TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026 KALI KE-55

16 Mei 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026 KALI KE-55

 

TEMA HARI GURU:

GURU BITARA NADI NEGARA

 

16 MEI 2026 (SABTU) | 9:30 PAGI

HOTEL CASUARINA

IPOH, PERAK

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab

walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,

Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saudara saya,

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Saudara Cikgu,

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak;

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi;

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid,

Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak;

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Tetamu-tetamu yang saya muliakan dan yang utamanya guru-guru yang kita raikan pada hari ini.

 

  1. Hari ini saya berucap sebagai Cikgu Anwar. Dan saya harap kita dapat teliti sebagaimana yang diungkapkan oleh Fadhlina, seorang menteri pendidikan yang begitu komited bukan sahaja dalam dunia pendidikan, tetapi untuk kebajikan guru-guru.

 

  1. Bila saya sebut begitu, mudah dengarnya tapi membebankan saya sebab seringkali dalam perjumpaan-perjumpaan dia mengusulkan beberapa kemudahan yang diperlukan di bidang pendidikan oleh guru, oleh pelajar, tetapi sebagaimana saudara tahu sejak Kerajaan MADANI ini, dalam belanjawan negara, peruntukan terbesar adalah dalam bidang pendidikan.

 

  1. Soal kebajikan kita utamakan, sebab itu bila kita menilai keperluan bersama Tan Sri Shamsul Azri, KSN dan KPPA untuk memperkenalkan skim dan meningkatkan sistem saraan guru-guru dan penjawat awam, kita beri perhatian, dan alhamdulillah, akhir tahun lalu dan tahun ini kita naikkan gaji dan elaun guru-guru paling tinggi dalam sejarah.

 

  1. Saya juga ucap tahniah kepada rakan-rakan mengendali di kementerian, Ketua Pengarah Pendidikan dan seluruh jentera, KSU nya kerana menyiapkan kerangka pendidikan yang mempersiapkan negara ke arah bukan sahaja negara maju dari sudut ekonomi, teknologi, AI dan digital, tetapi mempertahankan jati diri, nilai murni yang kita utarakan sebagai nilai dan akhlak masyarakat.

 

  1. Kalau kita lihat hampir semua negara punyai dasar-dasar pendidikan mereka dan dinilai dari semasa ke semasa. Tetapi di Malaysia, di negara MADANI ini ada kelainan, kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi baharu, AI. Anak-anak dipersiapkan dengan keperluan semasa, kalau tidak kita akan ketinggalan, tetapi dalam semua matlamat itu untuk mencapai yang murni tidak pernah kita abaikan atau remehkan kepentingan mempertahankan nilai kemanusiaan kita sebagai rakyat Malaysia dan nilai apa yang disebut sebagai akhlak masyarakat, kerana pendidikan akhirnya tidak boleh terlepas daripada peribadi, sahsiah, insan atau manusia.

 

  1. Sebab itu, guru-guru nampak terbeban, ada sahaja masalah dalam masyarakat, tentunya menyentuh anak-anak dalam sekolah. Dan tentu menimbulkan keributan, seolah-olah ini hanya berlaku di sekolah, padahal apa yang berlaku kepincangan, kebobrokan dari segi moral itu kerana sebahagian daripada masyarakat. Tapi saya harap guru-guru lihat ini secara positif, kalau tidak guru siapa lagi.

 

  1. Jadi sebab itu, kalau terbeban dengan teguran dan kritikan, sebahagiannya tidak adil, saya salute guru-guru kerana terima dengan baik untuk bangkitkan dan pastikan generasi akan datang itu jauh lebih baik daripada yang kita hadapi.

 

  1. Sebab itu, ia terungkai dalam nilai kemanusiaan, kalau lihat perdebatan yang di luar itu, kadang-kadang di luar pertimbangan, yang dirangka, difikirkan, direnungkan dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan ini apa dia matlamat? Menggali ilmu, meningkatkan untuk kefahaman masyarakat. Anak-anak sekolah. Menilai dengan baik. Membetuk manusia yang punyai nilai dan akhlak. Tapi ini tidak berlaku dalam masyarakat,tidak dalam dunia politik, tidak dalam dunia sosial, apalagi media sosial. Jadi saudara-saudara terpaksa bertempur, berhadapan dengan kenyataan di luar yang seolah-olah terpisah, tersisih daripada realiti.

 

  1. Dan ini satu gagasan yang penting. Di satu pihak, kita harus menguasai teknologi baharu. Pendidikan, sistem pendidikan sekarang dengan kupasan dia. Kalau lemah bahasa, disergah. Menguasai bahasa Inggeris dikatakan penting. Matematik, sains penting. Sekarang ini, teknologi baharu, teknologi maklumat. Datang Dato’ Seri Zahid, TVET, TVET, TVET. Tapi ini kenyataan. Keperluan itu tidak dipertikaikan.

 

  1. Rupa-rupanya keberanian kita mengorak langkah, menembusi tembok-tembok atau meruntuhkan tembok-tembok penghalang itu, dan kemudian membawa gagasan baru, itu sebenarnya satu keperluan. Tapi pada hari ini saya nak tekankan juga satu aspek yang tidak boleh diremehkan. Negara ini tidak mungkin selamat hanya dengan kepintaran yang disebut tadi buku Harry Lewis, ‘Excellence Without Soul’. Siapa yang boleh pertikaikan keupayaan Universiti Harvard? Tapi mengapa tokoh sarjana ulung Universiti Harvard boleh menyanggak seluruh pendekatan sistem itu? Kerana Universiti Harvard itu, universiti terulung. Saya pernah menyampaikan kuliah di sana. Hebat! Profesor-profesor yang mendapat pelbagai pengiktirafan dunia dari segi akademiknya, dari segi research-nya, tetapi disergah keras oleh Harry Lewis kerana gedung itu indah, anak-anak pintar, tapi tidak peduli kemiskinan ketara di luar, kelompok-kelompok yang dikatakan the ghettos, apalagi di kalangan kulit hitam. Jadi, tak memberi kesan kepada mereka, tidak menyentuh hati nurani mereka, tidak mengetuk pintu hati mereka sebagai manusia, merasakan apa yang dirasakan oleh anak-anak dan keluarga di luar.

 

  1. Jadi kata dia, untuk apa kita mendidik? Kita didik siapa? Kalau kita didik manusia, maka harus ada nilai murninya, nilai akhlaknya, ada keprihatinannya. Ini yang disebut akhlak ataupun nilai manusiawi, itu tidak ada. Sebab ditanam kebencian kaum, diletakkan kefahaman bahawa menghina orang kerana warna kulitnya berbeda dari kita. Itu yang disebut kegagalan sistem dalam membentuk nilai.

 

  1. Bagi kita di Malaysia, dalam pelbagai tamadun tidak pernah ditinggi. Saudara yang biasa dengan pengajian Confucius di kalangan masyarakat Cina, apa dia? Nilai, yang disebut, virtue. Membangkitkan apa yang dikatakan keseimbangan. Itu kalau Cina. India? Apalagi kalau dalam Islam. Ini pun satu pandangan. Kalau saya sebut umpamanya Confucius, nanti ada bagi pandangan, “tengok, Anwar ni cakap pasal Cina sahaja.” Pemikiran sempit. Jangan adalah di Kementerian Pendidikan kalau ada pandangan-pandangan begitu. Tidak ada tempat begitu. Kita ni dunia pendidikan, memuliakan. tidak ada rugi.

 

  1. Asasnya tetap bagi saya sebagai seorang Islam. Kekuatannya dari akidah Islamiah dan ruh perjuangan Islam. Tetapi, tidak diajar untuk menghina orang, untuk meremehkan budaya lain. Bagaimana orang nak hormat dan memulihkan kita? Kita mula saja bertempur, berucap saja dalam majlis, bila bercakap MADANI, “Oh, MADANI itu pengaruhnya seperti Abu Jahal.” Orang itu berpengaruh. Ada PhD, tapi nilainya itu bobrok. Nilai kemanusiaan zero. Nilai akhlak habis, ditinggalkan.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Ini ujian dan cabaran kepada kita. Tidak mudah kerana guru-guru juga tidak terpisah daripada persekitarannya. Jadi jangan kita didik begitu. Mana dia kasih sayang kepada kemanusiaan? Mana dia kesediaan untuk memaafkan kelemahan-kelemahan masing-masing? Sebab itu, pagi tadi, dengan Azizah, tengah renung apa yang harus saya bicarakan. Teksnya panjang. Tapi saya teringat kupasan al-Quran tentang ciri kemanusiaan dan kasih sayang yang tentunya boleh ditanam dalam dunia ilmu dan pendidikan.

  

  1. Fabi-maa rahmatim minallahi linta lahum. Wa law kunta fadzzhan ghalidhal-qalbi lanfadldlu min haulika. Fa’fu ‘anhum, wastaghfir lahum, wa syaawirhum fil-amr. Fa idzaa ‘azamta fatawakkal ‘alallah. Innallaha yuhibbul-mutawakkilin. Sadaqallahul Azim.

(Surah Al-Imran, Ayat 159)

 

  1. Kalau tidaklah, tentu ada-ada asbaun nuzul-nya. Tapi saya nak tekankan di sini tentang aspek istighfar kepada Allah, memaafkan, menanam bibit kasih sayang, dan akhirnya tawakal kepada Allah. Ini satu pengajaran kepada kita. Ke mana masa depan kita? Apa nasib anak-anak kita masa depan? Sudah berdekad-dekad merdeka, kita masih bicara, bertempur soal-soal yang remeh, yang hanya menanam kebencian satu sama lain.

 

  1. Jadi, saya ambil kesempatan ini, mengingatkan kita apa yang digesa dalam firman Allah SWT yang saya bacakan tadi, bahawa kalau tidaklah kerana rahmat, pengampunan Allah SWT, tak mungkin kita selamat begini. Sebab itu, kita jangan lupa, dalam dunia pendidikan ini, menanam bibit kasih sayang. Tidak akan ada guru yang baik dan cemerlang. Seperti pengalaman saya sebagai pelajar dan pengalaman saya sebagai guru, kalau tidak menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak murid.

 

  1. Saya tadi cerita kepada Dato’ Seri Zahid. Guru saya, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, jadi Ketua Pengarah Pendidikan. Saya, Menteri Pendidikan. Kan susahnya protokolnya, bila dia bangun, saya kena bangun, dia masuk pejabat, saya kena bangun. Tapi saya kan pelajar, saya kan murid dia, kan dia itu berjasa kepada saya tak terpadam. Sebab itu, hubungan kami sehingga lah akhir hayat tidak pernah putus. Walaupun pada masa itu ada kekangannya, kan saya di luar Kerajaan dan terlempar di penjara, tapi hubungan dengan dia tu tidak pernah tinggal lah.

 

  1. Saya pernah sebut dalam Majlis Hari Guru, saya ingat di Universiti Malaya, Hari Guru, saya menteri yang dijemput pada masa itu. Ketua Pengarah Pendidikan berucap sebelum saya, Menteri Pendidikan. Dia bangun, saya bangun. Jadi, orang tengok ini apa? Menteri tak tahu protokol? Mana boleh menteri bangun bila pegawai bangun. Dia duduk, saya duduk. Saya nak berucap, saya minta kebenaran dia. Itu dia hubungan murid walaupun murid itu seorang menteri dan pegawai itu.

 

  1. Itu cerita yang baik. Yang masalahnya, dia kalau datang ke pejabat saya, dia tegur saya macam saya anak murid dia. “Eh Anwar…” Saya berucap. Tadi saya beritahu Dato’ Seri Zahid. Di Kuantan majlis sekolah ke apa. Jadi, dalam ucapan itu tidak pakai teks, kadang-kadang bahasa dan grammar itu celaru lah sikit. Saya ingat lagi, saya sebut, “Maka dengan itu saya menyeru semua guru-guru.” Saya duduk sahaja (selepas berucap), “Anwar, mana boleh semua itu guru, mana boleh semua guru-guru.” Saya kata, “Iyalah, jangan kuat sangat orang lain dengar.” Tapi begitulah hubungan dan kasihnya guru pada seorang pelajar.

 

  1. Saya boleh terima teguran itu tapi saya kata jangan, seganlah saya kalau pegawai-pegawai lain semua dengar, apa ni? Saya tahu bila dia sebut “Anwar, semua guru ke guru-guru?” “Semua gurulah, cikgu.” Saya panggil dia cikgu kalau secara personal. “Lepas itu, mengapa Anwar berucap, kata semua guru-guru? Anwar itu kan Menteri Pendidikan. Mana boleh silap grammar” Tapi, saya tunjukkan di sini, itu kasih sayang.

 

  1. Baik, masa itu saya menteri. Lepas itu saya masuk penjara, tak pernah diputuskan hubungan atau tunjuk kasih sayang. Di luar, saya tak ada kedudukan tapi tidak pernah putus.

 

  1. Saudara, yang saya nak tekankan di sini tentang kasih sayang. Sama ada anak itu Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan, apa dia? Dia kan manusia. Mengapa kita menjadikan ini sebagai masalah? Saya sebutkan ini dan saya percaya semua, sekurang-kurangnya majoriti besar guru faham kerana guru saya ada guru Melayu, ada India, Malhotra, ada Cina, Weng Bai, tapi saya tidak fikir dia boleh mengajar saya masa beliau di Kolej Melayu, dia anggap saya ini anak Melayu, oleh itu dia tidak ajar, betul. Tidak. Jadi, kita kena hidupkan budaya ini saudara-saudara kerana di luar sana celaru, perbincangan tidak lagi siuman.

 

  1. Saya sebagai Cikgu Anwar, nak lahir kepada saudara-saudara untuk betulkan ketempangan ini. Kita bicara soal UEC dan tentunya guru-guru mengikuti. Kita dengar pandangan Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi. Kebimbangan mereka, masalahnya dan sebagainya. Jadi, kita bincang puluhan tahun. Ssemasa saya mula berbincang kelulusan UEC semasa saya Menteri Pendidikan dan Tan Sri Rahman Arshad, Ketua Pengarah Pendidikan. Kita menghadapi kesukaran untuk memberikan ruang kerana pada masa itu sekolah-sekolah Cina ini terpisah langsung dengan landasan pendidikan kebangsaan.

 

  1. Dalam beberapa pertemuan dengan saya, pemimpin-pemimpin guru tersebut enggan berbicara sepatah pun dalam bahasa Melayu. Saya tentu bersabar mendengar. Ketua Pengarah Pendidikan masa itu, Tan Sri Rahman Arshad membisik kepada saya, “Anwar, minta maaf, saya terpaksa keluar daripada majlis ini. Saya tidak dapat tahan sikap macam demikian”. Dan saya kata okeylah. Saya mengerti kerana demikian pertembungannya di antara Sekolah Independent Cina dengan dasar pendidikan kebangsaan. Itu 40 tahun yang lalu.

 

  1. Pertemuan sekarang, semua wakil-wakil persatuan bercakap dalam Bahasa Melayu. Sekolah-sekolah Cina ini, lebih daripada 80% Fadhlina ya, yang mengambil SPM dan bila kita luluskan peraturan ini, kita letakkan syarat. Mesti lulus atau kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah untuk melayakkan mereka mendapat ruang untuk pergi ke universiti. Dan ini terpakai untuk semua.

 

  1. Sekarang ini sekolah antarabangsa kita tak syaratkan. Sekolah antarabangsa itu anak-anak Melayu ramai. Anak-anak Malaysia. Jadi kita syaratkan yang sama. Dan juga Maahad Tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar semua kurikulum Bahasa Arab dalam Bahasa Arab, tapi tidak memberi pendekatan tentang Bahasa Melayu dan Sejarah. Kita berikan syarat yang sama.

 

  1. Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan, sekali lagi dia jadi perbahasan politik. Saudara, di dalam kehidupan kita ini mestilah ada semangat tolak ansur. Yang kita tidak boleh tolak ansur apa? Bahasa. Mahu duduk di Malaysia, penguasaan bahasa harus kekal. Mahu menjadi rakyat Malaysia, mesti faham sejarah kita, perlembagaan negara, sejarah kemerdekaan, sejarah perjuangan yang lalu, pertempuran kita dengan penjajah Inggeris atau Belanda sebelumnya, Portugis sebelumnya. Sekadar itu mesti mengetahui.

 

  1. Jadi inilah sebab mengapa akhirnya kita putuskan untuk meletakkan syarat ini supaya sebahagian daripada mereka, di kursus-kursus tertentu, bahasa dan juga beberapa kurikulum mungkin Accountancy dan sebagainya. Mengapa tidak boleh kita umumkan semua sekali? Mengikut Menteri Pendidikan Tinggi, dia harus bawa ke badan-badan professional. Kerajaan boleh putuskan pengiktirafan sijil itu dari badan-badan professional.

 

  1. Jadi, serah kepada Kementerian Pendidikan untuk menyusul, tapi dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri jelas. Kita izinkan dari sekolah Arab, sekolah Tahfiz, sekolah antarabangsa, sekolah Cina dengan syarat Bahasa dan Sejarah. Kemudian, ambil beberapa kursus universiti yang sesuai. Tak terbatas kepada kursus-kursus bahasa sahaja. Dia juga boleh dalam bidang akauntan dan lain-lain. Itu akan diputuskan oleh senat universiti dan badan akauntan.

 

  1. Jadi, saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru tumpu dalam bidang ini. Masalah negara kita, ya alhamdulillah, angka-angka terakhir, saya dengan Dato’ Seri Zahid dan Menteri-Menteri agak terkejut. Kita jangkakan bila menghadapi kemelut ekonomi mutakhir ini, suku tahun pertama mungkin bertahan, suku tahun kedua dah mungkin menampak keruncingan itu, tetapi laporan Bank Negara dua hari yang lalu, suku tahun pertama baik, suku tahun kedua masih bertahan. Alhamdulillah.

 

  1. Ya, kita bicarakan ekonomi, kita fikirkan pelaburan, kita fikirkan kestabilan politik, kerjasama antara kaum. Tetapi kita jangan lupa, itu juga kerana peranan guru mendidik dan mempertahankan sistem pendidikan kita ke arah kecemerlangan. Tanya sahaja, dari Infineon, dari Nvidia, dari Intel, dari Microsoft, semua datang jumpa saya. Selalu saya tanya, “bagaimana tentang prestasi pekerja kita?” Saudara, saya belum pernah dengar satu komen yang mempertikai kelayakan asas jurutera atau akauntan sebagainya serta penguasaan bahasa. Yang mereka usulkan ialah perlu ada peningkatan, termasuk kejuruteraan dan bidang-bidang lain. Dan oleh itu, bagi pelabur, bagi konglomerat, bagi saudara-saudara kaya, jangan lupa, mereka perolehi ini semua kerana jasa guru yang mendidik anak-anak kita.

 

  1. Sebab itu, kita perkenalkan sekolah angkat. Sekolah angkat meminta semua syarikat-syarikat yang kaya ini, yang berjaya ambil sekolah angkat yang berdekatan. Semalam dalam kajian, dua hari yang lalu ya, baru sekitar 80 sekolah. Saya tak puas hati. Banyak syarikat-syarikat di Perak, Saarani ya, yang berjaya dan catat keuntungan besar. Saya harap dalam tempoh satu, dua bulan ini, maksimum akhir bulan Jun, kita perlu catat sekurang-kurangnya 200 sekolah angkat kerana syarikat-syarikat ini kemudian berdamping dengan guru besar, pengetua dan bincang keperluan-keperluan asas. Kita tidak minta juta-juta ringgit tapi sekurang-kurangnya beri kemudahan tambahan sekolah supaya ada sinergi di antara syarikat dengan Kerajaan.

 

  1. Ada beberapa pengumuman yang tadi disebut oleh Saudari Fadhlina. Saya tidak mengulangi hal yang diperolehi, cuma dia senang jadi umum, yang kena cari duit itu saya (nada seloroh). Dia kata, kuarters guru ini teruk sikitlah. Okey, okey. Permintaan dia, boleh tak bagi 300 juta perlahan-perlahan lah. Nak Tadi, sebab itu… bilik guru. Memang betul saya pergi kadang mengejut-mengejut ni. Saya bukan satu, dua cara. Satu, lawatan mengejut.

 

  1. Satu lagi, hari Jumaat. Hari Jumaat, siap Fadhlina. Mesti dapat teks. Sebab saya bertanya anak-anak sekolah. Sekolah mana? Sekolah ini, okey. Tandas macam mana? Okey. Haa? Tak, ada dua rosak. Saya pun text Fadlina, sekolah ini dua rosak tandas. Kemudian cikgu datang semua. Datang. Haa? ada yang tak datang. Apa nama cikgu tu? Dia sebut contoh, Cikgu Salmah. Haa, apasal tak datang? Kenapa? Dia ajar apa? Dia ajar Sejarah. Dia jawab sebab apa dia tak datang? Dia bersalin. Bagilah tahu.

 

  1. Dalam puluhan sekolah orang tanya Alhamdulillah, saya belum dapat laporan guru tak datang tanpa sebab.
    Tetapi maknanya Ketua Pengarah jangan bimbang, Pengarah Pendidikan, saya tak tanya saudara, saya tanya anak-anak di masjid ini. Kalau salah hangpa

 

  1. Begitu juga dengan naik taraf bilik guru di 3500 sekolah, itu semua dilakukan dan saya ucap terima kasih. KSU mana? Baik. KSU pun cekap. Ketua Pengarah pun lagi cekap. Tahun ini memang di kabinet, saya ingat Menteri Pendidikan hampir-hampir nak menangis. Saya kata, nope. Mesti mula tahun ini. Umur 5 tahun. Tak ada, siap. Itu bukan problem Itu problem Ketua Pengarah dengan Kementerian Pendidikan. Kalau wang tak ada, saya cari juga. Buka kelas-kelas baru. Kalau tak boleh, bangunan-bangunan baru, modular. Dan bagi tahu JKR, bagi tahu ICU, jalan, Alhamdulillah.

 

  1. Yang daftar, sekarang ini sekitar 75,000 pelajar baru. Pertambahan bilik guru yang diluluskan oleh Kerajaan. Pertambahan. KP ya, ingat. Pertambahan itu 3,150. Ini dari segi pertambahan guru untuk Kementerian Pendidikan, ini rekod dalam sejarah sejak kita merdeka. Ini kadang-kadang tolong cerita lah di kampung ini. Ini saudara tak cerita. Cerita masalah je. Cerita macam di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis. Cerita sikit ni, ni. Faham tak? Bilik guru diselenggara setakat ini 7,000.

 

  1. Saudara, bila tahun lalu, bila Hari Guru saya sebut tentang tandas. Kalau orang panggil ‘Pendana Menteri Tandas’, tak apa, saya tak peduli. Tapi, bayangkan, anak kita ke sekolah, tandas tak terurus. Nak ajar tentang kebersihan, nilai murni, ambil wudhu. Jadi sebab itu, kita belanja hampir 1 bilion ringgit. Saya berfikir, apa benda negara nak repair tandas sampai 1 bilion ringgit? Kerana tak pernah di-repair dah 20 tahun. Tapi Alhamdulillah, kita ambil tindakan, kerana menteri dia kacau saya selalu.

 

  1. Saya kata, cuba bagitahulah sesekali yang dah berjaya. Ini kalau jumpa jaya, jumpa di kementerian, di JPM atau di Jemaah Menteri, asyik yang belum dapat sahaja. Bilik guru ada yang belum siap. Saya kata bagi tahu dulu, bilik yang dah siap lah, kemudian baru bagi tahu yang belum siap. Kalau tak demam lah saya. Jadi, bilik guru diselenggara seperti yang saya bagitahu tadi. Projek penyelenggaraan naik taraf bilik guru, itu pun seperti yang diumumkan, bukan kecil. Dan penyelenggaraan kuarters guru, yang itu saya setuju. Kuarters polis, kuarters tentera, guru, penjawat awam, ini kita minta, dia tu kerja dengan kita, tetapi tengok kuarters, saya tengok kuarters penjara termasuk Sungai Buloh yang jaga saya dulu, pintu tak boleh tutup, bumbung bocor, nasib baiklah yang keluar dari penjara Sungai Buloh itu jadi Perdana Menteri, terus kita repair.

 

  1. Masa Dato’ Seri Zahid jadi Menteri Dalam Negeri, dia tak repair. 4,000 Unit kuarters tambahan. Dan dengan penyelenggaraan tak kecil. Berapa yang diselenggara dalam tempoh 2 tahun ini? 8,700 Unit kuarters guru. Bukan kecil. Jadi tolong bubuh senarai ini KP ya. Kalau KP tak letak ini semua, minta wang saya tak lulus lagi dah. Jadi supaya anak-anak kita tahu.

 

  1. Jadi saudara-saudara, apakah ini cukup? Tidak. Oleh kerana Kerajaan memberikan penumpuan besar dan utama dalam bidang pendidikan ini, maka ada beberapa keperluan yang kita akan review dari masa ke semasa. Dalam perjumpaan saya dengan Kementerian Kewangan awal minggu ini, kita bincang juga soal pendidikan kerana kita minta sekarang ini digital, AI, pengkomputeran, STEM dan sebagainya, kita dah putuskan untuk kita review apa-apa keperluan supaya dalam belanjawan tahun ini kita dapat tingkatkan lagi perbelanjaan dan kelulusan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

  1. Guru-guru mendapat pengiktirafan peringkat nasional dan antarabangsa. Sebenarnya tadi, saudara tahu Muhammad Nazmi dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangan Lawas. Bayangkan, saudara tahu Lawas? Lawas itu di mana? Itu, jauh di Sarawak. Tak banggakah kita? Sekolah terpencil begitu boleh dapat pengiktirafan dunia. Ini interaktif, dia dapat 10 Finalist Global Teacher Prize 2025, Rise Educator of the Year 2021. Ini sebagai satu contoh.

 

  1. Kemudian keduanya, Dr. Velerie Wheelervon, Sekolah Kebangsaan Bingkor Keningau. Perkenalkan pendekatan Neuro Arts, Seni, Terapi Sensori, Pembelajaran, Neuro Arts. Cikgu Saarani oleh kerana dalam tu tak ada Neuro Arts masa dia mengajar. Terima kasih. Ini dia dapat Pengiktirafan Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi Rantau Asia Tenggara Depositif.

 

  1. Saya ke Pulau Banggi, Daerah Kudat. Saya ke Sekolah Menengah Banggi, sekolah itu ada sama tingkatan enam. Kalau ada pengetua, saya ucap terima kasih. Saya sangat terkesan. Saya pergi pada tahun 1994 untuk letak batu asas sekolah itu. Dan sekolah itu telah dapat diurus begitu baik dan saya bagi cabaran kepada sekolah itu, prestasi tahun ini harus jauh lebih baik daripada apa yang pernah dicatit sebelumnya. Jadi, Kementerian Pendidikan pantau Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi.

 

  1. Salah dia, dia jemput saya buat apa? Dia jemput saya, saya kena pantau. Tapi, saya bangga kerana mereka juga memanfaatkan NADI. NADI yang dengan komputer dan IT, itu NADI Pulau Banggi. Saya kata Pulau Banggi dekat dengan sempadan Filipina. Terpencil. Tak ada lapangan terbang. Saya kena naik helikopter satu jam sepuluh minit dari Kota Kinabalu untuk sampai ke padang sekolah kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Banggi itu.

 

  1. Saudara, mereka mendapat International Award daripada International Telecommunication Union Geneva. Dan walaupun namanya NADI, tetapi jentera penggeraknya itu daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Banggi. Itu yang membanggakan saya.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih. Hari Guru harus melahirkan guru terbaik tentunya, semangat yang kental dan saya menaruh keyakinan. Walaupun ada simpang-siur pertempuran di luar, guru tetap menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: