulul Albab ini memenuhi dasar pendidikan semangat dan falsafah pendidikan kita adabani rabbi fa ahsana ta’dibi maknanya pendidikan yang dapat kita kuasai, ilmu teknologi baru tetapi tidak meninggalkan asas akidah, akhlak dan sahsiah.

 

Ini sebab itu saya syukur Alhamdulillah, kerana ini satu catatan membanggakan dan ternyata membuktikan dulu ada pandangannya bahawa anak-anak kita terlalu terbeban kena belajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains kemudian masuk pula kena belajar agama, sudah agama pula kena hafaz Al-Quran. Jadi itu dianggap bebanan dan akan melemahkan prestasi, tapi terbukti siapa yang buktikan? MARA buktikan, bahawa dengan penumpuan dalam bidang ini termasuk tahfiz, walaupun tidak semuanya hafaz satu Al-Quran tapi ada amalannya khusus itu membuktikan mereka dapat mengekalkan prestasi akademik yang baik ini keupayaan anak-anak ini luar biasa. Pemikiran lapuk orang lama ini dipikir kalau dia terbeban dia tidak akan berjaya tetapi saya syukur Alhamdulillah, ini amat membanggakan dan sila teruskan.

 

Berikutnya, pekerjaan nilai tinggi. Ini yang telah saya singgung tadi dan satu yang juga diberi penekanan ialah keusahawanan. Kita ambil langkah umpamanya dengan Khazanah, PUNB, PNB, KWAP, itu diselaraskan oleh Menteri Kewangan II termasuk GEAR UP. Kita selaraskan untuk memberikan peluang anak-anak muda, bumiputera mendapat peluang yang lebih tinggi supaya pendapatan dapat ditingkatkan dan peluang pendedahan.

 

Ini kalau saudara teliti PuTERA35 yang termasuk Sabah Sarawak, saudara akan faham bahawa sementara kita tidak sebut negeri-negeri Semenanjung, mungkin itu kekhilafan yang boleh dibetulkan. faham Azman? Kerana dia lihat Semenanjung nampak tidak ada tapi kalau kita sebut Sabah Sarawak, tetapi tentunya tumpuan itu menyeluruh dan saya ingat dia boleh cerakinkan sikit lagi.

 

Kemudian, PuTERA35 kita luncurkan pada Ogos 2024, penyertaan pemilikan penguasaan dan sembilan sasaran 2035 melalui dan dikawal, dipantau oleh Majlis Ekonomi Bumiputera dan Jawatankuasa Teknikal di bawah TPM sebelum sampai kepada majlis yang saya pengerusikan. Dan kalau ditanya bahawa tidak ada dasar bumiputera jelas dalam bidang pendidikan, saya rasa Datuk Zambry jawab semalam, dia tidak perlu. Mengapa kita nak war-war kan begitu? Saya tidak fikir perlu diadakan seperti TVET, 100% bumiputera, tidak. Ada rakyat India yang miskin dan TPM pastikan diberi tempat dalam program TVET. Ada anak-anak Cina yang berminat atau Dayak atau Kadazan diberi ruang. Kalau lihat semua tak sampai 15%, 85% masih bumiputera. Jadi, tidak semestinya selain MARA yang memang khususkan bumiputera dan kita tidak berganjak pada dasar itu, yang lain tidak perlu ada dasar pendidikan khas bagi bumiputera kerana saya yakin dasar ini boleh dipenuhi dan saya percaya keupayaan MARA untuk mengekalkan peranan dia.

 

Jadi, sebab itu Dasar Perumahan. Kita tidak sebut Dasar Perumahan itu Perumahan Khas Bumiputera, hanya terbatas. Tetapi saudara harus tahu, sasaran dalam PuTERA35 yang kita pantau termasuk dari KPKT ialah sebelum 2035, sepertimana setengah juta rumah yang dibina tahun 2025 dan berikutnya untuk tahun ini, kita pastikan Dasar Perumahan Negara, perumahan yang dipantau oleh Kerajaan, 75% itu dimiliki oleh bumiputera. Tidak semestinya Dasar Perumahan Bumiputera, Dasar Perumahan Negara tapi dasar jelas mencerakin keperluan.

 

Jadi, apakah kita kurang jelas tentang suara nyaring dan lantang tentang dasar bumiputera? Tidak benar. PuTERA35 itu dasar, bukan saja dasar MARA atau dasar parti. PuTERA35 itu dasar yang diterima, diluluskan oleh Jemaah Menteri yang saya umumkan di Parlimen, dia menjadi dasar negara untuk mempertabatkan kedudukan bumiputera supaya dapat bersaing dengan adil dalam negara kita.

 

Itulah yang saya tekankan tentang keperluan kita menterjemahkan. Jadi dengan sarjana dan pimpinan yang ada, kita mohon supaya berikan pandangan dan teguran, mungkin dalam bidang perumahan, ada apa kelemahan yang harus kita perbaiki, saya terima. Malah dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di semua peringkat, tentunya bila sampai kepada saya, saya telah lakukan tapisan di peringkat teknikal oleh pengerusi-pengerusi kebanyakan yang ada di sini, kemudian sampai kepada Datuk Seri Dr. Zahid, sebelum kemudian dirumuskan di peringkat saya.

 

Saya mohon maaf kerana mengambil kesempatan untuk menjelaskan ini kerana saya rasa kurang adil bagi orang buat penilaian, seolah tidak ada dasar kerana saya di antara yang sangat yakin walaupun tidak perlu semua war-warkan bumiputera. Ada dasar-dasar yang harus jadi nasional sifatnya. Tapi apa dia National Policy? National AI Policy itu apa dia? Bagaimana mungkin jadi nasional kalau golongan majoriti, apalagi yang terpinggir itu dikesampingkan. Jadi pendekatan saya begitu, harus jelas.

 

Mengapa kita kekalkan yang instrumen bumiputera? Kerana kita tahu apa maksud tyranny of meritocracy. Orang-orang yang menjerit soal merit, tapi tidak pedulikan keadilan. Orang yang menjerit soal hak sama, tetapi tidak memedulikan nasib miskin. So, dengar kadang-kadang sarjana-sarjana, baik Melayu atau bukan Melayu, bicara soal ekonomi. Ada dengar mereka bicarakan seorang miskin yang terpinggir di Hulu Pahang ataupun di Sik, Kedah? Tidak dengar. Yang dibicarakan hanya kepentingan mereka kelompok elit. Ini yang saya sanggah keras.

 

Bahawa negara ini boleh aman dan maju kalau kita renung dan fikirkan nasib semua. Ada orang bicara soal suku kaum dia. Kaum yang tidak dapat peluang. Pernah dengar tokoh-tokoh ini sama Melayu atau bukan Melayu yang bicara soal keadilan? Pernah ke jenguk nasib anak Melayu atau orang asli di Hulu Kelantan? Tidak pernah. Tidak masuk perhitungan mereka. Sebab itu bagi kita agenda bumiputera, agenda nasional itu sangat penting kita pertahankan tanpa tolak ansur.

Jadi itu, bagi saya PuTERA35 iaitu menjamin keadilan. Saya boleh senaraikan apa yang di putuskan terutama TERAJU, berapa jumlah dilatihkan, yang diberikan peluang. Umumnya, GEAR-Up, ini satu ikhtiar oleh syarikat-syarikat Kerajaan. KWSP Khazanah, PNB, KWAP, LTAT, Tabung Haji utamanya, yang ini jumlah besar, trillion ringgit. Jadi, saya panggil mereka. Saya kata badan-badan ini pertamanya ada yang khusus macam PNB untuk bumiputera, ada yang untuk nasional tapi bagaimana kita berkembang kemudian terpinggir golongan bumiputera. Jadi, saya minta setiap badan ini berikan saya agenda, apa untuk melatih golongan bumiputera untuk meningkatkan keupayaan mereka, keusahawanan mereka, kemahiran mereka, AI mereka. Jadi, alhamdulillah, bila ditekankan dan diselaraskan oleh Amir Hamzah, kita putuskan badan-badan ini peruntukan RM30 bilion 2026 ini.

 

RM11 bilion telahpun disalurkan tahun lalu. Bidang apa? Bidang baru, semikonduktor, transisi tenaga, teknologi hijau dan bidang-bidang baru diterokai termasuk pelabuhan. Dan yang utamanya, ada yang mengeluh saya baca, yang mantan-mantan, dia mengeluh dia kata, tengok Bursa Saham Kuala Lumpur, mana syarikat tersenarai? Mana Melayu? Saya nak tanya, orang-orang ini pernah menjadi tokoh-tokoh besar dulu, puluh tahun kamu dalam kerajaan, kenapa kamu tak bina? Kemudian dah pension, kamu terus berleter. Jadi, kita tak mahu dengar leteran ini. Sebab itu, saya selalu ingatkan kawan-kawan saya, ujian kepada Anwar atau Zahid, Asyraf, ujiannya masa kita berkuasa. Buatlah yang sebaik mungkin masa berkuasa. Jangan berleter masa pension, pencen.

 

Jadi, ini satu peringatan. Makna kita lakukan, ada dilakukan sebelumnya kecil-kecilan tapi kadang-kadang kita war-war kan, kita pun boleh dengar. Ada je kongres kita pun berleter, ambil fakta dulu, baca dulu kemudian beri teguran dan cadangan supaya membangunkan. Ini saya rasa lebih bermanfaat, memperkayakan kita sebagai satu pasukan untuk mengangkat martabat harakat dan darjat bangsa.

 

Saudara-saudari, betul kita berunding dengan semua negara, untuk berjaya, kita baik dengan negara teluk, baik dengan Iran. Berapa negara yang boleh begitu? Tak banyak. Boleh bercakap dengan Emir Qatar dan Presiden UAE, lepas itu telefon lagi dengan Presiden Iran.

 

Tapi ini kerana dasar kita. Bukan saja erti berkecuali, tapi berprinsip. Kita baik dengan negara China, kita berhubung juga dengan Amerika Syarikat. Sebab apa? Kita perlukan sebagai negara dagang, kerjasama semua. Tapi walaupun kita berunding dengan Amerika Syarikat, ini soal Reciprocal Trade Agreement, tapi tahu tak kita ada red line, garis merah. Malaysia, dengan kepelbagaian kita, dengan hubungan baik dengan semua negara, apa dia garis merah kita dalam rundingan dengan mereka? Artikel 153 Dasar Bumiputera tidak akan diubah dan kita berganjak. Ini adalah dasar kita yang jelas.

 

Saya memilih saudara Asyraf, untuk menjelaskan hal ini, maaf kena panjang sedikit kerana saya mahu rakan-rakan bekerja sebagai satu pasukan supaya tidak menidakkan apa yang dilakukan dan mengusulkan pembaharuan atau menegur berdasarkan fakta yang kita tahu. Kalau tidak, dia jadi macam seminar dan kongres biasa. Tempat kita melaungkan tetapi tidak memberikan penghujahan yang boleh membina kekuatan baru kita. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

Share: