TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN WARGA KEM SYED SIRAJUDDIN

27 Julai 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN WARGA KEM SYED SIRAJUDDIN

 

 

27 JULAI 2026 (AHAD) | 11.00 PAGI

KEM SYED SIRAJUDDIN

GEMAS, NEGERI SEMBILAN

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillahil-lazii anzala ‘alaa ‘abdihil-kitaaba walam yaj’al lahuu ‘iwajaa. Wa usollii wa usallimu ‘alaa rasuulihil-kariim, wa ‘alaa aalihii wa sohbihi ajma’iin.

 

Saudara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri.

 

Yang Berbahagia Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Jeneral Malek dan Puan Seri,

 

Timbalan Menteri;

 

Panglima Tentera Darat;

 

Pengarah Perisikan dan Komandan Kem;

 

Rakan-rakan Veteran;

 

Isteri-Isteri; dan

 

Yang dikasihi, saudara-saudara dan anak-anak.

  1. Terima kasih atas sambutan ini dan saya ucap terima kasih kepada PTD dan PAT. Yang nak jaga keselamatan saya, dia kata naik helikopter itu mesti dia di sebelah. Itu PAT katanya, semangat. Terima kasih banyak.

 

  1. Kita ada satu berita yang terkait dengan kedudukan negara kita. Semalam, Raja Bahrain setuju, muktamad, melalui Perdana Menteri anaknya itu Putera Diraja (Putera Mahkota) Bahrain, dalam hubungan telefon kepada saya, mengesahkan bahawa Grand Prix F1 akan dijalankan di Malaysia dalam tempoh 2 bulan.

 

  1. Saudara bayangkan, tentunya hubungan baik Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim membantu. Kalau negara ini tidak aman, tiada orang nak datang. Sepatutnya di Bahrain, tapi oleh kerana kesan akibat peperangan, akibat serangan Amerika ke atas Iran, dan Iran lawan balik dan kemudian terkesan negara-negara jiran, negara tidak lagi aman. Malaysia dipilih. Ada puluhan atau lebih negara-negara yang diteliti oleh mereka. Pertama harus aman, kedua urusannya baik dan cekap, ketiga insfrastrukturnya lebih baik.

 

 

  1. Jadi, tiga empat hari yang lalu, Tuanku Yang di-Pertuan Agong hubungi saya, dia kata, “Anwar, apa kata kalau Kerajaan Bahrain memikirkan untuk mengadakan F1”. Saya tentunya respon biasa sebagai Menteri Kewangan, “nanti Tuanku, kita tengok dana berapa diperlukan, ada masalah rakyat, ada masalah kos sara hidup, ada masalah perumahan yang kita harus tumpu, bukan F1”. Baginda kata, “tak apa, tak apa, minta Perdana Menteri bincang dulu dengan Perdana Menteri Bahrain, apakah boleh dana itu dikurangkan, kerana masa suntuk”.

 

  1. Tapi Bahrain dan dunia, termasuk dunia Arab tahu prestasi kita dalam menyelenggara, mengurus ASEAN tahun lalu itu di antara yang terbaik yang pernah ASEAN anjurkan selama ini. Jadi kenyataannya, alhamdulillah. Bukan kredit bukan kepada PMX, sistemnya, rakyatnya, keamanan, tentera, polis, pengurusannya, pegawai-pegawai, penjawat awam, swasta, pengurusan di hotel, restoran, semua. Bila ada satu cabaran, saya lihat ada semangat di kalangan rakyat, bangkit untuk menjadi teladan dan negara Malaysia tercinta. Ini saya salute kepada rakyat. Hari ini saya nak nyatakan semangat yang sama kerana tonggak yang menjamin keamanan itu adalah angkatan pertahanan negara.
  2. Maka, F1 semalam sudah telefon, dia kata bayaran awal yang dah bayar ratus juta kepada FIC, syarikat F1 yang menyelenggara di seluruh dunia, itu dia kata hapus. Kita tak bayar lagi. Jadi kita anjur percuma. Bayangkan, kalaupun ada sedikit perbelanjaan, nak baiki track, itu baiki track kita, track race F1 yang sekarang yang diguna untuk kenderaan dan sebagainya, motosikal dan lain-lain itu diperbaiki sedikit, itu dijangka dalam 11 – 16 juta ringgit. Orang lain anjur, dia belanjanya ratusan atau 1 bilion ringgit minima, kita diminta belanja 16 juta. Menjadi tumpuan dunia dan semua pelumba terkenal di dunia, kenderaan yang tercanggih di dunia, ribuan jurutera yang akan terbang ke Malaysia, ke Sepang.

 

  1. Tanggungjawab kita aman tentunya, tentera dan polis, imigresen dan kastam kecekapan. Saya yakin, sebab itu semalam saya beritahu Perdana Menteri Bahrain, dan hari Sabtu, ketua FIC, orang Itali rasanya, dia telefon tanya, saya bincang, saya beri jaminan tentang pengurusannya kita akan lakukan.

 

  1. Jadi alhamdulillah, ini setelah belasan tahun. Itu dulu kosnya ratusan juta masa kita anjur tahun 2016 tak salah saya, hari ini kita anjur tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat dan percuma. Apa rahsia dia? Haa ini saudara kena dengar. Rahsianya kerana negara ini bertapak sebagai aman. Negara ini aman kerana kekuatan tentera, polis dan semua pasukan keselamatan. Yang keduanya, pengurusan kita. Pengurusan kita dianggap cekap. Tapi jangan kita anggap ini sebagai perkara biasa. Aman ini dalam satu negara ada pelbagai kaum, majoriti orang Melayu, Islam, agama Islam agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu terbela, terjamin dan Bumiputera. Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi negara. Raja-raja Melayu terus kita daulatkan, termaktub dan perlembagaan, tidak boleh siapa rungkai. Walaupun kadang-kadang di luar sana bicarakan orang tidak terjamin, tidak, tak mungkin, kerana perlembagaan ini telah menetapkan tidak mungkin di rombak prinsip perlembagaan itu.

 

  1. Ini kenyataan yang ada sekarang. Tanggungjawab anak-anak yang mewarisi negara ini yang aman, ialah memastikan ini dipertahankan. Jangan diizinkan unsur yang memperkotak-katikkan dan membecah-belahkan kita. Negara yang selamat kalau diterima kedudukan pimpinan orang Melayu. Raja Melayu, Perdana Menteri Melayu, Panglima Angkatan Tentera Melayu, Menteri-menteri Besar negari-negeri yang majoriti Melayu, tetap Melayu, KSN Melayu. Jadi bagi saya, tanggungjawab kita memastikan Melayu yang memegang amanah itu jujur. Melayu yang memegang amanah itu tahu tanggungjawabnya, bahawa dia akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja semasa pilihan raya. “Kullukum ra’in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi”. Yakin dengan maksud hadis Rasulullah SAW itu. Bahawa tanggungjawab kita akhirnya itu, kepada Allah SWT.

 

  1. Pegang kuasa, sama ada di sini, atau di Jabatan Perdana Menteri, mesti ingat amanah. Kalau pegang kuasa, semasa kuasa, saya fikirkan bagaimana nak perkayakan anak isteri saya? Semua amanah itu akan dimusnahkan. Siapa yang musnahkan kebanyakan agensi Melayu ini? Kita juga. Saya sekarang ambil alih dan jaga FELDA. Sebab apa? Bila saya jadi Perdana Menteri, dapat laporan FELDA terhutang hampir 10 bilion ringgit. Ini bukan politik, ini saya bagi kenyataan. Bagaimana FELDA yang dulu diurus oleh orang Melayu juga. Siapa orang Melayu itu? Raja Alias. Sebelum itu, Taib Andak, yang dilantik oleh Almarhum Tun Abdul Razak. Urus, mereka urus dengan cekap, dengan cemerlang. FELDA menjadi plantations, peladangan terbesar di dunia. Untung berbilion ringgit satu tahun. Keluarga kita, ibu bapa kita meneroka dan dapat pulangan dan hasil.

 

 

  1. 7-8 tahun yang lalu, timbul perubahan pengurusan, campur tangan politik berlebihan. Akhirnya, yang untung puluh bilion itu sekarang dah rugi RM10 bilion. Ada orang kata, mana rugi? Saya bayar tiap tahun. RM980 juta tiap tahun untuk bayar kerugian FELDA. Siapa kata tak ada rugi? Sebab itu, kita harus berfikir. Apa masalahnya? Peneroka tak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya, orang yang diamanah itu, khianat kepada amanah. Maka, berlaku.

 

  1. Sekarang ada perbahasan sedikit tentang Tabung Haji. Saya tak mahu bicara panjang. Mudah-mudahan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita akan putuskan. Ada laporan, biar orang baca. Siapa kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjara lah. Itu bukan urusan saya. Sistem kita menetapkan, siasat itu badan siasat. Buat pertuduhan itu Peguam Negara. Hukum, para Hakim, itu bukan urusan Perdana Menteri. Tetapi, seorang Perdana Menteri yang amanah harus jujur menyatakan, mesti bebas ikut proses perlembagaan dan peraturan yang ditetap.

 

  1. Saya singgung hal ini, kerana negara bagi saya tidak mungkin pertahan keamanannya kalau orang diamanahkan itu mengkhianati amanah. Kita lihat tentera. Terima kasih PAT, PTD dan juga Angkatan Laut, mereka beri kerjasama yang sangat baik. Bukan untuk mereka dapat anugerah. Bukan mereka dapat projek. Mereka setuju bahawa perolehan tentera, tentera darat dan lain-lain harus diurus secara profesional oleh pakar-pakar di kementerian, di angkatan. Bukan oleh orang politik. Kita pernah beli ratus juta, bilion, entah ke mana. Helikopter ke, kapal selam ke, semua saudara-saudara dengar. Apa masalahnya dengan tentera? Tidak. Masalahnya pengurusannya. Ada masalah juga pimpinan. Tanya PAT, saya tak campur. Minta wang, okey, satu bilion, dua bilion nak beli pesawat. Jangan tanya saya. Saya yang saya tahu naik pesawat. Saya tak tahu bawa pesawat dan saya tidak tahu jenis pesawat. Jadi, saya serah kepada TUDM. Tank, Tan Sri, tank mana nak beli? Dia ada kepakaran, kemukakan. Kalau di Kementerian Kewangan, kita lihat kos dia lah. Kalau mahal sangat, kita tak ada wang. Ataupun kita mampu setakat ini.

 

  1. Ini pendekatan baru yang saya tekankan. Sebab itu, orang nak cakap soal lain, saya tak peduli. Negara ini dan orang Melayu khususnya akan selamat kalau kita pikul amanah ini sebagai satu amanah bertanggungjawab kepada Allah SWT. Dan kita lakukan dengan ikhlas al-amalillahi Ta’ala. Ini bukan ngomong-ngomong kosong, bicara sebagai suatu medan dan gelanggang politik picisan. Tidak. Dan ini saya telah amalkan. Boleh tanya, panglima-panglima ada di sini, apakah Perdana Menteri pernah campur satu kes dalam isu perolehan? Saya tidak campur.

 

  1. Saya syukur alhamdulillah, dengan pendapatan saya, dengan keluarga saya, saya pilih untuk tidak ambil gaji. Orang sindir saya, tapi saya bukan miskin, saya pun ahli Parlimen. Saya sudah ada rumah, ada kereta, anak-anak semua sudah bekerja. Saya tak ambil gaji itu sebagai nak bagi contoh, bukan semua orang politik itu nak kaya, guna kuasa untuk rebut kekayaan dan songlap wang rakyat. Itu sebabnya mengapa saya pilih untuk tidak ambil gaji dan serah kepada rakyat pendapatan saya.

 

  1. Saudara-saudari, saya sebut perkara ini kerana saya tidak mahu salah faham. Orang yang memilih dalam sistem demokrasi nak pilih siapa itu hak mereka. Tapi tidak boleh fitnah. Sehinggakan di tentera. Saudara bayangkan apa yang saya lakukan dalam 2-3 tahun itu. Saudara tahu gaji penjawat awam, yang saya disebut di Port Dickson, 12 tahun tak dikaji. Tapi saya fikir, orang penjawat awam ini ada di sebelah saya. Mesyuarat dia ada, nak naik kereta, polis jaga. Pergi sini tentera ada. Tapi tak ada siapa nak peduli, gaji dia 12 tahun tak di-review. Jadi, tanya KSN. Saya kata, bawa mesyuarat, dibincang. JPA cadang naik kenaikan. Saya kata saya nak umum naik 6-7 peratus ni, tak padanlah, dia tunggu 12 tahun. Dan gaji dia bukan tinggi, rendah. Harga barang naik. Maka, tanya KSN. Saya sepatutnya bila selalunya JPA cadang naik 7%, saya kata naik 5 cukup lah. Tapi, bila dia cadang naik 7%, saya kata naik paling minima 15%, paling tinggi 30%. 30% bagi pangkat rendah, 7% bagi pangkat tertinggi. Itu yang dilakukan dalam sistem saraan kita sekarang.

 

  1. Saudara-saudari, ini kenyataan, bukan propaganda. Saya nak tanya, baca tak lingkaran sejarah. Bila, kita naikkan sehingga 15? Ada 20-25 peratus? Yang paling rendah naik lagi cepat, lagi tinggi. Kerana nak kurangkan kesenjangan. Dan saya terima kasih jeneral-jeneral dan pengarah-pengarah PTD dan PAT dan semuanya, kerana terimanya dengan baik. Apakah ini cukup? Belum. Saya dengar ada beberapa isu lain. Gaji naik? Ya, alhamdulillah. Tapi di kalangan pegawai-pegawai tinggi, kadang-kadang kenaikan dia lambat, bila dibandingkan atau ketimbang penjawat awam lain. Kena tunggu yang lebih masa. Nak naik Turus terlalu lama. Jadi, saya kata kepada KSN. Ini KSN ada. Saya kata, boleh tak kita review? Dia bukanlah banyak sangat dan kita tengok implikasi kewangan. Dan dalam masa terdekat, kita akan putuskan, supaya ada perasaan di kalangan semua, termasuk angkatan bersenjata kita, merasakan mereka itu tidak tersisih dan tidak dipinggirkan. Dan insya-Allah kita akan laksanakan.

 

  1. Ini saudara-saudara, dalam mesyuarat, perbincangan kita, kita lakukan. Saya tidak boleh umumkan jumlah kerana ini kebetulan ada pilihan raya Negeri Sembilan. Tetapi, yang saya sebut ini perkara yang telah kita laksanakan. Dan yang saya sebut tentang gaji dan skim bagi pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera ini, perkara yang sudah pun diangkat, dan hanya tunggu dimuktamadkan dalam mesyuarat yang saya pengerusikan.

 

  1. Rumah yang saya lihat tadi. Mana yang jaga Kor Kejuruteraan tadi, siapa? Mana? Ada? Yang tadi Kor Kejuruteraan, orang Jitra tadi. Orang Jitra tadi mana? Belakang. Saya ucap tahniah. Kita buat rumah-rumah guru, rumah polis, rumah tentera. Yang paling efisien dan cepat ialah Kor Kejuruteraan Angkatan Tentera.

 

 

  1. Saya lihat di Lumut, setahun setengah, dua tahun yang lalu, projek. Peningkatannya cepat, pembaik pulihnya cepat. Jadi, saya dah bagi tahu untuk perumahan di sini, tentunya sudah diluluskan, tunggu ditingkatkan dan disegerakan. Tadi saya sempat lihat projek-projek yang telah disiapkan dan ini yang sudah pun dilaksanakan. Apakah cukup? Belum. Tetapi, sekurang-kurangnya saya syukur alhamdulillah, kerana zaman pentadbiran saya ini, saya beri perhatian bukan sahajanya pengumuman. Saya datang lihat pelaksanaannya, bukan mengumumkan projek baru.

 

  1. Tapi komandan kem ini pandai juga. Kapten? Kapten Zaki, ha…aa ya, dia saja dia jemput saya dan sebelum itu dia pecah-pecahkan ini semua. Dia nak bagi tahu tengok PM takkan tak boleh nampak itu. Amboi….itu strategi dia itu (nada seloroh). Dia kata… bukan senang, PM nak datang. PM datang takkan tengok ke bawah saja, mesti tengok juga ke atas. Jadi, saya ingat semalam ke dua hari sudah dia pecah-pecahkan ini, supaya PM nampak ini. Eh baik, saya setujulah, saya setuju baiki segera. Lain kali bagi tahu saya, tak payah pecahkanlah. Saya akan repair. Betul. Nak buat F1 macam mana? Okey, okey, kita akan segerakan. Saya tak boleh umum jumlahnya kerana masa pilihan raya tapi insya-Allah.
  2. Al-Quran mengingatkan kita, keistimewaan kita ini, umat ini, “Qalallahu ta’ala fil-kitabil-mubin. Wa kadzalika ja’alnakum ummataw-wasatan litakunu syuhada’a ‘alan-nas”. Allah jadikan kita ini istimewa, umat ini. Apa dia istimewanya? Dia jaga keseimbangan. Ini yang satu umat, yang daripada awal keseimbangan. Dia tidak ada sistem kepaderian, paderi-paderi dan suami-suami. Dia ada orang ilmu, tapi dia manusia biasa kegiatannya. Kerana dipertahankan iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, material and spiritual. The equilibrium in a society, in a balanced community. Ini yang dikatakan Ummataw-wasata yang pertengahan, yang seimbang. Apa maksudnya? Dikupas oleh para sarjana dan ulama, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dan karya besar dulu, Seyyed Hossein Nasr. Dia kata, “mana ada umat lain yang bicara soal iman dan ilmu, akal dan kalbu, dunia dan ukhrawi, tetapi juga man and nature, persekitaran dia.”

 

  1. Kalau kamu tak kawal, gelojoh tamak haloba manusia, geledah segala balak dan bukit-bukau, kesannya akan kehancuran persekitaran. Keseimbangan itu menjaga semua manusia, Islam dan bukan Islam. Menetapkan dengan keadaan keadilan yang baik. Dan sekiranya umat Islam itu dijanjikan dalam Al-Quran, Ummataw-wasata, Allah janjikan. Apa janjinya? “litakunu syuhada’a ‘alan-nas”. Mereka akan jadi contoh kepada manusia semuanya, bukan kepada orang Islam, contoh kepada manusia kerana keseimbangan kita. Jaga iman, jaga ilmu, jaga disiplin, jaga akhlak. Kuasai teknologi, kuasai IT dan menjaga keseimbangannya. Dan kalau kita berjaya jaga keseimbangan ini, tidak gila kepada IT sehingga hilang nilai dan kemanusiaan. Tidak mengejar teknologi baru sehingga hilang nilai dan akhlak kemanusiaan. Tidak kejar kemajuan sehingga memperkotakkan sama manusia, menghinakan kaum, menghinakan orang rendah darjat, bukan umatnya seimbang. Umat seimbang itu, a society that maintains equilibrium between man and nature, and that mankind, keseimbangan, maka dijamin oleh Allah SWT.

 

  1. Apa lagi yang kita mahu selain daripada jaminan kepada Allah SWT? Bayangkan umat Islam ini boleh jadi contoh kepada umat manusia. Kalau dia bersih, kalau dia rajin, kalau dia berdisiplin, kalau dia berakhlak, kalau peribadinya baik, kalau teknologinya tinggi, kalau tidak dibom hari-hari tak terlawan kita, seperti yang berlaku di Gaza. Maka penguasaan teknologi, termasuk ketenteraan, sangat penting. Maka bila diberitahu oleh panglima-panglima “oh, PM kita perlu cyber security”, saya kata okey. Kita perlu pendekatan dan di MDIO perlu satu pantauan yang cekap untuk mengenalpasti perkembangan-perkembangan yang jamin keselamatan, dengan teknologi yang baharu, dengan radar, saya kata okey. Apakah saya punyai ilmu dalam bidang itu? Tidak. Apakah saya punyai kepakaran dalam bidang? Tidak. Tapi saya hanya menguasai di peringkat atas, menentukan umat ini, Ummataw – wasata.

 

  1. Saudara tahu sebab apa? Sebab saya yakin dengan jaminan Al-Quran. Kalau ini kita lakukan dengan ikhlas, hentikan amalan-amalan yang merosakkan, amalan rasuah dan penyelewengan, mengambil harta bukan hak kita, bicara tentang Islam, solat tak tinggal, umrah tiap tahun, Alhamdulillah. Tetapi tidak susul, disusuli dengan amal. Mana ada contoh kalau tidak, “wa ‘amila salihan wa qala innani minal-muslimin”. Sebab itu, contoh itu terbaik.

 

  1. Saudara bayangkan, kita ini disebut bukan contoh kepada muslimin, contoh kepada umat manusia. Bagaimana ini contoh umat manusia, di negeri kita pun kita tak bagi contoh yang baik kepada yang bukan Islam. Tengok orang Islam bengis, menghasut, menimbul kebencian, tidak tunjuk kesabaran. Orang tengok kita tak rasa tertarik. Contoh bagaimana? Rasulullah SAW itu, dia perang hanya bila orang perangi dia. Jirannya Yahudi, dia jaga dengan baik. Tatkala Rasulullah SAW berbincang dengan para sahabat, dia bawa jenazah Yahudi yang memang jahat dan celaka dalam hidupnya, menghina Rasul, tapi dia sudah mati. Diusung jenazah kebetulan Rasulullah melihat. Rasulullah minta semua diam, hormat jenazah ini. Sahabat tanya, ya Rasulullah, ini memang jahatnya manusia ini, musuh Rasul. Apa jawab Rasulullah? “Dia dah mati. “Alaisat nafsan”. Bukankah dia juga seorang yang bernyawa?” Sudah. Mana nak cari fikir peribadi? Kita, yang hidup, yang mati, kalau bukan daripada kulit, warna kulit kita, hasut kebencian begitu.

 

  1. Saudara, saya harap anak-anak terutamanya faham. Betul, PAT sebut, saya yang tertua, mungkin, bukan mungkin, memang tertua dalam dewan. Dan hidup saya itu, Azizah ada di sini, penuh dengan liku-liku, lebih banyak derita dan sengsara. Tak ada orang yang walaupun berjuang, saya tahu panglima-panglima, veteran, banyak yang susah payah ke hutan belantara dan sebagainya. Tapi saya pun kena pukul setengah mati. Dan dia tak apa. Bagi saya, Allah uji pengalaman. Sekarang, saya diamanahkan untuk menjalankan tugas. Saya nak angkat martabat orang Islam, betul-betul jadi contoh.

 

  1. Orang negara China, Xi Jinping. Negara China dengan 1.2 bilion orang, dia tengok kita negara kecil, tapi dia hormat. Belum pernah negara China, sejak zaman komunis, PAT, ini belum saya bagi tahu, belum pernah dari zaman Mao Zedong sampai sekarang, China membenarkan, mengizinkan penganjuran seminar atau perbincangan mengenai Islam. Belum pernah. Kerana dia ada sistem komunis. Tapi bila saya bincang dengan Xi Jinping, saya kata saya hormat saudara, saya layan dia dengan baik. Tahun lalu, dia setuju untuk anjurkan persidangan, untuk ada persefahaman di antara Islam dan Confucianism. Dia bincang dalam perbincangan dua hala. Dia kata “Prime Minister Anwar, okay, I think it’s a good idea, boleh”. Walaupun tidak persidangan besar, tapi sekurang-kurangnya ada permulaan yang belum pernah berlaku setelah Mao Zedong ambil alih tahun 40-an sampai sekarang. Sebab saudara, kerana saya yakin, bagi contoh yang baik, tunjuk kita ikhlas dengan dia.

 

  1. Kita harus dengar, tapi ada hadnya. Dia hantar kapal perang, kapal laut, kerana PAT saya kata, kita protes bukan makna kita menyerah. Baik, kita negara kecil bukan nak ajak orang perang, tapi kita kena bagi contoh. Presiden Trump datang, memang saya pun diserang kerana saya layan dia bagi dia happy, kalau dia tidak happy kita susah, bukan saya. Saya tidak susah, tapi rakyat susah, perdagangan kita dengan Amerika, number one. RM100 bilion ringgit satu tahun. Orang bercakap di belah-belah kampung, oh, kita lawan ini Amerika kita lawan. Lawan ini, yang 40 ribu pekerja kamu nak letak mana? Siapa nak bagi kerja kepada dia, bukan kita lawan kita terima dasar dia. Masa berjumpa Presiden Trump di dalam kereta dia, nama Beast, kereta dia macam tank. Saya masuk duduk 40 minit dengan dia. Saya bangkit soal Gaza dan saya sebut, “Mr. Presiden, I must tell you that yes, I met Ismail Haniyeh.” Ismail Haniyeh ini ketua Hamas.

 

  1. Saudara bayangkan, saudara ingat saya berani sangat ke? Saya bukan Panglima, tapi saya mewakili rakyat Malaysia, saya tidak suka dengan kezaliman dan pembunuhan di atas orang Gaza hari-hari dan ini kesempatan saya bersemuka empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat dan saya beritahu, “ President, yes, I met Ismail Haniyeh Hamas Chief then”. Dia kata, “what?” Dia tinggikan suara, dia terkejut. Saya kata, “yes, dua minggu sebelum itu, anak dia, cucu dia mati dibom oleh tentera Israel di Beirut”. Dia diam, dia kata, “ya, tapi Hamas ini ekstrim”. Saya kata, “kalau Mr. President, kalau anak cucu saya, dia hari-hari diserang dan dibom saya pun akan marah dan saya percaya Presiden pun begitu.” Saya cepat-cepat tukar tajuk lah, tapi maknanya bukan kita duduk situ sebagai hamba abdi mereka. Kita wakil negara Malaysia merdeka.

 

  1. Saudara berjuang, ini veteran-veteran berjuang dengan darah, dengan air mata, dengan keringat. Ini apa salahnya saya sekarang menyuarakan dan itu kita lakukan, Alhamdulillah. Kita belajar dan kita perbaik. Sebab itu saya kata, “litakunu syuhada’a ‘alan-nas”, jadilah contoh kepada orang. Saya mahu Malaysia ini aman. Saya bukan majlisnya, saya nak terangkan kalau untuk Bumiputera orang dok bising Melayu, Anwar ini bagus tapi dia tidak jaga Melayu. Saya nak beritahu, saya pegang fail, KSN ada di sini. Saya bukan nak rendahkan atau remehkan usaha-usaha yang lain, yang lalu, banyak semua pemimpin lakukan. Tapi saya Astaghfirullahal’azim, nak beritahu kepada saudara-saudara. Saya tidak fikir ada sebelum ini program memartabatkan Melayu seperti mana yang kita lakukan dalam kerajaan MADANI sekarang. Secara bersungguh-sungguh serius. Contoh terbaik yang Panglima Tentera Darat (PTD) tahu, Tentera, Perisikan tahu, apa dia?

 

  1. Sejak Merdeka tahun 1957, tidak ada Tanah Rizab Melayu baru di Kuala Lumpur, yang ada semua yang terjual. Saya ambil alih tahun 2022. 2023 kita rampas tanah Bandar Malaysia, 480 ekar yang diserah kepada negara China dan syarikat. Saya rampas, sebab dia langgar peraturan. Bila saya rampas, saya ambil alih untuk dijaga oleh KLCC Holdings Sdn Bhd (KLCCH), kerana ini adalah badan-badan yang dikuasai oleh Melayu. Dalam kawasan itu, 50 ekar saya buat. Tanah yang paling berharga di Kuala Lumpur. 50 ekar itu mungkin 5,000 ekar atau lebih di Gemas. Saya bawa kepada kabinet. Sebelum itu, saya maklum kepada Anthony Loke, saya kata, “this is my proposal”. Dia cuma tanya mengapa? Saya kata, “sebab tanah Melayu di Kuala Lumpur itu makin mengecil it’s my duty to give the clear signal”. Dia kata okay, Mesyuarat Jemaah Menteri tidak ada yang bantah. Jadi, kali pertama dalam sejarah sejak Merdeka 1957, Kerajaan MADANI mengistiharkan tanah paling berharga di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu. Dan tidak ada sebelum itu. Jangan tanya saya sebelum itu, tanya orang lain, yang hebat-hebat bicara soal Melayu. Jadi, itu kenyataan.

 

  1. Kemudian, tentang akhir ayat ini, kalau benar Wa kadzalika ja’alnakum ummataw-wasatan litakunu syuhada’a ‘alan-nas”, Allah janjikan. Kalau kamu sempurnakan kamu ini umat yang seimbang, adil kepada Islam, adil kepada bukan Islam, adil kepada haiwan Binatang, adil kepada pokok-pokok, adil kepada bumi, bukit-bukau umat yang wasat, man and nature kamu boleh jadi contoh terbaik bagi manusia. Dan, “wa yakūnar-rasūlu ‘alaikum shahīdā”, akhirat esok, yang jadi saksi, itu adalah Rasulullah SAW. Rasul yang akan jadi saksi kerana inilah umat aku yang cuba sedaya upaya, Islah mastatu untuk bawa aku.

 

  1. Jadi, saudara-saudara dan anak-anak yang dihormati sekalian, ini yang saya nak sampaikan, tentang Angkatan Tentera, kita akan lakukan yang sebaiknya. Saya dah sebut tadi, gaji, upah, perumahan, pendidikan anak-anak. Dulu, sekolah-sekolah di bawah, yang saya tahu ini bukan di sini, saya pergi ke Lumut. Jadi, sekolah-sekolah itu kadang-kadang walaupun di bawah Kementerian Pendidikan, tapi oleh kerana terkeluar daripada pengurusan biasa, kadang-kadang terlambat peruntukan. Saya dah arah Menteri Pendidikan Fadhlina, untuk ambil balik semua sekolah-sekolah ini, walaupun ikut peraturan biasa Kementerian Pertahanan dan komandan masing-masing, tetapi percepatkan semua bantuan supaya sekolah-sekolah kita tidak ketinggalan mengikut arus dan perubahan. Itu hal-hal yang kita boleh lakukan.

 

  1. Dan yang lain saya ingat, semangat Semarak Merdeka ini, Hari Pahlawan beberapa hari lagi, alhamdulillah, negara kita sambut dengan meriah, kerana kita juga mendidik, bukan semua orang jadi tentera, bukan semua ada keluarga tentera, hampir semua. Saya pun ada adik ipar dulu, kapten di…apa dia panggil? Artileri. Ya, Artileri. Saya bergurau tadi dengan PTD, bila dia masuk tentera, di antara adik ipar saya yang paling garang dia lah, kerana dia tentera.

 

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

 

  1. Baik yang lain, insya-Allah, sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita akan beri perhatian. Tapi, keutamaan saya nak anak-anak, rakan-rakan tentera itu merasakan mereka itu dihargai dan apa daya upaya kita untuk perbaiki, kita akan perbaiki. Rundinglah dengan baik. Bincanglah dengan baik, berilah kerjasama dan sokongan yang baik, supaya kita dapat membawa perubahan yang kita inginkan. Untuk veteran umpamanya kita bagi. Dulu, kalau elaun pencen, itu hanya orang pencen. Tapi sekarang yang tidak berpencen, kita bagi. Cukup? Belum. Kerana banyak veteran ini, masuk kategori orang miskin, saudara. Jadi, kita beri perhatian. Baru ini saya dapat memo. Baru ini di Veteran Pulau Pinang juga mengemukakan memo. Persatuan memo. Saya akan beri perhatian, saya tidak boleh umumkan hari ini, kerana menghormati prinsip Pilihan Raya Negeri Sembilan, walaupun ini kawasan tertutup. Tapi insya-Allah dari semasa ke semasa, kita perbaiki apa-apa juga kelemahan kita.

 

  1. Kita doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita diberikan rahmat dan diberkati oleh Allah SWT. Apalah daya kita, selain daripada menjalankan tanggungjawab kita, memenuhi doa, daripada doa Nabi Allah Syuaib A.S dalam Al-Quranul Karim, “In urīdu illa l-iṣlāḥa mastaṭa‘tu”.

 

  1. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita, kerana semangat kita bawa perubahan yang sebaik mungkin. Saya hargai benar kehadiran Panglima Angkatan Tentera, Tentera Darat, Perisikan, Komandan semua yang hadir. Saya, siapalah saya ini, anak kampung Cherok Tok Kun yang cuba hidup, berjuang liku-liku yang sengit, tapi saya dapat peluang Alhamdulillah, untuk menyempurnakan tugas, tidak mudah, tapi insya-Allah dengan sokongan saudara-saudara dan anak-anak, saya akan lakukan sebaiknya untuk menjaga supaya kita betul-betul jadi “ummatan wasaṭan litakunu syuhada’a ‘alan-nas”, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Share: