TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA MASYARAKAT PULAU BANGGI, KUDAT, SABAH
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA MASYARAKAT PULAU BANGGI, KUDAT, SABAH
9 MEI 2026 (SABTU) | 12.00 TENGAHARI
DEWAN TERBUKA PEKAN BARU BANGGI
PULAU BANGGI, KUDAT, SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah Rabbil Alamin
Nahmadu wa nussalli ala rasulihil karim
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam,
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mewakili Ketua Menteri;
Rakan-rakan Menteri;
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak);
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Setiausaha Kerajaan Negeri;
Pemimpin-pemimpin Masyarakat;
Kita ada bersama Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara.
- Ini hebatnya Pulau Banggi ini, semua yang penting datang, alhamdulillah. Yang kita amanahkan untuk jaga keselamatan negara kita dan kita tidak tinggal satu inci pun kawasan kita termasuk Pulau Banggi yang indah permai ini. Jadi saya ucap terima kasih juga kepada mereka dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang turut hadir, Datuk Verdon, yang membantu dan yang penting sekali, saya terharu kerana begitu baik dan mesra sambutan rakyat di sini dan juga ada sebahagian daripada Kudat.
- Hati yang mana tidak terkesan. Tentunya kita terkesan bila lihat orang daripada sekolah, guru-gurunya, ibubapanya, anak-anak, yang tunjuk perasaan kasih mesra, persahabatan dan ukhuwah yang baik.
- Saya sempat ke sekolah tadi, dan saya masih ingat saya pernah datang tahun 1994, ramai yang belum ada, ataupun yang ada masih kecil. Letak batu asas dan saya syukur alhamdulillah, sekolah ini telah tersergam indah melahirkan anak-anak yang terlatih dan terdidik dan sekarang ada juga Tingkatan 6 iaitu Pra Universiti di Pulau Banggi ini.
- Jadi kita harap anak-anak yang menghadapi peperiksaan dan ujian Tingkatan 5 dan anak-anak di Tingkatan 6, beri perhatian. Pulau Banggi ini di antara Rantau, pulau yang paling terpencil dalam seluruh wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Kita turun, saya beritahu ‘94, ada yang mengeluh kerana tidak cukup kemudahan pendidikan sekolah menengah. Dan kita harus beri tumpuan, dan saya minta ibu bapa beri tumpuan, kerana anak-anak dari keluarga yang paling miskin, dari pulau yang paling terpencil, tetapi kalau dia tumpu bidang Pendidikan dia boleh naik, kerana mutu pendidikan, latihan yang diperolehi dan memberi sumbangan kepada keluarga dan kepada masyarakat. Mana pengetua sekolah tadi, pengetua sekolah? Ada pengetua sekolah belakang tadi? Oh, di belakang, dia sibuk tadi ya.
- Saya, bila saya datang, saya mahu laporan. Jadi, 2 minggu akan datang saya minta pengetua sekolah beri laporan bagaimana langkah tambahan bersama PPD dan Pengarah Pendidikan dan PIBG. Bagaimana nak tingkatkan, nak pastikan Keputusan anak-anak di SMK Banggi jauh lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Jadi, dua minggu saya minta pengetua, guru-guru siap laporan apa matlamat mereka, langkah-langkah yang harus diambil. Dan kalau ada apa-apa keperluan tambahan, beritahu kita cuba bantu supaya jangan ada sekolah-sekolah yang kekurangan keperluan asasnya.
- Saya hendak Pulau Banggi ini menjadi contoh. Rakyat yang rata-rata yang sedikit miskin atau terpencil tapi tidak terbiar, bahawa Kerajaan Madani ini merasa bertanggungjawab untuk angkat martabat dan keupayaan setiap rakyat di negara kita ini.
- Saya bangga juga, saya belum sempat tengok Pusat NADI di sini. NADI ini, bila kita sebut transformasi digital, AI, Artificial Intelligence, bila kita jadikan ini dasar negara, dua tahun setengah yang lalu, kebimbangan saya ialah dasar itu tinggal di Kuala Lumpur, universiti-universiti utama, badan-badan penyelidikan penting, tetapi tak sampai ke akar umbi.
- Jadi ada dikatakan disconnect, kesenjangan, di antara golongan yang terdidik, golongan kaya bandar, dengan golongan miskin terutama di pedalaman desa dan pedalaman di pulau dan bukit gunung, di seluruh Sabah. Maka kalau itu berlaku, tak ada makna pembangunan ini tidak menjamin keadilan bagi semua.
- Jadi sebab itu, di antara dasar yang istimewa, di Malaysia ini, ialah memperkenalkan dasar canggih, baru, teknologi maklumat, transformasi digital, AI, tetapi mesti sampai ke setiap kawasan dan daerah di negara kita.
- Jadi saya syukur alhamdulillah, kerana NADI di Pulau Banggi disebut di antara Nadi yang berjaya di negara kita. Di mana? Di Pulau Banggi. Eh, aneh. Pulau yang terpencil, tak ramai yang pakar-pakarnya, tetapi masih melahirkan, menjadikan pusat ini pusat utama.
- Saya nak sebut di sini, Digital Nadi Pulau Banggi dinobatkan dalam World Summit on the Information Society, persidangan dunia yang dianjur oleh International Telecommunication Union, Badan Telekomunikasi Seluruh Dunia yang berpusat di Geneva. Yang menang dari segi ‘Capacity Building Digital NADI Pulau Banggi’. Bayangkan saya bila dapat berita itu, dan kebetulan hari itu diluncurkan NADI di Permatang Pauh, saya ada di situ. Wah, saya kata NADI Pulau Banggi nombor 1 dunia, mana mungkin bah, tapi dia berlaku. Jadi, saya ucap tahniah bukan sahaja kepada Pengurusan NADI, tetapi seluruh rakyat di Pulau Banggi ini.
- Saya minta diletakkan, Verdon, make sure setiap kampung ada, jangan ingat kita ini kalah semua, tak, memang ada masalah, memang ada jalan masalah nanti saya akan singgung, tapi masih number one di dunia. Banyak kampung-kampung di Malaysia, di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang, di Johor, yang belum dapat number one. Tapi NADI Pulau Banggi number one di dunia. Juara kategori ‘Capacity Building’, World Summit Information Society anjuran International Telecommunication Union, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva. Aduh, saya pun, saya belum lihat lagi ini. Tak mungkin kalau hakim makan suap, tak mungkin. Kalau hakim itu kelabu matanya itu pun tidak mungkin.
- Itu pertandingan itu di Geneva, dianjur oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. International Telecom Union dan tajuknya bukan tajuk tikar mengkuang, bukan tajuknya tangkap ikan, tajuknya, “Masyarakat Maklumat – Information Society”, telekom canggih, termasuk IT.
- Sebab itu di antara sebab saya kata kalau begitu, saya nak datang juga ke Pulau Banggi nak lihat sendiri apa yang dilakukan. Ya, di sekolah tentunya, kerana sekolah saya letak batu asas tahun 1994, saya tanya tadi guru seorang, dia kata pasal apa? Tahu saya datang 1994? Tahu. Pasal apa kamu tak ada masa itu? Kenapa tak datang? Dia kata saya belum lahir. Bapa dia mungkin ada. Jadi, ada juga pengetua yang masa itu dan juga ada guru yang di situ. Saya ucap terima kasih.
- Ini kadang-kadang kita dah berhubung ini bila tengok ada kejayaan dan rakan-rakan keluarga rasa bangga, saya sangat terkesan dan syukur terhadap Allah SWT. Dan saya ucap tahniah dan percayalah, Datuk Mustapha ada, Zul ada. Mana? Pengarah Pendidikan Negeri ada? PPD? Ada? Mana? Oh ya. Ini? Apa? PPD? Pengarah Pendidikan Negeri. Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri? Okey.
- Mesyuarat dengan pengetua dan guru-guru dan tengok apa keperluannya Perdana Menteri akan beri kelulusan. Tapi ada syarat, syarat dua minggu bagi laporan kalau akhir tahun ini keputusan tidak baik Timbalan Pengetua, Timbalan Pengarah, Pengetua semua saya baris ke depan nanti. Jadi pastikan prestasi. Saya mahu prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bangi cemerlang tahun ini!
Saudara-saudara,
- Ini dia, kita tadi dengar Datuk Seri Dr Joachim, sebagai pemimpin tentu melahirkan masalah-masalah dihadapi oleh rakyat. Sebab itu, saya datang tentunya pertama, untuk ucap sendiri penghargaan saya, pengorbanan anak-anak kita dari segi Angkatan Tentera, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara datang, anak-anak ini tinggal keluarganya berbulan-bulan, panas Terik, bersengkang mata 24 jam untuk jaga keselamatan kita.
- Jangan kata keselamatan negara, betul keselamatan negara. Keselamatan pulau, ya. Keselamatan Sabah, ya. Tapi keselamatan kita. Kita tidak akan tenang, selamat, kalau tidak ada yang membantu. Anak-anak kita. Sebab itu saya rasa tidak adalah susah, pergi sekejap, ucap terima kasih kepada mereka, tanya khabar sebelum saya datang ke sini.
- Jadi, bila saya tanya tentunya beberapa kemudahan. Saya dapat lihat, umpamanya sebahagian daripada jalan telah siap. Tapi saya kata, penggumuman-penggumuman ini bukan kerana kebetulan saya datang hari ini, tidak. Dari segi Kerajaan, percayalah. Timbalan Ketua Menteri tahu, menteri-menteri tahu, Mustapha dia jaga Sabah Sarawak, tidak pernah putus untuk melihat cara, jalan bagaimana kita boleh tingkatkan.
- Ini bukan masalah rebut untuk peribadi. Setengah orang dia bising-bising rebut. Rebut-rebut minta pasir, rebut-rebut minta balak, rebut-rebut minta kontrak, tidak. Kita rebut untuk jaga kepentingan rakyat. Rebut untuk adakan projek untuk bela nasib rakyat. Sebab itu saya selalu pesan kepada orang-orang, pemimpin-pemimpin masyarakat dan pemimpin-pemimpin politik, Allah beri kita kan amanah. Amanah itu apa? Taklifun wala tashrif – tanggungjawab bukan kerana keistimewaan.
- Kamu mungkin pangkat tinggi, golongan bangsawan atau menteri atau Pegawai-pegawai tinggi, tapi kena ingat Taklif -responsibility, Wala Tashrif – bukan keistimewaan.
- Negara ini, negeri ini, hancur atau lemah kerana bila ada jawatan, rebut habuan. Yang besar, cara besar, yang mempunyai kemewahan, punya cara mereka. Tidak pernah cukup, rebut untuk diri mereka. Kalau ini berlaku, bila kita nak jaga rakyat? Siapa nak jaga anak-anak Pulau Banggi ini? Kalau ada pemimpin, fikir mereka sudah kaya, belum cukup kaya sudah banyak harta, masih rebut harta.
- Sebab itu saudara-saudara percayalah insya-Allah, Tuhan uji orang-orang seperti saya, kena pukul setengah mati, masuk keluar penjara, amanah ini insya-Allah kita lakukan untuk guna kuasa jaga kepentingan negeri dan jaga kepentingan rakyat, termasuk yang paling susah dan miskin di negara kita.
- Itu menyebabkan kita boleh cari. Apa masalah tidak ada? Masalah berat sekarang. Saya semalam, malam tadi baru sampai dari Cebu Filipina, mesyuarat pemimpin-pemimpin negara ASEAN. Tuanku Sultan Brunei ada, Presiden Filipina, Presiden Indonesia, dan semua dari ASEAN. Kita bincang harga barang naik. Setengah negara minyak dah tidak cukup. Diesel tidak ada, kerana sekatan Selat Hormuz. Kita masih ada, tapi berjaga-jaga. Jangan sombong, jangan fikir diri saja, jangan tamak haloba, fikir rakyat ini memerlukan pembelaan.
- Ini saya sebut kerana kadang-kadang dalam negara kita ini tercetus dan orang tidak tahu. Berapa orang pemimpin besar datang ke kampung-kampung di Pulau Banggi? Datuk Seri Dr Joachim tahu berapa orang yang sampai ke kawasan-kawasan perdalaman? Baik, Lahad Datu, Keningau, Kundasang, itu ada kawasan-kawasan yang tersorok yang memerlukan pembelaan dan perhatian khas.
- Tentunya tak boleh kita selesaikan semua, tetapi mesti ada tekad di kalangan pemimpin-pemimpin. Jadi sebab itu, saya harap dalam pertemuan hari ini, saya sampaikan mesej ini bukan sahaja untuk anak-anak dan keluarga Pulau Bangi untuk seluruh negara. Mahu negara ini aman, maka Tentera, Polis bertungkus lumus, angkatan pertahanan keseluruhannya. Kenang juga mereka.
- Mahu negeri ini maju, kita kena kerja. Mahu negeri ini berjaya, jangan izinkan kekayaan ini dirompak untuk kayakan beberapa orang. Dan kalau begitu terus, kaya bagaimanapun rakyat tetap miskin. Kemudian, di sana sini jerit, oh jaga orang kampung, jaga rakyat. Jaga rakyat bagaimana kalau harta rakyat dicuri?
- Yang ini, saya cakap dari hati ke hati. Susah betul. Semua tuntutan itu munasabah tidak ada salah. Kalau seorang pemimpin negeri, kata jalan kena baiki, bekalan air belum cukup, itu pun munsabah. Saya tidak ada masalah itu asalkan diurus dengan baik. Kerana Malaysia ini walaupun hadapi masalah ekonomi. Kita bukan negara miskin.
- Ada negara di ASEAN ini dah beratur nak beli minyak ikut, kena beratur, kerana 400 lebih stesen minyak ditutup. Ada negara, harga barang dah melambung, dibuang pekerja ratus ribu. Kita belum sampai ke sini, tapi kita masih hadapi sedikit masalah, termasuk, harga barang. Sebab apa harga barang naik? Harga minyak naik. Harga diesel naik. Harga baja naik. Kita keluarkan baja urea tapi fosfat kita import.
- Harga import semua naik sekarang, dan dalam keadaan itu pun, kita masih bantu. Ada, Verdon ya, kalau ada catatan siapa yang paling miskin di Banggi, itu tanggungjawab kita bantu. Ada keperluan sekolah, klinik kesihatan disebut tadi, kita kena cari jalan untuk perbaiki dan bantu. Ada kemudahan-kemudahan rumah ibadat, masjid dan surau, itu kena cari jalan bantu.
- Jadi saya harap, saudara-saudari juga tahu ada batas kita, ada had kita, ada yang boleh kita lakukan bulan ini, bulan depan. Tadi dalam taklimat saya tanya, bagaimana pelaksanaan? Kadang-kadang kita lulus, pelaksanaannya lambat, proses dia lambat. Jadi untuk aspek keselamatan negara, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara ada bersama saya tadi, saya kata cari jalan, percepatkan. Jangan ada ketirisan. Ini bila ada kontrak, komisennya lebih, kerja tak sampai ke mana. Inilah sebab mengapa kita harus tegas dan keras.
- Nak memimpin bukan mudah, kalau buat cara yang betul. Bila saya putuskan dul,u naik gaji penjawat awam, bukan naik kecil, naik besar. Ramai ahli ekonomi termasuk mantan-mantan pemimpin negara yang mengatakan, “itu kalau lakukan negara akan miskin dan bankrupt”. Kalau kita belanja untuk rakyat miskin, “ah, negara akan susah”. Sebab itu saya tanya, saya kata bagi tahu saya raja mana dulu, maharaja mana dulu, emperor mana dulu yang miskin kerana tolong rakyat? Saya belum pernah baca buku sejarah begitu. Mereka miskin kerana tamak haloba, miskin kerana serang dan perang dengan orang, miskin kerana tak urus negara dan bolot kekayaan untuk diri mereka. Itu contoh yang kita ada.
- Sebab itu bagi negara kita, peruntukan tinggi untuk Sabah, untuk Sarawak, termasuk Kelantan, Terengganu. Kawasan-kawasan miskin kita tumpukan supaya dapat tingkatkan keupayaan mereka. Tebatan banjir menjadi isu. Bekalan air saya tahu di Pulau Banggi ini sampai sekarang bekalan air belum selesai. Setengah-setengah tempat kita lakukan langkah-langkah segera. Tanya dalam mesyuarat, saya diberitahu kita ambil beberapa langkah segera. Yang disebut oleh Datuk Joachim beberapa langkah itu akan mengambil masa yang agak lebih panjang, tapi langkah-langkah segera kita harus ambil.
- Saya selalu kenang kalau saya. Bagaimana kalau saya nama Anwar, duduk satu kampung dan kampung itu tidak ada bekalan air? Kan saya sengsara, susah hidup saya. Saya kena fikir bagi pihak orang lain yang hadapi masalah yang sama. Kalau kita fikir begitu, barulah negara ini boleh selamat. Kalau kita fikirkan diri kita sahaja, kesenangan, kemewahan kita, negara ini tidak akan selamat. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberikan kekuatan kepada kita untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kita.
Saudara-saudari,
- Ada yang memohon beberapa keperluan segera. Jadi Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin ada di sini, mana dia? Ya. Minta beberapa projek. Jadi untuk projek Daerah Kecil Banggi kita luluskan—haa, bukan hari ini datang ini, Anwar ini datang sekejap saja dak. Dulu saya datang saya buat sekolah. Sekarang saya datang saya luluskan peruntukan RM 31 juta ringgit untuk Pulau Banggi!
- Ini termasuk beberapa projek yang sedang dilaksanakan seperti naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung termasuk:
- Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut;
- Naik taraf Balai Polis di Pulau Banggi; Mana Ketua Polis Daerah mana? Haa, apa daif sangat ke balai polis itu? Tak sebut kat saya pun? Tapi kita lulus naik taraf ya.
- Penambahbaikan fasiliti kesihatan di Klinik Kesihatan Karakit; Mana Pengarah Kesihatan Daerah? Tadi ada tadi. Ayah. Okey. Happy? Ya. Klinik Kesihatan Karakit ya. Saya mahu pergi tengok pasai nurse dia nampak baik, jadi saya kena pergi tengok.
- Naik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan;
- Projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara oleh MINDEF yang saya umumkan tadi.
- Selain daripada itu, oh yang NADI saya dah sebut. Yang saya tak masukkan tadi ialah projek pembinaan jeti pontun awam Karakit fasa dua. Kemudian naik taraf jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat, ini sedang dilaksanakan oleh JKR belanja sebanyak 44 juta ringgit.
- Yang MADANI saya dah sebut, kemudian ada tambahan sikit tentang yang disediakan oleh JAKIM dan pejabat Datuk Dr Zulkifli, Menteri Jabatan Perdana Menteri, iaitu untuk pembangunan kemudahan masjid, surau dan keperluan masyarakat dan ibadah mereka untuk seluruh Banggi kita sediakan 1.25 juta ringgit. Ini termasuk program-program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
- Kemudian, Kampung Dogoton. Dogoton kita pergi tadi kan? Kampung Dogoton, sebab tadi saya melawat tak sempat sampaikan apa-apa ceramah atau perjumpaan dengan masyarakat. Itu untuk kegunaan penduduk kampung dan agensi-agensi penguatkuasa, kita tambah supaya Angkatan Tentera, Polis yang jaga itu terpelihara dan masyarakat setempat, saya luluskan RM 1 juta ringgit lagi tambahan.
- Jadi saudara-saudara, ini tak termasuk yang sekolah di SMK tadi. Pengetua tak ada, pengetua eh. Haa, tapi Timbalan Pengarah ada ya. Boleh eh? Boleh, dua minggu tak bagi laporan jaga. Saya bergurau sebab saya tengok saya yakin.
- Saya berjumpa pengetua tadi, saya tengok guru-guru, saya pun semangat nampak ada kesungguhan mereka. Dan lebih-lebih lagi bila saya tengok anak-anak, saya tak sempat jumpa semua, tapi anak-anak Tingkatan Enam, Tingkatan Lima dan beberapa anak sekolah yang berbaris tadi, saya lihat ada potensi yang baik di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi.
- Saya doakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mudah-mudahan perjumpaan ini yang tidak santai saja, tidak sangat rasmi sangat ya, jumpa masyarakat. Terima kasih banyak, betul dari hati saya, ya maknanya di atas kesudian saudara datang, panas terik begini, tapi masih tunjuk senyumannya, baik hatinya dan insya-Allah saya takkan lupa.
- Saya tak lupa. ‘94 ada saudara, sebahagian pun saya tak lupa. Saya datang sini pertama tahun 1994, letak batu asas sekolah, sekarang saya syukur alhamdulillah, Tuhan beri kita keupayaan. Dulu saya datang sebagai Timbalan Perdana Menteri, lepas itu kena terajang keluar lama, sekarang balik sebagai Perdana Menteri ke Pulau Banggi.
- Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberikan kekuatan. Terima kasih Datuk Joachim, menteri-menteri, rakan-rakan yang hadir dan terima kasih kepada semua termasuk ahli parlimen kita bantu menyelenggarakan majlis dan semua ketua kampung, ketua masyarakat yang hadir.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
