TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1447H/2026M
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1447H/2026M
PADA
13 APRIL 2026 (ISNIN) | 8.55 MALAM
KOMPLEKS SUKAN NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, TERENGGANU
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab,
Walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar,
Menteri Besar Terengganu;
YAM Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu,
YAM Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah;
Saudara Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,
Menteri Komunikasi;
Ketua Setiausaha Negara;
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Ketua Pengarah JAKIM; dan
Pihak penganjur.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada malam ini meneruskan acara tahunan, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447 Hijri. Mudah-mudahan, sepertimana yang dilafazkan oleh Saudara Menteri Besar yang memberikan kesan dari segi memaknai acara yang membaca, melahirkan apa yang pernah diungkapkan oleh seorang tokoh Islam, “Jillun Quraniyun Fareed” – generasi yang menghayati al-Quran melaksanakan dan kerana itu ia menjadi suatu keistimewaan dan unik.
- Keunikannya ialah kerana membaca, menghafaz, mengamal, menghayati sehingga ia menjadi suatu yang tertanam di dalamnya roh dan memberikan keberkatan dan kekuatan, kerana keunikan itu terpancar dari hasrat menzahir dan melaksanakan cita-cita, pengajaran, pedoman, lahir dalam al-Quranul Karim.
Saudara-saudara yang dimuliakan,
- Pada malam ini kita adakan majlis dan seperti yang dibacakan doa oleh Imam tadi, dalam keadaan umat Islam terus dengan kepincangan, kegawatan dan kali ini lebih rumit akibat serangan Zionis Israel dengan sekutunya Amerika Syarikat ke atas Iran, yang berlanjutan lebih satu bulan setengah, percubaan untuk mengadakan Majlis Perdamaian di Islamabad, masih belum ada titik noktahnya. Tetapi yang nyata ialah keganasan oleh Israel itu bukan suatu permulaan dan berterusan selama lebih tujuh dasawarsa atau dekad. Menggeledah, menghancurkan bumi Palestine dan khususnya Gaza, terus ke selatan Lebanon dan sekarang Republik Islam Iran.
- Kita mendoakan kepada Allah S.W.T mudah-mudahan timbul kekuatan bukan sahaja di kalangan rakan-rakan kita di negara Iran, tetapi negara-negara Teluk dan negara-negara Islam untuk memperoleh pengajaran dari pengalaman perit yang telah dilalui.
- Seperti yang telah saya ungkapkan tadi depan anak-anak di Kolej Matrikulasi dan Sekolah Menengah Agama, mesti tiap peristiwa semestinya memberikan pengajaran kepada kita bahawa ada keperluan untuk kita meningkatkan usaha kita menanam kesedaran dan melaksanakan program yang lebih bermakna.
- Dalam sistem pendidikan negara, dalam Kerajaan Madani ini, kita perkenalkan apa yang disebut usaha memiliki ilmu dan menerokai ilmu dalam semua bidang. Menguasai teknologi baru, teknologi maklumat, artificial intelligence. Tapi dalam masa yang sama, tidak meninggalkan landasan tradisi kita. Itu yang dimaksudkan dengan menggapai di langit, mengakar di bumi. Kita seolah-olah “menggapai di langit, mengakar ke bumi”.
- Jadi saya bangga. Tahniah kepada Menteri Besar dan rakan-rakan di Terengganu, kerana terus mempelopori usaha, memastikan anak-anak menjadi huffaz, dalam masa yang sama menguasai ilmu dan teknologi baharu dalam bidang sains, teknologi dan juga teknologi maklumat dan artificial intelligence seperti yang baru. Ini sahaja persiapan yang boleh kita jangka akan memecahkan tembok yang menghalang kita.
- Sekitar 50 tahun yang lalu, pemikir Islam, yang telah menyatakan tentang “Malaise of the Ummah”, almarhum Ismail Faruqi. “Malaise of the Ummah” itu kerana belum ada cukup kesedaran dan persiapan untuk mengetahui bahawa harus ada dibina kekuatan, akidahnya, akhlaknya, sahsiahnya, tapi dengan kepintaran dan kehandalan dan penguasan ilmu yang mendalam.
- Malaise itu turut bercakap, sebab itu di negara Islam, tidak ada keupayaan dan kekuatan. Saya tidak berdalih untuk menyatakan bahawa pengalaman kita mutakhir ini dengan negara Iran, menunjukkan bahawa persiapan dari sudut ilmu dan teknologi itu sangat kritikal.
- Sebelum ini, setiap kali serangan Israel dan sekutunya di Amerika Syarikat, itu hampir tidak berupaya dibalas. Hanya kali ini, kita melihat, zahirnya kekuatan baru, sekurang-kurangnya dapat menunjukkan melalui kekuatan semangat dan daya juang dan roh jihad, tapi disertai dengan kekuatan teknologi dan kecanggihan yang masih kita terokai.
- Itu sebab saya katakan “Malaise of the Ummah” dalam kategori ini harus meletakkan kita dan menambah kesedaran untuk meningkatkan segala usaha mempersiapkan generasi kita untuk menguasai ilmu, tapi berpangkal kepada kesedaran Islam, al-Quranul Karim dan juga ilmu teknologi baru.
- Tadi juga saya sebut tentang perubahan yang diperlukan dalam negara kita. Tatkala kita tercengkam dengan serangan penjajah, seluruh kekuatan asas kita, penguasanya, pentadbirnya, sistem pendidikannya, ekonomi, dikuasai pemikiran dan sistemnya oleh penjajah.
- Dan saya rungkai umpamanya, sama ada rencana “minutes of the setting up of a Malay College” oleh Stamford Raffles di Singapura, atau Lord Cromer di Mesir, Macaulay di India, dan yang lebih canggih dan sinister dan jahat ialah Snouck Hurgronje di Indonesia. Yang mereka lakukan ialah perencanaan bukan untuk menghilangkan sama sekali imej dan hamparan Islam yang nyata, tetapi membenamkan roh dan kesedaran agama supaya Islam itu tinggal ritual yang basic tanpa kesedaran tanpa kekuatan.
- Maka seluruh sistem itu dipunggah. Generasi baru termasuk pasca merdeka itu terus kagum dengan kekuatan Barat, teknologi Barat, pemikiran Barat, sistem pendidikan Barat sehinggakan merasakan kalau nukil teori Ibnu Khaldun, negara yang dijajah itu ditawan negaranya, ditawan pemikirannya, ditawan rohnya. Ulama Mesir, Sheikh Muhammad Al-Ghazali pada tahun 70-an menulis tentang “isti’amar ruhi wa fikri” – penjajahan pemikiran dan jiwa.
- Oleh itu dalam sistem pendidikan kita ini, kita tercabar untuk berbuat sesuatu, merombak supaya kekal dengan landasan pangkalnya, mengakarnya di bumi dan tradisi al-Quran dan tradisi ilmu Islam dan Turath, tetapi dalam masa yang sama menerobos ke bidang baharu, meneroka pemikiran baharu termasuk apa yang dikatakan teknologi baharu, teknologi maklumat dan Artificial Intelligence (Ai).
- Saya rumuskan dengan mengatakan bahawa memang sistem penjajah di seluruh dunia Islam itu berhasil. Merobohkan kekuatan lama, tanpa upaya membina yang baru, dan dengan pengalaman kita di Malaysia, ada di Kepulauan Melayu, di Indonesia, dengan sistem pondok dan pesantren di Indonesia, itu semuanya sistem kita dirobahkan, melainkan sistem pondok tradisional yang pernah disebut oleh pemimpin Islam Indonesia, Muhammad Natsir sebagai yang kekal mempertahankan Islam dalam erti yang murni adalah pesantren dan pondok. Satu-satunya benteng pertahanan iman, akal, kesedaran, dan roh perjuangan umat.
- Maka kalau pada hari ini kita mahu pertahankan, kita mesti pertahankan dengan kesedaran Islam, kita kena pertahankan dengan ilmu, kita kena pertahankan dengan teknologi baharu.
- Dan mudah-mudahan kita dapat semai semangat ini dalam negara kita bahawa kepincangan yang berlaku itu menginsafkan kita bahawa sesuatu yang lebih harus dilakukan oleh jentera Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan seluruh umat memberi makna supaya penghayatan dari tilawah dan hafazan al-Quran itu membawa suatu bentuk pemikiran baru dalam negara kita. Iaitu mengekalkan, menambat hati kepada roh Islam yang berpangkal pada al-Qurannul Karim dan dalam masa yang sama gigih, keras menguasai teknologi baharu, teknologi maklumat dan apa yang disedar sebagai Artificial Intelligence dalam kerangka nilai Islam itu sendiri. Tidak ada ilmu yang boleh diterima tanpa terikat dengan akal budi, akhlak dan nilai.
- Sekali lagi, saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Agama, Dr. Zulkifli Hasan dan JAKIM, dan seluruh jentera yang membantu menjayakan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447 Hijri.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
