TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : PERHIMPUNAN BULANAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERHIMPUNAN BULANAN
9 MAC 2026 (ISNIN) | 8.30 PAGI
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP (KPDN)
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,
‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.
Alhamdu lillāhil qā’il,
Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān,
Hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,
Wa usolli wassalim ala rasulihil kareem
Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.
Saudara Menteri, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali;
Timbalan Menteri, YB Senator Puan Hajah Fuziah Binti Salleh;
KSN, YBhg Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar;
KSU, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar; dan
Saudara-saudara yang saya muliakan.
- Saya tahu Ramadan, tapi nampak…apa orang kata, serius sahaja, sabar-sabar. Kita bersyukur Alhamdulillah, dapat bersama-sama dan setengah Ramadan kita lalui. Sebab itu saya mulakan dengan membacakan ayat Quran tentang kaitan Ramadan dengan turunnya Al-Quran ini. Bulan Ramadan unzila fīhil-qur`ān, dan turunnya Al-Quran itu untuk kita baca dan faham dan dikaitkan dengan Hudal lin-nāsi – petunjuk kepada manusia.
- Tidak mungkin jadi petunjuk kalau tidak kita teliti, telaah dan cuba menghayatinya. Dan sekiranya petunjuk itu diperolehi, dia sendirinya adalah pentanda-petanda yang baik untuk kita. Wa bayyinātim minal-huda – dan memberikan hidayah. Wal-furqān – dengan kekuatan itu, dengan kekuatan hidayah dan petunjuk kepada manusia ini, kita boleh buat penilaian. Furqan – ini menilai, perimbangan di antara yang makruf dan yang mungkar, yang baik dan yang buruk melalui kesedaran, melalui ilmu, melalui penghayatan.
- Jadi, mudah-mudahan kita tidak terlepas dalam kesibukan kita menjalankan tugas penguatkuasaan kita, Jualan Rahmah kita, kita tidak juga tinggalkan semangat penghayatan Al-Quran yang sesungguhnya.
- Saudara-saudara, beberapa hari yang lalu saya singgung banyak tentang perkembangan geopolitik antarabangsa. Dan Alhamdulillah, kerana pengiktirafan kepada Malaysia, ramai teman-teman dari negara Teluk, Timur Tengah, Turkiye, Pakistan, Afghanistan terus menjalinkan hubungan, dan petang nanti pun ada lagi permohonan call, telefon dengan Amir Kuwait dan satu dua negara lain untuk merenung dan memikir bersama kemelut berlaku kebetulan, kebetulan bulan Ramadan bermula dengan serangan ganas rejim Zionis Israel dengan Amerika Syarikat menyerang Iran, yang tentunya mengundang tindak balas, dan tindak balas itu sesuatu yang kita rasa hak Iran mempertahankan kedaulatan negaranya, mempertahankan kemerdekaannya. Tetapi dalam tindak balas itu, ada tindakan yang menyebabkan percisan itu ke negara-negara jiran. Mulanya di kawasan-kawasan yang disebut kawasan pengkalan tentera Amerika, tetapi apa yang berlaku ia juga tempiasnya ke kawasan awam, ada orang, masyarakat yang meninggal dan ada kerosakan harta benda. Sebab itu, kita juga di antara terpanggil untuk menghubungi Iran dan negara sahabat untuk menyatakan pertama, sokongan kita kepada Iran dalam pertahanan negara tersebut itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini. Tidak setuju dengan keganasan, tidak setuju dengan kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu gugat negara lain.
- Tapi dalam masa yang sama, kita juga melahirkan keprihatinan kerana tempiasan itu ke negara-negara jiran, Negara Arab Teluk, malah ke Azerbaijan, Turkiye, selain dari negara Arab dan negara Teluk. Oleh itu juga, saya telah hubungi dengan Menteri Luar Iran meminta supaya dapat sedaya upaya kawal sebagai hubungan baik di antara jiran, negara-negara Islam itu terus, dan mereka tumpu, pertahankan negara mereka dan kalau melakukan serang balas ke atas Israel. Yang lain itu Wallahu a’alam.
- Ini saya sebut dalam awal Ramadan dulu, ini kita menanggung seolah-olah derita negara Islam tidak bersatu, tidak ada kekuatan, dan ini menyebabkan kita menjadi mangsa serangan dan buruan. Dan ini harus mengajar kita. Sebab itu, di negara ini dengan amanah yang dipikul, saya sentiasa menggesa, perbaikilah kelemahan-kelemahan kita, tatakelola kita, kerjalah sebaiknya, hentikanlah sikap perpecahan yang menimbulkan pergeseran, perpecahan yang tidak menentu. Binalah kekuatan perpaduan, pupuklah semangat, tingkatkanlah prestasi kita, jadikanlah negara ini negara yang berjaya, bahagia Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur, kerana kita mempunyai keupayaan itu. Jauh dari medan pertempuran, ekonomi masih bertahan, hanya menuntut kesungguhan kita.
- Tapi jangan kita ambil sikap selesa, disebabkan culture complacency atau contentment, sebab itu badan pertahanan kita sentiasa bersiap-siaga. Baru-baru ini saja, muncul anak-anak sekolah, belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan kearah keganasan yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini. Anak-anak kita salah didikkan, salah pendedahan, kemudian ada rencana-rencana luar asing yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita. Ini harus menyebabkan kita lebih waspada.
- Kita memohon kehadrat Allah SWT, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan. Menjaga keamanan dan mengangkat martabat rakyat dan negara ini. Dan hari ini kebetulan dalam Perhimpunan Bulanan ini berpengkalan di Kementerian yang secara langsung ada sinerginya dengan permasalahan rakyat. Dan saya anggap peranan KPDN ini, menterinya, timbalan Menteri, KSU dan seluruh barisannya, itu peranan yang sangat kritikal. Dan kalau ditanya dalam urutan permasalahan rakyat, yang pertama kos sara hidup. Walaupun kita tahu ketimbang dengan negara-negara lain masih terkawal. Harga minyak hari ini ada juga brand beberapa negara sudah naik USD100, kita masih bertahan dengan RM1.99 BUDI95. Dan kita akan jalankan ikhtiar semaksima mungkin supaya tidak membebankan rakyat. Dan saya datang di antara lain untuk menyatakan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh jentera di KPDN kerana mambantu negara dan rakyat mengawal kos dan bekerja.
- Dan ini bunyinya mudah. Bayangkan bulan Ramadan ini sahaja, Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) itu 1,898 siri. Ini kalau tidak ada jentera yang ada komitmen, maknanya saudara bekerja entah tiga kali ganda atau empat kali ganda daripada bulan-bulan sebelumnya. Dan saya belum dengar ada rungutan. Ini luar biasa kesabaran. Kadang-kala yang merungut, Menteri dia mesyuarat ada. Dia kata anak-anak dia dibebankan dengan begitu banyak tugas. Tetapi dia, seperti saya juga merasa bangga dengan komitmen saudara-saudara menjayakan program ini kerana program ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Terima kasih banyak.
- Orang yang ikuti sahaja program itu dia tidak tahu, kadang-kadang tidak merasakan, ini biasalah program Kerajaan. Tetapi program Kerajaan ini ketimbang tahun-tahun yang lalu puluhan. Sekarang sudah cecah ribu program. Dan tentunya ia lebih membebankan. Sebab itu, saya rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama menyatakan penghargaan dan bangga dengan sikap yang ditunjukkan. Dan saya harap mudah-mudahan contoh rakan-rakan di KPDN ini juga dapat diikuti rakan-rakan di jabatan lain sedaya upaya. Umpamanya, kita bukan setakat itu, lebih banyak Jualan Rahmah tetapi jenis pun ditambah, jadi minima kepada 50 jenis makanan. Sepanjang tahun 2025, kita katakan 25,708 PJRM dan merekodkan sejumlah 27,534,770 transaksi pembelian. Saya sengaja sebut perkara ini, saya minta nota ini kerana kadang-kadang orang dia tengok biasa, biasalah. Tidak. Ini bukan tugas penjawat awam biasa, ini tugas yang mereka pikul dengan semangat, dengan dedikasi, dan oleh itu negara harus hargai mereka.
- Selain itu, kita akan adakan mesyuarat NACCOL selepas ini, dan bincang juga persiapan awalan tentang tindakan Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2026 – 2030. Sebab kita akan bincang selari dengan pendekatan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Kerangka Ekonomi MADANI.
- Mulai 1 Mac 2026, kita telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak paket bersubsidi 1kilogram kepada bukan warganegara. Ini wajar, mana mungkin subsidi diberikan kepada warganegara. Ini yang kita laksanakan dulu dalam program elektrik, BUDI95 dan juga minyak. Jadi kita berikan subsidi yang tinggi untuk rakyat, tapi dibeli dalam jumlah yang besar oleh bukan warganegara, kadang dia jual pula ke luar negara. Oleh sebab itu, saya setuju dengan cadangan kementerian supaya meneruskan dan memohon saudara-saudara pastikan perlaksanaan itu berkesan. Kalau ada yang cuba seludup dan sebagainya harus tegas dalam tindakan kita. Jadi kita jalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
- Baik, itu isu KPDN. Orang kata kalau dah bagi itu tak akan terima kasih sahaja. Yang itu kita tunggu sekejap. Saya nak sebut di sini, terima kasih Datuk Johan kerana dia bagi nota Kementerian Kewangan, iaitu tentang bayaran STR Fasa Dua. Kita awalkan bayarannya. STR Fasa Dua dibayar dulu bulan April 2025, tapi kita awalkan kerana kita nak sambut bulan Ramadan dan kita nak sambut Aidilfitri, jadi kita awalkan pada 10 Mac 2026, saudara akan dapat dalam akaun STR Fasa Dua. Jadi peringkat pertama diawalkan pada 10 Mac melibatkan 3 bilion ringgit untuk 5 juta penerima STR supaya dapat dinikmati menjelang Hari Raya Aidilfitri. Jadi mula berperingkat mulai 10 Mac.
- Walaubagaimanapun semalam di Pulau Pinang dan di Kedah, dua malam sudah, saya pesan ini ekonomi Selat Hormuz ditutup, 300 tankers oil, gas, barang-barang keperluan termasuk makanan dan makanan haiwan untuk kegunaan di sini, tersekat di Selat Hormuz. 200 tankers. Qatar telah mengumumkan akan menghentikan pengeluaran gas sebahagian besarnya dan juga negara-negara lain, minyak. Ini semua akan menyebabkan kekangan dan kesan ekonomi dunia. Bila Selat Hormuz ditutup dan sekatan laluan Laut Merah, maka kos pengangkutan dua kali ganda, tiga kali ganda. Penerbangan umpamanya dari Arab Saudi, dia tak boleh terus, dia mesti melalui Turkiye dan negara laluan negara China, baru turun ke bawah dengan kos yang lebih tinggi.
- Jadi sebab itu kita cermatlah sikit berhemah dalam belanja dalam persiapan, kalau ingat siapa baca Surah Yusuf Kisah Nabi Allah Yusuf AS, selalunya bila keadaan kita jenuh ekonomi mewah kita lupa. Diperingatkan tujuh tahun ekonomi lumayan dan mewah, harus sentiasa memperingatkan kita tujuh tahun ekonomi gersang atau gersang ekonomi. Itu sebagai peringatan kepada kita bila kita dalam keadaan mewah, kita cermat sedikit simpan di ASB ke mana ke, simpan sikit. Kuih kalau selalu buat 10, jadi 4. Terutama majlis buka puasa, kurangkan sikit.
- Baik, Bayaran Bantuan Khas Kewangan 2026, saya dah umum dalam belanjawan untuk penjawat awam, iaitu sebanyak RM500, BKK akan disalurkan pada 13 Mac, Gred 15 ke bawah termasuk lantikan kontrak RM500. Kita ini mesti syukur. La’in shakartum la’azidannakum wa la’in kafartum inna ‘adhabi lashadid. Kita Syukur, saya tak kata terima kasih kepada saya, saya kata syukur. Syukur kepada Allah Ta’ala. Ini termasuk pesara Kerajaan dan veteran yang berpencen dan tidak berpencen pun dapat RM250 pada tarikh yang sama iaitu 13 Mac. Bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan.
- Bagaimana kepada Imam, Bilal, Tok Siak, Noja, Marbut, Guru Kafa dan Takmir? 70,000 orang semuanya. Kita juga salurkan Bantuan Khas mulai 13 Mac sebanyak RM500 ringgit.
- Saya bincang dengan Saudara Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, kerana ramai daripada Sarawak, Sabah, jadi kita turunkan FLYsiswa. Ini Armizan punya favourite subject. Dia tak kira orang Pulau Pinang belanja macam mana, dia kira di Sabah. Baik, jadi tiket penerbangan bernilai RM400 ringgit, ya ini subsidi. Subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 ringgit bagi mengurangkan beban pelajar pendidikan tinggi awam bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
- Tapi oleh kerana masih ada keluhan, jadi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac yang lalu telah meluluskan perluasan bantuan subsidi FLYsiswa daripada IPTA, dia termasuk sekarang tambah lagi untuk ASWARA, ILJTM, Universiti separa Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi oleh Kerajaan Negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi. Ini akan melibatkan dan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar Tahun 2026 ketimbang 44,000 pada tahun lalu.
- Ini di antara bila dalam mesyuarat dengan KSN dan KPPA. Dalam mesyuarat JPA ini selalu dibangkitkan tentang pelaksanaan SSPA. Di belakang SSPA ini kata masih ada keperluan diperbaiki. Kepada siapa? Oleh kerana ramai yang dimasuk bawah Pembantu Tadbir Perkeranian dan Kewangan. Tidak lah pada KSU sebenarnya, itu okay lah tapi di bawah sekali. Ada ke ni yang hadir, Pembantu Tadbir Perkeranian dan Kewangan? Ada? Okay, jadi tak minta tak payah, ok semua kan? Alhamdulillah. Tapi tak ada. Saya tahu jumlahnya itu 125,000 orang dan walaupun ada kenaikan ikut SSPA tetapi ada keperluan untuk jaga kategori yang terendah ini ditingkatkan sikit. Setuju kan? Tadi kata tak payah. Betul setuju?
- Baik, jadi oleh sebab keperluan kerja, saya telah minta JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada dari Gred 1 naik ke Gred 5. Untuk 125,000 orang Pembantu Pengkeranian dan Kewangan tertakluk pada satu sahaja syarat. Syaratnya pergi ke kursus 5 tahun (nada seloroh). Elok-elok pencen terus dapat. Dak, dak, dak saya bergurau sahaja. Syaratnya iaitu tempoh perkhidmatan kelayakan, kita tengok ada tempoh dan kita bagi kursus khas yang sesuai dan kursus khas itu saya kira sekitar 2 minggu, itu JPA sedang uruskan cadangan ini. Syaratnya itu supaya kita nak pastikan dia ikuti perkembangan, kelayakannya, sedikit pendedahan tentang IT, itu sahaja. Jadi mungkin sekitar 2 minggu atau lebih kurang begitu. Boleh? Sekitar 2 minggu kursus? Nak naik pangkat tinggi, kursus tak mahu, tak payah. Okay ya? Dia angguk 3 kali. Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka dan kita cuba jalankan dan laksanakan pada tahun ini juga. Maksudnya dalam tempoh 6 bulan, KSN maklumkan kita boleh selesaikan kursus bagi 125,000 ini dan supaya kita laksanakan selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan kenaikan pangkat ini.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Saudara Menteri Armizan dan seluruh jentera di sini, dan kita hargai sumbangan saudara-saudara dan saya juga sempat ikuti juga beberapa Jualan Rahmah ini dan kerana dia dapat mengurangkan kos dan menggalakkan penyertaan pekerjaan di peringkat rendah. Saya ucap terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada rakan di Kementerian dan rakan-rakan penjawat awam seluruhnya.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
