TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN TERMINAL BAHARU LAPANGAN TERBANG SULTAN ISMAIL PETRA

18 April 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERASMIAN TERMINAL BAHARU
LAPANGAN TERBANG SULTAN ISMAIL PETRA



 

18 APRIL 2026 (SABTU) | 11.00 PAGI

KOTA BHARU, KELANTAN

 

 

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Nahmadulu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud,

Menteri Besar Kelantan;

 

Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,

Menteri Pengangkutan;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Setiausaha Kerajaan Negeri;

 

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Yang Berusaha Dr Nungsari Ahmad Radhi,

Pengerusi Malaysia Airports dan keluarga Malaysia Airports;

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah, kerana pada pagi ini kita dapat bersama-sama dalam Majlis Perasmian Terminal Baru Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

 

  1. Semua sedia maklum bahawa projek ini tertangguh sekian lama dan terbatal sebentar, tapi saya ucap terima kasih kerana Menteri Pengangkutan, Saudara Loke mengambil inisiatif menyampaikan keperluan untuk menyegerakan. Maka, pada tahun 2023, Kerajaan Madani telah memutuskan dan setelah berunding dengan Menteri Besar, terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan, menyegerakan pelaksanaan lapangan terbang ini.

 

  1. Ia merupakan keperluan bukan sahaja untuk Kelantan, yang merupakan trafik yang paling tinggi, tetapi kalau strateginya tepat, ia akan memenuhi keperluan rantau, termasuk Selatan Thailand. Maka, membuka jaringan ke Singapura, ke Jakarta, ke Bangkok, dan saya percaya ke beberapa negeri di rantau kerana sikap yang lebih terbuka mendukung program pengangkutan. Akan tentunya memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Kelantan, tetapi kepada negeara Malaysia keseluruhannya.

 

 

 

 

  1. Seperti kita sedia sedar, selain daripada keperluan rakyat memanfaatkan kemudahan ini, adalah keperluan kita meningkatkan kegiatan ekonomi, perdagangan dan pelancongan. Dan potensi yang ada pada Kelantan itu, tidak mungkin terpinggir dan terabai jika kita memberikan sedikit perhatian dan tumpuan.

 

  1. Jadi, saya bersyukur alhamdulillah, kerana meskipun ada pandangan-pandangan yang disebaliknya, kita mengambil pendekatan yang sangat realistik. Bila ada keperluan dan rundingan yang baik, kita teruskan. Sebab itu, bagi pihak Kerajaan Persekutuan, saya ingin menyatakan penghargaan kepada sahabat saya, Menteri Besar Ustaz Dato’Haji Mohd Nassuruddin kerana mengerahkan seluruh jentera Kerajaan Negeri memberi kerjamasa sepenuhnya bagi menjayakan projek ini.

 

  1. Projek ini sebagaimana yang diumumkan oleh Saudara Loke tadi, itu menelan belanja RM440 juta, termasuk pemanjangan landasan, menjadi setengah bilion ringgit. Ini bukan projek kecil, dalam keadaan kekangan ekonomi pada ketika itu pun, kita merasakan suatu yang strategik.

 

  1. Langkah berikutnya ialah memastikan seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan Negeri, dari sudut perdagangan, pelaburan, pengangkutan, pelancongan, pertanian, itu haruslah menyusul memanfaatkan kemudahan yang ada.

 

  1. Seringkali kita melihat pembangunan itu hanya dengan gedung-gedung yang indah, tapi tindakan susulan itu agak perlahan. Sebab itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa keperluan kita berikutnya ialah tindakan susulan sepertimana kita sering adakan perjumpaan dan mesyuarat di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

 

  1. Sebentar lagi saya akan ke jajahan Pasir Puteh, sepertimana sebahagian saudara sedia maklum, selain daripada pertemuan dengan Kerajaan Negeri, sejak tahun lalu saya mengambil keputusan untuk turun langsung ke daerah atau jajahan Kelantan, kerana sampai ke jajahan itu kita dapat menumpukan perhatian pada projek-projek rakyat kecil atau besar yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung.

 

  1. Pengalaman saya di Kuantan, beberapa daerah lain di Kinta, di Penggerang, di Kulim dan minggu lalu di Kuala Terengganu, menunjukkan bahawa pendekatan itu berbeda, lebih menjurus ke peringkat akar umbi, lebih mengetahui perbahasan yang dibangkitkan oleh bukan sahaja Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi pegawai jajahan, pegawai-pegawai peringkat jajahan, penghulu dan sebagainya. Maknanya Kerajaan itu tidak hanya melihat dari atas, tapi mendengar dari akar umbinya.

 

 

Saudara-saudara,

 

  1. Izinkan saya menyinggung sedikit tentang perkembangan mutakhir ini akibat daripada serangan Zionis Israel yang ganas dan zalim dengan kerjasama dan dukungan Kerajaan Amerika Syarikat ke atas Republik Islam Iran. Perkara itu telah berlanjutan lebih satu bulan. Kita dengan hubungan baik dengan Pakistan, Iran dan negara-negara Teluk serta Turkiye, memberikan sokongan padu atau usaha rundingan ke arah bagi mencapai perdamaian.

 

  1. Ia tidak mudah, kerana rundingan ini harus menerima kenyataan, yang mencetuskan ialah sikap biadap dan zalim, maka rundingan itu tidak harus mengenepikan dan meminta negara Iran hanya menyerah dan mencari perdamaian tanpa melihat kepada prinsip perundingan antarabangsa dan keadilan.

 

  1. Semalam saya diundang oleh Presiden Macron (Emmanuel Macron) secara peribadi, yang menganjurkan satu sidang untuk mencari, mendapat keputusan bersama, memberi jaminan laluan di Selat Hormuz yang dikatakan Right of Passage. Ini didukung oleh Starmer (Sir Keir Starmer), Perdana Menteri Inggeris (United Kingdom). Dan saya tentunya jawab, mengatakan kita mendukung, tetapi kita berhak menyatakan pandangan kita bahawa sementara kita berikan jaminan, sepatutnya laluan itu harus bebas, tetapi kita juga harus berikan perhatian bahawa kezaliman telah pun berlaku, dilakukan. Oleh itu, pertimbangan jaminan keselamatan dan perdagangan Iran juga harus diambil kira.

 

  1. Jadi, kenyataan kita juga mungkin sedikit berbeda daripada pandangan yang mula diusulkan oleh Presiden Macron. Tapi itulah sikap Malaysia. Bebas, merdeka dan menyatakan yang hak walaupun sukar diterima oleh beberapa negara dan kuasa besar.

 

  1. Saya syukur Alhamdulillah kerana dalam hal ini kita nampak ada kesepakatan dari semua pimpinan parti, setakat yang saya maklum. Setiausaha Agung PAS pun ada di sini. Setakat yang saya maklum, bahawa pendirian Malaysia sepertimana diputuskan oleh Parlimen. Dan ini dalam perbincangan saya dengan Presiden Iran, beliau menyebut penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Parlimen Malaysia yang membuat keputusan bersama mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat, dan juga memberi sokongan yang padu kepada hak bagi menjamin hak kebebasan Iran. Dan pada ketika itu kita mengucapkan takziah kerana syahid beberapa pimpinan utama, agama dan juga tentera Iran bersama dengan anak-anak sekolah.

 

  1. Saudara bayangkan kalau ini berlaku di Barat, akan riuh rendah satu dunia berminggu-minggu, berbulan mengutuk serangan, tetapi bila menimpa dengan negara Islam, banyak yang membisu. Saya berasa sangat terkesan bila anak-anak sekolah juga terkorban. Itu hampir tidak ada negara yang mengeluarkan kenyataan menyatakan simpati kepada keluarga, anak-anak ini, atau mengutuk serangan Israel dan Amerika itu. Demikianlah kenyataan di dunia hari ini.

 

  1. Kita di Malaysia harus juga ikuti perkembangan seperti ini. Dari apa yang berlaku di Iran peringkat awal, keupayaan Iran untuk membalas yang tidak mungkin mudah bagi mana-mana negara Islam lain, dan sehinggalah permasalahan dibangkitkan tentang Selat Hormuz. Kerana ini terkait dengan soal pengangkutan, soal harga minyak, minyak dan diesel, fertilizers (baja). Semua memberi kesan kepada kita. Ramai juga wakil rakyat yang ada di sini harus tahu bahawa ada yang mengatakan kapal minyak kita tidak lalu Selat Hormuz itu. Tidak apa lah, satu dua pandangan itu kita tidak boleh elak dalam politik ni. Macam-macam pe’el ada, ada yang cerdik, ada yang kurang.

 

 

  1. Alhamdulillah kapal minyak Petronas, semalam dah sampai yang pertama, sampai di Pengerang. Keperluan sampai di Pengerang itu, kerana processing (pemprosesan) minyak itu, hanya mampu dibuat di Pengerang.

 

  1. Satu hal juga, iaitu kita di antara kapal awal yang diberikan laluan. Sekarang ini memang belum, masih buntu penyelesaian di antara tekanan Amerika untuk menguasai rantau itu, tekanan Iran yang mempertahankan hak mereka, dan Oman itu bersempadan, dan tuntutan Eropah yang dirunding malam tadi tentang masa depan Selat Hormuz. Tetapi kita syukur, alhamdulillah, kerana awal kita berhubung dengan Presiden Iran, membolehkan kapal kita itu terlepas. Satu lagi dalam perjalanan, yang mungkin sampai dalam peringkat masa singkat. Satu masih tersekat di Selat Hormuz kerana mengalami kerosakan awal. Sudah 3-4 bulan rosak, jadi tak boleh. Tinggal lagi 4. Itu walaupun diberikan laluan kelulusan oleh Kerajaan Iran, Presiden Iran khususnya, tapi ini mengambil masa, kita doakan mudah-mudahan dapat selesai, kerana ini akan mengurangkan. Tetapi masalah ini dihadapi semua.

 

  1. Perdana Menteri Albanese dari Australia datang ke Malaysia dua hari yang lalu, minta kerjasama soal minyak petrol, diesel dan juga baja. Jawapan saya, jangan rakan-rakan kelirulah, kita boleh bantu negara-negara sahabat, tetapi tumpuan kita ialah keperluan negara. Kita ada lebih, kita bincang bantu; tak ada lebih, tak bantu. Itulah keputusan yang kita buat, iaitu petrol setakat ini kita masih dapat jaminan untuk bulan Mei, Jun. Dan kalau ada lebih, kita boleh jamin termasuk kepada Australia.

 

  1. Tapi ada orang kata, mengapa sangat nampak baik sangat dengan Australia? Kerana kita perlu baja phosphate (fosfat). untuk ladang-ladang kita. Kalau dia tak bagi, tersangkut pengeluaran di ladang-ladang kita, terutama ladang sawit yang dimiliki oleh Felda, yang melibatkan ratusan ribu keluarga rakyat Malaysia, termasuk keluarga orang Melayu. Sebab itu rundingan itu penting. Kita bukan menyerah apa-apa. Dia perlu urea daripada kita, kita ada lebihan, kita eksport kepada dia. Kita kata, kita perlu phosphate (fosfat).daripada dia, kita import dari dia.

 

  1. Oleh kerana hubungan dia begitu, dan hilang proses minyak kita itu di Australia, di Geelong, dan kita tidak mahu dia guna ‘force majeure’ untuk menyekat setelah minyak itu diproses. Sebab itu, hubungan antarabangsa bagi negara-negara perlu kita pertahankan dan kita runding dengan baik. Saya harap penjelasan ini akan membantu kita, sedikit pencerahan. Mengapa kita kekalkan hubungan baik? Bila ada, kita runding. Kalau dia minta minyak, kita tak akan jawab tak boleh bagi, kita jawab. Insya-Allah kalau ada lebihan, kita bagi, daripada jawab tak akan bagi. Mana tahu kalau 2-3 bulan lagi ada lebihan, kita pertimbangkan.

 

  1. Sebab kita perlu, sangat memerlukan kerjasama dan pertolongan dia untuk memberikan beberapa, terutamanya seperti saya katakan, kerana kilang memproses minyak petrol juga ada di Australia, dan keduanya keperluan mendesak kritikal ladang-ladang kita dalam soal baja phosphate (fosfat).

 

 

Saudara Saudari,

 

  1. Saya terangkan ini kerana Saudara Loke tentu terlibat secara langsung, kerana selain daripada minyak dan gas, masalah terbesar dalam krisis yang melibatkan dunia sekarang adalah bidang pengangkutan. Ada orang tanya, kalau minyak dah berlepas daripada Hormuz, pasal apa harganya mahal? Kerana harga minyak yang kita beli pun berubah. Yang keduanya, harga insurans pun meningkat 150%. Harga pengangkutan juga meningkat kerana risiko dibawa.

 

  1. Jadi, bagi rakan-rakan yang berbincang, harus menggunakan forum supaya dapat maklumat yang cukup, bukan sahaja daripada Kerajaan, tapi daripada Petronas, daripada syarikat-syarikat dan sebagainya. Ini termasuklah kontroversi kerana mengatakan dalam keadaan kita minyak terdesak, kita eksport ke Filipina. Sudah ada penjelasan daripada Vitol, dan sekarang kerajaan Filipina. Tapi 2-3 hari itu kita kena serang berlebihan. Jadi saya nak merayu lah kepada rakan-rakan boleh bagi pandangan tetapi sebentar, sedikit tabayyun supaya kita kaji, dapat maklumat yang tepat.

 

  1. Vitol tu syarikat asing, perjanjian dia itu proses minyak di Pengerang, dan perjanjian itu setelah proses dia bawa ke Filipina. Minyak itu minyak Vitol. Perjanjian itu dengan Filipina yang dibuat dua tahun atau sebelumnya. Jadi, tidak ada kena mengena dengan Malaysia. Malaysia tidak boleh guna undang-undang darurat, menyekat dan berperang dengan negara-negara jiran. Kita memilih untuk menunaikan dan janji dengan perjanjian yang ada, kita tunaikan awfū bil-‘uqūd – prinsip itu tidak boleh kita ketepikan.

 

  1. Jadi, saya ambil kesempatan ini menjelaskan kerana saya percaya semua rakyat harus mengikuti perkembangan ini, kerana saya tidak fikir akan selesai dengan mudah, walaupun perdamaian dicapai, kesan ekonomi itu tidak beres dalam beberapa bulan. Sepertimana yang disebut oleh Emir Qatar, kilang gas, syarikat gas di Qatar yang rosak dan musnah mengambil masa kata dia, kalau boleh mula sedikit operasi akhir tahun, tapi dia mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun untuk operasi minima, tiga tahun untuk operasi maksima. Itulah sebabnya kita ada Malis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk meneliti, tetapi bukan sahaja soal pengeluaran tapi soal kos, kerana jumlahnya banyak.

 

  1. Jadi sekarang ini, banyak negara berebut, berunding dan mohon untuk membeli minyak dari Rusia. Itu menarik. Dulu Eropah buat sekatan, Amerika bagi larangan, sekarang terpaksa beri ruang. Ini kenyataan ekonomi. Nasib baik, Alhamdulillah kerana hubungan kita dengan Rusia itu masih baik. Jadi dalam keadaan sekarang ini pun, pasukan kita termasuk dari Petronas, boleh berunding dengan Rusia untuk memenuhi sebahagian dari keperluan kita sebagai negara sahabat.

 

  1. Jadi, mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha dan doa kita, dan menyelamatkan negara kita dan terutama rakyatnya dari beban yang saya percaya akan menimpa kalau tidak banyak-sedikit. Ini saya sebut depan Menteri Besar supaya bila timbul sedikit, Menteri Besar tolong jelaskan, supaya keadaan itu lebih meredakan. Tetapi percayalah sedaya upaya kita seperti RON95 orang bangkitkan minyak diesel yang tinggi. Saya buat kajian semalam, minyak diesel yang tinggi itu memang ada kesan kepada siapa? 15% rakyat. 85% rakyat itu tidak menggunakan diesel dengan harga pasaran, tapi harga subsidi. Tapi al-maklum, yang dihebahkan ialah yang 15%, yang 85% itu tidak disebut sama sekali.

 

  1. Jadi kalau pun nak beri cadangan, saya setuju ada terkesan. Tadi bincang dengan Saudara Loke, memang betul dalam beberapa bidang, pengangkutan, kita kecualikan bas sekolah, kita kecualikan beberapa lori strategik pengangkutan, kita kecualikan, ya banyak dikecualikan.

 

  1. Tetapi, bidang nelayan, ada saya tengok di Dewan Undangan Negeri satu dia marah sebab dia kata nelayan terkesan. Padahal nelayan itu guna harga minyak diesel subsidi, bukan harga diesel pasaran. Jadi jangan beri contoh begitu, macam sepertimana yang diviralkan, seorang yang ambil minyak dia tak guna IC, dia mungkin orang asing, tapi dia gunakan memang harga tinggi. Apakah saya nak nafikan bahawa masalah minyak itu mengesankan dan menimbulkan masalah bagi rakyat? Saya tidak nafikan memang berlaku. Apakah harus ada beberapa langkah lain yang kerajaan harus fikirkan untuk meringankan, saya jawab ya. Kita ada rundingan setiap hari untuk mencari jalan untuk meringan dan meredakan.

 

  1. Mudah-mudahan dengan langkah-langkah ini boleh mengurangkan sementara, walaupun perkembangan ekonomi dunia dan perdagangan bukan dan tidak mampu kita beres dengan semua.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, kepada Malaysia Airports kerana airport ini lapangan terbang ini memang, saya datang tahun lalu pun memang luar biasa, di antara yang indah, moden dan seni dia ada kalau nak lihat airport dengan seni Islam dan seni Melayunya, datanglah ke Kota Bharu.

 

  1. Jadi, selain daripada pengangkutan moden, lapangan terbang moden, ia memberi apa yang dikatakan karakter. Saya sering menyebut tentang pandangan seorang pemikir, bila dia pergi Washington DC kali pertama dia kata, “bangunan baru, teknologi tinggi, tapi kata dia, culturally barren”. Maknanya bangunan cantik, tetapi dari segi budaya itu gersang. Tapi kalau datang ke Kota Bharu, apalagi di airport, dia moden, teknologi baru dan budayanya segar dan indah.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: