TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PERAYAAN PESTA KAAMATAN
PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2026
30 MEI 2065 (SABTU) | 10.00 PAGI
DEWAN HONGKOD KOISAAN KDCA,
KOTA KINABALU,
SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera, dan Salam Malaysia MADANI.
Salam Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Bulawan Sigah Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam,
Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026;
Saudara yang dimuliakan Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan,
Presiden Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), seorang sahabat dan mengasaskan dan mempelopori kegiatan ini;
Menteri-menteri, Menteri-menteri Negeri, Speaker, SUK dan semua hadirin yang dimuliakan.
- Ini kali ketiga saya hadir, dan saya dimaklumkan dulu bahawa saya merupakan Perdana Menteri pertama yang hadir dalam Majlis Perasmian Kaamatan, dan saya bangga kerana saya sudah jadikan ini sebagai acara rasmi tahunan saya sebagai Perdana Menteri.
- Ini bermakna kita bukan sahaja bicara, tetapi memaknai. Bukan sahaja bicara soal negara ini pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, tetapi menunjukkan dalam tindakan. Saya beri contoh umpamanya, semua acara rasmi yang saya anjur selaku Perdana Menteri di Seri Perdana, tidak pernah satu acara budaya yang saya tinggalkan, budaya Kadazan Dusun Murut.
- Ini tidak diketahui oleh ramai, tetapi ini kenyataannya. Dalam dasar Kerajaan MADANI ini, semua acara, MOTAC, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya umpamanya, itu menetapkan memulia, menghormat, dan memberi ruang penyertaan penuh semua budaya. Dan ini harus kita faham kerana mungkin dalam lingkungan Sabah kita tidak lihat, tapi kalau dilihat acara rasmi Jabatan Perdana Menteri dan di Seri Perdana itu dimasukkan.
- Saya sebut hal ini kerana ia penting. Ia memberi gambaran bahawa negara ini harus matang. We have to mature as a nation. How do we mature? By showing the spirit of inclusiveness, respecting the variety of cultures. Bila almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama, yang mengasaskan Persekutuan Tanah Melayu dan bersama Malaysia, yang diketengahkan ialah ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Diversiti itu tidak harus menjadi masalah. Malah diversiti itu, bersekutu itu mesti menjurus ke arah meningkatkan mutu. Kita merasakan ini sebahagian daripada kita.
- Saya lihat anak-anak dengan tarian mereka, itu mesti yang dianggap sebagai sebahagian daripada budaya kita, sebahagian daripada anak-anak kita. Sebab itu saya tekankan baik di sini, atau di Kuala Lumpur atau di Kelantan atau di Sarawak, mahu jadi pimpinan negeri apalagi peringkat negara atau kebangsaan, mesti tonjolkan sosok peribadi yang memberikan gambaran selain daripada memperjuangkan, prihatin terhadap kaum, agama dan masyarakat mereka, mesti melayakkan diri menjadi tokoh yang merasa dan prihatin semua masyarakat dalam negara kita, semua wilayah di negara kita. Dan begitu juga di kalangan pimpinan negeri dan suku kaum, mesti lihat dari segi kepelbagaian, kerana sebaik sahaja kita menjurus kepada kepentingan satu puak, ia bertentangan dengan semangat unity ini dan meruntuhkan budaya kita.
- Bayangkan beberapa negara di dunia ini yang tidak dapat bertahan. Muncul satu negara, tetapi lama-kelamaan dengan hasutan fahaman yang sangat sempit, maka dileburkan. Negara menjadi pecah-belah dan miskin, yang menderita adalah rakyatnya. Sebab itu, harus dipupuk dan sebab itu, dalam Pesta Kaamatan ini, saya anggap suatu yang menjernihkan dan membanggakan. Dan tiap kali saya datang, ia memperkayakan kefahaman saya.
Saudara-saudari,
- Negara kita tidak terlepas daripada perkembangan geopolitik dunia sekarang. Dan kita syukur, Alhamdulillah, kerana kita mengambil pendekatan, selalu saya sebut centrality, kita tak gunakan neutrality kerana kadang-kadang kalau ada kezaliman, keganasan, pembunuhan, di tempat lain pun, kita tidak merasakan wajar untuk dibiarkan. Centrality maknanya bebas.
- Malaysia di rantau ini antara negara yang mencatat hubungan yang sangat baik, pelaburan dan perdagangan tertinggi dengan Amerika Syarikat. Dan dalam masa yang sama, penambahan pelaburan dan perdagangan yang sangat tinggi dengan negara China. Dan kita lihat dari kunjungan mereka di sini dan kunjungan kita ke negara mereka, semangat itu untuk faedah rakyat dan negara kita.
- Lihat saja Sabah. Tahniah kepada Dato’ Sri Hajiji dan kepimpinan negeri Sabah. Kerana dasarnya itu sederhana, fokus kepada pembangunan, menyediakan prasarana yang baik, dan yang pentingnya, keamanan, kesejahteraan negeri Sabah ini menyebabkan negeri Sabah dari sudut peningkatan pelancongan itu dan tarikan pelancong di negara kita di antara yang tertinggi dalam negara kita. Bayangkan 20 tahun, 30 tahun yang lalu, mungkin sedikit Kota Kinabalu, tapi di luar hampir tidak dikenali. Sekarang ini, kita terpaksa bergegas perbaiki, menambah kemudahan. Joachim tahu dia pakar JKR ini, menambah prasarana di lapangan terbang Kota Kinabalu. Belum siap di Kota Kinabalu, katanya penerbangan ke Tawau sudah meningkat. Harus dipercepatkan.
- Jadi, saudara-saudara bayangkan ya, kadang-kadang tak terjangkau kita dalam unjuran biasa. Unjuran biasa tidak menuntut kita melebarkan prasarana begitu cepat. Tetapi, pertumbuhan Sabah ini melepasi unjuran biasa dan mencatat pembangunan yang membanggakan.
- Begitu juga saya lihat umpamanya di Sarawak. Sudah menjadi tarikan tenaga dan kepintaran peralihan tenaga, IT, Artificial Intelligence yang menjadi tumpuan dunia. Selain daripada pusat-pusat yang lama, di Selangor atau di Kulim, Kedah. Tetapi sekarang juga muncul dengan kerjasama dan hubungan baik kita dengan Singapura umpamanya, menjadikan satu tarikan baru Johor-Singapura Economic Zone.
- Mengapa saya tekankan hal ini? Kerana kalau kita mahu berjaya, kita harus berjaya dan jamin kejayaan itu di semua negara. Semua negeri. Tidak harus negeri yang harus terpinggir. Saya faham kerana di antara keresahan yang saya dengar, kadang-kadang letih dengar. Sabah ini dan benar, kerana mereka merasakan, sudah terpinggir agak lama. Tidak boleh kita nafikan ada kebenarannya. Cuma saya mohon pengertian, kerana dasar kerajaan sekarang bukan begitu. Ada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan hubungan baik saya dengan Ketua Menteri yang seringkali bertemu dan mendengar keluhan, dan kita cuba baiki sedaya upaya kita.
- Berapa program yang menyentuh hati nurani dan permasalahan rakyat, seperti: STR, SARA, Pembasmian Kemiskinan. Itu kita asaskan dalam kerangka pembangunan kita. Tidak mengira negeri atau daerah. Kalau ada kemudahan STR itu, di Selangor, mesti ada di Kelantan, mesti ada di Sabah, mesti ada di Sarawak. Bedanya, hanya kita harus percepatkan dan pertingkatkan di rantau yang lebih ketinggalan. Berapa daerah terpencil di Pahang, berapa daerah banyak yang terpencil, pedalaman di Sabah dan Sarawak. Maka tumpuan itu ke arah sana. Apa kaedahnya? Rundingan dengan baik. Ini saya nak tekankan.
- Kalau kita itu, saya dalam Kerajaan umpamanya, mengambil satu sikap yang menolak hak mana-mana negeri, ada munasabah saudara-saudara tegur, kritik keras kepada saya. Tapi saya nak merayu di sini, menyatakan bahawa sikap kita terbuka. Bila saya bicara soal kemiskinan, pembangunan, saya tidak mewakili kepentingan daerah atau negeri atau suku kaum. Saya mahu menjadi seorang pimpinan. Bila berakhir kelak, dikenali sebagai Anwar yang adil kepada kami, yang menjaga kepentingan kami.
- Jadi sebab itu, saya minta rakan-rakan beri ruang. Boleh tegur. Tadi Joachim berbicara soal 40%, saya tidak rasa tersinggung, kerana saya fikir mana-mana pimpinan Sabah cara lembut atau keras, harus menyebut yang sedemikian. Harapnya lembutlah, jadi tidak keras. Tetapi saya faham. Saya tidak ambil sikap yang rasanya mencemuh pandangan tersebut. Tidak. Ada yang mengatakan agak terlambat. Ya. Tapi apa bezanya, saudara? Sebahagian daripada saudara-saudara pernah menjadi pimpinan negeri dan pimpinan pusat. Apa beza dia? Kita cuba sedaya upaya kita melaksanakan janji kita. Itu bezanya.
- Saudara lihat pembangunan dulu di sini, tahun lalu bila saya sebut, hasil yang dirangkul, SS ada di sini, yang kita kaji dari Sabah sekitar 10 bilion ringgit, besar. Tetapi dana peruntukkan Perbelanjaan dan Pembangunan untuk negeri Sabah mencecah 17 bilion ringgit. Itu kenyataannya. Ini tidak bermakna saya nak nafikan hak 40% itu. Jadi yang marah ini tak bersebab. Saya mahu rakyat Sabah tahu juga memang harus beri perhatian tentang 40%. Tapi jangan nafikan seolah-olah kita dianayai, di anak tirikan, disengsarakan, ini politik picisan, tidak akan membawa semangat perpaduan kita. Itu politik satu penipuan fakta. Hanya untuk mencari dukungan suku-suku kaum tidak berdasarkan fakta. Kalau saya kata ini ambil, jangan bicara soal 40%, haa ini boleh saudara kritik saya, tapi saya tidak sebut begitu, saya hanya menyatakan ini kenyataannya.
- Jadi apakah di anak tirikan? Tidak benar. Apakah hasil diambil, kemudian tidak dipulangkan? Pun tidak benar. Tapi apakah boleh kita nafikan hak 40%? Tidak boleh, sebab ini janji ini dimeterai pada tahun 1963. Jadi, ini dia. Jadi, jangan salah faham, bukan saya nak guna majlis ini nak menafikan. Jadi, kadang-kadang kalau kita ambil sebahagian ucapan, dah ada sarjana di luar negara, dah ada yang civil society, beri ruanglah. Saudara jangan banding.
- Kalau orang Islam kata, Astagfirullah, minta ampun kepada Allah Ta’ala, saya bukan takabur mengatakan bahawa ini saya lebih baik daripada semua. Tida,k tetapi saya datang daripada pengalaman yang perit. Bila saya bicara soal keadilan, kebebasan, saya rasa sengsara yang sukar, saudara-saudari bayangkan. Ditakdirkan saya ditampuk kekuasaan, saya tidak mahu abaikan. Saya tidak mahu dikenali orang yang tidak merasa keperitan dan tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah.
- Jadi sebab itu, Kerajaan Persekutuan, saya bawa ke Jemaah Menteri, saya lafazkan di Parlimen bahawa Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40% untuk negeri Sabah. Jangan ungkit pemerintahan yang lalu dan serang saya akibat masalah-masalah kecuaian yang lama, kerana tempiasan yang banyak, banyak yang terlibat, banyak yang lantang sekarang tidak bicara dulu. Jadi, kita mula sekarang.
- Sebab itu saya ucap terima kasih Joachim, bangkitkan perkara ini dengan sopan. Dan terutamanya, sahabat saya, Saudara Hajiji, dia tidak lantang suaranya, tapi dalam tiap pertemuan, dia cakap halus budi bahasanya, tapi menikam, kerana dia katakan, “ialah kita ini kadang-kadang terasa, saya fikir kalau tidak, itu Dato’ Seri PM siapalah lagi kita nak harapkan”, aduhai. Tapi saya tentunya renung dan dengar. Jadi sekarang, kita berdepan dengan kenyataan 112D Perlembagaan, walaupun kita tahu 112D itu dia qualify dengan keadaan mengizinkan.
- Tetapi kalau 10 tahun lalu mengizinkan, sekarang mengizinkan, 20 tahun lagi, dulu pun mengizinkan, tentunya tidak meyakinkan. Sebab itu, saya beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, kita tidak boleh guna alasan itu lagi. Kita kena cari jalan. Jadi sebab itu, saya segera minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bicara cara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri.
- Maka soalnya bukan soal dasar. Dasar kali pertama hanya Kerajaan MADANI pimpinan saya yang menetapkan no argument, it is a policy that must be implemented. Period. Now, cabarannya bagaimana kaedah pelaksanaannya? Saudara, bila bincang soal hak negeri, Perjanjian Persekutuan, itu tidak boleh kita pakai runding 1, 2 kemudian selesai. Saudara kena faham, setiap keputusan yang saya buat, itu implikasinya langsung ke Sarawak dan negeri-negeri lain. Betul saudara kata ini 1993 keadaannya lain, tetapi dia akan mengundang perbincangan, saya bukan guna ini alasan untuk menolak. Saya hanya nak ceritakan, ini dia Malaysia. Ini kepelbagaiannya, ini hubungan negeri-negerinya, Sabah-Sarawak itu agak Istimewa, kerana 1963 perjanjian tetapi negeri-negeri lain pun ada hak mereka masing-masing, mereka tidak mahu terasa terpinggir dan ketinggalan.
- Jadi yang saya sebut di sini ialah rundingan itu harus teliti. Setiap keputusan kita, ini keputusan terkait dengan Perjanjian 1963. Jadi, setiap keputusan kita, jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci. ini yang saya minta. Umpamanya, diamanahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, ya bersama dengan Menteri Kewangan, dan saya juga minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama Menteri Kewangan II teliti betul-betul, dia ada mengambil masa sedikit, tetapi dia tidak akan menolak kenyataan bahawa dana harus diberikan. Itu tidak pinda sama sekali.
- Sebab itu, semasa saya jadi Perdana Menteri, sekaligus saya naikkan RM300 juta, naik RM600 juta untuk tahun berikutnya. Itu paling tinggi dalam sejarah. Kerana saya fikir, ada munasabah di renung dan teliti. Tahun ini seperti saudara-saudara tahu, ada kesan kemelut geopolitik yang memberi kesan kepada kita. Harga minyak naik, harga diesel melambung. Tapi kita kekalkan untuk rakyat, harga diesel walaupun ada penyasaran subsidi nanti, tapi BUDI MADANI akan mengekalkan di kadar yang rendah. Harga minyak RON95 itu kekal RM1.99 terendah di dunia sekarang, saudara.
- Tetapi biasa kadang-kadang itu tak diperkirakan. Berapa subsidi umpamanya, untuk Sabah sahaja subsidi petrol, diesel, LPG Kerajaan Persekutuan untuk 2026? Untuk apa? Petrol, diesel, LPG, Kerajaan Persekutuan bayar untuk negeri Sabah. Untuk 2025, kerana harga itu agak relatif tidak terlalu tinggi, kita biaya RM1 bilion sepanjang 2025. Untuk 2026, bagi petrol, diesel dan LPG Sabah, itu akan mencecah RM3 bilion.
- Ini tidak dalam unjuran kita, kerana berlaku setelah serangan Israel dan Amerika ke atas Iran dan permasalahan di Selat Hormuz, dan kos pengangkutan kapal dan insurans yang meningkat. Saya sebut hal ini kerana kita wajar tahu. Bukan sebagai alasan untuk menolak 40%. Saya tengok Joachim dah mula risau. Tidak, ya. Jadi, saya dah datang pun, saya nak dengar itu sebenarnya.
- Bagaimana kita tangani untuk sekarang sebelum dimuktamadkan? Sekarang belum dimuktamadkan dalam perbincangan yang lebih teliti. Apakah kita tunggu sehingga muktamadkan untuk salurkan dana? Saya tidak fikir Saudara Hajiji atau rakan-rakan di Sabah akan sabar. Berapa lama perbincangan diteruskan? Saya fikir tidak mungkin lama. Mesti selesai dalam beberapa bulan ini.
- Kerana sebaik sahaja ada kerangka awal, mesti dibawa kepada finance committee dan kepada cabinet, dan dalam rangka itu mesti ada perbincangan yang lebih teliti selain daripada aspek perundangan, tetapi saya tidak mahu dianggap sengaja memlengah-lengahkan. Saya tekankan sekali lagi soal 40%, walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D, bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.
- Sama ada dibuat bulan Jun atau Disember, itu soal yang harus diputuskan oleh dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada Kerajaan Negeri di peringkat tertinggi dan rundingan di antara Persekutuan dan Negeri. Tapi untuk sekarang, untuk hari ini, interimnya dulu RM600 juta. Jadi, untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat 1.5 bilion. Nak cari dana lagi ni. Dia juga akan mengundang beberapa pandangan. Saya tegaskan, ini interim. Mengapa interim? Kerana harus dimuktamadkan.
- Keduanya, kita juga tahu tahun ini. Semalam saya umumkan, peruntukan bagi semua kementerian harus dipotong. Tidak untuk pendidikan, tidak untuk kesihatan, tidak untuk infrastruktur asas, termasuk di Sabah. Itu tidak dipotong. Tapi semua perbelanjaan-perbelanjaan lain, umpamanya lawatan ke luar negara, itu Menteri Persekutuan sendiri pun dibataskan. Melainkan lawatan yang wajib ASEAN atau BRICS atau APEC yang terpaksa dalam jadual.
- Lawatan-lawatan sekadar belajar dan sebagainya, semua dibatalkan di peringkat Persekutuan. Kemudian, lawatan itu pun kalau rombongannya 6 orang jadi 2. Kalau hotelnya sampai Royal Suite, diturun jadi Junior Suite. Itu cara-cara kita buat penjimatan. Kebanyakan kursus-kursus pegawai Kerajaan yang ada saban hari dan saban minggu diadakan sebaik mungkin di dewan-dewan jabatan Kerajaan, tidak di hotel-hotel lima bintang.
- Kalau kita tidak gunakan kebijaksanaan untuk cermat dan berhemah, negara tidak akan dapat diselamatkan. Wang ini yang diselamatkan, dipindahkan. Sebab itu, saya lihat beberapa langkah yang kita ambil, walaupun masih diserang, langkah untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Dua tahun yang lalu, sepanjang dua tahun, kita kumpul RM15.5 bilion. Selamatkan daripada penyelewengan ini. Dia bukan kecil, dia tidak popular. Kadang-kadang kita menegur orang-orang besar. Ada Tun, Tan Sri, Datuk Sri. Pengaruh besar, dananya besar. Dia serang kita bertubi-tubi. Kerana kita ambil tindakan.
- Saya bukan ambil tindakan sebab dia musuh politik. Ini diserah kepada badan pengawasan. Jadi, jangan ingat banyak orang jerit-jerit soal anti-rasuah ini, ingat mudah. Pelaksanaan itu sukar. Tapi bila kita perolehi RM15.5 bilion, ke mana? Ke STR, ke SARA, ke projek-projek rakyat, penambahan bidang pendidikan. Semalam saya umumkan, semua anak-anak sekolah, semua pelajar universiti, sekolah menengah dan pelajar universiti, semua diberi segera RM100 untuk beli buku dan baca. Kalau dah semua, dia jadi berbilion, sepertimana tandas, semua tandas diperbaiki. Belum semua lagi diperbaiki. Tapi yang kita dah belanja satu tahun, satu bilion tambahan. RM1 bilion ringgit.
- Jadi saudara-saudara, hal ini akan kita teruskan. Jadi kepada rakan-rakan, saya ucap setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih. Saya beritahu tadi, Tan Sri Pairin, Hajiji, saya datang bukan dengan rasa macam beban. Saya datang dengan rasa sangat senang. Saya gembira datang kerana sementara sikap saya sedemikian, saya rasa juga syukur, kerana rakan-rakan di Sabah, termasuk KDCA, rakan-rakan Kadazan, Dusun, Murut, terima saya dan bersama bagai menganggap saya dapat meraikan bersama-sama majlis saudara-saudara. Ini sangat menyentuh perasaan saya. Ini bukan, saya tidak anggap ini sebagai satu acara rasmi, perasmian. Saya anggap ini satu hubungan kekeluargaan menunjukkan bahawa walaupun ada satu dua jeritan picisan di sana sini, saya masih anggap rakan-rakan di Sabah ini, sebagai rakan-rakan seperjuangan yang sama harapan mereka.
- Sekali lagi terima kasih untuk Hajiji, Tan Sri Pairin, dan Joachim, kerana menyelenggarakan majlis dengan begitu permai dan baik. Tahniah. Jadi dengan ucapan, “Kotobian Om Taun Sikaan Tadau Tagazo do Kaamatan” saya dengan ini mengisytiharkan perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
