TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SEMARAK WAKAF PERDANA 2026 “MENGHARGAI BAKTI, MEREALISASI PEMBANGUNAN WAKAF”

29 November 2026

 

 

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS SEMARAK WAKAF PERDANA 2026

“Menghargai Bakti, Merealisasi Pembangunan Wakaf”

 

 

29 NOVEMBER 2026 | AHAD | 11.00 PAGI

ICONIC MARJORIE HOTEL,

BAYAN LEPAS, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillahilladzi anzala ala abdihilkitaabawalamyajallahu iwaja, Wa usolli wanusallimu alal rasoolihil karim waala alihi wasahbihi ajmain.

 

Saudara Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP);

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Setiausaha Kerajaan Negeri;

 

Sahibus Samahah Mufti;

 

Yang Berusaha Tuan Abdul Mohsein bin Mohd Shariff,

Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dapat sama-sama menjayakan Peluncuran Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026. Pulau Pinang tentunya saya ikuti dari dulu, kerana keupayaan Kerajaan Negeri menyediakan dana RM145 juta yang sebenarnya dana khas Bumiputera. Bagaimana kita peroleh dana itu? Saya ingat tahun awal 90-an, tiap perumahan baru kita memang khususkan beberapa peratus perumahan untuk Bumiputera. Ada beberapa kawasan yang Bumiputera tak mampu kuasai, tapi setelah mereka buat rayuan, dilepaskan.

 

  1. Kemudian saya memutuskan pada masa itu, tatkala mempengerusikan Mesyuarat Pemandu Bumiputera, saya kata, mengapa lupuskan? Dia patut bayar kepada satu tabung khas di Pulau Pinang. Tabung khas Pembangunan Bumiputera. Jadi dana itulah kemudian dikumpul, kemudian dimanfaatkan dan setelah dirujuk kepada Majlis Fatwa, kemudian sekarang ini menjadi salah satu daripada projek yang diluluskan dengan dana RM145 juta.

 

  1. Apakah mesej yang saya nak sampaikan? Pertama, wakaf ini pun masih ada kaitan dengan tatakelola. Berapa banyak jaminan wakaf, dana wakaf itu diurus dengan baik, dengan bersih? Itu satu ujian. Keduanya, ditadbir dengan bijak, mesti ada perencanaannya. Kalau tidak institusi wakaf dalam tradisi Islam, ustaz-ustaz lebih arif daripada saya lah, tapi setakat yang saya ikuti, itu sebagai tonggak kekuatan ekonomi.

 

  1. Zakat, wakaq yang membina gedung-gedung universiti, pusat-pusat ilmu Islam, universiti pertama, itu semua al-Azhar itu lebih terkenal, itu semua daripada dana wakaf asalnya. Maknanya ulama-ulama silam, pemimpin-pemimpin dan negarawan dia memikirkan masa depan dan betapa pun kelemahan-kelemahan masa itu, pengurusannya baik dan kesannya ada. Ini cabaran kepada kita kerana dana yang besar, pengurusannya itu lemah. Dan kita tidak dilatih. Saya kurang faham, minta maaf, Mufti ada, ustaz terkenal. Seolah-olah wakaf, tatakelola, pengurusan, itu tidak menjadi sebahagian sebati daripada umat.

 

  1. Bayangkan bagaimana negeri yang pada masa itu relatif lebih mundur dan miskin, Mesir. Boleh membangunkan universiti agung bagi umat Islam. Atau pun Universiti al-Qarawiyyin di Morocco, yang dianggap universiti pertama. Bagaimana? Bukan semua orang pintar. Bukan ramai ulama ataupun sarjana. Tetapi pentadbiranya itu jelas, diurus dengan baik, dengan amanah. Jadi ada kesannya. Kalau dinilai harga Universiti al-Azhar itu sudah berbilion ringgit dari segi nilai, tapi permulaannya itu dengan apa yang dikatakan good governance. Sebab itu saya tahu kadang-kadang rakan-rakan saya sendiripun, dia lelah, dia meluat dengar kita bercakap tatakelola, tadbir urus tapi itu permulaannya.

 

  1. Kita bercakap pasal wakaf, kalau tadbir urus itu, meletakkan orang yang tidak mempunyai kemahiran, kepakaran, wang itu terperap di situ ataupun tidak ada keberanian, maka wang yang diperap itu di situ, maka dibawa kepada Kerajaan Negeri dan saya ucap terima kasih Ketua Menteri, itu dia terima. Dananya Bumiputera, bagi balik dan serahkan kepada pimpinan Bumiputera untuk mengemukakan cadangan membangunkannya. Ini yang dilakukan, saudara-saudara. Jadi jangan pandang remeh soal amanah, tatakelola, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berlaku.

 

  1. Ini kita baru nak dapat RM145 juta, yang kebetulan saya juga Menteri Kewangan, nak tambah RM230 juta, nak mula, nak percepatkan, itu saya boleh, tak ada masalah. Mana KSP ada? Ha ya, dia pun ada, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan. Dia kata, okey, kita nak, kerana ini usaha yang bagi saya, sangat membanggakan, Alhamdulillah. Kita boleh jadikan ini contoh bagi negeri-negeri lain. Maka, okey. Mohamad tengok, nak mulakan takpelah kita nak bagi. Khas untuk kerana hebatnya projek seperti ini, nak cepatkan RM30 juta kita tambah lagi daripada Kerajaan Persekutuan.

 

  1. Tapi ini bagi saya, mohon maaf saya Ustaz. Ini apa erti 30 juta, 145 juta? Rugi Tabung Haji hilang 10 bilion, FELDA 10 bilion, bayar 1MDB puluh bilion. 30-40 bilion ini sepatutnya dicurahkan, tak payah ada tabung khas, tapi itu pun menjadi masalah. Bila kita ketengahkan, kita bertempur dengan….,ada ustaz-ustaz, ada tok guru, ada kelompok Islam yang kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apa! 30 bilion wang orang Melayu, orang Islam, dilempar begitu sahaja. Jadi saudara-saudara, saya mohon maaf, saya hari ini memang terkesan sangat. Ya, kerana saya pikul amanah sekarang. Saya masih boleh mampu memberi penjelasan menarik. Tak apalah, kamu sikap apa pun.

 

  1. Bagaimana boleh? Berhempas pulas dah kita bongkar seluruhnya pasal Tabung Haji, masih lagi, “tak ada, mana ada sakau, mana ada hilang, ini cerita Guang Eng.” Tak boleh kena sabar banyak, mufti ada. Masih ada pandangan ini. Bacalah, lihatlah laporan. Jangan semua nak dijadikan satu pertikaian politik. Tak apa kritik ke saya, saya tak ada masalah, tapi yang satu saya tak buat, bukan saya tak ambil gaji saja, saya tak ambil wang, saya tak ambil wang dana Kerajaan, ambil untuk tanah ke, untuk saham ke, untuk balak, saya tak ambil. Sebab itu, saya berani luahkan, tapi janganlah kita terus mendewa-dewakan, curi sikit tak apalah takkan jadi Perdana Menteri tak curi. Ini budaya sesat bagi saya. Jadi saya harap Pengerusi Jawatankuasa masjid yang ada, terangkanlah, selamatkanlah umat kita.

 

  1. Ini bukan masalah DAP ke Cina di Pulau Pinang ini. Tanya dia ni orang kita, orang Melayu ramai, bagi peruntukan, bagi projek, tingkatkan jumlah dana untuk Majlis Agama Islam, dana Majlis Agama Islam di Pulau Pinang ni lebih tinggi daripada banyak negeri-negeri lain. Itu kenyataannya, tapi oleh kerana sentimen kita ini, saya tidak faham dari mana budaya Islam yang mana mengajar kita begitu rupa. Ya seolah-olah bila kita cakap begini saya ini mewakili pandangan yang liberal dan tolak ansur kepada bukan Islam. Saya tak faham. Astagfirullahalazim, dari sudut program Islam, empat tahun Kerajaan MADANI itu jauh lebih baik dari mana-mana Kerajaan sebelum ini, baik dari dana, baik dari segi projek, dari segi kurikulum sekolah, ada perubahan. Apakah ia sempurna? Banyak kelemahan? Ya. Banyak boleh kita bawa perubahan? Ya. Sebab itu, in uridu illa al-islah mastafa’atu. Betul. Kita daya upaya kita, tapi masih harus kita usahakan.

 

  1. Kerana semua ini terpadam. Program Islam, dana Islam paling banyak. Ada tak kelemahan kadang-kadang satu dua orang jerit kat bawah yang masalah-masalah? Ada tak kelemahan kadang-kadang kita terlepas pandang? Ada. Tapi tidak boleh padam kenyataan yang sebenar. Untuk Bumiputera, saya umumkan. Daripada Merdeka tahun 1957 di bawah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sampai sekarang, mana ada pimpinan yang sanggup isytiharkan tanah paling berharga di Kuala Lumpur bagi tanah rizab Melayu? Kita isytiharkan kepada Bandar Malaysia. Ada ini diuar-uarkan? Dak. Yang dimaki sumpah seranah itu semua yang apa yang kita satu dua perkara yang belum kita buat.

 

 

 

  1. Apakah mudah? Tidak mudah. Tapi Alhamdulillah dengan Kerajaan MADANI, saya tentu saya panggil Saudara Anthony Loke sebagai seorang pemimpin DAP, saya bagi tahu ini rancangan. Cuma dia tanya, “Apa rasionalnya?” Saya jelaskan Tanah Melayu Kuala Lumpur ini banyak terhakis. Dijual, dijual kadang-kadang agen Melayu, kadang-kadang agen parti Melayu, menjadi Pulau Pinang lah. Slogannya “Hidup Melayu”, “Ketuanan Melayu”, tapi agen jual tanah Melayu kepada orang lain. Baik. Bila saya tanya, beritahu Anthony Loke, dia kata, “Okey, I understand.” Saya bawa ke Kabinet. Setuju semua. Jadi, bagi saya tak ada masalah. Yang bangkit masalah tu di luar, pengalaman saya tak ada masalah.

 

  1. Apa dia program Bumiputera dan Melayu dan Islam yang dibantah oleh mereka? Orang cakap di luar dan beritahu. Beritahu saya apa yang mereka bantah. Setakat yang saya faham, tidak. Orang nak jerit di luar, kenyataan media, ada seorang dua tak sokong, tu biasa lah. Kalau tak mahu tu semua, isytihar negara ini negara darurat, diktator, tak payah ada suara, tak ada kritikan. Adakah semua kenyataan itu saya setuju? Saya tidak, tetapi dalam menggubal dasar, melakar acara dan program, kita laksanakan dengan sedaya upaya dan sebaiknya, kerana bagi saya, negeri ini negeri yang meletakkan Islam Agama Persekutuan mesti dimartabatkan. Negeri ini, induknya masih Melayu Bumiputera. Tak boleh lari ke mana. Tetapi, negeri ini tidak akan selamat kalau kita izinkan orang rasuah dan menyakau sesuka hati. Asalkan dia Melayu, tak apalah.

 

  1. Ini saya rasa, satu kesilapan besar kita yang mesti kita betulkan. Apalagi di Pulau Pinang. Dan negeri ini juga oleh kerana kepelbagaian yang ada, mesti menyantuni semua. Saya bukan seorang yang alim. Masuk kategori kumpulan ulama, tidak. Tetapi saya dibesarkan dalam budaya sedemikian. Dari muda tarbiah, usrah mingguan, hafalan yang setakat ni yang saya mampu. Saya masih ingat lagi naqib kita masa itu, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Ghani Samsuddin, Nakhaie, Haji Ahmad, masa ABIM. Mereka sahabat-sahabat tetapi sangat strict manhaj tarbiyah dan hafalan. Dan ada kesedaran dan hubungan kita dengan ulama-ulama kita dengar dalam negara dan luar negara. Sebab itu bukan saya nak uar-uar kononnya saya baik dengan Syed Yusof al-Qaradawi, tapi memang saya anggap dia sebagai guru, sentiasa ada hubungan dengan dia, dan sekarang pengganti Ketua Ulama Sedunia iaitu Syed Mahyudin Al-Qaradawi yang masih ada di Kuala Lumpur.

 

  1. Baru-baru ini hadis yang terkemuka Syeikh Abu Bakar Kerala Al-Hindi. Dia datang. Saya belum pernah dengar Ali Jum’ah dari Mesir, mantan Mufti. Saya belum pernah dengar sikap mereka yang keras tak tentu arah. Menanam kebencian, memunafikan orang dengan mudah, mengkafirkan orang dengan mudah, tak setuju sikit terus agenda Dajal, tak pernah saya dengar. Kerana apa? Mereka guna “Bil-hikmati wal-mau’izatil-hasanah, wa jadilhum bil-lati hiya ahsan.”

 

  1. Mereka semua tahu negara ini 60% umat Islam dan sentiasa mengingatkan saya, “Anwar, nak berjaya santuni yang lain,” dan terang-terang mereka selalu sebut konteks Malaysia ini. Kejayaan kita itu kalau kita tegas dalam soal Islam, tapi menyantuni mereka yang lain kerana yang bukan Islam tu bukan bodoh, bukan diminta dukung tanpa ada pendirian masing-masing. Dan mereka ingat kita “walaqad karamna bani Adam”, mereka mengingat kita tentang apa yang pernah diungkap oleh Saidina Ali. Boleh tak tanam supaya ada perasaan ukhuwah dan persaudaraan yang kukuh di kalangan umat Islam ke arah perpaduan umat? Di samping itu, mengajak rakan-rakan lain. Jangan harus terus mengatakan dia kafir harbi terus. Tidak, dia kata, mesti tarik mereka, kerana mereka…

 

  1. Dia tanya saya, saya ingat Syeikh al-Qaradawi. Buku ini saya bincang dengan Syeikh al-Qaradawi, saya cerita pasal itu. Dia tanya, “Mereka ni warganegara atau tidak?” Saya kata warganegara. “Mereka ni bayar cukai atau tidak?” Ya, bayar cukai. “Mereka ini menghalang tak kalau program-program kita itu membawa sesama Islam, Jabatan Agama?” Saya kata, kritikan itu ada, tapi halangan tidak kerana kita masih majoriti dan berkuasa. Jadi nasihat mereka kepada saya, sebelum dan selepas jadi Perdana Menteri, “Anwar, santuni mereka, menangi hati mereka.” Tapi saya kata, mereka sebahagian terima Islam, sebahagiannya tidak. Islam atau bukan Islam bukan urusan kamu. Ini soal hidayah Allah S.W.T. Urusan kamu tadbir dengan adil, supaya mereka melihat kamu itu tokoh dan sosok yang kasih kepada mereka, kerana mereka yang taat dan kasih kepada kamu, maka jagalah mereka dan santuni mereka.

 

  1. Jadi, soal-soal ini saya nak dengar daripada siapa? Dia hanya bagi contoh, saya ingat, bila ditanya Saidina Ali bin Abi Talib r.a. hubungan Islam sesama Islam, dan Islam dengan bukan Islam. Itu soalan yang berat tu. Saya kira, macam mana nak jawab ni? Tapi dia jawab Saidina Ali bin Abi Talib r.a., bila ditanya bagaimana hubungan Islam sama Islam? “Akhukum fid-din”, jelas. Saudara kamu dalam “Deen”, dalam agama. Saya berdetap, macam mana nak sebut bagaimana Islam dengan bukan Islam. Ada dua perbedaan istilah yang disebut, tapi yang digunakan; satu, “akhukum fid-din innamal mu’minuna ikhwah” jadi, “akhukum fid-din.” Satu lagi, di kalangan bukan Islam, dia sebut “akhukum fil-insaniyyah.” Saudara kamu, istilahnya masih “akhukum, tapi fil-insaniyyah.” Ini yang dikatakan teori kemanusiaan. Alhamdulillahirabbil ‘alamin, itu sekalian alam.

 

  1. Jadi kita cubalah didik supaya mereka rasa, kalaupun tidak menerima Islam sepenuhnya, dia dapat menyantuni dan tidak menganggap musuh. Kerana sistem geopolitik dan dunia ini tidak senang dengan Islam. Islamofobia itu membara di Barat, di Amerika. Tetapi kebijaksanaan beberapa orang menyantuni. Kalau tidak, tak menang Kongres, tak menang jadi Senator di Amerika Syarikat. Kalau diambil pandangan bebal, marah, maki orang, tak tentu arah. Sebab itu, hikmah dan kebijaksanaan itu harus ada.

 

  1. Jadi, apa kaitan dengan wakaf ini? Sebab dana ini RM145 juta. Punca mulanya dari negeri. Tetapi kita bawa ini sebagai Bumiputera. Seperti dalam dana Kerajaan Malaysia yang kita buat banyak projek, Tan Sri Khalid tiada di sini? Yang kita lakukan terhadap Bumiputera, saya beritahu SUK cari jalan tambah. Apa pun yang ditafsirkan mengenai kedudukan Melayu Pulau Pinang dari segi perumahan, dari segi projek, dari segi masalah orang Melayu, kemiskinan itu masih saya pantau sendiri. Saya kebetulan diamanah sebagai Menteri Kewangan. Jauh lebih baik daripada kedudukan negeri-negeri yang lain.

 

  1. Maknanya pimpinan kita, saya selalu pesan kepada Dr. Mohamad, dengan Exco-Exco kita, dengan SUK. SUK tiap kali yang baru, walaupun dipersetujui oleh Kerajaan Negeri, KSN ada, sebaik setuju, saya pesan memang agendanya mesti jaga negeri, mesti tumpu pembangunan negeri, tetapi ada peranan khusus untuk jaga kepentingan Melayu Pulau Pinang dan martabatkannya.

 

  1. Jadi inilah yang saya nak sampaikan. Tentang projek-projek itu, Dato’ Mohamad dah sebut dah. Saya pun bukan… ini minta maaflah, balik Pulau Pinang ni, kadang-kadang kalau nak luah lebih-lebih pun di sinilah, tang mana lagi kan? Jadi kalau nampak, “Eh, apa garang sangat Anwar ni?”, pasal ini tempat saya luahkan isi hati saya. Semuanya tidak mudah. Cakaplah apa pembangunan, kerja macam mana apa, tarik.

 

  1. Kalau kita tak baik dengan negara lain, kita negara kecil, nak musuh buat apa? Bukan menyerah, saya tak serah. Tanya saya, baik dengan China, memang luar biasa baik dengan Kerajaan Negara China, dengan Presiden Xi Jinping. Kita kalau pergi tu memang dia layan istimewa. Untuk apa? Untuk jaga supaya negeri kita ini jangan diganggu. Dengan Amerika Syarikat? Oh, marahlah saya ni sikit dengan Presiden Trump. Tambah jumpa, China dia tarik tangan saya lagi pula. Ada yang kutuk, “Tengok tu, tengok tu, ejen Amerika.” Takkanlah aku ni, tua macam ni nak jadi ejen orang ni?”. Tapi sebab apa? Sebab suka tak suka, pelaburan tertinggi, perdagangan tertinggi Malaysia itu dengan Amerika Syarikat. Suka tak suka, China itu negara gergasi sekarang, dan sebelah kita.

 

  1. Sebab itu dulu-dulu, kadang-kadang saya tengok zaman Kesultanan Melayu Melaka lebih cerdik daripada sebahagian daripada kita. Dia tahu nak survive, dia jalin hubungan yang sangat baik dengan negara China sampai ada yang katakan cerita bunga emas. Benda ini bukan menyerah wilayah, tapi nak jaga, kerana kuasa besar itu mesti disantuni supaya jangan jadi masalah kepada kita.

 

  1. Semua tahu bahawa keselamatan kita juga sekarang Alhamdulillah, tapi saya dah minta Majlis Keselamatan Negara memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad Israel itu daripada pangkalan negara jiran sangat kuat dalam 3–4 tahun ini naik tiga, empat kali, tiga kali kekuatan dia. Tanah-tanah yang dikuasai oleh Israel itu sudah dibeli, bukan sahaja di Phuket dan di Bangkok, tapi juga di Selatan Siam. Orang tanya apa halnya? Maknanya kita kena awasilah. Kita kena baik dengan negara jiran supaya dapat kita tangani hal ini. Dan keduanya, kita kena waspada supaya kekuatan kita itu ada.

 

  1. Ini saja yang nak disampaikan sebelum kita jayakan betul-betul projek wakaf, Semarak Wakaf Pulau Pinang ini. Akhirul kalam, tentang wakaf saya dah beritahu kepada saudara Dr. Mohamad, dah lulus, yang ini segerakan. Saya nak fast track. Saya tak nak berlarut-larut macam projek-projek lain. Kita nak jadikan contoh. Jadi SS tolong pantau, saya nak ini fast track. Ada masalah proses tender, kita boleh dapat kelulusan khas daripada Kementerian Kewangan. Yang kita kata tender ini sebab amalan mencuri dan sakau ini banyak sangat. Jadi peraturan kita mesti patuhi. Kalau kita bagi kelonggaran sikit ni, kelonggaran ni mesti komisen, tak habis-habis komisen, ini penyakit.

 

  1. Petang ini saya nak ke TUDM. Bocor sana, tangkap di Polis lagi, tangkap di pelabuhan lagi, sekarang tangkap pula di TUDM. Jadi semua orang suka saya ke? Saya terpaksa turun ke TUDM bagi tahu, saya bukan musuh saudara-saudara. Saya musuh orang duk khianat, guna pesawat tentera udara, bawa dadah, pakat dengan bukan jeneral di sini, pakat dengan negara asing. Sebab apa? Kita longgar sebab budaya kita, systemic rasuah ini. Sebab dalam dakwah kita itu lembut “Tak apalah, ini bukan hudud, bukan hukuman pancung, potong tangan.” Jadi pandang ringan, ini berbilion ringgit hilang.

 

  1. Jadi mudah-mudahan Allah selamatkan kita dan jadikan program Wakaf sebagai satu serpihan daripada program besar untuk mengangkat martabat umat.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

 

Share: