TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN HARI PEKERJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2026 “PEKERJA MADANI, KESUMA BANGSA”

1 Mei 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI PEKERJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2026

 

“PEKERJA MADANI, KESUMA BANGSA”

  

1 MEI 2026 (JUMAAT) | 8.30 PAGI
UNIFI ARENA

KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil a’lamin

Nahmaduhu wa nusalli ala Muhammad rasoolillah kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan,

Menteri Sumber Manusia;

 

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia;

 

Tetamu-tetamu, dan penting sekali kita semua pekerja pada hari ini!

 

  1. Hari ini kita teruskan satu acara yang punyai sejarah yang tersendiri. Mulanya Hari Pekerja atau Hari Buroh sebelumnya, Labour Day. Itu melambangkan kebangkitan golongan pekerja yang resah dengan tekanan dan penindasan.

 

  1. Hari Pekerja ini sebenarnya lahir dari gelojak kebangkitan rakyat, memberi kesedaran kepada penguasa syarikat-syarikat besar bahawa tidak mungkin kita capai tahap pembangunan, tidak mungkin jalan raya bersih, tidak mungkin hospital terkawal, dan yang lebih penting tidak mungkin pertahanan negara terjamin tanpa pekerjanya.

 

  1. Oleh itu, sambutan ini pertamanya harus menginsafkan, dan keduanya harus mendorong. Apa yang harus diinsafkan? Kepada semua, supaya ada pengiktirafan yang wajar.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Dato’ Seri Zahid ada, saya nak lakarkan secara terus terang. Ini protokol-protokol yang ada ini meletihkan. Jadi saya nak bicara Haathi Mere Saathi – hati ke hati. Ia tidak mudah kerana negara ini dicatur tentunya oleh parti, oleh kelompok-kelompok yang cukup berpengaruh, oleh intelek-intelek yang pintar. Dan umumnya mereka diwakili golongan kelompok atasan. Walaupun negara merdeka, kadang-kadang pandangan golongan penguasa itu hanya mewakili kelompok atasan.

 

  1. Sebab itu, Hari Pekerja harus mengingatkan kita tidak ada rakyat, tidak ada raja. Tidak ada rakyat, petani dan nelayan, tidak ada menteri atau Perdana Menteri. Tidak ada pekerja bawahan, tidak ada syarikat yang megah dan bergaya. Bagi saya ini adalah mesej utama.

 

  1. Sebab itu bila kita diamanahkan dalam Kerajaan Madani, di antara tumpuan kita ialah gaji pekerja. Pemimpin-pemimpin kesatuan ada, rakan-rakan ikuti ada, nak dapatkan keputusan gaji minima, berbahas 10 tahun. Nak naikkan dari 1200 ke 1500, itu pelbagai masalah dibangkitkan. Kata syarikat-syarikat besar, kita tidak mampu, kita akan jadi miskin kerana gaji naik sedikit. Tapi alhamdulillah, barisan pimpinan hari ini mengatakan, mesti naik dan kita hadapi. Maka naik 1,700.

 

  1. Saya nak bayangkan, apa saudara ingat saya puas hati? Saya tahu, sukarnya pendapatan sedemikian. Tapi itulah komitmen kita. Untuk Syarikat Kerajaan, GLIC, kita putuskan gaji minima RM3,000. Tentunya syarikat-syarikat besar milik Kerajaan ini pada mulanya bangkitkan kebimbangan, keresahan, tapi akhirnya dilaksanakan, dan alhamdulillah, masih mencatat keuntungan.

 

  1. Maka pada hari ini saya nak ulangi dan tegaskan apa yang saya bicara hampir setiap tahun, dan saya mahu pekerja dengar, majikan dengar, syarikat-syarikat kaya, konglomerat besar-besar, dengar baik-baik. Negara ini harus aman, negara ini harus membangun dan maju, tetapi negara ini mesti jamin keselesaan orang kaya, orang berpendapatan tinggi, saudagar-saudagar. Tetapi harus juga jamin nasib pekerja itu terbela. Ini utamanya.

 

  1. Kita senaraikan berapa syarikat-syarikat yang besar di negara kita? Untung satu bilion. Untung dua bilion Ringgit. Mahu naikkan gaji pekerjaan 40 Ringgit pun sukar. Bagaimana harus kita bangunkan ini? Ya, saya sedar. Katanya seorang Perdana Menteri harus tidak bicara begitu, harus bicara cara teratur. Kadar pertumbuhan kita membanggakan, benar. Pelaburan kita yang kita catat tahun lalu tertinggi dalam sejarah, benar. Kadar pengangguran rendah, benar. Ringgit kita prestasi terbaik di asia, benar. Tetapi, soalan berikutnya, dengan negara aman, pengorbanan tentera, polis, pasukan keselamatan, pekerja di peringkat bawahan, kilang-kilang, dengan hadapi risiko semuanya, pegawai-pegawai Kerajaan, terutama di peringkat pertengahan dan rendah, soalannya, bagaimana nasib kami? apakah cukup pembelaannya?

 

  1. Maka pada hari ini, saya ingin gesa. Sukar kita boleh melaksanakan undang-undang, Ramanan sebut gig, itu semua kita boleh cara terkawal sedikit. Tapi sukar kita mengenakan undang-undang untuk golong syarikat-syarikat swasta, sistem kita tidak menjadikan ini suatu formula yang mudah.

 

  1. Sebab itu, saya ingin menggesa dan wakil-wakil syarikat pun banyak di sini supaya renung sama. Apakah kita pilih untuk pastikan negeri ini aman? Jawabnya ya. Untuk aman itu siapa yang bertanggungjawab? Itu pasukan keselamatan PDRM, tentera dan badan-badan penguatkuasaan. Kita mahu pekerja disiplin, produktiviti tinggi, itu tanggungjawab pekerja di semua peringkat. Kita mahu negara ini bersih, maka tukang sapu sampah dan tukang cuci itu berperanan.

 

  1. Jadi boleh tak kita renungkan, ketuk pintu hati dan tanya apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya. Maka saya dengan ini, ingin menggesa sekali lagi syarikat-syarikat, orang-orang terkaya di Malaysia disenaraikan 10, 20. Syarikat-syarikat besar 50 teratas. Cuba kita nilai. Bagaimana layanan mereka kepada atau terhadap pekerja mereka? Dan ini satu tugas yang harus disempurnakan dan saya ingin menggunakan ruang ini di depan pekerja untuk mengingatkan semua, kalau kita mahu pertahankan negara ini supaya aman, lebih inklusif, ia harus ada jiwa ihsan dalam konsep Negara Madani.

 

  1. Saya tidak mengusulkan diberikan ganjaran sehingga menyebabkan syarikat itu rugi. Saya tidak pernah mengusulkan. Saya tidak mengusulkan supaya kita hilang daya saingnya. Saya hanya mengusulkan supaya pimpinan negara, pimpinan syarikat itu lebih prihatin dan tunjuk sikap ihsan.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Saya ingin juga singgung tentang perkembangan ekonomi mutakhir ini. Masa akhir Februari, harga minyak satu ton, USD70. Hari ini USD115 dolar satu ton. Dia hampir lebih, dari 70 ke satu 120, lonjakan terlalu tinggi. Maknanya kesan ekonomi itu seluruh dunia. Ada bahan-bahan saudara yang bekerja di ladang, ada kekurangan posphate dalam masa singkat. Yang bekerja di ladang, diesel naik. Yang bekerja di kilang, yang membawa lori, semua itu terkesan.

 

  1. Kerajaan insya-Allah, akan terus bekerja bertungkus lumus, saban hari mengambil langkah-langkah yang perlu. Tetapi jangan kita andaikan bulan Mei sama dengan bulan Februari. Kerana keadaan lebih rumit. Semua negara pengeluar minyak naikkan harga minyak termasuk di antara negara pengeluar minyak yang tertinggi di dunia. Emirate, UAE telah menaikkan juga harga minyak.

 

  1. Malaysia masih kekalkan BUDI MADANI RM1.99. Harga minyak yang terendah di dunia, selain Brunei Darussalam. Walaupun kita import minyak untuk kegunaan tempatan, domestik 50%. Sebab itu, saya minta golongan pekerja faham. Kalau ditanya, sebab apa saya berkeras kekalkan harga minyak RM1.99 Tekanan ekonomi, pakar-pakar ekonomi, golongan korporat semua cadangkan, dia kata Anwar, “be realistic, kalau mahu jaga ekonomi negara ini minyak harus naik, harga minyak. Saya jawab, “ya saya realistic, jaga ekonomi negara, jaga rakyat, tetapi saya juga menungkan bagaimana nasib golongan pekerja terutama di peringkat bawahan.

 

  1. Maka beri sokongan. Beri sokongan pada langkah-langkah kita ambil. Kalau pun terpaksa kita ambil beberapa langkah lain, percayalah, kita tidak khianati amanah. Kita tidak guna kuasa untuk kayakan diri atau keluarga. Tetapi, harga minyak jangan bimbang kekal RM1.99.
  2. Saya nak berbincang dengan Menteri KESUMA. Menteri KESUMA ini okey kan, dia rajin bela nasib pekerja. Saya beritahu Ramanan, turun, dengar pekerja. Bukan semua jawapan itu ada pada kita, jangan ingat kita ini bila diamanah pangkatnya tinggi, kita pandai semua, tidak. Ada hal yang mana kita kuasai, ada hal yang kita harus dengar dari akar umbi. Dan saya ucap terima kasih kerana menteri, dia sering turun dan dengar keluhan golongan pekerja dan di antara yang telah bincang, tadi disebut tentang peranan wanita.

 

 

PENGUMUMAN

 

  1. Kadar penyertaan tenaga buruh di kalangan wanita itu sedikit merosot. Di antara kita kaji terutama di cohort umur 35-39 tahun dan 25-29 tahun banyak terkesan kerana komitmen Ibu yang melahirkan anak. Saya tahu sebab saya ada enam anak, dan memang mencabar. Oleh itu, sebagai langkah progresif mengiktiraf peranan wanita dan ibu di negara kita, kita bersutuju untuk memperkenalkan elaun pasca cuti bersalin di bawah Akta Sistem Insurans dan Pekerjaan 2017 dan elaun ini merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari sebulan yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.

 

  1. Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu, sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan lapangan pekerjaan. Ini cadangan kita untuk mengurangkan tekanan itu Ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans dan Pekerjaan 2017.

 

  1. Faedah ini dicadangkan kepada kadar 80% daripada gaji anggapan bulanan orang berinsurans wanita yang akan dibayar secara one-off. Ini akan memberi manfaat kepada lebih 132,000 orang pekerja wanita.

 

  1. Yang kedua, Anak-anak kita bekerja di luar negara, bangun 4 pagi menyeberang ke Singapura pulang malam. Jadi bagaimana harus kita perluaskan perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara? Dia tidak ada kemudahan itu.

 

  1. Secara purata, satu nyawa rakyat kita hilang setiap minggu atau 54 kematian setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan ini. Jadi kita akan pinda Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerjaan rentas sempadan Malaysia-Singapura. Ramai sekali yang bekerja tanpa perlindungan, dan ini insya-Allah akan memberi manfaat kepada 480,000 pekerja.

 

  1. Saya sebut tadi, pengangguran sekarang dalam kalangan kita antara paras terendah dalam 10 tahun. Disebut oleh Menteri tadi 2.9%. Jadi, harus ada usaha-usaha meningkatkan upskilling disebut atau reskilling, selain daripada kejayaan luar biasa kita dalam melaksanakan program TVET. Di antara negara berkembang yang paling berjaya merubah sistem pendidikan, dengan menekankan TVET itu adalah Malaysia. Dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Zahid Hamidi.

 

  1. Kita perkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi, Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE)

 

  1. Pertama, untuk kesiapsiagaan perlindungan sosial. Kita telah persiapkan dana dari sudut, saya katakana perlindungan sosial, membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan meningkatkan kebolehgajian mereka, dan kita siapkan melalui PERKESO RM580 juta.
  2. Kehadiran syarikat-syarikat besar transformasi digital, AI, tetapi tahap keupayaan pekerja masih di tahap yang lama. Oleh itu, ada usaha tambahan dan kita terpaksa menyiapkan dana yang cukup. Ucap terima kasih PERKESO kerana dana RM580 juta.

 

  • Yang kedua, pemerkasaan latihan dan penempatan kerja. Ini banyak dalam kalangan ramai, di kalangan golongan belia dan golongan rentan, supaya lebih berdaya saing dan produktif.

 

  1. HRD Corp akan memperuntukan di bawah HRD Yakin MADANI sebanyak RM100 juta untuk maksud tersebut.

 

  1. Dan ketiga, pengupayaan Pekerja Gig. Pekerja Gig ini jadi suatu fenomena yang baru, yang menuntut Kerajaan memberikan respon yang cepat. Sebab itu, kita perkenalkan Akta Pekerja Gig dan perkenalkan Suruhanjaya Gig, supaya ada mekanisme mendengar, menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan.

 

 

 

  1. Jadi, kita ada peruntukan dana khusus untuk memperkukuh perlindungan keselamatan sosial Pekerja Gig sebanyak RM20 juta. Ini termasuk e-healing, p-healing.

 

  • Kemudian, bakat muda dan ketahanan PMKS. Baru-baru ini, ramai saudara-saudara bekerja dengan PMKS atau SMEs, dan dengan tekanan perkembangan pasca Perang Teluk, ramai yang agak bimbang tentang masa depan mereka.

 

  • Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyediakan dana pinjaman suntikan untuk SMEs, PMKS sebanyak RM5 bilion.

 

  1. Dan baru-baru ini, minggu lalu, Bank Negara Malaysia telah mengambil keputusan menambah RM5 bilion, jadi RM10 bilion untuk PMKS kerana jumlah pekerja di syarikat-syarikat PMKS ini terlalu ramai, yang mana mereka menjadi kekuatan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

 

  1. Dan kita juga tahu PMKS yang mengambil pelatih industri dan melalui syarikat pemula akan memanfaatkan kemudahan dari TalentCorp sebanyak RM10 juta.

 

 

  1. Dan dengan pengumuman-pengumuman ini, saya minta semua yang terlibat membuat, mengambil tindakan, mengumumkan laporan kepada menteri dalam tempoh 2 minggu supaya dapat dibentang kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga. Saya tidak mahu amalan lampau, di mana pengumuman dibuat mengambil masa 6 bulan sehingga setahun atau lebih. Pengumuman dibuat hari ini, dalam tempoh 2 minggu laporan sampai kepada meja menteri, dan laporan tindakan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh 3 minggu. Jika tidak, baik PERKESO, HRD, TalentCorp akan dipanggil naik ke pentas untuk jawab soalan bersama menteri.

 

  1. Keseluruhan program skim ini yang disebut PACE ini adalah sebanyak RM710 juta. Jadi tahniah kepada semua badan ini yang terlibat, kepada Menteri Sumber Manusia atas inisiatif ini.

 

  1. Akhir kalam, saudara-saudari pekerja tercinta, saudara-saudari adalah tunggak pembangunan keselamatan dan kesejahteraan negara. Kami sebagai pekerja menaruh harapan besar supaya saudara-saudari menjalankan tugas sebaik mungkin. Kita mesti buktikan Malaysia ini negara hebat dan gagah. Ini bukan tempat orang lembap dan malas. Ini bukan tempat orang angkuh, sombong dan menindas. Negara ini negara hebat – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan. Lihat semangat yang ditunjukkan. Apa kita kira kaum apa? Agama apa? Pekerja apa? Semuanya satu semangat, semangat pekerja. Pekerja yang membangunkan dan menyelamatkan negara Malaysia tercinta.

 

Assalamualaikum.

Share: