TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SKIM USAHAWAN BANGKIT NEGERI TERENGGANU

26 November 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERASMIAN SKIM USAHAWAN BANGKIT

NEGERI TERENGGANU

 

 

 

26 NOVEMBER 2026 | KHAMIS | 12.00 TENGAH HARI

DEWAN KENANGA, TERENGGANU EQUESTRIAN RESORT
KUALA TERENGGGANU

 

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rasulahu bil huda wadinil haq liyuzhirahu aladdini kullih wakafa billahi syahida.

Wa usolli wa usallimu ala rasulihil karim wa ala alihi wa sahbihi ajmain.

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Sollehuddin Alyubi bin Zakaria,

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU);

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Kahar bin Abdul Latif,

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Terengganu;

 

Pegawai-pegawai kementerian, rakan-rakan, saudara-saudara, usahawan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama. Saya mohon maaf, lambat sikit dari Kuala Lumpur, ada majlis dengan Jabatan Pendidikan dan Yayasan Terengganu sebentar tadi.Saya minta kalau boleh, kalau kerusi di depan ni, ramai orang berdiri kat pintu. Boleh tarik yang depan ni, tarik kerusi ke depan boleh? Terima kasih, terima kasih. Biar bagi orang belakang masuk. Boleh ke depan, depan lagi, ke depan lagi. Atas pentas tak apa. Ya, betul. Kita protokol-protokol ni apa? Katalah kalau naik atas pentas, darjat saya turun? Tak. Minta ke depan supaya yang di belakang boleh masuk. Boleh isi belah tengah pun tak apa. Baik.

 

  1. Tujuan kita ini meneruskan beberapa acara yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk memberi kesan dan makna kepada pembangunan negara. Kita sebut, kita catat pelaburan dari luar negara beratus bilion, betul. Pertumbuhan ekonomi sekian banyak, betul. Tetapi, bagaimana kita nak tangani masalah anak kecil di sekolah yang tidak upaya beli kemudahan pelajaran dia? Bagaimana kita nak pastikan rakyat yang susah, petani miskin dibantu? Dan bagaimana kita nak selesaikan masalah usahawan-usahawan kecil?

 

  1. Betul, kita tumpu pelaburan besar. Benar, kita perlukan kerana pelaburan besar. Katalah baru-baru ini, Google dari Amerika Syarikat, dia labur USD15 bilion Amerika maknanya RM60 bilion. RM60 bilion, itu lebih kaya daripada sesetengah negeri di Malaysia ini. Jadi dia labur di Malaysia. Kita letak syarat, baik, kalau nak labur di Malaysia, bekalan air kita tak cukup, kamu buat sendiri. Dia belanja RM900 juta buat bekalan air. Kamu pakai air itu, yang lebih bagi kat Negeri Sembilan. Projek itu di Negeri Sembilan. Latih 1,000 anak-anak kita dalam bidang AI. Itu dia kata, baik. Jadi itu baru masuk pelaburan. Maknanya kalau pimpinan ini bersih, kita boleh bagi syarat banyak.

 

  1. Masalah negara kita ni kita warisi satu sistem yang pertama nak ambil, komisen aku dapat berapa? Kamu nak bagi apa? Hadiah apa kat aku? Jam RM400,000 datang. Kalau ini yang jadi rosak, sebab itu saya katakan, nak cakap soal pembangunan, kemajuan, dia mula dari diri kita. Pimpinan pun begitu. Bila kita tegas, wang boleh lebih untuk apa? Untuk kita masuk poket? Tak. Pulang pada rakyat.

 

  1. Saya balik dari mesyuarat APEC di negara China, sebelum itu di ASEAN di Manila dan APEC di negara China. Semua tanya. Macam mana boleh harga minyak di Malaysia terlalu rendah? Paling rendah di Asia, paling rendah di dunia. Tapi yang kalau dengar di luar apa? Di luar, dia kata harga minyak tak turun. Saya tak tahu dia ni duduk di mana, negara Afrika mana? Di Malaysia ini harga minyak terendah di dunia, RM1.99, RON95. Semua hairan. Jadi saya jawab bukan mudah, bukan percuma. Ini kerana kita kalau naik harga minyak, yang mesti dibuat sepatutnya, kerana kos import tinggi.

 

  1. Gaduh di Selat Hormuz, ya, akibat kekejaman Israel itu, sokongan Amerika menyerang Iran, harga naik. Harga naik, terkesan kita, terkesan satu dunia, bukannya negara kita. Sebab itu Arab Saudi pengeluar minyak, Qatar pengeluar minyak, semua naik harga minyak lebih tinggi daripada kita. Jadi dia tanya bagaimana? Saya kata tak ada bagaimana, kita maknanya Kerajaan kena tampung. Berapa Kerajaan tampung satu tahun? RM40 bilion. Ya bukan saya nak kata “tak terima kasih tak apalah”, janganlah maki saya lagi. RM40 bilion. Sebab apa buat? Kalau tak buat, bagaimana rakyat nak hidup? Meniaga tak ada untung banyak mana, gaji, walaupun naik sedikit bagi pegawai kerajaan tapi tidak mencukupi kalau harga minyak naik. Jadi bayangkan tiap kali kita ambil RON95 itu boleh berlaku kerana Kerajaan tampung kekurangan itu. Berapa satu tahun? RM40 bilion.

 

  1. Ini STR, SARA, semua dapat kan? Baik. Berapa satu tahun? RM16 bilion. Betul, kita dapat seorang dapat RM1,500, ada dapat RM2,000, ada dapat RM500 ikut kedudukanlah, tetapi untuk satu negara, RM16 bilion. Ada tak saudara yang jadi pegawai kerajaan, guru-guru, penjawat awam, ada? Berapa kita naikkan gaji tahun ini? Tahun ini berapa kesan? RM18 bilion. Cuba bayang, RM40 bilion minyak, RM16 bilion STR, SARA, RM18 bilion naik gaji. Itu yang tak termasuk yang lain-lain. Itu yang tambahan, tambahan daripada dulu. Banyak. Dari mana ambil wang ini? Haa, inilah sebab saya kata pilih pemimpin dan Kerajaan kena bersih. Wang itu bila jimat, dia pulang kepada rakyat.

 

  1. Saya tak boleh lama sangat, tak nak panjangkan begini. Yang dengar semua tak betul. Betul, saya tak kata kita semua betul. Tapi ini yang paling penting. Ini yang kita lakukan. Yang rugi banyak tu berapa? 1MDB berapa? RM50 bilion. Tabung Haji rugi berapa? RM10 bilion. FELDA? RM10 bilion. “Oh, mana tahu?” Saya tahulah, saya jaga sekarang. Kena bayar tiap tahun, FELDA. FELDA, bukan salah peneroka, bukan salah pengurus. Salah yang dulu. Tiap tahun saya kena bayar hampir RM1 bilion hutang lama. RM980 juta kena bayar. Kalau tak bayar? Tak bayar, gulung FELDA. Tabung Haji, jadi kita kena tampung. Kalau tak bayar, duit jemaah macam mana? Nak pergi haji macam mana?

 

  1. Ini kadang-kadang, saya tahu tak mudah. Kalau daripada tua ke bawah dia kata “Eh ni bukan ni soal Melayu, soal Melayu tak boleh, tak boleh bagi kat Cina.” Tabung Haji Cina mana ambil? Yang sakau Melayu. Tabung Haji itu badan untuk jaga orang Melayu, orang Islam. Jadi saya bukan nak guna majlis ini nak terangkan apa hubungan dengan usahawan kecil ini. Kalau kita tak urus negara dengan baik, nak tolong macam mana? Wang tak cukup. Nak tolong dengan hutang berlonggok-longgok? Orang kata, “Oh, masa Anwar sekarang hutang tinggi.” Tak betul. Hutang baru kita kurang. Dulu, masa saya ambil alih hutang satu tahun RM100 bilion satu tahun. Perlahan-lahan turun RM90 bilion, RM80 bilion, sekarang hutang hanya RM70 bilion satu tahun.

 

 

  1. Tapi dia kata “Tak, sebab jumlah hutang sama.” Iyalah hutang lama! Hutang lama. Hutang lama tu ada faedah, dia kena bayar. Hutang 1MDB sampai sekarang saya kena bayar. Hutang Tabung Haji, hutang FELDA, kita kena bayar. Jadi hutang banyaklah. Nak salahkan saya bagaimana? Saya cuma kurangkan hutang. Tapi hutang lama kena bayar. Itu yang nampak berlonggok besar. Hutang masa saya jaga, saya Perdana Menteri, berapa? Daripada RM100 bilion turun jadi 70 bilion. Itu masa saya. “Eh tapi kenapa kena bayar banyak?” Bayar banyak yang kamu dulu lah kita nak bayar. Kalau tak bayar, tak bayar negeri bankrap. Kalau tak bayar Tabung Haji, FELDA nak hidup macam mana?

 

  1. Ini saya minta kawan-kawan kena faham. Oleh kerana kita cermat inilah maka kita boleh tambah, buat ikhtiar. Sebab apa saya ada usahawan kecil, Usahawan Bangkit ni? Sebab saya kata, kalau syarikat itu dah besar boleh, dia boleh hidup. Tapi yang kecil-kecil, buat kuih, nak RM5,000 saja Kerajaan peruntukan supaya dia boleh hidup dan naik. Nak beli mesin jahit, nak beli peti ais kecil, bukan peti ais yang berpuluh ribu, peti ais kecil supaya boleh simpan barang tak rosak. Ini yang kita buat dalam Usahawan Bangkit.

 

 

 

  1. Baik, kita bagi peruntukan dan saya lihat ramai yang di sini. Peniaga kecil ni betul ada orang Amanah Ikhtiar, orang nak TEKUN tapi tak cukup. Jadi saya minta ICU tambah. Mari Terengganu, belum dia bagi kopi terus dia kata tak cukup duit Dato’ Seri. Kopi tak bagi lagi. Baik. Jadi tadi saya beritahu wang yang diberi itu, orang dah pinjam dah banyak dan banyak lagi queue Jadi saya kata, okeylah, untuk tahun depan kita tambah banyak juta lagi tapi untuk ini sekarang ini kita lulus setengah juta ringgit tadi bagi kesemua Usahawan Bangkit di Terengganu.

 

  1. Sebab saya tengok dia bukan minta banyak pun. Bukan minta ratus-ratus ribu, tak. Ada yang saya tengok permohonan tu RM3,000, ada RM5,000. Itu umumnya tak besar. Kalau besar, saya kata pergilah bank ke pergi mana-mana yang dah besar berniaga tak payah kacau kita. Tapi yang kecil-kecil. Dan saya lihat di beberapa tempat saya pergi tengok Pulau Pinang, di Selangor, orang bila buat tu, dia hargai. Cukup supaya keluarga dia terjamin. Dia duk buat jual kuih dah 6 tahun dah, tapi pendapatan begitu juga. Tapi kalau kita bagi mesin, apa alat dia perlu, dia boleh tambah daripada RM1,000 sebulan, dapatlah RM5,000 sebulan, atau tak dapat pun RM3,000 lebih. Perlahan-lahan dapat meningkatkan jumlah pendapatan dia.

 

 

 

  1. Jadi bagi saya, projek ini walaupun jumlah dia kata kecil, tapi dia beri manfaat kepada usahawan-usahawan kecil. Usahawan kecil itu ramai daripada usahawan besar. Betul tak saya cakap? (Betul). Ya. Jadi kita cari jalan dan saya diberitahu pengarah tadi, memang masih banyak lagi yang memohon. Kita tak boleh nak selesaikan semua dalam tahun ini, sebahagiannya sudah diluluskan, sebahagiannya kita sambung ke tahun depan dalam belanjawan kita ini. Jadi petang ini, saya kena balik sebab hari ini hari pengundian akhir untuk belanjawan negara yang saya bentangkan dulu. Jadi ahli-ahli parlimen akan mengundi.

 

  1. Ini yang kita kata dasar negara, ekonomi yang tadi, pendidikan. Semua kita sebut kita ini nak capai, negeri ini kena maju. Anak-anak kita tadi saya tengok ya ayah dia mungkin peneroka. Tapi anak ayah, anak dia dah ambil accountancy, ambil kedoktoran. Jadi harapan masa depan meningkat. Dia belajar dulu, kita belajar biasa, kisah sejarah, pendidikan Islam, bahasa yang asas. Sekarang ada lagi. Mula daripada komputer, kemudian digital, kemudian sekarang AI. Jadi, keadaan berubah. Ini yang saya sebut ekonomi pun begitu. Dulu nak ekonomi ini buat kilang buat kuih, sekarang ni dah ada data center, ada bawa AI. Pelaburannya dah beratus-ratus bilion. Anak-anak kita mesti dilatih kalau tidak nanti orang lain dapat kerja.

 

  1. Ini yang saya maksudkan dalam belanjawan dalam Dasar Ekonomi MADANI, itu yang saya kata “menggapai di langit” maknanya mencapai soal yang tinggi yang di langit. Kalau tak sampai, kita kalah dengan negara lain. Tapi jangan lupa, kita ni manusia, kita ini Muslim, kita ada akhlak, kita ada nilai. Kita bukan nak jadi kaya macam negeri Barat kita nak negeri kaya tetapi ada nilai dan akhlak. Maka kita “menggapai di langit, tetapi mengakar di bumi”, kerana akidah kita, akhlak kita, nilai kita, kita kena jaga.

 

  1. Di Putrajaya, dua malam sudah baru selesai kita khatam sahih. Tiga tahun lalu Sahih Bukhari, tahun lalu Sahih Muslim, tiga malam sudah kita khatam Sahih al-Tarmizi, Imam Tarmizi. Ya. Jadi Malaysia satu-satunya negara kumpul ratusan ulama dunia yang terkemuka dan tempatan, tok-tok guru pondok, ulama-ulama kumpul mereka, baca khatam seluruh ratusan ribu hadis. Semua ramai yang sudah huffaz al-Quran, kemudian sekarang hadis. Ratusan ribu hadis Sahih Bukhari itu semuanya dibaca. Kemudian khatam majlis 3 tahun lalu. Tahun lalu baca semua korpus kumpulan hadis Sahih Muslim, kemudian kita khatam. Ada syarahnya, ada penceramahannya, ada penjelasan, tapi kena baca semua sampai khatam dua malam sudah kita khatam Sahih al-Tirmizi, hadis kumpulan Imam al- Tarmizi.

 

 

  1. Ini yang kita usahakan, maknanya kita masih “mengakar di bumi.” Kekuatan al-quran dan hadis ada. Jadi orang kata kita pembangunan tinggal, tak betul. Yang saya tahu, tak ada negara di dunia setakat ini yang ada majlis khatam semua. Khatam Quran terus tapi dan juga khatam hadis. Ini Malaysia satu-satunya mengikut Syeikh Abu Bakar, seorang muhaddis terkemuka di dunia yang bersama kita bersama dengan beberapa tokoh-tokoh ulama daripada Mesir, daripada Morocco daripada negara-negara lain. Jadi Alhamdulillah.

 

  1. Apa maksud saya nak katakan? “Menggapai di langit, mengakar di bumi.” Ini dia semua, tok guru ni cakap, semua melunakkan. Dia tegur saya, dia minta jadi lebih baik, lebih buat lebih banyak, tapi tak adalah kecam, maki hamun, menghina orang, tak ada. Dasar ekonomi, dia minta saya jelaskan, saya jelaskan. Oh, dia kata “Boleh tak buat yang ni tambahan? Boleh tak pendidikan Islam, bolehkah maahad tahfiz, sekolah-sekolah agama, pondok-pondok dulu yang terbiar boleh tak bantu hidupkan balik? Tak ada dia nak dajalkan saya. Faham ya? Jadi ini baru dakwah Bil hikmah. Wal mau’izatil hasanah wa jadilhum billati hiya ahsan.

 

 

 

 

  1. Jadi mudah-mudahan di majlis ini, kita tujuan itu saya nak sampaikan ini bilangan pemohon bertambah untuk tadi saya dah sebut. Jadi di Terengganu kita dah peruntukkan untuk 380 usahawan telah peroleh daripada RM1.04 juta, tapi belum saya duduk, orang dah beritahu, ehhmm dia tak beritahu berapa ratus orang dapat dia kata ada yang tak cukup. Tak apalah kalau begitu kan? Jadi maknanya, “Oh, bagus-bagus.” Tak. Kena cerita benar. Baru kita dengar, baru kita baiki.

 

  1. Sebab itu, saya sembahyang Jumaat saya beritahu tadi, sembahyang Jumaat tiap Jumaat saya pergi makan di warung. Warung-warung kecil gerai-gerai di Selangor, di Kuala Lumpur yang mana-mana yang dekat pejabat. Bila saya pergi warung, saya tak pergi hotel. Tapi takkan Perdana Menteri tak boleh? Boleh pergi makan restoran besar-besar tapi saya pergi di warung. Sebab apa saya pergi warung? Kita tanya dia berniaga bagaimana, sewa dia berapa, berapa orang kerja, apa masalah dia, harga bawang naik macam mana jadi masalah dia, ikan macam mana harga. Jadi saya dengar sendiri. Bukan, bukan baru buat, bukan buat masa dekat pilihan raya. Pilihan raya memanglah, masa tu kena cium budak, masa tu kena pergi surau, masa tu apa ha tu biasalah tu kan. Saya buat tiap minggu selama 4 tahun sebelum solat Jumaat pergi ke warung, gerai, bukan restoran besar, tak. Warung kecil dan gerai, duduk makan dan tanya apa…

 

  1. Lepas tu pergi masjid. Di masjid tu saya suka layan cucu-cucu ni. Tiap minggu saya boleh tanya, “Sekolah mana?” Baik. “Sekolah ada tandas rosak?” “Ya.” Ha dia tahu kalau nak dia cerita betul. Kalau pergi tanya pegawai tak jadi. Tapi tanya anak-anak dia kata “Ya,” oh yalah. Orang kata “Tak rosak tapi pintu tak ada.” Ada yang kata “Ya tapi air tak ada.” “Okey sekolah mana?” “Okey sekian.” Dan itu live, didengar oleh Kementerian Pendidikan dan oleh Menteri Pendidikan itu feedback dia langsung. Kemudian tanya, “Guru datang sekolah?” “Guru ada.” “Ada yang tak datang?” “Ada.” “Guru apa?” “Guru Sains.” “Hai, pasal apa tak datang?” “Baru bersalin.” Tak apalah saya kata susah tapi harus ada guru ganti kan? Ha. Kita dah tahu dia nak bersalin bila, patut ada… Dalam sistem pendidikan kita tak boleh kosong mungkin satu dua hari okey. Tak boleh. Ada proses guru ganti kalau katalah accident mengejut, haa itu faham kalau bersalin tu kita ada persiapan. Habis saya dengar daripada mana? Daripada anak-anak ni.

 

  1. Kemudian tanya: “semalam solat tak?” “Err…” Okey makna taklah tu. Baik. “Ada bapa tanya, ibu tanya?” “Tak.” “Awak tak solat, ibu bapa tak tanya?” “Tak.” Okey. Saya dapat maklumat dah. Sekolah ada, ustaz ada, balik rumah tak ada. Baik. “Kerja rumah ada?” “Ada.” “Ada buat?” “Hmm kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak.” Macam mana nak salahkan beban pada guru? Ini tanggungjawab ibu bapa. Jadi, saya dalam bulan ini saya tegur ini, saya tahu setengah ibu bapa marah. Jangan marah saya. Saya tugas saya, saya ni cikgu. Guru!, “guru!”, ingat kan? Ha baik. Jadi kita kena ingat.

 

  1. Mudah-mudahan kita baiki ini semua. Jadi jangan lupa, bukan ada salah kita usaha kecil, kita meniaga, anak solat, anak baca buku. Jadi tahun depan ni bulan Januari, semua anak-anak sekolah rendah darjah satu sampai tingkatan lima dapat RM200. Semua dapat, tapi saya tak bagi kalau tak pergi sekolah. Saya mahu ibu bapa mesti pergi sekolah jumpa guru, guru bagi tahu pasal anak dia baru dapat duit. Tak pergi, saya tak bagi RM200. Ini sampai sekolah anak tak tahu di mana.

 

  1. Saya masa Menteri Pendidikan nak bagi tahu, hari pertama Nurul Izzah pergi sekolah tu saya hantar dah kelam-kabut cikgu pula tu. Sebab saya pergi sekolah kan. Tapi itu cara dia mana boleh kita lepas macam tu? Anak tak solat kita tak tanya. Anak balik, saya tanya seorang balik pukul berapa semalam? “Pukul 9:00.” “Buat apa?” “Ha main-main.” “Ada mak tanya?” “Tak.” Eh, macam mana ni? Jadi sebab tu kita kena jaga. Niaga harus, usahawan okey, kurang wang tak apa saya tambah sekarang setengah juta. Tahun depan kita tambah lagi yang tak dapat. Tapi tanggungjawab kita harus kita sempurnakan dengan sebaik mungkin.

 

  1. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha-usaha kita dan insya-Allah negara kita akan lebih berhasil berjaya. Pada hari ini juga kita memanfaatkan majlis ini dengan menjemput juga rakan-rakan ustaz-ustaz, guru dari institusi pendidikan Islam, pondok-pondok, sekolah-sekolah, maahad tahfiz di Terengganu ni. Ini kita jumlah semua yang kita bagi RM1.497 juta untuk di Terengganu. Saya akan panggil satu-satu sebentar lagi. Jadi semua ini kita beri, ada yang RM200,000, ada yang RM70,000, ada yang RM100,000, RM140,000 untuk membantu, kerana bila saya jumpa tok-tok guru pondok beberapa tahun yang lalu, mereka kata peruntukan ada tapi untuk sekolah pondok, sekolah rakyat ini tak ada bantu.

 

  1. Dulu 2003, Kerajaan pada masa itu batalkan semua peruntukan ke sekolah-sekolah maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat. 2022 saya ambil alih Kerajaan, saya terus umumkan saya pulangkan balik dana. Kemudian, jumpa 2024 tok-tok guru pondok, dia kata betul kita dapat tapi sekolah kita teruk, bumbung bocor, tandas rosak, maka kita mula bagi bantuan, kalau tak salah saya tahun ini kita tambah RM200 juta untuk baiki sekolah-sekolah pondok.

 

 

 

 

 

  1. Jadi mudah-mudahan Allah SWT memberkati kerja kita dan saya ucap sekali lagi terima kasih kepada ICU Negeri Terengganu yang menyelaraskan program dan pegawai-pegawai yang membantu menjayakan program.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: